Surat daripada Prof. Dr. Taha
Jabir al-`Elwaniy
Saya telah mengenali Anwar
Ibrahim hampir empat puluh tahun, sejak beliau memimpin ABIM (Angkatan Belia
Islam Malaysia), gerakan belia terpenting di Asia Tenggara. Anwar yang saya
kenal ketika itu adalah seorang anak muda yang cerdas, lulusan bidang
sosiologi, datang dari keluarga Melayu berdarah India. Beliau dan organisasi
pimpinannya itu banyak mendirikan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Memang
beliau telah dibesarkan dan didewasakan dalam dunia pendidikan, dan seterusnya
menyertai arus gerakan Islam di rantau Melayu. Kerana aktivismenya yang cukup
menyerlah beliau menjadi tokoh harapan masa depan arus Islam di dalam dan luar
Malaysia.
Reputasinya sebagai pemimpin muda
meluas hingga ke luar daerah persekitarannya. Ketika itulah beliau ditangkap
dan seterusnya disumbatkan ke khemah tahanan politik oleh pemerintah Malaysia.
Setelah pembebasannya, Isma`il al-Faruqiy rahimahu ‘Llah tampil memainkan
peranannya sebagai orang tengah antara Anwar dan Mahathir Muhamad, Perdana
Menteri Malaysia ketika itu. Al-Faruqiy menyarankan agar Mahathir memanfaatkan
pemikiran dan aktivisme Anwar sebagai seorang yang memiliki segala potensi
kepimpinan dan sebagai tokoh berkarisma terutama dalam kalangan anak-anak muda.
Masa itu adalah era menyemaraknya
fenomena keislaman yang disebut Islamic resurgence atau kebangkitan Islam.
Dengan kepekaan politiknya, Mahathir melihat bahawa membawa masuk tokoh muda
seperti Anwar Ibrahim – simbol golongan Islamis di Dunia Melayu dan Asia Tenggara
– mungkin akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada konflik yang tajam di
antara golongan nasionalis Melayu (yang berorientasi sekular) dengan golongan
Islamis. Di Malaysia ketika itu telahpun wujud parti Islam yang memperjuangkan
pelaksanaan syari`at dan menjadikan seluruh wilayah Malaysia sebagai wilayah
Islam, di samping telah juga wujud simbol-simbol Islam dalam negara yang
memungkinkan Malaysia terdedah kepada konflik seperti yang berlaku di dunia
Arab, iaitu konflik di antara golongan Islamis dengan golongan nasionalis.
Di Malaysia pada asasnya tidak
wujud perpecahan dalam kalangan kaum bumiputera yang rata-rata adalah
Muslim-Sunni yang menganut mazhab Syafi`i. Itulah yang menjadi asas perpaduan
mereka selain asas kesatuan kebangsaan. Mahathir telah membuat keputusan untuk
meyakinkan Anwar agar menyertai parti pemerintah (UMNO) dan seterusnya
berkhidmat dalam kerajaan dengan jaminan bahawa ruang yang seluas-luasnya akan
sentiasa terbuka untuk beliau memanfaatkan kemampuan politiknya semaksimanya.
Sementara itu pihak parti Islam (parti yang didominasi para ulama) pula
menawarkan agar Anwar memimpin parti tersebut. Bagaimanapun al-Faruqiy
(yarhamuhu ‘Llah) berpandangan lebih baik Anwar memainkan peranan kepimpinan
dalam parti pemerintah daripada menjadi pemimpin parti pembangkang Islami.
Kedua-dua tokoh tersebut akhirnya telah mencapai kesepakatan. Berikutan dengan
keputusan tersebut ramai para ulama (Islamis) yang mengecam tokoh muda Islam
tersebut yang lebih mengutamakan kerjasama dengan golongan sekularis dan
menyertai parti mereka daripada menjadi pemimpin parti Islam. Tentu sahaja
Anwar perlu mempertahankan dirinya. Ketika itulah Dr. Al-Faruqi dan teman-teman
dari Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) di Riyadh meminta saya pergi ke
Malaysia untuk mencari semacam penyelesaian di antara Anwar dan rakan-rakannya
dengan para penentangnya dari kalangan Islamis, yang sebahagiannya telah
bertindak terlalu jauh dan melampau dengan menuduhnya cenderung dan memihak
kepada orang-orang zalim, seterusnya mengubah kesetiaannya kepada mereka serta
pelbagai tuduhan lainnya lagi.
Saya telah pergi ke Malaysia
menemui semua pihak: pimpinan ulama dan parti Islam mereka, juga belia Islam
Malaysia dan pimpinannya. Selama kira-kira dua minggu saya berada di sana untuk
menenangkan keadaan, cuba memelihara perpaduan kaum Muslimin Malaysia dan
berusaha mencegah konflik dalam kalangan mereka. Sementara itu Anwar segera
memulakan gerakan politiknya dalam kerangka parti pemerintah UMNO dan dalam
konteks peranannya sebagai Timbalan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri).
Dengan demikian daerah ini telah melintasi era kebangkitan Islam tanpa
terjerumus ke dalam konflik antara pendukung kebangkitan dan arus yang
bersamanya dengan arus nasionalis-sekularis. Anwar tampaknya sangat menghargai
usaha yang telah saya lakukan ketika itu, beliau menyambut kunjungan saya di
rumahnya dan di pejabatnya beberapa kali. Selain itu saya juga telah
menyampaikan siri ceramah di pelbagai tempat hingga keadaan kembali tenang dan
setelah itu saya pun kembali ke Riyadh meneruskan tugas-tugas saya sebagai
profesor di Universiti al-Imam.
Hubungan akrab saya dengan Anwar
berterusan hingga sekarang. Beliau menghubungi saya setiap kali menghadapi
persoalan besar atau ketika menghadapi sebarang pertembungan. Dari masa ke masa
Anwar terus mara dan jaya dalam kerjaya politiknya. Tidak lama kemudian beliau
menjadi menteri penuh (Menteri Pertanian), setelah itu menjadi Menteri
Pendidikan dan seterusnya menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana
Menteri. Sejak itu semua orang tahu beliaulah (Anwar Ibrahim) yang akan
menggantikan Mahathir nanti. Anwar telah meraih pelbagai penghargaan dan
pengiktirafan, termasuk gelar kebesaran “Dato’ Seri” dari beberapa orang Sultan
yang merupakan gelar tertinggi bagi mereka yang di luar keluarga diraja.
Bintangnya terus menyinar dan tampak di mata umum bahawa beliau adalah tokoh di
belakang pelbagai kejayaan kerajaan UMNO waktu itu. Tetapi rupa-rupanya
prestasi cemerlang Anwar itulah pula yang mendorong orang-orang di keliling Mahathir
berusaha mempengaruhinya dan menimbulkan rasa tidak senang di hatinya terhadap
orang yang selama ini dianggap anak didiknya. Mereka berjaya meyakinkan
Mahathir bahawa kononnya Anwar tidak lagi menganggapnya sebagai bapak yang
berjasa memberikannya segala kesempatan mendapatkan kekuasaan. Usaha-usaha
jahat itu pun mula membuahkan hasilnya.
Dalam konteks sedemikian itulah
terbitnya buku “Lima Puluh Dalil” mengapa Anwar tidak wajar dan tidak layak
menggantikan Mahathir. Mereka memberitahu Anwar bahawa buku tersebut tidak
mungkin terbit tanpa dukungan Mahathir sendiri. Akibatnya hubungan antara kedua
tokoh tersebut menjadi tegang dan dari hari ke hari semakin memburuk dan
terbuka hingga diketahui umum, pemimpin dan anggota parti.
Anwar sendiri tidak menduga
bahawa krisis tersebut akan sampai ke tahap penyingkirannya dari jawatannya.
Maksudnya, beliau tidak menyangka bahawa Mahathir akan bertindak sejauh itu.
Tetapi suasana politik dunia ketika itu telah berubah. Tahun-tahun 90’an adalah
era timbulnya keinginan untuk menekan para Islamis dan menghadang kebangkitan
Islam. Demikianlah, tiba-tiba kita dikejutkan dengan peristiwa September 1998
apabila Mahathir membuat keputusan bagaikan kudeta ketenteraan, iaitu dengan
memecat Anwar dari semua jawatannya dalam parti dan kerajaan.
Ketika itulah juga polis masuk ke
rumah yang didiami Anwar, iaitu rumah rasmi kerajaan untuk kediaman Timbalan
Perdana Menteri. Mereka memintanya dan keluarganya meninggalkan rumah tersebut
serta-merta kerana beliau tidak lagi menyandang sebarang jawatan rasmi. Ia
adalah kejadian yang mendadak dan keterlaluan. Anwar terpaksa membawa
keluarganya keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke rumah miliknya sendiri.
Setelah itu kerajaan melakukan pelbagai tindakan provokatif dan kejam secara
bertubi-tubi sehingga membangkitkan protes massa rakyat Malaysia, termasuk
ramai dari kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri. Mereka keluar
berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan seringkali berakhir di rumah kediaman
Anwar. Di sanalah Anwar, isterinya dan penyokong-penyokongnya menyambut para
demonstran dan berpidato kepada mereka.
Untuk menghadapi protes rakyat
tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan. Yang paling
menyedihkan adalah tindakan mahkamah yang tanpa henti berusaha
mengkriminalisasikan Anwar dengan bukti-bukti rekaan. Dari masa ke masa ada
sahaja kes mahkamah yang bermotif politik untuk menjerat Anwar yang semuanya
direkayasa dengan satu tujuan, iatu mensabitkan bahawa Anwar adalah seorang
pelaku seks luar tabii, dan kerananya tidak layak menggantikan Mahathir dan
tidak layak memimpin sebarang parti parti politik. Itulah yang terjadi sejak
1998.
Sekarang kita sudah berada pada
tahun 2015, namun kita masih lagi tak habis-habis dengan proses mahkamah yang
ada ketikanya menghukum dan pada ketika yang lain menyokong. Sayang sekali,
tahun-tahun yang memberikan kesempatan kepada rakyat Malaysia memanfaatkan
kebolehan dan pengalaman Anwar, khususnya untuk menangani pelbagai masalah di
rantau Asia Tenggara, telah disia-siakan dengan menyebokkan Anwar dan
menyebokkan diri mereka sendiri dengan kes-kes dan dakwaan-dakwaan karut dengan
segala pembuktian dan kesaksian yang aneh, lucu dan berubah-ubah. Yang harus
membayar harga segala karut-marut itu adalah Anwar dan rakyat Malaysia serta
pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti.
Sesungguhnya saya – sebagai
seorang yang sangat mencintai Malaysia dan rakyat Malaysia – terpegun dengan
isu ini, lalu saya bertanya kepada beberapa orang Malaysia, “Tidakkah anda malu
dengan tindakan dan perilaku buruk yang telah dilakukan ke atas seorang tokoh
yang seharusnya ketika ini sudah menjadi pemimpin paling berjaya di Asia
Tenggara dan pemimpin Melayu paling cemerlang?”. Ada seseorang yang menjawab,
“Semua pemimpin-pemimpin kami pernah masuk penjara. Anwar juga tidak
terkecuali. Beliau harus melalui masa-masa di penjara.”. Anwar telahpun
dipenjara selama enam tahun atas tuduhan dan tohmah yang serba karut. Kita
menyangka segalanya telah berakhir dengan pembebasannya. Tetapi rupa-rupanya para
penguasa hari ini telah membuka kembali isu lapuk tersebut dan menyebarkan
semula fitnah kotor dan jahat itu kerana sebab-sebab yang Allah sahaja yang
tahu.
Sesungguhnya Malaysia pernah
dianggap sebagai negara contoh dan model kejayaan, iaitu ketika negara ini di
bawah kepimpinan Mahathir-Anwar. Kedua-duanya memiliki kekuatan dan
keistimewaan sendiri-sendiri, yang seorang dengan pengalamannya, sementara yang
seorang lagi dengan dinamika kemudaannya. Tetapi kini, gandingan itu telah
dipecahkan oleh syaitan-syaitan manusia dan jin. Orang-orang Malaysia yang
banyak berbicara tentang sihir, ramai yang apabila berbicara tentang konflik
Mahathir-Anwar mengatakan bahawa mereka berdua terkena sihir hitam sehingga
mereka saling membenci. Sebenarnya mereka (rakyat Malaysia) tidak mempunyai
jawapan atau tafsiran yang meyakinkan tentang apa yang telah terjadi, selain
kekarutan khurafat tersebut.
Tidak malukah Malaysia dengan
keadaan terus-menerus dalam dongeng sihir hitam dan putih, dengan cerita
tududan palsu dan bukti rekaan, dan segala kekarutan lainnya itu?
Andainya saya seorang hakim di
Malaysia, pasti saya sudah berhenti dari perkhidmatan kehakiman, dan pasti saya
merasa terhina dan malu besar apabila disebut bahawa saya seorang hakim atau
pernah menjadi hakim. Memang demikianlah, kerana saya menyaksikan keadaan aib
dan memalukan itu berlanjutan selama tujuh belas tahun, orang-orang politik dan
hakim-hakim mahkamah sewenang-wenang memperlakukan isu ini sedemikian rupa.
Saya ingin berpesan kepada Anwar,
mohonlah pertolongan Tuhan dengan memperbanyakkan sabar dan sembahyang,
sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar. Dan saya ingin berkata kepada
Mahathir, takutlah kepada Allah, sesungguhnya jarak antara kamu dengan liang
kubur sudah tidak jauh. Umur kamu sudah melewati lapan puluhan. Ketahuilah
bahawa perbuatan mencemarkan maruah dan tuduhan-tuduhan yang berkaitan
dengannya, atas alasan apa pun, tidak akan dibiarkan oleh Allah menyentuh orang
yang bersih. Bahkan akibat dan balasannya adalah sengsara kehinaan di dunia dan
derita penyiksaan di akhirat. Marilah kita bertaqwa kepada Allah, dan sama-sama
mengangkat perjuangan kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada
tahap sekarang .
No comments:
Post a Comment