Friday, March 13, 2015

DR SIDDIQ FADZIL: IKTIBAR KISAH DAN SEJARAH



Kita berkongsi satu perasaan – perasaan kasih kepada Anwar Ibrahim.  Kita sedih dengan apa yang menimpanya kerana kita semua terasa terhutang kepadanya. Dia adalah seorang pemimpin paling berjasa untuk Islam terutama pada era 70án – 90án. Orang-orang lain datang terkemudiannya – latecomers. Dialah yang betul-betul mencipta sejarah kebangkitan Islam – sahwatul IslamiyyahIslamic resurgence. Dialah ikonnya.

Kita percaya kalau kita tanya diri kita sendiri, kita tidak akan menjadi seperti kita sekarang di dalam medan dakwah jika tidak kerana Anwar Ibrahim. Dialah tokoh yang berjasa dan berjaya merubah ribuan malah jutaan orang – berhijrah daripada kejahilan kepada Islam. Dia pula orang yang paling banyak diaibkan di dalam sejarah kita.

Sudah tiga kali dia dipenjarakan – 2 tahun di bawah ISA, tragedi 1998 selama 6 tahun dan sekarang 5 tahun pula. Ini membuatkan kita terfikir adakah tokoh lain yang didera dan diaibkan seperti ini?

Tetapi sebagai seorang Islam kita patut menyingkap peristiwa ini secara agama, secara Islamik.  Secara Islam, kita merasakan bahawa dalam kes seperti ini belum tentu siapa yang untung dan siapa yang rugi. Adakah mereka yang memusuhi Anwar yang beruntung atau sebaliknya?

Cerita-cerita mereka yang berusaha menuduh dan mereka giat menjelajah bagi menyebar fitnah dan qadhaf adalah dianggap kisah-kisah yang tidak pernah terjadi. Kita kini diserabutkan pemikiran dengan kisah-kisah yang tidak pernah terjadi. Malah ada yang asyik dan terlalu seronok menceritakan keaiban dan melanggar had qadhaf.

Keputusan politiklah yang telah menjatuhkan Anwar Ibrahim. Oleh itu perbahasan lain tidak ada sebenarnya. Neraca keadilan itu dipolitikkan. Hanya mereka yang terlalu bodoh tidak nampak kepada kepolitikan ini.

Mereka merasa telah menang dan beruntung dengan memenjarakan dan terus menerus menfitnah Anwar.

Surah al Nur mengingatkan kita tentang sewaktu Aisyah r.a. ditimpa fitnah, fitnah dahsyat. Fitnah seksual ke atas keluarga Rasulullah s.a.w. sendiri. Fitnah skandal besar dengan Safwan bin Muáttal.

Apabila musuh-musuh Islam marah dan berdendam, musuh-musuh ini menyerang dan menfitnah rumahtangga yang paling suci dan yang paling murni. Tetapi peristiwa yang berlaku itu disifatkan oleh Al Qur’an sebagai baik bagi orang beriman walaupun orang menyangka itu buruk bagi mereka. janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu.

Bayangkan betapa sakitnya fitnah yang menimpa Aisyah r.a. Turut terdera adalah suaminya Rasulullah s.a.w. dan bapanya Abu Bakr al Siddiq r.a.  dan kaum keluarga mereka serta betapa getir keadaan pada waktu itu. Bayangkan keadaan mereka sebelum turunnya ayat yang membersihkan Aisyah r.a. selama satu bulan lamanya.

Allah s.w.t. berfirman dalam ayat itu, "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)" (al Nur: 11)

Kita tetap optimistik. Mereka yang memusuhi itu mungkin berpesta tetapi pesta keruntuhan moral dan kerugian diri sendiri. Kita yakin bahawa yang rugi bukan Anwar, bukan keluarga Anwar dan bukan kita. Kita optimis dan kita tunggu akibatnya nanti.

Namun, yang membuat kita rasa hiba adalah peristiwa ini berlaku pada usia lanjut Anwar Ibrahim. Dia berumur 68 tahun, seorang tua yang dipenjarakan. Dia dipenjara dengan segala keterbatasannya dengan tiada kemudahan pun.

Sejak awal lagi, Anwar tidak menolak kemungkinannya dia akan ke penjara. Dia menyatakan secara mental dan spiritualnya dia lebih bersedia berbanding dahulu tetapi sekarang tubuh fizikalnya tidak seperti dahulu. Di Taiping, dia berumur 20án. Pada 1998, dia berumur 50án. Kini dia sudah 68 tahun.

Kita hormati dan terharu dengan keputusannya untuk tunggu dan berada di Malaysia. Ramai rakan-rakannya termasuk Erdogan dan Habibie menasihati supaya tidak kembali ke negara sebelum 10 Februari. Tetapi Anwar berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.” Inilah yang mengharukan rakan-rakan.

Pada peringkat awal lagi, rakan-rakan merayu supaya dia keluar negara dan sekiranya dia memilih berbuat demikian pun tidaklah aib. Semua orang hampir mengetahui akibatnya jika dia tidak keluar. Nabi Musa a.s. setelah kejadian memukul seorang Qibti dan mengetahui istana Firáun akan menghukumnya, keluar dari Mesir tanpa apa-apa persediaan. Dia meninggalkan Mesir serta merta. Tiada aibnya.

Tetapi Anwar Ibrahim memilih untuk kekal di sini dan inilah keberanian dan kejantanan berdepan dengan risiko perjuangan walauapapun di penghujungnya. Ini mengharukan kita.

Bagaimana kita menyikapi isu-isu besar ini? Sikapilah sebagai orang beragama, sebagai orang dakwah. Tidak ada pendirian lain selain daripada pendirian Islam. Surah al Nur itu memberikan pedoman petunjuk yang jelas dan nyata.

Sewaktu peristiwa fitnah al ‘ifk itu, ada di kalangan orang-orang Madinah yang bersembang-sembang, bergosip-gosip. Pada zaman Madinah itu pun ada dan ini telah di tegur oleh al Qurán –  “Zannal mu'minin wal mu'minaat bianfusihim khayra" (orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri) dan apabila sampai berita bohong itu hendaklah kita mengatakan" hadha ifkun mubin" (ini adalah tuduhan dusta yang nyata).

Kalaulah kita sendiri tidak tergamak untuk melakukan perbuatan terkutuk itu, Anwar pun tidak tergamak.

Perbualan suami isteri pada zaman Madinah menjadi teladan dan beginilah semestinya sikap kita:-

S: Adakah kamu percaya Safwan Bin Mu'attal melakukannya?
I: Tidak, aku tidak percaya kerana Safwan lebih baik daripada kamu!
S: Bagaimana pula Aisyah, adakah kamu percaya dia melakukannya?
I: Tidak, kerana aku yakin Aisyah lebih baik daripada aku.

Kita berkata, “Tidak percaya, tidak mungkin!”. “Kamu tergamak ke? Anwar lebih baik daripada aku. Aku pun tak tergamak.”

Fitnah seksual bukan sesuatu yang baru di dalam sejarah. Kenapa sasarannya di sini skandal seksual adalah kerana kekuatan Anwar Ibrahim yang diakui adalah kekuatan integriti moralnya.

Kecerdasan yang Anwar miliki, musuhnya boleh saja melawan dengan mengupah barisan para konsultan asing dan firma-firma luar yang  kontroversial. Anwar pula tidak perlu dilawan kekayaannya kerana dia memang tidak kaya. Anwar tidak pernah mengambil kesempatan mengaut laba atau harta padahal sewaktu dia berjawatan TPM memang banyak kesempatan.

Dia pernah di tanya kenapa dia pergi bersyarah mengajar ke universiti-universiti di Amerika Syarikat padahal waktu itu dia dikehendaki bagi merangka berstrategi untuk kemaraan politiknya. Dia menjawab dia tidak ada duit untuk diri dan saraan keluarganya, oleh itu dia perlu bekerja. Memang nampak sosoknya hebat tetapi itulah hakikat dirinya.

Oleh kerana dia bukan hartawan maka tidak ada guna bagi cubaan membankrapkannya. Anwar tidak ada empayar bisnes. Ramai rakan-rakan era Reformasi 1998 dirempuh dan dijatuhkan bisnes mereka, dihimpit dan ditekan hingga menyerah, berpaling atau melarikan diri ke luar negara.

Kekuatannya adalah pada kekuatan moralnya. Mereka tidak sanggup untuk melawannya dari segi moral. Maka terjadilah fitnah paling dahsyat dan paling aib. Sehingga lidah kita pun tak sanggup, tak terdaya, tak tergamam menyebutnya.

Marilah kita baca dan renungi se potong ayat surah al Ahzab : 69. Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. sendiri  diprotes oleh se golongan orang-orang yang tidak berpuashati dengan pembahagian harta rampasan perang. Sehingga ada yang membantah dengan menuduh Rasulullah s.a.w. tidak melakukan pembahagian dengan ridha Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. ingin memarahi tetapi baginda teringat ayat ini. Baginda tetap bersabar terhadap protes yang tidak sopan itu kerana Nabi Musa a.s. telah didera lebih parah daripada itu oleh kaumnya. Musa a.s. telah bersabar walaupun menghadapi tentangan yang lebih teruk.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (al Ahzab : 69)

Mereka yang menyakiti Musa a.s. adalah Qarun dan orang-orangnya. Qarun adalah daripada keluarga Musa a.s. Ada yang mengatakan sepupunya. Dia dari kampung yang sama. Qarun menjadi kroni Firáun dan dia sangat iri hati terhada Musa a.s. Dia benci kerana Musa a.s. lebih dihormati dan lebih berpengaruh dikalangan umatnya.

Lalu Qarun derhaka menzalimi dan menganiayai kaumnya. Qarun mengguna harta kekayaannya yang melimpah ruah bagi menghancur Musa a.s. Dia menyerang kekuatan peribadi moral Musa a.s. Musa seorang yang tidak kaya dan tidak mempunyai harta.

Qarun mengupah seorang wanita untuk mendakwa dia telah berzina dengan Musa a.s.  Maka tersebarlah berita itu. Bayangkan bagaimana perasaan Musa a.s. ketika itu. Betapa sakitnya seorang nabi difitnah dengan fitnah seksual. Dia bukan dituduh sebagai kroni, menyeleweng harta atau memperkayakan kerabatnya tetapi dia dituduh berzina.

Hamka berkata sejarah tidak akan berulang tetapi manusia di dalam sejarah sama sahaja. Qarun dulu, Qarun sekarang – manusia sama walaupun tindakan berlainan.

Kemuncak fitnah Qarun terhadap Musa a.s. adalah apabila Qarun menghimpunkan pengikutnya beramai-ramai. Mereka berhimpun bagi menunggu kemunculan wanita yang diupah itu membuat deklarasi umum bahawa dia telah berzina dengan Musa a.s. Itulah rencana Qarun. Bayangkan betapa perasaan Musa a.s. pada saat-saat seperti itu.

Lalu Allah swt membersihkan Musa a.s.  daripada fitnah yang mereka sebarkan. Wanita itu telah melafazkan kata-kata yang terkeluar daripada skrip jahat asal dan dia mengaku bahawa dia telah diupah oleh Qarun untuk menuduh Musa a.s. Allah swt telah membersihkan Musa a.s. “lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.” (al Ahzab : 69)

Oleh itu, kita berserah kepada Allah swt bagi membersihkan orang-orang bersih. Soal berapa lama dan bila, kita hanya mampu berserah dan ambillah iktibar kisah Musa a.s. dan Aisyah r.a.

Politik fitnah adalah politik keji dan bukan politik luhur. Kita perlu selamatkan umat daripada terjebak dalam kancah qadhaf dan kefasikan. Orang-orang agama, orang-orang dakwah tidak akan bercakap atau bersembang keaiban ini. Bagaimana boleh ada yang suka dan asyik menyebarkan aib dan fitnah ini?

Kalau ada yang masih terlibat fitnah qadhaf ini maka kesaksian mereka tidak boleh diterima selama—lamanya dan menurut setengah pendapat ulama’ walaupun setelah bertaubat. Mereka yang fasiq ini tidak layak digelar cikgu, guru atau profesor atau apa-apa gelaran ilmu.

Di dalam kita bersedih mengenang bencana ini, banyak pula yang semacam tidak takut dosa. Sehingga ada yang hendak ke Makkah bersumpah padahal berangkat ke Makkah adalah untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah bukan bersumpah. Itulah ajaran Islam dan tidak patut dinodai. Orang yang tidak takut menyalahi agama tidak takut dosa.

Orang yang ingin agar (berita) yang keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Ini baru keinginan saja. Bagi orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji itu tersebar bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat kerana Allah swt mengetahui sedang kita tidak mengetahui. (al nur 19)


Masih ada lagikah yang ingin menjelajah membawa aib dan fitnah?




No comments: