Tuesday, March 31, 2015

DR SIDDIQ FADIL: FITNAH SEKSUAL DALAM PENGKISAHAN QUR’ANI

DATO’ DR. SIDDIQ FADZIL

Pengajaran dari ayat-ayat Surah Yusuf
Dr. Siddiq Fadzil


Sesungguhnya pada kisah-kisah itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal. Al-Qur’an itu bukanlah cerita yang direka-reka, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan  menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. Surah Yusuf:111

“…Sejarah tidaklah mengulangi dirinya. Tetapi perangai manusia di segala zaman, baik dalam nama feudalisme, atau demokrasi, atau diktator adalah sama saja…” - HAMKA



(Surah Yusuf: 22 – 35)

22. Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

23. Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata; “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesunguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung.

24. Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

25. Dan keduanya berlomba-lomba menuju pintu dan wanita itu menarik baju gamis Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: ”Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

26. Yusuf berkata: ”Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”, dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: “Jika baju gamisnya koyak di hadapan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.

27. Dan jika baju gamisnya koyak di belakang maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar.”

28. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia, “Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu besar.”

29. “(Hai) Yusuf, berpalinglah dari ini, dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah.”

30. Dan wanita-wanita di kota itu berkata: “Isteri al-Aziz menggoda pembantunya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada pembantunya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata.”

31. Maka tatkala wanita itu mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakan bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya masing-masing mereka sebilah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkan dirimu) kepada mereka”. Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keindahan rupa)nya, dan mereka melukai (jari) tangan sendiri dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain adalah malaikat yang mulia.”

32. Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina.”

33. Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku
akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.”

34. Maka Tuhannya memperkenankan do`a Yusuf, dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

35. Kemudian timbul fikiran kepada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai suatu waktu.



Mukadimah

Kisah-kisah Qur’ani (al-qasas al-Qur’aniyyah) bukan karya lipur lara yang sarat dengan mitos dan legenda. Ia adalah peristiwa nyata berintikan pengajaran yang dalam bahasa al-Qur’an disebut `ibrah. Demikianlah yang namanya sejarah.

Peristiwanya telah berlalu, tetapi pengajarannya terus relevan sepanjang zaman. Mungkin ada kebenarannya pada kata-kata HAMKA di atas, bahawa sejarah boleh berulang dan boleh tidak, tetapi yang pasti perangai manusia tetap sama.

Zaman boleh berubah, cara hidup boleh beranjak, sistem pemerintahan boleh berganti, namun tabiat manusia tidak pernah berubah. Watak-watak manusia dalam sejarah silam akan terus menjelma dari masa ke masa dengan wajah dan nama yang berbeza. Watak-watak jahat dan bejat terus-menerus bermunculan mementaskan kisah lama yang dikemaskini. Kisah-kisah yang bertemakan kezaliman, pelanggaran hak asasi, pencemaran nama baik, pencabulan kehormatan diri, fitnah seksual dan yang sejenisnya, sebenarnya bukan suatu yang baru, tetapi telahpun terjadi berulang kali dalam sejarah. Hanya versi dan rinciannya sahaja yang berbeza-beza, sedang tema besarnya masih sama.

Sekadar contoh, pembicaraan kita kali ini akan menyorot beberapa kisah dalam al-Qur’an yang bertemakan pencemaran maruah orang-orang terhormat, korban konspirasi fitnah seksual. Yang paling jelas pengkisahannya dalam al-Qur’an ialah fitnah seksual yang dialami oleh Sayyidina Yusuf `a.s. sewaktu berada di kediaman al-`Aziz (menteri utama Mesir). Meskipun status rasminya masih seorang hamba, tetapi Yusuf `a.s. sangat disayangi oleh al-`Aziz dan keluarganya sehingga dianggap sebagai anak angkat dan dipercaya mengendalikan pelbagai urusan rumahtangga al-`Aziz. Ketika itu Yusuf `a.s. adalah seorang anak muda yang sedang mengalami pemekaran diri dan menyerlahkan segala daya pikat (fizikal, mental dan moral) yang mampu menarik perhatian siapa sahaja.
Al-Qur’an menyebut Allah s.w.t. mengurniakannya hukman wa `ilman (hikmah kearifan dan keilmuan) - Yusuf:22. Dengan kurnia tersebut Yusuf `a.s. mampu memahami segala sesuatu dengan tepat, dan mampu mengambil pelbagai langkah dan tindakan dengan cekap, kompeten dan bijaksana. Selain itu ciri yang cukup menyerlah ialah ketampanannya yang luar biasa. Dr Tareq al-Suwaidan menyebutnya sebagai “physical charm…notably very handsome.”, menepati kesaksian Rasulullah s.`a.w. yang menemui Yusuf `a.s. di langit ketiga dalam perjalanan mi`raj-nya, bahawa Yusuf `a.s. dikurniai separuh dari kecantikan segala makhluk. Maksudnya, seluruh makhluk berkongsi kecantikan yang hanya tinggal separuh, sedang separuh yang lain ditumpahkan sepenuhnya kepada Yusuf `a.s. seorang. Beliau juga dikatakan mewarisi kecantikan turun-temurun dari keluarganya yang berpangkal
dari neneknya Sarah, isteri Nabi Ibrahim `a.s. yang tercatat sebagai wanita tercantik selain Hawwa’, isteri Nabi Adam `a.s.

Daya pikatnya yang luar biasa itulah yang telah meluluhkan hati isteri majikannya (imra’at al-aziz) sehingga hilang kewarasannya lalu mencari pelbagai helah menggoda Yusuf `a.s. untuk melakukan perbuatan keji. (Yusuf:23.). Imra’at al-`aziz, pasti seorang wanita cantik, kerana lelaki sekelas al-`Aziz hanya mengahwini wanita cantik. Sudah bertahun-tahun ia menyimpan keinginannya dan pada hari itu keinginan tersebut memuncak tak terkawal lagi. Ia pun menghias dirinya secantik mungkin, lalu beraksi dengan menggunakan segala daya pesona kewanitaan yang dimilikinya. Segalanya telah disiapkan serapi-rapinya. Tempat, sudah cukup sesuai dan selesa, iaitu di rumahnya sendiri. Semua pintu telah ditutup rapat-rapat, tidak siapa pun yang akan melihat. Kemudian ia mulai memujuk dan merayu dengan kata-kata mesra dan suara manja seorang wanita sebagaimana yang tersirat dalam ungkapan Qur’ani, “hayta lak’. Lelaki mana pun tidak akan berdaya menolak rayuan seperti itu kecuali mereka yang dilindungi Allah. Demikianlah, dengan keteguhan imannya Yusuf `a.s. menolaknya - jelas dan tegas, lalu mendongak ke langit sambil berkata, “ma`adha ‘Llah, aku berlindung kepada Allah dari melakukan maksiat terkutuk. Aku tidak sanggup mengkhianati orang yang selama ini telah berbuat baik terhadapku.” Maksudnya, Yusuf `a.s.
tidak mungkin sanggup mengkhianati al-`Aziz yang telah berjasa memeliharanya bertahun-tahun, dengan berbuat curang dengan isterinya.

Menyedari bahaya yang sedang mengepungnya, Yusuf `a.s. meluru ke arah pintu untuk menyelamatkan diri, sementara wanita itu bingkas lari mengejarnya dan sempat mencapai baju Yusuf `a.s. hingga terkoyak bahagian belakangnya. Tepat ketika sampai di pintu, tiba-tiba mereka terserempak dengan al-`Aziz yang kebetulan sedang membukanya untuk masuk. Di tengah cemas kejutan itulah isteri al-`Aziz mendapat dalih rekaan mendadak dengan melemparkan tuduhan palsu, konon Yusuf `a.s. cuba berbuat jahat terhadapnya. (Yusuf:25). Dalam masa beberapa detik wanita itu telah bertindak melakukan fitnah dan kezaliman: menutup kesalahan diri sendiri, melemparkan tuduhan palsu dan sekaligus bertindak sebagai “hakim” yang menentukan hukuman (penjara atau siksa yang pedih ke atas Yusuf `a.s.). Sekelip mata, seorang penganiaya menjadi mangsa, seorang yang bersih menjadi tertuduh. Serta-merta seorang pelaku kejahatan berubah menjadi “pendakwa” dan sekaligus “hakim”. Sebagai orang yang memang tidak bersalah, Yusuf `a.s. spontan menolak tuduhan palsu itu, dan mengungkapkan hakikat sebenarnya, “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”.

Dalam kebingungan mencari kepastian, siapa benar dan siapa salah – yang seorang membuat tuduhan, sementara yang seorang lagi mendakwa sebaliknya, tampil saksi dari kerabat isteri al-`Aziz sendiri memberikan formula pembuktian: baju Yusuf `a.s. koyak di mana - sebelah depan atau belakang. Jika yang koyak di sebelah hadapan, bererti isteri al-`Aziz benar, ia melawan ketika cuba diceroboh. Tetapi jika yang koyak bahagian belakang, bererti Yusuf `a.s. benar, bahawa ia lari ketika digoda, lalu dikejar dan ditangkap dari belakang. Menurut Ibn `Abbas r.`a., saksi tersebut adalah seorang bayi, iaitu sepupu isteri al-`Aziz sendiri yang tiba-tiba petah berbicara, suatu mukjizat dari Allah s.w.t. Bagaimanapun sebahagian mufassirin lebih cenderung mengatakan bahawa saksi tersebut adalah seorang dewasa. Yang penting, sejak awal sudah terbukti Yusuf `a.s. tidak bersalah. Bajunya koyak di bahagian belakang, dengan kesaksian seorang anggota kerabat isteri al-`Aziz sendiri (wa shahida shahidun min ahliha). Tidak siapa pun dapat menolak kesaksian tersebut, sehingga al-`Aziz sendiri akur dan menerima hakikat bahawa isterinyalah yang sebenarnya bersalah.

Suatu yang mengejutkan dalam pengkisahan ini ialah sikap al-`Aziz yang tidak mengambil tindakan apa-apa terhadap isterinya yang jelas telah cuba mengkhianatinya selain sekadar berkata, “ini tipu-daya kamu, sesungguhnya tipudaya kamu hebat!. Kamu harus minta ampun, kerana kamu telah berbuat salah”. Kepada Yusuf `a.s. al-`Aziz memintanya agar menutup mulut, “rahsiakan kejadian ini, jangan beritahu sesiapa”.(Yusuf:28-29). Dengan hanya berkata demikian, tampaknya al-`Aziz mahu menutup rapat persoalan itu, dan meneruskan kehidupannya secara normal seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dalam rumah-tangganya. Begitukah keadaan keluarga kaum elit Mesir ketika itu? Tidak menganggap pengkhianatan seorang isteri terhadap suaminya sebagai suatu yang serius? Seorang suami sanggup bersikap dayus, semata-mata kerana ingin menutup kecurangan yang berlaku dalam rumah-tangganya.

Ternyata isu tersebut tidak mati di situ. Kisah isteri al-`aziz yang cuba menggoda pemuda pembantunya segera tersebar menjadi bahan pembicaraan masyarakat, terutama dalam kalangan isteri-isteri para pembesar negeri. Mereka rata-rata tidak dapat menerimanya. Perbuatan isteri al-`Aziz dianggap menjatuhkan martabat kebangsawanan kaum elit penguasa umumnya. Akhirnya perbualan para isteri pembesar itu sampai ke pengetahuan isteri al-`Aziz sendiri. Ia merasa sangat tertekan, dan tidak dapat menerima ejekan mereka. Ia ingin membuktikan kepada semua tentang daya pesona Yusuf `a.s. Untuk itu ia mengundang para isteri itu hadir ke pesta yang diadakan di rumahnya. Setelah semuanya berkumpul menghadap hidangan mewah, setiap orang diberikan sebilah pisau pemotong daging dan buah-buahan. Ketika itulah Yusuf `a.s. diperintahkan keluar melakukan sesuatu di ruang yang memungkinkan semua orang melihatnya. Semua mata tertumpu dan terpaku padanya, terpukau dan terpesona, lalu terjadilah peristiwa “terhiris tangan sendiri tanpa menyedarinya”. Semua terpegun kagum hingga tiada kata yang terucap selain, “hasha li ‘Llah, ma hadha basharan, in hadha illa malakun karim” (Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain adalah malaikat yang mulia). Kata malaikat yang dinisbahkan kepada Yusuf `a.s. pada ungkapan tersebut merujuk pengertian bahawa secantik-cantik makhluk adalah malaikat, dan seburuk-buruk makhluk adalah syaitan. Selain
itu ia juga memberi pengertian tentang akhlak mulia Yusuf `a.s. yang tidak memandang wanita-wanita cantik di sekitarnya, suatu yang dianggap menyimpang dari sifat manusia biasa.

Sekarang baru puas hati isteri al-`Aziz. Yang terpesona dengan ketampanan Yusuf `a.s. bukan dia seorang, tetapi semua wanita yang pernah melihatnya. Setelah yakin semua wanita tetamunya sudah sama-sama berkongsi rasa dan keinginan dengannya, hilanglah rasa malunya untuk mengaku bahawa memang benar dialah yang menggoda Yusuf `a.s. Ketika itu juga ia mendapat dukungan para isteri pembesar itu untuk berkonspirasi memaksa
Yusuf `a.s. tunduk kepada kemahuan mereka, atau kalau berdegil akan disumbatkan ke dalam penjara. Dalam konteks inilah terucapnya kata-kata tegas Yusuf `a.s., jika pilihannya cuma itu, beliau lebih rela memilih penjara. (Yusuf : 33.)

Sejak mula sudah terbukti bahawa Yusuf `a.s. tidak bersalah, dan semua orang juga tahu hakikat itu, termasuk al-`Aziz sendiri dan orang-orang di kelilingnya. Tetapi mereka tetap dengan keputusan memenjara dan menghina Yusuf `a.s. Demi memelihara citra palsu golongan elit penguasa, maruah seorang warga yang mulia dan terhormat harus dikorbankan. (Yusuf:35). Demikianlah yang selalu terjadi dalam pemerintahan law of the ruler, pihak yang berkuasa, benar tak benar, harus dibenarkan! Sebaliknya, rakyat yang dikuasai, salah tak salah, harus disalahkan! Pemenjaraan Yusuf `a.s. menyerlahkan suatu kenyataan: bahawa yang masuk penjara tidak semestinya orang jahat; bahkan mungkin sebaliknya, (seperti dalam kes Yusuf `a.s.) bahawa yang sebenarnya jahat ialah yang memenjarakannya.

Dr. Tareq al-Suwaidan menggambarkan peristiwa tragik menginjak-injak maruah nabi yang tak bersalah itu dengan ungkapan berikut:

They then decided to humiliate Yusuf `a.s. He was put on a donkey and paraded around the streets and markets of Egypt with the sound of beating drums. While parading him on a donkey, they would proclaim that he was the one who desired al-`Aziz’s lady and as such will be punished with imprisonment. This was their solution to save themselves from disrespect and shame. They just framed the innocent Yusuf `a.s. with the false announcements and subsequently put him away in prison. (Al-Suwaidan, T., 2012:180).

Dr. Rashid al-Barawiy menyimpulkan bahawa pemenjaraan Yusuf `a.s. adalah tindakan politik curang yang bermotif mengelirukan masyarakat umum:

• Pemenjaraannya akan membawa kesan bahawa anggapan umum Yusuf `a.s. tidak bersalah adalah tidak benar. Dialah sebenarnya yang menggoda isteri al-`Aziz. Dengan demikian mereka berharap dapat membersihkan nama isteri al-`Aziz di mata masyarakat walaupun dengan melakukan kezaliman terhadap orang tak bersalah.

• Pemenjaraan Yusuf `a.s. selama suatu jangka masa tertentu akan dapat mematikan isu tersebut, dan masyarakat akan melupakannya. Dengan demikian citra isteri yang cuba melakukan kecurangan itu akan menjadi bersih.

• Pemenjaraan Yusuf `a.s. akan dapat memenuhi nafsu balas dendam isteri al-`Aziz yang kecewa kerana keengganan Yusuf `a.s. melayani keinginannya.

Al-Barawiy melihat kezaliman seperti yang mereka lakukan ke atas Yusuf `a.s. itu telah seringkali berulang sepanjang babak-babak hitam dalam sejarah politik-sosial, juga sepanjang zaman pemerintahan rejim kekuasaan mutlak. Rakyat selalu dizalimi, dan apabila mereka memprotes dengan alasan dan bukti sekuat mana pun, pihak berkuasa tetap menolaknya, lalu mereka dihukum kerana protes mereka membuka pekong pemerintah. Tidak sedikit orang baik-baik yang tidak bersalah dipenjara dan didera, semata-mata untuk menyembunyikan jenayah dan kebobrokan pemerintahan. Kezaliman seperti itu banyak terjadi di Russia pada zaman Stalin, di German pada zaman Hitler, di Itali pada zaman pemerintahan Fasis, dan di negara-negara diktator lainnya. (Al-Barawiy, Rashid, 1978: 103-104).

Kesudahan kisah Yusuf `a.s. dan konspirasi fitnah seksual sebagaimana yang telah diungkapkan di atas memberikan kita keyakinan bahawa Allah s.w.t. tidak akan membiarkan orang mukmin yang bersih dimangsakan oleh para konspirator. Untuk beberapa waktu, dan dalam batas tertentu mungkin objektif konspirasi itu tampak seakan berhasil. Tetapi konspirasi jahat itu terbongkar juga sudahnya, dan nama. Yusuf `a.s. kembali bersih.

Selama tujuh tahun Yusuf `a.s. dipenjara, akhirnya raja memerintahkan pembebasannya kerana negara memerlukan khidmatnya. Pada saat akan dibebaskan itulah Yusuf `a.s. membuat tuntutan pembersihan namanya. Ia tidak mahu keluar penjara tanpa maruahnya dipulihkan. Untuk itu Yusuf `a.s. menuntut semua yang terlibat dalam konspirasi fitnah seksual itu membuat pengakuan bahawa beliau tidak bersalah. Raja memberikan perkenan, dan Yusuf `a.s melangkah meninggalkan penjara dengan kepala tegak sebagai manusia bermaruah, berdigniti dan berintegriti. Mengenai kesudahan fitnah seksual dan pemenjaraan Yusuf `a.s. itu, Harun Yahya mengatakan, “Allah reveals in the Qur’an that He will bring to naught the conspiracies that have been plotted against the believers, and that they will be proven right after having been wrongly accused. With Allah’s help, believers will be exonerated of all guilt.” (Harun Yahya, 2004:40).

Keyakinan seperti yang diungkapkannya itu didasarkan pada ayat al- Ahzab, 69:

(Surah al-Ahzab: 69) Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakana. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.



Musa `a.s. dan Fitnah Seksual

Ayat al-Ahzab di atas menyebut bahawa Nabi Musa `a.s. pernah disakiti hatinya oleh pihak tertentu, lalu kemudiannya Allah membersihkannya dari kata-kata (tuduhan palsu) yang menyakitkan itu. Al- Qur’an memang tidak menyebut tuduhan apa yang telah mereka lemparkan kepada Musa `a.s. Yang disebut hanya isyarat kata-kata tuduhan terhadap perilaku Musa `a.s. Tetapi para mufassirin, termasuk al-Maraghiy dan Wahbah al-Zuhayliy menyebut riwayat yang mencatatkan bahawa antara yang menyakitkan hati Musa `a.s. adalah fitnah seksual.

Ternyata manusia sesuci nabi pun tidak terkecuali dari menjadi sasaran fitnah keji konspirator. Dalang utama fitnah seksual terhadap Musa `a.s. adalah Qarun, jutawan Bani Isra’il yang bernafsu besar untuk menjadi raja kaumnya. Jutawan kroni Fir`aun itu masih tidak puas dengan mimiliki harta yang tak terhitung banyaknya itu. Harta sahaja tidak cukup kalau tanpa kuasa. Kerana itu ia berusaha mendapat kuasa, dan untuk itu ia harus menyingkirkan Musa `a.s. dari kepimpinan kaum Bani Isra’il. Tetapi ternyata ia tidak mudah kerana Musa `a.s. adalah nabi yang memiliki kekuatan peribadi dan integriti moral yang unggul.

Bagaimanapun Qarun tidak berputus asa. Dalam perkiraannya, duit adalah penentu dalam persaingan apa pun, duit adalah segala-gala, apa pun dan siapa pun dapat dibeli. Penyokong boleh dibeli dengan duit, demikian juga kekuatan moral lawannya juga dapat dihancurkan dengan kuasa duit. Qarun tahu kekuatan Musa `a.s. terletak pada integriti moralnya. Kerana itu untuk menumbangkannya, kekuatan moralnya itulah yang harus dihancurkan. Cara yang banyak dipakai untuk tujuan itu tidak lain adalah fitnah – mencemarkan imej, meruntuhkan kredibiliti dan character assassination. Kempen memburuk-burukkan Musa `a.s. pun dilaksanakan dengan mesej yang terfokus pada tuduhan bahawa Musa `a.s. adalah seorang hipokrit (rajul mura’), pura-pura alim, tetapi hakikatnya manusia bejat bertopeng agama.

Kemuncak politik kotor Qarun ialah seperti yang disebut oleh al-Maraghiy, “Menurut sebuah riwayat, Qarun pernah menyuruh seorang pelacur mendekati Nabi Musa `a.s., kemudian Qarun pun menuduh Nabi Musa `a.s. berbuat serong dengan pelacur tersebut.”. (Al-Maraghiy, A.M., 2001:5524). Jelas ini adalah konspirasi Qarun dan pendukung-pendukungnya. Merekalah yang membayar perempuan lacur itu agar membuat pengakuan palsu konon Musa `a.s. telah berzina dengannya. Rencananya sudah diatur demikian rapi. Orang ramai akan dikumpulkan di tempat yang strategik, dan di sanalah nanti perempuan itu
akan membuat kenyataan terbuka tentang “jenayah seksual” Musa `a.s. Sudah terbayang dalam khayalan Qarun, setelah perempuan itu membuat pengakuan tersebut, pengikut-pengikut Musa `a.s. pasti akan lari meninggalkannya. Dengan itu terbukalah jalan untuk Qarun mengambil tempat sebagai pemimpin besar Bani Isra’il. Kiranya dapat dibayangkan betapa sakitnya hati seorang nabi dituduh melakukan perbuatan sekeji itu, dan betapa cemas perasaannya sepanjang saat-saat penantian pengumuman oleh pelacur upahan itu.

Tetapi Tuhan Maha Berkuasa membela hamba-Nya yang tak bersalah. Seperti yang dinukilkan oleh al-Barawiy, apabila Qarun melemparkan tuduhan palsu kepada Musa `a.s. dan menampilkan perempuan upahan itu di pentas umum, Musa `a.s. menyoal perempuan tersebut apakah benar seperti yang dikatakan oleh Qarun dan orang-orangnya itu?. Ketika menjawab soalan Musa `a.s., perempuan tersebut tidak berbicara mengikut skrip yang telah disedikan, sebaliknya membuat pengakuan berbeza, “Tidak! Mereka berbohong. Sebenarnya mereka telah mengupah saya agar menuduh anda berzina dengan saya.” (Al-Barawiy, Rashid, 1978:121). Apabila Tuhan menghendaki, apa pun boleh terjadi. Yang pasti, Tuhan tidak membiarkan orang bersih dilumuri noda.

Soal bila dan bagaimana, itu urusan Tuhan. Mengulas fitnah seksual tersebut, al-Barawiy mengatakan bahawa konspirasi keji ala- Qarun itu bukan suatu yang jarang terjadi dalam sejarah. Tidak sedikit para penguasa diktator yang menghadapi lawannya dengan fitnah pencemaran nama dan maruah. Demikian juga tentang adanya manusia lemah yang sanggup menjual diri untuk diperalat menganiaya orang tak berdosa. Tetapi tidak pula mustahil orang seperti itu tiba-tiba insaf, damir atau hati kecilnya tersedar dari kesilapannya.



`Aishah r.`a. dan Hadith al-Ifk

Fitnah seksual tampaknya memang menjadi pilihan utama golongan desperado, iaitu mereka yang merasa terdesak, lalu nekad melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan undang-undang atau etika budaya dan agama. Kaum munafiqin di Madinah adalah contoh paling tepat golongan yang memusuhi Nabi s.`a.w. tetapi tidak berdaya menghadapinya secara jantan, lalu menggunakan taktik curang dan kotor, termasuk pencemaran maruah dan kehormatan rumah-tangga Rasulullah s.`a.w. Demikianlah yang terjadi dalam peristiwa fitnah besar Hadith al-Ifk sebagaimana yang terungkap dalam surah al-Nur ayat 11 – 21:

 (Surah an-Nur: 11 – 21)

11. Sesungguhnya orang-orang yang datang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu.  Tiap-tiap seorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

12. Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.

13. Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita
bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah di sisi Allah orang-orang yang dusta.

14. Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

15. (Ingatlah) pada waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Pada hal dia pada sisi Allah adalah besar.

16. Dan mengapa kamu tidak berkata, pada waktu mendengar berita bohong itu: “sekali-kali tidaklah wajar bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

17. Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman.

18. dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

20. Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar).

21. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang munkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan munkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


Kejadian sebenar yang dieksploitasi oleh kelompok konspirator al-Ifk itu pada hakikatnya adalah peristiwa terbuka yang sama sekali tidak mencurigakan. Sewaktu kembali dari peperangan Bani al-Mustaliq, seorang sahabiy, Safwan ibn al-Mu`attal r.`a. menuntun unta yang membawa hudaj (sekedup) tertutup, yang di dalamnya Sayyidatina `Aishah r.`a. berada. Ia berlaku di tengah benderang siang dan disaksikan oleh para sahabat dan bala tentera Muslimin lainnya. Tetapi kejadian itulah yang dieksploitasi oleh konspirator munafiqin dengan mencipta fitnah seksual, konon mereka (`Aishah r.`a. dan Safwan ibn al-Mu`attal) telah melakukan perbuatan terkutuk.

Fitnah jahat itu segera tersebar dan menjadi bahan percakapan sebahagian warga Madinah. Selama masa yang agak panjang keluarga Rasulullah s.`a.w. dan keluarga Abu Bakr al-Siddiq r.`a. mengalami keadaan resah dan murung kerana dipermalukan sedemikian rupa. Sayyidatina `Aishah r.`a. sendiri merasa begitu terdera sehingga jatuh sakit akibat fitnah yang sangat mengaibkan itu. Ummu ‘l-mu’minin yang bersih dan mulia itu tidak dapat berbuat apa-apa selain mengadu langsung kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala-gala, dengan menyebut ayat yang diucapkan oleh Sayyidina Ya`qub `a.s., “…fasabrun jamil wa ‘Llahu ‘l-musta`an `ala ma tasifun” (…maka kesabaran yang baik itulah. Dan hanya Allah sahajalah tempat memohon pertolongan atas apa yang kamu ceritakan. - Yusuf:18).

Keadaan demikian berlarutan dari hari ke hari, dari minggu ke minggu hinggalah Allah menurunkan surah al- Nur (ayat 11-21) yang membersihkan `Aishah dari fitnah tersebut. Para pelaku fitnah - Mistah, Hassan ibn Thabit dan Hamnah binti Jahsh - masing-masing menerima hukuman sebat menurut ketetapan hukum (hadd). Biang keladinya adalah kepala munafiqin, Abdullah ibn Ubay ibn Salul. Tetapi al-Qur’an menyebut `usbatun minkum, (sekumpulan daripada kamu) kerana pada zahirnya kumpulan munafiqin adalah bahagian daripada kaum Muslimin.

Peristiwa itu memang pahit dan menyakitkan, tetapi awal-awal lagi Allah menegaskan bahawa hakikatnya ia baik bagi umat Muslimin (bal huwa khayrun lakum). Ertinya, pada akhirnya nanti yang rugi sebenarnya bukan yang difitnah, tetapi yang memfitnah. Setiap orang yang terlibat dalam konspirasi jahat menerima pembalasan masing-masing mengikut besar kecilnya peranan yang dimainkan. Sementara itu dalang perancangnya akan ditimpa siksa yang dahsyat.

Ayat-ayat al-Nur seterusnya memberikan petunjuk bagaimana seharusnya kaum Muslimin menyikapi fitnah seksual seperti itu. Mereka seharusnya bersangka baik terhadap sesama Muslimin-Muslimat. Ketika mendengar fitnah karut itu seharusnya segera dijawab, “tidak mungkin!” kerana dia adalah orang beriman. Siapa pun yang mendakwa atau membawa berita fitnah seperti itu, kalau tidak dengan empat saksi, ia adalah pembohong di sisi Allah. Empat saksi adalah harga mati, dan tidak boleh ditawar-tawar lagi. Siapa pun dia di sisi manusia, kegagalan membawa empat saksi menjadikan dia pembohong di sisi Allah.

Menyebar fitnah seksual adalah kesalahan besar yang sebenarnya mewajarkan penimpaan azab yang dahsyat dari Tuhan. Hanya kurnia belas rahmat Allah yang menjadi penyelamat. Kerana itu jangan mudah menerima gosip liar yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Jangan fikir perbuatan menyebar dan memanjang-manjangkan fitnah seperti itu suatu yang remeh, soal kecil, biasa, tidak apa-apa. Harus disedari bahawa di sisi Allah ia adalah kesalahan besar yang membawa akibat buruk.

Seharusnya, ketika mendengar fitnah jahat itu orang mukmin spontan menolaknya dengan berkata, “Tidak sewajarnya dan tidak selayaknya kami, orang beriman, berbicara tentang isu itu kerana ia adalah suatu pembohongan besar”. Kepada mereka yang terlibat dalam penyebaran fitnah seksual Hadith al-Ifk, Tuhan memberikan amaran, jangan ulangi perbuatan itu selamalamanya. Ini bukan soal kecil, tetapi persoalan iman (in kuntum mu’minin). Betapa besarnya kemurkaan Allah terhadap penyebar fitnah seksual dapat dirasakan dari amaran kerasnya sesiapa yang menginginkan tersebarnya berita tentang perbuatan keji (al-fahishah) tersebut akan ditimpa azab yang pedih, di dunia dan akhirat.

Ayat 19 surah al-Nur menyebut mereka yang baru menyimpan keinginan (yuhibbuna) tersebarnya berita keji, belum yang telah melakukannya, balasan azab pedihnya dua kali, di dunia dan di akhirat. Mungkin kita tidak tahu atau tidak nampak, tetapi yang pasti Tuhan tahu mereka yang menyimpan keinginan jahat itu, dan tahu siapa yang terdera dalam derita.



Khatimah

Maruah adalah suatu yang suci dan hormati. Islam - hukum-hakam dan maqasidnya – membawa misi melindungi al-ird - maruah, martabat dan kehormatan diri manusia. Kerana itu pembuktian jenayah seksual harus memenuhi syarat-syarat yang begitu ketat. Justeru, semangat hukum Islam memang untuk melindungi maruah. Andainya pembuktian perbuatan keji itu boleh dilakukan dengan mudah, maka akibatnya nanti semua orang akan terdedah kepada fitnah seksual. Orang sebaik mana pun, sewaktu-waktu boleh tercemar maruahnya akibat fitnah yang pembuktiannya sangat mudah. Sudahnya, tidak siapa pun boleh merasa selamat.







Senarai Bacaan

Al-Barawiy, Rashid. 1978. al-Qasas al-Qur’aniy: Tafsir Ijtima`iy. Kaherah:Dar al- Nahdah al-
`Arabiyyah.
Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa. 2001. Tafsir al-Maraghiy (terj. Muhammad Thalib), jil.11. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Al-Misriy, Mahmud. 2008. Yusuf al-Ahlam.Kaherah; Maktabah al-Safa.
Al-Suwaidan, Tareq. 2012. Stories of the Prophets in al-Qur’an. Batu Caves: Olive Minds.
Al-Zuhayliy, Wahbah. 1998. Al-Qissah al-Qur’aniyyah: Hidayatun wa Bayan. Dimashq: Dar
al-Khayr.
`Amr Khalid. 2003. Yusuf `a.s. Makkah: Areeg li al-Nashr wa al-Tawzi`.
Harun Yahya. 2004. The School of Yusuf `a.s. New Delhi: Millat Book Centre.



KDH: 25032015.


No comments: