Tahap dendam kesumat telah
dijulang ke suatu aras yang cukup merbahaya, tertegak di atas falasi
reka-rekaan, desakan melampau dan cercaan jahat. Kesemuanya hasil daripada pungutan
dan picisan kemarahan yang dibikin-bikin dan hasutan yang menggila. Bekas-bekas
rakan yang telah berpaling tadah memuntahkan kata-kata nista mengutuk Anwar
Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa Melayu. Tidak cukup dengan itu tanpa hujah
yang kukuh, mereka terus menerus mencalar dan menghina kehormatannya,
menuduhnya tamak haloba dan kemaruk untuk berjawatan perdana menteri, serta menjual
dirinya menjadi agen Yahudi.
Memang kita telah mendengar
mantera fanatik begini sebelum ini dan kita akan terus mendengarnya berulangkali
kerana musuh ketatnya berpakat dan bergabung bersama dalam suatu himpunan
durjana. Para pemimpin negara sendiri tanpa merasa segan silu serta adab,
mengungkapkan bahan dan nada yang sama. Begitulah lazimnya perlakuan
pembantaian Anwar dalam suatu orkestra yang muncungnya menjerit menyembur
luahan keji dan diputar semacam sawan oleh media. Bagaikan hingar bingar parti
politik yang dirasuk kebejatan. Kini dilaksanakan pula dalam cara yang penuh
ekstrim dan merbahaya.
Berikut bidalan menarik dipetik
dari pemblog yang menamakannya bahaya sang saka bangsa:-
Itulah bagi orang-orang fasik yang inginkan sangat dipanah halilintar,
mereka suka sangat bersumpah dan sering mencabar susunan serta ketenteraman
peradaban masyarakat. Mereka gemar memecahkan suasana aman damai dan harmoni.
Mereka kata mereka hanya ingin membawa kebaikan untuk agama, bangsa dan negara.
Dentuman hujan batu tidaklah menerjah bumi yang mereka pijak namun fitnah yang
dijaja memberanakkan lagi fasad dan mungkar yang berjela-jela.
Segala mambang dan jembalang dijelmakan dengan hantu-hantu raya lama
dibela melalui akhbar-akhbar saka berbisa. Pontianak dan langsuyar diupah dan
dihantar merata-rata memaki hamun dan mencarut tanpa batas dan hilang hormat
diri. Maka segala macam santau dan peleset dikirim melalui utusan pena-pena
penulis berpuaka yang memberitakan secara harian. Gerombolan keris mengamuk
menggila. Katanya apabila bulan purnama mengambang, lagi meraung kumpulan
pemuja ini.
Akibatnya jenuh jiwa dan semangat Melayu dilanyak dan diasak dengan
tahyul dan mitos cerita buniyan. Orang Melayu dibuai halimunan dan
ditakutkan-takutkan dengan jaruman halus dan tikaman tajam untuk mencurigai
jiran, meninggalkan kawan, mengkhianati sahabat, memporak peranda agama,
melanggar pantang larang muhibbah dan meninggalkan kebijaksanaan akal.
Fitnah jahat menjadi-jadi bermaharajalela sebagai mentera untuk
menghapuskan musuh politik dan memperdayakan umat. Pawang dan bomoh memuntahkan
lagi jampi dendam kesumat. Dukun sesat muncul di kalangan pemimpin yang
sepatutnya lebih waras dan berilmiah. Alangkah bisa racun ditanam di dalam
dada-dada siaran dan kaca-kaca TV. Pengacara media dan askar maya meludahkan
santau dan kahak jangkitan pembohongan. Para agamawan rasmi yang mungkin kurang
cermat melepaskan tangan, menyimpan diam dan membiarkan poyang dan syaman
menabur upas dan menyesatkan lagi masyarakat.
Kaca, miang buluh dan jarum dicucuk sehingga menjerit kesakitan batang
tubuh negara yang ingin bebas dan terlepas daripada rasukan histeria penguasa
gila kuasa yang melepaskan gerombolan penyebar naba' fasik - berita jahat.
Sihir gila dinamakan propaganda lebih dahsyat daripada ilmu hitam segenap nusa.
Katanya ada sang penunggu tua mahawangsa di sebuah menara yang merancang dan
mengatur kejahatan ini semua.
Tiada yang terselamat dari sentuhan khurafat dan usaha toyol-toyol
merosakkan dan mengelabui umat dengan tuduhan kesat dan tayangan lucah. Tidak
cukup dengan itu, Cina dan Nasrani pun dituduh secara merasuk dan meracau.
Maka si fasik masih bersumpah merasa senang hati tiada disambar petir
dan kilat. Hanya umat merana kerana alah bisa yang tak berubat hinggalah akhir
padahnya.
Siapalah yang akan menjunjung panduan kebenaran dan membawa ayat-ayat
syifa bagi penawar memulihkan keruntuhan jatidiri bangsa dan menyelamatkan
negara?
Segolongan pembawa naba’ fasik
ini terdiri daripada bekas-bekas sahabat, penyokong dan teman seperjuangan Anwar
samada sewaktu kegemilangan parti lama, atau rakan-rakan yang pernah bersama di
dalam pakatan baru, ataupun kawan-kawan zaman aktivisme, belia serta pergerakan
pelajar serta masyarakat sivil. Tiba-tiba mereka berubah menjadi seteru yang nyata
dan mereka berikrar untuk mengabadikan permusuhan mereka. Mereka sangat
bernasib baik kerana tidak melalui mehnah dan tribulasi yang dialami bekas
sahabat yang mereka kecam disebabkan kesetiaan mereka rapuh, mereka gementar
mendengar ancaman dan seboleh-bolehnya mereka mahu lari menyelamatkan diri
sendiri walauapapun terjadi. Sebenarnya, jika mereka jujur dengan diri sendiri,
merekalah yang telah mengkhianati sahabat mereka. Bukan sahaja Anwar dijatuhkan
malah dia seolah-olah dipaksa merangkak di dalam lorang sehingga tidak ramai
yang percaya Anwar boleh kembali semula membebaskan diri daripada lohong gelap
yang cukup dahsyat ini.
Siapa menyangka bahawa kawan
menjadi lawan. Mereka bertindak menikam belakangnya, berulang-ulang kali.
Kenapa mereka sungguh bersemangat dan berapi-api menawarkan diri masing-masing seolah-olah
seperti anjing-anjing suruhan yang mahu membaham dan menyiat-yiatkan sosok tubuh Anwar Ibrahim walaupun dia
telahpun dihukum dan dijatuhkan dalam acara Fitnah 2? Adakah mereka telah
hilang segala bentuk perasaan belas kasihan, sifat kemanusiaan, kemuliaan dan kehormatan?
Kenapalah mereka menyambut dan meraikan musibah yang menimpa Anwar dan pemenjaraannya yang ketiga? Bagaimana
mereka tidor di waktu malam, merenung dan melayani jiwa serta pemikiran penuh
hasad dan khianat? Adakah ini sahaja kerja buat mereka sebagai mata pencarian
dan saraan hidup kaum keluarga mereka? Mereka pasti akan menginsafi dan menebus
segala kelakuan serta tindak tanduk mereka samada mereka suka ataupun tidak,
atau mereka akan terbenam di dalam keaiban buat selama-lamanya.
Pada September 1998, di rumah
lama Anwar Ibrahim di Damansara beberapa hari selepas pemecatannya, Sheikh Taha
Jabir Alwani daripada IIIT telah menyampaikan tadhkirah ringkas sesudah salat
jamaah maghrib. Sheikh Taha menghuraikan
tafsir beberapa potong ayat surah An Nur berkenaan peristiwa hadithat al ifk, fitnah besar yang telah
melanda masyarakat Madinah khususnya keluarga Rasululllah s.a.w. Sheikh Taha
mengingatkan semua yang hadir di rumah itu bahawa barangsiapa yang terlibat serta
mereka yang bersubahat di dalam penyebaran fitnah itu akan jatuh fasiq dan kepercayaan
serta kesaksian mereka ditolak buat selama-lamanya – abada. Ramai daripada
kalangan rakan-rakan pendokong kuat Anwar ketika itu yang kini berpaling tadah dan bersubahat
telah hadir di pertemuan itu. Tetapi mereka telah terlupa agaknya. Amat malang
sekali.
Sebagaimana dinukilkan oleh
seorang pemblog – Anwar kini adalah pemimpin Malaysia yang paling berbakat di
kalangan generasinya dan dia telah berjaya menyatupadukan sebuah pakatan
politik alternatif berhadapan dengan pelbagai aral melintang serta serangan musuh
yang terus menerus berdendam.
No comments:
Post a Comment