Kemaraan dan penglibatan Anwar
Ibrahim sebagai ahli politik tersohor di dalam kerajaan Malaysia terhenti
secara mendadak pada 1998 apabila dia dipecat daripada semua jawatan-jawatan
yang disandangnya. Setelah Anwar menganjurkan protes reformasi terbesar di
dalam sejarah negara, rumahnya diserbu, dia ditahan dalam jel tanpa ikatjamin,
digari, diikat penutup mata dan dia dipukul oleh Ketua Polis Negara waktu
itu.
Pada ketika itu apabila dia menjadi
mangsa keganasan polis, ramai tersilap menyangkakan bahawa dia telah mati. Gambarnya
yang terkenal menunjukkan matanya yang lebam dipukul menjadi simbol
penganiayaannya seantero dunia dan pukulan itu meninggalkan kesan kepada
badannya menyebabkan kecederaan belakangnya memerlukan pemakaian bres pengukuh
sepanjang masa.
Walaupun mengalami kecederaan
serious dan layanan yang keras, Anwar Ibrahim seorang yang pemaaf. Dia tidak
mengharapkan pihak berkuasa memohon maaf dan dia tidak bercadang untuk menyaman
kerajaan. “Bolehkah Hitler disaman?” dia
bertanya.
Anwar pembantu rapat bekas
perdana menteri Mahathir Muhammad dan dikatakan menjadi bakal penggantinya.
Anwar berdepan dengan keluarga Mahathir apabila dia cuba menangani gejala
rasuah, sehingga dia ditangkap serta disabitan kesalahan pada tuduhan kali
pertama. Dia dianggap sebagai tahanan
nurani - prisoner of conscience oleh
Amnesty International sebanyak dua kali pada pemenjaraan pertama dan pemenjaraannya
yang terkini, dan Anwar menerima sokongan luas daripada seluruh dunia membantah
pemenjaraannya.
Anwar telah dibicarakan dan
disabit kesalahan rasuah berkaitan kesalahan seksual yang penuh kesangsian pada
1999. Kemudiannya dia disabitkan dan dipenjarakan atas salahlaku seksual yang
akhirnya setelah melalui proses rayuan yang berjela, Anwar didapati tidak
bersalah dan dibebaskan. Peristiwa itu adalah di antara episod paling memalukan
dan mengarut yang berlaku di mahkamah apabila sebuah tilam yang comot yang
dibawa mundar mandir dan kononnya dipamerkan sebagai “bukti kukuh”. Media rasmi
dan saluran berita utama bermaharajalela menfitnah dan menghina Anwar Ibrahim.
Pada 2008 adegan memualkan ini diulangi lagi.
Perbicaraan-perbicaraan pertama
dikendalikan sewaktu pergeseran pertembungan politik, serta pertikaian tajam di
antara Mahathir and Anwar Ibrahim tentang langkah-langkah kewangan dan ekonomi
yang dilaksanakan sedang negara menghadapi krisis ekonomi merudum dan tuduhan
sengit mengenai kronisme di peringkat tertinggi negara. 6 tahun kemudian,
pengganti Dr. Mahathir’, Abdullah Ahmad Badawi, membebaskan Anwar menyebabkan
kegusaran Mahathir. Anwar terus menjadi pemimpin pakatan pembangkang
sehinggalah dipenjarakan buat kali kedua atas dakwaan yang juga dianggap
sangsi. Mahathir tidak pernah memaafkan
Abdullah Badawi kerana memberikan ruang yang mengizinkan Anwar dibebaskan.
Orang yang berkesempatan bersua
dengan Anwar Ibrahim akan menyedari dia mempunyai deria lucu yang kuat dan
keberanian teguh yakin bahawa dia tidak bersalah, dan rasa humor serta
keyakinan teguh inilah yang membantunya mengharungi 6 tahun kurungan penjara berseorangan
pada pertama kali.
Apabila bercakap tentang masanya
di penjara, Anwar menceritakan kesusahan dan sengsaranya apabila kehilangan
orang tersayangnya dan kematian mereka yang paling rapat dengannya. Bagi
mengharungi waktu yang sulit itu, dia bergantung gigih kepada al Qur’an,
membaca kitab-kitab agama Islam, solat dan doa. Dia memenuhi masanya dengan
menelaah dan menyelami buku-buku. Dia menekuni sastera kelasik, bukan hanya
sumber Islamik tetapi juga teks Bible dan Kung Fu Tze. Dia membaca dan membaca Shakespeare.
Dia menyentuh khusus tentang King Lear, dengan
mengatakan, “… King Lear di penjara
bersama Cordelia. Dia keluar dengan lebih bijaksana dan lebih menyepi. Apabila
aku keluar, aku telah maafkan semua yang berlalu, marilah kita maju ke hadapan.”
Kebanyakan pandangan dan
pemikiran politik Anwar berlegar sekeliling peranan ajaran agama tentang
keamanan, kerohanian dan kemaafan. “Saya
seorang Muslim yang mengamal Islam,” katanya, “dan saya fikir belas kasihan adalah sebahagian ajaran agama.” Bagi Anwar
Ibrahim, kasih sayang bermakna meletakan
penekanan dan menitikberatkan kesamaan semua di Malaysia, bukan hanya untuk
orang Islam tetapi semua rakyat daripada berbilang agama dan kepercayaan.
Menurutnya, “Setelah setengah abad
merdeka, kita tidak mahu Melayu miskin dipinggirkan atau Cina didiskriminasi
atau India diabaikan.” Dia kata pendiriannya tentang isu demikian tidak
menjadikannya “pro-sekular” tetapi
menjadikannya “pro keadilan dan kebebasan”.
Anwar bercakap tentang serangan
tidak sudah-sudah Mahathir walaupun
dalam senja usia tuanya tanpa menunjukkan sebarang penyesalan atau insaf, “Apabila
saya dibebaskan saya berkata saya akan memaafkan tetapi saya tidak akan
melupakan (kezaliman yang diperlakukan ke atas saya dan keluarga). Kemudian Dr
Mahathir terus melemparkan tuduhan tidak berasas ke atas peribadi saya. Saya
mempunyai hak sebagai seorang insan bagi mempertahankan maruah dan kehormatan
saya. Ini bukan sahaja bagi membersihkan nama saya bahkan bagi menjaga nama
baik saya melawan serangan jahat ini.”
Bercakap tentang hubungannya
dengan Mahathir dan samada nasibnya boleh berubah jika dia mengambil pilihan
lain, Anwar menjelaskan, “Orang bertanya
saya bagaimana saya melihat Mahathir sekarang, dan saya mengambil masa 20 minit
bercakap tentang betapa bagusnya semasa bersama dengannya. Mereka pun hairan, “Tidak, tolonglah bercakap
dengan serious..” Saya jawab, “Betul,
saya serious!” Itulah sesuatu yang hebat. Betul, adakalanya saya marah, saya
lawan hujahnya, saya sanggah dengan tegas, dalam beberapa perkara saya jelek
dengan kepura-puraannya, kezaliman ketara, tetapi saya tidak akan menafikan
sumbangan positifnya. Tetapi pemusnahan institusi-institusi
kerajaan, itu tidak boleh dimaafkan. Secara peribadi, saya OK, saya telah
beralih, tetapi kehakiman, media, pasukan polis, parlimen, semuanya direndahkan
hingga menjadi tidak bererti.”
(Tentang samada dia boleh
mengambil pilihan berlainan pada ketika itu) “Oh, saya telah memikirkan lama tentang ini. Anda mesti ingat, saya di
dalam penjara, jadi apa yang saya buat? Merenung, membaca dan berfikir. Dan
menyanyi, dan saya banyak menyanyi juga. Kita akan merenung kembali, memang
sebelum itu kami saling berbaik-baik, dia berbuat baik kepada saya dan saya
amatlah baik dan setia kepadanya. Sudah tentu pada masa itu sukar dan getir
tetapi saya fikir saya tidak mempunyai pilihan di saat-saat penghujungnya.
Sebenarnya, saya telah memberitahu kawan-kawan saya yang kritikal bahawa saya
telah bebaskan diri saya daripadanya. Walauapapun, kami berdua sebahagian
daripada kerajaan pada masa itu. Ada keputusan-keputusan yang pahit, tetapi
kita perlu membataskan garisan pemisah.”
“Perkara seperti ‘bailouts’, hal seperti laporan-laporan rasuah
terhadap menteri-menteri di atas meja saya, dan saya diharapkan dan dijangkakan
agar mengatakan, “jangan buat apa-apa”… kita mesti bangkitkan ini! Tetapi ada
orang kata saya berkompromi, malah sekarang pun ada kawan-kawan yang mengatakan
demikian. Tetapi itu bererti saya melanggar had batasnya. Bila dan jika saya
ambil alih, bagaimana saya hendak rasionalkan dengan rakyat terhadap apa yang
telah berlaku? Jika dilakukan oleh perdana menteri, saya tidak boleh buat
apa-apa. Tetapi jika ia direstui oleh saya, saya akan hadapi masalah. Adakah
saya menyesalinya? Tidak. Adakah ia
sukar? Ya. Adakah saya mempunyai pilihan lain? Tidak, kecuali bersara awal atau
mati sebagai pejuang.”
Apabila ditanya berkenaan buku
yang ditulisnya Nahdah Asia - “Asian
Renaissance”, Anwar menjawab, “Buku
ini menjadi bahan perbalahan kerana pihak yang rapat dengan Mahathir menyangkakan
kami sudah berpisah haluan. Kedua, idea paksi pemberdayaan ekonomi adalah
kritikal, tetapi ia bukan segala-galanya, itulah sebabnya saya bercakap tentang
nahdah, pemberdayaan budaya, saya bercakap tentang kebebasan, dan keadilan. Dan
saya berpendapat ada kesilapan pada mahaguru-mahaguru ekonomi pada waktu itu:
preskripsi-preskripsi Bank Dunia, IMF tentang keajaiban ekonomi Asia Timur, dan
sebagainya. Mereka tidak bercakap tentang jurang perbedaan kaya miskin, orang
yang terpinggir, orang miskin, samada badan kehakiman bebas ataupun tidak, atau
adakah media bebas. Pada mereka ‘keajaiban itu’ adalah daripada segi tanggapan cetek
ekonomi dan kuasa. Saya berpegang teguh kepada tesis yang saya bentang dalam
buku berkenaan. Itulah sebabnya saya guna istilah ‘nahdah’.
Namun ini suatu cabaran. Sekali kita merubah menjadi demokrasi yang segar
bugar secara relatifnya, kita telah membenarkan ruang kebebasan. Dan kebebasan
itu adalah kemestian untuk percambahan idea. Itu, pada saya, adalah sangat
kritikal apabila kita bercakap tentang pemberdayaan ekonomi atau budaya.
Ini sedang berlaku dengan lebih jaya di Indonesia and Filipina kerana
mereka lebih demokratik. Walaubagaimanapun, saya tidak mahu menafikan bahawa Indonesia,
juga, menghadapi masalah besar kerana korupsi endemik dan peminggiran. Jika isu
tadbir urus tidak diselesaikan, orang akan curiga, apa sahaja dasar-dasar,
betapa rasional atau baik, akan sentiasa diragui. Adakah polisi-polisi itu bertujuan
memperkayakan kroni-kroni atau ia memang
yang betul-betul keperluan penting kepada rakyat? Percaya itu mustahak.”
Tentang kejayaan politik
terbaiknya sehingga kini, Anwar berkata, “Perjalanannya
jauh lagi. Kita tunggu dan lihat. Ada orang kata kejayaan bermakna kita
mendapat jawatan. Itu tidak betul.
Kejayaan adalah apabila kita berjaya menyampaikan apa yang dijanjikan.
Ia bukan apabila kita meraih jawatan. Itulah saya fikir hikmah kerana
telah berada di bawah dan ditindas. Dan itulah pada saya yang memastikan kita waras
dan penuh tawadu’. Saya fikir itulah penting. Orang merasakan menjadi perdana
menteri itulah matlamat akhir, tetapi saya tidak fikir begitu.
Saya rasa kita patut dinilai dan diadili. Dan apabila kita mampu menunaikan
janji setelah mendapat jawatan, dan berpegang teguh kepada idea-idea kita, itu,
pada saya, suatu cabaran yang lebih besar daripada mengolah idealisme semasa
tiada autoriti atau kuasa. Apabila kita berkuasa, kita berdepan dengan realpolitik,
dengan permainan kuasa, dengan kuasa-kuasa yang besar, dengan taukeh-taukeh.
Bagaimana jika mereka berikan cincin bernilai 10 juta dollar, apa kita hendak
buat?”
Apabila ditanya bagaimana dia
hendak menangani taukeh-taukeh demikian dan mengekalkan idealismenya, Anwar menerangkan,
“Saya seorang yang beriman; Saya seorang
Muslim yang mengamalkan agama. Pada masa yang sama, saya membesar dengan baik,
terima kasih kepada ibu dan ayah saya. Saya bersyukur kepada ibu dan ayah,
mereka idealistik, arwah ibu dan ayah. Ibu
saya bukan berpendidikan Inggeris tetapi dia seorang yang gemar membaca. Dia membaca hampir kesemua novel Melayu dan
Indonesia pada zaman itu, keseluruhan koleksi buku-buku Balai Pustaka. Dan bapa
saya, kami ada kompedium-kompendium kecil buku-buku, dari Gandhi ke Lao Tzu hingga
Confucius, dan itu yang menarik. Bagi sebuah keluarga Muslim di kampung, dengan
sebuah perpustakaan kecil, kami memilikinya. Oleh itu kita membiasakan diri kita. Saya
pergi ke kelas Qur’an, dan saya ikut Nabi s.a.w., sebagai seorang intelektual,
kita tidak lihat agama semata-mata sebagai dogma tetapi kita melibatserta.
Roger Garaudy seorang ahli falsafah ternama, bermula hidup sebagai
seorang Kristian di Perancis, kemudian menganut Islam. Apa yang dikatakan
olehnya amat menarik, tidak seperti biasa seorang yang baru muallaf. Dia
berkata, “Saya bernasib baik, saya membesar sebagai seorang Kristian, dan
disitulah saya pelajari kasih sayang dan toleransi. Kemudian, saya menjadi
seorang Komunis, dan saya punya empati kuat dan mengasihi golongan miskin dan
tertindas. Kemudian, saya menganut Islam dan saya menjadi lebih universal.” Oleh
itu hanya kerana dia kini Muslim, kehidupannya yang lalu tidak lagi relevan?
Tidak, masa lalunya adalah dirinya.
Itulah apa yang disebut oleh Amartya Sen. Dalam bukunya “Identity and
Violence”, dia berkata, “Saya seorang India, saya menghafal Sanskrit pada umur
9 tahun dan ia suatu yang membanggakan, saya seorang Hindu dan saya rasa tamaddun
kita hebat, tetapi oleh kerana saya di India, saya rasa Mogul Muslim telah
memerintah dengan baik dan mengkagumkan. Tetapi saya kemudian menjadi profesor
di Cambridge, di Harvard. Saya rasa ini institusi hebat dan saya suka berada sini
di Amerika, dan walaupun saya dilahirkan dan membesar di Santiniketan, saya mengkagumi
Shakespeare. Oleh itu, siapakah saya?” Dan itulah yang cantik. Saya selalu
gunakan idea ini. Dan apabila kita membacanya dan memahaminya dan kita lihat
pula mereka yang bercakap tentang ketuanan Melayu, demi Tuhan, mereka tidak
tahu apa-apa pun.”
Tentang kenapa dia didakwa dengan
tunduhan yang cukup mengaibkan, Anwar berkata, “Mereka tidak dapat mencalitkan saya dengan rasuah atau salahlaku
jenayah jadi akhirnya mereka memilih sodomi – kerana ini akan menimbulkan
kebencian orang Melayu di desa. Lagipun, ia lebih mudah, tiada bukti diperlukan
untuk mensabitkan saya, hanya cuma terima aduan pengadu.”
Anwar membawa perihal (jenayah
fitnah, Qadhaf) kepada mahkamah
shariah, dengan menerangkan, “Saya bawa
perkara ini kerana mereka (penuduh) menggunakan Islam dan mereka mahu memaksa
saya bersumpah dengan menggunakan al Qur’an dan ini pada saya suatu penghinaan.
Saya seorang Muslim yang mengamalkan Islam dan adalah suatu penghinaan kepada
al Qur’an jika perbuatan jenayah dikendali hanya dengan bersumpah di atas kitab
suci. Anda rogol orang dan anda bersumpah demi Qur’an dan anda terlepas? Apa
ertinya ini? Adakah ini yang Islam mengajar kita? Saya telah merujuk kepada
semua autoriti-autoriti agama dan mereka berkata tidak (kepada bersumpah), mereka
berkata pilihannya hanyalah merujuk kepada mahkamah shariah. Itulah sebab saya
buat keputusan membawanya ke situ tetapi mereka (penuduh) pula yang takut.”
Tuduhan sodomi yang digunakan
bagi mengganggunya dianggap oleh orang luar negara sebagai pertuduhan biasa kelaziman
di Malaysia, dan Anwar menjelaskan
dengan tuntas, “Tidak, saya seorang
sahaja yang didakwa begini. Ini suatu phobia yang direka khas terhadap saya,
semacam ‘xenophobia’ kebencian ditanam. Kita lihat media pada waktu perdana TV—-
sayalah mengancam keselamatan, sayalah anti Melayu, mereka tuduh saya pergi
India dan kecam Malaysia. Pernah saya meminta Menteri Penerangan (semasa di
luar dewan parlimen), “Bolehkah kamu berikan saya cuti seminggu?” Dia tidak
faham, lalu dia bertanya, “Kamu hendak pergi mana?” Dia asyik bertanya dan
bertanya – akhirnya saya berkata, “Hentikan tentang Anwar dalam siaran
rangkaian TV kamu.” Media dikuasai oleh UMNO, tiada kebebasan. Media asing
telah melayani saya dengan baik. Amnesty dan Human Rights Watch berperanan besar
dalam membangkitkan isu ini.
Orang yang paling rasuah akan menyokong undang-undang mencegah rasuah. Itu
sebab kita mesti mengukur perubahan daripada reform sebenar dan pelaksanaan
sebenar reform, bukan pengumuman-pengumuman. Jika saya orang kaya, saya boleh
bayar 22 juta dollar US melantik konsultan PR antarabangsa yang dilantik oleh Sani
Abacha dan lain-lain – oleh itu sememangnya mereka akan berikan (Perdana
Menteri Malaysia) nasihat baik - tetapi bolehkah kita memandai-mandai saja dan
menerima pandangan mereka? Adakah rasuah telah dibasmikan? Adakah media bebas? Adakah
kehakiman bebas?
Saya pernah ditangkap, dimasukkan ke lokap duduk di atas lantai simen
selama satu malam dan kemudian dibebaskan, tanpa apa-apa sebab – kecuali untuk
menganiayai saya - mereka boleh saja
mengarahkan saya ke balai polis untuk memberikan keterangan. Tetapi yang baiknya saya memiliki tawadu’
sekarang – semangat lebih kental bagi memperjuangkan keadilan – kalaulah saya,
seorang yang dunia kenali boleh dilayani sebegini, bagaimana pula orang lain,
mereka yang kurnag bernasib baik?”
Kemaafan adalah sesuatu yang
penting dalam kehidupan Anwar Ibrahim, dan ia telah memainkan peranan yang
konsisten dalam urusannya dengan mereka yang telah menganiayainya. Satu contoh
yang diberikan adalah isu yang timbul pada 2008 apabila Menteri Luar waktu itu
menuduh Anwar sebagai agen Amerika. Dakwaan itu dianggap amat serious, dan
Anwar terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah. Enam tahun kemudian, apabila
kedua-dua bertemu di mahkamah, bekas menteri luar yang menuduh Anwar sebagai
agen Amerika berkata bahawa isu itu telah lama berlalu, dan mendesak supaya kes
ini dilupakan dan semua orang boleh beralih ke laman baru. Anwar bersetuju,
tetapi meletakkan syarat jika kes ini ingin dilucutkan, bekas menteri luar itu
perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf di khalayak ramai. Bekas
menteri luar enggan, dengan mengatakkan dia tidak mahu lakukannya di depan
khalayak ramai tetapi sanggup melakukannya di dalam kamar hakim agar kenyataan
maafnya diterbitkan pada dokumen mahkamah sahaja. Paling mengejutkan kepada
keluarga dan sahabat handainya yang hadir, Anwar Ibrahim bersetuju, kes
dilucutkan dan dia menerima permohonan maaf bekas menteri itu. Kaum keluarga
dan kawan-kawannya marah dan keliru tetapi katanya, “… kemudian mereka memahami dan menerima. Mereka berkata al Qur’an sangat
jelas, dan memaafkan itu lebih baik.” Begitulah, kedua-dua agama dan kemaafan
memainkan peranan penting di dalam cara Anwar membuat keputusan.
Beralih ke hadapan, Anwar Ibrahim
percaya keadilan mesti konsisten, dan
kasih sayang, belas kasihan dan kemaafan itulah yang kita patut fokuskan. “Jika kita tunjuk kasih sayang, belas
kasihan, dan kemaafan kepada mereka di sekeliling kita di dunia, yang ada di
langit akan menyirami kasih sayang dan rahmat ke atas kita,” kata Anwar. (Borislava Manojlovic 2015, The Love
& Forgiveness Project, Seton Hall
University)
Tentang keluarga dan sahabat
handainya, Anwar berkata, “Isteri saya
telah bersama menyokong saya selama ini. Dia hanya menjadi aktif berpolitik
selepas saya ditahan tetapi anak saya memang dalam politik. Orang dalam kerajaan pernah bertanya kepada
isteri saya --"Kenapa kamu masih bersama suami kamu? Kenapa tidak tuntut
cerai?.... Bolehkah ini berlaku di tempat lain di dunia ini? Inilah keadaan
politik longkang di Malaysia – menghina maruah insan dan mereka menggelarkan
diri pengamal Islam sederhana. Saya dapat bertahan melalui membaca, berdhikr,
bersabar dan berkeyakinan bahawa pada akhirnya nanti kita akan berjaya. Peranan
keluarga, isteri saya Azizah dan anak-anak cukup luar biasa. Orang ramai
mendoakan saya – sokongan terhadap saya amat menakjubkan.”
(disunting daripada koleksi media
luar sekitar 2010)
No comments:
Post a Comment