Wednesday, October 12, 2016

PERGINYA SEORANG MURABBI: Ustaz Abd Majid Zainal Abidin



Al marhum Ustaz Abd Majid Zainal Abidin seorang datuk, ayah dan suami yang penyayang dan penyantun beserta keluarga besarnya yang sejahtera. Ustaz Abd Majid adalah seorang murabbi, naqib, pemimpin dan guru. Di Sekolah Menengah Agama al Mashoor Lelaki, dia terkenal sebagai guru yang mendekati, mesra dengan pelajar-pelajarnya. Dia menyapa mereka dengan memanggil, ‘’anak-anak’’ seolah-olah seorang bapa melayani anaknya.

Ustaz Abd Majid adalah diantara pengasas ABIM Cawangan Pulau Pinang pada Julai 1973. Rumahnya No 20 Lorong Indah Dua, Taman Brown menjadi alamat rasmi pertubuhan ABIM sehinggalah terdirinya markaz kekal dengan terbina bangunan ABIM Negeri di Sg Gelugor.  Dia bersama-sama sahabat-sahabat karib al marhum Cikgu Othman Omar dan al marhum Cikgu Musni memulihkan dan mengimarahkan kembali Masjid An Nur di Jalan Pinta Tali yang menjadi tapak program-program ABIM. Di antara pusat-pusat kegiatan ABIM pada masa itu adalah Madrasah al Masriyah Bukit Mertajam, Surau Pantai Jerejak dan Madrasah ad Diniah Sg Bakap.

Ustaz Abd Majid tabah beristiqamah dengan ABIM menggiatkan dakwah dan islah, mendidik, membina, membimbing ahli, mentarbiyah, memandu hala tuju, meluruskan saf, memelihara kesatuan dan menangani ancaman. Banyak ahli senior yang kekal di atas landasan perjuangan berkat usaha tarbiyah dan didikan Ustaz Abd Majid serta sentuhan hatinya. Sikapnya terbuka menerima cetusan pelbagai idea kreatif demi menyampaikan dakwah dan risalah dengan pendekatan bil hikmah, kebijaksanaan, bil hal,  model contoh teladan, bil lisan, dengan ucapan yg bernas dan anjuran kesederhanaan berprinsip sebagai rahmat kepada semua.

Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan di rumah Ustaz Abd Majid. Rumahnya juga menjadi tuan rumah, tempat akad nikah bersejarah pasangan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah yang didaftarkan oleh Qadhi Pulau Pinang waktu itu, Ustaz Harussani Zakaria. Ustaz Abd Majid amat akrab dengan Anwar Ibrahim menghormatinya sebagai pemimpin gerakan dan mengasihinya selaku sahabat seangkatan perjuangan. Dia pernah menceritakan tentang ketangkasan Anwar berpidato dengan mengatakan, “Anwar datang ke program ABIM di Pulau Pinang dan meminta Ustaz berikan poin-poin isi ucapan. Ana pun berikan dan Anwar cuma catat dengan menulis ke atas tapak tangannya. Tetapi apabila dia berceramah semacam dia telah menghadam setiap butir yang diberikan.”

Tanda hormat dan keakraban Anwar pula dengan Ustaz dapat dilihat semasa dia menghadiri program rasmi sewaktu Anwar sudahpun menjadi menteri kerajaan. Apabila Anwar melihat kehadiran Ustaz Abd Majid, dia terus mengapit Ustaz lalu membawanya  duduk bersebelahan dengannya tanpa menghiraukan protokol.

Ustaz Abd Majid dilantik menjadi Yang di Pertua ABIM apabila Ust Mohd Yusuf Latiff mengundur diri jawatannya kerana mengikuti jejak langkah Anwar Ibrahim memasuki parti politik pemerintah. Ustaz Abd Majid memimpin ABIM sewaktu gelora melanda gerakan akibat tindakan politik berkenaan yang di luar jangkaan ahli dan pendokong ABIM termasuk mengejutkan ahli politik serta pemerhati-pemerhati politik. Asakan daripada pesaing-pesaing yang tidak sihat juga semakin kuat giat menghasut dan cuba meleraikan keyakinan ahli kepada gerakan. Dia terpaksa mengharungi zaman yang getir itu demi meneruskan perjuangan, mengukuhkan gerakan dan mentarbiyahkan ahli serta memastikan pendekatan teras ABIM dakwah dan tarbiyah tetap berjalan.

Apabila ditanya kenapa keadaan begitu gawat semasa Anwar menyertai parti politik pemerintah, Ust Abd Majid menjawab, “Ahli dan ada pimpinan kurang memahami siyasah syar’iyyah dan syura’’.

Ustaz Abd Majid gigih mengajar dan program yang dirasakan paling berimpak tinggi adalah Usrah Umum ABIM di Masjid Sg Gelugor. Ustaz akan mengajar kuliah di masjid selepas solat maghrib. Selepas solat Isya, dia bergerak ke sudut masjid untuk memulakan usrah umum. Usrah ini mendapat sambutan baik sehingga ada toko mengadakan jualan buku. Kupasan tafsir Fi Zilal Qur’an karya Sayyid Qutb oleh Ustaz Abd Majid sungguh bernas dan mendalam. Dia menunjukkan kefahaman, penguasaan bahasa dan menyampaikan dengan penuh penghayatan kitab itu. Bagi peserta usrah pengalaman ini amat menyentuh hati dan sungguh bermakna. Ini diikuti dengan ulasan buku-buku harakah seperti Al-Rasul Salla Allah `Alayhi wa Sallim karya Sa’id Hawwa dan Abjadiyat Gerakan Islam.

Bagi usrah-usrah unit yang dikendalikannya sebagai naqib, dia memberikan tugasan kepada ahli-ahli untuk membuat pembentangan dan Ustaz Abd Majid akan bertindak sebagai moderator yang merumuskan agar capai kefahaman dan menyusun rangka tindakan.

Ustaz Abd Majid tidak berkesempatan melanjutkan pengajiannya ke luar negara atas sebab-sebab tertentu namun keilmuannya diakui dan disanjung baik oleh semua pihak.

Ustaz Abd Majid seorang yang komitted, berdisiplin tinggi, menjaga masa, sentiasa menepati waktu program, tidak lambat dan benar-benar menghayati pengajaran surah al ‘asr.  Dia mengatur dan mengarah. Dia mengenalpasti bakat dan memberi pengarahan-pengarahan serta tugasan-tugasan tertentu agar dilaksanakan sekaligus mengangkat posisi ahli-ahli ABIM,  dilatih dan dibimbing untuk mengurus dan memimpin program dakwah. Dia sangat tegas berpendirian dan tidak bertolak ansur dengan sebarang ancaman kepada ABIM.

Pada waktu pelbagai pihak meragui dan mempersoalkan pendirian dan kedudukan ABIM, ada di kalangan pengkritik ABIM gemar menggunakan beberapa istilah-istilah Arab dengan mempertikaikan ‘wasilah, uslub, manhaj, syurut, turuq’ termasuk  ‘syar’ie atau tidak syar’ie’ seumpamanya. Pada satu program usrah gabungan, Ustaz Abd Majid menegur dengan mengingatkan semua agar tidak membuat kritikan sembarangan hanya dengan memetik beberapa patah perkataan Arab tanpa mengetahui atau memahami bahasanya. Ia amatlah tidak wajar kerana itu semua hanya menunjukkan kedangkalan ilmu dan kelemahan kefahaman. Ilmu yang mantap dan kefahaman yang tepat mesti mendasari dakwah dan harakah.

Ustaz Abd Majid mengajarkan Islam yang sahih dan dia sentiasa menganjurkan kesederhanaan dalam penyampaiannya. Pada tahun 80’an telah muncul pemuda-pemuda Islam yang lantang dan bersemangat gariskeras serta gemar menghukum. Mereka pernah bertanya kepada Ustaz samada Malaysia adalah negara Islam. Ustaz Abd Majid menjawab secara kilasan, “Kalau bukan negara Islam, kita hendak duduk di mana?” Soalan hukum daging yang disembelih oleh orang parti pemerintah juga ditanya lalu dijawab secara seloroh oleh Ustaz, “Saya makan (daging itu)’’. Ustaz pernah memimpin usrah nuqaba’ parti politik sebelum ini kerana kewibawaan ilmunya.

Apabila gerakan memilih pendekatan ‘tawaquf’ dan  ‘dominasi ummah’ bagi menghadapi senario politik pada 1990, Ust Abd Majid tegas mendokong dan mempertahankan keputusan ini berhadapan dengan tentangan. Dia mampu menangani risiko dan krisis yang timbul.

Di celah-celah keseriousannya, terdapat ketika  dia berseloroh dengan rakan-rakan seangkatannya seperti al marhum Ustaz Niamat Yusuf dan juga al marhum Ustaz Sheikh Azmi yang petah berbahasa Arab. Tentang bahasa Inggeris, dia menyebut, “Kalau ana sebut dengan betul pun, orang yang mendengar akan gelak ketawa”. Pada suatu acara riadah di tamrin kepimpinan, untuk senaman bergilir gerakan badan mengangkat teman,  Ustaz Abd Majid dipasangkan dengan Ustaz Siddiq Fadzil yang lantas memprotes kerana saiz badan Ustaz Abd Majid menyebabkan hadirin tidak kering gusi ketawa.

Di bawah kepimpinan Ustaz Abd Majid, di sebalik kegawatan pola pemikiran dan polemik berharakah, program-program bermakna dilaksanakan oleh ABIM. TASKI – Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan dan berkembang ke setiap daerah dan merupakan model-model pertama prasekolah Islam. Usrah dan tamrin berkembang dengan penambahan unit-unit baru. Program dakwah, wanita dan pembangunan belia dilaksanakan melalui hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi dan jabatan. Simposium Siswazah Muda Islam diadakan dengan kerjasama USM serta institusi lain. Program Islamic Outreach-ABIM yang dipelopori oleh al marhum Dr Zaini Hamzah di peringkat pusat disambut oleh Hj Mohamed Talhah Idrus bersama rakan-rakan Usrah Unit Pantai Jerejak beserta sahabat-sahabat lain dimulakan, merupakan pendekatan baru serta unik dalam menerangkan Islam dan memberikan kefahaman kepada Non Muslim waktu itu. Hubungan Ustaz Abd Majid dengan beberapa orang pendokong perintis IOA semasa bersama di PERKIM telah dimanfaatkan. Program kemanusiaan antarabangsa dengan kempen Pemulihan Afghanistan diadakan pada 1989 dengan acara kemuncak di Masjid Negeri yang dihadiri ribuan memenuhi semua ruang masjid yang jarang-jarang sekali dapat dicapai di Masjid Negeri Pulau Pinang. Ustaz Abd Majid dan Ust Wan Salim bersama berada di mesin taip menaip teks khutbah skrip Jawi yang diminta oleh Jabatan Agama Islam bagi penyebaran ke masjid-masjid bagi menyokong kempen itu. Pada masa itu, masih ramai khatib-khatib memilih teks Jawi untuk membaca khutbah. Kempen membantu dan menyelamatkan rakyat Bosnia Herzegovina yang teraniaya dan dizalimi Serbia serta tidak diendah Eropah pada awal 90'an juga mendapat sambutan dan sokongan luar biasa rakyat Pulau Pinang.

Rakan karibnya dan sabahat seperjuangan almarhum Cikgu Othman Omar telah mewakafkan se keping tanah di Sg Gelugor kepada ABIM dan di bawah kepimpinan Ustaz Abd Majid bangunan tiga tingkat markaz pertamanya dibina dan disiapkan melalui kutipan derma ahli dan simpatisan ABIM. Hasil waqaf tokoh ABIM beserta sumbangan ahli dan orang ramai maka tercapailah hasrat cita-cita memiliki markaz sendiri.

Apabila Ustaz Dr Wan Salim kembali daripada UK setelah menyiapkan PhD, pimpinan pusat masih mengekalkan Ustaz Abd Majid sebagai YDP walaupun dia telah lama berhasrat untuk mengundur diri. Akhirnya tiba masa kepimpinan beralih kepada Ustaz Dr Wan Salim dan satu majlis perpisahan penuh gemilang untuk Ustaz Abd Majid diadakan di atas feri yang disewa khas mengelilingi perairan sekitar Jambatan Pulau Pinang dengan sambutan kehadiran ramai.

Setelah bersara daripada perkhidmatan pendidikan, Ustaz Abd Majid telah balik ke kampung halaman asalnya di Trong untuk menjadi mudir madrasah di situ dan meneruskan menyampaikan pengajian di Perak. Dia telah mendapat pengiktirafan dan dilantik sebagai ahli Majlis Agama Islam Perak serta dikurniakan anugerah kebesaran membawa kepada gelaran Dato’ oleh SPB Sultan Perak. Ust Abd Majid telah mengalami serangan angin ahmar tetapi berjaya dengan penuh semangat mengatasi penyakit itu dan terus bergiat mendidik dan menyampaikan pengajian.

Pada 2011, Cikgu Mustafa Shafie telah mengaturkan Multaqa Masyayikh di Madrasah Ad Diniah bersama rakan-rakan lain bagi memenuhi hasrat dan hajat Ustaz Abd Majid untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seangkatan. Cikgu Mustafa mengalu-alukan kedatangan dengan menyatakan bahawa Madrasah Ad Diniah tapak dan pengkalan pembangunan pendidikan SERI dan SEMI. Madrasah ini juga warisan dan waqaf pejuang agama yang setia dan kekal sentiasa menjadi pusat dakwah dan markaz gerakan ABIM bagi meneruskan kebangkitan dan pengisian kesedaran Islam.

Pada majlis itu Ustaz Abd Majid Zainal Abidin telah berucap, “Kita berasa teramat yakin bahawa perjuangan kita bertunjangkan keikhlasan pada Allah swt. Sebab itulah kita boleh istiqamah dengan perjuangan. ABIM berusaha sebagai gerakan Islam untuk ummah, menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., menegakkan cita-cita Islamiyyah demi mencapai keridhaanNya. Kita menimba ilmu, memantapkan iman, memperbaiki amal, gerakerja berjamaah, membentuk kesabaran, istiqamah dalam perjuangan. Memang tribulasi bermacam-macam tetapi kita masih yakin dengan perjuangan. Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan. Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud (mantan pimpinan ABIM Pulau Pinang) - telah berwasiat kepada isterinya berbunyi ...... ‘kalau aku mati - talipon Ustaz Majid’........ itulah antara sahabat sehati sejiwa dengan perjuangan, gerakan dan Islam. Sahabat dunia dan akhirat.”


Semoga Allah swt merahmati ruh al marhum dan menempatkannya bersama para salihin. Ameen.


No comments: