Ucapan Dasar Muktamar Sanawi Kali Ke-45 ABIM
Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan Khayra Ummah
Mohamad Raimi Ab. Rahim
Presiden ABIM
Yang Dihormati Profesor Dato’ Dr.
Mohammad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan
Yang Dikasihi Dato’ Profesor Dr. Siddiq
Fadzil,
Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan
Umat Malaysia
Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam
Ab.Rahman,
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berusaha Saudara Muhammad Khair
Sujud,
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar
Islam Malaysia
Yang dimuliakan tetamu-tetamu kehormat,
Ahli-ahli Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Ahli-ahli Majlis Perundingan Kebangsaan
ABIM (MPKA),
Teman-teman seperjuangan; Saf Pimpinan
dan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM peringkat Pusat, Negeri dan Daerah,
Ketua-ketua Agensi ABIM dan kaum kerabat
besar pendukung
Wadah-ABIM-PKPIM,
Para Petugas dan Penggerak Seminar dan
Muktamar Kali Ke-45 ABIM,
Muktamirin dan Muktamirat, perserta
Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam yang dirahmati Allah sekalian,
Assalamu’alaykum Warahmatul’Lahi Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera.
Saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (AJKP)
mengalu-alukan dengan penuh takzim kehadiran muktamirin dan muktamirat serta
hadirin yang dimuliakan ke Muktamar Sanawi ke-45 Angkatan Belia Islam Malaysia
dan Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam. Alhamdulillah, setinggi-tinggi puji
dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya, dapat kita
meneruskan tradisi harakah tercinta untuk berhimpun, bermuktamar dan berseminar
buat ke sekian kalinya.
Selawat dan salam buat junjungan tercinta, penghulu para anbia dan
sekalian para mujaddidin; baginda Nabi Muhammad SAW, para sahabat riḍwanu
ALlāhi ‘alayhim serta seluruh para pewaris risalah nubuwwah, pelaksana amanātu
al-da‘wah yang telah pergi mendahului kita.
ABIM: 45 TAHUN MEMBANGUN UMAT
Bagaikan baru semalam rasanya sebahagian daripada kita hadir menyaksikan
majlis penuh gemilang Sambutan 40 tahun ABIM di Dewan Pro Canselor, Universiti
Selangor ini. Dalam acara bersejarah yang turut diserikan dengan kehadiran
ulama tersohor Sheikh Mustafa Wahbah al Zuhayli, para hadirin pendukung dan
kerabat besar jemaah berpeluang mendengar pencerahan secara langsung akan
pengkisahan dan pensejarahan ABIM oleh tiga orang presiden terawal di pentas
yang sama.
Tidak ada yang lebih membahagiakan buat generasi pewaris baru saat
itu apabila mendengar sendiri penggerak-penggerak utama ABIM mengungkapkan
sejarah perjuangan, jatuh bangun dan hempas
pulas generasi pengasas dalam membina wadah, menyebar risalah dan mempelopori gelombang kebangkitan Islam aṣ-ṣaḥwah
al-Islāmiyah di Malaysia.
Ternyata ABIM, seperti yang dirakamkan dengan tinta emas oleh begitu
ramai pengkaji fenomena kebangkitan semula Islam (Islamic
Resurgence) telah menjadi pelopor utama aliran tersebut di Malaysia.
Dalam menjelaskan fenomena global kebangkitan Islam yang digerakkan oleh
generasi muda waktu itu, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar (UNESCO, 2015) menyimpulkan bahawa “Many
academics, scholars and political observers of the Muslim world identify the
1970s as the beginning of the new global Islamic resurgence or revival that has
impacted the global ummah (community) in practically every aspect of its
contemporary societal life, particularly the educational, political and
intellectual.”
Dalam konteks tersebut, Osman Bakar melanjutkan, “the most
influential and significant of the national Muslim youth movements in the 1970s
was perhaps the Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).” Beliau telah
menggariskan lima elemen kepeloporan ABIM yang memungkinkannya dilihat sebagai
wahana menghidupkan semangat zaman tersebut:
1.
Penggabungan generasi anak muda
Islam daripada aliran tradisi pendidikan agama dan aliran berorientasikan barat
dalam satu wadah melalui pendekatan mengintelektualkan ulama dan mengulamakan
intelektual;
2.
Sebagai sebuah gerakan generasi muda
yang bersifat intelektual, ABIM sentiasa bersikap terbuka dan reseptif
terhadap idea-idea dan pemikiran dari pelbagai aliran;
3.
Sebagai sebuah organisasi yang
menyeluruh sifatnya, keahlian dan
sasaran dakwah (mad’u) ABIM merentas latar perbezaan politik, agama dan
ideologi pemikiran. Wanita pula merupakan elemen integral dalam proses syura
ABIM;
4.
Kepeloporan ABIM dalam penganjuran
dan penyuburan Dialog Antara Agama di Malaysia; dan
5.
Pendekatan seimbang (wasatiyyah)
yang dipelopori oleh ABIM antara idealisme dan pragmatisme serta nilai
intelektualisme dan legalisme disampaikan pula secara interaktif dengan daya penarik tersendiri
melalui rangkaian usrah yang dipeloporinya.
Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: merintis gerakan
kebangkitan Islam (Islamic Resurgence)
yang berintikan kesedaran al-wa‘y al-Islāmī, iaitu Islam adalah “the
way of life”, cara hidup yang serba sempurna. ABIM muncul sebagai agen
perubahan di Malaysia, membetulkan
fahaman dan amalan sekularistik, lalu menyalakan ghairah keagamaan di
tengah-tengah umat, khususnya generasi muda.
Sepanjang 45 tahun ini, sejarah telah mencatatkan perihal kepeloporan ABIM
secara konsisten; dari Taski ke universiti, dari Islamisasi ke Reformasi!
Sesungguhnya, bukanlah niat kita menyebut kebesaran sejarah gerakan
ini untuk meraih pengiktirafan di mata manusia kerana hakikatnya dengan nikmat
Islam itulah jua yang membentuk watak dan jati diri kita, yang menjadikan kita
sebagaimana kita pada hari ini. Suatu hari, Amirul Mukminin Khalifah ‘Umar
Abdul Aziz r.a. didatangi seorang rakyat yang memuji jasa beliau kepada Islam
lantas mendoakan ganjaran Allah SWT terhadapnya. Beliau lantas menjawab “…bal
jazā ALlāh al-Islāma ‘annī khayrān” - Bahkan sebaliknya, moga-moga Allah
mengganjari Islam atas jasanya kepadaku!
Bertitik tolak dari kesedaran inilah kita memanjatkan setinggi- tinggi
kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan nikmat Islam kepada kita melalui wasilah Angkatan
Belia Islam Malaysia ini yang dengannya
dapat kita fahami kesempurnaan Islam dan menggabungkan diri sebagai penerus mata
rantai perjuangan para anbiya’ dan
mursalin dalam menyebarkan risalah Ilahi.
مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ
رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ
نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً
Di antara
orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka
janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara
mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).
(Surah Al-Ahzab: Ayat 23)
Kelangsungan wadah yang telah dibina dengan susah payah oleh generasi
pengasas dan penerus perjuangan harus dipertahankan sekaligus dilanjutkan dalam
mengisi gelombang baharu Kebangkitan Islam Jilid II yang kita sepakati dalam
Ijtimak Harakiy yang lalu. Sesungguhnya
kesinambungan gerakan kebangkitan Islam dengan penampilan yang relevan menurut
cabaran dan realiti semasa merupakan
suatu amanah besar buat generasi masa kini. Kesetiaan kepada prinsip dan
idealisme perjuangan berasaskan islah dan tajdid menuntut gerakan ini untuk
sentiasa bersifat contemporaneous dalam memahami realiti persekitaran yang
pantas berubah, selari dengan tuntutan
dakwah bi al-hikmah dan alā baṣīrah yang disarankan oleh Al-Qur’an.
قُلْ هَـٰذِهِ سَبِيلِيۤ أَدْعُوۤاْ
إِلَىٰ ٱللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِي
Katakanlah
(wahai Muhammad), inilah jalanku, aku dan orang yang mengikutku menyeru
(manusia umumnya) kepada agama Allah dengan bukti keterangan yang nyata...
(Surah Yusuf: Ayat 108)
Menuju Revolusi Global
Abad 21 terus menyaksikan penerusan hegemoni projek kemodenan yang
direka bentuk semula oleh peradaban Barat sejak zaman Pembaharuan (Renaissance)
dan Pencerahan (Enlightenment). Dunia moden pada suku pertama abad ini
yang dicirikan oleh aliran dominan berasaskan falsafah humanisme-sekularisme,
sistem politik Negara-bangsa bertunjangkan demokrasi dan sistem ekonomi
liberal- kapitalis terus mencorakkan tatakelola dunia sejak lebih dua kurun
yang lalu. Hasilnya, sebarang wacana berhubung kebangkitan dan kejatuhan
peradaban atau mundur bangunnya negara-bangsa dalam konteks dunia moden tidak
mungkin terlepas dari kaitannya dengan dinamika hegemoni Barat dan belenggu
ikatan modenisme. Barat sering memomokkan reaksi umat Islam sebagai jumud, mundur
dan terkebelakang dalam persaingan mengejar kemajuan peradabannya yang
bersandar kepada ketangkasan menghasilkan ledakan-ledakan teknologi
revolusioner yang mendepani zaman.
Dalam fasa-fasa mutakhir atau era kecairan kemodenan (liquid modernity) seperti yang
diungkapkan oleh sosiologis Zygmunt Baumann (2000), dunia dirasakan berubah
begitu pantas dan merubah segala keadaan. Justeru, satu tinjauan terhadap
beberapa trend dunia dalam aspek sosioekonomi, sosiobudaya dan sosiopolitik
dapat membantu kita untuk memahami semangat zaman (zeitgeist) dan
menyediakan peta hala tuju (road map)
untuk mengisi Kebangkitan Islam Jilid 2.
Revolusi Industri 4.0
“There has never been a time of greater promise, or one of greater
potential peril.”
(Klaus Schwab, Ketua Pegawai Eksekutif, Forum Ekonomi Dunia).
Revolusi Industri merupakan salah satu elemen terpenting yang merancakkan
kemajuan dan mencorakkan landskap dunia moden.
Fenomena yang bermula seawal abad ke-18 itu giat menampilkan kelangsungan
inovasi penciptaan dan ketangkasan kapitalisme. Namun, ia bukan sahaja membawa
impak sosioekonomi rentas benua seperti industrialisasi, urbanisasi dan budaya
konsumerisme, malah telah mengakibatkan berleluasanya aktiviti penjajahan dan
perhambaan di bawah naungan imperialisme-kolonialisme sebagai warisan
terpenting sejarah awal revolusi tersebut.
Revolusi Perindustrian Keempat dikenali melalui sifatnya yang menggabungkan
elemen teknologi sehingga menyebabkan kaburnya jurang antara lingkungan
fizikal, digital dan biologi. Revolusi ini menandakan kemunculan “sistem
fizikal siber” yang melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, dan
mesin serta kaedah baharu teknologi. Ia menjadi sebahagian dari masyarakat dan
tubuh manusia; suntingan genom, pembentukan kepintaran mesin baharu, bahan
perintisan dan pendekatan terhadap tadbir urus yang bergantung pada kaedah
kriptografi seperti blok rantaian. Potensi ini diperkuatkan lagi dengan
penemuan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan,
robotik, ‘Internet of Things’, kenderaan elektrik, pencetakan tiga
dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan
pengkomputeran kuantum.
Revolusi ini dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan terus
kepada sumber tenaga berupa bahan mentah terutamanya petroleum dan gas asli yang
kini dilanda krisis global. Namun di sebalik peluang dan manfaat besar
perkembangan teknologi terbaru ini kepada kemajuan manusia, revolusi ini. Revolusi
Industri 4.0 secara signifikan akan merubah masa depan dunia pekerjaan serta
keseimbangan perolehan dan agihan pendapatan. Ketika kumpulan tertentu,
pelabur, pemegang syer, inovator dan pekerja berkemahiran tinggi mendapat laba
terbesar dari arus perubahan revolusioner ini, kelompok yang paling terjejas
dari sudut sosioekonomi seperti kehilangan pekerjaan, pengangguran massa dan kemiskinan
relatif ialah kelas pertengahan, pekerja berkemahiran rendah-sederhana serta
golongan wanita.
Walhasil, dampak terpenting gangguan perubahan (disruptive
change) yang mengiringi ketangkasan revolusi ini ialah hakikat bahawa
jurang ketidaksamaan (inequality) ekonomi sedia ada semakin meluas dan mendalam
merentas benua, kelas dan gender. Dalam dunia hari ini, dan masa depan
terdekat, ketidaksamaan telah dikenal pasti sebagai trend global yang utama.
Oxfam misalnya, melaporkan bahawa pada 18
Januari 2016, bahawa 64 orang jutawan terkaya di dunia memiliki jumlah aset
kekayaan yang bersamaan dengan separuh populasi dunia yang lebih miskin!
Sementelahan, Bank Dunia melaporkan bahawa 767 juta orang dari populasi dunia
masih terus hidup dalam kebuluran dan kemiskinan dengan pendapatan kurang USD
1.90 sehari.
Petunjuk daripada kajian dan laporan mutakhir institusi-institusi antarabangsa
yang mengukur kekayaan dan jurang ketidaksamaan ekonomi seperti Credit
Suisse, Bank UBS Switzerland, Forbes
dan Forum Ekonomi Dunia sendiri tambah
meyakinkan kita terhadap keparahan krisis ketidaksamaan dalam tadbir urus
ekonomi global. Hal yang sama turut dikemukakan sebelum ini oleh pakar ekonomi antarabangsa
seperti Thomas Piketty dan Joseph Stiglitz. Di Malaysia sendiri, naratif dan
keleluasaan ketidaksamaan sosioekonomi tanah air telah dinyatakan dengan penuh
yakin oleh Muhammed Abdul Khalid melalui karyanya The Colour of Inequality
(2014).
Ketika krisis ketidaksamaan dan kelompok Ekonomi 1% semakin parah
dan mewabak, persoalan dasar dan cabaran utama yang menjadi keprihatinan kita
ialah penghakisan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan dalam order ekonomi
kapitalis yang dominan pada saat ini. Situasi ekonomi tidak berperikemanusiaan (inhumane
economy) dipandu oleh rasa tamak haloba (incessant greed), nilai,
prinsip serta polisi yang hilang sifat manusiawinya. Keadilan sosial, pengagihan
berkeadilan, pembasmian kemiskinan dan yang terpenting; dimensi akhlak jelas semakin
tempang, teruntai dan terabai. Yang
pasti, pemborosan, rasuah, ketirisan dan monopoli terus berleluasa seiring
dengan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar. Dalam kaitan inilah, wajar sekali
kita mengamati kembali peringatan yang disebut oleh Anwar Ibrahim dalam Nahdah Asia bahawa matlamat
kegiatan ekonomi tidak lain tidak bukan adalah pembangunan manusia itu sendiri,
iaitu manusia mulia menurut pandangan tradisi besar Timur dan Barat, yang dalam
Islam diungkapkan sebagai insan salih.
Revolusi Sosial
Ketangkasan era baru revolusi industri turut menatijahkan gangguan perubahan (disruptive change) terhadap
nilai dan hubungan kemanusiaan dalam konteks sosiobudaya. Fenomena komunikasi dan
interaksi era kesalinghubungan digital (hyperconnected) telah memberikan
impak yang juga bersifat revolusioner dalam mentakrifkan semula realiti
sosial-kemasyarakatan dunia global saat ini. Tanpa menafikan sama sekali sisi
natijahnya yang bermanfaat, revolusi media sosial ternyata telah merubah secara
radikal gaya hidup masyarakat dan interaksi manusiawi dalam kehidupan seharian
daripada Uber hinggalah ke Pokemon Go!
Berselindung di sebalik peranti komunikasi mendekatkan yang jauh
dan merapatkan yang dekat, manusia zaman ruang siber kelihatannya menjadi
semakin individualistik, narsisistik, dan sarkastik dalam lingkungan awam (public
sphere) yang diselubungi toksik beracun. Institusi tradisi seperti keluarga,
perkahwinan, kejiranan, komuniti dan masyarakat sedang melalui proses
nyahinsani (dehumanization) dalam bentuk sindrom ketagihan media sosial
dan kemabukan teknologi yang dirangkul seerat-eratnya.
Dari sudut lain, gelombang limpahan pengguna Internet yang meningkat
secara mendadak merupakan satu liberation technology yang kini perlu
diperhitungkan oleh kerajaan dan pemerintah. Interaksi antara rakyat dan
pemerintah di Asia misalnyanya, telah memasuki satu fasa baharu, iaitu era yang
diistilahkan oleh Nikkei Asian Review (edisi September 2016) sebagai Revolusi
Sosial: “The social revolution is not new, but it is a gathering storm… It
spreads naturally through a wired generation that does what it does without consciously
being revolutionary.”
Dalam perjuangan menangani isu-isu baharu yang dibawa oleh arus
yang tidak dapat dibendung ini, pihak kerajaan juga dapat mendengar dengan
lebih jelas berbanding sebelum ini apa yang rakyat rasai dan fikirkan. Dalam
keadaan ini, kerajaan yang tidak stabil dan takut akan berlakunya kekacauan,
biasanya tidak akan menyukai apa yang sedang dihadapi oleh mereka.
Di Asia Barat dan Afrika Utara, Arab Spring dan Revolusi Jasmin
telah membuktikan betapa besarnya pengaruh dan kuasa media sosial yang
diistilahkan oleh Manuel Castells (2014) sebagai gerakan sosial versi baharu (new
networked social movement) dalam realiti geopolitik hari ini. Namun
akhirnya, teknologi hanyalah sebuah alat dan wasilah. Yang menentukan baik
buruknya ialah pertimbangan manusiawi.
Persoalan pokoknya kini ialah bagaimana kerajaan dan pemerintah dalam
era media sosial hari ini memilih untuk memanfaatkan fenomena teknologi tersebut.
Ia menjadi wahana untuk kerajaan pendengar (listening
government) sama ada terus mendukung proses pendemokrasian ataupun sebaliknya,
iaitu memilih jalan gelap, berundur ke belakang menuju kediktatoran seperti
yang dilakukan oleh rejim Abdel Fattah el-Sisi di Mesir.
Politik dan Krisis Kepercayaan
Seperti yang diamati oleh Francis Fukuyama dalam karyanya Political
Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the Globalization of Democracy, dunia hari ini sedang mengalami kemerosotan
politik (political decay) yang bercirikan dua elemen penting, iaitu
ketegaran institusi (institutional
rigidity) dan penguasaan kelompok elit dalam aspek kepimpinan (capture
of the state by elites).
Akibat dari itu, tiga elemen tonggak yang mendukung dan menentukan
kejayaan demokrasi dalam tatacara negara moden, iaitu kerajaan, kedaulatan
undang-undang dan akauntabiliti menjadi semakin tegar di negara maju, manakala
terus merosot integritinya di negara membangun. Institusi asasi yang sepatutnya
mewakili suara dan kepentingan rakyat dalam sistem demokrasi sebaliknya lebih cenderung
mewakili suara dan menjaga kepentingan sekelompok elit penguasa yang rakus
memanipulasi institusi pseudo-demokratik untuk kepentingan sendiri.
Rumusan Fukuyama ini diperkukuhkan lagi oleh Larry Diamond melalui
artikel beliau “Democracy in Decline” (Foreign Affairs, edisi Julai-Ogos
2016) dan dalam buku terbarunya In Search of Democracy (2016). Beliau menyimpulkan bahawa punca utama kepada
kemerosotan tahap demokrasi dan kebebasan secara mendadak sejak 2006 disebabkan
oleh “…weak rule of law and the abuse of power by ruling executives who
originally came to office via competitive democratic elections”.
Natijah kepada kemerosotan politik (political decay) telah
menyumbang kepada satu trend global yang utama, iaitu peningkatan krisis kepercayaan
dalam kalangan rakyat. Laporan strategik Outlook on the Global Agenda (2015),
telah menyenaraikan krisis kepimpinan (lack of leadership) sebagai salah satu
trend utama dalam senarai 10 trend utama global. 86% peratus daripada responden
kaji selidik laporan bersetuju bahawa dunia hari ini sedang mengalami krisis
kepimpinan. Kegagalan pemimpin negara menangani isu-isu domestik dan kebuntuan
dalam menyelesaikan isu global seperti konflik Timur Tengah, ISIS, krisis
pelarian Syria, pencemaran alam sekitar dan pemanasan global tambah mengesahkan
krisis keyakinan ini.
Tambah mengukuhkan, laporan Elderman Barometer Trust 2016 yang
mengukur tahap kepercayaan di 28 buah negara merumuskan bahawa tahap
kepercayaan umum rakyat kepada institusi kerajaan berada di tahap paling rendah
berbanding dengan tiga institusi lain, iaitu badan bukan kerajaan (NGO), dunia
perniagaan dan media. Dalam konteks Malaysia, tahap kepercayaan rakyat kepada
kerajaan hanyalah 39% dalam kalangan rakyat awam. Sebaliknya, badan bukan kerajaan (NGO) terus
mencatatkan tahap kepercayaan tertinggi menurut konteks “melakukan apa yang
betul” (to do what is right) dengan meraih 71% kepercayaan dalam
kalangan rakyat awam.
Krisis kepimpinan ini membawa kepada melemahnya konsep demokrasi
berpewakilan. Laporan yang sama turut menyenaraikan demokrasi berpewakilan yang
lemah (the weakening of representative democracy)
di tangga kelima dalam senarai trend global.
Menurut Jorge Soto, pendedahan kepada potensi ledakan Internet telah memungkinkan
rakyat awam mengenal pasti kelompok yang mempunyai nilai dan ketakutan yang
sama dengan mereka, bertukar-tukar fikiran, menjambatani hubungan dan membina
kepercayaan sesama mereka pada kadar yang jauh lebih cepat, iaitu sesuatu yang gagal
dilaksanakan oleh birokrasi kerajaan. Daripada perspektif generasi muda, Jorge
Soto merumuskan “Our government are elected,
dissolved and re-elected only to pursue short-term agendas, yet the
cycles that innovate and build trust with voters require long-term investment.
It’s little wonder that people see them as broken”.
Kebangkitan Kuasa Baru
Gejala merosotnya institusi politik dan kekuasaan di tangan
kerajaan, yang disusuli dengan fenomena beralihnya kepercayaan rakyat kepada
institusi lain yang mempunyai kredibiliti lebih meyakinkan disentuh lebih awal
dan dengan lebih mendalam oleh Moises Naim dalam karyanya End of Power
(2013). Menurut beliau, bukan sahaja
kuasa politik, bahkan “kuasa” itu sendiri sedang melalui proses perubahan yang
dicetuskan oleh gelombang revolusi “More, Mobility, Mentatily” yang
menyebabkan “kuasa” merentas pelbagai bidang sedang mengalami proses kemerosotan.
Pemegang kekuasaan secara tradisi seperti pemerintah, birokrat dan konglomerat
(yang diistilahkan sebagai pemain utama) tidak lagi memiliki konsentrasi kuasa
dan limpahan pengaruh sepertimana abad-abad lalu. Moises Naim menyimpulkan
bahawa realiti dunia masa kini menyaksikan kebangkitan gelombang “kuasa” dalam
bentuk baharu;
“These are the micropowers: small, unknown, or once-negligible
actors that have found ways to undermine, fence in, or thwart the megaplayer,
the large bureaucratic organizations that previously control their fields.”
Jika mengikut prinsip terdahulu, kuasa mikro (micropowers) adalah
sesuatu yang tidak normal. Oleh sebab mereka tidak mempunyai skala, sumber
penyelarasan atau reputasi sedia ada, mereka tidak sepatutnya turut serta dalam
permainan ini, atau sekurang-kurangnya, tidak berada terlalu lama sebelum
dihapuskan atau diambil alih oleh pesaing dominan. Sebaliknya, kuasa-kuasa
mikro ini telah merebut banyak peluang yang selama ini dipandang ringan oleh pemain
sedia ada. Dalam beberapa keadaan, kuasa mikro telah menguasai persaingan
menentang pemain utama (megaplayers).
Barangkali penawanan Gulliver oleh gerombolan liliput kerdil dapat
memberikan gambaran yang lebih jelas tentang fenomena ini. Dalam dinamika baharu inilah kita harus
melihat bagaimana gerakan masyarakat sivil antarabangsa seperti Occupy
Movement berjaya menghasilkan impak gerak kerja advokasinya pada skala
global. Ketika legasi WikiLeaks dianggap sudah terbenam bersama Julian Assange dalam
Kedutaan Equador di London, potensi kuasa gerakan ini telah mendayai kemampuan
jaringan komuniti media rentas sempadan seperti International Consortium of
Investigative Journalists (ICIJ) membocorkan skandal kewangan pesisir
pantai melalui isu Panama Papers. Kesannya antara lain menyaksikan Perdana
Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson terpaksa meletak jawatan lantaran
terpalit skandal. Dinamika baharu “kuasa” ini turut menyaksikan tumbuh suburnya
generasi baru inovator Startup dan empayar
usahawan sosial ala Elon Musk, Seth Godin dan Jack Ma.
Namun begitu, dinamika baharu “kuasa” ini juga mempunyai sisi
gelapnya. Pengintipan data peribadi, pemindahan wang haram dan jenayah siber
turut berkembang jauh lebih pantas dengan ruang lingkungan pengaruh yang jauh
lebih luas. Penyebaran pengaruh dan propaganda gerakan pengganas ISIS-Daesh
yang meracuni pemikiran segelintir generasi muda Islam turut dikaitkan dengan
fenomena “kuasa mikro” ini.
Perubahan lewat kemodenan yang dicirikan oleh revolusi global yang
lebih tangkas berserta trend semasa dalam bidang ekonomi, sosiobudaya dan
politik yang disentuh secara sepintas lalu telah mencorakkan semangat zaman (zeitgeist)
ini yang penuh dengan percanggahan, kesamaran dan ketidaktentuan.
Islam dan Masa Depan
Di sebalik kerancakan arus perubahan yang mencorakkan masa depan peradaban manusia, dunia Islam masih
lagi dilihat mundur selain dibelenggu pelbagai polemik dalaman yang melelahkan.
Negara- negara Islam masih jelas ketinggalan dan tercorot merentas pelbagai aspek-dari
ekonomi hinggalah ke sains teknologi.
Kesemboronoan menyangkal laporan sedemikian atas alasan western contruct sementelahan umat terus
kaku membatu sama sekali tidak membantu menebus maruah dan harga diri. Ini
merupakan persoalan besar yang menghantui fenomena kebangkitan Islam sejagat
yang dirintis semenjak awal abad ke-20 yang lalu.
Ucapan Dasar ini akan menyentuh empat wacana utama yang melingkari
umat Islam dalam interaksi dan reaksinya dengan peradaban moden abad ke-21 ini;
Sekularisme, Demokrasi, Ekstremisme dan Islamophobia.
Islam dan Sekularisme
Karya Islam and Secularism oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang
diterbitkan oleh ABIM pada tahun 1978 merupakan respon penting yang menerangkan
kesan sekularisme sebagai falsafah suatu aliran pemikiran yang cuba menafsirkan
realiti dan kebenaran hanya berasaskan rasionalisme murni.
Walaupun tafsiran, sifat dan kondisi sekularisme di Barat itu
sendiri telah melalui proses perubahan seperti yang dihuraikan oleh Charles
Taylor dalam adikaryanya A Secular Age (2007)¸ sekularisme yang difahami
dalam konteks hubungan peradabannya dengan Islam ternyata terus bermasalah.
Sekularisasi mengandaikan bahawa dengan berkembangnya masyarakat menjadi
moden dan demokratik - it must secularize.
Tafsiran homogeneous yang dipaksakan
ini jelas tidak serasi dengan sifat, nilai asasi dan etika Islam yang bersifat
sejagat serta tidak memisahkan urusan keagamaan dan duniawi seperti yang
dialami oleh agama Kristian di Barat. Kebangunan Islam (aṣ-ṣaḥwah
al-Islāmiyah) dan agenda Islamisasi-deWesternisasi dari sudut pandang ini
dilihat sebagai manifestasi penolakan terhadap moderniti dan hegemoni
Barat. Walhasil pertembungan pandangan
alam dan nilai-nilai asasi ini lantas diterjemahkan pula dalam naratif
‘pertembungan antara tamadun’versi Samuel Huntington.
Justeru jika diamati, isu-isu seputar pemikiran, politik, ekonomi
dan budaya yang sering menjadi polemik dalaman dunia Islam dan interaksinya
dengan Barat masih berlegar sekitar penerimaan dan kesesuaian Islam dengan
faham-faham asas sekularisme-humanisme moden seperti individualisme,
liberalisme, pluralisme, hak asasi, kebebasan dan demokrasi. Tambah parah, wujud kelompok fundamentalis
sekularis-militan sebagai gerakan radikal anti-agama dan anti-clerics yang tampil alam bentuknya seperti gerakan di sebalik
majalah satira Peranchis Charlie Hebdo.
Hari ini, sekularisme tidak hanya sinonim dengan Barat. Sekularis berada
di mana-mana: Barat, Timur, Utara dan Selatan.
Persoalannya, apakah masa depan naratif pertembungan Islam dan
sekularisme?
Islam dan Demokrasi
Salah satu perkembangan terpenting dalam sejarah perkembangan
demokrasi abad-21 ialah fenomena Arab Spring yang tercetus pada tahun 2011.
Tatkala dunia berdepan sindrom kereputan dan kemerosotan amalan demokrasi, Arab
Awakening telah mencetuskan harapan dalam kalangan penganalisis bahawa
gelombang keempat demokratisasi bakal berlaku. Berbeza dengan tiga badai
gelombang sebelumnya yang bermula sejurus Revolusi America dan Peranchis (Samuel
Huntington, 1991), gelombang keempat melibatkan negara-negara majoriti Muslim
di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Bagi sekelompok pengkaji, perkembangan ini merupakan sesuatu yang
mengejutkan kerana buat sekian lama, Islam umumnya dan negara Arab khususnya
ditanggap sebagai tidak serasi dengan nilai-nilai demokratik seperti kebebasan,
keadilan dan hak asasi. Maka satu-satunya jalan yang tinggal dan selayaknya
untuk umat Islam ialah untuk terus berada di bawah cengkaman pemerintah otoriter.
Dalam konteks inilah siri kebangkitan rakyat menentang rejim tentera dan
penguasa elit-otoriter yang selama ini berwenangan menindas dengan kuku besi
dilihat memberikan sinar baharu terhadap prospek berlangsungnya demokrasi di
negara Islam.
Namun terjadilah apa yang telah terjadi. Arab uprising telah dibantutkan dan gagal membawa gelombang
demokratisasi yang dijangkakan kecuali di tempat ia bermula – Tunisia. Kembalinya rejim militer di Mesir hanya
setahun selepas Presiden yang pertama dipilih menerusi pilihanraya yang bebas
dan adil seolah membenarkan andaian bahawa negara Arab sememangnya tidak
bersedia dan layak untuk menikmati demokrasi. Gerakan Islam yang disinonimkan
dengan gerakan ‘politikal Islam’ telah menjadi sasaran utama yang dipersalahkan. Politikal Islam, atau Islamisme dalam
konstruk ini merujuk kepada wacana kelompok Muslim yang dilabel sebagai fundamentalis-radikalis
yang memperjuangkan Negara Islam, hukum syariah dan juga cara hidup Islam yang
mereka percaya hanya dapat diterapkan melalui jalan kekuasaan.
Di Mesir, gerakan Ikhwan al Muslimun telah dilanyak sehabisnya pasca-Arab
Spring. Operasi pembersihan saki-baki rangkaian gerakan Islam yang disinonimkan
dengan ‘gerakan politikal Islam’ di dunia Arab berlangsung dengan begitu rancak
hasil biaya besar dari Timur dan Barat. Di benua Indo-Pak, pimpinan-pimpinan
utama Jamaat-e Islami di Bangladesh telah dan masih dihantar ke tali gantung di
bawah rejim Sheikh Hasina. Telahan
Olivier Roy yang terkandung dalam buku The Failure of Political Islam (1994)
semacam telah mencapai kesempurnaan pasca-Arab Spring. Benarkah politikal Islam telah gagal? Bagaimanakah perkembangan demokrasi selepas
Arab Spring?
Dalam analisa akhir terhadap perkembangan demokrasi pasca Arab
Spring di tujuh buah negara Islam and Democracy after the Arab Spring
(2016) Esposito, Sonn dan Voll menyimpulkan bahawa perkembangan politik merentas
dunia Islam menunjukkan kemahuan yang tinggi terhadap tatakelola yang lebih
demoktarik. Hasrat, keinginan dan ikhtiar untuk menghirup udara kebebasan,
keadilan, hak asasi, kedaulatan hukum dan akauntabiliti bukanlah baru bermula sewaktu
Arab Spring, bahkan terus berkesinambungan dari gerakan Islah sejak lebih satu
abad yang lalu. Justeru dalam rumusan terakhirnya, penulis menyimpulkan:
“The basic question is not if Islam is compatible with democracy.
Most Muslim have already answered that question affirmatively. The question now
is what forms a democratic state can take in a Muslim-majority society. The
variety of vision and program from North and West Africa to Southeast Asia
shows that Muslim are actively engaged in this task”
Justeru timbul satu wacana baharu Islam (al-khitāb al-Islamī
al-jadīd) dalam pencarian model yang
paling cocok dengan semangat demokrasi sekaligus realistik terhadap kehendak
zaman. Pemimpin Parti Ennahda Tunisia,
Sheikh Rached Ghannouchi telah mengetengahkan terma Muslim Demokrat ketika
menyampaikan ucaptama sempena dengan konvensyen An Nahdah pada Mei 2016.
Deklarasi terhadap anjakan dan orientasi baharu parti pimpinan beliau kemudiannya
diperkukuhkan melalui rencana From Political Islam to Muslim Democracy dalam
Foreign Affairs edisi September/Oktober 2016.
“Justeru parti ini tidak lagi menerima label Islamisme- satu konsep yang
telah dicemarkan beberapa tahun kebelakangan ini oleh ekstremis radikal-
sebagai citra pendekatannya.” Sebagai
seorang idealog dan aktor utama gerakan politikal Islam, kenyataan Ghannouchi
ini memberikan impak yang besar dalam menentukan arah baharu pergerakan dan
pendekatan gerakan Islam sedunia.
Berbanding wacana post-Islamisme yang lebih bersifat
teorikal, Muslim Demokrat merupakan satu gerakan evolusi pembaharuan politik
yang semakin meraih momentum. Sejak tahun 2014, Forum Sedunia Muslim Demokrat
(WFMD) yang dipelopori oleh Anwar
Ibrahim, B.J. Habibie, Surin Pitsuwan, Abdullah Gul, Tariq Ramadan dan pemimpin
masyarakat madani telah menggariskan halatuju platform Muslim Demokrat bagi
melaksanakan reformasi menyeluruh, menegakkan keadilan sosial, membanteras
korupsi dan tatakelola yang baik.
Di Malaysia, perkembangan baharu ini telah disambut dan diwacanakan
atas platform Generasi Kedua Politikal Islam (Maszlee, Zulkiflli, 2016). Sesungguhnya wacana ini diungkapkan tepat
pada masanya, di saat dan ketika gerakan-gerakan Islam di Malaysia sedang
dihadapkan dengan realiti politik semasa yang membingungkan umat. Telah tiba masanya khazanah kekayaan turath
siyāsī dalam tradisi ilmuwan Islam dan rantau Alam Melayu ini digali,
dikaji kembali dan ditampilkan dalam ijtihad-
ijtihad baru berasaskan maqasid yang sesuai waqi‘ dan realiti
politik kontemporari yang dinamik.
Islam dan Wabak Ekstremisme
إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي
الدِّينِ ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
“Hindarilah sifat melampau
dalam agama. Sesungguhnya, orang-orang yang dibinasakan pada zaman dahulu
adalah mereka yang melampau dalam agama”
Kekecewaan terhadap penindasan politik, penipuan, korupsi dan salah
guna kuasa oleh rejim autokratik di negara-negara Islam telah dikenalpasti
sebagai salah satu punca berleluasanya gejala ektremisme keganasan atau
terrorisme (irhāb). Hilangnya keyakinan terhadap amalan demokrasi
tempelan sebagai wasilah yang absah untuk rakyat memilih wakil pemimpin telah
memberikan impak sosiopsikologi yang besar kepada sekelompok anak muda yang
terlalu idealistik-simplistik namun bersemangat melampau melaksanakan perubahan
cenderung menukar haluan dari mekanisme demokrasi ke radikalisme – from
ballot to bullet!
Setelah terbunuhnya Osama Ben Laden dan terungkainya jaringan global
militan Al Qaeda, Islam terus dikaitkan dengan keganasan bentuk baharu. Hari
ini, Daesh, Boko Haram, al Shabab dan gerakan milita yang lain seolah
bermaharajalela melakukan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan, mendera,
menyeksa dan membunuh musuh tempur dan orang awam sewenang-wenangnya. Memang itulah
tujuan aksi teror atau irhāb yang
dikaitkan dengan pendekatan propaganda by
deeds oleh anarkis Mikhail
Bakunin. Mangsa bukan sekadar didera atau dibunuh, tetapi haruslah dipastikan
tindakan terror tersebut dilaksanakan dengan penuh kejam untuk diwar-warkan
sebagai propaganda.
Berleluasanya terrorisme-ektremisme telah merancakkan kembali War
against Terrorism melalui insiaitif Countering Violent Extremisme
(CVE) oleh kerajaan dan masyarakat sivil di seluruh dunia dalam rangka
kerjasama mencegah dan membasmi terorisme. Namun di sebalik inisiatif sekuriti
dan fatwa-fatwa yang mengekang dan mengharamkan terrorisme, bilangan kumpulan
militan dan kader-kadernya terus meningkat.
Sebagai non-state actor, rangkaian keganasan global ini - dari
Brussels ke Mogadhisu - benar-benar merupakan potensi ancaman keselamatan yang
besar. Pengalaman lalu mengajar kita bahawa keganasan tidak dapat diatasi
dengan keganasan.
Dalam konteks ini, pendakwah Amerika Syarikat, Shaykh Hamza Yusuf
menolak pendekatan problem-solution yang bersifat mekanikal untuk
menangani keganasan. Dalam tradisi kelimuan Islam, gejala melampau taṭarruf dan
ghuluw ditanggapi sebagai sejenis penyakit (al-da’) yang perlu
diubati dengan penawar (al-dawa’) yang tepat. Justeru khalal (kecatatan)
yang paling utama disebalik ideologi puak pelampau ialah masalah ilmu iaitu
kegagalan dan kekeliruan berinteraksi dengan nass sebagai sumber hukum -
al-ta‘āmul ma‘ā an-naṣ bi ma‘zilin ‘an ghayrihi. Kelompok neo-khawarij ini
gagal memahami bahawa dalil-dalil dalam
Al-Qur’an tidak boleh difahami secara juz’iyyah, sebaliknya
harus difahami secara holistik dan lengkap kerana seluruh juzuk-juzuk kecil
yang terpisah itu sebenarnya terangkai dan berhubung seumpama satu surah yang
panjang – kulluhu kasūratan wāḥidah.
Dalam kaitan ini, kekeliruan utama pemikiran mereka ialah kesalahfahaman
terhadap konsep dan tuntutan Jihad.
Inilah yang mendorong Syekh Yusuf Qaradhawi untuk menghasilkan karya pentingnya
Fiqh al-Jihād. Penyelesaian kepada gejala irhāb menurut beliau
ialah dengan menumpukan usaha memperkukuh dan mengarusperdanakan manhaj Wasatiyyah.
Kita hendaklah menolak dengan tegas sikap melampau golongan ekstremis yang
memahami konsep jihad dengan memerangi seluruh alam, merangkumi golongan yang
memerangi Islam dan menyeksa orang Islam termasuk yang menghulurkan perdamaian
kepada orang Islam dan tidak memusuhi Islam. Manhaj Wasatiyyah juga
menolak kelompok yang cuba membuang langsung perkataan Jihad dalam kamus Islam.
Keutamaan yang wajib dilakukan ialah memberikan kefahaman yang benar dan tuntas
tentang konsep jihad dalam Islam sekaligus menjelaskan kebatilan tafsiran jihad
yang diselewengkan.
Komitmen membanteras naratif keganasan atas dasar keselamatan awam
harus pula seiring dengan komitmen terhadap hak kebebasan asasi individu.
Penderaan tahanan ala Abu Gharib dan extraordinary
rendition ala Teluk Guantanamo oleh aparat keselamatan dan pengintipan
adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh manusia berperadaban. Telah ramai
orang awam yang tidak berdosa dipenjara dan didera secara salah sebagai
pengganas hanya kerana tersilap identiti dan kesemberonoan aparat.
Gelombang Islamophobia
Walaupun istilah Islamophobia mula dikesan seawal tahun 1922
melalui esei orientalist Peranchis Étienne Dinet, istilah tersebut hanya
digunakan secara meluas pada 1990an dalam mentakrifkan diskriminasi yang dihadapi Muslim di Eropah
Barat. Islamophobia merujuk kepada tindakan
tidak toleran, diskriminatif, ketakutan tidak rasional, rasisme dan kebencian
terhadap Islam dan Muslim. Menurut Cesari (2011), Islamophobia dengan sifatnya
sebagai wacana dan praktik moden, sekular dan anti-Islam memuncak pasca
serangan 11 September 2001. Setelah
lumpuhnya al-Qaeda dan terbunuhnya Osama bin Laden, siri letupan oleh ISIS,
penculikan kanak-kanak oleh Boko Haram dan kekejaman Al-Shabaab telah memberikan
momentum terhadap gejala Islamophobia. Kekerapan saluran-saluran media
antarabangsa memaparkan kekejaman militan bertopengkan Islam beserta serangan-serangan
ke atas Brussels serta Paris telah mengaburkan sisi Islam sebagai agama yang
mempromosikan keamanan. Situasi semakin dirumitkan
dengan kebanjiran pelarian-pelarian dari Syria serta Libya sehingga ia menjadi
bahan perbahasan politik dalam Kesatuan Eropah.
Polemik ini berkembang selari dengan kemunculan semula aliran
politik nasionalis kanan yang memainkan sentimen Islamophobia dan ‘Eurabia’.
Dapatan European Islamophobia Report (EIR) 2015 yang diketengahkan oleh agensi
pemikir Turki, SETA adalah salah satu amaran penting betapa Islamophobia
semakin menggejalanya di Eropah. Merentas Atlantik, fobia terhadap Islam dan
imigran Muslim terus semarak dalam propaganda murahan Donald Trump dan Tea
Party sepanjang kempen piliharanraya Presiden Amerika Syarikat. Dalam kaitan inilah, Ibrahim Kalin (2011)
mengkritik keras sikap berat sebelah Barat dan menyifatkan bahawa mewabaknya Islamophobia
sebagai testimoni kegagalan multikulturalisme dan pluralisme Barat yang galak
dipromosikan sebagai nilai sejagat.
Namun Islamophobia seperti yang dibahaskan oleh Zulkifli Hasan
(2016) boleh tumbuh subur dan berlaku di mana-mana, termasuk di Malaysia.
Gambaran yang salah dan provokatif oleh media, kurang keberkesanan institusi
agama, kelemahan political will, salah faham terhadap Shariah serta
kemunculan elemen militan dan keganasan telah menyumbangkan kepada
berleluasanya skeptisisme dan penghinaan terhadap Islam di Malaysia. Ternyata
Islam sebagai agama Rahmat dan keamanan telah mengalami pencemaran citra yang
dipalitkan dengan imej negative keganasan, extremisme, tidak rasional,
marah-marah, jumud dan mundur. Dalam desa global, setiap letupan, serangan,
penyembelihan dan penculikan yang dilakukan atas nama Islam pasti akan
memberikan impak terhadap imej Islam dan penganutnya di mana-mana pun, termasuk
di tanahair.
KEBANGKITAN ISLAM JILID 2.0
Era kepeloporan gerakan aṣ-ṣaḥwah
al-Islāmiyah – kebangkitan Islam seawal dekad 1970-an dan agenda Islamisasi
yang menurutinya selama lebih empat dekad hingga saat ini telah memberikan
sumbangan yang amat besar kepada perkembangan Islam dalam sejarah dunia moden. Berbeza dengan gerakan Kaum Muda
sebelumnya yang lebih berorientasikan gagasan idea dan penumpuan kepada isu-isu
rantingan, gelombang kebangunan Islam 1970an memberikan impak yang besar kerana
orientasi gerakan massa yang inklusif serta diperkukuhkan melalui pembangunan
institusi yang merakyat (Mohammad Redzuan,2015).
Reformasi tajdīdi-iṣlahi yang berlangsung hampir separuh
abad ini telah mencetus sekaligus meratakan al-wa‘y al-Islāmi –
kesedaran tentang hakikat bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap lagi
sempurna - al-Islām al-niẓām al-ḥayāh. Di sepanjang liku perjalanannya,
lahirlah generasi pemuda-pemudi Islam yang bertindak sebagai agen perubahan
dalam masyarakatnya. Di Malaysia, impak Islamic resurgence tampak terserlah
dalam realiti kehidupan seharian masyarakat seumpama budaya bertudung dan berdirinya
institusi bercitra Islami seperti perbankan-kewangan dan universiti Islam.
Sementelahan keadaannya secara umum ternyata jauh lebih baik daripada
zaman pra-kebangkitan Islam, turut sama terzahir nyata ialah gejala yang
disebut oleh Fahmi Huwaidi sebagai al-tadayyun al-manqus atau
keberagamaan yang tidak holistik, utuh dan sempurna sebagaimana yang
diprihatinkan oleh Dr. Siddiq Fadzil lewat Amanat Pimpinannya bersempena
Ijtimak Harakiy yang lalu,
“Demikianlah hakikatnya,
masih ramai yang setiap tahun menunaikan haji dan umrah, tetapi tidak sensitif
terhadap derita kemanusiaan, dan tidak peka terhadap gejala kemungkaran -
kezaliman, penindasan, rasuah, penipuan dan sebagainya. Malah tidak sedikit yang mati- matian dan
tanpa malu-malu mempertahankan koruptor dan orang zalim. Begitulah antara
realiti masa kini yang perlu ditangani oleh para ilmuwan-da`i. Perubahan dari al-tadayyun al-manqus kepada al-tadayyun al-shamil (keberagamaan
yang utuh dan sempurna) memerlukan komitmen pendakwahan dan pendidikan massa yang bersifat intensif-korektif” (Siddiq Fadzil 2015:3)
Ketika menyentuh fenomena dwi-wajah ini lewat karyanya Milad
Mujtama’, Malek Bennabi telah merumuskan bahawa berlaku pemisahan antara
aspek kerohanian dengan sosial dalam watak dan kehidupan umat Islam lantaran
kegagalan melanjutkan kesalehan dan pesan kebenaran yang begitu mempengaruhinya
di dalam masjid agar mengiringinya dalam realiti kehidupan awamnya bersama
masyarakat. Ketidaksempurnaan dalam faham beragama seperti inilah yang
dimaksudkan oleh K.H. A Mustafa Bisri sebagai “saleh secara ritual, namun tidak saleh secara sosial”. Yang
sebenarnya dituntut oleh agama, tegas Gus Mus ialah - kesalehan total!
Satu lagi gejala yang memprihatinkan kita dalam menilai semula
tahap keberagamaan di tanah air ialah pencemaran citra Islam di tanah air kita.
Islam ditampilkan dengan wajah yang menakutkan, agama yang marah-marah, dan
cenderung bersifat menghukum. Rupa-rupanya ada kebenaran pengamatan bahawa Islamophobia starts at home. Imej umat
Melayu-Islam yang cukup dikenal sebagai bangsa penyantun, halus dan sopan kini
tampak lebih tampil mempromosikan budaya samseng dan gangsterisme. Gejala samseng atas nama maruah bangsa dan
nasionalisme palsu yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini, mencerminkan
wabak kebobrokan akhlak dan kemuflisan moral yang semakin parah dan berleluasa.
Lebih malang lagi, berleluasanya budaya samseng, mengugut dan memukul insan
sekonyongnya atas nama memelihara maruah bangsa dan umat Islam seolah mendapat
restu dan perlindungan pihak berkepentingan. Faham taksub perkauman sempit yang
dicairkan dan dimurnikan oleh gerakan Islam seperti ABIM sejak awal era
kebangunan Islam 1970an kini muncul kembali dengan sikap rasis dan chauvinis
yang semakin menjadi-jadi. Dulu, kini dan selamanya, Islam tidak akan sama
sekali membenarkan ‘asabiyyah dalam erti melindungi kemungkaran dan
mempertahankan kezaliman atas nama perkauman, kronisme mahupun nepotisme.
Fenomena extremisme-takfir (zahiratu ‘l-ghuluw fi t-Takfir)
yang seketika waktu begitu menggejala di tanah air juga kini kembali subur
menanam benih ideologi dan menyebarkan dakyahnya. Yang terkait dengan aliran
radikal dalam bentuk ghuluw, taṭarruf dan irhāb ini bukan
cuma mereka yang didakwa atau ditangkap aparat keselamatan kerana mengangkat
senjata di bumi Syam. Ternyata yang
lebih sukar dibendung dan mewabak lebih pantas ialah fenomena irhāb al-fikr
(terrorisme pemikiran) - sejenis operasi mendera, menyakiti dan menghukum
pemikiran mereka yang berbeda pandangan dengan kabilahnya walaupun dalam
perimeter yang dibenarkan syarak.
Sebagai gerakan dakwah pelanjut misi pembebasan dan rahmatan lil
‘alamin, adalah menjadi amanah ABIM untuk menampilkan Islam dalam wajahnya
yang tulen – ‘taqdim al-Islam bi surah al-Asliyyah’-dalam menyikapi
fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk dan pencitraan Islam yang
dicemari radikalisme.
Justeru, gagasan Kebangkitan Islam Jilid 2 seharusnya ditanggapi sebagai
detik penting buat gerakan dakwah untuk melancarkan gelombang kebangkitan
baharu secara intensif untuk menganjak tahap keberagamaan (al-tadayyun)
umat menuju kesempurnaan.
GELOMBANG NAHDAH
Mengambil semangat pemurniaan nilai dan amalan keberagamaan inilah
kami mengagaskan pada Muktamar Sanawi ke-45 yang bersejarah ini agenda baharu
‘Gelombang Nahdah‘ sebagai pelanjut gerakan kebangkitan Islam di Malaysia. Nahdah yang kita maksudkan merujuk kepada
akar kata bahasa Arab yang bermaksud bangkit (Lisanul Arab). An-nahdah pula adalah bermaksud bangkit
dari kekaburan atau kegelapan. Nahdah juga ditakrifkan sebagai harakah iaitu gerakan
membangkitkan manusia daripada kekaburan. Dalam erti kata lain; nahdah yang
kita hajati merupakan satu proses membangkitkan kesedaran dan potensi umat dari
tahap sedia ada ke satu tahap yang lebih baik, tinggi dan sempurna sesuai
dengan martabatnya, sepertimana yang digambarkan oleh Almarhum Ismail Raji al
Faruqi’.
“Nahdah berasal daripada
perkataan Arab yang bermaksud bangkit. Unsur esensinya masih kekal sama. Cuma,
perkara tersebut, sama ada seorang kanak-kanak atau sebuah masyarakat, pada
suatu ketika, tidak berfungsi, tidak berkesan, tidak mampu untuk menggunakan
potensi diri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan kemudian, melalui
Nahdah, perkara atau orang yang sama memperoleh kecekapan dan mampu menggunakan
kekuatan potensinya. Nahdah bererti penghakikian potensi terpendam kanak-kanak.
Hal ini terpakai kepada masyarakat Islam dengan tepat. Perkara pokoknya, iaitu
ummah dan agama Islam, masih sama. Potensi mereka bagaimanapun sebelum ini
tidak digunakan. Sebagai masyarakat atau individu, umat Islam sebelum ini tidak
cekap dalam mengenal pasti apatah lagi menggunakan kekuatan diri mereka. Kini,
berdasarkan konsep Nahdah, umat Islam menentukan nasib mereka dan membimbing
pembangunan mereka dengan tangan mereka sendiri. Mereka sedar akan potensi mereka
sendiri, dan mereka mula menggunakannya dalam menangani masalah yang dihadapi.
(Ismail Raji al Faruqi, 1978:16).
Bertitik tolak dari kefahaman ini, gelombang Nahdah Islam ialah lanjutan
dan kesinambungan fasa aṣ-ṣaḥwah al-Islāmiyah yang telah berlangsung
sedari awal penubuhan ABIM. Walhasil, agenda Nahdah Islam bukanlah suatu
rekayasa baharu yang bermula dari sifar tanpa sebarang asas pijakannya. Ia
merupakan satu proses revisiting dan reinventing yang merupakan sebahagian dan
proses muhasabah ke arah pengislahan.
Bahkan ingin kita tegaskan bahawa ath-thawabit dalam gerakan
ini berupa Visi, Misi, Budaya serta watak dan jati dirinya sebagai sebuah harakah
Islamiyyah dengan orientasi tajdidi-islahi berteraskan wahana dakwah dan
tarbiyyah kekal seutuhnya. ABIM masih kekal, dan akan terus istiqamah
menjunjung aliran wasatiyyah-waq’iyyah melalui pendekatan Manhaj Maliziy,
sementelahan memelihara sifatnya sebagai sebuah gerakan kebeliaan dan
masyarakat madani yang non-partisan.
Aṣ-ṣaḥwah
al-Maqāsidiyyah
Justeru perubahan mendasar yang menjadi paksi utama Nahdah Islam ialah
bingkai pemikiran dan metodologi berinteraksi dengan nass dan realiti serta hubungannya dengan al-waqi’, antara al-aṣalah
dan al-mu’asarah, atau dalam ungkapan Tariq Ramadan, antara teks dan konteks.
Dalam kaitan inilah gagasan transformasi pendewasaan kebangkitan Islam
oleh Syekh Yusuf Qaradhawi yang dituangkan dalam karya pentingnya aṣ-ṣaḥwah
al-Islāmiyyah min al-murahaqat ila ar-Rushd amat bermanfaat untuk dijadikan
panduan. Yang terpenting dari urutan al-Khutut al-‘Asharah li Tarshid aṣ-ṣaḥwah
- sepuluh garis besar fasa pendewasaan yang dirumuskan beliau ialah anjakan
dari ‘simbol dan bentuk kepada hakikat dan intisari’ min al-Shakl wa
al-mazāhir ila al- Haqiqah wa al-jawāhir.
Melatari proses anjakan pola fikir baru Nahdah ialah fenomena aṣ-ṣaḥwah al-maqāsidiyyah - perkembangan
fenomenal dalam pemikiran Islam masa kini iaitu minat dan keghairahan
mewacanakan isu maqasid al-shari‘ah.
Telah bangkit satu kesedaran baharu yang dipelopori oleh para ilmuwan
maqasidiyyun kontemporari tentang peri pentingnya maqasid al-shari‘ah, iaitu tujuan-tujuan Syariah dan rahsia-rahsia yang
diletakkan Allah pada setiap hukumnya, sepertimana yang ditakrifkan oleh Állal
al-Fasi. Tujuan terutama Syariah menurut Muhammad Tahir Ibn Áshur dalam
karyanya Maqasid al-Shari‘ah al-Islāmiyyah ialah mendatangkan kebaikan
untuk para hamba di dunia dan di akhirat dan menggelakkan keburukan dari
mereka di dunia dan di akhirat.
“Shari’ah aims at the acquisition of what is good and beneficial
(jalb al masalih) and the rejection of what is evil and harmful (dar’u
al-mafasid). We can consider this as a fundamental universal rule of the
Shari’ah. Thus, it is firmly established that the all-purpose principle of the
Shari’ah is to achieve righteousness and goodness (salah) in the world and remove
corruption from it. This can happen only by setting humankind’s affairs to
rights and removing the corruption that it produces” - Treatise of Maqasid (M. el Tahir el Mesawi 2006:94)
Justeru maqasid al-shari‘ah
yang terumus dalam al-kulliyyat al-khamsa
menggariskan pemeliharaan unsur-unsur asasi berikut dari sebarang pencerobohan:
hifz al-din (memelihara agama), hifz al-nafs (memelihara
nyawa/jiwa), hifz al-`aql (memelihara akal), hifz al-nasl
(memelihara keturunan) dan hifz al-mal (memelihara harta).
Seperangkat nilai ini pada hakikatnya adalah nilai-nilai dasar
sejagat yang dapat diterima oleh semua agama dan budaya. Justeru menurut Jasser
Auda (2014) pendekatan berasaskan maqasid merupakan satu bingkai dan wasilah
(instrumen) yang sesuai digunapakai untuk pelbagai keperluan: penggubalan
dasar, projek pembangunan dan hak asasi manusia, elemen pemerataan nilai-etika sejagat,
pemangkin kebangkitan peradaban Islam dan jambatan penghubung antara pelbagai
mazhab, agama dan tamadun.
Maka dengan kefahaman terhadap keterikatan Syariah dan Maqasidnya,
penegakan Syariah yang kita perjuangkan secara komprehensif dalam fasa Nahdah
Islam bukan cuma aspek ‘bentuk’ pelaksanaan hukumnya semata, tetapi turut
merangkumi ‘hakikat dan intisarinya’ iaitu yang pertama - al-Qiyam (nilai/values) dan yang kedua Maqasid yakni objektifnya.
MEMARTABATKAN KHAYRA UMMAH
Gelombang Nahdah yang dikemudi ini akan memberi penekanan kepada
agenda memartabatkan khayra ummah. Sejak awal penubuhannya, ABIM amat
menginsafi peranannya sebagai gerakan pewaris misi profetik dan penerus risalah
Nubuwwah yang membawa agenda pencerahan, pembebasan, pemberdayaan dan
pemerkasaan umat manusia keseluruhannya. Memang khayra ummah itulah martabat
yang selayaknya ditempati oleh umat Islam seperti yang dinyatakan lewat
firman Allah SWT;
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ
لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ
ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula
beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih
baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan
mereka orang yang fasik.”
(Surah Ali Imran: Ayat 110)
Sebagai pemegang gelar khayra
ummah, umat Islam harus disedarkan dan digerakkan agar menepati martabat dan
fungsinya sebagai umat terbaik yang diutus bagi sekalian umat manusia. Dalam konteks
ayat ini, huraian Taha Jabir al-Alwani yang diungkapkannya sebagai ummat mukrajah mukrijah begitu relevan untuk
difahami. Umat mukhrajah adalah umat yang ditampilkan dengan misi
berbakti kepada masyarakat manusia (ukhrijat li al-nas). Umat ini
menjadi ummah mukhrajah kerana hasil
usahanya ke arah mencapai syarat khayriyyatul ummah seperti yang
dinyatakan dalam ayat di atas iaitu melaksanakan amar ma‘ruf, mencegah kemungkaran,
serta beriman kepada Allah SWT. Penegasan ini adalah selari dengan apa yang
pernah diungkapkan oleh Muhammad ‘Imarah dalam memahami konsep khayriyyatul
ummah. Menurut beliau, keunggulan umat ini ialah keunggulan bersyarat,
bukan keunggulan yang diwarisi atau berasal daripada keturunan - khayriyyatul
ummah shurūt muktasabah la ‘unsuriyyah mawrūthah.
Umat mukhrijah pula adalah umat pembebas manusia dari segala bentuk
belenggu musibah yang terliput dalam kata al-zulumat untuk dibawa ke tengah
benderang cahaya kebenaran dan keadilan (litukhrija al-nās min al-zulumāt
ila al-nūr).
الر ۚ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ
إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ
رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Inilah Kitab
yang Kami turunkan kepadamu supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya
dari gelap gelita kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim: Ayat 1)
Dengan mengambil maknanya daripada pelbagai tafsiran para ulama’,
al-Alwani merumuskan bahawa umat mukhrijah membawa maksud umat terbaik yang
ditampilkan kepada seluruh manusia untuk
memberikan khidmat kepada manusia (li khidmatin naas) dan manfaat
kepada manusia (li naf’in naas).
Justeru gerakan dakwah harus memainkan peranannya sebagai gerakan
ummatik yang diutus untuk memberikan khidmat dan manusia keseluruhannya tanpa
mengira warna kulit dan latar bangsa, meliputi ummah al-ijābah dan ummah al
da‘wah, yang sedia Islam dan bukan Muslim keseluruhannya.
Ini selari dengan tafsiran Abdullah Yusuf ‘Ali yang merumuskan; “The
logical conclusion to a Universal Religion is a non-sectarian, non-racial,
non-doctrinal religion, which Islam claims to be. For Islam is just submission
to the Will of Allah.”
Ilmuwan Indonesia, Kuntowijoyo telah menjadikan ayat 110 Surah Ali Imran
ini sebagai asas kepada gagasan ‘Ilmu Sosial Profetik’ - sebuah upaya
menterjemahkan ajaran Islam dalam aktivisme membangun umat. Menurutnya, umat
Islam tidak secara automatik menjadi umat terbaik. Selain berusaha memenuhi syarat-syaratnya,
umat Islam mestilah bekerja di tengah-tengah manusia (ukhrijat li’l nas),
bukan beruzlah mengasingkan diri dari bergelut dengan permasalahan umat. Maka
yang harus menjadi tumpuan aktivisme Islam ialah penjelmaan nilai-nilai Ilahiah
yang terkandung di dalam amar ma’ruf nahi mungkar dalam masyarakat. Justeru
menurut Kuntowijoyo, komitmen utama Paradigma Ilmu Sosial Profetik sebagai
sebuah gerakan intelektual danaktivisme ialah Umat - yang meliputi masyarakat,
komunitas, rakyat, kaum, bangsa.
Justeru agenda memartabatkan khayra
ummah akan menumpukan usaha penghayatan nilai-nilai amr bi al-ma‘ruf dan
an-nahy ‘an al –munkar dalam masyarakat sehingga ia sebati menjadi apa yang
diistilahkan sebagai watak dan jati diri bangsa. Secara konsekuensial, bangsa
dan masyarakat yang sedemikian akan memiliki kepedulian kolektif yang tinggi
terhadap tanggungjawab mendaulatkan nilai-nilai kemakrufan dan memerangi gejala-gejala
kemungkaran. Kawalan sosial yang terhasil dari kepedulian kolektif tersebut
dengan sendirinya akan mendorong kehidupan masyarakat agar sentiasa terpelihara
dalam persekitaran al-ma‘ruf dan
terhindar dari pencemaran al-munkar
dan kefasadan.
Dengan terbinanya masyarakat khayra ummah yang berpesan-pesan dengan
kebaikan dan kebenaran, peranan melaksanakan amar makruf nahi mungkar tidak
lagi hanya terbeban di pundak penguasa. Memang umatlah sebenarnya yang
merupakan induk dan diberikan kedudukan yang sentral dari sudut tumpuan syarak
(khitab syarie) secara prinsip atau
umum, juga dari sudut bidang kuasa, tanggungjawab atau keutamaan. Dinamika umat
yang dimartabatkan peran serta dan penglibatannya dalam ruang awam kontemporari
harus diterjemahkan dalam bentuk gerakan massa kerakyatan atau masyarakat
madani yang melaksanakan misi Islah.
Dan Tuhanmu
tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya adalah
orang yang berbuat kebaikan. (Surah Hud: Ayat 117)
KEDAULATAN
RAKYAT
Islam mengutamakan kedudukan umat atau rakyat sebagaimana yang dibahaskan
oleh al-Raysuniy dalam bukunya, al-Ummah Hiya al-Asl. Demikianlah
hakikatnya, ayat-ayat al-Qur’an secara umumnya menumpukan perhatian yang sangat
besar pada umat berbanding yang ditujukan kepada pemerintah. Dalam erti kata
lain, umat (rakyat) adalah tonggak yang mempunyai peranan yang sangat besar
jika dibandingkan dengan kerajaan, yang hakikatnya hanya berfungsi sebagai alat
pelaksana kemahuan umat. Hakikatnya; demokrasi pada dasarnya adalah kuasa
rakyat yang merealisasikan pemerintahan rakyat untuk rakyat.
Al-Raysuni menyimpulkan
bahawa dengan mengiktiraf pemusatan untuk ummah sebagai induk dan mengakui
kebebasan ummah untuk berinisiatif, berfikir, bersuara dan bertindak, maka
ummah akan bergerak maju ke hadapan. Inisiatif-inisiatif yang digerakkan Ummah
ini akan menyumbang secara positif kepada dawlah
(negara) terutama sekali dalam aspek kepimpinan dan pengawasannya. Susulan
daripada inisiatif tersebut daulah akan menjadi lebih teguh, harmoni dan maju
ke hadapan.
Mohamad Hashim Kamali dalam kajian pentingnya Citizenship and Accountability
of Government berhubung konsep dan amalan akauntabiliti kerajaan menurut
Islam (muhasabah) telah menggariskan 10 prinsip asas. Kemuncak pada urutan garis-garis
akauntabiliti yang dirangkumi menerusi prinsip shura, amanah, nasihah serta haqq
ialah hakikat bahawa umat merupakan masdar
al-sultat (locus of all authority)
– yang membentuk sumber kekuasaan. Dalam
teori perlembagaan dan kenegaraan Islam, tegas beliau “……the community, or
ummah is the locus of political authority and the head of state represents that
authority in his capacity as representative (wakil) of the community.”.
Konsep rakyat sebagai akar tunjang negara adalah asas penting yang
dikongsi dalam wacana-wacana politik kenegaraan dan pentadbiran negara, tamadun
dan peradaban sejagat. Sebagai contoh, faham mengenai konsep small government tidak hanya unik dalam
amalan demokrasi ala-Amerika Syarikat atau statecraft
acuan Barat. Dalam kajiannnya, John
C.H.Wu telah merumuskan falsafah politik Cina seperti berikut; “The Chinese
philosophy of political authority may be summed up in a few words. The
political authority is a Mandate of Heaven upon the government for the welfare
of the people. The government is created by the people, not people for the
government” (John C.H. Wu, 1968, hal.214-15). Beliau seterusnya mengemukakan pepatah hikmah
tradisi yang menjadi inspirasi kepada Lao Zu dan sarjana Konfucius;
Rakyat harus
dihargai
Dan tidak
seharusnya ditindas
Rakyat
merupakan akar tunjang sesebuah negara
Dan, andai
akar-tunjang itu teguh, maka negara akan aman bahagia.
Kita juga tidak dapat bersetuju apabila dikatakan yang punya daulat
itu diekslusifkan hanya untuk para pemimpin dan pemerintah, dengan
mengesampingkan peranan rakyat. Adalah wajar untuk kita sama-sama menghayati pesan
Bapak Mohammad Hattta, pahlawan proklamator kemerdekaan dan Wakil Presiden
Republik Indonesia yang pertama ketika mengungkapkan konsep Daulat Rakyat;
“Saya mempunyai keyakinan bahawa
tidak pemimpin, berapa juga pintarnya dan mampunya, melainkan rakyat sendiri
yang cakap memperbaiki nasibnya…Negeri hanya dapat maju, kalau rakyat turut
menimbang mana yang baik dan mana yang buruk untuk orang banyak. Pendeknya,
rakyat yang tahu memerintah diri sendiri, tahu mempunyai kemauan dan melakukan
kemauan itu. Rakyat yang tidak mempunyai kemajuan, yang hanya tahu menerima
perintah, rakyat yang demikian tidak akan pernah merdeka”. (Nina Pane ed., 2015)
Istibdad dan Pembebasan
Salah satu tuntutan penting misi pemberdayaan umat ialah mengangkat
kemampuan umat. Umat perlu diberdayakan agar mereka bebas dari belenggu
kejahilan, kemiskinan dan kebergantungan. Umat perlu diyakinkan untuk bangun
mandiri di atas kaki mereka sendiri. Kedaulatan rakyat haruslah dijelmakan
melalui kemandirian ekonomi dan pembangunan institusi-institusi kerakyatan dan
masyarakat madani sebagai agen transformasi sosial untuk memenuhi keperluan
rakyat di akar umbi.
Gerakan pencerahan umat turut meliputi perjuangan mewujudkan budaya
berasaskan konsep pembebasan dan pencerdasan, kerana dinamika intelektual akan
hanya tumbuh apabila rakyat dibebaskan dari budaya takut dengan memberikan
ruang yang secukupnya untuk berfikir, bersuara, berwacana dan berkarya. Sebelum
tersentuh dengan cahaya pembebasan dan pencerahan Tauhidik, ternyata
secerdas-cerdas manusia seperti ‘Umar al-Khattab turut terbelenggu dengan
kejumudan yang dicorakkan persekitaran dari budaya Arab Jahiliah. Justeru gerakan
pencerahan dan pemberdayaan umat seperti yang digerakkan Nabi Musa a.s, perlu
membebaskan umat dari cengkaman penindasan dan segala belenggu kegelapan akibat
dari penyakit jiwa hamba,
keterkongkongan minda dan budaya takut.
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ
بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ
وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللَّهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِكُلِّ صَبَّارٍ
شَكُورٍ
Dan sesungguhnya
Kami utuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan berkata: Keluarkanlah
kaummu dari kegelapan kepada cahaya iman dan ingatkan mereka akan hari Allah.
Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi setiap orang
yang sabar, lagi kuat bersyukur. (Surah Ibrahim: Ayat 5)
Dalam kaitan inilah penting kita ketengahkan fiqh al-taharrur
iaitu Fiqh Pembebasan yang mampu membebaskan umat dari belenggu ketakutan dan
penindasan. Ini termasuk sekali keupayaan untuk mengenalpasti punca utama di
sebalik mereputnya potensi umat dalam leluasa budaya takut dan alergik terhadap
apa yang dikatakan sebagai perubahan dan kebebasan. ‘Abdul Rahman al-Kawakibiy, ideolog dan
antara tokoh terpenting Nahdah Arab
telah mengenalpasti bahawa punca kepada penyakit umat ialah penindasan politik
- al-Istibdad al-Siyāsiy. Ia merupakan penyakit utama, di sebalik
lingkaran berantai dalam bentuk penindasan yang membelenggu umat. Justeru lewat
karya pentingnya yang didedikasikan khas buat generasi, Tabai’ al-Istibdad
wa Masari’ al-Isti’bad, Al-Kawakibi menumpukan penulisannya kepada
penindasan (Istibdad) yang merangkumi perbincangan mengenai punca, kemunculan,
perkembangan, tabiat serta pengaruh tirani ke atas mereka yang ditindas.
Istibdad atau despotisme merujuk kepada individu atau pemerintah yang
merampas dan menyalahgunakan hak rakyat tanpa ada rasa takut terhadap sebarang
pembalasan dan hukuman akibat perbuatannya. Sesebuah kerajaan akan berubah
menjadi despotik apabila ia bertindak tanpa mengikut lunas undang-undang. Hatta jika wujud undang-undang sekalipun,
kerajaan yang berbentuk despotik ini akan menggunakan kuasanya untuk melangkaui
atau membentuk kerangka perundangan yang ditetapkan mengikut keinginan hawa
nafsu! Dalam kata lain pemimpin dan
kerajaan despotik memerintah dengan “iradat”nya, bukan berasaskan kepada
iradat al-umma (kehendak rakyatnya).
Rakyat disuruh mengikut kemahuan Sang pemimpin, walhal kemahuan
rakyat yang diwakilinya tidak disantuni. Inilah wajah pemimpin curang yang digambarkan
dalam sastera Melayu.
Istibdad merupakan epidemik yang mem’bongkang’kan secara sistemik seluruh
aspek kehidupan rakyat – meliputi aspek urusan agama, bidang ilmu, ekonomi, akhlak,
pendidikan dan pembangunan – dari yang di atas sampailah yang paling bawah, merentas
yang baik mahupun yang durjana.
Al-Kawakibiy mengungkapkan bahawa keburukan yang paling sedikit
dibudayakan oleh istibdad terhadap
akhlak rakyatnya, iaitu dengan menjadikan yang “terbaik” dalam kalangan mereka
hipokritik – yakni memiliki nilai dan agama tanpa kebenaran. Yang durjana dalam
kalangan mereka pula akan aman dari kritikan kerana rakyat yang ditindas takut
mendedahkan hakikat penyelewengan mereka. Justeru beliau menyimpulkan bahawa
usaha merubah dan menghapuskan al-istibdad al-siyāsiy harus bermula
dengan kesedaran umat. Umat yang tidak langsung merasa “kesakitan” akibat
ditindas, sebenarnya tidak berhak menikmati erti kebebasan hakiki.
Al-Kawakibiy juga mengingatkan bahawa istibdad sebagai suatu penyakit tidak akan sembuh dengan sekadar menggantikan
penindas sedia ada, hanya untuk terus ditindas oleh Sang penindas yang
baru! Yang perlu dirubah untuk
merealisasikan cita-cita besar ke arah Memartabatkan Khayra Ummah ialah budaya
penindasan keseluruhannya, oleh sesiapapun, dan dari kelompok mana pun ia
datang!
Dalam merangka reformasi-Islahi dan pemberdayaan rakyat ini,gerakan
dakwah harus mampu membentuk kekuatan pembebas dari istibdad dan budaya takut. Tanpa keberanian, tidak akan berlaku
sebarang perubahan. Maklumat berupa pendedahan terhadap kebobrokan yang
berlaku - dalam bentuk sebanyak mana dan hatta
selengkap mana pun - tidak akan dapat merubah
sikap rakyat selagi mereka masih terbelenggu dalam budaya takut.
Misi Islam sebagai agama pembebasan juga tidak akan terlaksana di tangan
pendakwah yang penakut dan ilmuwan yang khianat. Seseorang daíe-ilmuwan sejati tidak perlu takut kepada sesiapa dan apa-apa
pun selain Allah S.W.T. Atas kesedaran
yang mendalam terhadap ‘amanah ar-Risalah
dan amanah al-da’wah inilah kita
mengimbau peringatan yang diberikan tokoh para tabi’ien Sa’id bin Jubayr
Radhia’alLahu‘anhu kepada Amir al- Sya’bi,
teman sepenjaranya menjelang saat-saat kematiannya di tangan Hajjaj bin
Yusuf at-Tsaqafiy yang masyhur dengan kezalimannya. Sa’id bin Jubayr tidak
meninggalkan dunia menemui penciptanya sebelum meninggalkan amanat penting yang
dikongsi dengan catatan tinta emas oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawiyy menerusi
karya sasteranya ‘Alim wa Taghiyyat.
يَا شَعْبِي كَمَا يَحْتَاجُ
النَّاسُ اِلَى مَنْ يُعَلِّمُهُمُ الْفِقْهَ ،
يَحْتَاجُونَ الى مَنْ ُعَلِّمُهُمُ
الثَّبَاتَ عَلَى الحَقِّ فِي وَجْهِ الجَبَائِرَةِ الطُغَاةِ
Wahai Sya’bi!
Sebagaimana halnya manusia memerlukan orang yang dapat mengajari ilmu fiqh,
maka mereka juga memerlukan orang yang dapat memantapkan hatinya untuk
menghadapi penguasa-penguasa tirani.
Islam dan
Kerahmatan Sejagat
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً
لِلْعَالَمِينَ
Dan tiadalah
Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Surah al-Anbiyaa: ِِِAyat
107)
Surah al-Anbiya’ (para nabi) membentangkan mengenai kisah para nabi
dan peranan mereka dalam menghadapi kaum masing-masing dalam usaha mengislah
dan mengajak kepada Allah SWT dan risalah Tauhid. Menurut para mufassirin,
ayat 107 yang diturunkan di penghujung surah ini merupakan penegasan Allah SWT
kepada Nabi Muhammad SAW bahawa sebagai pelanjut risalah nubuwwah, baginda tidak diutuskan “kecuali untuk menjadi rahmat kepada manusia dalam urusan dunia dan
akhirat mereka”. Ibn ‘Ashur
menyatakan rahmah tersebut didatangkan dalam dua bentuk. Rahmat yang pertama
dizahirkan melalui sifat dan akhlak junjungan baginda itu sendiri, sepertimana
dalam sabdanya;
ِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا
وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً
Sesungguhnya
aku tidak diutuskan untuk laknat-melaknat, tetapi sesungguhnya aku diutuskan
untuk membawa rahmat.
(Diriwayatkan oleh Abu Hurayrah seperti dalam Sahih Imam Muslim.)
Yang kedua, rahmat terkandung dalam kesempurnaan Syariat Muhammadiyyah
berbanding syariat para nabi sebelum baginda dengan sifatnya khususnya yang
memudahkan, bukan menyulitkan Rahmat Allah meliputi segala sesuatu wasiát kulla syai’ dan melimpahi sekalian
kehidupan (zaatal hayah). Manusia, sama ada Islam ataupun bukan Islam,
alam sekitar, haiwan, flora dan fauna
kesemuanya berada dalam naugan kasih sayang Allah SWT. Dalam konteks yang lebih luas, rahmat Allah
bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan yang menyejagat,
khidmat kebajikan yang inklusif meratai seluruh warga bumi Ilahi.
Oleh itu, menurut Abdullah Yusuf ‘Ali, “Islam hidup bukan untuk dirinya sendiri, tetapi untuk seluruh
kemanusiaan”. Rahmat Allah dan Islam adalah untuk disebarkan kepada
sekalian manusia merentas bangsa, agama dan ideologi, bukan untuk dibolot
sendirian oleh umat Islam. Manusia
bermentaliti Arab badawi sebeginilah yang ditegur oleh junjungan baginda SAW
ketika mendoakan rahmat hanya untuk dirinya dan Muhammad, tidak selainnya!
لَقَدْ حَجَّرْتَ وَاسِعًا يُرِيدُ
رَحْمَةَ اللَّهِ
“...Engkau menyempitkan yang
luas!” Maksud baginda adalah rahmat Allah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Bab Adab)
Maka sebagai penerus risalah para anbiya’, gerakan dakwah haruslah tampil dengan penuh wibawa bagi menampilkan
kembali citra Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang sekaligus
menjelmakannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Islam dan Masyarakat Majmuk:
Ke Arah Pembinaan Bangsa Malaysia
Rekod kepeloporan ABIM dalam menyikap dan menuangkan gagasan Islam
dalam masyarakat majmuk telah diungkapkan secara jelas dan tegas seawal 1978
lewat Muktamar ABIM ke-7 melalui Pengisytiharan 24 Syaaban 1398H bersempena
Muktamar ABIM ke-7 pada 30 Julai 1978.
Pendirian ABIM ini telah diperkukuhkan melalui melalui Ucapan Dasar
Sdr. Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu yang telah mengangkat tema Islam –
“Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk” pada Muktamar Sanawi ke-8. Beliau menegaskan,
“Dalam konteks masyarakat
majmuk di Malaysia, langkah utama haruslah ke arah penghakisan aliran perkauman
sempit dan cauvinisma.”
Ternyata seruan yang dikumandangkan sejak empat dekad lalu masih
relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Bahkan kita dapati hari
ini - di sebalik riang-riuh perpaduan ‘superficial’
1 Malaysia; kita menyaksikan bahawa polarisasi perkauman antara masyarakat
Malaysia semakin jauh dan menjarak. Bukan sahaja lewat perpolitikan dan bidang
sosio-ekonomi, bahkan isu rasisme dan perkauman sempit telah mewabak ke dalam
hampir segenap dimensi kehidupan rakyat Malaysia, termasuklah dalam bidang
sukan tanah air yang sebelum ini merupakan lahan subur perpaduan setiap lapisan
bangsa di Malaysia.
Di sebalik arus kesedaran Islam yang dirasakan semakin meningkat
dalam kalangan Umat Melayu, adalah sesuatu yang menjengkelkan; tatkala melihat
semangat perkauman sempit dan aliran rasisme diberi ruang yang luas oleh
penguasa untuk berleluasa. Islam yang sepatutnya tampil sebagai agen
pembebasan: membebaskan manusia dari diskriminasi dan ketidakadilan
berlandaskan kasta, ras, kelas dan perkauman; bahkan telah sebaliknya
ditampilkan di tangan sekelompok kecil pemuka asabiyyah dan syu’ubiyyah
faham perkauman sempit. Hal ini menyebabkan Islam disalahtafsirkan seolah-olah
membenarkan peremehan, penghinaan dan bersikap diskriminatif lagi tidak adil
terhadap bangsa atau penganut agama lain.
Justeru sekali lagi ingin kita tegaskan, bahawa keyakinan kita
sejak dahulu, bahawa yang memiliki formula menangani persoalan kemajmukan dan
pluraliti adalah Islam, bukan cauvinisme, bukan nasionalisme sempit, dan
pastinya bukan samseng-isme.
Dalam Syarahan Perdananya di Kuala Lumpur yang bertajuk A Muslim
Century: Myth or Reality? In Search of
Modern Pillars of Wisdom, Ali
Al-’amin Mazrui menitipkan satu pengamatan yang tajam tentang keunikan
umat Melayu di rantau ini. Menurut beliau, kelihatannya seolah-olah Allah yang
Maha Berkuasa menggunakan sejarah orang Melayu sebagai ujian untuk menguruskan
kemajmukan budaya. Dengan memetik firman Allah di dalam ayat 13 Surah
al-Hujurat berkaitan konsep kemajmukan, beliau mengacukan persoalan yang wajar
direnungi secara mendalam,
Was it part of God’s grand design that the history of the Malay
people has included a naturalist phase, a Buddhist phase, a Hindu phase, and
finally a Muslim phase? Was this multi-religious evolution of the Malay people
intended to be a preparation for future multi-cultural leadership? (Ali Mazrui, 2010:5)
Formula penyelesaian yang ingin kita tawarkan sebagai bahagian
penting gelombang baru Nahdah ini ialah gagasan pembinaan Bangsa Malaysia.
Merekayasa pembentukan suatu bangsa yang terdiri dari pelbagai suku dan
penganut agama; sebenarnya bukanlah suatu yang sama sekali asing dalam sejarah
politik Islam. Dalam kaitan inilah rujukan kepada konsep pembentukan dokumen
Sahifah Madinah, yang mengandungi garis-garis besar pembentukan suatu Ummah
yang terdiri daripada kaum Muslimin dan kaum Yahudi, seperti yang terungkap
dalam Fasal 25, “wa anna Yahuda bani Áwf ummatun ma’a al-Muslimin”.
Ungkapan ‘ma’a al-Muslimin’ (bersama kaum Muslimin) dan bukannya ‘min
al Muslimin’ (sebahagian dari kaum Muslimin); membawa implikasi bahawa
masyarakat Yahudi menjadi sebahagan daripada ‘Ummah siyasiyah’ (Umat
politik) Madinah yang inklusif bersama-sama dengan Umat Islam. Ini dibezakan
dengan konsep ‘Ummah dinniyah’ iaitu Umat keagamaan Islam.
Dalam konteks inilah, Siddiq Fadzil (2016) merumuskan bahawa
kemajmukan atau istilah Arabnya yang dipakai secara meluas oleh sarjana Muslim
kontemporari – at-taáddudiyyah -
sebagai fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui oleh
Islam. Dalam hubungan ini, satu lagi istilah penting yang melibatkan hubungan
antara Islam dan bukan Islam ialah konsep ukhuwwah yakni persaudaraan.
Dalam menghuraikan makna kalimah ‘li akhihi’ dalam hadis di
atas, Syeikh Abdullah Ben Bayyah telah mengenengahkan pandangan Ibn Rajab
al-Hanbali, al-Shabrakhiti yang
menafsirkannya sebagai ‘persaudaraan kemanusian’ dan tidak terbatas kepada
ukhuwwah Islamiyyah. Imam al-Nawawi dan íbn al- Imad, seperti yang dihuraikan
oleh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti – menafsirkannya ‘…to include of all
humanity i.e brotherhood of mankind’. Bahkan beliau mengenengahkan tafsiran
Imam Najmuddin at-Tufi dalam al-Ta’yin fi Sharh al-Arba’in bahawa
persaudaraan itu membawa maksud mahabbat al-Insan – the love of mankind.
Dengan kefahaman ini, jelaslah bahawa perasaan kecintaan seperti yang
terkandung dalam hadis ini amat terkait dengan persaudaraan kemanusiaan - ukhuwwah
insaniyyah – yang universal merentas batas bangsa dan agama.
Fenomena kemajmukan ini telah ditangani dalam bentuknya yang
realisitik-pragmatik; berasaskan neraca keadilan oleh Baginda Rasulullah SAW
sendiri, melalui prinsip-prinsip perlembagaan yang tercatat dalam Sahifah
Madinah. Yang terpenting, perlembagaan
tersebut jelas memberikan kewargenaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah)
kepada masyarakat Yahudi dengan status, hak dan tanggungawab yang sama dengan
Umat Islam, dan bukannya warganegara kelas dua.
Dalam kaitan ini, Muhammad Salim el-Awa menegaskan bahawa
kewarganegaraan yang terhasil dari Sahifah Madinah tersebut sebenarnya bukanlah
berasaskan mana-mana agama. Bahkan, muwathanah
haruslah bersandarkan kepada kesaksamaan (equality)
di antara Muslim dan bukan Muslim, selari dengan konsep ‘karamah insaniyyah’ lewat firman ALLAH SWT dalam Surah 17:70: ‘wa
laqad karramna bani Adam’.
Justeru, tanggungawab bersama setiap warganegara berasaskan model
Sahifah Madinah terkandung dalam konsep ‘nasrah wa-taáwun’ (bantu-membantu
dan berkerjasama) Penghuraian kepada Sahifah Madinah bukanlah bermakna ABIM
mencadangkan pemaikaiannya dalam bentuk asalnya dalam konteks hari ini.
Sebaliknya, yang perlu dicontohi dan diaplikasikan ialah prinsip-prinsip
kenegaraan berasaskan nilai universal Islam yang tertuang di dalamnya.
Agenda pembinaan Bangsa Malaysia yang didasari oleh semangat
persaudaraan tanahair dan ukhuwwah insaniyyah sekaligus bebas dari chauvinisme,
rasisme, kecurigaaan dan kecemburuan sosial memang sulit dan berliku. Namun
kita tidak punya pilihan selain mengambil jalan kepeloporan yang sememangnya
menjadi watak dan jati diri gerakan ini. Jika bukan kita, siapa lagi?
ABIM JURUBICARA UMMAH
Penyataan sikap yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu pada 7
Oktober 2015 yang lalu berkenaan
skandal 1 MDB, adalah bukti kekhuatiran yang nyata terhadap impak
skandal ini terhadap negara. Kekhuatiran ini semakin berasas setelah
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan berlakunya kelemahan
tadbir urus di dalam badan tersebut pada 7 April 2016 lalu di sebalik klasifikasi
‘rahsia’ ke atas laporan 1MDB oleh Ketua Audit Negara. Kemuncaknya ialah pendedahan yang dikemukakan
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bahawa negara ini telah terjerumus ke
kancah kleptokrasi. Skandal besar ini
telah mencalarkan maruah negara serta rakyat Malaysia di mata masyarakat
antarabangsa.
Skandal kewangan yang diakibatkan oleh syarikat pelaburan 1MDB ini
telah memberikan kesan besar terhadap kelestarian ekonomi negara. Berdasarkan
keadaan ini, ABIM telah menggesa proses siasatan serta tindakan perundangan
secara bebas dan telus, termasuklah pendakwaan ke atas individu yang bertanggungjawab.
Tindakan penting dilakukan bagi membina semula bibit keyakinan terhadap sistem
urus tadbir, perundangan, dan pengurusan
ekonomi negara yang semakin pudar
integritinya.
Krisis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara tambah merosot
dengan penemuan dan rampasan menjolok mata wang ringgit berjumlah RM 112 juta
membabitkan pegawai-pegawai tertinggi di Jabatan Air Sabah. Skandal korupsi,
rasuah dan penyelewengan juga telah memalitkan agensi Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur dan Bank Rakyat. Korupsi yang telah nyata mewabak di tanah air tercinta
kita pada hari ini semakin menyebati dan kian dianggap sebagai satu lumrah kebiasaan
dalam masyarakat.
Kebimbangan terhadap pembudayaan korupsi inilah yang dikeluhkan
oleh pemuisi Indonesia Taufik Ismail
dalam sajaknya ‘Mungkin Sekali Saya Sendiri Juga Maling’
Penamaan
koruptor sudah tidak menggigit lagi kini,
istilah korupsi
sudah pudar dalam arti.
Lebih baik kita
memakai istilah ”malling”.
Malling dengan
dua el, membedakannya dari maling dengan satu el.
Lihatlah para
maling itu kini mencuri secara berjamaah.
Mereka
bersaf-saf berdiri rapat, teratur berdisiplin dan betapa khusyu’.
Begitu rapatnya
mereka berdiri susah engkau menembusnya.
Begitu
sistematiknya prosedurnya tak mungkin engkau menyabotnya.
Begitu
khusyu’nya, engkau kira mereka beribadah.
Kemudian kita
bertanya, mungkinkah ada maling yang istiqamah?
Lihatlah jumlah
mereka, berpuluh tahun lamanya,
membentang dari
depan sampai ke belakang,
melimpah dari
atas sampai ke bawah,
tambah merambah
panjang deretan saf jamaah.
Jamaah ini
lintas agama, lintas suku dan lintas jenis kelamin.
Bagaimana
melawan maling yang mencuri secara berjamaah?
Bagaimana
menangkap maling yang prosedur pencuriannya malah dilindungi dari atas sampai
ke bawah?
Bagaimana ini?
Tangan kiri
jamaah ini menandatangani disposisi MOU dan MUO (Mark Up Operation),
tangan kanannya
membuat yayasan beasiswa, asrama yatim piatu dan sekolahan.
Kaki kiri
jamaah ini mengais-ngais upeti ke sana ke mari,
kaki kanannya
bersedekah, pergi umrah dan naik haji.
Otak kirinya
merancang prosentasi komisi dan pemotongan anggaran,
otak kanannya
berzakat harta, bertaubat nasuha dan memohon ampunan Tuhan.
Bagaimana
caranya melawan maling begini yang mencuri secara berjamaah?
Jamaahnya kukuh
seperti diding keraton,
tak mempan
dihantam gempa dan banjir bandang,
Keprihatinan terhadap latar sosio-ekonomi semasa dan kedaulatan
ekonomi negara turut mendorong ABIM untuk memfailkan semakan kehakiman bersama-sama beberapa rakan NGO
pada 4 November 2015 bagi untuk menghalang perlaksanaan Perjanjian Perdagangan
Trans- Pasifik (TPPA) di antara Malaysia, Amerika Syarikat
dan 11 negara lain. Semakan ini dibuat bersandarkan premis bahawa sistem
kehakiman negara harus berperanan
sebagai “ultimate interpreter” yang melindungi kepentingan rakyat serta negara
berdasarkan ketetapan-ketetapan Perlembagaan Persekutuan. Tatkala calon-calon utama piliharanraya
Presiden Amerika Syarikat secara terang-terangan menentang dasar pelaksanaan
TPPA, ABIM telah meneruskan proses
semakan kehakiman di peringkat Mahkamah Persekutuan rentetan keputusan Mahkamah Rayuan yang menafikan
permohonan ABIM dalam kes Mohamad Raimi & 2 Others v Datuk Seri Mohd. Najib
Tun Razak & 2 Others bertarikh 26 Julai 2016.
Pada awal tahun 2016, kita telah dikejutkan dengan perlaksanaan
Dasar Dwi-Bahasa (DLP) di 300 buah sekolah di seluruh negara. ABIM bersama-sama
dengan para pejuang Bahasa telah ke hadapan untuk menyatakan bantahan sekeras-kerasnya
ke atas DLP menerusi pelbagai medium diplomasi serta advokasi. Kemuncaknya
adalah ketika Perhimpunan Keranda 152 yang diadakan di hadapan Masjid Jamek
Kuala Lumpur pada 26 Mac yang lalu. Sesungguhnya perlaksanaan DLP adalah satu
penghinaan yang mencabar kedaulatan Bahasa Melayu sepertimana ditetapkan di dalam
Perkara 152 (Perlembagaan Persekutuan).
MEMACU AGENDA KEPELOPORAN ABIM
Gelombang Nahdah bakal menumpukan pada agenda Islah dan
pemberdayaan umat secara bertahap dan mengambil pendekatan menyeluruh. Gerakan ini akan merangkumi usaha
membangkitkan kesedaran, membina ketahanan dan membangunkan kemampuan umat.
Projek pemerkasaan umat juga akan menumpukan kepada pembinaan tiga elemen tunggak dalam proses
perubahan iaitu kepimpinan yang
berwibawa, faham agama yang benar dan budaya yang kuat. Justeru bagi
mengemudi gelombang Nahdah ini dan iltizam memartabatkan Khayra Ummah, ABIM
akan menumpukan awlawiyyat kepada
enam agenda kepeloporan berikut yang
meliputi beberapa aspek penting dalam pemberdayaan umat:
Pendidikan al-Hikmah
Pendidikan model al-Hikmah, seperti yang terumus dalam
prinsip-prinsip pendidikan Luqman al-Hakim kepada anaknya adalah sistem yang
menekankan hubungan kasih-sayang sesama warga, pendidik dan anak didik sehingga
wujud iklim yang nyaman dan menyenangkan.
Pendidikan merupakan agenda utama gerakan ABIM dan sekaligus our deepest conviction. Kita
berkeyakinan penuh bahawa sebarang proses perubahan dan gelombang kebangkitan
haruslah bermula dari pendidikan yang bersifat profetik dan bercirikan
Rabbaniyyah. Atas kesedaran itulah ABIM
mempelopori rangkaian pendidikan alternatifnya
yang sehingga kini masih bertahan. Alhamdulillah, institusi-institusi
pendidikan yang kita tawarkan dari pendidikan pra persekolahan ke pengajian
tinggi disambut baik oleh umat.
Pemohonan masuk ke taski dan sekolah ABIM seringkali melebihi tempat
terhad yang mampu ditawarkan. Dari segi pencapaian akademik pula, ternyata
sekolah-sekolah kita berada di kelasnya tersendiri. Namun itu semua tidak
mewajarkan kita untuk berpuas hati dan berhenti berikhtiar untuk maju ke
hadapan bagi meningkatkan prestasi dan
menyuntik nilai tambah. ABIM sedang dan akan terus komited membina lebih banyak
sekolah baru di negeri-negeri selain mengembangkan kembali rangkaian Taski ABIM
di seluruh Negara.
Belia dan Keberanian Zaman
Belia sinonim dengan perubahan dan pembaharuan. Dengan jumlah belia
dianggarkan seramai 50% daripada 28.4 juta rakyat Malaysia pada tahun
2016, tidak menghairankan seandainya
belia menjadi tumpuan pelbagai pihak berkepentingan, dari promoter bisnes atas talian hinggalah ke politikus yang menagih
undi! Tinjauan terhadap kajian- kajian
terkini berkaitan belia di institusi penyelidikan belia dan universiti menjurus
kepada tema besar iaitu aspek kesejahteraan hidup belia. Indeks Belia Malaysia
misalnya mengukur tahap 12 domain kesejahteraan meliputi pembangunan kendiri,
hubungan sosial dan tingkah laku devian. Dapatan Indeks Belia tahun 2015
menunjukkan bahawa dua domain dengan
skor terendah, dan untuk itu harus
diberikan perhatian ialah domain sosialisasi politik dan kesejahteraan
ekonomi. Inilah dua bidang yang akan diberi
tumpuan oleh ABIM dalam tahun- tahun mendatang, khususnya aspek kesejahteraan
sosio-ekonomi belia.
Hakikatnya, tanpa merujuk statistik sekalipun, kita dapat dengan
mudah mengenalpasti permasalahan dan keluhan yang dihadapi oleh belia hari ini
seperti pengangguran, komitmen kewangan dan beban hutang yang tinggi,
kemuflisan, rumah tidak mampu milik, dan peningkatan kos sara hidup yang
tinggi. Inilah masalah- masalah yang menjadi keluhan generasi muda. ABIM akan
mengambil pendekatan membangunkan sepenuhnya potensi dan kreativiti generasi
muda dalam rangka menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi. Sudah tiba
masanya anak muda yang berjumlah hampir 14 juta orang membentuk keberanian
zamannya sendiri, bebas dari sindrom kebergantungan dan mentaliti subsidi.
Sebagai sebuah organisasi yang menghargai bakat dan kreativiti
orang muda, ABIM menjemput dengan tangan terbuka para belia yang mempunyai
wawasan dan cita-cita besar di luar sana untuk berkongsi dan berkolaborasi
bersama-sama kami dalam gelombang perubahan baharu ini. Teknologi dan
kepercayaan masyarakat merupakan dua aset terpenting generasi muda yang harus
digembeleng sepenuhnya ke arah perubahan. Berbekal keyakinan yang tinggi
masyarakat terhadap NGO, para penggerak ABIM akan tampil lebih bertenaga bagi
menggerakkan inisiatif-inisiatif inovasi sosial untuk memberdaya umat. Projek
rintis yang digerakkan oleh ABIM Selangor, menerusi rangkaian pusat sehenti
sosial Adab Youth Garage (ADAB) dan konsep Sekolah Masa Depan akan
mengembangkan lagi peranan ABIM memberdayakan generasi muda di lapangan.
Gerakan Amal Kemasyarakatan
Di antara ciri-ciri asas bagi gerakan Islam (min al-khasāis al-Asasiyah lil Harakah al-Islamiyyah) seperti ABIM
ialah sifatnya sebagai sebuah gerakan kemasyarakatan. Ciri-ciri ini
telah dipertegaskan oleh Syeikh Yusuf
al-Qaradhawiyy menerusi Awlawiyat al-Harakah al-Islamiyyah fi Marhalah al-Qadimah,
gerakan Islam tidak boleh sama sekali mengasingkan diri dari masyarakat, apatah
lagi tercabut dari akar umat lalu menjadi gerakan yang bersifat elitis serta
eksklusif. Justeru, adalah amat penting untuk para penggerak ABIM harus terus
menyelami sehingga ke dasar dhamir dan suara hati umat.
ABIM akan terus membela golongan du’afa’, menyantuni kelompok fuqara’
wa al-masakin tanpa mengira latarbelakang kaum serta agama. Kemiskinan dan kemelaratan tidak mengenal
warna kulit atau faham agama dan ideologi. Inisiatif menghindarkan pelajar
sekolah dari jebak masalah sosial telah dirintis menerusi program Dirimu Amat Berharga
(DERMAGA). Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Skuad Prihatin, khidmat
nasihat guaman ABIM serta Biro Kesihatan ABIM (BKA) akan terus dikembangkan ke
seluruh pelusuk negara. ABIM akan bangkit sebagai sebuah gerakan amal bakti
kemasyarakatan yang sinonim membantu memenuhi keperluan fizikal, emosi,
ruhaniah dan sosio-ekonomi umat, selari dengan mafhum peringatan Al-Qur’an di
dalam Surah al Ma’un.
Pencerdasan Rakyat dan Pendemokrasian
Semenjak penubuhannya, ABIM tidak pernah absent dari mempelopori agenda pencerdasan dan pendemokrasian
rakyat. Fokus akan ditumpukan kepada program-program pendidikan demokrasi dan
kewarganegaraan dan pembelaan prinsip-prinsip al hurriyah (kebebasan), keadilan, hak asasi, kedaulatan undang-undang dalam rangka membela dan
memartabatkan kedaulatan rakyat dan karamah insaniyyah. ABIM akan turut ke
hadapan dalam menggali tradisi fiqih
dan pemikiran Islam dengan tumpuan khusus kepada pengajian turath siyāsiy. Kemahiran-kemahiran asas advokasi seperti pemikiran
kritis, berpidato, menulis serta membina jaringan menerusi perhubungan awal
(PR) akan turut dipergiat. Para penggerak ABIM harus berperanan proaktif bagi
mendidik umat menerusi pelbagai saluran media sosial kontemporari seperti
Facebook, Instagram, Whatapps, Telegram, Twitter, dan saluran-saluran lain yang
bakal muncul pada masa akan datang.
ABIM dan Agenda Ummatik
Peranan ABIM sebagai global
player di peringkat antarabangsa
perlu dikembangkan oleh para aktivisnya. Keprihatinan kita terhadap kemelut
yang dihadapi umat Islam seluruh dunia dan isu-isu hak asasi sejagat akan terus
disuarakan menerusi saluran diplomasi dan advokasi yang berkesan dalam pelbagai
bentuk.
Jaringan antarabangsa ABIM dalam organisasi global seperti UNIW dan
IIFSO jaringan perlu dimanfaatkan ke arah mencorak masa depan Islam secara
proaktif. ABIM sedang memberikan tumpuan
khusus sebagai gerakan pelopor di kalangan masyarakat madani dalam inisiatif Countering Violent Extremisme
(CVE), komitmen yang kita zahirkan
melalui siri-siri persidangan meja bulat dan dialog. Pada masa yang sama, rekod cemerlang ABIM
dalam bidang kemanusiaan dan kesukarelawanan antarabangsa bakal diteruskan
melalui agensi Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) serta Global Peace Mission
(GPM) dengan tumpuan di Syria, Rohingya, Palestin serta Mindanao. Kami menyeru
partisipasi serta sokongan yang luas dari para penggerak ABIM untuk terlibat
sama menjayakan agenda Ummatik ini.
Membugar Budaya Dialog
ABIM komited untuk memimpin gerakan pemugaran budaya dialog di
Malaysia. Pendekatan dialog sebagai gaya pendekatan Quráni dirasakan pendekatan
yang paling sesuai dan utama dalam interaksi masyarakat majmuk di Malaysia.
Sebagai sebuah gerakan inklusif yang mengetengahkan gagasan Al-Islam Rahmatun Lil Alamin menerusi pendekatan
kesederhanaan – Wasatiyyah, ABIM akan
memainkan peranan yang instrumental dalam Friendship Group of Inter Religious Services (FGIS), Jawatankuasa Mempromosikan
Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN) dan pelbagai platform lain di peringkat global dalam mempromosikan
solidariti dan kebersamaan penganut agama dalam isu-isu etika dan kemanusiaan sejagat.
Inisiatif dan siri kunjungan serta dialog FGIS melibatkan Mufti Wilayah
Persekutuan, Archbishop of Kuala Lumpur, Julian Leow Beng Kim, dan tokoh-tokoh
agama dengan semangat persaudaraan insaniah merupakan amanah dakwah yang akan
terus dipelopori oleh generasi muda ABIM.
Revolusi Intelektual dan Pembaharuan Pemikiran
Pembudayaan nilai ilmu dalam masyarakat merupakan agenda ABIM sejak awal penubuhannya ABIM.
Menerusi dunia penerbitan buku dan bahan ilmiah, ABIM cukup terkehadapan dalam memperkenalkan
pemikiran tokoh-tokoh Islam kontemporari seperti Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, An-Nadwiy,
Buya Hamka, Muhammad Iqbal, Badizuzzaman Said Nursi. Selari dengan semaraknya aṣ-ṣaḥwah
al-maqāsidiyyah, ABIM akan
mengorak langkah bagi memperkenalkan pemikiran tokoh – tokoh utama dan
teks-teks pentingnya kepada masyarakat.
Penerbitan buku ‘Memahami Maqasid Shariah’ karya Jasser Auda sebelum ini dan
‘Kebebasan dan Pembebasan’ karya al-Raysuniy pada Muktamar ini akan diteruskan dengan
penulisan, penterjemahan dan penerbitan yang lebih prolific dalam maudhuk
tersebut.
Sehubungan dengan itu juga, ABIM telah merintis kerjasama dengan
Institut Darul Ehsan dan Kolej Dar al-Hikmah
untuk menganjurkan siri telaah karya Maqasid Shariah yang dimulakan dengan
kitab Maqasid al-Shariah bi Ab’Ad
al-Jadid karya Abdul Majid al-Najjar dan Uṣūl al-niẓām al-ijtimāʻī fī al-Islām karya ‘Ibn Ashur. Justeru ABIM membuka ruang seluas-luasnya
kepada generasi agamawan muda dan para mahasiswa turut menyertai insiatif ABIM
memperkukuh harakah al-fikr dengan
menekuni kekayaan khazanah turath melalui siri pengajian yang dianjurkan.
HELWA dan Pemberdayaan Keluarga
Kepimpinan serta peranan wanita adalah “vital” dalam meneruskan kesinambungan gelombang baru kebangkitan
ini. Seiring dengan cabaran pada masa akan datang, penggerak HELWA (Hal Ehwal
Wanita) ABIM akan berperanan lebih proaktif demi menjayakan agenda pemberdayaan
wanita khususnya dan umat keseluruhannya.
Komitmen dan kesungguhan barisan penggerak, aktivis dan sukarelawan HELWA
akan digarap dan digembeleng dalam bentuk advokasi dan aktiviti bagi
mengukuhkan institusi keluarga, pembelaan hak wanita, kebajikan kanak-kanak dan
merangka penyelesaian kepada gejala dan permasalahan sosial. Program Literasi
Undang-undang Keluarga Islam asas-asas undang-undang keluarga Islam yang
mendapat sambutan hangat akan diteruskan manakala Modul Keluarga Mawaddah wa Rahmah (KAMAR) HELWA yang
meliputi modul cakna diri, keselamatan
remaja, kesihatan keluarga dan kesejahteraan komuniti akan dikembangkan ke
kumpulan sasaran yang lebih besar, termasuk di kalangan pelajar-pelajar sekolah
di seluruh negara.
Membangun Generasi Al-Qur’an yang Rabbaniy
ABIM komited untuk melahirkan generasi Al-Qur’an yang menghayati
nilai-nilai Rabbaniy sepertimana dalam firman Allah SWT;
وَلَٰكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ
بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ
“……Hendaklah kamu menjadi
orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal
yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya (Surah Ali’Imran: Ayat 79)
Imam Fakhruddin al-Razi ketika mentafsirkan ayat ini telah mengenengahkan pandangan Abu ‘Ubaydah bahawa
yang dimaksudkan dengan Rabbaniy
merujuk kepada insan yang berilmu dan mengamalkannya
serta sibuk mengajarkan manusia ke jalan kebaikan.
فَهِيَ تَدُلُّ عَلَى الإِنسَانِ
الذي عَلِمَ وعَمِلَ بِمَا عَلِمَ ، وَاشْتَغَلَ بِتَعْلِيْمِ طُرُقِ الخَيْر
Inilah sifat dan kualiti generasi yang ingin kita ingin lahirkan
melalui sistem tarbiyyah harakah. Misi
pengislahan dan kebangkitan umat yang kita cita-citakan tidak akan lengkap tanpa
membina generasi safwatul muktarah yang komited untuk berjuang di jalan dakwah.
Inilah jalan yang telah ditempuhi dan
ditauladankan kepada kita oleh junjungan Rasulullah SallalLahu ‘alayhi wasallam
melalui pembinaan generasi para sahabat yang diistilah sebagai generasi
terbaik.
Generasi al-Qur’an yang Rabbaniy
menghayati dan menterjemahkan tuntutan Al-Qur’an dalam kehidupan peribadi,
keluarga dan lingkungan sosialnya. Objektif-objektif Al-Qur’an, atau al-Maqasid al-Qur’aniyyah seperti yang
dihuraikan oleh Syeikh Taha Jabir Al-Alwani (2005) menuntut kepada pelaksanaan tiga matlamat
akhir iaitu pengukuhan faham Tauhid, pemurniaan masyarakat dan kemanusian (tazkiyyah) serta ‘Umran - iaitu pembinaan tamadun yang berasaskan nilai. Justeru, ABIM akan terus menggilap potensi
yang ada dalam kalangan generasi muda dan melatih para daie muda melalui usrah,
tamrin, serta program kerohanian dan siri-siri latihan yang konsisten sebagai
persiapan melaksanakan matlamat tawhid,
tazkiyyah dan ‘umran yang dituntut oleh Al-Qur’an.
AYUH BANGKIT
Sebagai wadah pewaris dan pelanjut risalah para anbiya’, ABIM cukup menginsafi bahawa
agenda menjayakan misi Islah dan perubahan hendaklah memenuhi syarat-syaratnya.
Kejayaan mengemudi gelombang Nahdah dan memartabatkan khayra ummah yang kita gagaskan hendaklah berpangkal dengan
kekuatan ruh al-Islamiy dalam jiwa
para daié. Perubahan yang dicita-citakan tidak akan menepati hakikat sebenarnya
tanpa dimulai dengan keutuhan Iman dan kekentalan ruhaniah yang telah membina
generasi para sahabat.
Justeru dalam semarak muktamar dan iltizam perjuangan yang membara
ini, marilah kita mulakan langkah awal kita dengan tekad untuk membangkitkan
dhamir dan ruh al-Islamiy dalam diri menerusi pesan Allah SWT yang terakam
dalam Surah al-Muzammil
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (۱) قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا (٢)
نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا (٣) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ
الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (٤) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا (٥)
Wahai orang
yang berselimut! (1) Bangunlah (sembahyang Tahajjud) pada waktu malam, selain
dari sedikit masa (untuk berehat). (2) Iaitu separuh dari waktu malam, atau
kurangkan sedikit dari separuh itu. (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya;
dan bacalah Al-Qur’an dengan Tartiil. (4) Sesungguhnya Kami akan menurunkan
kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah-perintah yang
berat). (5)
(Surah al-Muzammil, Ayat 1-5)
Sesungguhnya inilah jalan yang dilalui oleh junjungan baginda
Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wasallam
yang kita kasihi dalam mencari kekuatan bagi melaksanakan amanah dakwah yang
cukup berat itu, menebarkan kalimah Tauhid membina peradaban manusawi ke
seluruh alam. Sebagai bekalan pulang buat para muktamirin dan muktamirat,
hadirin dan hadirat yang dimuliakan sekalian, saya titipkan nukilan oleh Syed Qutb, pengarang Tasfir fi Zilal al-Qur’an ketika menghuraikan
kesan mendalam seruan kebangkitan dalam Surah al-Muzammil terhadap kegigihan
perjuangan baginda Rasulullah Sallalallahu
‘alayhi wasallam.
“Dengan panggilan itu Junjungan
mula mengerti bahawa zaman “tidur” sudah berakhir, bahawa Junjungan sedang
berhadapan dengan tugas besar dan perjuangan sengit yang panjang, bahawa telah
menjelang zaman kebangkitan – zaman hempas-pulas, kerja keras terus-menerus
yang tidak akan mengizinkannya untuk tidur lagi.
Rasūlu’Llāh
s.’a.w. telah menerima perintah “Qum!
Bangun!” lantas Junjungan pun segera bangun, dan terus bangun untuk selama lebih dua puluh tahun – berjuang terus-menerus
tanpa mengenal rehat. Junjungan bangun dan terus bangun dengan da’wahnya kepada
Allah. Dengan gigih dipikulnya beban
berat itu di atas bahunya tanpa keluhan, tanpa rintihan. Dengan setia
didukungnya beban amanah terbesar di bumi Allāh ini – beban kemanusiaan
seluruhnya, beban ‘aqīdah dan seutuhnya, beban jihād dan perjuangan di segala
gelanggangnya.”
Selamat Bermuktamar! Allahu Akbar, Allahu Akbar! Allahu Akbar!
(Mohamad Raimi
Ab. Rahim, Presiden ABIM)
No comments:
Post a Comment