Contengan Dinding di Daraa
Pada Mac 2011 di bandar kecil
Daraa, sekumpulan anak-anak remaja berumur di antara 10 hingga 15 tahun secara
nakal menconteng dinding sekolah mereka. Contengan tertera dalam bahasa Arab, ‘Kini giliran kamu, wahai doktor!’ Mereka
tidak sangka bahawa contengan ini menjerumuskan mereka ke kancah kesengsaraan
dan bakal pula meledakkan kebangkitan rakyat. Slogan-slogan yang bergema di
Syria dan di negara-negara Arab waktu itu adalah tentang perubahan regim, ‘Rakyat mahu regim pemerintah turun’
sebagai protes serta kebangkitan rakyat menuntut kebebasan, keadilan,
kehormatan, hak asasi dan kehidupan lebih bermakna. Rata-rata negara-negara
Arab diperintah secara kuku besi oleh autokrat menggunakan keadah-kaedah
tirani, menindas rakyat sementara regim serta konco-konco korup mengaut harta
kekayaan. Rakyat jelata merasakan kehinaan dan keperitan berada di bawah
pentadbiran korup dan mereka tidak melihat harapan yang cerah tanpa perubahan.
Syria sejak rampasan kuasa Hafez
Al Assad pada 1970 mengamalkan pemerintahan autokratik tanpa belas kasihan.
Sebarang kritikan, bangkangan atau suara penentangan akan dipatahkan dengan
penangkapan tanpa bicara dan siksaan teruk di penjara-penjara Syria yang
digeruni hingga sekarang. Apabila berlaku kebangkitan rakyat Homs pada 1982 menentang
pindaan perlembagaan yang menyentuh kedudukan agama, Hafez mengepung dan
meranapkan bandar itu serta membunuh 20,000 orang penduduknya. Israel sering
menggunakan contoh peristiwa hitam ini bagi menunjukkan kezaliman Arab sendiri
ke atas rakyat dan memburukkan psikologi bangsa Arab.
Apabila Bashar Al Assad
menggantikan bapanya, banyak pihak mengharapkan era perubahan akan berlaku
kerana dia muda dan seorang doktor gigi lulusan United Kingdom. ‘Doktor’ yang
dimaksudkan pada contengan dinding di Daraa. Walaupun Bashar menjanji
pembaharuan, namun penangkapan penentang-penentang terus berlaku. Pengintipan
oleh mukhabarat – agensi perisik yang
ditakuti menjadi-jadi. Setiap panggilan telefon akan mempunyai ‘time lag’ – kesenggangan waktu yang
bermakna agen mukhabarat sedang
mendengar perbualan satu persatu.
Angin kebangkitan rakyat Tunisia,
Mesir dan Libya tiba ke Syria. Demonstrasi bermula tetapi ditindas oleh regim
secara ganas. Pada suasana itulah, sekumpulan anak-anak remaja berkenaan yang
membuat contengan di dinding diburu oleh pasukan keselamatan Syria dan dilaporkan
seramai 15 orang ditahan secara rambang serta
dipenjarakan. Di penjara, mereka telah didera dan disiksa dengan amat brutal. Apabila
diketahui oleh kaum keluarga dan kerabat, mereka bergegas ke penjara merayu
kepada ketua perisik wilayah berkenaan menawarkan agar anak-anak mereka
dibebaskan dan tidak lagi didera. Ketua perisik itu telah mengeluarkan
kata-kata kesat dan menghina, ‘’Lupakanlah
saja anak-anak kamu. Buatlah anak-anak baru. Jika tak mampu, hantar
isteri-isteri kamu ke sini untuk kami ajarkan.”
Keluarga kerabat dan orang ramai
mula berkumpul dan menunjuk perasaan secara aman menuntut pembebasan anak-anak
berkenaan. Salah seorang anak remaja itu, Hamza al Khateeb berusia 13 tahun mati
setelah menjalani deraan brutal. Pasukan keselamatan menggunakan tembakan bagi
meleraikan orang ramai. Ada kematian dan kecederaan. Regim menangkap lebih
ramai penentang di Daraa. Perarakan jenazah juga diserang oleh tentera regim. Orang
ramai pun membalas dengan tunjuk perasaan besar-besaran, rusuhan dan menyerang
pasukan keselamatan serta bangunan-bangunan perisikan serta polis. Regim
berusaha mengawal keadaan dan akhirnya membebaskan anak-anak berkenaan untuk cuba
menenangkan keadaan. Namun rakyat Daraa telah bangkit dan membakar bangunan-bangunan
regim. Kebangkitan rakyat merebak semacam api marak kepada bandar-bandar lain
termasuk Hos, Hama, Idlib, Aleppo dan Damsyik.
Apa yang bermula sebagai
perarakan protes aman di bandar-bandar tersebut disambut dengan tindakan ganas
regim menghantar kereta-kereta kebal dan menembak secara rambang mengakibat
ramai kematian dan kecederaan. Tindakan menembak ini seolah-olah menurut para pemerhati
sengaja diada-adakan supaya mengapikan lagi tindakbalas rakyat supaya menjadi
eskalasi ganas. Ramai pula dipenjarakan. Itulah permulaannya. Kebangkitan
kemanusiaan agar dikembalikan hak asasi, kebebasan, keadilan dan maruah diri
disambut dengan peluru hidup.
Turki telah berusaha mendampingi
Bashar al Assad dengan cuba menyakinkannya tentang perubahan zaman serta
aspirasi rakyat menginginkan kebebasan dan demokrasi. Turki telah memberikan cadangan
penyelesaian-penyelesian teliti sehingga bagaimana mengurus tunjuk perasaan
serta memberi ruang bagi kebangkitan aman. Namun demikian, tidak beberapa lepas itu tentera Assad mula
menembak semula.
Pada Julai 2011, Tentera
Pembebasan Syria (FSA) dutubuhkan. Sebelum itu daerah-daerah yang bergolak
menubuhkan militia sendiri tanpa penyelarasan atau kawalan berpusat. Militia
terdiri daripada kabilah-kabilah tempatan, askar-askar yang berpaling tadah dan
orang ramai yang marah. Ribuan askar
berpaling tadah apabila enggan mematuhi arahan menyerang rakyat mereka sendiri.
Assad bertambah ganas dengan menggunakan helikopter penyerang, jet pejuang dan
bedilan artileri ke atas bandar-bandar dan wilayah yang bangkit. Senjata paling
digeruni adalah bom barel yang digunakan regim Assad ke atas penduduk awam
mengakibat kematian dan kecederaan ngeri. Assad juga melancar peluru berpandu
Scud ke atas bandar-bandar. Pada Disember 2011, perang saudara meletus.
Pada Februari 2012, Perhimpunan
Agong Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi mengutuk tindakan kejam Assad, tetapi
Rusia dan Cina menghalang semua usaha di Majlis Keselamatan PBB. Obama mengutuk
keras Assad dan seperti ramai pemimpin dunia menggesa Assad supaya letak
jawatan. Liga Arab melucutkan keanggotaan Syria daripada badan itu. Berjuta-juta
pelarian Syria membanjiri Lebanon, Iraq, Turki, Jordan dan negara-negara lain
termasuk Eropah. Setelah konflik lama berlalu, muncul kumpulan-kumpulan pejuang radikal
jihadi dan aliran garis keras yang mula berperanan di kawasan-kawasan yang
mereka berjaya kuasai.
Pada 2013, senjata kimia telah
digunakan oleh tentera Assad dan disahkan oleh PBB walaupun Obama terang-terang
telah memberi larangan keras agar tidak melintasai ‘garis merah’ penggunaannya. Namun Obama teragak-agak dan tidak langsung
bertindak atas janjinya. Penyelesaian kompromi diusahakan oleh Rusia dan Rusia
mula menguasai diplomasi serta rentak politik konflik itu. Amerika tidak mempunyai
sebarang keperluan atau kepentingan untuk campurtangan di Syria atas dasar
geo-politiknya walaupun menyedari pelanggaraan dan pencabulan hak asasi dan
krisis kemanusiaan angkara regim. Begitu juga pendirian Barat. Senator John
Mccain ditugaskan menilai konflik serta
kesediaan pejuang pembebasan tetapi gesaannya supaya FSA dibekalkan senjata
berat ditolak bulat-bulat oleh pentadbiran Washington.
Daesh Muncul
Daripada huru-hara konflik dan peperangan,
ISIL muncul di Syria membawa wajah teroris baru, serba lengkap dan lebih ganas
tanpa langsung berperikemanusiaan. ISIL menakluki utara dan barat Iraq serta
timor Syria. ISIL menunjukkan keanehannya apabila bertembung dengan FSA dan
pejuang-pejuang pembebasan lain serta merampas kawasan-kawasan mereka. Amerika
dan Barat mula mengebom ISIL dan Jabhat Nusra, yang dikaitkan dengan al Qaeda.
Rusia juga memula serangan udara tetapi sasaran mereka lebih kepada FSA dan
pejuang-pejuang pembebasan bukan ISIL. Pada September 2015, Rusia terlibat
sepenuhnya dalam peperangan.
Konflik ini sudah semestinya
mencerminkan pertelingkahan sektarian. Assad, regim dan tenteranya terdiri
daripada minoriti Alawiyah atau Nusayri serpihan ajaran Syiah. Regim Assad
disokong secara militari oleh Iran, Hezbollah, Iraq serta bala tentera militia
Syiah daripada Pakistan dan Afghanistan. Manakala Saudi Arabia, UAE dan Qatar
menyokong pejuang-pejuang pembebasan. Jika dikira bilangan pejuang asing Syiah yang datang ke Syria, mereka jauh lebih
ramai daripada pejuang Sunni. Media lebih
menumpukan kepada kehadiran pejuang-pejuang berasal daripada Eropah dalam
laporan-laporan. Tiada sesiapa pun menyatakan sokongan kepada ISIL malah
kewujudan ISIL mencemarkan kredibiliti pejuang pembebasan Syria dan menjejaskan
sokongan antarabangsa kepada mereka yang semakin dikaitkan dengan aliran
radikal jihadi. ISIL memberikan alasan bagi Rusia menglibatkan diri dalam
peperangan secara total. Persekongkolan Rusia dengan serangan pesawat udara, kapal
laut, peluru berpandu Cruise dan helikopter menjadi ‘game changer’ yang telah mengubah haluan peperangan.
Pejuang-pejuang pembebasan tidak lagi
mempunyai kelebihan di medan tempur.
Konflik perang saudara Syria adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak
Perang Dunia Kedua, 250,000 orang terbunuh, 250,000 lagi cedera atau hilang,
dan 12 juta menjadi pelarian.
ALLEPO DAN LARI MENCARI ALASAN
Terdapat pelancaran dakyah dan
propaganda memutarbelitkan maklumat secara licik dan tersusun oleh Rusia,
pakatan jahat mereka dan juga lain-lain pihak yang ingin memesongkan hakikat
rasa bersalah, salahlaku dan persekongkolan dalam kekejaman ke atas Allepo dan
penduduknya, dengan cuba menyembunyikan dan mengaburkan brutaliti yang terang
nyata. Inilah kaedah normalisasi – pembiasaan, menyamakan mangsa dengan teroris
sepertimana lazim dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin. Seolah-olah Allepo dan penduduknya memang
patut ditimpa pembunuhan dahsyat dan ngeri. Adalah amat hina apabila pihak
bukan saja tidak menolong malah menyalahkan mangsa yang sengsara. Begitu pihak
yang sungguh naif dan bebal tanpa rasa bersalah sehingga masih berbaik-baik
dengan pembunuh kejam. Mereka mungkin mengharapkan umat manusia akan melupakan
Allepo lama kelamaan. Jangan sekali-kali terpedaya. Kita semua
dipertanggungjawabkan dan dihisab.
Normalisasi adalah menyamakan
semua teroris, menganggap dengan mudah semua pejuang adalah terroris ‘reduce them all to mere terrorists not
resistance fighters anymore’. Barat ingin lepas tangan dan alih perhatian
supaya mereka tidak boleh dipersalahkan lagi atas kekejaman dan pembunuhan dibiarkan
selama 5 tahun tanpa apa-apa mereka lakukan. Umat Islam pun jika mahu lari
daripada rasa bersalah pun boleh pilih jalan ini dengan cabut lari daripada
kenyataan.
Difahamkan ada berpandangan
bahawa di Syria, pertimbangan geo-politik menjadi hujah utama dengan rela
berdamping dengan Iran serta sekutunya. Begitulah juga pendirian geo politik Amerika,
kerana pada Obama tidak ada apa-apa kepentingan bagi campurtangan US, tidak ada
apa-apa keperluan Barat bagi mengambil risiko berdepan dengan Assad, diperkuatkan
oleh Rusia, Iran, Hezbollah dan bala tentera militia sektarian yang dibawa
daripada Pakistan dan Afghanistan. Pertimbangan krisis kemanusiaan dan
kekejaman dahsyat tidak dapat mengatasi kepentingan geo-politik. Padahal atas
dasar kemanusiaanlah, rakyat Syria bangkit dan atas dasar kemanusiaanlah, kita
menyokong mereka dan terasa amat sedih dengan nasib mereka. Naratif lain hanya
bagi melepaskan diri dan lari daripada kenyataan kedaifan umat dan kegagalan
kepimpinan Islam serta pemimpin dunia menyelamatkan manusia yang terkepung dan
terbunuh di negara mereka sendiri.
Seperti berlaku ke atas bandar
Hama pada 1982 apabila seluruh bandar diranapkan serta 20,000 orang penduduknya
dibunuh oleh Hafez Assad, kini anaknya Bashar sedang memusnahkan Allepo dan
membunuh penduduknya yang kesemuanya adalah rakyat Syria belaka. ISIS atau
Daesh tidak berada di Allepo. Mereka berada di Raqqa tetapi regim Assad tidak
peduli pun dan tidak pernah merasai tergugat oleh pelampau-pelampau ini. Kemunculan
Daesh di Syria adalah talian penyelamat bagi Assad dan persekongkolan
total Rusia merubah halatuju peperangan. Obama dan Amerika, hanyalah omong
kosong dan kebaculan Barat di peringkat dunia. Bagi negara Islam dan umat Islam
pula menadah tangan dalam serba penghinaan.
No comments:
Post a Comment