ANWAR IBRAHIM: MEHNAH DAN TRIBULASI
TEDx, Gaston Hall, Georgetown University, November 15, 2014.
Nama saya Anwar Ibrahim. Saya
dari Malaysia. Saya pernah menjadi timbalan perdana menteri. Sekarang saya
ketua pembangkang. Saya sedang menunggu keputusan mahkamah persekutuan samada akan
mensabitkan saya dan dihukum penjara selama 5 tahun atau didapati tidak
bersalah.
Sungguh menggembirakan apabila kembali
ke Georgetown University. Isteri saya sebut bahawa tahun-tahun terbaik adalah
semasa berada di universiti ini. Wacana tentang pendidikan ‘excellence without a soul’ – ‘kecemerlangan
tanpa ruh’ semestinya bergema dengan mekar di sini kerana isu kepercayaan,
nilai, etika dan keadilan sosial diterap dan tertanam kukuh ke dalam sanubari
universiti ini.
Izinkan saya berkongsi sejenak
perjalanan saya yang sudah tentu tidak sehebat Ithaca. Azizah akan ungkapkan
semula seperti puisi Robert Frost, The Road Not Taken, ‘jalan yang kurang dilalui kepada kembara
yang jarang dijejaki’ atau ‘kembara orang gila’.
Saya bermula dengan era tahun 70’an.
Sewaktu itu saya seorang pemimpin sosial, aktivis pelajar. Pada masa itu di
wilayah utara, telah dilaporkan tentang kemiskinan tegar dan kebuluruan orang
kampung. Kami pun memimpin tunjuk perasaan besar-besaran dan tindakbalasnya penangkapan
beramai-ramai. Tunjuk perasaan berjalan selama 2 minggu, kemudiannya saya
ditangkap di bawah akta kejam Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). ISA
sepertimana undang-undang hasutan yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris
tetapi masih digunakan. Penangkapan beramai-ramai menjadi penahanan
besar-besaran. Saya merengkok di dalam tahanan selama 2 tahun. ISA bermakna
tiada perbicaraan, tiada proses pembelaan, hanya satu catatan pena tercalit dan
itu saja. 2 atau 10 tahun lamanya semata-mata ditentukan budibicara menteri
dalam negeri.
Selepas 2 tahun penjara, saya
dibebaskan. Saya teruskan gerakerja saya bersama belia Islam, dengan belia
Malaysia, dengan Kristian, penganut Buddha, Hindu bersama di dalam Majlis Belia
Malaysia, berbicara tentang reform, keadilan sosial, kebebasan dan demokrasi.
Saya sentiasa mempercayai bahawa Malaysia selaku sebuah negara membangun mesti
matang sebagai sebuah demokrasi. Ia mesti menghormati kedaulatan undang-undang
dan kebebasan hati nurani – ‘freedom of
conscience’.
Kemudian saya menyertai kerajaan
dengan berkeyakinan serious tentang betapa perlu reform di dalam sistem
governan. Saya naik dengan pantas daripada timbalan menteri kepada menteri
penuh, kepada menteri kewangan sehingga menjadi timbalan perdana menteri. Laporan
media seperti gambar saya disiarkan pada muka depan majalah TIME sebenarnya tidak
membantu saya kerana pihak atasan tidak menyukai hal itu. Sememangnya mereka melihat
kita sebagai pesaing yang serious.
Tiba peristiwa hitam September
1998. Oleh kerana saya riuh mendesak agar berlaku reform, supaya ada perubahan
di dalam sistem dan saya telah memperkenalkan perubahan-perubahan besar dalam
undang-undang pencegah rasuah, saya terpaksa berhadapan dengan kemarahan
golongan paling korup di negara.
Seperti anda tahu, Malaysia pada
tahun 90’an merupakan bintang bersinar di Asia Tenggara, kadar pertumbuhan
tertinggi, pasaran modal tertinggi, kedudukan kedua hanya kepada Singapura dari
segi kepersaingan dan mendapat pelaburan asing tertinggi FDI. Tetapi kami
mempunyai masalah jurang melebar Genie
coefficient di antara yang kaya raya dengan yang papa kedana. Ketidaksaksamaan
ini menjadi masalah. Apabila kritikan-kritikan meningkat menentang sebahagian
polisi-polisi lapuk governan berbaur autoritarian, saya mengambil isu ini
dengan harapan untuk merubah sistem.
Akibatnya, saya mendapat layanan
seperti termaklum. Saya ditangkap dan dipukul teruk seperti anda tahu. Saya
mendapat ‘penghormatan’ dibalun bukan oleh anggota polis biasa tetapi Ketua
Polis Negara (IGP) sendiri sewaktu tangan saya digari. Oleh itu saya telah
mempelajari daripada pengalaman ini bagaimana untuk memilih seorang IGP. Kesannya,
demonstrasi besar-besaran dan perhimpunan-perhimpunan protes orang ramai. Reaksi
polis seperti disangka dan dijangka adalah brutal dengan penangkapan
beramai-ramai. Saya diserang dan dibiar cedera tanpa rawatan selama 5 hari,
dengan pukulan-pukulan boleh membawa maut oleh IGP. Respon perdana menteri
waktu itu adalah meremehkan dan menafikan dengan mendakwa, “Anwar seorang
pelakun dan kecederaan itu dilakukannya sendiri.” Tetapi saya ucapkan
penghargaan kepada sokongan media antarabangsa, masyarakat madani, organisasi HRW
dan Amnesty International, rakan-rakan baik, Mary Robinson yang bertemu dengan
anak saya, memberi sokongan, masa dan dorongan, John Howard di Australia, BJ
Habibie di Indonesia, Estrada di Filipina dan sudah tentu sahabat karib saya Al
Gore yang dengan jelas dan tegas menyatakan sokongan dengan mempertahankan
kebebasan dan reform – ‘reformasi’.
Bertambahlah lagi 6 tahun tahanan
bersendirian ditokok kepada 2 tahun sebelum ini menjadikan jumlah 8 tahun
terpenjara. Lihatlah kamar penjara ini,
tidaklah ada apa-apa, saya masih ada katil. Dan tempat bagi bertafakur,
merenung dengan indah, berzikir, membaca karya-karya kelasik, mengulangbacaan
seluruh karya Shakespeare sebanyak empat setengah kali bersama nota-nota panjang
lebar. Sekira anda berhasrat melakukan semua ini, masuklah penjara. Alangkah
hebatnya karya-karya kelasik. Ramai rakan-rakan saya di sini, profesor-profesor,
dekan-dekan telah membantu. Mereka mengirimkan saya buku-buku. Saya mempunyai
banyak masa untuk menelaah karya-karya, al Qur’an, Bible, Bhagavad Gita,
Confucius and kelasik-kelasik daripada Anna
Akhmatova hingga Pasternak, sebutkan saja.
Orang alim menganjurkan saya
membaca al Qur’an, menghafaz, solat dan berzikir dan saya lakukan ini semua.
Tetapi saya juga lakukan perkara-perkara lain. Saya sibuk menyanyi lagu-lagu Elvis
Presley, Ricky Nelson, Neil Sedaka and The Beatles termasuk lagu Hindi dan lagu
Melayu. Oleh itu, jika anda mula menghafal lagu-lagu dari sekarang, apabila
anda ditahan, ada banyak masa untuk bertafakur dan masa bersantai menyanyi
sekuat-kuat hati tanpa sebarang gangguan.
Pada September 2004, mahkamah persekutuan
membatalkan keputusan kesalahan dan membebaskan saya. Di antara lawatan pertama
saya adalah memenuhi jemputan Presiden Nelson Mandela. Dia menjemput kesemua
keluarga saya ke Johannesburg. Saya berbual panjang dengan Mandela. Dia
memandang kepada anak-anak saya, yang pada ketika itu masih kecil-kecil lagi
pada 2004. Terkesan nada kesedihan apabila dia berkata, “Anwar, maafkan saya
kerana tidak dapat berbuat yang lebih baik untuk kamu. Orang kata kita gila kerana
membawa sengsara kepada isteri, anak, keluarga dan kawan-kawan. Saya membalas,
“Madiba, kita mungkin gila tetapi masih siuman. Tetapi saya memperolehi
kekuatan dan dorongan daripada mengenali kamu dan membaca kisah kamu. Semasa di
penjara, sebuah buku terbaik yang saya baca adalah ‘The Long Walk to Freedom’ dan pengalaman saya hanyalah ‘a short
walk to freedom’.” Mandela pun ketawa. Inilah dia seorang lagenda dan insan
hebat Nelson Mandela yang bukan bercakap tentang mehnah tribulasi dirinya. Dia
fokus kepada pengalaman saya. Sebenarnya saya agak tersipu kerana ujian saya
tidaklah seberat berbanding dengan apa yang dia mengharungi.
Saya merujuk semula kepada Georgetown
kerana setelah saya bebas, melainkan lantikan singkat di Oxford dan John
Hopkins, Presiden DeGioia, Professors Esposito and Voll mempelawa saya
menyertai staf mengajar di sini. Sepertimana saya sebutkan sebelum ini, saya
ulangi bahawa Georgetown sebuah institusi hebat kerana saya mempunyai banyak
titik persamaan tentang kefahaman konsep pendidikan, falsafah, ideal dari segi
kecemerlangan, maruah dan kehormatan, etika dan moral kesemuanya terpahat pada
institusi gemilang ini.
Kemudian pada 2008, saya terpaksa
pulang kerana dikehendaki memimpin sebuah pakatan besar pembangkang Malaysia bagi
menghadapi pilihanraya umum. Ini bukanlah pilihanraya seperti anda lalui. Di
sana tidak ada media bebas. Saya tidak menikmati seminit pun ruang ke udara TV.
Tetapi kami masih meraih bilangan sokongan yang besar pada waktu itu. Oleh
kerana sokongan besar ini, maka media seperti majalah Newsweek memaparkan kisah
saya sebagai ‘from hell and back’ - saya
telah ‘kembali daripada neraka’ tanpa menjangkakan bahawa tidak lama kemudian saya sedang
dihantar ‘balik ke jahanam’ – ‘sent back
to hell’.
Jarang sekali sebelum ini ada
tuntutan kuat dan rakyat bergema untuk pilihanraya bebas dan adil. Pada 2013, kami
meraih 53% undian popular tetapi anda jangan terperanjat, kerana saya masih
kekal ketua pembangkang dengan hanya 40%
bilangan kerusi di parlimen. Mungkin
saya senasib dengan Al Gore. Tetapi ini memarakkan peranan belia dan anak muda.
Anak muda menuntut saya memakai pakaian hitam sebagai tanda protes. Anak-anak
muda memimpin kempen dan perhimpunan besar-besaran mengutuk penipuan
pilihanraya dan kerana walaupun kita menang undi popular tetapi gagal menjadi
kerajaan.
Sebelum ini saya ada membayangkan
tentang keputusan mahkamah tinggi membebaskan saya. Tetapi kemudian, mahkamah
rayuan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman 5 penjara kerana apa yang digelarkan
sebagai ‘sodomi II’. Ia semacam kesinambungan. Inilah sodomi walaupun dapatan
klinikal jelas membuktikan ‘no
penetration’. Tetapi ia hanya boleh berlaku ke atas manusia ‘superman’ seperti saya.
Saya telah diberi pilihan.
Rakan-rakan di sini termasuk mantan naib presiden Al Gore bertanya kepada saya,
“Kenapa perlu saya pulang ke Malaysia?” kerana mengetahui tentang kepincangan
sistem governan dan perundangan di Malaysia. Saya memberitahunya bahawa saya
terhutang budi kepada rakyat Malaysia. Bagaimanakah saya hendak menerangkan
kepada kawan-kawan muda, anak-anak mereka, agar meneruskan agenda perjuangan
reform, untuk keadilan, bagi orang Melayu, Cina, India dan penduduk pribumi
Sabah dan Sarawak, serta semua yang lain? Jika saya pilih jalan mudah, saya
akan meninggalkan mereka meneruskan perjuangan. Oleh itu, saya mesti pulang.
Saya bersyukur kerana dikurniakan
keluarga yang hebat. Azizah dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong
penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Dan
lebih penting lagi, saya terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina,
India, Iban, Kadazan dan semua orang
yang mempercayai perjuangan ini, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi
kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan hati nurani. Dan jika ini memerlukan
sedikit usaha dan pengorbanan, ia mesti dilakukan.
Dan saya juga berterima kasih
kepada sokongan bukan saja oleh rakyat Malaysia tetapi daripada segenap pelusuk
dunia termasuk siswazah-siswazah universiti ini. Siswazah Georgetown University
adalah di antara yang paling aktif menyokong melalui media sosial, Facebook and
twitter. Oleh itu, pada kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi penghargaan
kepada mereka.
Saya optimis. Mahkamah persekutuan
akan membuat keputusan tidak lama lagi. Jika mereka bersidang, saya terpaksa pulang.
Tetapi saya optimis.
Walaubagaimanapun, jika senario
terburuk berlaku, saya bukan pulang ke rumah tetapi akan kembali dihumban ke
dalam penjara. Jika demikian, tolong pinjamkan saya karya-karya kelasik untuk
dibaca.
Saya fikir perjuangan untuk demokrasi,
untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran teori. Ia adalah apa Tocqueville
rujuk sebagai tabiat hati – ‘habits of
the heart’. Ia adalah isu pegangan. Ia adalah isu keberanian berbekalkan
keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang luhur. Ia adalah prinsip yang
tidak boleh dikompromi.
Kita dilahirkan bebas. Tidak ada
diktator, tidak ada pemimpin kuku besi boleh merampas kebebasan itu daripada
kita.
Terima kasih.
(Terjemahan transkripsi ucapan
Anwar Ibrahim pada TEDX di Gaston Hall, Georgetown University, November 15,
2014)
No comments:
Post a Comment