ANWAR IBRAHIM: SAYA SEORANG DEMOKRAT MUSLIM
Ucaptama Anwar Ibrahim pada Forum Demokrat Muslim Sedunia ke 3 dibaca
oleh Nurul Izzah Anwar berserta mukadimah khas.
MUKADIMAH
Saya amat berbesar hati meneruskan
kesinambungan legasi Anwar Ibrahim, sebuah legasi yang pasti akan disambung
olehnya apabila dia bebas kelak, kerana dia adalah konvenor awal pengasas Forum Demokrat Muslim Sedunia pertama
pada 2014. Kita bertuah kerana dapat hadir bersama perjumpaan ketiga ini di
Tokyo, Jepun.
Bapa saya masih merengkuk di
dalam kesunyian penjara. Dan jika kita menghitung saban tahun dia telah berada
di dalam tahanan balik tirai besi, jumlahnya
11 tahun dan sedang meningkat. Ia adalah peringatan dengan penuh perasaan
bahawa para demokrat Muslim sedunia terus menerus menjadi bukti dan hujah nyata
peri pentingnya wujud sistem-sistem demokratik berfungsi baik, berdaya maju dan
bermakna.
Saya mungkin kehilangan suara akibat
menghadiri sebuah demonstrasi aman minggu lepas tetapi sekurang-kurangnya saya
masih menikmati kebebasan. Demi memelihara dan mempertahankan sistem-sistem
demokratik maka ramai, termasuk Anwar, memilih jalan yang payah, laluan
berisiko menentang autokrasi. Dan bagi
saya, perasaan saya sangat terharu , saya tidak tahu bagaimana untuk berterima
kasih, mengucapkan merakam setinggi penghargaan kepada Sasakawa Peace
Foundation kerana membolehkan kami wacanakan idealisme kami dan penerokaan
bermakna bagi membolosi merentas belenggu pemenjaraan.
Kita berada di sini sebagai hujah.
Malangnya, demokrasi memerlukan perjuangan dan pengorbanan, dan sesungguhnya
para demokrat Muslims dan Non Muslim mesti bersama dan kekal bersatu dalam
menghadapi pelbagai-bagai cabaran pada zaman kegamatan tata baru dunia. Terasa
sedih dengan ketiadaan Anwar bersama tetapi saya berdiri di sini dengan penuh
bangga mengenangkan sumbangan dan kepimpinannya.
Sekarang saya akan bacakan ucapan
bapa saya, perintis demokrat Muslim, ketua pembangkang demokratik Malaysia dan
jurubicara tatakelola telus dan akauntabiliti governan sedunia:-
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
bukanlah ianya suatu berita baru bahawa dunia Islam, kecuali sebilangan kecil,
mengalami kekurangan atau defisit demokrasi yang parah. Adalah juga benar bahawa di merata-rata
tempat, umat Islam menginginkan sistem kerajaan berpewakilan dan punya akauntabiliti – boleh
dipertanggungjawabkan, sebagai satu-satu cara mampan bagi memastikan kebebasan,
keadilan, kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang, demi mencapai kesejahteraan
hidup dan kemakmuran negara mereka.
Namun, keinginan mendesak dan
harapan setinggi gunung tidak boleh dengan sendirinya membawa kepada perubahan.
Hakikatnya adalah terlalu banyak warganegara dalam negara majoriti Muslim kerap
dikecewakan hasrat mereka untuk perubahan oleh kuasa ampuh kerajaan
autoritarian, rasuah, kleptokrasi seperti di Malaysia, kezaliman, keganasan dan
pemerintahan kuku besi. Persoalan yang
ditanya oleh anak-anak muda masih berbunyi: bagaimana untuk menggembleng dan
bagaimana untuk menangani dan menghasikan perubahan? Inilah teka-teki bagi
penduduk yang ditakut-takutkan dan generasi tersisih dan terabai akibat
kesalahan pemerintah.
Dan melatari semua retorik dan
riuh keghairahan berubah tercegat kekeliruan yang parah. Kekeliruan tentang
bagaimana umat Islam menangani demokrasi dan apa makna demokrasi kepada umat
Islam. Dengan dahsyat sekali kita sudah terbiasa melihat gelagat pelampau dan
pembunuh yang menjaja seruan bahawa Islam menghendaki sejenis sistem tatakelola
autokratik dan pembolotan total kuasa pemerintah, lalu mendakwa mereka
mempunyai monopoli ke atas pentafsiran dan mereka tunjukkan kesediaan wewenang
jahat mereka untuk melaksanakan. Lebih sering kita memerhatikan gelagat hantu
jembalang ini, lebih jelas lagi hakikat bahawa merekalah sebenarnya yang merupakan
jelmaan kezaliman yang nyata.
Namun, keprihatinan mendalam saya
adalah untuk orang Islam yang jujur dan tulus beragama yang bersungguh-sungguh
mempercayai bahawa tatakelola Islam yang ‘sejati’ mesti berbeda dengan konsep
demokrasi sepertimana ianya diamalkan se antero dunia. Seorang Muslim pada
konteks moden menimbulkan kebingungan bagi sesetengah pihak tentang apa yang
perlu dilakukan sesudah itu.
Adakah kompromi bertolak ansur
boleh jadi atau diterima? Bagaimana boleh kita menyesuaikan dan meserasikan
ajaran tradisional dengan struktur moden governan? Bolehkah kita pastikan
ijtihad kita betul? Adakah cara yang lama dan telah terbiasa itu sahaja pilihan
Islam?
Struktur ini ditambah buruk lagi
dengan apa yang kita gelar ‘apologis demokratik Islam’. Mereka ini mengakui
keserasian Islam dan demokrasi pada teori tetapi mereka menawarkan deretan alasan-alasan
kenapa ideal berkenaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya atau bukan pada
ketika ini. Apologis-apologis ini sering menggagalkan perjuangan sah demokrasi
melalui layanan sepi, berdolak-dalik dan sekatan-sekatan dalam mendokong sistem
asasi pemilihan, perjalanan dan penggantian struktur-struktur moden kerajaan.
Retorik apologetik dan kata-kata basi boleh bersekongkol dengan pemerintah yang
ada di negara-negara Islam demi semata-mata mengekalkan masyarakat jumud dan
keterbelakang. Para apologis hanya merupakan susur-susur keluar daripada
lebuhraya mencabar ke arah perubahan dan pembaharuan. Kita tidak boleh membiarkan
semua ini menjadikan alasan bagi memesongkan kita daripada jalan mulia untuk
memupuk partisipasi merakyat dalam pembangunan negara-negara kita.
Biarlah saya berterus terang,
sahabat-sahabat yang dikasihi. Saya berpegang dengan saranan terus terang
bahawa demokrasi adalah perintah moral terkandung di dalam definisi seorang
Muslim. Orang Islam diseru sebagai individu-individu agar menerima
tanggungjawab berpartisipasi di dalam masyarakat untuk menegakkan kehormatan
manusiawi dan bekerja membasmikan kemiskinan, kemelaratan dan wabak penyakit. Orang Islam berkewajipan melaksanakan syura,
bermusyawarah, menjalankan perundingan bersama bagi mendapat perkenan khalayak
ramai dan untuk memastikan mereka yang berada di tampuk kuasa mempunyai
akauntabiliti kepada pentadbiran dan penyampaian tatakelola baik. Menjadi
seorang Muslim bermakna berjuang menegakkan prinsip akhlak dan standard etika
mencangkupi seluruh ruang lingkup aktiviti manusia samada muamalah ekonomi
sehingga kepada memelihara alam sekitar. Bagi mencapai matlamat moral melalui
cara beretika, orang Islam dikehendaki bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa
mengira asal usul atau kepercayaan.
Tidak diperselisihkan lagi bahawa
matlamat agama mendorong kepada meletakkan kebebasan, keadilan dan kesaksamaan
sebagai asas semua perhubungan. Islam menganjurkan, menetapkan dan memandatkan
partisipasi demokratik sebagai prinsip universal. Nilai-nilai universal, ajaran
moral dan etikal Islam adalah terbuka, sedang berjalan dan merupakan perintah
tetap. Nilai-nilai Islam bukan milik khusus atau hak eklusif orang Islam. Ia
merupakan kayu ukur - al rahmatun lil
‘alamin – dengan mana tindakan-tindakan disemak dan diteliti. Ia adalah
matriks bagi sesiapa tanpa mengira bangsa, kaum, warna, asal usul atau bahasa,
boleh meraih kedudukan terbaik pencapaian manusia dan kesejahteraan. Saya
merasakan inilah visi Islam bagi menjadi dunia yang lebih makmur dan inilah
agenda Muslim demokrat.
Apa yang saya perjuangkan tidak
ragu lagi berpaksikan kepada prinsip-prinsip maqasid al shariah, matlamat besar tujuan governan. Prinsip-prinsip
ini tidak dibataskan waktu. Namun aplikasinya mesti ditafsir dan difahami
menurut konteks semasa, cabaran-cabaran dan peluang-peluang. Aplikasi maqasid al shariah mesti melindungi dan
menjaga maslahah masyarakat-masyarakat yang majmuk dan berkepelbagaian dengan
membina asas etika yang kukuh.
Bagi Asia Tenggara, terutama
dengan pengalaman kita hadapi, nasib kesengsaraan bangsa Rohingya jika dibiar
dan diabaikan bermakna kita memang tidak menepati prinsip-prinip ini
samasekali.
Istilah lama and resam tradisi
tidak boleh meleraikan perdebatan tentang rancangan terbaik bagi menegakkan prinsip-prinsip
ini. Prinsip-prinsip kita mesti
diartikulasi dengan jelas dan koheren menurut istilah dan bahasa hari ini. Prinsip-prinsip ini mesti boleh memenuhi keprihatian
dan realiti semasa kita atau ia akan gagal melepasi ujian kerelevanan.
Keadaan dunia Islam kini mengalami
malapetaka. Perang bersaudara mengorban banyak nyawa dan menjejaskan kehidupan
jutaan orang. Kemusnahan dan maut adalah
bencana ngeri kemanusiaan yang melanda merentasi batas sempadan negara-negara. Kita
perhatikan penyebaran kesengsaraan dan porak-peranda merebak serata pelusuk
dunia. Berduyun-duyun pelarian membanjiri mencari perlindungan dan keselamatan
diri menuntut belas kasihan kita seolah-olah sifat mengasihani itu sesuatu
mereka yang perlu tuntut daripada kita.
Kemiskinan dan kegersangan kemudahan, ketiadaan peluang atau kehilangan
harapan melingkari migrasi ini. Mereka
menyulitkan lagi keupayaan kita menangani bagi memenuhi keperluan kita yang
kian meningkat. Tetapi apa yang kita perlukan sebenarnya adalah ingatan bahawa
kita masih mempunyai ruh, hati nurani.
Kini setelah berlalu generasi
demi generasi, defisit demokrasi telah meratah dan mereputkan tonggak-tonggak
keselamatan, kemajuan dan kesejahteraan kebanyakan negara Islam. Defisit
demokrasi telah mengakibatkan krisis yang menyelubungi masyarakat kita. Apakah
pilihannya jika pada suatu pihak, fanatik menghunus ideologi pembunuh membunuh
diri tanpa menghiraukan langsung nilai kemanusiaan dan karamah insan. Sementara
di sebelah pihak pula, regim autokrat atau kleptokrat mempunyai rekod
penindasan, kezaliman, hingga tirani brutal menumpahkan darah rakyat jelatanya
sendiri. Ini telah mengobarkan krisis yang melanda masyarakat kita. Adakah kita
mempunyai pilihan lain apabila kita menyambut demokrasi dan bolehkah pilihan
kita direalisasikan mencapai bentuknya yang betul seperti sepatutnya?
Demokrat Muslim mesti menjadi
suara jurubicara nurani koheren di tengah-tengah kancah kekeliruan yang
menyelubungi ini. Suara yang jelas
terang benderang dengan analisis kritikal mengutuk kemelampauan fanatik dan
juga regim-regim. Tugas di hadapan kita bukan semata-mata respon reaktif. Bagi
setiap pelanggaran ke atas kebebasan, keadilan dan kesaksamaan, misi kita
adalah menggali akar punca masalah persis ketepatan siasatan forensik,
menerbitkan dapatan kita dalam bahasa yang jelas dan bekerja keras menyebarkan
kesedaran dan kefahaman tentang ideal dan tuntutan demokratik Muslim.
Kecelaruan yang terletak sendiri
di atas budaya politik Muslim memarakkan defisit demokratik majoriti ramai. Samada
legasi salahlaku pemerintah berselindung sebalik tirai menyamar sebagai
demokrasi atau terang-terangan pemerintahan kuku besi atau realiti herot negara-negara yang tunduk kepada
kuasa asing yang memperkayakan konco-konco terpilih, semua unsur-unsur ini
berperanan membawa kita kepada kebuntuan sekarang. Tidak satu unsur pun boleh
diabaikan.
Islamophobia hanyalah nama baru
kepada prejudis lama yang terpendam. Prasangka ini diajar kepada Muslim dan Non
Muslim lalu menyebarkan faham tersirat bahawa Islam bertentangan dengan
demokrasi. Dan menyuburkan salah didik bahawa pimpinan mutlak, pemimpin kuku
besi, penzalim, autokrat adalah fitrah lazim landskap politik kita. Bertahun-tahun
menerima setan yang diketahui daripada memilih perubahan telah menyediakan jalan
kepada krisis hari ini. Ini adalah wabak
buruk ke atas masyarakat kerana terus menyokong apa yang sedia ada tanpa
menawarkan alternatif-alternatif dan tragedi se abad lamanya. Fahaman ini telah
merencatkan pertumbuhan sihat masyarakat madani, masyarakat yang sepatutnya
menuntut dan mendesak kerajaan-kerajaan Muslim mempunyai akauntabiliti awam
dan, menyediakan wadah dan proses bagi memastikan perubahan kepimpinan. Hanya
masyarakat madani yang lasak boleh mengukuhkan aspirasi rakyat dengan
memberikan partisipasi bermakna dalam kehidupan politik.
Demokrasi tidak berkembang membugar
dalam vakum. Dan malangnya tidak ada jalan pintas. Defisit demokrasi adalah
jurang buatan manusia dibikin kerana takut kepada khalayak ramai; tidak mempercayai
niat dan hasrat rakyat jelata. Apakah
perbedaan di antara mereka yang menganjurkan demokrasi terpimpin, dengan mereka
yang menerima demokrasi rapuh, dan demokrasi kacukan atau dengan regim langsung
tanpa berdemokrasi? Tidak kira betapa baik niatnya, hasilnya masih pemerintahan
autokratik yang tidak memberi ruang kebebasan mengartikulasi alternatif-alternatif
kritikal atau mengkritik selain daripada mengampu parti-parti pemerintah dan
teras elit mereka.
Ketidakpedulian kuasa-kuasa Barat
samada US, UK, Perancis atau lain tidak boleh dibiarkan. Mereka bukan penonton biasa.
Samada di Mesir, Turki atau di mana-mana negara lain, mereka tidak boleh petik
dan pilih yang mana satu mandat popular yang sah menurut suka hati mereka dan
mereka masih ingin mengaku sebagai rakan demokrasi. Mereka tidak boleh
mengabsahkan regim-regim sementara menggagalkan pembangkang demokratik namun tidak
mahu menganggap diri mereka sebagai tongkat kesinambungan pemerintah kuku besi.
Natijahnya jelas dan nyata. Menghalang perubahan demokratik memarakkan lagi
kesengsaraan dan menambahkan defisit demokrasi, menyediakan suasana dengan
prospek kacau bilau masa depan.
Sahabat sekalian, kita sedang berdiri
di cenuram berbahaya. Inilah sudut pandangan tinjau demokrat Muslim. Tugas ke
hadapan ini memang berat, iaitu mengolahkan sebuah alternatif dalam bahasa
koheren dan melibatsertakan lebih lebar lagi bersama semua, agen dan penggerak
masyarakat. Membina demokrasi dan tugas forum kita mestilah inklusif dan
ekstensif sebagaimana visi demokratik kita. Hasil intelektual dan polisi kita
mesti jelas, disampaikan secara mudah dan disebarluaskan melalui semua saluran
masyarakat, cendiakawan, masyarakat madani, pergerakan Islam dan bukan Islam
serta organisasi-organisasi. Dan kita mesti menghulurkan tangan kepada
anak-anak muda, dan wanita, menawarkan mereka bahasa dan agenda bagi membina
masa depan penuh harapan. Forum kita tidak harus hanya menjadi warung perbualan.
Perjuangan kebebasan, keadilan,
kesaksamaan dan kedaulatan undang-undang untuk semua adalah satu cabaran. Kita
mesti menjadikannya mustahil bagi kerajaan-kerajaan Muslim berselindung
menyamar sebagai demokratik di sebalik perlakuan pilihanraya cacat dan sarat
penipuan, didokong pula kehakiman yang berkompromi, bersandarkan institusi-institusi
korup dan kroni-kroni ditatang kaya raya. Kita juga mesti menegur dan
mendedahkan peragaan kewarakan palsu dan pergantungan kepada persekongkolan ‘ulama
kompromi’ dalam salahlaku pemerintah mendakwa sebagai mewakili suara Islam yang
sahih.
Saya, Anwar Ibrahim, berdiri
tegak sebagai seorang demokrat Muslim tanpa ragu dalam memburu dengan kritis
perubahan tulen, tuntutan Islam dan konteks semasa adalah agenda koheren dengan
tujuan dan objektif yang jelas; iaitu pilihanraya bebas dan adil, akses terbuka
dan inklusif bagi partisipasi dan libatserta semua lapisan masyarakat,
penggantian kuasa aman dan tatakelola teliti
dengan akauntabiliti.
Inilah saja asas yang boleh
diterima bagi kemajuan manusia. Jika saya tidak bebas berupaya menetapkan
pendirian ini demi masa depan kita, maka demokrasi akan luput dan layu dan
apabila defisit demokrasi kita meningkat maka kita berisiko untuk dilonjak menghampiri
ambang kelenyapan. Oleh itu, saya ulangi, kita sedang berdiri di ceruman
berbahaya dan saya ingin tegaskan bahawa saya seorang demokrat Muslim. Inilah
pendirian saya. Di sini saya berdiri tegak. Tidak ada pilihan lain.
Terima kasih.
(Terjemahan transkripsi Ucaptama
Anwar Ibrahim pada Forum Demokrat Muslim Sedunia ke 3 dibaca oleh Nurul Izzah
Anwar berserta mukadimah khas.)
No comments:
Post a Comment