Jamal Khashoggi: Dunia Arab Mendambakan Kebebasan Bersuara
Baru-baru ini saya meneliti dapatan "Kebebasan di Dunia" yang
diterbitkan oleh Freedom House pada 2018 yang membawa suatu kesedaran yang berat
dan serius. Hanya terdapat sebuah negara Arab sahaja yang telah
diklasifikasikan sebagai "bebas." Negara itu adalah Tunisia. Jordan,
Maghribi dan Kuwait berada di tempat kedua, dengan klasifikasi
"sebahagiannya bebas". Selebihnya negara-negara di dunia Arab
dikelaskan sebagai "tidak bebas".
Hasilnya, orang Arab yang tinggal di negara-negara ini sama ada tidak tahu
atau salah maklumat. Mereka tidak dapat membincangkan dengan secukupnya, tidak
boleh membahaskan secara terbuka, tentang perkara-perkara yang mempengaruhi
rantau ini dan hal yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka. Naratif
yang dikuasai oleh kerajaan menguasai jiwa minda orang awam, dan walaupun ramai
yang tidak mempercayai naratif kerajaan, namun sebahagian besar penduduknya masih
terjerumus menjadi mangsa naratif palsu ini. Malangnya, keadaan ini tidak
mungkin berubah.
Dunia Arab telah menaruh harapan kepada Arab Spring pada musim bunga tahun
2011. Wartawan, ahli akademik dan penduduk awam penuh dengan harapan bahawa masyarakat
Arab akan bangkit cerdas dan bebas di negara masing-masing. Mereka mengimpikan
dapat dibebaskan dari hegemoni penguasaan kerajaan mereka, bebas daripada campurtangan
kerajaan dan intrusi berterusan serta tiada lagi sekatan tapisan maklumat.
Harapan ini hancur luluh; masyarakat mundur kepada takuk ‘status quo’ lama malah
menghadapi keadaan tekanan lebih keras daripada sebelumnya.
Sahabat karib saya, penulis Arab Saudi terkenal Saleh al-Shehi, menukil sebuah
rencana paling termasyhur yang pernah diterbitkan dalam akhbar Saudi. Malangnya
dia kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun yang tidak adil hanya kerana
komentarnya tidak seiring dengan pentadbiran penguasa Saudi. Penyitaan kerajaan
Mesir ke atas keseluruhan cetakan akhbar, al-Masry al Youm, tidak membangkitkan
perasaan atau menimbulkan reaksi daripada rakan-rakan sekerja. Langkah penindasan
akhbar begini juga tidak lagi membawa akibat tindak balas masyarakat
antarabangsa. Sebaliknya, tindakan ini akan hanya mencetuskan suatu pernyataan kecaman
lantas dengan cepat diikuti pula dengan mendiamkan saja.
Akibatnya, kerajaan Arab telah dikurniakan kuasa sewenang-wenangnya untuk
terus senyapkan media dengan penindasan yang semakin meningkat. Suatu ketika dahulu
para wartawan meyakini bahawa Internet akan memerdekakan maklumat daripada
cengkaman sekatan tapisan dan kawalan ketat yang berlaku kepada media cetak.
Tetapi kerajaan-kerajaan ini, yang kewujudan serta kelangsungannya sangat
bergantung kepada kawalan maklumat, secara agresif menghalang Internet. Mereka
juga telah menangkap wartawan-wartawan tempatan dan mengugut pengiklan-pengiklan
bertujuan mengancam dan menjejaskan pendapatan penerbit-penerbit.
Terdapat beberapa ‘oasis’ – tapak-tapak subur yang masih menghayati
semangat Arab Spring. Kerajaan Qatar tetap mendokong liputan berita
antarabangsa, berlawanan dengan usaha jirannya untuk menegakkan kawalan
maklumat bagi menyokong dan memapah "tata perintah Arab lama." Bahkan
di Tunisia dan Kuwait, di mana akhbar dianggap sekurang-kurangnya
"sebahagiannya bebas," media memberi tumpuan kepada isu-isu domestik
tetapi bukan isu-isu yang dihadapi oleh dunia Arab yang lebih utama. Mereka
teragak-agak untuk menyediakan wadah untuk wartawan dari Arab Saudi, Mesir dan
Yemen. Malah Lubnan, ‘permata mahkota’ kebebasan akhbar dunia Arab, telah
menjadi korban kepada polarisasi dan pengaruh Hezbollah pro-Iran.
Dunia Arab berhadapan Tirai Besi versi bikinan sendiri, yang tidak
dikenakan oleh pihak luar tetapi melalui kuasa domestik yang berebut kuasa.
Semasa Perang Dingin di Eropah, Radio Free Europe, yang berkembang selama bertahun-tahun
muncul sebagai institusi kritikal, memainkan peranan penting memupuk dan
mengekalkan cita-cita aspirasi kebebasan. Dunia Arab memerlukan sesuatu yang
serupa. Pada tahun 1967, akhbar-akhbar New York Times dan The Post mengambil
pemilikan bersama akhbar International Herald Tribune, yang menjadi platform
untuk kebebasan bersuara dari seluruh dunia.
Penerbit saya, The Post, telah mengambil inisiatif untuk menterjemahkan
banyak tulisan saya dan menerbitkannya dalam bahasa Arab. Untuk itu, saya berterima
kasih. Warga Arab perlu membaca dalam bahasa mereka sendiri agar mereka dapat
memahami, berwacana dan membincangkan pelbagai aspek-aspek dan kerumitan-kerumitan
demokrasi di Amerika Syarikat dan Barat. Sekiranya seorang warga Mesir membaca
artikel yang mendedahkan kos sebenar sebuah projek pembinaan di Washington,
maka dia akan dapat lebih memahami implikasi projek-projek seumpamanya di daerah
komuniti dia.
Dunia Arab memerlukan versi moden media transnasional lama agar rakyat
dapat pengetahuan tentang peristiwa-peristiwa global. Lebih penting lagi, kita
perlu menyediakan wadah untuk suara bebas Arab. Kita menderitai kemiskinan,
salah urus tadbir dan sistem pendidikan yang lemah. Melalui penubuhan forum
antarabangsa yang bebas, terpisah daripada pengaruh pemerintah nasionalis yang
menyebarkan kebencian menerusi propaganda, orang awam dunia Arab dapat
menangani masalah asasi dan mendasar yang sedang dihadapi oleh masyarakat
mereka.
(Diterjemah daripada The Washington Post 18 Oktober 2018)
No comments:
Post a Comment