Wednesday, October 19, 2016

Hijrah: Asas Masyarakat Baru



Menyingkap Lembaran Seerah – Riwayat Hidup Rasulullah


Hijrah atau perpindahan Rasulullah  dari Makkah ke Yathrib (yang kemudiannya dinamakan kota Madinah), adalah proses terawal menuju pembangunan asas  dawlah - negara Islam pertama di atas muka bumi.  Negara ini didirikan dibawah naungan dan kepimpinan Nabi Muhammad .

Rasulullah  meletakkan asas-asas pembangunan dan ini dicerminkan melalui tiga bentuk tindakan:-

i. Pembinaan masjid

ii. Menyatupadukan ukhuwwah umat Islam secara menyeluruh dan mempersaudarakan (mu’akhah) Muhajirin (pendatang dari Makkah) dengan Ansar (penolong – tuan rumah – penduduk Madinah penerima orang berhijrah) secara khusus.

iii. Menggubal sahifah Madinah - dustur - piagam Madinah bagi mentadbir kehidupan orang Islam dan menjelaskan hubungan dengan penduduk Non-Muslim umumnya dan orang Yahudi khasnya. Ini diterima oleh semua pihak sebelum tertegak negara Islam. Piagam terulung ini menjadi perlembagaan yang memelihara dan menjamin keselamatan, kesejahteraan, kebebasan dan hak semua penduduk Madinah.


Masjid

Apabila Rasulullah  memasuki Yathrib, unta yang Bagunda tunggangi berhenti di atas se bidang tanah. Baginda membelinya dan membayar untuk tanah itu. Baginda menitahkan tempat itu sebagai masjid. Tanah diratakan dan kerja pembinaan dimulakan menggunakan bata. Semasa pembinaan, Rasulullah  sendiri mengangkat bata-bata binaan. Tunjuk arah solat (qiblah) ketika itu ditentukan masih menghala kepada Bayt al Maqdis (Jerusalem). Tiang-tiang dan bumbung terdiri daripada batang-batang serta daun-daun pelepah pohon tamar. Lantai diperbuat daripada campuran batu kecil dan pasir. Di tengah-tengah menjalankan kerja bersama-sama para sahabah r.a.a. membina masjid itu, Rasulullah berdu’a: -

Ya Allah! Tidak ada kebaikan melainkan kebaikan Akhirat, oleh itu bantulah Ansar dan Muhajirin.

Daripada permulaan kehadirannya di Madinah, Rasulullah  segera menegakkan masyarakat yang kuat, bersatu padu dan bersemangat terdiri daripada Muhajirin dan Ansar. Langkah pertama ke arah pembinaan masyarakat ini adalah dengan membina masjid. Justeru, masjid menjadi asas – landasan penting  bagi pembangunan komuniti Muslim yang sejahtera. Ini bermakna masyarakat Islam tidak akan terbentuk dengan syumul - sempurna dan kukuh jika tidak ada komitmen kepada masjid – komitmen kepada aqidah – iman dan deen – cara hidup Islam. Suatu prinsip asasi Islam adalah mengeratkan persaudaraan sesama - ukhuwwah dan mahabbah – kasih sayang sesama umat. Membina ikatan persaudaraan dan kasih sayang di kalangan masyarakat akan hanya berlaku di masjid apabila orang Islam bertemu sapa satu sama lain, pada setiap waktu, di dalam rumah-rumah Allah, tanpa mengira status, kemewahan atau kedudukan sosial kerana di masjid semua perbedaan derajat sosial diketepikan. Masjid dan suasana masjid adalah tempat bertemu, berkenalan, berkawan, berjemaah dan membina ukhuwwah.

…… sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu melaksanakan solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih. (Al Tawbah: 108)

Nilai dan budaya Islam menyuburkan ruh keadilan dan kesaksamaan sesama Muslim pada segenap aspek kehidupan. Semangat keadilan dan kesaksamaan tidak akan berkembang segar melainkan umat Islam bertemu setiap hari berada bersama dalam satu saf – barisan rapat tersusun berdiri di hadapan Allah s.w.t. berjemaah dengan satu tujuan yang sama menyembah Allah Maha Esa. Tanpa kesatuan ibadah ini, tidak kira berapa lama mereka tekun ruku’ dan sujud, nilai keadilan dan kesaksamaan tidak akan mengatasi nafsu dan ego masing-masing.

Dalam sistem Islam, walaupun umat Islam pelbagai dan majmuk budaya, mereka bersatu dengan ikatan ‘’tali’’ Allah s.w.t. –  Agama dan Syari’ah. Tetapi tanpa masjid, tanpa umat Islam berkumpul bersama dan tanpa berorganisasi bagi mempelajari serta mengamalkan agama dan syari’ah, tanpa mereka mengajak kepada khayr, menyeru kepada  ma’ruf dan mencegah kemungkaran, tanpa saling mengingatkan dan menasihati agar berpegang kepada agama di semua peringkat dan segenap susut masyarakat, mereka akan sentiasa berpecah belah dan berbelah bagi.

Satu perkara yang harus direnungi adalah falsafah rekabentuk binaan dan hiasan masjid, kerana ada kecenderungan untuk bercirikan yang mewah, mahal dan hebat. Kebanggaan juga dikaitkan dengan arkitektur mempersonakan, bahan-bahan  dan seni khat yang berlebih-lebihan. Satu natijah sedih adalah orang miskin dan melarat tidak lagi mendapat akses untuk perlindungan, teduhan atau ketenangan masjid. Keselamatan barang-barang dan kunci pula menjadi keutamaan penjagaan. Jemaah pula terkesan pada kekhusyukan dan perasaannya dalam beribadat serta dalam mengimarahkan masjid.


Persaudaraan dalam Islam

Rasulullah   mempersaudarakan sahabat-sahabat daripada Ansar dan Muhajirin di atas asas kebenaran dan kesaksamaan. Pada asalnya mereka dianggap bersaudara sehingga boleh mewarisi harta, lebih akrab daripada ikatan kekeluargaan dan nasab.  Contoh-contoh adalah persaudaraan diantara Ja’far bin Abi Talib dan Mu’adz bin Jabal, Hamzah Abd Mutalib dan Zaid bin Haritsah, Abu Bakr al Siddiq dan Kharijah bin Zuhair, Umar al Khattab dan ‘Utbah bin Malik, Abd Rahman bin ‘Auf dan Sa’d bin Rabi’ dan ramai lagi. (Semoga Allah meridhai  mereka sekalian)

Demi kecintaan Sa’d Bin Rabi' kepada saudaranya Abdul Rahman bin ‘Auf, dia menawarkan kepadanya, "Saudara, saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, ambillah separuh kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan jika saudara sudi, saya sedia menceraikan seorang supaya boleh saudara mengahwininya’’. Abdul Rahman bin ‘Auf menjawab, "Semoga Allah memberkati  keluarga dan hartabenda saudara. Janganlah disusahkan tentang diri saya ini, tunjukkan saya jalan menuju ke pasar.” Abd Rahman seorang pedagang yang berbakat dan pintar dalam sekejap masa saja dia berjaya memperoleh harta yang banyak. Dia termasuk sahabat yang paling dermawan dan paling pemurah serta paling banyak berbuat kebajikan kepada fakir miskin.

Rasulullah    kemudiannya menerapkan persaudaraan di kalangan sahabat pada kerangka umum ukhuwwah dan kesetiaan  (muwalah). Ikatan hak mewarisi yang mengatasi hak keluarga dimansuhkan selepas peperangan Badr apabila Allah s.w.t. berfirman pada surah al Anfal: 75:

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu kemudian berhijrah serta berjihad bersamamu maka orang-orang itu termasuk golonganmu (juga). Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Persaudaraan adalah asas kedua bagi membangunkan negara dan masyarakat Islam. Tidak ada bangsa yang boleh wujud tanpa kesatuan dan dokongan masyarakatnya. Kesatuan dan dokongan tidak datang tanpa saling kasih mengasihi dan persaudaraan. Tidak ada sebuah masyarakat pun boleh bersatu  atas sesuatu prinsip tanpa ikatan kasih sayang dan persaudaraan.  Tanpa hubungan sosial yang erat dan kerjasama, tidak akan wujud komuniti atau bangsa. Ukhuwwah mesti berlandas aqidah – iman sebagai teras dan faktor pemersatuan. Aqidah Islam yang mempertautkan hati-hati para sahabah r.a.a. agar berdiri sederap bahu bertemu bahu pada satu barisan beribadah hanya kepada Allah s.w.t. tanpa apa-apa perbedaan kecuali perbedaan tingkatan taqwa dan amal salih. Ukhuwwah, saling bertolongan dan mengutamakan orang lain tidak akan tertegak apabila orang berselisih tentang iman, apabila tidak berupaya menangani perbedaan fikiran dan apabila semua orang asyik dengan ego dan kehendak masing-masing.

Jika prinsip saling bertolongan, kerjasama dan sokong menyokong dilaksanakan menurut keadilan dan kesaksamaan maka akan wujud masyarakat aman dan adil. Tetapi jika prinsip ini dilaksanakan secara penindasan dan batil, maka masyarakat menjadi zalim dan menyeleweng.

Apakah faktor yang menjamin keadilan ditegakkan? Keadilan dijamin sejagat melalui ukhuwwah dan kasih sayang. Hanya dengan demikian boleh dipelihara oleh autoriti dan penggubalan undang-undang. Walaubagaimana bersungguh seorang pemerintah ingin melaksanakan keadilan ke atas rakyatnya, hasrat ini tidak akan tercapai melainkan ia diasaskan kasih mengasihani dan ukhuwwah. Melaksana hukuman keadilan tanpa kasih sayang dan persaudaraan akan meeyemai benih-benih kebencian dan dendam kesumat di kalangan masyarakat.

Itulah sebabnya Rasulullah    menjadikan persaudaraan di antara Muhajirin dan  Ansar sebagai asas sistem keadilan sosial terbaik di dunia. Sistem keadilan sosial dibangunkan dan undang-undang syari’ah dibentuk dan terbit daripada asas ini. Jika tidak ada persaudaraan yang mulia, prinsip-prinsip keadilan tidak akan menjadi positif atau boleh dilaksanakan dalam menegakkan masyarakat Islam dan memastikan kelangsungannya.

Persaudaraan yang dibangunkan oleh Rasulullah    bukan semata-mata retorik atau simbolik, tetapi ia adalah hakikat yang nyata, real dan diamalkan dalam kehidupan para sahabah r.a.a. dan pada segenap aspek di antara Muhajirin dan Ansar.

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al Hashr: 9)


Piagam Madinah dan Persaudaraan Insan

Sahifah Madinah - Piagam Madinah adalah sebuah model unggul pembinaan satu ummah yang bercirikan kepelbagaian. Piagam ini dilatari fenomena pluralistik - kepelbagaian kabilah, suku dan agama. Semangat yang mendasarinya adalah untuk membina kesatuan tanpa menghapuskan perbezaan. Agenda besar membina kesatuan dilaksanakan dalam dua tahap penting. Tahap pertama, membentuk kesatuan keagamaan yang menggabungkan seluruh kabilah dan suku yang beragama Islam. Kesatuan inilah yang disebut ummah diniyyah (umat keagamaan) yang eksklusif. Tahap kedua, membentuk kesatuan politik yang meliputi kaum Muslimin dan bukan-Muslimin. Kesatuan politik inilah yang disebut ummah siyasiyyah yang sifatnya lebih inklusif, kesatuan yang disemangati kesediaan qabul al-akhar, (menerima orang lain) untuk hidup bersama secara damai dan harmonis. Yahudi yang diiktiraf sebagai ummah diniyyah tersendiri, bergabung dengan umat Muslimin membentuk kesatuan ummah siyasiyyah negara Madinah.

Piagam Madinah memastikan seluruh warga Madinah mendapat jaminan hak mengekalkan agama dan budaya masing-masing, tetapi menyatu dalam sejumlah kesepakatan, termasuk kesetiaan kepada pimpinan Rasulullah , dan tanggungjawab bersama mempertahankan negara (Madinah). Demikianlah terbentuknya suatu ummah yang menepati formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma `alayna- "mereka berhak tentang apa yang mereka dapat dan mereka menanggung apa yang kita tanggung".

Piagam Madinah adalah jelmaan prinsip kesatuan, kesamaan dan kemuliaan insaniah yang mengakar kukuh dalam ajaran Islam. Rasulullah menegakkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat - keadilan dan persaudaraan insani (al-ukhuwwah al-insaniah) yang merentas perbezaan ras, agama dan budaya. Piagam Madinah menginstitusikan keadilan Ilahi yang rahmatan li al-`alamin.




Rujukan:

ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK: CABARAN AKTUALISASI RAHMAT SEJAGAT (RAHMATAN LI AL-`ALAMIN),  Dr Siddiq Fadzil

Seerah Nabawiyah ( Fiqh al Seerah ), Dr Muhammad Sa’id Ramadan al Buthy.

Sirah, Abd Rahman Rukaini.


(Disunting dan diterjemah daripada nota usrah Islamic Outreach-ABIM Penang untuk usrah Salwa Negeri)


Wednesday, October 12, 2016

PERGINYA SEORANG MURABBI: Ustaz Abd Majid Zainal Abidin



Al marhum Ustaz Abd Majid Zainal Abidin seorang datuk, ayah dan suami yang penyayang dan penyantun beserta keluarga besarnya yang sejahtera. Ustaz Abd Majid adalah seorang murabbi, naqib, pemimpin dan guru. Di Sekolah Menengah Agama al Mashoor Lelaki, dia terkenal sebagai guru yang mendekati, mesra dengan pelajar-pelajarnya. Dia menyapa mereka dengan memanggil, ‘’anak-anak’’ seolah-olah seorang bapa melayani anaknya.

Ustaz Abd Majid adalah diantara pengasas ABIM Cawangan Pulau Pinang pada Julai 1973. Rumahnya No 20 Lorong Indah Dua, Taman Brown menjadi alamat rasmi pertubuhan ABIM sehinggalah terdirinya markaz kekal dengan terbina bangunan ABIM Negeri di Sg Gelugor.  Dia bersama-sama sahabat-sahabat karib al marhum Cikgu Othman Omar dan al marhum Cikgu Musni memulihkan dan mengimarahkan kembali Masjid An Nur di Jalan Pinta Tali yang menjadi tapak program-program ABIM. Di antara pusat-pusat kegiatan ABIM pada masa itu adalah Madrasah al Masriyah Bukit Mertajam, Surau Pantai Jerejak dan Madrasah ad Diniah Sg Bakap.

Ustaz Abd Majid tabah beristiqamah dengan ABIM menggiatkan dakwah dan islah, mendidik, membina, membimbing ahli, mentarbiyah, memandu hala tuju, meluruskan saf, memelihara kesatuan dan menangani ancaman. Banyak ahli senior yang kekal di atas landasan perjuangan berkat usaha tarbiyah dan didikan Ustaz Abd Majid serta sentuhan hatinya. Sikapnya terbuka menerima cetusan pelbagai idea kreatif demi menyampaikan dakwah dan risalah dengan pendekatan bil hikmah, kebijaksanaan, bil hal,  model contoh teladan, bil lisan, dengan ucapan yg bernas dan anjuran kesederhanaan berprinsip sebagai rahmat kepada semua.

Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan di rumah Ustaz Abd Majid. Rumahnya juga menjadi tuan rumah, tempat akad nikah bersejarah pasangan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah yang didaftarkan oleh Qadhi Pulau Pinang waktu itu, Ustaz Harussani Zakaria. Ustaz Abd Majid amat akrab dengan Anwar Ibrahim menghormatinya sebagai pemimpin gerakan dan mengasihinya selaku sahabat seangkatan perjuangan. Dia pernah menceritakan tentang ketangkasan Anwar berpidato dengan mengatakan, “Anwar datang ke program ABIM di Pulau Pinang dan meminta Ustaz berikan poin-poin isi ucapan. Ana pun berikan dan Anwar cuma catat dengan menulis ke atas tapak tangannya. Tetapi apabila dia berceramah semacam dia telah menghadam setiap butir yang diberikan.”

Tanda hormat dan keakraban Anwar pula dengan Ustaz dapat dilihat semasa dia menghadiri program rasmi sewaktu Anwar sudahpun menjadi menteri kerajaan. Apabila Anwar melihat kehadiran Ustaz Abd Majid, dia terus mengapit Ustaz lalu membawanya  duduk bersebelahan dengannya tanpa menghiraukan protokol.

Ustaz Abd Majid dilantik menjadi Yang di Pertua ABIM apabila Ust Mohd Yusuf Latiff mengundur diri jawatannya kerana mengikuti jejak langkah Anwar Ibrahim memasuki parti politik pemerintah. Ustaz Abd Majid memimpin ABIM sewaktu gelora melanda gerakan akibat tindakan politik berkenaan yang di luar jangkaan ahli dan pendokong ABIM termasuk mengejutkan ahli politik serta pemerhati-pemerhati politik. Asakan daripada pesaing-pesaing yang tidak sihat juga semakin kuat giat menghasut dan cuba meleraikan keyakinan ahli kepada gerakan. Dia terpaksa mengharungi zaman yang getir itu demi meneruskan perjuangan, mengukuhkan gerakan dan mentarbiyahkan ahli serta memastikan pendekatan teras ABIM dakwah dan tarbiyah tetap berjalan.

Apabila ditanya kenapa keadaan begitu gawat semasa Anwar menyertai parti politik pemerintah, Ust Abd Majid menjawab, “Ahli dan ada pimpinan kurang memahami siyasah syar’iyyah dan syura’’.

Ustaz Abd Majid gigih mengajar dan program yang dirasakan paling berimpak tinggi adalah Usrah Umum ABIM di Masjid Sg Gelugor. Ustaz akan mengajar kuliah di masjid selepas solat maghrib. Selepas solat Isya, dia bergerak ke sudut masjid untuk memulakan usrah umum. Usrah ini mendapat sambutan baik sehingga ada toko mengadakan jualan buku. Kupasan tafsir Fi Zilal Qur’an karya Sayyid Qutb oleh Ustaz Abd Majid sungguh bernas dan mendalam. Dia menunjukkan kefahaman, penguasaan bahasa dan menyampaikan dengan penuh penghayatan kitab itu. Bagi peserta usrah pengalaman ini amat menyentuh hati dan sungguh bermakna. Ini diikuti dengan ulasan buku-buku harakah seperti Al-Rasul Salla Allah `Alayhi wa Sallim karya Sa’id Hawwa dan Abjadiyat Gerakan Islam.

Bagi usrah-usrah unit yang dikendalikannya sebagai naqib, dia memberikan tugasan kepada ahli-ahli untuk membuat pembentangan dan Ustaz Abd Majid akan bertindak sebagai moderator yang merumuskan agar capai kefahaman dan menyusun rangka tindakan.

Ustaz Abd Majid tidak berkesempatan melanjutkan pengajiannya ke luar negara atas sebab-sebab tertentu namun keilmuannya diakui dan disanjung baik oleh semua pihak.

Ustaz Abd Majid seorang yang komitted, berdisiplin tinggi, menjaga masa, sentiasa menepati waktu program, tidak lambat dan benar-benar menghayati pengajaran surah al ‘asr.  Dia mengatur dan mengarah. Dia mengenalpasti bakat dan memberi pengarahan-pengarahan serta tugasan-tugasan tertentu agar dilaksanakan sekaligus mengangkat posisi ahli-ahli ABIM,  dilatih dan dibimbing untuk mengurus dan memimpin program dakwah. Dia sangat tegas berpendirian dan tidak bertolak ansur dengan sebarang ancaman kepada ABIM.

Pada waktu pelbagai pihak meragui dan mempersoalkan pendirian dan kedudukan ABIM, ada di kalangan pengkritik ABIM gemar menggunakan beberapa istilah-istilah Arab dengan mempertikaikan ‘wasilah, uslub, manhaj, syurut, turuq’ termasuk  ‘syar’ie atau tidak syar’ie’ seumpamanya. Pada satu program usrah gabungan, Ustaz Abd Majid menegur dengan mengingatkan semua agar tidak membuat kritikan sembarangan hanya dengan memetik beberapa patah perkataan Arab tanpa mengetahui atau memahami bahasanya. Ia amatlah tidak wajar kerana itu semua hanya menunjukkan kedangkalan ilmu dan kelemahan kefahaman. Ilmu yang mantap dan kefahaman yang tepat mesti mendasari dakwah dan harakah.

Ustaz Abd Majid mengajarkan Islam yang sahih dan dia sentiasa menganjurkan kesederhanaan dalam penyampaiannya. Pada tahun 80’an telah muncul pemuda-pemuda Islam yang lantang dan bersemangat gariskeras serta gemar menghukum. Mereka pernah bertanya kepada Ustaz samada Malaysia adalah negara Islam. Ustaz Abd Majid menjawab secara kilasan, “Kalau bukan negara Islam, kita hendak duduk di mana?” Soalan hukum daging yang disembelih oleh orang parti pemerintah juga ditanya lalu dijawab secara seloroh oleh Ustaz, “Saya makan (daging itu)’’. Ustaz pernah memimpin usrah nuqaba’ parti politik sebelum ini kerana kewibawaan ilmunya.

Apabila gerakan memilih pendekatan ‘tawaquf’ dan  ‘dominasi ummah’ bagi menghadapi senario politik pada 1990, Ust Abd Majid tegas mendokong dan mempertahankan keputusan ini berhadapan dengan tentangan. Dia mampu menangani risiko dan krisis yang timbul.

Di celah-celah keseriousannya, terdapat ketika  dia berseloroh dengan rakan-rakan seangkatannya seperti al marhum Ustaz Niamat Yusuf dan juga al marhum Ustaz Sheikh Azmi yang petah berbahasa Arab. Tentang bahasa Inggeris, dia menyebut, “Kalau ana sebut dengan betul pun, orang yang mendengar akan gelak ketawa”. Pada suatu acara riadah di tamrin kepimpinan, untuk senaman bergilir gerakan badan mengangkat teman,  Ustaz Abd Majid dipasangkan dengan Ustaz Siddiq Fadzil yang lantas memprotes kerana saiz badan Ustaz Abd Majid menyebabkan hadirin tidak kering gusi ketawa.

Di bawah kepimpinan Ustaz Abd Majid, di sebalik kegawatan pola pemikiran dan polemik berharakah, program-program bermakna dilaksanakan oleh ABIM. TASKI – Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam ditubuhkan dan berkembang ke setiap daerah dan merupakan model-model pertama prasekolah Islam. Usrah dan tamrin berkembang dengan penambahan unit-unit baru. Program dakwah, wanita dan pembangunan belia dilaksanakan melalui hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi dan jabatan. Simposium Siswazah Muda Islam diadakan dengan kerjasama USM serta institusi lain. Program Islamic Outreach-ABIM yang dipelopori oleh al marhum Dr Zaini Hamzah di peringkat pusat disambut oleh Hj Mohamed Talhah Idrus bersama rakan-rakan Usrah Unit Pantai Jerejak beserta sahabat-sahabat lain dimulakan, merupakan pendekatan baru serta unik dalam menerangkan Islam dan memberikan kefahaman kepada Non Muslim waktu itu. Hubungan Ustaz Abd Majid dengan beberapa orang pendokong perintis IOA semasa bersama di PERKIM telah dimanfaatkan. Program kemanusiaan antarabangsa dengan kempen Pemulihan Afghanistan diadakan pada 1989 dengan acara kemuncak di Masjid Negeri yang dihadiri ribuan memenuhi semua ruang masjid yang jarang-jarang sekali dapat dicapai di Masjid Negeri Pulau Pinang. Ustaz Abd Majid dan Ust Wan Salim bersama berada di mesin taip menaip teks khutbah skrip Jawi yang diminta oleh Jabatan Agama Islam bagi penyebaran ke masjid-masjid bagi menyokong kempen itu. Pada masa itu, masih ramai khatib-khatib memilih teks Jawi untuk membaca khutbah. Kempen membantu dan menyelamatkan rakyat Bosnia Herzegovina yang teraniaya dan dizalimi Serbia serta tidak diendah Eropah pada awal 90'an juga mendapat sambutan dan sokongan luar biasa rakyat Pulau Pinang.

Rakan karibnya dan sabahat seperjuangan almarhum Cikgu Othman Omar telah mewakafkan se keping tanah di Sg Gelugor kepada ABIM dan di bawah kepimpinan Ustaz Abd Majid bangunan tiga tingkat markaz pertamanya dibina dan disiapkan melalui kutipan derma ahli dan simpatisan ABIM. Hasil waqaf tokoh ABIM beserta sumbangan ahli dan orang ramai maka tercapailah hasrat cita-cita memiliki markaz sendiri.

Apabila Ustaz Dr Wan Salim kembali daripada UK setelah menyiapkan PhD, pimpinan pusat masih mengekalkan Ustaz Abd Majid sebagai YDP walaupun dia telah lama berhasrat untuk mengundur diri. Akhirnya tiba masa kepimpinan beralih kepada Ustaz Dr Wan Salim dan satu majlis perpisahan penuh gemilang untuk Ustaz Abd Majid diadakan di atas feri yang disewa khas mengelilingi perairan sekitar Jambatan Pulau Pinang dengan sambutan kehadiran ramai.

Setelah bersara daripada perkhidmatan pendidikan, Ustaz Abd Majid telah balik ke kampung halaman asalnya di Trong untuk menjadi mudir madrasah di situ dan meneruskan menyampaikan pengajian di Perak. Dia telah mendapat pengiktirafan dan dilantik sebagai ahli Majlis Agama Islam Perak serta dikurniakan anugerah kebesaran membawa kepada gelaran Dato’ oleh SPB Sultan Perak. Ust Abd Majid telah mengalami serangan angin ahmar tetapi berjaya dengan penuh semangat mengatasi penyakit itu dan terus bergiat mendidik dan menyampaikan pengajian.

Pada 2011, Cikgu Mustafa Shafie telah mengaturkan Multaqa Masyayikh di Madrasah Ad Diniah bersama rakan-rakan lain bagi memenuhi hasrat dan hajat Ustaz Abd Majid untuk bertemu semula dengan sahabat-sahabat seangkatan. Cikgu Mustafa mengalu-alukan kedatangan dengan menyatakan bahawa Madrasah Ad Diniah tapak dan pengkalan pembangunan pendidikan SERI dan SEMI. Madrasah ini juga warisan dan waqaf pejuang agama yang setia dan kekal sentiasa menjadi pusat dakwah dan markaz gerakan ABIM bagi meneruskan kebangkitan dan pengisian kesedaran Islam.

Pada majlis itu Ustaz Abd Majid Zainal Abidin telah berucap, “Kita berasa teramat yakin bahawa perjuangan kita bertunjangkan keikhlasan pada Allah swt. Sebab itulah kita boleh istiqamah dengan perjuangan. ABIM berusaha sebagai gerakan Islam untuk ummah, menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., menegakkan cita-cita Islamiyyah demi mencapai keridhaanNya. Kita menimba ilmu, memantapkan iman, memperbaiki amal, gerakerja berjamaah, membentuk kesabaran, istiqamah dalam perjuangan. Memang tribulasi bermacam-macam tetapi kita masih yakin dengan perjuangan. Banyak kenangan manis perjuangan dan peristiwa bersejarah bagi tokoh dan akitivis gerakan. Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud (mantan pimpinan ABIM Pulau Pinang) - telah berwasiat kepada isterinya berbunyi ...... ‘kalau aku mati - talipon Ustaz Majid’........ itulah antara sahabat sehati sejiwa dengan perjuangan, gerakan dan Islam. Sahabat dunia dan akhirat.”


Semoga Allah swt merahmati ruh al marhum dan menempatkannya bersama para salihin. Ameen.


Sunday, October 9, 2016

Dr Siddiq Fadzil: Jati Diri Perjuangan Dakwah



Wadah-ABIM-PKPIM ini ialah gerakan pencerahan. Gerakan tanwir. Kehadirannya untuk membebaskan dari kongkongan kegelapan kepada kebenaran dan pencerahan. (minnazzulumati ila annur).


KHAYRA UMMAH

Menurut Al Elwani, umat Islam adalah umat unggul yang ditampilkan kepada umat sejagat (mukhrijah).  Ia merupakan jelmaan idealisme umat unggul (khayra ummah) lantas perlu segar. Keunggulan umat (khairiyyatul ummah) merupakan keunggulan yang diusahakan; bukan yang diwarisi!

Ia adalah umat yang bekerja dan berusaha bukan khairiyyah mauruthah – bukan keunggulan yang diwarisi – sebenarnya tiada kewarisan keunggulan. Kedudukan istimewa sesuatu bangsa tidak sah jika ianya diwarisi. Dari segi syar’ie khairiyyah (keunggulan) itu hendaklah diusahakan sehingga pencapaiannya. Khairiyyah muktasabah yang dicapai dengan usaha dan perjuangan – dengan ciri-ciri khusus yang disebut “kuntum khayra ummatin ukhrijat linnas…….”

Kamu adalah umat yang terbaik yang ditampilkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh berbuat yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)

Ertinya umat yang mempunyai komitmen menegakkan nilai kema’rufan. Umat yang mempunyai komitmen melawan kemungkaran. Dan perjuangan amar ma’ruf nahy mungkar itu mesti berasaskan tu’ minuna billahfaith based – berasaskan kepada iman. Asasnya iman dan jelmaannya adalah  amar ma’ruf nahy mungkar. Iman mendasarinya bukan perkauman, bukan rasisme – it is a faith based struggle.

Perjuangan itu harus mendokong misi kebaktian kemanusiaan sejagat sesuai dengan ayat lain, “wa ma arsalnaka illa rahmatan lil ‘alamin…..”

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al Anbiya’: 107)

Ini selaras dengan kuntum khayra ummatin ukhrijat linnas…. . Kata yang harus digarisbawah ialah kata ukhrijat linnas. Bukan lil mu’minin, bukan lil muslimin, bukan lil malaiziyin semata-mata. Apa makna ‘linnas’ pada para ulama mufassirin? Ia bermaksud – linnas– li naf ‘innas, li maslahatinnas, li khidmatinnas – manfaat, maslahat, khidmat - untuk menyumbang kepada kemanusiaan sejagat.

Li khidmatinnas - disebut sebagai kesimpulannya dengan kata-kata antum, kuntum, khayrunnas, linnas. Manusia terbaik di kalangan manusia yang dicirikan oleh khidmat bakti kemanusiaan sejagat. Kita harus melihat gerakan kita ini mulai sekarang sebagai gerakan kemanusiaan. Bukan jelmaan nasionalisme Melayu, bukan jelmaan dari rasa kecewa orang Melayu lalu mencari jalan keluarnya melalui dakwah.

Kalau kita baca buku-buku tentang kebangkitan Islam tahun 70 ‘an, bermacam-macam analisisnya. Ada yang menganalisis kebangkitan anak-anak muda tahun 70’an itu adalah jelmaan dari rasa rendah diri generasi muda Melayu aliran pendidikan Melayu lalu ‘lari’ ke dakwah. Bacalah apa yang ditulis Chandra Muzaffar dan lain-lainnya, masih lagi bertanggapan begitu. Dikatakan anak-anak Melayu memasuki universiti dan merasakan diri mereka inferior apabila berdepan dengan pelajar-pelajar lain serta pengalaman di kuliah-kuliah. Ini menyebabkan mereka melempiaskan diri kepada dakwah. Hipotesis ini tidak berasas samasekali. Padahal generasi awal yang memulakan gerakan ini – majoriti besar pimpinan ABIM ketika itu daripada aliran berpendidikan Inggeris.

Dakwah ini bukan kekecewaan yang mencari jalan keluar. Ini adalah amanah kenabian, amanah profetik. Kita membawa misi dan mesej rahmatan lil ‘alamin. Tanpa kita merasa takut dan kita termasuk, dan andainya kita mahu menjadi penerus dan pelanjut amanah profetis umat.

Kita ingin menepati ayat Allah bermaksud

(yaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan. (Al-Ahzab : 39)

Kata ‘takut’ diulangi sebanyak dua kali pada ayat ini. Maknanya antara perjuangan dan ketakutan ada kaitannya. Kerana itu kata ‘takut’, kata khasyah diulang dua kali. Mereka memilih untuk menjadi pejuang di jalan Allah tanpa rasa takut atau gentar kecuali takut kepada Allah. Tugas dakwah Ini sememangnya datang daripada kesedaran untuk menyebar risalah Allah, 'ketakutan kepada Allah', 'Jangan takutkan selain Allah'.

Jangan takut dan berdalih pula – dengan menyatakan ‘ini hikmah!’


ISLAH

Kalau ingin mengguna istilah islah dalam gerakan kita mesti memenuhi syarat. Syaratnya ialah seperti diungkapkan oleh Nabi Syu’aib a.s.  ‘In uridu illal islaha mastata'tu’

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Hud:88)

Ertinya  seorang pendakwah, seorang pejuang Islah tidak mempunyai apa-apa keinginan yang lain. Islah itulah satu-satunya keinginan. Kalau terjun ke bidang islah tetapi masih mempunyai bermacam-macam keinginan, masih mahu mencari pangkat dan harta, mencari populariti, itu bukan islah.

Kata ‘in’ itu bermakna tidak mempunyai apa-apa keinginan selainnya. Islah yang dia komitted itu hendaklah dilaksanakan dengan ‘mastata’tu’ – sejauh terdaya oleh kekuatan yang dimilikinya. Bukan alang kepalang, bukan sambilan, bukan ‘part time’.

To the maksimum! To your utmost! I desire nothing but reform so far as I am able.

Kalau islah hendak digabungkan dengan tanwir – menjadi al islah al tanwiri, maka ia adalah suatu perjuangan bukan hobi, ikut-ikutan atau pengisian masa lapang.

Persoalannya ialah matlamat gerakan pencerahan ini atau gerakan Islam. Oleh itu dirumuskan bahawa matlamat perjuangan kita ialah mencapai redha Illahi menerusi amal perjuangan, membangun umat, mendaulatkan syariat. Jangan ada niat lain kalau kita mahukan keberkatan.

Bila disebut syariat, syariat di dalam erti nilai, hukum dan maqasidnya. Syariat bukan semata-mata hudud. Hudud itu sebahagian kecil syariat dan yang terkemudian. Menurut al Raisuniy, hudud itu juz’un saghirun wa mu’akhirun. Jangan bermula dengan hudud kerana itu tidak menurut turutannya. Yang namanya syariat, adalah al Qur’an bermula dengan  minal fatihah ila an nas.

Dimensinya terciri kepada nilai, hukum dan maqasidnya. Nilai terabai kerana selama ini syariat berorientasi hukum.  Dengan hanya berpersepsi hukum, kita lupa kepada nilai – values. Walhal hukum dilaksanakan bagi menegakkan nilai – contohnya nilai keadilan.  Sebenarnya bagi pemikiran Islam yang sistematik, nilai perlu datang sebelum hukum – al qiyam qablal ahkam. Kita perlu melihat maqasid bukan hanya nilai dan hukum sahaja pada syariat. Matlamat, objektif syariat adalah masalihul ibad -  maslahat hamba-hamba Allah bukan maslahat muslimin semata-mata.


DAKWAH

Apabila kita komit kepada pendekatan dakwah maka kita perlu patuh kepada kaedah-kaedahnya yang terkandung di dalam dan biasanya dikaitkan dengan dua istilah kunci iaitu ‘ala basirah dan bil hikmah. Inilah dua perkara yang mengikat.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Yusuf 12:108)

‘ala basirah bermakna ia berdasarkan kefahaman dan pengertian, berasaskan  fakta dan angka, ‘facts and figures’ – haqa’iq wa arqam,  atas kesedaran, mengetahui kebudayaan, mengetahui sosiologi, mengetahui segala macam ilmu dan maklumat yang melatari.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Al-Nahl 16:125) |

Bil hikmah bermakna cara yang tepat, tempat tepat, masa tepat, dan serba serbinya mesti tepat. Do things right, do the right things right, everytime, all the time and not only sometimes.


DAKWAH DAN FIQH

Ini pula disesuaikan dengan suatu senarai fiqh. Apa yang disebut sebagai fiqh al taghyir – fiqh perubahan. Islah kita mesti menuju ke arah perubahan dan perubahan itu tidak boleh dilakukan secara serampagan tetapi harus berasaskan kefahaman. Ada fiqhnya yang perlu dipelajari. Dalam bahasa pengurusan, in management terms, managing change – change management, mengurus perubahan. Dalam tradisi keilmuan Islam disebut fiqh al taghyir. Kita perlu belajar. Mereka yang pernah belajar ‘change management’ belum tentu boleh faham fiqh al taghyir. Mereka perlu belajar dan membuat perbandingan. Apa yang hendak kita laksanakan ini adalah fiqh al taghyir berasaskan sunnah nabawiyyah dan tuntutannya.

Fiqh al awlawwiyat – fiqh keutamaan, susunan prioriti itu penting. Kita saksikan apabila tersalah prioriti sukar untuk berpatah balik ke belakang. Contohnya apabila ‘start’ dengan hudud, kemudian tergantung dan apabila terlajak, sukar sekali kerana tersalah fiqh al awlawwiyat, tersalah fiqh al taghyir.

Begitu juga kepentingan fiqh al mu’azanat – fiqh perimbangan.

Dalam konteks masyarakat kita, orang Melayu di Malaysia ini, kita perlu menyemak fiqh yang kita pelajari selama ini dan kita bebaskan umat daripada apa yang dinamakan fiqh al istibdad – fiqh penindasan. Ia adalah penindasan menggunakan fiqh. Menghukum menindas rakyat dengan menggunakan fiqh contohnya  apabila dihukum bughah yang halal darahnya bagi orang yang berdemonstrasi menuntut kebebasan pilihanraya. Kita belum bebas daripada bentuk fiqh penindasan. Fiqh al istibdad hanya untuk tujuan orang berkuasa yang berkepentingan bukan membebaskan rakyat.

Bagi Wadah ini harus kita lahirkan fiqh al taharur – fiqh pembebasan. Fiqh baru bukan fiqh al istibdad lagi kalau misi kita adalah misi memberdayakan rakyat. Pemberdayaan ini pula ada satu lagi fiqh di namakan fiqh al tamkin – fiqh pemberdayaan. Oleh itu skim tarbiyah kita, tamrin kita harus meliputi subjek-subjek yang dulu kita tidak pernah pelajari. Kalau hendak mengangkat dakwah jilid 2.0 maka fiqh-fiqh ini mesti kita pelajari. Dulu cukup dengan membaca kitab ma’lim fi tariq. Sekarang pembacaan kita mestilah terkini.


ORIENTASI GERAKAN ISLAM

Orientasi gerakan kita harus berorientasikan apa yang disebut al asala wal mu’asara – mengakar pada tradisi dan sekaligus merai perubahan realiti. Mengakar pada tradisi bermakna ada asas al Qur’an dan al Sunnah. Al asala  adalah – keaslian, ketulenan, original – al Qur’an dan al Sunnah. Mu’asara adalah kontemporari, terkini. Mengakar pada tradisi dan merai perubahan realiti zaman dan lingkungan.

‘Fiqh al malizie’ mengambil realiti tersendiri keMalaysiaan yang mungkin tiada di tempat-tempat lain. Realiti keMalaysiaan, fiqh al malizie itu ialah fiqh al ta’ayush – fiqh hidup berdampingan rakyat berbilang kaum (peaceful coexistence). Fiqh al ta’ayush adalah fiqh coexistence. Fiqh ini mungkin tidak boleh lahir di Saudi Arabia. Ia harus lahir dari Malaysia.

Bagaimana hendak dibina suatu pola kehidupan multi ethnic, multi religious yang damai berasaskan al Qur’an dan Sunnah? Kitalah yang harus mempelopori kelahiran fiqh ini. Dan kita sudah mulai berjalan ke arah itu apabila kita mengemukakan konsep pembinaan bangsa Malaysia – ‘Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan’. Kita harus menyiapkan dan menyempurnakan usaha ini. Kita perlukan para fuqaha, mufakkirin, intelektual yang kompeten untuk menangani masalah-masalah yang orang lain tidak berminat pun. Bukan sekadar tidak komitted malah tidak minat. Ada yang masih berada di dalam kepompong lama perkauman Melayu.


UMMATIK

Orientasi seterusnya adalah orientasi ummatik sesuai dengan pemikiran al Raisuniy yang mengangkat tema al ummah hiyal asal – ummah sebagai induk sebagai asal, pangkal, sebagai inti, sebagai teras kerana selama ini umat itu diperkecil dan diremehkan. Rakyat diperkecilkan selama ini. Kita harus membawa aliran baru bahawa yang besar adalah rakyat. Kerajaan itu adalah alat untuk melaksana kehendak dan aspirasi rakyat. Wakil rakyat itu mewakili rakyat bukan mewakili pembesar.

Oleh itu, kita tidak boleh menjadi sebuah organisasi elitis. Kita sebagai gerakan Islam, gerakan ummatik harus menolak elitisme yang telah menjangkiti golongan tertentu. Para intelektual sudah mulai bersikap elitis tidak merakyat, berlegar bersama kalangan sendiri sahaja.

Dengan itu juga, sesuai dengan semangat ummatik – al ummah hiyal asal maka kita harus menjadi juara kepada masyarakat madaniycivil society. Suatu konsep yang kita harus hidupkan dan kembangkan wacana masyarakat madaniy, kita harus gerakkan semula. Semasa Anwar Ibrahim TPM, dia mengangkat tema ini. Jangan dibiarkan tema ini layu dan lesu dalam kerakusan pemerintah yang melemahkan semua. Masyarakat madaniy itu adalah jelmaan kekuatan rakyat sehingga mampu menjadi alternatif kepada kerajaan. Masyarakat madaniy yang berani harus inklusif dan akomodatif. Jangan terlalu banyak syarat-syarat. Jaringan perlu luas meliputi Non Muslim dan bukan Melayu.


AMAL JAMA’IYY

Orientasi seterusnya adalah semangat jama’iyy dan budaya kolektif. Kita dapat mengembleng tenaga dan potensi yang berbeda-beda bagi mencapai matlamat jamaah atau organizational goals. Ini harus bermula dengan menghargai perbedaan dan kepelbagaian. Dalam jamaah kita tidak boleh ada ‘one man show’. Kepimpinan kita jama’iyy dan syuuriy (syura), berpandu permesyuaratan serta tidak berpusat kepada peribadi. Ini bagi menghindari personality cult – pengkultusan peribadi. Taqdisul qa’id – mengsakralkan pemimpin sangat berbahaya. Dalam sejarah Islam telah berlaku fenomena ini. Shaykh Taha Jabir al Elwani menulis tentang mengapa orang ragu-ragu unutk mengkritik atau menolak pendapat ulama silam padahal demikian itu hanya pendapat ijtihadi bukan nass. Para pengikut membesarkan tokoh mereka dan ada persaingan dengan jamaah lain. Ini yang telah berlaku di dalam sejarah berulang-ulang. Pemimpin sesuatu aliran atau mazhab dibesarkan oleh para pengikutnya kerana persaingan jamaah lain. Itulah sebabnya kita melarang memberikan gelaran-gelaran sesama kita yang boleh menimbulkan kesangsian.


BUDAYA ILMU

Seterusnya orientasi budaya ilmu yang kuat – kita harus jelaskan ilmu yang kita beri tumpuan dalam konteks ini adalah ilmu berasaskan epistemologi Islam. Pada zaman di mana ilmu mengalami krisis pencemarannya, pemecahannya dan segala macam kerosakan, kita harus mengasaskan tradisi ilmu dalam gerakan kita ini di atas landasan epistemologi Islam yang komprehensif dan integratif. Walaupun kita sudah belajar daripada kecil sampai sekarang, daripada pelbagai aliran, kita tidak boleh berhenti dari terus melakukan ‘reeducating ourselves’ – belajar semula. Tidak ada tamat belajar. Kita tahu bahawa dari dulu lagi kita ‘disalah didik’. Usrah kita adalah ‘a kind of reeducating ourselves’ – satu bentuk belajar semula bersama.

Dalam konteks budaya ilmu ini juga, kita harus membangun ilmu-ilmu yang terabai yang sangat penting sebenarnya. Bagaimana hendak merealisasikan tata urus dan tata kelola yang baik? Bagaimana mengamalkan al idarah al IslamiyyahIslamic management di agensi-agensi ekonomi kita agar berjaya? Crisis management – idaratul ‘azamat – pengurusan krisis mempunyai ilmunya. Mengurus krisis ekonomi mengatasi kekurangan makanan seperti dihadapi Nabi Yusuf a.s. Ia bukan hanya teori tetapi aplikasi – bukan semata-mata ‘al tanzir’ tetapi ‘at tatbiq’ – pelaksanaan.


TARBIYAH

Teras gerakan kita adalah dakwah dan tarbiyah, orientasi kita mesti tarbiyah yang tersendiri. Pertama, tarbiyah kita harus berbentuk tarbiyah ilmiah. Tarbiyah yang memberikan kefahaman yang utuh dan mendalam tentang serba serbi agama Islam. Kedua, tarbiyah yang menjurus kepada character building – pembinaan sahsiah. Tarbiyah tidak cuma membina kefahaman tetapi membina watak. Inilah sesuatu yang terabai. Sistem pendidikan sedia ada dari awal hingga akhr seperti tiada character building. Tiada pembinaan watak tetapi hanya membina otak. Otak tanpa watak seolah-olah berpelajaran tetapi tidak berpendidikan. Kita bina watak tawhidik yang sepadu dan seimbang yang menghayati nilai-nilai al fadha’il, nilai-nilai keutamaan akhlaqiyatul du’a – akhlak para pendakwah.

Dalam Islam di antara orang awam dan ulama ada ukuran standard akhlak yang berbeda. Dalam Islam, disebut istilah akhlaqul ulama’ – tidak sama dengan akhlak orang awan dan semestinya lebih tinggi. Dalam tradisi tasawuf disebut hasanatul abrar sayi’atul muqarabin. Standard yang sesuai dengan kedudukan sehingga kader-kader gerakan ini menjadi masdarul khayr – sumber kebaikan, bukan saja kebaikan untuk dirinya tetapi melimpah kebaikan kepada orang di sekitarnya. Barangkali inilah yang dimaksudkan dengan ‘inspiring personality’ – mengilhamkan orang lain agar menjadi baik.


PEMIKIRAN

Seterusnya orientasi pemikiran dalam gerakan ini harus penjelmaan wasatiyatul islam, penjelmaan al tasamuh al islamiy (toleransi), penjelmaan waqi’i mithali (realistik dan idealistik). Tidak terlalu idealis tanpa mengambil kira realiti. Tidak terlalu realistik hingga hilang tergadai prinsip. Harus berimbang di antara idealisme dan realisme.

Pemikiran harus mu’asir, mustaqbali, tarikhi – kontemporari, futuristik tanpa melupakan pengajaran sejarah.  Ada orang terlalu futuristik sehingga mengabai dan meremehkan sejarah. Keperluan mempelajari sejarah adalah agar menyedari realiti masa kini dan bersiap sedia untuk masa depan. Sikap meremehkan sejarah tidak harus ada di dalam gerakan Islam kerana kita perlu tahu dulu berada di mana, sekarang berada di mana dan akan datang bagaimana. Dalam bahasa pengurusan, if you do not know where you have been, how can you know where you are going?

ABIM tidak perlu  balik ke belakang 10 tahun yang lalu, kerana kita tahu dan telahpun berada di sana 10 tahun yang lalu. Ada orang yang ingin balik 30 tahun yang lalu akibat buta sejarah, padahal kita telahpun meninggalkannya.

Pemikiran al Maqasidi – maqasid syariah bukan sekadar mengetahui objektif suatu hukum tetapi lebih daripada itu. Ia sebenarnya suatu cara, pola  berfikir. Al fikrul maqasidi adalah pemikiran yang berorientasikan pencapaian objektif – thamara’ – outcome – end game. Ia adalah kesedaran tentang yang mana wasilah dan yang mana ghoyah. Ini bagi mengelakkan kadang-kadang terlalu obses dengan vehicle – wasilah dengan melupai aims – objektif. Pemikiran ini perlu seiring dengan budaya maqasidi.



(ihsan catatan Radin Imaduddin ABIM Selangor dan rakaman audio peserta Tamrin)



Tuesday, September 27, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: DEMI AMANAH DAKWAH



Demi Memelihara Amanat al Da’wah

Kita sorot persoalan islah dengan gelora yang sedang berlaku iaitu gelora reformasi. Gerakan islah mesti hadir di mana-mana termasuk di dalam gerakan reformasi ini. Bermula pada 1998, diharap akan bergelora lagi pada tahun-tahun mendatang.

Daripada awal lagi kita merangkaikan reformasi dengan islah – reformasi islahiy. Gerakan reformasi kebangkitan rakyat, gelombang kebangkitan rakyat mesti dijiwai dengan nilai-nilai dan prinsip prinsip islah. Gerakan reformasi umumnya terdapat pelbagai unsur, fahaman dan ideologi. Prinsip islah mesti dominan. Kini pelbagai pihak memasuki arus gelombang reformasi ini termasuk bekas perdana menteri yang bertanggungjawab menjadi pokok pangkal punca masalah. Periodnya itu banyak membawa kerosakkan dan menyusahkan orang dengan  pelbagai cara menakut-nakutkan. Institusi-institusi dan sistem-sistem dirosakkan. Sistem pembahagian kuasa digugat, rakyat dikelirukan dan ditakut-takutkan. Sebab itu prinsip reformasi islahiy mesti dominan.

Islah bukan aktiviti atau kegiatan. Islah adalah perjuangan. Perjuangan seperti diungkapkan oleh Nabi Shuaib a.s. “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (islah) sedaya upayaku” (ayat 88 surah Hud). Anwar Ibrahim seorang yang sangat memahami Islah sebagai satu perjuangan. Kita lihat perjalanan hidupnya, keluar masuk penjara, bukan kerana pangkat, kedudukan atau kerjaya. Baginya yang lain bukan keutamaan. Dia sangat memahami bahawa islah itu adalah perjuangan sepenuh masa dan sepenuh hati.

Dia pernah berkata orang yang mementingkan ijazah dan kerjaya daripada perjuangan adalah selfish. Ini telah menusuk ke hati apabila mendengarnya. Tetapi ketegasan itu adalah supaya kekuatan dan keutamaan ditumpu kepada gerakan islahiy sewaktu itu. Anwar Ibrahim mendidik, membina generasi itu untuk menjadikan islah ini agenda utama ke mana saja kita pergi. Hatta jika menjadi Naib Canselor Universiti Islam itu pun mesti membawa misi islah. Islah bukan kerjaya, bukan career. Misi islah itu agenda utama.

Kita tidak boleh berharap banyak daripada kerajaan berkenaan islah. Mungkin semasa Anwar Ibrahim bersama dalam kerajaan, dia membawa agenda islah tetapi selepas itu tidak banyak boleh diharapkan. Komitmen islah tidak dapat dijamin lagi dan hanya dipilih agenda yang menguntungkan pemerintah dan membawa kepada kekuasaan. Pemerintah hanya mementingkan kekuasaan. Kerajaan dan pemerintah melihat islah demi kekuasaan.

Fiqh yang diguna pula agak pelik dan ganjil serta tidak membantu islah. Fiqh yang menindas rakyat. Fatwa-fatwa yang ganjil muncul bagi menentang demonstrasi menuntut pembersihan proses pilihanraya, ataupun membangkitkan tuduhan kafir harbi ke atas sebuah parti politik. Kini kita amat perlu kepada fiqh baru – fiqh taharur (kebebasan) atau fiqh tamkin (pemberdayaan)  bukan fiqh istibdad (penindasan). Rakyat dilemahkan, dilumpuhkan, diperbodohkan sehingga tak berdaya berdepan dengan pemerintah yang bertambah kuat.

Kepada generasi sekarang, tidak cukup sekadar pencapaian wanita  memakai tudung. Itu perjuangan generasi dulu. Seterusnya mereka yang memakai tudung sekarang perlu cerdas, berani, mengetahui hak-hak dan bebas daripada pemikiran perhambaan.

Parti-parti politik pula terikat dengan berusaha meraih undi terbanyak. Parti-parti politik berorientasikan Islam pula boleh berubah dan boleh cenderung kepada sikap perkauman.

Yang kita menaruh harapan dan penuh perhatian adalah kepada gerakan dakwah seperti ABIM, PKPIM dan WADAH – gerakan kerakyatan, gerakan keumatan – gerakan ummatik. Gerakan yang mempunyai kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan, mempunyai wawasan dan tradisi keilmuan yang kuat. Kita percaya kepada rangkaian pergerakan kita.

Demi memelihara amanat al da’wah, masalah kita bukan dengan orang lain, bukan masalah persaingan. Kita tidak bersaing dengan parti-parti politik atau mana-mana parti. Tetapi yang menjadi kecemburuan kita ialah amanat al da’wah.

Islam mesti disampaikan dalam bentuk dan hakikatnya yang sebenar. Sekarang Islam sedang mengalami pencemaran – pencemaran imej, pencemaran citra. Citra Islam sudah digambarkan tidak semurni sebagaimana semestinya. Orang telah mendapat gambaran Islam yang menakutkan, suatu yang bengis kerana mendapat gambaran itu daripada pihak-pihak tertentu.


Dalam keadaan seperti itu, kita tercabar untuk mengemukakan Islam dalam wajahnya dan citranya yang murni dan impresif. Masalah yang ada adalah masalah amanat al da’wah. Bagaimana mungkin orang yang komited kepada perjuangan dakwah berpuluhan tahun selama ini tidak merasakan apa-apa apabila Islam dicorakkan dan diwarnakan mengikut selera masing-masing demi kepentingan sendiri.


(Ucapan Dr Siddiq Fadzil, Ketua Majlis Isytishaari WADAH Pencedasan Umat pada MPAT ke 55 PKPIM)

Wednesday, September 7, 2016

DR SIDDIQ FADZIL: MELAWAN BUDAYA TAKUT: DAKWAH DAN PEMBERDAYAAN UMAT



MUKNAS10
MELAWAN BUDAYA TAKUT:  DAKWAH
DAN  PEMBERDAYAAN UMAT

Siddiq Fadzil

(Pidato Sambutan Muktamar Nasional ke-10,  Wadah Pencerdasan
Umat Malaysia,  4hb September 2016,  Hotel Bangi-Putrajaya).

Muktamar Nasional ke-10 menghantarkan kita memasuki dekad kedua dalam pembabakan sejarah WADAH sebagai gerakan pencerdasan dan pencerahan.  Hari ini kita merakamkan suatu kesaksian  bahawa wadah tercinta ini telah mencipta prestasi yang cukup bererti, khususnya dalam konteks daerah  lingkaran dakwah yang lebih luas dan inklusif.   Dengan semangat rahmatan li al-`alamin kita rentasi sempadan kaum,  kita lintasi batasan agama.  Komunikasi dan dialog dengan masyarakat bukan Islam sedang memasuki tahap yang lebih intensif dan ekstensif.   Memang kita adalah umat ukhrijat li al-nas,  umat yang ditampilkan untuk menyantuni warga kemanusiaan sejagat.


Menangani Pluraliti

Dalam melaksanakan misi dakwah pencerdasan dan pencerahan kita selamanya dipandu fiqh al-waqi`,  fiqh realiti kemalaysiaan  dengan segala keunikannya.  Apa yang selama ini kita sebut manhaj maliziy dalam pendakwahan sebenarnya tidak lain adalah sejenis fiqh kontekstual yang terhasil dari  dialektika  teks dengan konteks,  dialog   nass dengan waqi`.   Antara realiti yang sentiasa kita perhitungkan   ialah hakikat kemajmukan atau pluraliti masyarakat  Malaysia yang menuntut kefahaman yang mendalam tentang fiqh al-ta`addudiyyah (fiqh pluraliti) yang meliputi persoalan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia, prinsip keadilan,   nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan seterusnya tata susila  kesantunan hidup berdampingan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.   Kemajmukan masyarakat Malaysia adalah lahan paling subur untuk menumbuhkan fiqh al-ta`ayush atau fiqh co-existence   dalam pengertian tata aturan hidup berdampingan yang harmonis dan penuh semangat kesalingan dalam kalangan warga pelbagai agama dan budaya.  Yang harus kita bina di Malaysia ketika ini bukan fiqh al-harb (fiqh perang),  tetapi fiqh al-ta`ayush.  Gagasan ini harus kita tekuni dengan serius.   Memang kitalah yang harus mempeloporinya.    Dalam kaitan ini kita tidak boleh melupakan  fakta  kepeloporan Sdr. Dato’ Seri Anwar Ibrahim  sebagai penggagas pertama projek Islam dan pluraliti  sebagaimana yang diungkapkannya dalam Ucapan Dasar Presiden ABIM tahun 1979,  Islam – Penyelesaian kepada Masalah Masyarakat Majmuk..

Pidato kepresidenan yang diucapkan 37 tahun yang lalu itulah yang menjadi asas pengembangan wacana Islam dan kemajmukan hingga hari ini.   Dari sanalah berpangkalnya gagasan pembinaan bangsa Malaysia berasaskan formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”  dengan Piagam Madinah sebagai acuan.   Gagasan  yang berteraskan konsep ummah siyasiyyah yang inklusif ini adalah sebahagian daripada usaha membawa Islam ke arus perdana dan berperanan positif dalam proses nation building


Pemugaran Wacana Maqasid al-Shari`ah

Bersama  Dato’ Seri Anwar Ibrahim kita telah berusaha menyegarkan wacana maqasid al-shari`ah di tengah umat.  Kesungguhan beliau dalam pengembangan  al-fikr al-maqasidiy (pemikiran berasaskan maqasid) memang cukup jelas.    Dalam siri wacana jelajah maqasid beliau banyak mempromosikan pemikiran maqasidi al-Shaykh Muhammad al-Tahir ibn `Ashur  (tokoh pembangkit kesedaran baru tentang kepentingan maqasid al-shari`ah pertengahan abad 20).  Malah dalam pidato-pidatonya sebagai pengasas dan penggagas  World Forum for Muslim Democrats,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa menggarisbawahi peranan maqasid al-shari`ah sebagai landasan amalan demokrasi dan tatakelola yang baik (good governance).   Seiring  dengan komitmen maqasidi  Dato’ Seri Anwar,  kita juga sedang serius menekuni kajian al-maqasid,  termasuk usaha pengemasan  maqasid al-shari`ah sebagai nilai-nilai sejagat.   Kita promosikan nilai-nilai sejagat maqasid  sebagai jambatan penghubung antara pelbagai kaum, agama dan budaya.  Justeru,  sebagaimana yang disebut oleh  al-Shatibiy (Shaykh al-maqasid)  bahawa maqasid al-shari`ah  yang terumus pada al-kulliyyat atau al-daruriyyat yang lima itu adalah kesepakatan seluruh umat dan semua agama.   Selain itu kita juga memberikan komitmen dukungan kepada hasrat kerajaan negeri Selangor untuk menjadikan maqasid al-shari`ah sebagai landasan segala dasar pentadbirannya.     


Moral Politik dan Pemberdayaan Rakyat

Muknas ke-10 menjadi sangat penting kerana ia berlangsung di tengah kemelut moral politik yang terjelma dalam praksis “mentang-mentang berwewenang,  lalu berperilaku sewenang-wenang”,   merosak trias politica (prinsip pemisahan kuasa lagislatif, eksekutif dan kehakiman),  memperalat institusi perundangan negara untuk memenjara dan mendera saingan politik,  menghukum pegawai-pegawai kerajaan yang setia melaksanakan prinsip dan nilai integriti,   memfitnah dan melakukan character  assassination,   menyalahgunakan dana rakyat dalam jumlah  bilionan ringgit sehingga menjadi aib nasional,  melakukan pemborosan wang rakyat untuk membiayai selera gaya hidup mewah orang-orang tertentu,  dan pelbagai skandal lain yang tidak terhitung banyaknya.   Semuanya berlaku di tengah ketidakberdayaan rakyat  bertindak sebagai kekuatan massa pencegah kemungkaran.   Rakyat yang telah dilumpuhkan kekuatannya, dikacau-bilaukan nilai-nilai hidupnya dan dirosakkan kemanusiaannya,   gagal menjadi effective citizens.    Segala yang menimpa negara dan rakyat ketika ini mengingatkan kita kepada puisi  W.S.Rendra tentang Indonesia pada penghujung abad lalu. Antara bait-bait puisi panjang yang berjudul  Kesaksian Akhir Abad itu:

                        O, Indonesia! Ah, Indonesia!
                        Negara yang kehilangan makna!
                        Rakyat sudah dirusak asas tatanan hidupnya.
                        Berarti sudah dirusak dasar peradabannya.
                        Dan akibatnya dirusak pula kemanusiaannya.
                        Maka sekarang negara tinggal menjadi peta
                        itu pun peta yang lusuh
                        dan hampir sobek pula.

                        Pendangkalan kehidupan bangsa
                        telah terjadi.
                        Tata nilai rancu.
                        Dusta, pencurian, penjarahan,
                        dan kekerasan halal.

                        Manusia sekadar semak belukar
                        yang gampang dikacau dan dibakar.
                        Paket-paket pikiran murah dijajakan.
                        Penalaran amarah yang salah
                        mendorong rakyat terpecah belah.

Kemelut yang sedang menimpa negara ini bukan lagi urusan eksklusif parti-parti politik.   Tetapi sudah seharusnya menjadi  keprihatinan seluruh rakyat,  termasuk pertubuhan-pertubuhan dakwah,  badan-badan advokasi dan seluruh warga masyarakat madani.  Dalam hubungan inilah kritikalnya peranan gerakan dakwah tampil sebagai kekuatan massa umat.  Dakwah sebagai gerakan kerakyatan bukan sekadar kegiatan rutin ceramah-ceramahan,  atau sekadar penghias upacara kenegaraan:   Maulid al-rasul, Ma`al hijrah dan lain-lain sejenisnya.  Untuk menjadi a religio-cultural force yang berimpak besar, gerakan dakwah seharusnya  memberikan tumpuan pada agenda pemberdayaan rakyat.  Justeru,  selama ini rakyat telah dilemahkan   dan dilumpuhkan sedemikian rupa sehingga tidak mampu berbuat apa-apa  terhadap segala kemungkaran yang leluasa berlaku di hadapan mata.   Keberanian dan daya lawan mereka hilang setelah sekian lama terbelenggu dalam cengkaman budaya takut (culture of fear).


Melawan Budaya Takut (Culture of Fear)

Budaya takut adalah projek orang-orang politik untuk mendapatkan dukungan dengan cara menakut-nakutkan rakyat.   Memang definisi konvensional culture of fear ialah the concept that people may incite fear in the general public to achieve political goals through emotional bias.   Dalam bukunya The Culture of Fear,  Barry Glassner menyebut ahli-ahli politik sebagai salah satu kelompok the peddlers of fear.   Rasa takut yang membudaya tidak hanya akibat propaganda politik,  malah seringkali akibat ancaman, penindasan dan penderaan oleh pihak berkuasa.   Budaya inilah yang telah mengecil dan mengerdilkan  rakyat,  sehingga kata “rakyat” selalu dirangkaikan dengan kata “kecil”, lalu menjadi “rakyat kecil”.   Ironis memang,   ada istilah “rakyat kecil”,  tetapi tidak ada istilah “rakyat besar”.      Bagaimana rakyat boleh mengecil,  dan sebaliknya kerajaan menjadi begitu besar, sedang slogan yang selalu dikumandangkan adalah “kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat”?  Dalam kaitan inilah pentingnya tulisan al-Raysuniy,   al-Ummah Hiya al-Asl,  bahawa yang sebenarnya menjadi  induk dan tonggak adalah umat (rakyat),  sedang kerajaan hanya alat pelaksana kemahuan umat.

Dalam rangka pemberdayaan rakyat inilah gerakan dakwah harus mampu menjadi kekuatan pembebas dari budaya takut.    Yang pertama harus dibebaskan dari budaya takut tidak lain adalah para pendakwah sendiri.   Misi Islam sebagai agama pembebasan tidak akan terlaksana di tangan pendakwah-pendakwah penakut.   Ciri pendakwah sejati  adalah tidak takut kepada siapa pun dan apa pun selain Allah.   Demikianlah pemerian al-Qur’an tentang watak para pengemban  risalah Tuhan:


                        (iaitu)  orang-orang yang menyempaikan risalah-risalah Allah,
                        mereka takut kepada-Nya dan tidak merasa takut kepada siapa
                        pun  selain  Allah.     Dan  cukuplah  Allah  sebagai   Pembuat
                        perhitungan.   (Al-Ahzab:39.)

Pembinaan etos dan watak bangsa harus diangkat menjadi agenda utama,   dengan memugar  nilai-nilai unggul  terutama nilai al-shaja`ah (keberanian)  yang semakin  pupus  ditindih dan ditindas budaya takut.   Tanpa keberanian,  tidak akan ada perubahan.   Maklumat tentang kebobrokan yang berlaku    -   sebanyak mana dan selengkap mana pun  -  tidak akan dapat merubah sikap rakyat selagi mereka masih terbelenggu dalam budaya takut.    Demikianlah yang terjadi kepada rakyat Mesir zaman Nabi Musa (`a.s.).   Mereka  hadir beramai-ramai  pada yawmu al-zinah di lokasi perlawanan  antara Musa `a.s. dengan ahli-ahli sihir Fir`awn,  dan mereka menyaksikan dengan mata terbelalak  kemenangan mutlak Musa `a.s. yang sekali gus membuktikan kebenaran kerasulannya.    Tetapi  mereka  tetap tidak berani  beriman  kerana takut kepada Fir`awn dan pendukung-pendukungnya.  Budaya takut yang dibina oleh pemerintahan Fir`awn dan kesannya ke atas rakyat  itu disebut dalam al-Qur’an:

                        Maka tidak ada yang beriman kepada Musa,   selain keturunan
                        dari kaumnya dalam keadaan takut bahawa  Fir`awn dan para
                        pemuka  (kaum)nya  akan  menyiksa  mereka.     Dan  sungguh,
                        Fir`awn  itu  benar-benar  telah  berbuat sewenang-wenang  di
                        bumi,  dan benar-benar termasuk orang yang melampaui batas.
                        (Yunus:83).

Begitulah hakikatnya,    kebenaran yang terbukti sedemikian jelas tidak dapat merubah sikap (mengalihkan dukungan dari Fir`awn kepada Musa `a.s.) semata-mata kerana takut.  Damir dan hati nurani mereka seolah-olah telah mati ditindas ketakutan.   Kerana itu gerakan pemberdayaan harus berpangkal dari perjuangan menghidupkan hati nurani umat dengan iman dan pencerahan.    Al-Qur’an memberikan kita keyakinan bahawa hati yang mati boleh dihidupkan kembali (dengan izin Allah):

                        Dan  apakah  orang yang sudah  mati lalu Kami hidupkan dan
                        Kami  beri  dia cahaya  yang  membuatnya  dapat  berjalan  di
                        tengah-tengah orang banyak,  sama dengan orang yang berada
                        dalam kegelapan,   sehingga  dia tidak dapat keluar dari  sana?
                        Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang kafir
                        terhadap apa yang mereka kerjakan. (Al-An`am:122).

Optimisme  bahawa hati yang mati boleh hidup kembali terungkap juga dalam bait-bait puisi Rendra seterusnya:   

                        Negara tak mungkin diutuhkan
                        tanpa rakyatnya dimanusiakan.
                        Dan manusia tak mungkin menjadi manusia
                        tanpa dihidupkan hati nuraninya.

                        Hati nurani adalah hakim adil
                        untuk diri kita sendiri
                        Hati nurani adalah sendi
                        dari kesadaran
                        akan kemerdekaan peribadi.

                        Dengan puisi ini aku bersaksi
                        bahwa hati nurani itu
                        meski dibakar
                        tidak bisa menjadi abu.

                        Hati nurani senantiasa bisa bersemi
                        meski sudah ditebang putus di batang.
                        Begitulah fitrah manusia
                        ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.

Apabila al-Qur’an menyebut, “…dan Kami beri dia cahaya yang membuatnya dapat berjalan di tengah-tengah orang banyak,…”  maksudnya adalah pencerahan nur hidayah Qur’ani,  yang dengannya  manusia dapat melihat segalanya dalam wajah dan hakikat sebenarnya.   Manusia yang enlightened setelah mengalami pencerahan Qurani tidak akan tertipu dengan Fir`awn yang berwajah Musa, atau Qarun yang berwajah Harun.  Manusia yang enlightened tidak akan mengkhianati  suara hati nuraninya sendiri.   Mereka menyikapi dan melayani manusia mengikut martabat, kualiti dan posisi hakikinya.  Mereka tidak akan melayani menteri sebagai selebriti yang didewa dan dipuja,  sebaliknya sebagai pelaksana amanah rakyat yang harus diminta pertanggungjawabannya,   termasuk akaun peribadinya,  “min ayna laka hadha?”  (dari mana kau perolehi ini  semua?).     Pertanggungjawaban seperti itulah yang dilakukan oleh Amir al-Mu’minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. ketika dituntut penjelasannya tentang bajunya yang berukuran  melebihi ukuran baju orang lain.   Sesuai dengan amalan kepimpinan yang telus (transparent leadership) beliau layani tuntutan tersebut dengan fakta dan data,  nothing to hide yang memuaskan semua,  bahawa beliau tidak mengambil hak orang lain.   Lebihan kain bahan bajunya yang dipermasalahkan itu adalah jatah (habuan) anaknya sendiri yang dengan rela diberikan kepada ayahnya yang bertubuh besar sehingga memerlukan tambahan bahan bajunya.

Demikianlah suatu catatan abadi tentang ketulusan dan ketelusan pemimpin, tentang keberanian dan kebebasan  umat; suatu kesaksian sejarah tentang  daulat rakyat yang setianya bersyarat.  Sejarah tersebut pada hakikatnya adalah sejarah kita sebagai umat,   sejarah yang terukir ketika umat memiliki hati nurani dan jiwa merdeka.  Sudah saatnya umat ini dimerdekakan dari indoktrinasi fiqh al-istibdad (fiqh penindasan),  dan dimanusiakan menerusi fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan). 


Dakwah Memerangi Rasuah

Hanya dengan hati nurani yang hidup dan jiwa merdeka yang peka, rakyat mampu mencegah segala bentuk kezaliman dan kemungkaran,  terutama rasuah yang kini kian membarah.  Perbuatan keji itu tampaknya tidak lagi dilakukan sendiri-sendiri dan sembunyi-sembunyi,  tetapi sudah wujud gejala “rasuah secara berjamaah”.   Gejala sedemikian itulah yang diungkapkan oleh Rendra lewat puisinya,  Pantun Koruptor:

                        Terang bulan terang di kali,
                        Buaya timbul disangka kiyai,
                        Katanya ada reformasi,
                        Nyatanya tetap korupsi di sana-sini.

                        Kalau ada sumur di ladang,
                        Jangan diintip gadis yang mandi,
                        Koruptor akalnya panjang,
                        Jaksa dan hakim diajak kompromi.

                        Berburu ke padang datar
                        Dapat janda belang di kaki
                        Koruptor sakit diizin bersiar,
                        Wang rakyat dibawa lari.

                        Berakit-rakit ke hulu,
                        Berenangnya kapan-kapan,
                        Maling kecil sakit melulu,
                        Maling besar dimuliakan.

                        Kura-kura dalam perahu,
                        Buaya darat di dalam sedan,
                        Wakil rakyat jangan ditiru,
                        Korupsinya edan-edanan.

                        Si tukang riba disebut lintah darat,
                        Si hidung belang disebut buaya darat,
                        Pedagang banyak hutang itulah konglomerat,
                        Mereka yang berhutang, yang bayar lha kok rakyat!

                        Aduh cantiknya si janda kembang,
                        Sedap menyanyi si jali-jali,
                        Hujan emas di rantau orang,
                        Hujan babu di negeri sendiri.     

Khatimah

Kita berkongsi keprihatinan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang rasuah yang begitu leluasa dalam kalangan kerajaan-kerajaan pimpinan orang Islam.  Katanya, “Indeed, it is ironic that corruption (which is the worst form of the abuse of trust) and abuse of power continue to be among the ‘notorious hallmarks’  of most Muslim governments.”      Kita sahut seruan beliau agar rakyat diselamatkan kemanusiaannya dengan memperjuangkan  keadilan sosial.  Justeru,  tanpa keadilan sosial manusia akan kehilangan kemanusiaannya,  “Absent of social justice, the poor get poorer, the weak become weaker while the rich become richer and the strong, even stronger.  A vicious cycle follows going beyond material inequities,  those at the short end of the social stick are then threatened at the core.  This strikes at the very heart of being human  -  the dignity of man. 
        

Rujukan:

Al-`Abd al-Karim,  Muhammad.  2013.  Tafkik al-Istibdad:Dirasat Maqasidiyyah fi Fiqh
                        al-Taharrur min al-Taghallub.  Beirut: Al-Shabakat al-`Arabiyyah li al-
                        Abhath wa al-Nashr.

Al-Kawakibiy, `Abd al-Rahman.  2006. Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.
                        Beirut:  Dar al-Nafa’is.

Al-Raysuniy, Ahmad.  2014.  Al-Ummah Hiya al-Asl.  Kaherah: Dar al-Kalimah.

Anwar Ibrahim.  2014.  World Forum for Muslim Democrats Concept Paper,  presented
                        for preparatory meeting organized by Sasakawa Peace Foundation in
                        Jakarta on 22nd May 2014.

Glassner, B. 1999.  The Culture of Fear: Why Americans are Afraid of the Wrong Things.
                        New York:Basic Books.

Rendra, W.S.  2013.  Doa Untuk Anak Cucu.  Yogyakarta: Bentang.

Siddiq Fadzil.  2016.  Pembinaan Bangsa:  Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan.  Shah
                        Alam: Institut Darul Ehsan (IDE).


Hotel Bangi-Putrajaya: 04092016.