DEMOKRASI DAN PLURALITI: PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH
Siddiq Fadzil
Memaknai Masa Lalu
Sempena Ijtimak Harakiy ke-2 ini kita mensyukuri nikmat sejarah, bahawa setelah setengah abad bagi PKPIM dan setelah empat dekad bagi ABIM, rangkaian gerakan dakwah ini masih hadir dan masih relevan di tengah zaman dan lingkungan yang terus-menerus berubah. Kita mensyukuri nikmat sejarah dengan memaknai masa lalu, sejarah suka-duka perjuangan generasi muda idealis yang mendapat pencerahan al-wa`y al-Islamiy, dan mendapat suntikan dinamika tajdid imani, lalu menjelmakan gerakan transformatif pendakwahan yang merubah lanskap kehidupan umat.
Sesungguhnya sejarah yang telah dicipta oleh generasi pelopor kebangkitan Islam tersebut telah memberikan kita keyakinan tentang kekuatan gerakan kerakyatan, kekuatan dinamika kepemudaan, kekuatan `aqidah, kekuatan fikrah, dan kekuatan idealisme. Dengan izin Yang Maha Perkasa, gemblengan kekuatan tersebut telah berhasil merealisasikan misi transformatif pendakwahan: reislamisasi masyarakat yang menciptakan babak sejarah keislaman terpenting abad 20. Tidak dapat dinafikan bahawa semarak Islamic resurgence tersebut dilatari pelbagai faktor, termasuk karisma kepimpinannya dan kompetensi organisasi yang mewadahinya.
Para pewaris gerakan ini harus bijak memaknai sejarah sebagai khazanah iktibar dan pengajaran. Dengan demikian kejayaan masa lalu dapat dilestarikan, sementara kegagalannya pula tidak berulang. Justeru, bagi gerakan yang mampu menangkap pesan-pesan sejarah, kejayaan tidak akan pernah berakhir; sementara kegagalan pula tidak akan mengakhiri segala-gala. Success is never ending, failure is never final.
Sejarah pada hakikatnya adalah suatu amanah. Untuk memaknai sejarah harus ada kejujuran dalam pencatatannya, di samping harus ada kejujuran dalam penafsirannya. Demikianlah petunjuk al-Qur'an tentang kaedah pengkisahan yang harus jujur sebagaimana yang diperingatkannya ketika mengungkapkan kisah Tujuh Pemuda Kahfi:
نحن نقصّ عليك نبأهم بالحقّ ...
(Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan sebenarnya, …)
Demikian pula dengan penafsirannya yang juga memerlukan tahap kejujuran yang tinggi. Kerana itu al-Qur'an banyak menyebut tentang `ibrah (iktibar pengajaran) dari kisah-kisah Qur'ani yang dikaitkan dengan golongan ulu 'l-albab, para ilmuwan yang memiliki ketajaman daya renung dan berintegriti tinggi. Pada zaman leluasanya perbuatan pecah amanah, sering sekali terjadi distorsi fakta sejarah.Antara yang selalu menjadi pelaku utamanya adalah para penguasa, yang menggunakan kuasa untuk memaksa merubah fakta demi menjaga citra. Demikian seringnya hal seperti itu terjadi sehingga timbul anggapan sejarah adalah bikinan pihak berkuasa, bukan fakta seadanya.
Sebagai pelaku sejarah, PKPIM-ABIM harus mewaspadai kemungkinan berlakunya pemalsuan dan penggelapan fakta oleh mana-mana pihak. Ketika ini pun kita sedang menyaksikan pelbagai percubaan yang tidak putus-putus untuk mengaibkan tokoh paling berjasa dalam PKPIM-ABIM. Mengaibkan tokoh utama pengasas dan Pembina gerakan ini bererti menghina sebuah gerakan Islam yang berwibawa dan berjasa.
Sejarah PKPIM-ABIM adalah sejarah kepeloporan: mempelopori gerakan kebangkitan Islam (Islamic resurgence) yang berintikan kesedaran al-wa`y al-Islamiy bahawa Islam adalah the way of life, cara hidup yang serba sempurna. Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: mempelopori pendekatan yang sihat dan realistik dalam menyikapi kenyataan atau realiti zaman dan lingkungan. Sikap inilah yang telah melahirkan pendekatan kemalaysiaan dalam strategi pendakwahan sebagaimana yang terumus dalam istilah manhaj maliziy.
Ketika gerakan Islam menghadapi kemaraan arus radikalisme dan kebangkitan aliran garis keras, kita tetap istiqamah mempromosikan pendekatan moderat yang menepati makna dan semangatwasatiyyat al-Islam, dan sesuai pula dengan sejarah, budaya dan nilai-nilai kehalusan Melayu. Kita ingin mempastikan bahawa kebangkitan Islam yang kita pelopori ini benar-benar dirasakan secara nyata sebagai rahmat dan pembawa harapan baru. Sebagai pengemban amanah al-sahwah al-Islamiyyah kita memang sangat prihatin andainya umat tidak mendapat apa-apa dari kebangkitan Islam, selain rasa dikutuk, disumpah, dihina dan ditakut-takuti. Demi amanah tersebut kita sanggup membayar mahal, termasuk mempertaruhkan populariti kita.
Memang dari awal kita sentiasa memberikan perhatian istimewa kepada realiti kemalaysiaan (al-waqi` al-Maliziy). Dan kerana itu pulalah kita sentiasa menyatakan sikap bahawa kita tidak bersedia dimentori oleh pihak luar berasaskan wisdom pusaka ahlu Makkata adra bishi`abiha (warga Makkah sendirilah yang lebih tahu tentang lurah dan lembahnya). Antara realiti kemalaysiaan yang cukup fenomenal termasuklah sistem politik demokrasi berparlimen yang berdampingan dengan sistem tradisi raja berperlembagaan. Selain itu, satu lagi ciri kemalaysiaan yang cukup unik ialah pluraliti masyarakatnya dari segi ras, agama dan budaya.
Para aktivis gerakan Islam telahpun mewacanakan isu Islam dan demokrasi sejak tahun-tahun awal kebangkitan al-wa`y al-Islamiy. Ketika demokrasi, teori dan praktiknya, dilihat sebagai produk tamadun Barat, memang terkesan bermasalah terutama apabila dipadankan dengan amalan shura dalam tradisi politik Islam. Bagaimanapun, kita tidak pernah menolak hakikat demokrasi sebagai satu-satunya pilihan yang ada ketika ini untuk dijadikan wahana penyaluran aspirasi politik umat. Kerana itu komitmen dan partisipasi demokratik kita tidak pernah menurun dari dahulu hingga kini. Kita ikut mempromosikan masyarakat demokratik, memasyarakatkan pendidikan demokrasi dan menuntut penyihatan amalan demokrasi.
sikap realistik yang berprinsip (al-waqi`yyat al-mu'assalah) itulah juga yang melatari sikap positif kita terhadap fenomena pluraliti. Justeru, kita tidak pernah mempersepsikan pluraliti (ta`addudiyyah) sebagai suatu kesialan sosial yang harus disesali. Sikap positif-realistik terhadap pluraliti sudah terungkap secara jelas dan tegas (loud and clear) seawal tahun 1979 apabila Sdr. Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu menyampaikan Ucapan Dasarnya dalam Muktamar Sanawi ke-8 dengan mengangkat tema Islam -- Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk. Demikianlah rekod kepeloporan gerakan ini dalam menyikapi dan menangani isu pluraliti berasaskan prinsip karamah insaniyyah dan keadilan sosial dalam Islam. Memang itulah keyakinan kita sejak dahulu, bahawa yang memiliki formula menangani persoalan pluraliti adalah Islam, bukan cauvinisme, bukan nasionalisme sempit, dan bukan nasionalisme ras.
Dalam ijtimak harakiy tahun lalu, kita telah mempromosikan pendekatan maqasid al-shari`ah atau maqasid based approach dalam perjuangan Islam masa kini. Maqasid al-Shari`ah adalah objektif-objektif unggul syari`at Islam yang diterima luas sebagai nilai-nilai sejagat, dan dikongsi secara kolektif oleh semua agama dan tamadun besar dunia. Siri wacana tentang maqasid al-shari`ah yang telah kita anjurkan di pelbagai negeri dan daerah telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, termasuk kalangan bukan Islam. Wacana maqasid seharusnya diteruskan dalam rangka pencerdasan dan pencerahan umat.
(Teks Amanat Pimpinan Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah: Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,
Taman EkspoPertanian Malaysia, Sedang .)
(bersambung...)
No comments:
Post a Comment