DEMOKRASI DAN PLURALITI: PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH
Siddiq Fadzil
Ijtimak harakiy kali ini mengangkat tema siyasah shar`iyyah dengan semangat memugar dinamikanya sebagai disiplin penjana daya hidup pemikiran politik Islam, untuk memungkinkannya menghadapi pelbagai perkembangan dan perubahan yang terus-menerus menciptakan realiti-realiti baru. Demikianlah hakikat siyasah shar`iyyah sebagaimana yang durumuskan oleh Fathiy `Uthman:
الإجتهاد فى تسييرالشؤون المتجدّدة المتغيّرة للدولة الإسلاميّة
(ijtihad dalam menangani hal-hal kenegaraan Islam
yang sentiasa berkembang dan berubah)
Siyasah shar`iyyah dalam tradisi kesarjanaan Islam meliputi makna yang cukup luas. Kaum fuqaha' mengertikannya sebagai wewenang para penguasa Muslimin membuat dasar-dasar dan aturan-aturan berasaskan maslahah selama tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama meskipun tidak ada dalil khusus mengenainya. Sementara itu para ulama yang bukan ahli fiqh memakai istilahsiyasah shar`iyyah dengan pengertian yang lebih luas iaitu pengurusan segala kepentingan umat (masalih al-`ibad) berasaskan ajaran syara`. Untuk merumuskan kepelbagaian makna tersebut al-Shaykh `Abd al-Wahhab Khallaf menyarankan definisi yang inklusif bagi istilah al-siyasah al-shar`iyyah iaitu:
فعلم السياسة الشرعيّة علم يبحث فيه عما تدبر به شؤون الدولة الإسلاميّة من
القوانين والنظم التى تتفق وأصول الإسلام ، وإن لم يقم على كل تدبير دليل خاص.
Ternyata siyasah shar`iyyah adalah ijtihad merealisasikan maslahah penyejahteraan kehidupan umat, yang dalam konteks ini maslahah yang dimaksudkan itu tidak lain adalah maqasid al-shari`ah. Untuk itu memang politik Islam harus selamanya terikat dengan nas-nas syara`. Justeru, objektif syara` adalah demi maslahah umat. Namun demikian sebahagian maslahah tersebut direalisasikan menerusi ijtihad, terutama dalam hal-hal yang memang diserahkan kepada umat sendiri memutuskannya berasaskan pertimbangan apa yang terbaik dalam konteks zaman dan lingkungan yang berkembang dan berubah. Kerana itu al-siyasat al-shar`iyyah pada garis besarnya adalah al-`amal bi al-masalih al-mursalah. Berasaskan bertimbangan al-masalih itulah umat harus menentukan sistem apa dan aturan bagaimana yang terbaik buat mereka.
Islam dan Demokrasi
Antara perkembangan di Dunia Islam yang sedang mendapat sorotan luas ketika ini ialah kebangkitan Islam sebagai kekuatan politik, dan keghairahan terhadap demokrasi. Yang jelas, Islam dan demokrasi telah menjadi isu yang dominan dalam wacana politik pasca Thawrat al-Shabab (Revolusi Pemuda) di Asia Barat. Ramalan bahawa rantau tersebut akan menjadi lebih Islamik dan sekaligus lebih demokratik telah menciptakan suatu scenario keserasian Islam dengan demokrasi, suatu yang mungkin tidak tergambar dalam pemikiran kaum sekularis yang selama ini mempersepsikan Islam sebagai promoter pemerintahan diktator-teokratik; malah mungkin juga tidak terbayang dalam benak golongan Muslim jumud yang melihat demokrasi sebagai suatu kekufuran.
Satu lagi perkembangan penting yang sedang menjadi tumpuan perhatian dunia ialah kemunculan Recep Tayyip Erdogan dan parti pimpinannya (AKP) di Turki. Kejayaannya memenangi pilihan raya umum tiga kali berturut-turut dengan dukungan rakyat yang semakin meluas, di samping prestasi cemerlangnya dalam pelbagai bidang: ekonomi, politik dan diplomatik telah memberikan pencitraan baru terhadap Islam dan demokrasi. Adalah suatu yang sangat bererti apabila Turki disebut sebagai a working example of Muslim democracy. Segala perkembangan tersebut memberikan harapan bahawa Islam akan lebih menyemarak dalam sistem demokrasi yang sihat, dan demikian pula demokrasi akan lebih subur dan segar di bawah pimpinan Muslim-demokrat, berbanding keadaannya ketika di bawah kekuasaan nasionalis-sekularis-autokrat.
Pada hakikatnya Islam dan demokrasi tidak semestinya bertentangan, dan tidak juga semestinya bersesuaian. Sesuai atau tidaknya tergantung bagaimana kita mempersepsikan politik Islam dan bagaimana kita mendefinisikan demokrasi. Mungkin bentuk-bentuk tertentu politik Islam memang bertentangan dengan model-model demokrasi tertentu. Tetapi mengingat hakikat bahawa politik Islam tidak membeku pada sesuatu bentuk, sementara demokrasi juga tidak membeku pada suatu model, maka kemungkinan bertemunya Islam dengan demokrasi pada suatu titik keserasian adalah suatu yang sangat mungkin.
Kemungkinan seperti itulah yang cuba diteroka oleh para leluhur kita dalam gerakan Islam seperti Muhammad Natsir dan Abu al-A`la al-Mawdudiy. Muhammad Natsir menerima demokrasi yang dimodifikasi menjadi theistic democracy, sementara al-Mawdudiy juga menerimanya dengan memodifikasikannya menjadi theo-democracy. Demikianlah umumnya pendirian tokoh-tokoh gerakan Islam kontemporari yang melihat adanya maslahah dalam penerimaan terhadap demokrasi setelah ia diletakkan dalam perspektif dan worldview Islam.
Penerimaan terhadap demokrasi di kalangan ilmuwan dan tokoh gerakan Islam masa kini ternyata semakin meluas. Bagaimanapun ini tidak bererti mereka telah menerima model demokrasi Barat sepenuh dan seutuhnya. Dr. Yusuf al-Qaradawiy adalah antara tokoh paling artikulatif menyuarakan dukungannya terhadap demokrasi, tetapi tetap kritis terhadap model demokrasi Barat yang terlalu liberal dan telah terlepas dari kendali agama dan moral. Yang menjadi asas pijakan pembelaan al-Qaradawiy terhahap demokrasi bukan bentuk jelmaannya di Barat, tetapi jawhar al-dimuqratiyyah atau idea dasar demokrasi itu sendiri yang dinilainya selaras dengan Islam.
Al-Qaradawiy bertolak dari hakikat bahawa negara Islam bukan negara teokratik, bukan pemerintahan sekumpulan "orang agama" yang menguasai rakyat atas nama al-haqq al-Ilahiy. Tetapi ia buka juga negara sekular yang memusuhi atau menolak agama. Negara Islam adalah negara madani (civil) berasaskan Islam, berdasarkan bay`ah dan shura, yang ditadbir oleh pemerintah pilihan rakyat dari kalangan mereka yang berkelayakan: qawiyyun amin dan hafizun `alim (perkasa dan dapat dipercaya, berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Mereka bukan golongan maksum yang kebal kritik dan teguran. Dalam pemerintahan Islam yang sedemikian, ruang partisipasi atau peranserta rakyat memang terbuka luas, terutama para ilmuwan yang secara agama diwajibkan menasihati pemerintah atas dasar amar makruf nahi munkar.
Dengan tegas al-Qaradawiy menyimpulkan bahawa pemerintahan Islam dibangun di atas prinsip-prinsip demokratik paling unggul, tetapi dengan catatan bahawa ia bukan sebuah replika demokrasi Barat. Demokratiknya Islam adalah kerana keserasiannya dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar demokrasi. Apa yang disebut sebagai jawhar al-dimuqratiyyah itu beliau rumuskan, bahawa rakyatlah yang harus memilih sendiri pemerintah yang mereka senangi, bahawa rakyat tidak boleh dipaksa menerima pemerintah yang mereka tidak suka, atau sistem yang mereka tidak suka; bahawa rakyat berhak menilai (muhasabah) dan mengambil tindakan ke atas pemerintah apabila bersalah; bahawa rakyat berhak memecat atau menggantikan mereka apabila menyeleweng. Demikianlah antara idea-idea teras faham demokrasi yang untuk merealisasikannya terciptalah sejumlah sistem dan mekanisme pelaksananya seperti pilihan raya, pungutan suara, pengiktirafan keputusan suara terbanyak, pelaksanaan sistem pelbagai parti politik (ta`addud al-ahzab al-siyasiyyah), hak membangkang atau beroposisi (haqq al-mu`aradah) bagi golongan minoriti, kebebasan akhbar, kebebasan kehakiman dan seterusnya. Al-Qaradawiy seterusnya bertanya, jika itulah yang namanya demokrasi, lalu di mana pertentangannya dengan Islam?
Demikianlah kenyataannya, pilihan raya sebagai mekanisme penting bagi terlaksananya demokrasi. Tetapi ini tidak bererti bahawa asal ada pilihan raya, maka adalah demokrasi. Pilihan raya asal-asalan tidak mungkin merealisasikan demokrasi yang sihat dan tulen. Justeru, demi terlaksananya demokrasi dalam erti semurninya, pilihan raya harus adil dan bersih dari sebarang kecurangan. Dan kerana itu pula perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih adalah bahagian daripada perjuangan merealisasikan jawhar al-demuqratiyyah, sistem yang disebut oleh al-Qaradawiy sebagai min samim al-Islam. Jika demikianlah hakikatnya, maka dari fiqh rimba mana datangnya fatwa bahawa perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih itu bertentangan dengan Islam?
Seperti yang telah disebutkan, bahawa antara komponen penting jawhar al-dimuqratiyyah adalah haqq al-mu`aradah atau hak untuk membangkang dan beroposisi. Ia adalah penjelmaan hak kebebasan berfikir dan bersuara yang merupakan bahagian daripada hak asasi manusia. Kerana itu kehadiran pembangkang harus diterima dengan jiwa besar sebagai unsur penting penyuburan dan penyegaran demokrasi. Dalam konteks Islam kritik dan bangkangan yang membina adalah bahagian daripada tanggungjawab al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar. Membangkang dalam semangat dan pengertian tersebut bukan sekadar suatu hak demokratik yang boleh dilaksanakan, dan boleh pula ditinggalkan (memang demikianlah yang namanya hak, yang boleh diambil dan boleh ditolak), tetapi lebih daripada itu ia adalah tanggungjawab keagamaan yang wajib dilaksanakan. Jika demikianlah hakikatnya, lalu dari fiqh hutan mana datangnya hukum bahawa pembangkang adalah golongan bughah (penderhaka)?
Demokrasi tidak hanya bererti pemerintahan golongan majoriti, tetapi juga oposisi golongan minoriti, dan yang menjadi minoriti hari ini, mungkin berubah manjadi majoriti apabila sampai masanya nanti. Demikian kata Dandal Jabr dalam tulisannya, al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat al-Shar`iyyah:
وذلك لأن الديموقراطية ليست هي حكم الأغلبية فقط وإنما هي كذلك معارضة الأقلية خاصة
وأن أقلية اليوم يمكن أن تصبح أغلبية الغد.
(Teks Amanat Pimpinan Wadah Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah: Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H., Taman EkspoPertanian Malaysia, Serdang .)
No comments:
Post a Comment