2 OGOS — Semasa saya menerima undangan dari Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) untuk memberikan ulasan pembentangan sebuah Kertas Kerja, saya tidak teragak-agak untuk menerima jemputan itu walaupun program itu jauh 3 bulan lagi ke hadapan. Persetujuan saya untuk hadir sememangnya diuji dengan berbagai dugaan.
Pertama jadual saya bertindih pada hari yang sama walaupun dah dimaklum lebih awal, kedua pihak urusetia mengandaikan pelawaan tiga bulan lalu tak perlu diingatkan semula. Ketiga sebagai ahli politik jadual mengejut memang biasa. Saya hampir membatalkan temujanji dengan pihak ABIM, tetapi memandangkan jemputan Abim lebih awal saya terpaksa menyusun jadual yang ketat pada hari itu.
Hari itu 23hb July saya ada kuliah pagi mingguan di Pasar Taman Sardon Gelugor, flite saya ke KL pukul 11.50 pagi dan saya perlu berada di program Abim pada pukul 2.00 ptg. Jadual pesawat kembali ke Penang ialah pukul 4.50ptg kerana saya terpaksa menghadiri kuliah maghrib di Penaga dan kemudian bergegas ke ceramah politik di Seberang Jaya. Ini bermakna saya ke Kuala Lumpur semata-mata kerana memenuhi undangan ABIM dan saya diberi hanya 10-15 minit untuk membuat ulasan kertas kerja Prof Ghazali Basri di atas tajuk “Di antara Pluralisme dan Plurality: Sikap Islam”. Walaupun hanya untuk 10-15 minit tetapi saya merasakan kehadiran saya di program Abim sempena sambutan 40 tahun Abim berada di pesada dakwah cukup bermakna bagi saya.
ABIM begitu sinonim dengan Anwar Ibrahim dan seringkali nama-nama awal tokoh Abim seperti Kamarudin Mohd Nor, Kamarudin Jaafar dan Sidiq Fadhil dikaitkan dengan gerakan belia Islam yang dinamik dan progresif. Anak-anak muda yang begitu idealis melihat nasib anak bangsanya menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan berdasarkan kepada pendekatan umatik yang dinamik. ABIM satu ketika dilihat sebagai ‘anak’ PAS yang memberontak kepada cita-cita sebuah Gerakan Islam yang lebih tegas pendirian Islamnya pada saat PAS menghadapi krisis dalam kepimpinan Datuk Asri Haji Muda. Anak-anak muda ini mahukan sistem pentarbiyahan ala ikhwan melalui unit-unit usrah yang benar-benar berfungsi manakala dari sudut memacakkan perjuangan di bumi Malaysia mereka mendapatkan bimbingan Pak Nastir dari Indonesia. Gabungan idealism pan-Islam Ikhwan dan pribumisasi Islam dalam kerangka negara bangsa mencetuskan satu fenomena baru dalam ledakan kebangkitan Islam di sekitar awal 80an.
Hanya setelah Anwar Ibrahim memilih untuk menyertai Umno, Abim hilang taringnya dan dilihat sebagai alat untuk agenda Islamisasi kepimpinan Tun Dr Mahathir. Keakraban PAS dan Abim terhakis sehingga ia mencetuskan gegaran dalaman di kalangan pendokong Abim sendiri yang membuat pilihan sebahagiannya menyertai PAS.
Namun saya mempunyai cerita saya sendiri dengan perjuangan Abim, malah saya memulakan ucapan saya dalam perhimpunan Abim hari itu dengan menyatakan dalam bahasa Inggeris: “I grew up with Abim”. Mungkin generasi hari ini tidak mengetahui bahawa sekitar awal 80an, Abim banyak memperkenalkan program Islami untuk pelajar-pelajar sekolah menengah seperti saya. Saya mengikuti setiap musim cuti sekolah satu program yang sinonim dengan Abim iaitu Khemah Ibadat.
Tempat kami ialah di Madrasah Masriyah Bukit Mertajam. Kami akan mengikuti program selama 3 hari 2 malam di mana pengisian program terbahagi kepada tiga elemen ialaitu Spiritual, Mental dan Fizikal. Saya didedahkan dengan qiyamullail, solat dhuha, ma’thurat dan berbagai aktiviti spiritual ibadah yang lain. Untuk mental kami mendengar kertas kerja yang dibentangkan oleh pensyarah-pensyarah dan ustaz-ustaz tentang perjuangan Islam, tokoh-tokoh Gerakan Islam dan idealism perjuangan Islam. Saya mula mengenali nama Hassan Al Banna, Syed Qutb dan Mustafa Mashor dalam program-program ini. Fizilkal, kami didedahkan dengan riyadhah, main bola dll aktiviti. Nama Ustaz Abdul Majid Zainal Abidin dan Dr Wan Salim memang saya kenali sejak di bangku sekolah menengah lagi. Bukan setakat program musim cuti sekolah, malah saya menjadi anak murid ustaz Abdul Majid di Mesjid Gelugor dengan mengikuti kuliah tafsirnya dan usrahnya selepas kuliah. Tafsir Fi Zilal yang menjadi rujukannya cukup memberi kesan pada jiwa saya yang masih mentah lagi ketika itu.
Saya juga menyertai aktiviti PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) sebagai mewakili badan pelajar di sekolah saya iaitu Penang Free School. Saya menghadiri perhimpunan agung PKPIM tahun 1981 atau 82 di UM dan pertama kali didedahkan dengan activism pelajar walaupun saya lebih mendengar daripada berpartisipasi. Saya mengkagumi kepimpinan Abim ketika itu kerana melihat mereka mempunyai daya pemikiran yang hebat tentang Islam dan masa depan anak-anak muda seperti saya. Saya masih ingat yang meresmikan Muktamar Agung PKPIM tahun itu ialah Kamarudin Mohd Nor (kini bergelar Datok), dia bersalaman dengan saya dan ketika diperkenalkan saya anak Pak Yusof Rawa, dia bertanyakan khabar ayah saya dan mengambil sedikit masa bersembang dengan saya. Saya membaca Risalah Abim yang memuatkan artikel-artikel yang bermutu tentang idealism perjuangan Islam era 80an. Buku-buku tentang fikrah Islam yang diterjemahkan banyak diterbitkan oleh ABIM dan bacaan-bacaan saya ketika itu banyak merangsang idealism Islam dalam diri saya hingga ke hari ini. Buku yang paling memberi kesan kepada saya ialah terjemahan dua serangkai karangan Al Maududi dan Syed Qutb oleh ABIM Kedah. Saya menjadikan ia teks usrah saya semasa di tingkatan Enam di Penang Free School di mana saya adalah naqibnya (ketua usrah).
Kehadiran saya pada Muktamar Senawi Abim sempena 40 tahun membawa saya mengimbau masa lampau sewaktu saya mengenali idealism perjuangan Islam di bangku sekolah. Apabila saya berkata : I grew up with Abim (saya membesar dengan Abim yang memperkenalkan saya idealism perjuangan Islam), saya memang jujur dalam ungkapan saya, malangnya waktu 15 minit tak memberikan saya kesempatan untuk menceritakan sejarah silam ini untuk dikongsi dengan peserta-peserta dari anak-anak muda yang ramai hadir hari itu. Namun wajah-wajah Dr Mohammad Nor Manuti, Datuk Kamarudin Jaafar dan lain-lain kepimpinan Abim yang senior tampak tersenyum riang sepanjang pembentangan saya, mereka memang mengetahui peranan besar Abim dalam menarik anak-anak muda seperti saya seketika dahulu menyertai karavan perjuangan Islam ini. Hari ini saya berdiri di hadapan mereka sebagai AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Malaysia, tidak ada apa yang lebih hebat yang boleh saya nukilkan dalam tulisan ini melainkan ungkapan: “Syabas dan Tabik Abim kerana sempat membesar dengan mu!”
(Petikan tulisan daripada Detik Daily; gambar tambahan adalah koleksi Sambutan 30 tahun ABIM Pulau Pinang 2004)
No comments:
Post a Comment