MEWASPADAI TIPU-DAYA
MUSUH-MUSUH DAKWAH
Memahami Pesan-pesan
Ilahi dalam surah al-Isra’:73-77
73. Dan mereka hampir memalingkan
engkau (Muhammad) dari apa yang telah Kami Wahyukan kepadamu, agar engkau
mengada-ada yang lain terhadap Kami; dan jika demikian tentu mereka menjadikan
engkau sahabat yang setia.
74. Dan sekiranya Kami tidak
memperteguh (hati)mu, nescaya engkau hampir sahaja condong sedikit kepada
mereka,
75. jika demikian, tentu akan
Kami Rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan berlipat ganda
setelah mati, dan engkau (Muhammad) tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap
Kami.
76. Dan sungguh, mereka hampir
membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri (Mekah) kerana engkau harus keluar dari
negeri itu, dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak
akan tinggal (di sana), melainkan sebentar sahaja.
77. (Yang demikian itu) merupakan
ketetapan bagi para rasul Kami yang Kami Utus sebelum engkau, dan tidak akan
engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.
Huraian Maksud Ayat:
Ayat-ayat di atas memang pada
zahirnya ditujukan khusus kepada Rasulullah s.`a.w., tetapi mesej sebenarnya
adalah umum dan inklusif. Ia adalah peringatan kepada seluruh para da`i
sepanjang zaman agar sentiasa mewaspadai tipu-daya musuh-musuh dakwah yang
seringkali memakai strategi kompromi. Mereka mengajak damai lewat formula
saling mengakomodasi dengan agenda tersembunyi agar akhirnya Islam, agama wahyu
ini menggugurkan sebahagian daripada ajaran yang diwahyukan Allah dan menerima
faham asing yang tidak bersumberkan wahyu. Dengan demikian akan terciptalah
“Islam” versi lain, iaitu “Islam” selera kaum musyrikin, kafirin dan `ilmaniyyin (sekularis). Sekali imbas
mungkin tawaran mereka tampak menarik dan menggoda, menjanjikan pelbagai
keuntungan materi duniawi, sedang yang diminta dari para pejuang Islam hanya “small concession”. Tetapi di situlah
letak jebakannya, apa yang disebut “small
concession” itu mungkin merosakkan seluruh ajaran Ilahi, apa lagi jika ia
melibatkan soal `aqidah.
Dalam kes al-Rasul s.`a.w.,
Junjungan diminta memberikan “small
concession” iaitu “hormatilah tuhan-tuhan sembahan mereka
(berhala-berhala)” dengan imbalan “besar” - kekayaan dan kekuasaan. Andainya
Rasulullah menerima tawaran kompromi sedemikian, seperti yang disebut pada ayat
73 (…la ‘ttakhadhuka khalila)
tentunya mereka akan menyambut meriah dan mengalu-alukan penyertaan Rasulullah
s.`a.w. ke dalam inner circle mereka
sebagai sahabat dan kerabat akrab. Justeru mereka sebenarnya tidak membenci
Muhammad s.`a.w. sebagai peribadi. Junjungan memang dikenal sebagai orang baik,
berakhlak terpuji dan diterima umum. Yang mereka musuhi adalah agama (ajaran)
yang dibawanya, yang mereka tidak senangi adalah penolakannya terhadap
tuhan-tuhan dan agama warisan nenek-moyang mereka. Mereka tidak keberatan untuk
bersahabat dan menjalin hubungan erat dengan Rasulullah s.`a.w. asalkan
Junjungan bersedia untuk berkompromi. Tarikan untuk menerima kompromi memang
cukup kuat kerana desakan yang bersungguh-sungguh dari pihak musyrikin Quraysh,
dan keinginan yang kuat di pihak Rasulullah s.`a.w. untuk mengislamkan
pembesar-pembesar Quraysh itu. Kalaulah tidak kerana suntikan kekuatan istimewa
dari Allah s.w.t. bukan tidak mungkin Junjungan s.`a.w. melunak (sedikit)
terhadap mereka.
Peringatan agar mewaspadai
jebakan kompromi sedemikian disampaikan juga lewat ayat-ayat lain dalam surah al-Qalam.
Dalam ayat 8 dan 9 surah tersebut Tuhan mengingatkan, “Maka janganlah engkau
patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah). Mereka menginginkan agar
engkau bersikap lunak maka mereka bersikap lunak (pula).” Yang pertama harus
dingat ialah hakikat bahawa mereka adalah manusia pendusta (al-mukadhdhibin) yang tidak menghormati
kebenaran dan tidak mempedulikan fakta. Mereka bukan jenis manusia yang
memperhitungkan soal salah atau benar. Kerana itu mereka begitu mudah mengajak
kompromi. Mereka berfikir bahawa kompromi `aqidah adalah jalan pintas yang
pintar ke arah making the best of both
worlds, tanpa memperhitungkan hakikat bahawa Islam dan jahiliah adalah dua
dunia yang tidak ada titik temunya. Jurang antara keduanya terlalu lebar untuk
dijambatani dengan sebuah formula rapuh - kompromi Islam-jahiliah.
Ketika menafsirkan ayat al-Qalam
tersebut Sayyid Qutb mengatakan bahawa sebenarnya mereka bukanlah ashabu `aqidah atau penganut suatu
`aqidah yang mengimaninya dengan yakin sebagai kebenaran. Pada zahirnya mereka
seperti bermati-matian mempertahankan agama mereka dan memusuhi Rasulullah
s.`a.w. dengan segala cara penderaan dan fitnah, tetapi pada hakikatnya mereka
begitu goyah dalam beraqidah (jahiliah), hanya pura-pura bersikap sebagai penganut
tegar, semata-mata kerana kesombongan tidak mahu tunduk dan tidak mahu menyerah
kepada Muhammad s.`a.w. Kerana itu mereka bersedia untuk berkompromi asalkan
ada formula face saving dalam
pengertian air muka mereka terpelihara, mereka melunak kerana pihak lawan
(Muhammad s.`a.w.) telah melunak.
Bagi umat ber`aqidah yang
mengimaninya sebagai al-haqq
(kebenaran), soal `aqidah tidak boleh diselesaikan dengan formula bisnes:
menjual dan membeli. Dalam `aqidah tidak ada soal kecil-besar, yang ada hanya
kesatuan dan kesepaduan yang utuh, tidak boleh dipecah-pecahkan, dikurangi atau
ditambahi. `Aqidah harus dikemukakan seadanya dan seutuhnya - take it or leave it. Tidak ada ruang
kemungkinan mengekalkan sebahagian, dan menggugurkan sebahagian yang lain.
Demikianlah ketegasan sebagaimana yang diperlihatkan oleh al-Rasul s.`a.w.
dalam soal agama, walhal Junjungan adalah manusia paling lunak, paling lembut
dan paling bertolak-ansur dalam segala urusan kehidupan sosial hariannya.
Tetapi dalam urusan agama, Junjungan begitu tegar menjunjung perintah “Maka
janganlah engkau patuhi orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah).” Senang
atau susah, perintah tersebut tetap dipatuhi, meskipun dalam situasi yang
sangat tertekan oleh penderaan kejam kaum Quraysh. Apa pun risikonya kebenaran
tetap diucapkan di hadapan siapa sahaja, termasuk kepala-kepala teroris
Musyrikin.
Demikianlah pola fikir
musuh-musuh dakwah yang selalu memperlakukan agama seperti bisnes:
tawar-menawar, memberi dan menerima untuk meraih keuntungan bersama (win-win). Tetapi pejuang-pejuang tulen
di jalan Allah tidak mudah terjebak dalam tipu-daya jual-beli agama sedemikian
kerana mereka dibekali kekuatan istimewa oleh Allah s.w.t., yang kerananya
mereka mampu bersikap tegas dan tegar dalam menghadapi taktik dan strategi
licik pihak lawan. Memang para da`i tidak boleh naïf ketika berhadapan dengan
sepak terajang permainan lawan, dan tidak boleh berfikir simplistik, “apalah
salahnya merelakan sedikit pengorbanan demi misi yang lebih besar!”.
Musuh-musuh dakwah akan selalu mengeksploitasi kelemahan manusiawi para da`i
(keinginan terhadap harta, pangkat dan hal-hal keduniaan lainnya) untuk
memaksakan kompromi menurut syarat-syarat mereka. Tanpa suntikan kekuatan
istimewa (tathbit) dari Allah s.w.t.
memang besar sekali kemungkinan para da‟i (kerana kelemahan-kelemahan
manusiawinya) tergiur dengan godaan-godaan duniawi. Jika Nabi s.`a.w. sendiri
pun memerlukan tathbit
(pemantapan/penguatan) dari Allah s.w.t. untuk selamat dari jebakan tersebut
(ayat 74), orang lain tentu lebih memerlukannya lagi.
Dengan andaian kompromi
sedemikian itu terjadi, seperti yang disebut pada ayat 75, Rasulullah s.`a.w.
tidak akan terkecuali dari tanggungjawab menerima padah hukuman berganda
duniawi-ukhrawi. Bagaimanapun itu hanyalah sekadar andaian, yang hakikatnya
memang tidak mungkin terjadi kerana Allah melindungi dan memeliharanya dari
tipu-daya manusia. Mesej ayat 75 itu sebenarnya ialah untuk menyatakan
ketetapan hukuman Allah menggandakan balasan ke atas pemimpin yang menyeleweng.
Pemimpin bukan orang awam, tetapi seorang yang diberikan kelebihan kurnia,
kuasa dan tanggungjawab memandu umat ke arah kebenaran di samping menjadi
teladan perilaku yang benar. Kerana itu penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab
mewajarkannya menerima hukuman ganda, lebih berat daripada hukuman yang
ditimpakan ke atas orang awam yang hanya menjadi pengikut. Demikianlah, status
yang ditempati dan kurnia yang diperolehi turut menentukan berat ringannya
hukuman apabila melanggar perintah Allah. Andainya Rasulullah s.`a.w.
menyetujui kompromi yang tentunya membawa pelbagai keuntungan duniawi -
kekayaan dan kekuasan, Tuhan mengingatkan bahawa seuntung mana pun dari segi
duniawi, segalanya itu tidak akan dapat membantunya menyelamatkan diri dari
hukuman-Nya. Siapa pun juga yang terusir dari ri`ayah – pemeliharaan Allah pasti akan binasa.
Sesuai dengan etika dialog,
Rasulullah s.`a.w. memang bersedia mendengar formula kompromi yang sampaikan
oleh wakil Quraysh, `Utbah ibn Rabi`ah (Abu ‘l-Walid). Sabdanya, “Bicaralah
wahai Aba ‘l-Walid, saya sedia mendengarnya.”. Demikianlah mulianya akhlak Nabi
s.`a.w. yang membiarkan Abu ‘l-Walid berbicara hingga selesai tanpa
mengganggunya sekalipun segala yang dibicarakannya adalah nonsense semata-mata. Hanya setelah selesai, Rasulullah s.`a.w. bertanya,
“Adakah anda sudah selesai wahai Aba ‘l-Walid?”. Apabila Abu ‘l-Walid menjawab,
“Ia”, barulah Nabi s.`a.w. berkata,
“Sekarang dengar, saya pula yang bicara”. Junjungan s.`a.w. menjawab tawaran
kompromi `Utbah ibn Rabi`ah itu dengan membaca ayat-ayat dari surah Fussilat
yang kandungannya jelas dan tegas menolak kompromi.
Usaha untuk berkompromi ternyata
telah gagal. Kerana itu musyrikin Quraysh meningkatkan gangguan dan deraan
mereka hingga ke tahap mahu mengusir Rasulullah s.`a.w. dari bumi Makkah (ayat
76). Tetapi Allah s.w.t. mempunyai takdir perancangan lain. Rasulullah s.`a.w.
diperintahkan berhijrah ke Madinah. Pengusiran dalam erti kata yang sebenarnya
tidak berlaku. Kerana itu kaum musyrikin Quraysh terselamat dari nasib
kehancuran total dalam masa singkat setelah pengusiran. Hikmah Tuhan menetapkan
bahawa kaum Quraysh tidak dihabisi hingga ke akar umbinya sebagaimana umat lain
yang telah mengusir rasul mereka. Tuhan masih menghendaki sebahagian mereka
akan beriman, dan Tuhan juga menghendaki agar nanti berlaku fathu - pembukaan Makkah atau pembebasan
Makkah yang diikuti pengislaman beramai-ramai warganya. Andainya musyrikin
Makkah benar-benar mengusir Rasulullah s.`a.w., tentunya mereka telah
dibinasakan tidak lama selepas pengusiran, kerana memang demikianlah ketetapan sunnatu ‘Llah, undang-undang ketuhanan
yang tidak pernah berubah (ayat 77). Justeru, mengusir rasul adalah jenayah
berat yang mewajarkan hukuman pembinasaan. Bagaimanapun mereka tetap menerima
hukuman kerana telah menganiaya Rasulullah s.`a.w. hingga hampir mengusirnya
dari bumi Makkah. Tidak lama selepas Junjungan s.`a.w. berhijrah mereka hampir
binasa sepenuhnya dalam peperangan Badr.
Rumusan Pengajaran
Mengulas isu tawaran kompromi
dalam ayat-ayat al-Isra’ ini Sayyid Qutb mengatakan bahawa ia adalah taktik
biasa golongan berkuasa (ashab al-sultan)
dalam menghadapi para pejuang dakwah (ashab
al-da`wat) sepanjang zaman. Mereka sentiasa melakukan percubaan memperdaya
orang-orang dakwah agar menyimpang - walau sedikit - dari sikap tegar,
istiqamah dan konsisten dalam dakwah, rela menerima penyelesaian “jalan tengah”
demi imbalan habuan mewah. Menurut Sayyid Qutb, memang ada sebilangan kaum
pendakwah yang benar-benar terpedaya kerana menganggap kompromi sebagai isu
kecil, mereka tidak diminta meninggalkan dakwah seluruhnya, yang diminta hanya
sedikit modifikasi untuk memungkinkan penemuan titik kesepakatan antara kedua
pihak. Dalam proses ini mungkin syaitan ikut berperanan dengan membisikkan idea
curang bahawa demi kejayaan dakwah, orang besar-besar, golongan berkuasa dan
berpengaruh itu perlu ditarik, dan untuk itu tidak ada salahnya jika pihak
pendakwah melakukan sedikit pengorbanan atau small concession.
Sayyid Qutb mengingatkan bahawa
penyimpangan kecil di pangkal jalan itu akan berakhir dengan penyimpangan
besar-besaran di hujung jalan. Orang-orang dakwah yang sedikit mengalah pada
permulaannya, akan terus kalah hingga ke hujungnya kerana kesediaannya untuk
mengalah dan menyerah itu semakin bertambah dari masa ke masa dengan
bertambahnya habuan dan meningkatnya keinginan. Sementara itu di pihak lain,
golongan berkuasa tidak berhenti-henti dengan tipu-dayanya. Sekali orang dakwah
mengalah, hilanglah kehebatan dan kredibilitinya, dan ketika itu golongan
berkuasa menjadi bertambah yakin bahawa mereka boleh mendesak dan mengasakkan
kompromi demi kompromi yang berterusan sehingga akhirnya dakwah kehilangan
segala-gala - esensi dan misi hakikinya. Dalam kaitan ini Sayyid Qutb
mengingatkan bahawa kesediaan mengkompromikan dakwah untuk memenangi hati orang
besar-besar yang berkuasa dan berpengaruh pada hakikat adalah gejala kekalahan
psikologikal (al-hazimat al-nafsiyyah).
Kejayaan dakwah tidak bergantung kepada dukungan orang besar-besar. Yang
menentukan kejayaan dakwah adalah kuasa Tuhan yang sentiasa memberkati
istiqamah dan keikhlasan amal perjuangan. Hanya kepada Allah Yang Maha Esa para
da`i harus bergantung selamanya. Semoga Allah berkenan memperteguh dan memantapkan
hati kita serta menyelamatkan kita dari segala tipu-daya.
TM67
27/12/2013