Mustafa Mashhur dilantik menjadi
Murshid al Am Ikhwan Muslimin pada 1996, setelah lama berada di kalangan pimpinan
kanan pergerakan itu. Dia telah beberapa kali dipenjarakan kerana penglibatan
dalam perjuangan gerakan Islam merengkok selama 19 tahun di dalam tahanan regim
Mesir era mehnah. Mashhur menganggap
sistem pilihanraya sebagai satu peluang, saluran atau wadah sah di sisi
undang-undang negara bagi melaksanakan da'wah dan islah. Dalam karyanya, Daripada Gerakan Islam kepada Rakyat Mesir,
Mustafa Mashhur mengolah banyak daripada masalah-masalah akibat dasar infitah -penswastaan - yang dimulakan
oleh (presiden) Sadat dan diteruskan pula di bawah Mubarak, di antaranya
korupsi ekonomi dan politik, inflasi, pengangguran, serta perdamaian dengan
Israel yang kaku dan tidak menguntungkan Mesir.
Di bawah kepimpinan Mashhur,
Ikhwan melaungkan slogan, ‘Islam adalah
penyelesaian' (al-islam huwa al-hall)
untuk pilihanraya 1987. Slogan ini menyakitkan
hati Mubarak dan sangat menjengkelkan
regimnya hingga kesudahannya. Mashhur mencanangkan konsep ini dengan pelbagai
ungkapan bermakna seperti penyelesaian politik lahir daripada ‘intima - kebersamaan dengan Islam’, ‘kembali
kepada agama', ‘menerima kebenaran yang membawa kejayaan' dan melaksana 'prinsip-prinsip Islam' (mabadi’ al-islam).
Pada kesemua ini, iman adalah intipatinya dan matlamat politik akan hanya
dirangkul melalui kesabaran (sabr),
dayatahan (tahammul) dan
kebijaksanaan (hikma).
Wacana yang dibawa oleh Mustafa
Mashhur menggariskan tentang permasalahan politik dengan kritikan tajam
menamakannya sebagai penyakit (‘ilal/da’),
kegeringan (amrad), kebejatan moral (inhilal) dan korupsi (fasad). Bagi sekalian penyakit-penyakit
ini, dia meyakini bahawa Islam sahajalah penawar yang mujarab. Daripada segi
psikologi, Islam boleh mengubati ‘kekalahan
psikologi' (al-hazima al-nafsiyya) dan membina 'sahsiah yang kuat' serta memulihkan perasaan yang kurang
bertanggungjawab. Pada sudut ini, program Mustafa Mashhur pertama sekali adalah
pemugaran dan pensucian akhlak. Dia
berpendapat bahawa sebuah negara sepatutnya berusaha dan menyeru kepada mengembalikan
iman, kerana iman yang sahih dan mantap akan membebaskan individu daripada
penyakit dan kegeringan demikian. Dengan menggamamkan sebahagian pemerhati, Mashhur
menyarankan kepada kerajaan supaya memberikan lebih perhatian kepada tarbiyah berbandingkan
dengan pendidikan formal (ta‘lim). Dia
berhujah bahawa pengislahan dan pensucian ruh (arwah) dan jiwa (nufus) itu
lebih utama daripada pengajaran ilmu pengetahuan, kerana keutamaan pendidikan
formal selama ini merupakan kesan warisan legasi imperialisme Barat. Dia
mencabar kebergantungan sepenuhnya kepada rasionalisme (‘aql) dan dia menyalahkan
keadaan kekeliruan dan kecamukan pemikiran (khalal)
kepada campur aduk idea dan nilai Islam dan Barat.
Apabila Mashhur menerima
konsep-konsep seperti ‘kehendak rakyat'
(irada al-sha‘b) dan 'kebebasan' dan sokongan kepada idea ‘perwakilan rakyat', atau menghormati 'pendapat orang lain', konsep-konsep ini
sentiasa diiringi istilah dan pedoman Islam, memberikannya pencerahan. Mashhur beranggapan
Ikhwan adalah lebih kepada suatu pergerakan sosial yang lebar berbanding sebuah
parti politik. Dia berkata bahawa aktiviti sosial Ikhwan adalah ‘mencari keridhaan Allah dengan memanfaatkan
manusia' dan dia menganggap bahawa legitimasi penerimaan masyarakat (al-shar‘iyya al-ijtima‘iyya) lebih utama
daripada legitimasi politik. Ini dapat dilihat kepada dokongannya kepada konsep hisba - akauntabiliti sosial.
Sebagai Murshid al Am Ikhwan,
Mustafa Mashhur tidak terkecuali daripada terkena tohmahan dan sering diburuk-burukkan
kerana ketegasan pendiriannya pada prinsip-prinsip tanpa berkompromi walaupun
dituduh sebagai konservatif atau golongan lama - old guard.
No comments:
Post a Comment