Seawal sejak 1980'an, Ikhwan Muslimin telahpun menggunakan
istilah-istilah politik kontemporari dan membahaskan naratif seperti: hak asasi
(huquq), kebebasan (hurriyya), perlembagaan (al-dustur), kedaulatan undang-undang (siyada al-qanun), demokrasi, kewajipan penjawat
menteri (al-mas’uliyya al-wizara), pembangkang
(al-mu‘arada), dan parti pemerintah (hizb al-hakim).
Istilah dan konsep ini tidak
menggantikan tetapi lebih menyerikan istilah-istilah Qur'ani yang digunakan
seperti: keadilan (‘adl), shura,
kezaliman (zulm) dan fitnah. Ikhwan
tetap meletakkan keimanan sebagai latar asas politik Islam. Konsep-konsep ini
memperkayakan dan melebarkan kefahaman serta membolehkan partisipasi langsung
dalam landskap politik semasa.
Anjakan besar partisipasi politik
semasa telah dirintis oleh Umar al-Tilmisani (1904-1986), yang menggantikan Hasan
al-Hudaybi selaku Murshid al Am setelah pemergiannya pada 1973. Umar
al-Tilmisani mengorak langkah bagi penyertaan Ikhwan pada pilihanraya Mesir 1984 melalui pakatan bersama parti neo-Wafd, dan kemudiannya Parti
Buruh pada 1987. Tulisan al Tilmisani mencerminkan pengenalan
istilah-istilah baru dan pentafsiran semula konsep-konsep sedia ada. Al-Tilmisani,
dengan tegas dan penuh berhemah menolak keganasan atau sebarang sokongan kepada
pengganas. Dia mengutuk keras keganasan (irhab),
dan menegaskan bahawa jihad adalah perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan
memastikan kebaikan. Menurutnya, jihad adalah memperjuangkan agama, termasuk menghulurkan
wang dan harta serta mengorbankan masa
untuk manfaat umat Islam. Konsep ini dikembangkan lagi dengan penekanan kepada penyebaran
risalah pendidikan Islam - da'wa, tarbiya
dan ta'lim.
Al-Tilmisani tetap teguh berikrar
sepertimana menurut pesanan Hasan al-Banna bahawa Islam adalah sistem hidup yang lengkap (al-nizam al-shamil). Ini terserlah
dengan ungkapan Tilmisani iaitu Islam adalah ‘agama dan negara, Qur’an dan senjata, ibadah dan muamalah'. Ringkasnya,
'Islam adalah segala-galanya dalam
kehidupan'. Ikhwan pula adalah berperanan sebagai pembawa pencerahan baru
dan pencerdasan umat. Politik kekal diolah dengan kacamata moral. Fasad dan
korupsi akan dibenteras dengan pematuhan kepada agama yang sebenar (al-din al-sahih). Dia menekankan bahawa jika
kerajaan menunaikan tanggungjawab dan obligasi Islami, keimanan akan meratai
dan akan membawa kepada penyelesaian segala permasalahan.
Al-Tilmisani menunjukkan
kefahaman tinggi terhadap tasamuh dan toleransi menangani perbedaan (ikhtilaf). Dia telah menuruti pendekatan
berhikmah al-Hudaybi sebelumnya. Al-Tilmisani menerima kehadiran permasalahan
perbedaan pendapat, kepercayaan dan ideologi (khilafat), dengan mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada
fitrah manusia. Namun, dia cermat dan berhati-hati dalam menangani isu
perbedaan pendapat, dengan meraikan kehadiran perbedaan sedia ada di antara madhhab asalkan tidak membawa kepada
perpecahan (tamziq). Tilmisani
menerima kewujudan perbedaan di kalangan pelbagai jama'ah Islam (jama‘at), kesemuanya katanya harus
dihormati dan dihargai. Tilmisani melanjutkan toleransi dan saling hormat
menghormati ini kepada parti-parti politik. Walaubagaimanapun, dia menegur
mereka kerana persengketaan sengit (fitna)
dalaman parti-parti dan perbuatan tindak tanduk amalan real politik bagi menghancurkan pihak lawan dan saingan. Dia
menasihati mereka agar kembali semula kepada idealisme, kepada rujukan Kitabullah.
Keterbukaan terhadap kepelbagaian
dan sifat inklusif adalah realisasi bahawa dunia kini banyak berdasarkan percambahan
kepelbagaian pendapat dan pandangan. Tilmisani
menyeru supaya ahli-ahli Ikhwan menguasai kompetensi dan ketangkasan
media baru dan TV. Al-Tilmisani juga meminta ahli-ahli Ikhwan membincang dan berwacana
dengan objektif dan rasional bersama pihak lawan, pihak oposisi dan saingan,
kerana tiada sesiapa yang maksum dan membetulkan kesilapan adalah perihal
normal. Tilmisani berkata dengan jelas
bahawa Ikhwan Muslimin ‘tidak memonopoli Islam’.
Dengan membukakan ruang seluasnya
untuk berpolitik, al-Tilmisani secara eksplisit menyuarakan hak untuk
mengkritik pemerintah sebagai hak berpolitik. Dia berkata, ‘Sadat (presiden Mesir ketika itu) adalah ketua eksekutif, kehakiman
dan legislatif.' Dengan kata lain, keseluruhan kuasa negara Mesir berpunca daripada
Sadat sehingga dia menggelarkan dirinya sebagai ketua keluarga rakyat Mesir.
Kejahatan inilah menurut al-Tilmisani puncanya tidak berputus-putus krisis demi
krisis kewangan, bekalan makanan, kebejatan moral, masalah sosial dan akhirnya
persoalan aqidah. Tilmisani berkata, ‘kita mesti menjauhi diri kita daripada punca
kejahatan ini'. Sebagai mengimbangi kuasa eksekutif sebegini al-Tilmisani menganjurkan
istilah baru, seperti ‘warganegara' (al-muwatin) dan 'hak asasi', yang menunjukkan keberanian yang belum dilakukan oleh
pihak sebelumnya. Dia berkata: ‘pertamanya kita percaya bahawa setiap
warganegara mempunyai hak (untuk mengkritik pemerintah atau parti pemerintah)’.
Dia menekankan lagi bahawa 'ini adalah tugas mereka (sebagai warganegara)'.
Tilmisani menyambut baik pembebasan tahanan-tahanan politik dan ruang untuk 'mengkritik apa sahaja yang disiarkan di
akhbar dan di parti-parti politik'.
Al-Timisani berhujah bahawa
keputusan-keputusan politik hanya sepatutnya dibuat berdasarkan amalan seperti
‘perdebatan, wacana, perbincangan,
pembuktian, hujah, rundingan, dan mendengar pendapat majoriti dan minoriti'.
Dia menekankan pentingnya kehadiran pemimpin yang adil yang membuat keputusan
berpengetahuan dan bijak. Dia menyatakan juga, ‘satu ciri penting politik dalam Islam adalah kebebasan bersuara pada ucapan,
percetakan dan media'. Dia perhalusi lagi konsep kebebasan bersuara dengan
merujuk kepada nasiha, yang
seharusnya berbentuk kritik yang membina, teguran yang beradab (al-naqd al-muhadhdhab). Tilmisani
menerima konsep oposisi atau pembangkang politik (mu‘arada), dengan syarat mematuhi adab-adabnya.
Perbahasan dan wacana istilah-istilah
baru ini masih berasaskan hasrat untuk kembali kepada konsep komprehensif (shumuliyya) seperti disarankan Hasan
al-Banna dan berdasarkan kepada keimanan. Tilmisani menolak anggapan bahawa
Ikhwan adalah suatu arus politik. Sebaliknya Ikhwan adalah persaudaraan
komuniti Islam yang ingin menegakkan hukum Allah swt. Apabila prinsip-prinsip
asasi dan hukum-hukum Allah swt dilanggari maka umat Islam perlu bersuara. Kezaliman,
penyeksaan, penderaan dan korupsi mesti dikutuk. Kerana itu dia bersetuju
(presiden) Nasser dikutuk sebagai penzalim. Dia menentang perjanjian Camp David Accords 1978, kerana merugikan umat
dan ‘menyalahi agama kita'. Bagi
Tilmisani, tidak wajar berlaku pemisahan di antara agama dan politik kerana ‘jika masjid bukan tempat membicarakan
perihal kehidupan, termasuk politik, apakah nilai risalah ini?'. Dia menambah lagi, 'bagaimana si alim ingin menjalankan tugasnya sebagai memberi panduan
dan petunjuk (irshad)?' Jika al
Qur'an menyelar para penzalim (zalimun)
secara terang-terangan, maka 'bagaimana
politik dan agama hendak dipisahkan, jika dituruti kehendak regim pemerintah?'
Tilmisani menyindir sikap
partisan yang negatif dengan menggelar 'akhbar-akhbar partisan kerajaan' (suhuf hukumiyya hizbiyya)'. Dia
mengkritik parti-parti politik yang tidak menjalankan pemerintahan demi kepentingan
negara. Namun, dia memuji pemimpin-pemimpin parti-parti lain yang
mempunyai hakikat berpolitik ‘political realism’ dan pendekatan tersusun. Dia memberi penghargaan
kepada mereka yang demokrat, ahli politik berpengalaman dan berkesan.
Al-Tilmisani pernah ditawarkan
menjadi senator, anggota Majlis al-Shura (Senate) Mesir, tetapi dia menolaknya.
‘Umar al-Tilmisani, Dhikraya, la mudhakkirat , terjemahan
Indonesia, 1985
THE MUSLIM BROTHERHOOD AND THE POLITICAL: AN EXERCISE IN AMBIGUITY,
Roel Meijer
No comments:
Post a Comment