Hasan al-Hudaybi telah menjadi Murshid al Am al-Ikhwan al-Muslimun daripada1951 hinggalah kepada pemergiannya pada 1973. Hasan al-Hudaybi telah memenuhi satu jurang mencabar pada saat getir - sa'atul 'usrah dalam titik perjuangan gerakan Ikhwan. Musuh-musuh Ikhwan gemar untuk menggambarkan selepas Hasan
al-Banna, gerakan itu menjadi lebih radikal. Terdapat banyak kesilapan pada
naratif radikal ini. Adalah jelas bahawa gerakan Islam di kalangan pergerakan
pelajar 70'an memilih untuk menganggotai Ikhwan kerana kejelasan dan kesederhanaannya
serta menolak ekstremisme dan golongan pelampau. Ikhwan pada ketika itu giat
mengkonsolidasikan gerak kerja dan tindakan untuk reformasi bertahap gradual.
Adalah penting bagi umat yang
ingin pencerahan dan pencerdasan supaya mengkaji dan memahami period penting
sejarah Ikhwan dan, dengan itu akan menghargai kehadirannya serta mengetahui sifat
gerakan itu masakini. Dasar-dasar yang dibawa oleh Hudaybi dan kefahamannya tentang
Islam sebagai panduan untuk politik dan masyarakat merupakan kunci bagi
memahami kemunculan semula Ikhwan di khalayak Mesir pada 70'an dan perkembangan
seterusnya, setelah bertahun-tahun lama ditindas, diusir dan dizalimi.
Buku Hudaybi Du'a la quda yang merupakan kumpulan
karya bersama rakan-rakan kanan Ikhwan menunjukkan bahawa Ikhwan dengan cermat
dan penuh hikmah menggariskan pedoman dan penunjuk jalan bagi individu Muslim
untuk berjihad demi Islam dan menegakkan keadilan sosial. Tetapi karya ini juga
membawa pembacanya supaya menjauhi jalan-jalan ekstrem dan kegelinciran
radikal.
Pada perbahasannya tentang
persoalan 'siapa Muslim?', buku ini menuruti ajaran Islam yang ternyata bahawa
barangsiapa yang mengucapkan shahadah secara zahir adalah seorang Muslim. Namun,
Hudaybi menyatakan juga bahawa seorang Muslim yang ideal dan terbaik adalah, baik
lelaki atau wanita, yang menyerahkan kehidupannya untuk perjuangan menyampaikan
risalah Islam. Seorang Muslim disaran supaya mempunyai idealisme perjuangan
Islam. Seruan Hudaybi untuk menyertai perjuangan secara aktif tidaklah
bermaksud untuk menuduh mereka yang tidak menghayati kehidupan ideal itu adalah
'bukan Muslim'. Malah buku itu dengan terang menganjurkan umat supaya menjauhi
perbuatan takfir - menglabel orang
lain sebagai 'bukan Muslim'
Prinsip wasatiya - kesederhanaan Hudaybi jelas juga dampak pada sikap dan seruannya
dalam menuntut pelaksanaan hukum Shari'a. Ikhwan akur kepada keperluan dan keabsahan
manusia di dalam perundungan dan penglibatan mereka dalam membuat dasar. Hudaybi
dan rakan-rakanya dalam Ikhwan melihat kuasa politik bukan hakmilik mutlak mana-mana
pihak tetapi harus datang daripada penerimaan, pemilihan dan perwakilan,
daripada sokongan massa.
Hudaybi juga mempertahankan
hak-hak anggota masyarakat untuk membangkang pihak berkuasa dengan bersandarkan
perintah al Quran "menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran " (al-amr bil-ma'ruf wa'l-nahy 'an al-munkar).
Dia menekankan supaya hak ini hendaklah dilaksana secara aman dan beradab, dan
penggunaan kekerasan ditolak.
Wawasan wasatiya da'wah Islam ini yang bergabung dengan gema arus perdana
pergerakan pelajar 70'an, yang dipengaruhi Hudaybi dan rakan-rakannya telah
menghasilkan sosok Ikhwan Muslimin dengan kebangkitan semula organisasi yang
lebih mantap dan bertenaga.
Adalah disarankan kepada mereka yang
berminat dengan gerakan Ikhwan untuk mengkaji dan melihat evolusi perkembangannya
daripada masa Hasan al-Banna hingga ke sekarang, tanpa terikat dengan dogma atau
gambaran stereotaip yang jumud.
No comments:
Post a Comment