Monday, December 22, 2014

Dr Siddiq Fadil - Dakwah datang dengan Rahmah



Kita hadir atas semangat bersama-sama melestarikian keunggulan tradisi ilmu gerakan Islam ini. Kekuatan berorganisasi dan paling kuat tradisi ilmu adalah gerakan Islam ini. Ini harus dipertahankan.  Tidak ada erti sahwah Islamiyyah - kebangkitan Islam tanpa sahwah ilmiah - without intellectual resurgence. Kebangkitan keilmuan adalah teras kebangkitan dakwah, kebangkitan Islam dan kelangsungan dakwah. Tidak boleh berkompromi kekuatan ini dalam apa cara sekalipun.

Dengan penuh tawaddu' kita adalah wadah yang membidani kebangkitan Islam di Malaysia kerana pada waktu itu tidak ada pun pertubuhan lain. Kompetensi kita adalah wahana bagi mempertahankan, melestarikan dan merealisasikan kebangkitan Islam. Keprihatinan - concern- kita haruslah kepada pembawa rahmatan lil alamin - misi besar penuh belas kasih sayang.

Adalah menyedihkan sekiranya kebangkitan ini hanya untuk bersumpah seranah, memaki hamun dan marah-marah. Sedangkan Islam sampai ke sini dengan wajah senyuman manis - datang ke rantau ini dengan penuh rahmah - Islam came to this region with smiling faces. Apabila kita berbicara begitu kepada seorang sarjana Barat, dia tersentuh lalu menjawab, "then, keep on smiling" - "teruskan dengan senyuman anda".

Bagaimana mungkin agama rahmah tiba-tiba menjadi acara agama marah-marah.

Kita mengambil tema rahmatan lil 'alamin demi kesetiaan kepada risalah islamiyyah. Bagaimana hendak diterjemahkannya kepada gagasan-gagasan yang realistik, itulah cabarannya. Berucap tentangnya memang senang tetapi masakan kita beku di takuk teori-teori Islamik tanpa gagasan realistik. Ini yang perlu dikejar dan dikerjakan.

Kita sangat prihatin terhadap toleransi dan harmoni di antara penganut agama. Kita anjurkan konsep bangsa Malaysia berasaskan sahifah Madinah. Kita manfaatkan kekuatan tradisi Islam dalam berdialog di antara agama. Rantau ini terkenal sebagai terkaya dari segi dialog ketamaddunan - richest in terms of civilizational dialogue. There is no other region where all great religions meet. Telah berlakulah dialog, bukan maksud dialog itu berforum tetapi interaksi dalam sejarah hingga terbentuk suatu hubungan antara kaum yang harmonis tetapi kekal dengan jati diri masing-masing.

Kita tolak idea peleburan - melting pot. Melting pot ibarat kawah besar di mana semua ramuan dimasukkan dan dimasak lebur dan habislah semua jati diri masing-masing. Di sini tidak berlaku begitu, apa yang berlaku mirip bineka tunggal ika - berpelbagai tetapi tetap bersatu atau apa yang disebutkan oleh Muhammad Imarah sebagai "kepelbagaian dalam bingkai kesatuan". Inilah yang kita promosikan sebagai dasar dan siapakah yang berani mengkonsepsikan idea ini.

Malaysia masih belum mempunyai banyak idea-idea pemikiran. Aktiviti politik berlambak tetapi pada gagasan besar politik, kita miskin sekali. Ada yang berani dengan idea-idea besar seperti Burhanuddin Helmi dan Anwar Ibrahim. Ada ramai yang lain yang berapi-api tetapi tanpa gagasan besar.

Burhanuddin Helmi telah mencadangkan sesuatu yang berani iaitu menjadikan semua orang satu rakyat dengan mengangkat Melayu sebagai istilah yang akomodatif, inklusif  dan menyatukan semua tanpa mengira negeri asal. Samada dipersetujui, realistik atau dipertikaikan, itu persoalan lain. Di sini terletak kecemerlangan idea dan keberanian politik. Jika kepimpinan tidak mempunyai idea lagi maka habislah kita. Kalau kita tidak lagi mampu menyumbang idea kepada umat, talkinkan saja, halas, tamat.

Kita telah sedar sejak awal lagi tentang realiti kemajmukan yang tidak boleh dinafikan. Mereka yang menafikannya samada sedang bermimpi atau ketinggalan dan masih belum realistik sehingga tidak menyedari kewarganegaraan yang majmuk.

Pada muktamar sanawi ABIM 1979 di UKM, Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan dasar "Islam sebagai Penyelesaian Masyarakat Majmuk". Jika dilihat kepada ucapan dasar Muktamar Nasonal Wadah ke 6 dan yang terbaru, kita akan lihat perkembangan pemikiran kita dalam menangani pluraliti di Malaysia. Apa yang cuba kita lakukan adalah pengembangan ucapan Anwar Ibrahim pada 1979.

Ada yang berasa sangat alergik kepada pluralisme - suatu alahan yang keterlaluan. Walhal istilah pluraliti itu adalah zahir al ta'dud - kemajmukan. Pluralisme itu pula adalah bagaimana untuk menangani pluraliti - how to manage plurality. Ini bukan samasekali pluralisme John Hick (yang ingin cuba menyamakan semua agama). Profesor Emeritus Osman Bakar bertegas mengatakan bahawa tidak ada salahnya pada perkataan pluralisme asalkan maknanya jelas - "how we view and manage human plurality and diversity is what gives rise to pluralism". "There is such a  thing as Islamic pluralism and Islamic pluralism differs in many aspects from certain ideas or concepts of pluralism." Oleh itu, beradablah kita dengan tokoh seperti Profesor Osman Bakar yang berilmu dan komitted bertungkus lumus di dalam dunia keintelektualan hingga diiktiraf sebagai ilmuan antarabangsa.

Kita manfaatkan sejarah dialog di antara agama di rantau ini dan dunia Melayu mempunyai pengalaman yang kaya dalam suasana yang harmonis. Tetapi kenapa akhir-akhir ini seolah-olah ada yang terancam. Oleh itu realiti alam Melayu mesti diambil kira. Fiqh Indonesia, fiqh Malaysia harus dianggap sebagai sumbangan besar kepada umat Islam - semuanya harus dianggap khazanah pemikiran dunia Islam. Candi-candi Bodur-Bodur tidak diruntuhkan di Indonesia malah menjadi pusat ziarah pelancongan.

Oleh itu adakah kita berani untuk memajukan konsep bangsa Malaysia yang disebut sebagai suatu sasaran Wawasan 2020. Kitalah yang sendiri mengetahui realiti Malaysia. Setelah 60 tahun, Rustam A Sami mengatakan... Malaysia is a state without nation or a state with several competing nations. Seperti luahan puisi Usman Awang kerana sudah sekian lama belum tercapai idealisme bangsa itu. Bukanlah kita sahaja yang menginginkan gagasan ini malah ramai lagi.

Apabila kita gagaskan konsep bangsa Malaysia, kita tidak boleh lari daripada prinsip Islam dan kerana itu kita utarakan konsep sahifa Madinah - ummah siyasiyah, ummah wataniyyah bersama ummah dinniyah. Non muslim adalah ummah ma'al muslimin. Dengan acuan kita tersendiri.

Akhirnya, matlamatnya adalah supaya terlaksana al muwatanah al kamilah - full citizenship for all citizens. Sekiranya kita selaku yang digelar sebagai Islamis tidak berani memberi komitmen kepada kewarganegaraan penuh untuk semua, mereka tidak akan mahu lagi mendengar kita kerana idea golongan sekularis akan lebih menyakinkan. Tidak ada sesiapa yang rela dianggap warganegara kelas dua. Lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma `alayna- "mereka berhak tentang apa yang mereka dapat dan mereka menanggung apa yang kita tanggung".



Catatan kasar Tamrin WAP Mawaddah Resort Batu Kurau


Sunday, December 21, 2014

Dr Siddiq Fadil – Peranan Murabbi dalam konteks Dakwah


Merenung kepada peri pentingnya peranan murabbi dalam konteks gerakan dakwah, kita cuba mengupasnya. Istilah ini agak baru dipakai oleh gerakan kerana sebelum ini kita guna istilah naqib.

Proses tarbiyyah itu sejak awal lagi diberi penekanan luar biasa oleh gerakan kita. Ini kerana sebelum itu sistem pendidikan kita dirosakkan oleh sistem sekular dan ini memerlukan pendidikan semula – re-educating. Keperluan mendidik diri kita semula kerana selama menjalani proses pendidikan diri yang ada sejak awal hingga akhir masih “ada yang tak kena”. Pendidikan agama pun tidak terkecuali kerana “ada yang tak kena”. Ada yang tidak ditampung dalam sistem itu, maka kita menggubal sistem dan silibus to reeducate ourselves.

Pertama sekali kita memulakan usrah – “kumpulan belajar bersama”. Tiada sheikh kepada kumpulan begini tetapi ada naqib. Ketua kumpulan belajar bersama ini digelar naqib. Ini lebih mudah, lebih mesra dan telah dimasyarakatkan. Tradisi gerakan meletakkan usrah itu sangat penting, tarbiyyah amat diutamakan. Sehingga ada di kalangan ahli-ahli yang kegiatannya hanyalah tarbiyyah dan tiada yang lain. Sedangkan tarbiyyah ibarat workshop atau bengkel untuk pembaikan dan penambahbaikan supaya keluar dan berprestasi. Dinamika usrah tidak harus semata-mata berusrah tanpa ada projek dakwah.

Dalam tradisi Islam dahulu tidak perlu kepada usrah, naqib dan sebagainya kerana telah cukup dengan belajar daripada sheikh-sheikh. Itulah cara para al Immah – Imam Shafie dan Imam al Ghazali umpamanya. Ketika itu orang mempunyai kesedaran tentang peranan sheikh dalam sistem pendidikan kerana kewibawaan terletak kepada para sheikhnya. Sheikh berperanan sentral dalam sistem pendidikan sehingga kewibawaan seseorang diukur daripada siapa sheikhnya – “kamu ambil ilmu ini daripada siapa”.

Sekarang langsung tidak ditanya hal ini dan telah berubah kerana sudah tidak peduli kepada gurunya. Apa yang dipentingkan hanyalah tempat mana dia graduan. Peranan guru diperlekehkan dan hanya universiti yang disebut. Isu tidak mempedulikan siapa pendidik hingga mereka yang berpemikiran berkecamuk pun  boleh menjadi guru. Kecemerlangan seseorang tidak lagi dirujuk kepada siapa gurunya dan guru hanya dianggap sebagai fasilitator. Seolah-olah teknologi pendidikan telah mengambil alih peranan pendidik. Ini adalah suatu yang absurd – peranan ini tidak mungkin diambil alih walau secanggih mana pun.

Contoh murabbi terunggul dan teragong ialah Rasulullah s.a.w. Al rasul al murabbi wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian. Bagaimana baginda berjaya mencipta satu generasi al sahabah r.a.a. Perlu diteliti ciri-ciri, teknik-teknik dan pendekatan kemurabbiyan Rasulullah s.a.w. Dimensi al rasul al murabbi perlu dilihat dan dijadikan sumber renungan kita.

Kejayaannya sebagai  murabbi ada suatu yang luar biasa dan dianggap para ulama’ sebagai mukjizat – al ‘ijaz al tarbawiy. Para ulama’menganggap andainya Rasulullah s.a.w. tidak dikurniakan mukjizat lain maka keunggulan para sahabah yang dididiknya itu sudah cukup bagi bukti kenabiannya. Baginda bukan sekadar berjaya mendidik al sahabah, malah mendidik para murabbi dan orang yang tidak pernah melihat pun “mukjizat kependidikan” sepanjang zaman hingga ke hari ini. Para sahabah bukan cuma murid-murid, bukan hanya pengikut, bahkan dididik Rasulullah s.a.w. sebagai murabbi-murabbi sepanjang zaman. Malah kita hari ini pun mempelajari daripada fatawa para sahabah dan inspirasi keunggulan peribadi mereka.

Contohnya, riwayat kisah Umar al Khattab akan membuatkan kita terinspirasi. Dia selaku murabbi tidak perlu hadir bersama di kalangan kita – walaupun dengan jarak ruang dan masa – space and time distant – namun kita masih terinspirasi dengan peribadi dan kisah Umar al Khattab. Membaca riwayat para sahabah Rasulullah s.a.w. memberikan kita suntikan semangat yang bermakna.

Sebagaimana generasi silam memberikan perhatian, marilah kita membina tradisi baru walaupun naqib bukanlah sheikh tetapi naqib yang murabbi atau murabbi yang naqib. Tugas dan cabarannya berat untuk membina dan mempertingkat naqib. Peranannya bukanlah semata-mata memberi ilmu tetapi memimpin dan mempunyai tanggungjawab tarbawiy.

Kitab turath Burhan al Din al Zarnuji  Ta`lim al-Muta`allim fi Tariq al-Ta`allum – adalah warisan tradisi pendidikan Islam. Sekarang kitab ini dilupai dan diabaikan. Dahulu, kitab ini menjadi standard di madrasah, pondok dan pesantren. Barangkali kita harus berhimpun nanti untuk membedah buku ini yang mempunyai kekuatannya tersendiri yang tidak ada sekarang.

Kitab ini telah diterjemahkan di Barat – Instruction of the Student: The Method of Learning – memberi petunjuk bagaimana memilih guru bukan sebagai penyampai ilmu sahaja tetapi guru sebagai murabbi – pendidik ilmu dan pembentukan diri – islah al nafs. Pelajar menyerah diri kepada guru untuk memperbaiki dan menyempurnakan dirinya. Sekadar belajar dari Google bukanlah pendidikan. Saranannya supaya dipilih guru yang paling berilmu, paling wara’ dan paling senior sebagaimana Imam Abu Hanifah memilih Hammad bin AbuSulayman. Tidak dipilih dengan rambang tetapi dengan teliti, dengan tafakur dan renungan. Abu Hanifah berkata dia memilih yang berwibawa, penyantun dan penyabar.

Pemilihan seteliti itu adalah martabat wibawanya dan ulama’ silam sangat terkait dengan gurunya. Pengenalannya adalah kepada siapa gurunya dahulu. Imam Shafie memberi penghormatan kepada gurunya Imam Malik yang disebutnya sebagai ustadhi dalam kitab-kitabnya. Apa yang diperolehi daripada guru bukan sekadar ilmu sahaja tetapi watak peribadi yang menyeluruh. Tarbiyyah melalui keteladanan guru itulah yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Guru membawa erti ilmu dan teladan.

Walaupun berat, kita tidak mempunyai pilihan lain, dengan azam sekuat dan seseriousnya. Kalau cuma sekadar ilmu pengetahuan yang kita harapkan, barangkali burung gagak pun boleh menjadi guru – sepertimana kisah Qabil belajar daripada aksi gagak bagaimana menguruskan mayat Habil. Dengan ertikata lain, kalau hanya ilmu boleh belajar daripada sesiapa sahaja. Tetapi konsep tarbiyyah bukan hanya ilmu bahkan keteladanan dan proses pembentukan keinsanan – to be a better human being.

Pendidikan itu adalah pengutuhan dan penyempurnaan insan. Tugas seorang murabbi bukan terbatas kepada penyampai ilmu tetapi membaiki diri insan – islah al nafs. Imam Hasan al Banna menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbi:-

Qawiyy al jism – kesihatan tubuh badan
Matin al khuluq – kewibawaan moral, berakhlak tinggi
Muthaqqaf al fikr – keterbukaan minda, membudayakan ilmu
Qadir ‘ala al kasb – kemampuan menyara hidup, keusahawanan – enterprising spirit
Salim al aqidah – kejituan aqidah, kemurnian iman
Sahih al ‘ibadah – ketepatan beribadah, ibadat yang betul
Mujahid li nafsih – keupayaan mengawal nafsu, bermujahadah
Harithan ‘ala waqtih – peka terhadap masa, sensitif kepada waktu, tidak meleret tanpa kesedaran
Munazzam di shuĂșnih – tertib segala urusan, pengurusan tidak berselerak
Nafi ‘an li ghayrih – berbakti, bermanfaat kepada orang lain, berkhidmat kepada masyarakat






Catatan kasar persidangan meja bulat MAKTAB WAP KDH







Sunday, October 26, 2014

Sheikh Qaradawi’s Letter to Malaysia


Sahib al Samaha Sheikh Yusuf al Qaradawi’s Letter to Malaysia:

All praise is due to Allah, salutations and salam be upon Rasulullah saw, his family and his companions and to those who follow Allah’s guidance

Malaysia has a special place in our hearts, and we cherish dearly our love with all sincerity. Our wish is to see Malaysia manifest as the Islamic model of moderation - wasatiyyah, civil, developed and contemporary. These will not succeed without the striving efforts of earnest sons and daughters of Malaysia, working hard and cooperating shoulder to shoulder, people who eagerly aspire to assure a prosperous future for the nation.  People who help and assist one another to stand up tall for Malaysia as a whole.

Allah indeed loves those who fight in His Way in ranks as though they were a solid wall (As Saff: 4)

It is unacceptable that the courts be turned into a stage to promote hatred and political enmity or be the means to ensnare political opponents through grip holds of cases. Most of these only serve to slander and character assassinate rather than to establish the truth.

Indeed we believe the success of Malaysia, its rise and strength lie in the upholding highly the values of freedom and democracy, and reinforcing the principles of the diversity of thought, noble rivalry and healthy debate, in the service of such a glorious nation

Anwar Ibrahim is one of our eminent leaders with a history, involvement and experience, in his struggle, with his patience and tenacity ever since his younger days until today. Anwar should be treated commiserate with his contribution to the cause, resilience and his tireless efforts, not to persecute him by unsubstantiated allegations.  

A previous court had acquitted him. However there are clearly those who still contrive and conspire, without any regard for the wellbeing of the country and the future of the nation.

We have faith in the words of Allah concerning an event called Hadithat al Ifk:-

Why did not the believers - men and women when you heard of the affair,- put the best construction on it in their own minds and say, "This (charge) is an obvious lie" ?
Why did they not bring four witnesses to prove it? When they have not brought the witnesses, such men, in the sight of Allah, (stand forth) themselves as liars!  (Surah An Nur 12-13)

I appeal to my brothers and sisters the citizens of Malaysia to come together and help one another. I hope that brothers and sisters in Malaysia avoid conflicts which have no useful purpose in the end, instead they are detrimental, of no benefit, devastating, not constructive, damaging and do not bring about any meaningful goodness.

All praise is due to Allah, Lord of the universe

Yusuf al-Qaradawi
President
International Union of Muslim Scholars

26 October 2014


Tulisan Sheikh Qaradawi tentang Malaysia



Tulisan Sahib al Samaha Sheikh Yusuf al Qaradawi tentang Malaysia:

Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah saw, keluarganya dan sahabat serta yang mengikuti petunjuk-Nya

Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari. Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara. Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh  (As Saff: 4)

Adalah tidak patut bagi badan kehakiman bertukar menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes. Perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi melebihi tujuan mencari kebenaran.

Sesungguhnya kami percaya bahawa kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini.

Anwar Ibrahim terdiri daripada pemimpin ternama dengan sejarah dan pengalamannya serta perjuangannya, dan kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini. Anwar sewajarnya dilayani dengan jasa perjuangannya dan kerja gigihnya, bukannya menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas.

Mahkamah sebelum ini telah membebaskannya daripada tuduhan itu. Tetapi jelas bahawa terdapat pihak yang yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.

Kami beriman dengan apa yang difirmankan Allah swt  tentang peristiwa Hadithat al Ifk:-

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang- orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

(Surah An Nur 12-13)

Aku menyeru kepada saudara-saudaraku rakyat Malaysia supaya bekerjasama dan saling bantu-membantu.  Aku berharap saudara-saudara  di Malaysia menjauhkan diri daripada konflik-konflik yang tidak ada faedah di sebaliknya, malah ianya memudaratkan, tidak memberi manfaat, menghancurkan,  tidak membina, merosakkan dan tidak mendatangkan kebaikan.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam

Yusuf al-Qaradawi

Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam

Sunday, September 21, 2014

DR SIDDIQ FADZIL: ERA BARU DAN AKTUALISASI RAHMATAN LIL 'ALAMIN



PELAJARAN SEJARAH

Suasana kebangkitan Islam era 70 'an terasa dan berada di majlis (muktamar) seperti ini. Kita sempat menyaksikan kegejolakan, gelora melihat Anwar Ibrahim beraksi berpencak sebagai Super Star kebangkitan itu. Kami telah berada di layar sejarah 70'an, pada babak sejarah yang sangat bererti dalam sejarah kebangkitan Islam.

Namun kini, kita sedang menyaksikan segolongan generasi baru yang tidak dapat menghargai atau mengapresiasi fenomena kebangkitan Islam waktu itu. Mereka tidak menyaksikannya dan mereka tidak merasainya. Sebaliknya mereka meperlekehkan pula jasa tokoh-tokoh kebangkitan Islam.
Tidak mengapa dan kita boleh faham jika mereka tidak mengapresiasikannya. Tetapi mereka memperlekehkan tokoh-tokoh yang berjasa membina dan melakar sejarah Islam terpenting abad ke 20. Kalaulah Anwar Ibrahim boleh diperlekehkan, apa lagilah kita ini. Dikatakan kita tidak mengakar ke landasan ilmu dan tidak Islamik.

Secara mudahnya, kalaulah tidak kerana jasa Anwar Ibrahim, kami mungkin tidak menjadi seperti kami sekarang.  Kita sedih kerana para senior kita sudah tiada lagi bersama kita sekarang.  Al marhum Ustaz Niamat Yusuf  tiada lagi bersama kita. Al marhum Ustaz Yahya Othman tidak lagi bersama kita. Andaikata mereka boleh memberikan kesaksian maka mereka akan mengesahkan peranan dan sumbangan Anwar Ibrahim pada waktu bersejarah itu.

Mudah-mudahan ustaz-ustaz yang masih ada sekarang bersama kita barangkali harus tampil memberikan kesaksian kepada sejarah bahawa manusia bernama Anwar Ibrahim ini sangat berjasa kepada kebangkitan Islam dan hakikat ini jangan lagi diperlekehkan.

Kalau pemikiran Anwar Ibrahim dikritik, itu tidak mengapa. Bebaslah mengkritik Buku Jingganya itu. Tetapi dia adalah penggerak kebangkitan Islam dan keberadaannya kita di sini adalah hasil usaha itu.

Sekarang ini semacam ada musim Anwar bashing - menghentam Anwar. Orang-orang yang terlibat dalam kerja bashing ini sudah tentu berpenyakit. Mungkin untuk kelihatan dia besar maka dia harus memukul orang yang lebih besar. Jadi, dipukulnya besar-besaran. Mungkin supaya pangkat yang diperolehi pun pangkat lebih besar.

Kita sedih melihat  fenomena ini yang berlaku di luar kita. Kita sebenarnya tidak ada masalah dengan hal seperti ini di kalangan kita.


PROSES PEMBELAJARAN SEMULA

Kini kemunculan mereka yang merasai diri mereka sebagai ulama' - lulus 4 thanawi dan berpakaian tertentu sudah menggelar diri ulama'. Sewenang-wenangnya mencampuri sebarang masalah. Mereka menggunakan pula kedudukan 'keulamaan' itu pula untuk berbuat seenak-enaknya. Maka golongan yang dikategorikan bukan ulama' pula terpaksa menjadi kerdil dan tidak lagi berupaya. Apa boleh buat, sudah macam itu...

Ini suatu yang menyedihkan dan kita harus pastikan gejala ini tidak berlaku di dalam gerakan kita. Tradisi ilmu kita adalah melalui pembelajaran semula - re-educating process. Masing-masing anggota menjalani pencerahan. Berlaku proses 'pengintelektualan ustaz dan intelek kepada ustaz'. Orang tidak pernah bertanya apakah kita ulama' atau intelektual. Kita tidak pernah mempersoalkan pun sesama kita.

Kita konfiden bahawa kita Islamis yang kompeten. Usrah kita berjalan dengan semestinya dan kita yakini kualitinya. Kita disiplinkan tarbiyyahnya dan budayanya. Inilah yang menjadikan kita begini.  Oleh itu, kita harus mempertahankan proses re-educating itu. Jika dicongak waktu pertemuan - contact hours - usrah setiap orang selama 40 tahun - boleh mencecah pembelajaran di 2-3 buah universiti.

Kita lihat semua ini sebagai kekuatan dan di sinilah perbedaan kita. Tidak ada dichotomy pemisahan di antara ulama' dan profesional di dalam konteks gerakan kita. Kita dapat  berada di dalam masyarakat dan mendewasakan umat dengan memanfaatkan kekuatan intelektual yang kita miliki. Bukan kita pamerkan ini untuk dihebohkan sebagai menunjuk-nunjuk - show off, tetapi inilah cerminan kekuatan dan kualiti yang gerakan miliki untuk membangunkan umat.


ERA BARU

Kini adalah era baru, perkembangan menarik berada di hadapan kita iaitu perhubungan kita bersama Non Muslim. Mungkinkah semakin kita terpukul, semakin kita terkenal. Kita sedang jalinkan hubungan dengan semua pihak dan bidang profesional.

Angkatan muda Non Muslim sudah mula menghadiri program dan ada yang hadir majlis berbuka puasa malah ada yang betul-betul cuba berpuasa. Ini dikatanya sebagai solidariti bersama umat Islam. Kita serahkan saja niatnya tetapi ini perkembangan yang baik dan menarik.

Mungkin selama ini mereka melihat autoriti Islam dan Melayu itu di tempat lain. Mungkin sekarang sudah menjadi kelainan dan tempat rujukan pemikiran Islam bukan di tempat lain tetapi di dalam diri-diri kita. Anak-anak muda Non Muslim kelihatan serious dan bersungguh-sungguh. Mereka membaca buku 'Islam dan Melayu' dan menyampai saranan  supaya bahasanya dipermudahkan lagi untuk tatapan orang awam.

Apa yang pengarang sampaikan dalam buku itu adalah natural dan tabii bukanlah dibuat-buat. Begitulah pengarang berfikir dan itulah bahasa yang terjelma dalam teks. Apa yang difikir, itulah yang ditulis - al lughatul fikri . Oleh itu, jika perlu, orang  lain mungkin boleh mempermudahkan dengan versi simplified.

Apabila dianjurkan idea piagam Madinah sebagai formula political compact, di mana wujud kebersamaan umat Islam dan bukan Islam - ummmah diniyyah dan ummah siyasiyyah dalam menangani pluraliti politik - 'kepelbagaian dalam satu bingkai kesatuan', ini disambut baik. Ada tokoh politik Non Muslim yang menyahut "Now I am part of the ummah!". Dia bertanya, "Can I quote you on this?". Kita jawab, "By all means."

Oleh itu sebagai wadah pencerdasan umat, kita harus berfikir secara lebih luas supaya berupaya mengakomodasi penglibatan Non Muslim. Ini betul-betul era baru dan kita harus memanfaatkannya.
Kita saksikan pengalaman parti politik multi racial. Kita sedari dan kita sangat prihatin dan concern supaya ia kekal berbilang kaum dan supaya ia jangan menjadi seperti parti-parti sebelumnya yang berasal pelbagai kaum pada akhirnya menjadi parti satu kaum. Tidak banyak orang berani menubuhkan parti multi racial sehingga pada peringkat permulaan ada yang sampai tidak mahu percaya. Oleh itu seharusnya ia kekal multiracial dengan fikrah dan aspirasi Islam.

Oleh itu adalah suatu kesombongan dan amat meloyakan apabila kehadiran Anwar Ibrahim memimpin parti multi racial dengan sejarah kebangkitan Islamnya, cuba untuk diperlekehkan orang lain.


AKHIR KATA

Kepada rakan-rakan seperjuangan, janganlah kita cepat berserah. Anggaplah misi kita rahmatan lil 'alamin bukan suatu bebanan.



DR SIDDIQ FADZIL, PRESIDEN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA: UCAPAN PENANGGUHAN MUKTAMAR NASIONAL KE 8
21 September 2014


DR SIDDIQ FADZIL: MASYARAKAT PLURALISTIK

ISLAM DAN MASYARAKAT MAJMUK: CABARAN AKTUALISASI RAHMAT SEJAGAT (RAHMATAN LI AL-`ALAMIN) Dr Siddiq Fadzil


Kami awali dengan merafakkan tahmid kesyukuran beserta do`a semoga Tuhan Yang Maha Rahman berkenan memberkati Muktamar Nasional Ke-8 ini. Mudah-mudahan MUKNAS kali ini membawa rahmat peningkatan komitmen perjuangan: Islam berdaulat, umat bermartabat. Itulah cita-cita yang kita perjuangkan bersama dengan setia dan istiqamah menggalas amanat al-da`wah, menyampaikan Islam yang kaffah dengan pendekatan yang berhikmah. Untuk itu para da`i yang tergabung dalam wadah ini harus memahami dan menghayati mesej Islam secara utuh dan menyeluruh. Di tengah kemajmukan yang diwarnai pelbagai konflik kepentingan, gerakan Islam akan sangat mudah tergoda dan terpancing, lalu terseret ke dalam perjuangan asabiyah perkauman, kelompok dan golongan. Semoga Tuhan berkenan mengurniakan istiqamah dalam perjuangan Islam yang benar, adil, seimbang dan bijaksana.


Agama Rahmah Yang Ramah

Wadah Percerdasan Umat Malaysia adalah sebuah gerakan pendakwahan dan pendidikan yang komited terhadap misi tanwiriy - pencerahan masyarakat tentang hakikat Islam sebagai agama wahyu terakhir yang benar dan mutlak. Tuhan yang kita sembah adalah Allah Rabb al-`alamin; agama yang kita imani adalah al-Islam yang mesejnya rahmatan li al-`alamin; dan rahmat yang kita dambakan adalah rahmat-Nya yang wasi`at kulla shay’i ’ (Al-A`raf:156), meliputi segala, meratai semua -- merentas batas bangsa dan ras, menembus sempadan agama dan budaya, melintas ruang dan zaman.

Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada alam seisinya.”, (Al-Anbiya’:107)

Ayat al-Anbiya’ tersebut adalah peryataan tegas bahawa teras syari`at Islam adalah rahmah, kasih sayang Tuhan yang inklusif, meliputi seluruh warga alam. Rahmah adalah kata kunci yang merumuskan segala objektif syari`at (maqasid al-shari`ah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusiaan. Bahagia atau celakanya hidup manusia, tergantung sepenuhnya pada rahmat Allah. Menyedari hakikat itu manusia Muslim sentiasa mendambakan siraman rahmat Allah pada setiap detik masa. Al-Rasul s.`a.w. memberikan petunjuk bahawa cara meraih rahmat ialah dengan dengan menebar belas kasih kepada warga alam. Sabdanya,

Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya kamu akan dikasihani oleh Yang di langit.” Ada seseorang berkata, Sesungguhnya kami mengasihani isteri-isteri dan anak-cucu kami.”. Sabda Rasulullah s.`a.w., “Bukan itu maksudku. Yang aku maksudkan adalah kasih yang menyeluruh”.

Kata al-rahmah bi al-kaffah (rahmat yang menyeluruh) bererti belas dan kasih yang melimpah, bakti kemanusiaan yang menyejagat, khidmat kebajikan yang inklusif meratai seluruh warga bumi Ilahi.

Dengan keyakinan dan komitmen sedemikian itulah kita tampil di kancah dakwah pada era yang serba global dan plural. Dalam kaitan inilah pula relevannya wacana tentang cabaran aktualisasi rahmat sejagat, penterjemahan mesej rahmatan li al-`alamin di tengah realiti kemajmukan, dengan bertolak dari premis dasar: Keesaan Pencipta dan keragaman (tanawwu’ / ta`addudiyyah) makhluk ciptaan-Nya. Seluruh warga alam dengan segala kepelbagaiannya seharusnya berpeluang mengecap rahmat Ilahi lewat agama-Nya. Memang sebagai agama rahmah, Islam harus ditampilkan dengan wajah yang ramah. Sayangnya, agama rahmah yang ramah ini seringkali dicitrakan sebagai agama yang selalu “marah-marah”.


Menyikapi Pluraliti

Sesuai dengan realiti masa kini yang dicirikan oleh fenomena global dan plural, selaras dengan sifat agama Islam yang insaniyy al-da`wah wa `alamiyy al-risalah (keinsanan dakwah dan kesejagatan risalah), pendekatan kontekstual yang dirasakan paling tepat ialah seperti yang disarankan oleh Fathi Osman, “…a universalistic and humanistic presentation of Islam.” Dengan semangat pembaharuan yang menggelora, pemikir Islam kontemporari yang berasal dari Mesir itu mengumandangkan seruannya:

"We ought to release ourselves from being enclosed and exhausted in the juristic details, and we have to enjoy the full, healthy and rich life in the ever-productive divine guidance in its width and depth. We should also be the honest and courageous advocates and defenders of human dignity of all human beings: men, women or children, Muslim or non-Muslim, related to any land, race or ethnicity. We have to present to the whole world (and reflect in our thinking and behaviour) the universality of Islam, and the grace of the Lord to all beings through His message. Through such a universalistic and humanistic presentation of Islam, we can prove that it copes with our age of globalism and pluralism, which it had actually pioneered over fourteen centuries ago. We could also demonstrate that Islam provides the moral depth which humanity has been missing and badly needs. Muslims can help themselves and help all of humanity realize that human dignity is the cornerstone of Gods message to all mankind in all generations, since He is in no need of being acknowledged or worshipped; He wants us to worship Him alone so as to be liberated from worshipping tyrants and fallacies.” (Fathi Osman, 2001:64-65).

Kepelbagaian adalah sunnatu ‘Llah dalam penciptaan makhluk. Rempuhan globalisasi yang dijiwai hegemoni Amerika tidak akan mampu merubah kenyataan bahawa manusia tetap berbeza-beza warna, agama, budaya dan bahasa. Justeru, perbezaan dan kepelbagaian harus diterima seadanya dengan sikap positif dan optimistik bahawa fenomena shu`uban wa qaba’il (kemanusiaan yang berbangsa-bangsa dan bersukusuku) mengandungi hikmah ketuhanan yang tersirat di balik kata lita`arafu (agar mereka saling kenal). Al-ta`aruf adalah kata yang sarat makna. Ia mengisyaratkan makna hubungan timbal-balik (`ilaqah tabaduliyyah) - saling mengakui, saling menghargai, saling membantu dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

Manusia memang berbeza-beza, tidak hanya dari segi biologis - warna dan jantina, tetapi juga dari segi agama, budaya dan bahasa. Kepelbagaian adalah ayat atau tanda kekuasaan, kekayaan dan kebijaksanaan Tuhan Yang Maha Besar. Kalau Tuhan menghendaki, manusia boleh diciptakan serba homogen - serupa dan seragam. Tetapi hakikatnya Tuhan menghendaki sebaliknya, umat manusia diciptakan dengan sifat heterogen - beragam dan pelbagai, termasuk dari segi agama:
Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. (Hud:118).

Demikianlah kehendak Tuhan Yang Maha Hakim (Bijaksana), segala ketentuan-Nya mengandungi hikmah dan rahsia yang harus difahami dan diselami sedalam-dalamnya. Justeru, fenomena pluralistik harus disikapi dengan iman dan moral keislaman yang benar. Prinsip dasarnya adalah qabul al-akhar (menerima kehadiran orang lain dengan segala kelainannya), dengan ruh al-samahah (semangat toleransi) yang setinggi-tingginya demi matlamat kolektif hidup bersama (co-exist), berdampingan secara damai dan harmonis. Hakikat inilah yang membawa kita ke persoalan al-ta’addudiyyah atau kemajmukan, tema besar wacana hari ini.

Kita memakai istilah ta`addudiyyah atau kemajmukan dengan pengertian yang Islami. Memang ada istilah lain yang banyak dipakai ketika ini, seperti istilah pluralisme. Mungkin ada yang tersentak mendengar kata pluralisme, apa lagi jika ia dikaitkan dengan agama. Memang kata ini memerlukan penjelasan apa yang dimaksudkan, kerana dikhuatiri merujuk pluralisme agama gagasan John Hick yang sangat kontroversial itu. John Hick adalah tokoh pluralis yang mempelopori projek penyamaan semua agama, tidak ada agama yang berhak mendakwa memiliki keunikan tersendiri.
Kerana itu kita dapat memahami mengapa ada pihak yang sangat berhati-hati, lalu memilih kata yang lebih neutral iaitu pluraliti. Bagaimanapun persoalan sebenarnya tergantung pada apa yang dimaksudkan dengan istilah pluralisme. Memang kenyataannya kata pluralisme mempunyai pelbagai makna yang harus difahami secara kontekstual. Dengan kata lain, pluralisme tidak semestinya merujuk gagasan John Hick.

Kerana itu kita juga dapat memahami mengapa ada pihak yang menggunakan istilah pluralisme, seperi Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar yang dengan nada tegas dan yakin mengatakan, How we view and manage human plurality and diversity is what gives rise to “pluralism.” Since different cultures or civilizations treat the problem of plurality and diversity differently, we have come to encounter different versions of pluralism. It is with full confidence that we say there is such a thing as “Islamic pluralism,” and that it differs in many respects, for example, from contemporary Western idea and practice of pluralism. (Osman Bakar, 2006:16-17).

Kamus Dewan memberikan makna pluralisme sebagai keadaan yang majmuk, iaitu keadaan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, kepercayaan agama dan sebagainya. Kamus besar bahasa Indonesia juga memberikan erti yang sama, iaitu keadaan masyarakat yang majmuk (bersangkutan dengan sistem sosial dan politiknya). Seterusnya, pluralisme kebudayaan diertikan sebagai “berbagai kebudayaan yang berbeda-beda dalam suatu masyarakat.” Tetapi selain itu kata pluralisme sebagaimana yang sering dipakai dalam wacana-wacana ilmiah banyak merujuk makna yang selari dengan yang disebut oleh Prof.Osman Bakar di atas iaitu “How we view and manage human plurality and diversity” (Bagaimana kita mempersepsi dan menangani pluraliti kemanusiaan). Demikianlah, pluralisme dalam pengertian pemikiran, sikap, cara pendekatan, formula dan strategi menangani realiti pluralistik, harus dibezakan dari pluralisme dalam pengertian penyamaan semua agama.

Bagaimanapun kita lebih selesa dengan istilah kemajmukan atau pluraliti dalam pengertian al-ta`addudiyyah, istilah Arab yang kini dipakai secara meluas oleh para sarjana Muslim kontemporari, termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawiy, Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia. Pada Julai 2005, di persidangan yang dilangsungkan di Amman, Jordan, al-Qaradawiy membawa makalah berjudul al-Ta`addudiyyah fi Nazar al-Islam (Kemajmukan dari Perspektif Islam). Dalam persidangan tersebut, yang turut dihadiri oleh tokoh-tokoh pemikir Islam termasuk Wahbah al-Zuhayliy, Sa`id Ramadan al-Butiy, Kamal Abu al-Majd dan lain-lain , tidak ada peserta yang mempersoalkan pemakaian kata al-ta`addudiyyah dalam konteks posisi dan persepsi Islam terhadap fenomena kepelbagaian.

Dalam temuramahnya dengan majalah al-Watan al-`Arabiy (bil. 974, November 1995), al-Qaradawiy mengatakan bahawa Islam menerima pluraliti agama (…yaqbalu bi alta` addudiyyat al-diniyyah) dalam pengertian menerima hakikat bahawa manusia memang menganut agama (al-`aqa’id) yang berbeza-beza. Ini berlaku dengan kehendak Allah (Hud:118), dan Allah sendirilah yang akan meng-hisab segala yang diperselisihkan oleh manusia pada hari kiamat kelak (al-Hajj:69). Seterusnya al-Qaradawiy mengatakan bahawa Islam, di samping menerima pluraliti agama, juga menerima pluraliti budaya dan politik. (inna al-Islam yaqbalu bi al-ta`addudiyyat althaqafiyyat wa al-siyasiyyat wa al-diniyyah) berasaskan hakikat bahawa berbeza-beza (ikhtilaf) adalah sifat sejati kemanusiaan, malah alam ini seluruhnya berdiri di atas asas perbezaan-perbezaan (Fatir:27-28).

Dalam dunia perbukuan Arab masa kini, sudah ramai penulis Muslim yang menggunakan kata al-ta`addudiyyah sama ada pada judul buku atau dalam kandungannya. Selain al-Qaradawiy yang menulis Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam (Dari Fiqh Kenegaraan dalam Islam) dengan sub-judul Makanatuha, Ma`alimuha, Tabi`atuha, Mawqifuha min al-Dimuqratiyyat wa al-Ta`addudiyyat wa al-Mar’at wa Ghayr al- Muslimin; Dr. Muhammad `Imarah menulis sebuah buku dengan judul al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: al-Ikhtilaf wa al-Tanawwu` fi Itar al-wihdah (Islam dan Kemajmukan: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan); Dr. `Imad al-Din Khalil menulis buku berjudul al-Wahdah wa al-Tanawwu` fi Tarikh al-Muslimin (Kesatuan dan Kepelbagaian dalam Sejarah Umat Islam) yang banyak menggunakan kata al-tanawwu’ dan al-ta`addudiyyah secara bertukar-ganti; Dandal Jabr menulis buku berjudul al-Ta`addudiyyah al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat al-Shar’iyyah (Kemajmukan Politik dan Penggiliran Kuasa dalam Siyasah Syar`iyyah); Dr. Muhammad `Abd al-Rahman Balrawin dengan bukunya al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyat fi al-Dawlat al-Shuriyah (Kemajmukan Politik dalam Negara Syura) dan lain-lain.
Ternyata al-ta`addudiyyah atau kemajmukan adalah fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui oleh Islam. Hanya al-Dhat al-Ilahiyyah sahaja yang Esa semutlaknya, sedang yang lain-lain berdiri di atas sunnaniyyat al-ikhtilaf, sunnah dan hukum kepelbagaian. 

Al-ta`addudiyyah (kepelbagaian/kemajmukan) dalam perspektif Islam bukan sekadar hak kemanusiaan, yang boleh diterima dan boleh ditolak; bukan juga sekadar budi bicara, yang boleh diberi dan boleh dinafi; tetapi ia adalah fitrah dan sunnatu ‘Llah, undang-undang dan aturan Ilahi yang tidak berubah dan tidak mungkin berubah. Namun demikian al-ta`addudiyyah tidak bererti perpecahan dan perbenturan, kerana semuanya tetap terpadu dalam wadah kesatuan. Hakikat inilah yang dengan tepat diekspresikan oleh Dr. Muhammad `Imarah dengan ungkapan al-ikhtilaf wa altanawwu` fi itar al-wihdah (perbezaan dan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan).

Demikianlah hakikatnya: kepelbagaian makhluk dalam bingkai kesatuan Pencipta, kepelbagaian bangsa dan suku dalam bingkai kesatuan kemanusiaan, kepelbagaian syari`at dalam bingkai kesatuan agama, kepelbagaian hukum dan fatwa dalam bingkai kesatuan syari`at, kepelbagaian mazhab dan parti dalam bingkai kesatuan umat.


Menangani Pluraliti Agama

Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia: agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya. Islam menerima, menghargai dan menghormati manusia dalam segala kepelbagaiannya - bangsanya, bahasanya, agamanya dan budayanya. Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Justeru, seluruh umat manusia (yang berbeza-beza agama itu) tetap terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan. Semuanya adalah anak-anak Adam (`a.s.) yang dimuliakan oleh Allah (Al-Isra’:70). Al-takrim al-Ilahiy (kurnia kemuliaan dari Tuhan) adalah untuk seluruh umat manusia (keturunan Adam `a.s.), yang putih dan yang hitam, yang di darat dan yang di laut, yang Muslim dan yang bukan-Muslim.

Bagi kita memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya, tanpa mengira agamanya, adalah suatu tuntutan keagamaan, bahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah s.`a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhariy dari Jabir ibn `Abdi ‘Llah bahawa Junjungan s.`a.w. berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi. Mendengar ada suara yang menyebut itu adalah jenazah Yahudi! Rasulullah s.`a.w. spontan menjawab, “Alaysat nafsan?” (Bukankah ia satu jiwa manusia?). Demikianlah, setiap jiwa manusia (Muslim atau bukan Muslim) memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati. Selain itu ada pula catatan dari Ibn Hazm tentang kematian ibu kepada al-Harith ibn Abi Rabi`ah, seorang yang beragama Kristian, bahawa jenazahnya dihantarkan ke perkuburan oleh para sahabah Rasulullah s.`a.w.

Manusia, sebagai manusia tanpa mengira bangsa, agama dan budayanya, berhak mendapat hak asasi kemanusiaan. Mengenai hakikat universalnya hak asasi kemanusiaan, Fathi Osman mengatakan, Human rights are universal, and they apply equally to all human beings whatever their inborn or acquired differences may be. Through such a universal human perspective, the “other” is as equally human as you, be he/she of onother gender, race or ethnicity, faith, age, or ideology. The Qur’an emphasizes that all humankind was created from one couple: a male and a female, in spite of all their diversification into various peoples and tribes. They are meant to develop knowing and complementing one another through the diversity of human qualities and the diversity of the natural resources distributed among them in their homelands (Qur’an 49:13). (Osman, Fathi, 2001: 42).

Al-ta`addudiyyat al-Islamiyyah tumbuh dari kesedaran bahawa perbezaan manusia dalam beragama berlaku dengan kehendak Allah s.w.t. sendiri yang mengurniakan kebebasan kepada makhluk istimewa ini untuk memilih - menerima atau menolak (Al-Kahf: 29). Kalau Tuhan menghendaki, Dia Maha berkuasa menjadikan seluruh manusia umat satu agama, tetapi kerana kehendak-Nya jua manusia berbeza-beza (Hud:118). Setiap Muslim berkeyakinan bahawa kehendak Allah tidak dapat dihalang, sebagaimana ia juga berkeyakinan bahawa segala kehendak-Nya mengandungi hikmah kebaikan, sama ada manusia tahu atau tidak. Kerana itu seorang Muslim tidak berfikir dan tidak harus berfikir untuk memaksa manusia agar semuanya menjadi Muslim. (Yunus:99).

Al-ta`addudiyyah dalam Islam terbina di atas kesedaran bahawa orang Muslim tidak dituntut untuk menentukan nasib orang bukan-Muslim atas ketidakislaman mereka. Itu adalah urusan Tuhan yang akan diputuskan nanti pada Hari Perhitungan, bukan sekarang. Yang dituntut dari orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan pelayanan yang adil terhadap orang lain yang tidak seagama. (Al-Shura:15). Dengan demikian orang Islam tidak mengalami sebarang dilemma dalam melaksanakan keadilan dan melakukan kebaikan terhadap orang bukan Islam. Urusan kita bukan memaksakan Islam ke atas mereka. Urusan kita adalah melaksanakan perintah Allah memberikan keadilan, bersikap ramah dan berakhlak mulia terhadap semua, termasuk yang bukan-Islam. Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan oleh orang Islam ke atas orang bukan Islam. (Al-Ma’idah:8).

Memberikan pelayanan yang adil terhadap orang bukan Islam adalah amanah Tuhan dan Rasul-Nya ke atas kita semua. Kegagalan bersikap adil terhadap mereka adalah dosa yang membawa risiko berat sebagaimana yang diperingatkan oleh al-Rasul s.`a.w. lewat sabda riwayat Ahmad dalam musnadnya:

Demikianlah secara umum sikap Islam terhadap pluraliti agama, sikap yang disemangati ruh al-samahah, jiwa toleransi yang tulus dan murni. Yang diakui bukan hanya hak kebebasan menganut agama pilihan masing-masing, tetapi juga hak untuk mengamalkan ajarannya - melaksanakan kewajipannya dan menghindari larangannya. Jika bagi Yahudi haram bekerja pada hari Sabtu, ia tidak boleh dipaksa bekerja pada hari tersebut. Jika bagi orang Kristian wajib ke gereja pada hari Ahad, maka ia tidak boleh dihalang melakukannya. Seterusnya, umat Islam jangan menghalang orang bukan Islam melakukan sesuatu yang halal di sisi agama mereka, walaupun ia haram di sisi Islam.

Mereka boleh makan babi dan boleh minum arak, dengan catatan: asal tidak sampai menyinggung perasaan rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Yang penting harus ada kesediaan saling memahami sensitiviti masing-masing, dan jangan sampai berlaku paksa-memaksa. .

Sebagai umat yang bertamadun dan berbudaya, semua pihak seharusnya memiliki kepekaan yang tinggi terhadap nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Umat Islam khususnya harus dapat mengapresiasi dan menghayati kehalusan bahasa al-Qur’an terutama dalam sapaannya terhadap orang-orang bukan Islam. Kepada mereka yang bukan Islam, al-Qur’an selalu menggunakan kata panggilan Ya ayyuha al-nas (wahai umat manusia) atau Ya bani Adam (wahai anak-anak Adam). Kata panggilan sedemikian memang terasa lebih lunak berbanding kata Ya ayyuha alladhina kafaru (wahai orangorang kafir) atau Ya ayyuha al-kafirun (wahai orang-orang kafir) yang tidak digunakan dalam al-Qur’an kecuali pada dua tempat (surah al-Tahrim:7 dan surah al-Kafirun:1).

Khusus bagi orang Yahudi dan Kristian, panggilan untuk mereka ialah Ya ahl al-kitab (Wahai ahli kitab), panggilan akrab yang seharusnya mendekat dan melunakkan. Kedekatan tiga agama serumpun - Yahudi-Kristian-Islam - adalah fakta yang tidak dapat ditolak. Justeru, ketiga-tiganya adalah agama samawi yang berinduk pada agama Nabi Ibrahim `a.s. Yahudi dan Kristian memang menolak kerasulan Muhammad s.`a.w. dan menolak kewahyuan al-Qur’an, tetapi umat Islam beriman dengan semua rasul yang diutus Allah sepanjang sejarah, termasuk Musa dan `Isa `a.s., juga beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah kepada rasul-rasul-Nya dari zaman ke zaman, termasuk Taurat dan Injil.

Katakanlah: “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma`il, Ishaq, Ya`qub, dan anakanaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, `Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepada-Nya-lah kami menyerahkan diri. (Ali `Imran:84).

Mengenai sikap istimewa umat Islam terhadap agama Yahudi dan Nasrani, termasuk juga rasul-rasul dan kitab-kitab mereka, Isma`il al-Faruqi mengatakan, is not courtesy but acknowledgment of religious truth. Islam sees them in the world not as “other views” that it has to tolerate, but as standing de jure as truly revealed religion from God. Moreover, their legitimate status is neither sociopolitical, nor cultura l or civilizational, but religious. In this, Islam is unique. For no religion in the world has yet made belief in the truth of other religions a necessary condition of its own faith and witness. (al-Faruqi, Isma`il R., 1989: 435-436).

Demikianlah asas pijakan cara umat Islam menyikapi ahl al-kitab yang bukan sekadar basa-basi”, tetapi demi memenuhi syarat mengimani kebenaran. Asas itulah juga yang menjadikan makanan mereka halal bagi umat Islam dan wanita mereka boleh dikahwini lelaki Muslim. Kedekatan dan keakraban antara umat Islam dengan umat Kristian khususnya, terbayang pada ayat-ayat awal surah al-Rum yang mengisahkan simpati kaum Muslimin terhadap Rom (yang beragama Kristian) berbanding Parsi (yang beragama Majusi menyembah api),

Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi, di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. (Al-Rum:1-4).

Bagaimanapun, sikap lunak tersebut sama sekali tidak bererti Islam membenarkan kesalahan-kesalahan Yahudi dan Kristian. Orang Islam yang jujur pasti mengkafirkan Yahudi dan Kristian kerana tidak beriman dengan Muhammad s.`a.w. dan kitab al-Qur’an yang diturunkan Allah kepadanya. Demikian pula sebaliknya, orang-orang Yahudi dan Kristian yang jujur (kepada agama mereka) pasti mengkafirkan orang Islam kerana tidak menerima dasar-dasar keimanan dalam agama mereka. Kita berhak melihat mereka dengan kaca mata agama kita, sebagaimana mereka juga berhak melihat kita dengan kaca mata agama mereka. Memang demikianlah jika semua pihak jujur dengan agama masing-masing. Dalam konteks hubungan antara agama keadaan sedemikian seharusnya diterima sebagai suatu yang wajar.

Hakikat adanya perbezaan-perbezaan dalam agama-agama anutan manusia harus diterima apa adanya, tetapi perbezaan tidak harus menjadi penghalang kepada aspirasi hidup bersama secara damai. Seperti yang dinyatakan oleh al-Qaradawiy bahawa keyakinan terhadap kekafiran orang lain tidak bertentangan dengan semangat toleransi antara agama. Perbezaan antara Islam dengan agama Yahudi dan Kristian memang jelas, tetapi tidak ada keberatan di pihak Islam untuk memberikan kedudukan khusus kepada ahl alkitab atas pertimbangan bahawa mereka adalah penganut agama samawi pada asalnya.

Umat Islam dan umat ahl al-kitab pada umumnya berkongsi mengimani Allah, wahyu, alam akhirat dan nilai-nilai akhlak; tanpa menafikan hakikat terdapatnya hal-hal dalam keimanan mereka yang bertentangan `aqidah Islamiah. (Al-Qaradawiy, 1999:4)

Sebagaimana yang telah dibuktikan sepanjang sejarah, Islam telah berjaya merealisasikan toleransi di tengah pluraliti. Dengan semangat tasamuh (toleransi) penganut-penganut agama yang berbeza-beza dapat membina kerukunan hidup bersama tanpa perlu merubah pendirian keagamaan masing-masing. Kita tidak perlu, malah tidak mungkin menerima gagasan pluralis John Hick yang tidak toleran terhadap perbezaan dan cuba memaksakan persamaan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh pengkritiknya, Peter Donovan, bahawa projek pluralisme Hick adalah suatu pemaksaan agar semua agama secara radikal merubah pendirian dan pandangan masing-masing, “It does not allow others simply to be themselves.” Segala keunikan dan kelainan yang menjadi ciri khas sesuatu agama harus dihapuskan demi matlamat penyatuan agama-agama. Pengkritik lain, Gavin D’Costa, menilai bahawa pluralisme gaya Hick yang konon menganjurkan toleransi antara agama itu akhirnya ia sendiri menjadi paling tidak toleran, “The irony about tolerant pluralism is that it is eventually intolerant towards most forms of orthodox religious belief.” Seterusnya pluralisme Hick juga dinilai menjadi lebih eksklusivis daripada segala yang eksklusivis apabila ia menganggap semua agama membuat dakwaan yang palsu dan mitologikal (all religions make false, mythological claims).

Tidak terbayang bagaimana mungkin John Hick dapat mengikutsertakan Islam ke dalam projek pluralismenya, sedang umat Islam tetap percaya bahawa al-Qur’an adalah kitab wahyu terakhir yang diturunkan oleh Allah. Kerana itu ia bersifat final, muktamad dan universal. Keunikan dan ciri khas Islam ini tidak mungkin dikompromikan oleh umat yang jujur dan setia. Inilah halangan besar dari pihak Islam yang dihadapi oleh John Hick. Di samping itu john Hick juga menghadapi halangan-halangan lain dari agama-agama lain, termasuk agama Kristian sendiri.

Membina kerukunan hidup antara penganut-penganut agama yang berbeza, bukan dengan mengkompromikan `aqidah - melepaskan sebahagian daripada keyakinan keagamaannya dan menerima sebahagian daripada `aqidah agama lain. Formula sinting” seperti itu pernah ditawarkan oleh Quraysh Makkah kepada al-Rasul s.`a.w. sebagaimana yang terakam dalam surah al-Kafirun. Jawapan Islam jelas dan tegas menolak kompromi sinkretis, sebaliknya menganjurkan penyelesaian realistik: lakum dinukum wa liya din (kamu dengan agamamu, aku dengan agamaku). Dengan formula ini semua pihak mendapat kebebasan berpegang dengan keyakinan masing-masing, di samping menikmati hak mengamalkan agama yang diyakini.

Memang penyelesaian kepada isu pluraliti agama bukan penyamaan atau penyatuan, tetapi toleransi dan dialog. Dalam kaitan ini al-Qaradawiy menyambut baik dialog antara agama, khususnya antara agama-agama kitabi (Islam-Kristian-Yahudi) atas pertimbangan wujudnya ruang perkongsian (ardiyyah mushtarakah) yang dapat menggembleng kekuatan kolektif melawan gerakan anti-agama, pemikiran permisif, kebejatan moral, pelanggaran hak asasi manusia, peningkatan kadar jenayah, keleluasaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. (Al- Qaradawiy, Y., 1999:60). Ruang perkongsian ini tentunya dapat diperluas meliputi agama-agama lain di luar rumpun agama-agama samawi untuk memungkinkan dialog yang lebih inklusif.

Kepada umat Islam yang terlibat dalam dialog antara agama, al-Qur’an berpesan,
Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.” (Al-`Ankabut: 46).

Ayat di atas mengingatkan kaum Muslimin memilih cara yang terbaik apabila berdialog, berdebat atau berpolemik dengan kaum Ahli Kitab. Di samping itu diperingatkan juga agar kaum Muslimin membuat penegasan tentang persamaan-persamaan atau hal-hal yang dikongsi bersama “Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu.” Tentu ada sebabnya mengapa persamaan-persamaan tersebut harus dinyatakan. Mungkin untuk membangkitkan rasa kedekatan dan kebersamaan agar dialog dapat berjalan lancar dan produktif.


Menyikapi Pluraliti Budaya dan Politik

Sebagaimana kita menerima kemajmukan agama dalam pengertian al-ta`addudiyyah aldiniyyah seperti yang digariskan dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan huraian para ulama, kita juga menerima kemajmukan budaya yang diletakkan di atas prinsip dasar kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Kita tidak boleh melawan sunnatu ‘Llah, hukum penciptaan makhluk yang selamanya berbeza-beza. Yang disebut budaya pada umumnya adalah penjelmaan nilai-nilai yang mengakar pada tradisi warisan, terutama tradisi keagamaan. Jika setiap orang berhak menikmati kebebasan beragama, maka secara konsekuensial berhak pula untuk memiliki jati diri budaya. Dasar Islam dalam menghadapi fenomena pluraliti budaya bukan perbenturan, bukan sira’ dan bukan clash of civilizations. Dasar seperti itu bertentangan dengan semangat toleransi dan cita-cita hidup bersama. Justeru, semangat di sebalik clash of civilizations adalah keengganan menerima pihak (budaya) lain, dan seterusnya ingin membunuh budaya lain itu.

Akhirnya nanti yang tinggal hanya satu, iaitu budaya yang menjadi pemenangnya. Ini jelas bertentangan dengan dasar Islam yang selamanya siap menerima orang lain (qabul al-akhar) dan siap untuk hidup bersama secara damai.

Dasar budaya “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan” tidak dapat menerima kaedah melting pot atau kawah peleburan jati diri budaya. Cara yang benar bukan memaksa semua kaum melebur jati diri budaya masing-masing dalam suatu proses yang nanti akan melahirkan jati diri bersama, jati diri baru yang bukan lagi jati diri aslinya.

Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan” bererti membenarkan pengekalan kepelbagaian, tetapi harus dikawal jangan sampai membawa konflik, perbenturan dan perpecahan. Kerana itu diperlukan suatu bingkai kukuh yang menyatukannya. Dalam konteks Malaysia, bingkai kesatuan itu boleh berupa kesetiaan kepada Yang Dipertuan Agong, Rukun Negara, bahasa kebangsaan, lagu Negaraku, bendera Jalur Gemilang, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kesepakatan-kesepakatan lain yang mengekspresikan aspirasi nasional. Hakikatnya, kepelbagaian budaya bukan suatu yang asing bagi masyarakat Dunia Melayu. Justeru, tamadun rantau ini adalah tamadun kepulauan yang sangat beragam. Untuk menangani fenomena keragaman budaya serantau itu, para leluhur kita memiliki kebijaksanaan sendiri, wisdom kebudayaan yang terungkap dalam slogan Bhinneka Tunggal Ika yang bererti pelbagai tetapi tetap bersatu.

Dalam Amanat Pimpinan Muktamar Nasional Keenam 2012, kita telah mengangkat Piagam Madinah sebagai acuan pembinaan bangsa Malaysia, atas pertimbangan bahawa ia adalah sebuah model unggul pembinaan satu ummah yang bercirikan kepelbagaian. Memang piagam ini dilatari fenomena pluralistik - kepelbagaian kabilah, suku dan agama. Semangat yang mendasarinya adalah untuk membina kesatuan tanpa menghapuskan perbezaan. Agenda besar membina kesatuan dilaksanakan dalam dua tahap penting. Tahap pertama, membentuk kesatuan keagamaan yang menggabungkan seluruh kabilah dan suku yang beragama Islam. Kesatuan inilah yang disebut ummah diniyyah (umat keagamaan) yang eksklusif. Tahap kedua, membentuk kesatuan politik yang meliputi kaum Muslimin dan bukan-Muslimin. Kesatuan politik inilah yang disebut ummah siyasiyyah yang sifatnya lebih inklusif, kesatuan yang disemangati kesediaan qabul al-akhar, (menerima orang lain) untuk hidup bersama secara damai dan harmonis. Yahudi yang diiktiraf sebagai ummah diniyyah tersendiri, bergabung dengan umat Muslimin membentuk kesatuan ummah siyasiyyah negara Madinah.

Demikianlah, sebuah model dasar kewarganegaraan dan contoh pembinaan bangsa yang dirintis oleh Piagam Madinah Seluruh warga mendapat jaminan hak mengekalkan agama dan budaya masing-masing, tetapi menyatu dalam sejumlah kesepakatan, termasuk kesetiaan kepada pimpinan al-Rasul s.`a.w., dan tanggungjawab bersama mempertahankan negara (Madinah). Demikianlah terbentuknya suatu ummah yang menepati formula dasar kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”.

Piagam Madinah adalah jelmaan prinsip kesatuan, kesamaan dan kemuliaan insaniah yang mengakar kukuh dalam ajaran Islam. Sepanjang hayatnya, al-Rasul s.`a.w. telah berjuang melawan `asabiyyah jahiliyyah, fanatisme kesukuan yang menolak prinsip dan nilai kebenaran, keadilan dan kesamaan kemanusiaan. `Asabiyyah yang dilawan oleh Islam tidak terbatas pada bentuk `asabiyah yang wujud pada era pra-Islam, tetapi meliputi juga racism masa kini yang didefinisikan sebagai “…the belief that one’s race is superior to another’s and, conversely, that another’s race is inferior. Racism includes beliefs in the behavioral, moral, and intellectual superiority of one’s particular race. A connected development is the hatred of other races.” (Noel, J., 2000:53). Kepercayaan racist seperti itu telah dibanteras oleh Islam yang mengangkat nilai taqwa sebagai ukuran keunggulan, bukan ras atau bangsa. Di atas puing-puing runtuhan asabiyyah, al-Rasul s.`a.w. menegakkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat - keadilan dan persaudaraan insani (al-ukhuwwah al-insaniah) yang merentas perbezaan ras, agama dan budaya.

Justeru, Piagam Madinah bukan sebuah perlembagaan racist yang menginstitusikan racism sehingga menciptakan institutional racism seperti yang didefinisikan oleh Jones, James S., “…those established laws, customs, and practices which systematically reflect and reproduce racial inequalities…whether or not the individuals maintaining those practices have racist intentions.” (Dipetik oleh Jana Noel, 2000:54). Sebaliknya, yang diinstitusikan adalah keadilan Ilahi yang rahmatan li al-`alamin.

Politik Islam dalam konteks masyarakat majmuk harus mendukung dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Penerimaan Islam terhadap al-ta`addudiyyat al-siyasiyyah (kemajmukan politik) harus diertikan sebagai penerimaan terhadap perbezaan pendapat, pemikiran dan strategi dalam pengurusan negara. Perbezaan-perbezaan ini pada hakikatnya tidak lain adalah natijah tabii dari hak kebebasan berfikir dan bersuara, yang memang dijamin oleh Islam. Adalah suatu yang sangat tabii pula apabila perbezaan-perbezaan ini kemudiannya melahirkan parti-parti politik yang berbeza. Sistem demokrasi-Islami memang menerima kepelbagaian parti politik dengan aturan main yang adil, bermoral dan beretika. Parti-parti politik boleh memperjuangkan idea dan program masing-masing, sesuai aturan mainnya, dengan semangat fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, bersaing menawarkan khidmat dan program yang lebih baik, bukan bertarung hancurhancuran.

Parti politik boleh pelbagai, tetapi harus terkawal dalam bingkai kesatuan yang terumus pada kata maslahah - kepentingan negara dan rakyat seluruhnya. Politik memang tidak boleh dipisahkan dari maslahah, kerana memang demikianlah definisi siyasah dalam Islam iaitu tadbir masalih al-`ibad `ala wifq al-shar`i (pengurusan/pentadbiran maslahah manusia sesuai dengan syara`). (Khallaf, `A.W., 1984:6). Dengan demikian parti politik yang perjuangannya bertentangan dengan maslahah, yang ideologinya membawa mafsadah (kerosakan), seperti parti komunis, Fasis, Nazi dan yang sejenisnya tidak dapat diterima kerana telah terkeluar dari bingkai kesatuan yang berpaksikan maslahah.

Kepelbagaian parti politik pada dasarnya boleh membawa maslahah, terutama untuk menghalang kesewenang-wenangan pemerintahan satu parti. Kepelbagaian parti dalam sistem demokrasi berpilihan raya akan memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih yang terbaik, di samping menjamin proses peralihan kuasa secara damai. Selain itu maslahah jugalah yang harus menjadi asas pembentukan tahaluf siyasiy atau pakatan politik antara parti-parti. Memang tidak semua tahaluf dibenarkan oleh Islam. Tahaluf yang bermotif kezaliman, pencerobohan, permusuhan dan kekacauan, jelas tidak dapat diterima. Tahaluf jahat seperti itulah yang ditolak oleh Rasulullah s.`a.w. dengan sabdanya “Tidak ada pakatan (sedemikian) dalam Islam” (La hilfa fi al-Islam). Tetapi tahaluf yang bermotif sihat, pakatan perjuangan kolektif menegakkan keadilan dan melawan kezaliman seperti Hilf al-Mutayyibin dan Hilf al-Fudul, tidak ada sebab untuk ditolak. Mengenang Hilf al-Fudul yang disertainya pada zaman sebelum Islam, Rasulullah s.`a.w. bersabda, “Andainya aku diajak menyertainya pada zaman Islam, nescaya aku sahut.”.

Politik tahaluf boleh membawa maslahah jika dilaksanakan dengan jujur dan bijaksana. Justeru, tahaluf siyasiy dapat mewujudkan kekuatan politik yang seimbang, agar tidak ada lagi pihak yang berani bertindak sewenang-wenang, kerana ada pihak lain yang siap menjadi alternatif. Dalam politik Islam ada ruang partisipasi politik yang disebut muhasabat al-hukkam, mengadili dan meminta pertanggungjawapan pemerintah. Dalam sistem demokrasi, fungsi ini seharusnya dilaksanakan oleh parti yang kuat, yang suaranya didengar dan diperhitungkan. Selain itu politik Islam juga mengakui haqq almu` aradah atau hak membangkang yang diletakkan dalam kerangka kewajipan al-amru bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar. Pembangkangan dalam kerangka amar makruf nahi munkar menurut fuqaha’ Muslimin adalah fardu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh kelompok (ummah) yang mengkhusus untuk peranan tersebut. (Balqarad, Abu Ahmad Muhammad, 2007: 35). Amar ma`ruf nahi munkar harus dilaksanakan dengan cara yang berkesan, dan untuk itu ia harus disampaikan dengan suara lantang (bisawtin masmu`) yang didengar dan diberi perhatian. Dalam kaitan inilah gema dan gegar suara kolektif tahaluf siyasiy dapat memaksa pihak lain mendengarnya.


Cabaran Pembinaan Bangsa Malaysia

Malaysia dengan masyarakatnya yang pluralistik seharusnya dapat ditonjolkan sebagai jelmaan nyata konsep “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Namun realitinya, setelah hampir 60 tahun merdeka, “bingkai kesatuan” kita masih terasa rapuh. Suara-suara rasis masih sering kedengaran mengumandang lantang. Dalam kalangan parti-parti politik masih ada yang terus-menerus memainkan isu perkauman semata-mata untuk meraih kepentingan jangka pendek kelompok masing-masing. Dalam proses pembinaan bangsa (nation building) pendidikanlah sektor yang memainkan peranan kunci. Tetapi Sistem Pendidikan Kebangsaan kita kelihatan belum cukup mampu menggalas misi besar tersebut. Setelah 58 tahun (sejak Penyata Razak 1956) seharusnya kita sudah dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia. Malangnya kita masih ditakuk lama. Yang ada ketika ini hanya rakyat atau warganegara Malaysia, bukan “…sebuah Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.’ sebagaimana yang diaspirasikan dalam Wawasan 2020.

Proses membina bangsa menerusi bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan seringkali terganggu dengan pelbagai kendala. Bahasa kebangsaan sebagai bahasa pemersatu dan wahana pembinaan bangsa tersingkir dari posisi dan peranan strategiknya apabila bahasa Inggeris kembali mengambil alih tempatnya sebagai bahasa pengantar. Inilah kendala terbesar yang ditempuh oleh sistem pendidikan kita dalam melaksanakan misinya. Dalam buku mereka, Educational Issues in Multiethnic Malaysia, Tan Yao Sua dan R.Santhiram mengatakan, The re-emergence of English as a medium of instruction has certainly eroded the role of the national language as the main medium of instruction in the national educational system. Since this role is also tied to the nation building process, it has thus joepardised the integrative function of the national language. As early as 1956, the integrative role of the national language has been clearly spelt out by the Razak Report and since then, the national language has had considerable success in playing its role (see Chapter 1). But things changed with the re-emergence of English as a medium of instruction in the national educational system. The erosion of the integrative role of the Malay language is most serious at the private institutions of higher learning where English is the main medium of instruction…. It is most likely that Students who go through private higher education will ultimately adopt English as their lingua franca and this is detrimental to the nation building process. (Sua, Tan Yao & R. Santhiram, 2014: 178).

Dasar yang melumpuhkan peranan bahasa kebangsaan sebagai kekuatan pemersatu itu sebenarnya tidak lahir dari keinginan rakyat. Perubahan dasar bahasa tersebut berlaku hanya kerana menuruti kemahuan elit parti pemerintah, dengan hujah yang sangat lemah iaitu untuk memacu kemajuan ekonomi dan teknologi. Hanya setelah mendapat bantahan para pejuang bahasa dan rakyat awam, barulah pemerintah melunak. Tetapi pelaksanaan dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sudah telanjur sedemikian jauh, terutama di institusi-institusi pengajian tinggi swasta yang kini sedang berkembang pesat, dan telah memasuki arus perdana pendidikan negara. Entah berapa lama lagi masa yang akan diambil untuk mengkoreksi kesilapan yang sebesar itu.

Tidak siapa pun yang menafikan keperluan menguasai bahasa Inggeris, tetapi menobatkannya sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dengan menyingkirkan bahasa Melayu adalah suatu pencabulan terhadap kedaulatan bahasa kebangsaan negara, dan sekaligus penggagalan terhadap peranan integratifnya. Isu ini menjadi semakin serius jika dikaitkan dengan teori penjajahan bahasa, penjajahan budaya dan penjajahan sosial. Andainya teori itu benar bahawa pengglobalan bahasa Inggeris adalah sejenis penjajahan bahasa (linguistic imperialism) yang menjadi bahagian daripada penjajahan budaya (cultural imperialism) maka akibatnya sudah dapat dipastikan: penyebaran bahasa Inggeris tidak akan terpisah dari Amerikanisasi yang berhujung pada pertukaran jati diri. (…the global spread of English would devotail with Americanisation, leading to identity change in periphery-English countries). (Sua, Tan Yao & R. Santhiram, 2014:179).

Lebih mencemaskan lagi jika dikaitkan pula dengan teori bahawa pengembangan bahasa Inggeris akan membawa kepada English linguistic hegemony (hegemoni bahasa Inggeris). Hegemoni seperti yang didefinisikan oleh Gramsci ialah, “…a process in which the ruling class succeeds in persuading the other classes of society to accept its own moral, political and cultural values.” Hegemoni bahasa ternyata membawa motif tersirat - penerapan nilai-nilai (moral, politik dan budaya) yang melekat pada bahasa (Inggeris) dalam kehidupan masyarakat awam. Samalah dengan penjajahan sosial (social imperialism) yang berpuncak pada “…the transmission of the norms and behaviour of a model social structure embedded in the language.” (Sua, T.Y., & R. Santhiram, 2014: 179-180). Bahasa Inggeris memang perlu dipelajari, dan pengajarannya perlu diperbaiki, tetapi harus disertai kewaspadaan terhadap jebakan imperialisme dan hegemoni yang disebutkan tadi. Kita mengharapkan sektor pendidikan lebih komited terhadap aspirasi pembinaan bangsa.

Sementara itu sektor ekonomi pula diharapkan dapat mewujudkan hubungan antara kaum yang lebih meluas dan tulen. Memang telah wujud perkongsian bisnes antara kaum, tetapi masih sangat terbatas hanya dalam kalangan segelintir elit Melayu dan Cina. Perkongsian ekonomi antara kaum seharusnya melibatkan masyarakat yang lebih luas meliputi segenap lapisan. Perkongsian juga harus tulen dalam erti persamaan kompetensi dan peranan. Ketika ini kita masih menyaksikan perkongsian model sleeping partner yang tidak banyak membawa erti kepada hubungan antara kaum. Masih banyak syarikat-syarikat besar milik orang Cina yang melantik tokoh-tokoh Melayu menganggotai lembaga pengarah, tetapi peranannya hanya sebagai penghubung dengan pihak pemerintah, atau untuk memintas kerenah birokrasi. Mereka diberi pemilikan ekuiti, tetapi tidak terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengembangan syarikat.

Model lain yang masih wujud hingga kini ialah model “Ali-Baba” yang juga tidak menepati makna perkongsian (persamaan peranan dan kompetensi). Melayu yang mendapat kontrak, Cina yang melaksanakannya. Mudah-mudahan generasi muda Malaysia akan lebih bersedia melibatkan diri dalam perkongsian ekonomi antara kaum secara yang lebih bererti.


Pemugaran Budaya Dialog

Di tengah zaman yang diwarnai perbenturan, di tengah dunia yang penuh sengketa (Timur lwn Barat, Utara lwn Selatan, Kulit Putih lwn Kulit Berwarna, Kaya lwn Miskin, lelaki lwn perempuan, konservatif lwn liberal, kerajaan lwn pembangkang), kita kibarkan bendera sejahtera (salam), kita kobarkan semangat damai, kita pugar budaya dialog. Justeru, dialog adalah gaya pendekatan Qur’ani yang harus dilestari dan dikembangkan. Dengan kata lain, pendekatan dialog adalah asli pendekatan Islami yang mengakar pada al-Qur’an dan al-sunnah, bukan sekadar sikap reaktif terhadap idea perbenturan tamadun (clash of civilizations) yang diusung oleh Samuel P. Huntington.

Banyak sekali ayat-ayat al-Qur’an yang berupa al-nass al-hiwariy atau teks yang diolah dalam gaya dialog. Al-Qur’an memakai kata-kata yang berpangkal dari kalimat q-w-l (yang membawa indikasi dialog) dengan pelbagai kata terbitan dan tasrifnya (seperti qala, qalu, yaqulu, yaquluna, qul dan lain-lainnya) lebih daripada 1700 kali. Ini menunjukkan besarnya muatan dialog dalam al-Qur’an.

Dialog adalah interaksi pertukaran kata-kata yang bertolak dari sikap mengiktiraf pihak lain (al-i`tiraf bi al-akhar) dengan memberinya peluang menyatakan sikap bersetuju atau berbeza. Al-Qur’an memaparkan pelbagai ragam dialog seperti dialog antara Tuhan dengan para malaikat, dialog Tuhan dengan para rasul, dialog Tuhan dengan syaitan, dialog para nabi dengan kaum mereka, dialog al-akhyar (orang baik) dengan al-ashrar (orang jahat), dialog antara sesama orang baik dan seterusnya.
Budaya dialog harus dibina di atas semangat kesalingan yang kental - saling hormat, saling menghargai, saling percaya, saling bersangka baik, saling memberi dan menerima dalam usaha bersama mencari yang terbaik. Dialog yang sihat, produktif dan berjaya tentunya dialog yang sentiasa terkawal dan terkendali dalam batasan adab dan etika. 

Dalam Islam dialog selalu dikaitkan dengan al-hikmah dalam pengertian yang seluas-luasnya - kefahaman yang mendalam, ketajaman daya renung, kebijaksanaan membuat keputusan dan ketepatan meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Selain dialog (hiwar), Islam juga menggunakan pendekatan tadafu` yang membawa erti saling dorong ke arah kebaikan. Ia tidak sama dengan sira` atau sidam yang bererti clash (perbenturan). Pendekatan tadafu` diisyaratkan dalam ayat 34 surah Fussilat:
Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.

Kata idfa` dalam ayat tersebut mengandungi makna menolak atau mendorong pihak lain ke arah kebaikan, sementara caranya pula harus billati hiya ahsan (dengan cara yang sebaik-baiknya). Matlamat tadafu` bukan permusuhan, bukan pertarungan hancurhancuran, tetapi merubah lawan menjadi kawan. Dalam konteks ketamadunan pendekatan ini disebut tadafu` al-hadarat (saling dorong antara tamadun), yang bertentangan dengan sidam al-hadarat (perbenturan tamadun) seperti yang diusung oleh Samuel P. Huntington.

Memang Islam adalah agama damai. Jika dihadapkan dengan pilihan damai atau perang. Tentu kita akan memilih damai. Tetapi manusia tidak sentiasa dan tidak semuanya waras. Kerana itu perang selalu terjadi seperti yang sedang kita saksikan ketika ini. Di pelbagai rantau dunia, umat Islam menjadi sasaran serangan kejam kuasa-kuasa pengganas. Dalam keadaan seperti ini tentunya umat Islam tidak boleh berdiam diri.

Kita harus melawan kezaliman dengan kekuatan yang mampu menghajar bangsa biadap seperti Yahudi Zionis dan sekutu-sekutu yang sebulu.


Khatimah

Gerakan Islam dalam masyarakat majmuk harus memiliki wawasan ta`addudiyyah yang berpijak pada realiti, dipandu wahyu, dibimbing akal sihat, dijiwai rahmat sejagat. Dengan wawasan keislaman, keinsanan dan kemalaysiaan kita bina bangsa Malaysia bersatu yang berkongsi masa depan, berbagi hak dan tanggungjawab antara Muslim dan bukan Muslim: lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma `alayna.

Dengan semangat ini kita hayati puisi S.N. Usman Awang yang mengabadikan sebuah idealisme - bangsa Malaysia yang bersatu dalam kesamaan dan kebersamaan:


SAHABATKU
(Kepada Dr. M.K. Rajakumar)

MENEMUIMU ketika remaja dulu
ketika kemarahan rakyat bermula
di kota raya yang memancarkan suara-suara baru
aku mengenali sekumpulan generasi mahasiswa
dalam keghairahan menggenggam idealisme
menolongku memperteguh keyakinan
persahabatan dan persamaan rakyat
impian mewujudkan suatu dunia baru.

Sahabatku,
Suatu bangsa merdeka yang kita impikan
terasa masih jauh dari kenyataan
kemarahanku menjadi kepedihan
bila kita dipisah-pisahkan
jarak itu semakin berjauhan.
Aku dapat gelaran “bumiputera” dan kau bukan.

Di klinikmu masih kutemui keramahan
ketika jantungku hampir dilumpuhkan
engkau pertama mendengar degupannya
menyukat tekanan darah di salur nadi
melihat paru-paru tuaku kehitaman bersawang.
Asap rokok yang sangat kau benci.

Percayakah?
Aku dapat pula mendengar detak jantungmu
detak jantung yang dulu
kehidupan baru untuk masyarakat baru
impian suatu bangsa merdeka
kebenaran dan keadilan yang sama
sebagaimana pesan nenek moyang:
'Hati kuman sama dicicah
Hati gajah sama dilapah’.

Bilakah kita dapat memadamkan
perbezaan keturunan yang kian membakar kita
dan membiarkan curahan minyak yang kian menyala
oleh mereka yang sering bermuka dua?

Bilakah kita dapat mempertaruhkan nasib
anak-anak kita yang tak berdosa
dan generasi akan datang keturunan kita
menjadi mangsa keturunan yang berbeza
oleh mereka yang mementingkan laba dan kuasa?

Bilakah kita dapat menembusi jurang perbezaan
kemiskinan dan kelaparan dengan kekayaan yang berlebihan
antara dua golongan masyarakat
suatu janji dan erti kemerdekaan?

Bilakah semua warganegara mendapat hak
layanan dan keadilan yang sama
dikenal dengan satu rupa nama:
Bangsa Malaysia?
Usman Awang 1979/1983.

Demikianlah suara hati seorang seniman kemanusiaan, yang cinta dan kasihnya merentas bangsa, yang setianya utuh pada idealisme bangsa Malaysia yang merdeka. Selamat bermuktamar dan selamat berseminar dalam suluhan sinar hidayah Ilahiah.



Rujukan

Al-Faruqi, Isma`il Raji. “Towards a Critical World Theology”, dlm. Toward Islamization of Knowledge. Virginia: International Institute of Islamic Thought (IIIT).
Al-Mubarak, Hani & Shawqiy Abu Khalil. 1997. Al-Islam wa al-Tafahum wa al- Ta`ayush bayna al-Shu`ub. Dimashq: Dar al-Fikr.
Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Al-Aqalliyyat al-Diniyyah.. wa al-Hall al-Islamiy. Kaherah: Maktabah Wahbah.
--------------------- 1999. Mawqif al-Islam al-`Aqdiy min Kufr al-Yahud wa al-Nasara. Kaherah: Maktabah Wahbah.
--------------------- 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
Al-Sahmaraniy, As`ad. 2005. Al-Islam wa al-Akhar. Beirut: Dar al-Nafa’is.
Al-Tuwayjriyy, `Abd al-`Aziz ibn `Uthman. 1998. Al-Hiwar min ajl al-Ta`ayush. Kaherah: Dar al-Shuruq.
`Aliy, Sa`id Isma`il. 2011. Al-Muwatanah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Salam.
Bakar, Osman. 2006. The Qur’an on Interfaith and Inter-Civilizational Dialogue.
Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought, Malaysia (IIITM).
Balqarad, Abu Ahmad Muhammad. 2007. Mafhum al-Hizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Mansurah: Dar al-Kalimah.
`Imarah, Muhammad. 2008. Al-Islam wa al-Ta`addudiyyah: Al-Ikhtilaf wa al- Tanawwu` fi Itar al-Wihdah. Kaherah: Maktabat al-Shuruq al-Dawliyyah.
-------------------- 2006. Al-Mawqif min al-Hadarat al-Ukhra. Kaherah: Maktabat al- Shuruq al-Dawliyyah.
--------------------- 2005. Al-Islam wa Huquq al-Insan: Darurat…La Huquq. Kaherah: Dar al-Salam.
Jabr, Dandal. 2006. Al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyat wa Tadawul al-Sultat fi al-Siyasat al-Shar`iyyah. `Amman: Dar `Imar.
Kazemi, Reza Shah. 2006. The Other in the Light of the One. Cambridge: Islamic Texts Society.
Khalil, `Imad al-Din. 2002. Al-Wihdah wa al-Tanawwu` fi Tarikh al-Muslimin. Dimashq: Dar al-Fikr.
Khallaf, `Abd al-Wahhab. 1984. Al-Siyasah al-Shar`iyyah. Beirut: Mu’assasat al- Risalah.
Noel, Jana. 2000. Developing Multicultural Educators. New York: Longman.
Osman, Fathi, 2001.”Islam and Human Rights: The Challenge to Muslims and the World.”, dlm. El-Affendi, Abdelwahab (ed..), Rethinking Islam and Modernity: Essays in Honour of Fathi Osman. Leicester: The Islamic Foundation.
Sua, Tan Yao & R.Sathiram. 2014. Educational Issues in Multiethnic Malaysia. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Sukardja, Ahmad. 1995. Piagam Madinah dan Undang-undang Dasar 1945. Jakarta: Penerbit Universitas Indonesia.
Usman Awang. 2009. Sahabatku: Puisi-puisi 5 Bahasa. Subang Jaya: UA Enterprises.
Zadeh, `Aqil Sa`id Mulla. 2010. Al-Hiwar Qimatun Hadariyyah. Jordan: Dar al- Nafa’is.


(Amanat Kepimpinan Muktamar Nasional Wadah Pencerdasan Umat Malaysia ke 8)
ILSAS: 20092014.