Monday, January 2, 2012

Dr Siddiq Fadil : Pengukuhan dan Pemantapan Gerakan Islam

Dr Siddiq Fadil, Muzakarah Qiyadah ke 4 WADAH-ABIM-PKPIM, Sg Ramal Dalam

Alhamdulillah, dapat diteruskan rutin perhimpunan gerakan walaupun mungkin dengan penampilan saya yang kurang bertenaga berbandingkan anak-anak muda yang begitu garang sekali.

Kita berada dalam sebuah gerakan - harakah- movement. Hadir dahulu pada satu masa apabila orang belum mengetahui tentang harakah kecuali kelab, persatuan dan pertubuhan. Kita namakan Harakah al Shabab - Muslim Youth Movement. Dengan penamaan seperti itu, kita harus pasti bergerak dan menggerakkan. Kalau tak gerak apa ada pada gerakan.

Jangan cemar istilah pencerdasan jika tidak cerdas. Gerakanlah umat ke arah pencerdasan - taghyirul waqi'  wa tahsinu - merubah realiti semasa dan memperbaikinya.

Syura
Kita harus cukup kuat. Kemenangan itu selain pertolongan Allah swt adalah faktor manusia yang mendokong perjuangan itu.

"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mu'min."
Pertolongan Allah swt dan kekuatan mu'min. Human factor adalah wa bil mu'minin. Pertolongan Allah tergantung kepada kualiti mu'min pejuangnya. Ini termasuk mu'min yang menghargai dan menghayati perintah-perintah Allah swt  termasuk perintah syura.

"Dan bagi orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat (syura) antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka."  42:38

wa syawirhum fil amr - dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu (3:159) adalah fi'il amar - ayat perintah wajib.

Ayat 42:38 memuji kualiti orang mu'min yang responsif kepada perintah Allah swt, melaksanakan solat, berurusan dengan syura dan menginfaq sebahagian rezki. Syura diletak pada ayat itu di antara solat dan zakat. Mana mungkin diletakkan begitu penting untuk lebih serious melaksana syura dan juga serious kepada sesiapa yang melanggar syura. Syura adalah lebih daripada urusan berorganisasi, ia urusan agama dan membawa barakah.

Kenyataan-kenyataan kita tentang isu fitnah dan qazaf telah dihasilkan melalui syura am dan syura khas. Kita telah juga menegaskan semula dan menambah melalui persidangan syura khas bahawa sesiapa tidak bersetuju dengan keputusan syura adalah tidak mewakili jamaah.

Apakah keputusan kita:-
1. Kita tuntut isu ini diselesaikan secara syara'
2. Umat kita diingatkan supaya jangan ikut dan tunduk tanpa keadilan dan bukti-bukti syara' - nanti hilang kelayakan kesaksian. Ini adalah aturan syara'
3. Hukum qazaf (menuduh liwat dan zina) adalah berat hingga kerana itu diperincikan oleh syari`at. Contohnya, seorang hakim yang bersaksi bersendirian atau pun bersama 2 saksi yang lain ( atau 3 saksi lyang lain gugur status hakimnya) pun tidak layak malah tidak boleh menceritakan apa yang dia lihat tanpa bukti kesaksian yang cukup.
4. Menyebarkan tuntutan yang benar berasaskan syari`at adalah amanah dan tanggungjawab agama. Kita perlu menyelamatkan umat daripada kefasikan dan kehilangan kelayakan kesaksian.

Tentang salah atau betul keputusan syura bukan jaminan tetapi yang penting adalah melaksana perintah Allah swt dan melakukan terbaik menurut kiraan kita. Itulah yang membawa barakah. Pada perang  Badr, orang-orang  Islam telah membuat keputusan tentang tawanan-tawanan mereka atas dasar keperluan mendesak komuniti Islam waktu itu yang masih baru dan serba kekurangan. Umar al Khattab tidak bersetuju. Turunlah ayat al qur'an yang menegur keputusan itu adalah salah tetapi Allah tidak menurunkan azab. Umar pula tidak mendabik dada walaupun dia betul. Umar turut akur kepada keputusan yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabah r.a.

Begitulah dengan Perang Uhud, Rasulullah s.a.w. akur kepada keputusan syura untuk keluar dari Madinah untuk mempertahankannya.

Ada masalah pada diri apabila ahli menolak keputusan syura.  fi qulubihim maradun fazadahumullahu marada - " dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya." Mana mungkin diperlekehkan syura atas alasan tidak sama dengan taraf sahabah seolah menolak ayat dan hadith. Ini adalah masalah ananiyah - ego, merasai diri lebih baik - ana khairu minhum.

Penyakit itu ditambah-tambah macam kurap apabila digaru.

Pantang harakah islamiyyah pada 3 perkara:-
1. hawa nafsu yang diikuti - ingin unggul, ingin menjadi besar
2. kedekut yang dipatuhi, dituruti, diikut-ikutkan
3. kagumi pendapat sendiri - dia betul orang lain salah, fakta-fakta dinafikan

Dalam syura, tiada siapa yang kalah dan tiada yang menang. Kadangkala keputusan dicapai  secara undian, tetapi ini tidak harus disalahtafsir. Yang menang adalah syura! Jangan dendami kemenangan itu.

Untuk itu, kita akan menganjurkan persidangan khusus kefahaman syura, syarat dan pelaksanaannya supaya tidak dianggap meeting biasa.

Pemuda

Tonggak kekuatan kita adalah generasi muda. Kita sangat bergantung kepada generasi muda. Apa lagi pada gerakan yang berteraskan pemikiran. Sebahagian pejuang dan pendokong gerakan fikrah akan lenyap jika muflis idea. Kita survive selama 40 tahun kerana fikrah kita masih kuat. Jika tiada idea maka habislah gerakan. Kekuatan fikrah pula sangat terkait dengan kekuatan kepemudaan.

Apabila Parti El Nahdah memenangi pilihanraya Tunisia, iaitu satu kemenangan hasil kebangkitan orang-orang muda, yang didahului thaurah al syabab, maka telah dibacakan, dikumandangkan kata-kata al marhum Hasan al Banna, pengasas Ihkwan al Muslimun:-

"Wahai anak-anak muda,
Sesungguhnya, sesuatu fikrah akan berjaya apabila diyakini, diimani dengan kuat (you strongly believe in the idea)
dan dianuti, diperjuangkan dengan ikhlas (for example in the politics of ideas and idealism but not politics of ambition)
dan semangat memperjuangkan itu bertambah
dan kesediaan untuk bekerja, beramal dan berkorban untuk merealisasikannya
Semua unsur-unsur ini iman, ikhlas, semangat, amal, pengorbanan..adalah ciri-ciri kepemudaan."

Siasah Syar'iyyah

Kita perlu pertahankan fikrah dalam ABIM dan kekuatan kepeloporan sesuatu idea, konsep, gagasan. Kita perlu beri perhatian dan berperanan dalam isu "Islam, Melayu, madani, pluraliti dan lain-lain isu besar".

Bagaimana agar dua trend besar Islam dan demokrasi tidak bertembung tetapi supaya bertemu dengan harmoni. Jika berlaku pertembungan atau "clash" maka ini satu tragedi besar dunia.

Isu hak asasi bergantung kepada kekuatan masyarakat madani. Civil society - al mujtama ul ahli atau al mujtama ul madani harus kuat. Sekolah-sekolah tajaan masyarakat madani harus setanding tajaan pemerintah.

Kenapa tidak kita lanjutkan wacana kemajmukan - pluraliti - fiqh al ta'adudiyah - fiqh pluraliti, sesuatu yang Anwar Ibrahim telah mula bentangkan pada ucapan dasar ABIM pada 80'an.

Kita perlu pertahankan ketunggalan WADAH sebagai wadah pasca ABIM dan mengelak fenomena unpardonable sin atau fatal  mistake or a disaster jika ada perpecahan. Kita harus mengetahui sejarah dan tidak melakukan kesilapan - not knowing is not an excuse.

Kita berperanan berpolitik sebagai gerakan Islam. Kita telah menyumbang yang  terbaik kepada partai-partai. Kita harus mendekati rakyat semaksimum mungkin.

50 tahun lamanya, mereka yang berkuasa telah berleluasa, tanpa takut atau menghiraukan langsung tentang pandangan rakyat atau public opinion. Mereka telah membudayakan rasuah. Jika dilihat kepada Indonesia, ada pemerhati menulis bahawa dosa Soeharto bukan sahaja melakukan rasuah. dosanya lebih besar kerana dia membudayakan rasuah. Dia dikatakan mempelopori "rasuah berjamaah".

Apa yang dilalui dalam bentuk ketidakpatuhan dan pengkhianatan kepada harakah bukanlah baru dan telah dilalui organisasi Islam lain di tanah air sekalipun. Apakah sebenarnya yang dikehendaki golongan ini adalah habuan. Peristiwa perang Uhud mengingatkan kita "Di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada yang mneghendaki akhirat." 3:152

Nampaknya, habuan mudah diperolehi dengan mencaci dan mencerca Anwar Ibrahim. Malah ada orang yang sanggup mengaibkan diri sendiri dalam usaha mengaibkannya. Sehinggakan ada pemerhati di luar organisasi apabila melihat orang yang mengaibkan dirinya itu mengungkapkan kata-kata "apakah untuk habuan dunia, dia sanggup menggadaikan dirinya?" Begitulah akibatnya apabila melampau dan ketelanjuran.

Kita berasa amat bersedih apabila Anwar Ibrahim dihina begitu sekali dihadapan kita. Marilah kita menunaikan solat hajat pada Jumaat 6 Januari ini jam 4.30 pagi semoga Allah memberi keselamatan dan melindungi seorang yang begitu berjasa dan telah teraniaya sejak usia muda hingga ke usia tua, kita menolong seorang kawan, seorang sahabat yang telah memberikan kepimpinan, inspirasi, ilmu, tunjuk ajar, modal dan model gerakan Islam walaupun bukan dalam bentuk sumbangan material.



No comments: