Showing posts with label gerakan Islam. Show all posts
Showing posts with label gerakan Islam. Show all posts

Thursday, April 4, 2013

SAHABAT SEJATI




ku sudah merasa
sakit dan kesukarannya
terjatuh kubangkit jua
terus melangkah
ku tidak mengambil endah
walaupun ada yang menghina
keringat kucurah
demi harapan rakyatnya
(Pasti Kau Ingin, EXIST)



Tuduhan oleh seorang tokoh yang mengaku pernah menjadi sahabat Anwar Ibrahim, pada satu forum yang disiarkan akhbar Utusan berlegar tentang salahlaku moral (yang disangkal sebagai Qadhaf – jenayah menuduh tanpa bukti), menganuti pluralisme (tuduhan penyamaan agama berdasarkan satu ucapan) dan menjadi penyokong Yahudi serta mengutamakan agenda Barat. Tuduhan-tuduhan liar yang basi dan lama yang masih diputar terus menerus.

Satu perkara yang mungkin terlepas daripada pandangan ex –sahabat ini adalah dia sendiri yang membuat keputusan memutuskan persahabatan itu. Tidak ada rekod di mana-mana bahawa Anwar Ibrahim memutuskan persahabatan dan mengkhianati kawan-kawannya.

Kenapa agaknya media regim dan agen-agennya mereka tergamak dan terdorong berkempen besar-besaran untuk menonjolkan dan menggembar-gemburkan pengakuan bekas sahabat ini meninggalkan Anwar?  Satu kelebihan Anwar Ibrahim adalah kelebaran jaringan persahabatannya yang unik, akrab dan lingkaran jejak kenalannya boleh dikesan di serata dunia. Kekuatan karisma inilah yang  ingin dieksploit secara songsang - reverse psychosis dan dengan kaedah yang amat jelek bagi menjatuhkan  pula karakternya melalui pengakuan sahabatnya sendiri.

Kedua, tuduhan salahlaku moral yang sungguh mengaibkan bagi Anwar Ibrahim yang juga merupakan kekuatannya terkenal kerana Anwar dengan sahsiah unggul, kedudukan pendirian moralnya, kehormatan keluarganya dan pegangan prinsipnya. Ketegasan Al Qur’an dan al Sunnah tentang kewaspadaan menuduh orang baik-baik, kedudukan Shariah menentang fitnah dan kejelasan hukum serta ancaman hadd terhadap jenayah qadhaf juga ingin dicabar atau diketepikan saja melalui acara pendedahan seorang  bekas sahabat.

Ketiga, tuduhan terhadap iltizam agamanya, pengetahuan mendalam, komitmen tinggi dan identiti diri peribadi Anwar dengan perjuangan Islam, gerakan kebangkitan Islam, pemikiran Islam dan kemampuannya mentadbir negara majmuk dan plural. Seluruh usaha Islamisasi, pembangunan institusi, membangunkan falsafah pendidikan sepadu. iktikad dan kewibawaannya memimpin umat ingin dipadamkan semata-mata dengan kata-kata nista seorang bekas sahabat.

Keempat, tuduhan terhadap Anwar yang memang terkenal dan konsisten berjuang menentang kezaliman Israel bahkan menentang kezaliman mana-mana pihak terhadap rakyat yang ditindas, diceroboh samada Bosnia, Afghanistan, Iraq, Patani, Mindanao dan Rohingya atau lain-lain. Persahabatan rapatnya dengan pemimpin pejuang Palestin terdiri daripada semua faction – kumpulan baik Hamas atau Fatah dan komitmen tegar selama ini kepada perjuangan Palestin ingin dipadamkan dengan hanya dengan percakapan seorang bekas sahabat.

Kelima, tuduhan perhubungan sulit dengan Barat, kerana keupayaannya mengadakan perhubungan, talian diplomatik dan mendapat pengiktirafan antarabangsa samada di bidang agama, sosial, ekonomi, kewangan dan politik. Padahal kekuatannya adalah keterbukaannya, kemampuannya membina rangkaian kenalan merentas nasionaliti, kekuatan hujah, kepetahan berbahasa, kepandaian sastera, menggarap filosofi, keupayaan pengolahan dan mengartikulasi pelbagai isu serta cakna permasalahan semasa. Pendekatan pertengahan - wasatiyyah dan berprinsip yang bukan ala Taliban dan juga bukan Pak Turut Barat, yang membawa wajah Islam dengan pendekatan yang bermaruah dan mampu berdialog melibatserta secara konstruktif – constructive engagement, ingin dilenyapkan oleh tuduhan bekas sahabat.

Semua tuduhan-tuduhan ini dianjurkan semata-mata untuk meragukan dan mengelirukan umat serta rakyat daripada mempercayai tentang keikhlasan, kejujuran dan ketulusan seorang pemimpin masakini yang dikatakan sahabat seperjuangan dan seangkatan selama 30 tahun lamanya. Semuanya menggunakan psikologi songsang - memalingkan kebaikan dengan menyerang ciri-ciri kebaikan itu.

Daripada zaman persekolahannya, di peringkat remaja, diceritakan menaiki skooter ke Sekolah Izuddin Shah mencari dan menemu rakan-rakan demi perjuangan- sebagai contoh - semasa memimpin pelajar, rakan-rakan MC Old Boys, mahasiswa dan Alumni UM, persatuan, belia, gerakan, WAMY, IIFSO, FOSIS, ISNA, sesama tahanan ISA pelbagai bangsa, ulama dan tok-tok guru, seperti Baba Salleh, Sheikh al Zuhaily, al Faruqi, al Attas, menyertai inter faith dialogue, bishop-bishop, pemikir-pemikir luar seperti Esposito, ahli strategi, pelbagai aliran pemikiran, tokoh-tokoh politik, UMNO, PAS, DAP, social democrat, korporat, ada yang berbangsa Yahudi, ahli bisnes, ahli kabinet Indonesia, orang Melayu , Cina, India, Iban, Kadazan - semuanya dijadikannya rakan.

Bayangkan pada awal 80’an Raja Qatar memesan kepada Dr Yusuf Al Qaradawi supaya datang ke sini bagi menemuinya sebagai seorang pemimpin muda gerakan syabab Islam di Malaysia. Persahabatan di antara mereka berdua cukup bermakna dan berkekalan sehingga hari ini dan telah banyak mempengaruhi dan menjayakan gerak kerja kebangkitan umat, mempertautkan ukhuwwah, mengukuhkan pendekatan wasatiy, hubungan Islam peringkat antarabangsa dan usaha islah kontemporari. Inilah contoh persahabatan sejati. Begitulah juga dengan al marhum Ustaz Fadzil Noor yang istiqamah mempertahankan dan membela Anwar sejak tahanan ISA tahun 70’an, kena fitnah dan tahanannya pula di Sg Buloh sehingglah dia pulang ke rahmatullah. Itulah sahabat yang terpuji. Semoga Allah swt sentiasa merahmati.

Memang boleh saja muncul seorang bekas sahabat datang menuduh skandal yang berat tanpa bukti tetapi akan ada lebih banyak lagi sahabat-sahabat  di sisi Anwar Ibrahim samada seorang tokoh, orang awam atau orang kampung, baik Muslim atau Non Muslim yang akan membela dan lebih setia kepada persahabatan dan prinsip.

Ex sahabat itu pada satu ketika pada tahun 1995 pernah berbisik di satu program kem bina negara bahawa dia mengetahui komplot dan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim yang pada waktu itu sedang menaiki tangga TPM bersama Team Wawasannya. Dia mendedahkan maklumat tentang surat-surat beracun yang sengaja disebarkan bagi menjatuhkan sahabatnya.

Tentu ex-sahabat ini ingat kata-katanya sendiri berupa perumpamaan dan  bidalan seperti “Jangan kencing berdiri atas papan, nanti terpercik” – supaya tidak gopoh gapah dalam politik. Juga, andaiannya bagaimana untuk menakhoda bahtera apabila dialun ombak dan dilanda badai, “Kita berlayar ketepian pantai, kemudian kita undur semula bagi mengelak badai, menelusuri alunan ombak supaya nanti selamat berlabuh.”

Begitulah nasihat dan kata perangsangnya sebelum datangnya ribut sebenar yang melanda. Ujian sebenar yang tiba pula bukan calang manusia mampu menghadapinya dengan penuh keberanian dan kesabaran walaupun setinggi mana keilmuannya.

Apabila pada suatu ceramah awal era Reformasi, Anwar melaungkan kata-kata masyhur “lawan tetap lawan” dan “ kalau takut risiko, jangan bicara perjuangan”, banyak penyokong-penyokong terkenal seperti Zahid, Ezam, Roslan, Lokman, Ghani dan pemuda-pemuda ketika itu bertempek, bersorak dan bertakbir bersemangat. Ketika itu Anwar mengingatkan hadirin bahawa apabila melangkah ke medan perjuangan, perlu benar-benar melangkah mengharungi onar dengan  sepenuh iltizam kerana melangkah itu nyata bukan lagi hanya hasrat di hati sahaja.

Ini terbukti apabila tidak semua sanggup bertahan di dalam tahanan ISA walaupun selama 10 hari sahaja. Ada ketua pemuda kecundang dan patah semangat tersungkur mengaku kalah dalam tempoh yang begitu singkat. Ada ahli intelek yang dihina begitu rupa sehingga apabila bebas keluar mengecut memencilkan diri dan berpaling tadah. Ramai yang menjadi serik untuk menyertai perjuangan kerana baru tersedar bahawa itulah jalan yang ditempuhi dan dibayar pula harga yang mahal mencalar maruah, menggangu jiwa serta mencelarukan pemikiran. Pengalaman ngeri dan menakutkan sedemikian meninggalkan memori pahit yang bakal menghantui diri kecuali pada jiwa kental diri seorang pejuang.

Ada yang pada awalnya berdegar-degar tetapi tewas akibat tekanan sempit hilang kemewahan dan habis keselesaan. Siapa sangka bekas tokoh korporat terpaksa berniaga direct selling jual agar-agar di bonet kereta selepas ceramah untuk sara hidupnya. Ada yang kecundang disebabkan umpanan, termakan budi dan janji sehingga terikat kepada agenda menyalak dan acara tibai-menibai apabila diarah. Ada yang rebah kerana dendam dan dengki. Ada yang tertiarap apabila menjangkakan tiada lagi laluan mudah bagi kemenangan. Mereka ini semuanya pernah menjadi sahabat tetapi tidak dapat mengerti atau mengisi erti persahabatan bersama seorang pejuang.

Bagaimana mungkin ketokohan dan keilmuwan tidak menghalang bekas sahabat ini terjerumus ke lembah kejahilan dan permusuhan tetapi itulah yang berlaku depan mata kita sekarang?

Bekas sahabat ini barangkali boleh berbangga mengisytihar kepada media massa dengan dia meninggalkan dan mencemuh nama baik sahabat lamanya. Tetapi lebih banyak lagi sahabat-sahabat setia dari segenap pelusuk dunia dan rakyat jelata yang rela bersama pejuang yang sejati tak kira apa tohmahan dan label yang digunakan bagi memburukkan watak yang pada mereka lebih mereka kenali.

Kita yakini orang-orang benar bersama kita. Kita yakini Allah swt bersama orang-orang benar.

Friday, March 8, 2013

SIDDIQ FADIL: DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13


DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
(Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan  Kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).


Pilihanraya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.

Demokrasi dan Media

Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media. Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.

Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya). Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).

Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.

Mengundi Sebagai Kesaksian

Dilihat dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- al- Baqarah: 283.

Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” -- al-Talaq:2. Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” -- al-Hajj:30.

Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2. Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.

Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam orientasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54. Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.

Perubahan Politik dan Politik Perubahan

Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai- nilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti.

Politik perubahan yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.

Sistem Dua Parti

Yang harus menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”. Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.

Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy

Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan dan kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat.

Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- al- Shu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) -- al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara. Memang tidak semua orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)

Tahaluf siyasiy dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).

Seandainya pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?

Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin.

Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:
Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.

Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195). Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.

Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpartisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, “Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya.

Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.

Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik

Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.

Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.

Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi kuasa yang korup institusi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.

Apabila politik sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau mengatakan, Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their government as unable to deliver what they promise, obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly in the pockets of business people. The distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)

Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik. Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan. Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prinsip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, menakut-nakutkan dan lain-lainnya.

Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `ammah.

Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi

Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat  Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…” Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.

Gerakan Islam juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik curang.

KAU INI BAGAIMANA
ATAU
AKU HARUS BAGAIMANA

Kau ini bagaimana?

Kau bilang aku merdeka, kau pilihkan untukku segalanya
Kau suruh aku berpikir, aku berpikir kau tuduh aku kapir

Aku harus bagaimana?

Kau bilang bergeraklah, aku bergerak kau curigai
Kau bilang jangan banyak tingkah, aku diam saja kau waspadai

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku pegang prinsip, aku memegang prinsip kau tuduh aku kaku
Kau suruh aku toleran, kau bilang aku plin-plan

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku maju, aku maju kau srimpung kakiku
Kau suruh aku bekerja, aku bekerja kau ganggu aku

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku taqwa, khutbah keagamaanmu membuat aku sakit jiwa
Kau suruh aku mengikutimu, langkahmu tak jelas arahnya

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku menghormati hukum, kebijaksanaanmu menyepelekannya
Kau suruh aku berdisiplin, kau menyontohkan yang lain

Aku harus bagaimana?
Kau bilang Tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
Kau bilang kau suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku membangun, aku membangun kau merusaknya
kau suruh aku menabung, aku menabung kau menghabiskannya

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku menggarap sawah, sawahku kau tanami rumah-rumah
Kau bilang aku harus punya rumah, aku punya rumah kau meratakannya dengan tanah

Kau ini bagaimana?
Aku kau larang berjudi, permainan spekulasimu menjadi-jadi
Aku kau suruh bertanggungjawab, kau sendiri terus berucap wallahu a`lam bissawab

Kau ini bagaimana?
Kau suruh aku jujur, aku jujur kau tipu aku
Kau suruh aku sabar, aku sabar kau injak tengkukku

Aku harus bagaimana?
Kau suruh aku memilihmu sebagai wakilku, sudah kupilih kau bertindak semaumu
Kau bilang kau selalu memikirkanku, aku sapa saja kau merasa terganggu

Kau ini bagaimana?
Kau bilang bicaralah, aku bicara kau bilang aku ceriwis
Kau bilang jangan banyak bicara, aku bungkam kau tuduh aku apatis

Aku harus bagaimana?
Kau bilang kritiklah, aku kritik kau marah
Kau bilang cari alternatifnya, aku kasih alternatif kau bilang jangan mendikte saja

Kau ini bagaimana?
Aku bilang terserah kau, kau tidak mahu
Aku bilang terserah kita, kau tak suka
Aku bilang terserah aku, kau memakiku

Kau ini bagaimana?

(K.H.A.Mustofa Bisri, 1987)

Rujukan:

Al-Mawardiy, Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam al- Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Al-Mu`askariy, Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum al- Hizbiyyat al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza’ir: Dar al- Khalduniyyah.
Al-Qaradawiy, Yusuf. 1999. Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
George, Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in Singapore. Singapore: NUS Press
Hertz, Noreena. 2003. The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York: Harper Business.
Khalid, Amr. 2006. `Ala Khuta ‘l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al- `Ulum.

Wednesday, May 9, 2012

Dr Siddiq Fadil – Pembinaan Kepimpinan Harakiy: Iktibar dari Kepimpinan Masa Lalu (Bahagian 2)



Gerakan ini tercermin pada diri peribadi paksi – syaksiyah mehwariyah – pemimpin-pemimpin transformatif yang menghayati idealisme perjuangan.

Anwar Ibrahim adalah sosok yang mempunyai idealisme perjuangan gerakan. Dia menghayatinya betul-betul. Dia menyebut ABIM sebagai agen perubahan – agent of change – dia committed – beriltizam betul dengan perubahan, menyeru kepada elemen yang sedar daripada masyarakat. Ekspresi komitmen peribadinya dan iltizam gerakan seluruhnya termasuk komitmen kepada prinsip dan nilai keadilan. Keadilan sosial – distributive justice – melawan ketidakadilan. Ungkapan 70’an “kaya bertambah kaya dan miskin papa kedana” menyiratkan azam untuk melawan ketidakadilan sosial.

Soalan pernah diajukan samada Anwar Ibrahim terkesan dengan ideologi sosialisme kerana pernah menuntut di universiti di bawah pensyarah Syed Husin Ali. Jawapan adalah “tidak ada unsur sosialisme” tetapi yang ada adalah komitmen kepada keadilan sosial. Keadilan sosial bukan semata-mata idea Marxist tetapi Islam itulah keadilan sejagat. Di antara buku yang ditelaah adalah al adalah al ijtima’iyyah  fil Islam  karya Sayyid Qutb.

Sejak waktu itu pun, Anwar Ibrahim kritis terhadap pelaksanaan DEB bukan mempertikaikan niat atau tujuan tetapi perlaksanaannya apabila sebahagiannya hanya menguntungkan golongan elit politik. Hak istimewa Melayu dijadikan hak Melayu istimewa. Dia sangat concern – prihatin untuk membela golongan mustadhafin – memperjuangkan kaum yang tertindas.

Ungkapan al jilul quranil farid daripada karya Sayyid Qutb, ma’alim fil tariq, ada kesan kepadanya dan dia ulangi banyak kali idealisme untuk membina generasi al Qur’an yang unik ini.

Pimpinan berlatarbelakangkan pengajian lokal banyak mempelajari daripada Anwar. Kita diperkenalkan tentang dunia buku-buku luar – karya-karya intelektual dan Islam pun didengari daripada Anwar Ibrahim. Buku-buku bahasa Arab dikerahkan kami membacanya untuk diolah dan disyarah dengan berkesan olehnya.

Anwar Ibrahim berjaya menjadi jurubicara umat – menyahut aspirasi orang-orang kecil dan menggerakkan masyarakat desa. Dia mampu mengartikulasi kerelevanan Islam dalam masyarakat dan kepada masyarakat majmuk – presenting Islam in a plural society. Kita peliharalah anugerah tuhan yang bersejarah ini.

Al marhum Ustaz Fadzil Noor adalah bintang politik tanah air berlatarkan ABIM walaupun sebelum itu dia sudah berkecimpung dengan PAS. Dia seorang yang sangat saling hargai menghargai dan hormat menghormati Anwar Ibrahim.

Apabila dicalon sebagai pengganti untuk Presiden ABIM pertama Ustaz Razali Nawawi, dia berkeras menolak, sebaliknya menganjurkan Anwar sebagai presiden. Mereka saling tolak menolak jawatan itu sehingga akhirnya Anwar menjadi presiden dan Ustaz Fadzil timbalannya. Namun akhirnya, apabila Anwar Ibrahim direhatkan di bawah ISA -  tahanan tanpa pembicaraan – di kem tahanan Kamunting, Ustaz Fadzil memangku jawatan presiden. Ustaz  Fadzil mengemudikan gerakan ketika dilanda fitnah dan mehnah – membela pemimpin gerakan yang teraniaya dan mempertahankan wadah harakah serta kelangsungan penyampaian risalah perjuangan.

ABIM telah dianggap sebagai anti-nasional. Ustaz Fadzil memperlihatkan kompetensinya pada saat yang getir waktu itu. Kemudian pada 1978, telah dipersetujui bahawa dia memasuki PAS secara aktif dan dia terbukti mempunyai landasan – base- dan dia berkebolehan berpolitik.

Pada ketika Anwar berada dalam UMNO, Ustaz Fadzil memperlihatkan ketegasan sikapnya untuk sisi umat dan prinsip politiknya. Tetapi dari segi hubungan peribadi persahabatan mereka terus mesra – saling concern – saling mengambil tahu.  Ustaz Fadzil mempunyai kebimbangan sangat tinggi terhadap nasib Anwar dalam UMNO dan dia bimbang Anwar dikhianati oleh Mahathir dan parti itu. Telahan ini ternyata tepat.

Apabila Anwar dipecat, apabila pemimpin-pemimpin politik belum mengambil sikap, Ustaz Fadzil telah mencari Anwar dan memberikan sokongan kepadanya. Pemerhati telah merakamkan dengan sebak tangisan bahawa Anwar Ibrahim berpelukan dengan Ustaz Fadzil Noor apabila mereka bertemu. Pada peristiwa ini terserlah kesetiaan persahabatan, ketajaman kepimpinan dan kebijaksanaan meraih peluang kesempatan politik pada ketika orang lain belum nampak lagi. Ustaz Fadzil mempertaruhkan kepimpinannya dan posisinya serta partinya tetapi ternyata tepat pembacaan realiti dan perkiraan politiknya.


Ketika dibawa ke pusat rawatan sebelum kembali ke rahmatullah, pemerhati melaporkan al marhum Ustaz Fadzil masih berpesan mementingkan menyelesaikan amanah-amanahnya. Seorang pejuang yang amat berkaliber telah meninggal tanpa tolok bandingnya, pemimpin PAS yang telah membawa impak tinggi kepada corak politik tanah air. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atasnya dan meletakkannya bersama para salihin.


(Tamrin Qiyadi 3G 5/5/2012)





Tuesday, May 8, 2012

Dr Siddiq Fadil – Pembinaan Kepimpinan Harakiy: Iktibar dari Kepimpinan Masa Lalu (Bahagian 1)



Bagi memahami jelmaan kepimpinan transformatif dalam gerakan Islam, memerlukan tinjauan dari dalam. Terdapat orang luar (dari luar negara mahupun luar gerakan) yang menulis dan mengolah tentang gerakan ini – analisis yang tidak menyelami hakikat dalaman gerakan Islam.

Dalam tradisi gerakan, kita bina al qiyadah wal jundiyyahleadership and followership – competent leaders and quality followers. Pemimpin layak, pengikut berkualiti. Ada kemungkinan juga keahlian baik untuk gagal melahirkan pimpinan baik. Maka kita latih pemimpin dan pengikutnya.

Kerana dengan kekuatan kepimpinan dan organisasi, ABIM mampu tampil – as a formidable and credible movement. Sejarah telah terpahat. Tidak boleh percubaan untuk merubah sejarah ABIM kerana dicipta dan dirakam dengan jujur.

Faktor lain adalah gerakan ini lahir pada waktu yang tepat – the right timing – mendahului yang lain dalam fenomena kebangkitan Islam ketika semarak kesedaran Islam bergejolak di seluruh dunia. Apabila sampai ke Malaysia, belum ada yang sedia menyambut. Parti Islam belum siap kerana ketebalan kepartaian dan kepolitikan. Parti nasionalis jauh sekali. Pertubuhan kebajikan Islam pula sudah berusia. Ketika itu, ABIM lahir tepat pada saatnya dan selepas itu datanglah organisasi pelbagai tetapi tidak dapat menempa sejarah kerana terlepas waktunya.

Selain faktor itu, adalah strategi dan pendekatan berhikmah – da’wah dan tarbiyyah. ABIM muncul sebagai organisasi pembelajaran – a learning organization – setiap warga, setiap orang belajar samada pimpinan tertinggi sampai kepada ahli-ahli di ceruk ranting. Tradisi belajar ini dihayati betul sehingga sekarang gerakan mempunyai tradisi intelektual dan keilmuan tanpa tandingan.

ABIM berwajah qiyadah jama’iyyah – collective leadership. Presiden memang ditonjolkan tetapi dia bukan bersendirian tetapi didampingi pimpinan lain yang tidak kurang peranan mereka. Sejarah ABIM bukan pameran catatan bapak Presiden ke bapak Presiden. Bukan seperti mural sejarah tanah air – hanya mempamerkan PM ke PM, seolah-olah gambaran sejarah PM dan Presiden parti saja – peranan rakyat bagaimana?

Tradisi kita sebenarnya – kepimpinan bersama – tiada siapa yang sempurna – perfect – tiada siapa pemimpin ideal. Kepimpinan dalam ABIM alami proses saling lengkap melengkapi – tarbiyyah qiyadiyah – mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama. Sejauh mana pencapaian proses ini, perlu dinilai tokoh-tokohnya.

Kita bukan hanya bina keilmuan dan keintelektualan tetapi juga dimensi kerohanian. Kemampuan organisasi adalah kekuatan ruh dan akal – quwwatul ruh wa aql (ungkapan Malek ben Nabi). Kombinasi dua kekuatan secara seimbang. Walaupun kita tidak mengambil mana-mana tariqah tertentu, namun kita ada tradisi amalan sendiri.

Berlaku proses pendidikan semula – reeducating – mereka yang berlatarbelakang akademik yang cukup kuat – graduan pelbagai bidang, tetapi mereka masih belajar semula - reeducate themselves. Barangkali sukar dilakukan pada suasana lain. Ciri istimewa ABIM adalah menangani pelbagai isu, tampil di pelbagai pentas – dengan kesarjanaan pelbagai. Tradisi belajar bersama hidup melalui usrah. Janganlah ditanya siapa gurunya kerana di situ kita belajar bersama.

Proses inilah yang  menghasilkan amal jama’iyy – gerakerja berjamaah. Adalah tragedi besar jika amal jama’iyy berubah menjadi bekerja bersendirian – one man show. Kekompakan pasukan – compact team – bukan bererti semua AJK berprestasi pada tahap yang sama. Kebijaksanaan pimpinan yang menyelesaikan isu seperti perbedaan prestasi.

Al qiyadah al taghyirtransformational leadership – babak dicipta ABIM pada akhir abad ke 20 – yang dipeloporinya  merubah landskap kehidupan. Sehinggakan umat begitu ghairah – berlaku perubahan budaya bukan sahaja segi pakaian luaran tetapi lebih lebar dan luas daripada itu.

Berlaku dua proses:-
Kepimpinan sebagai mentransformasi manusia
Kepimpinan sebagai pembina budaya – culture builder

Akhir abad ke 20 menyaksikan transformasi keislaman. Qiyadah jama’iyyah melakukan transformasi manusia – ada sebahagiannya berubah secara perlahan, ada secara normal tetapi ada juga bertukar secara radikal kerana ramai juga berubah ke arah penghayatan keislaman secara mengejut. Tidak sedikit pula datang daripada latarbelakang pendidikan sekular dan Barat. Begitulah keajaiban human transformation. Bagi kita sekarang adalah untuk memperkukuhkan transformasi merubah manusia.

Perubahan budaya berlaku pada pendaulatan bahasa, gaya dan pakaian, amalan dan penampilan. Sewaktu dahulu sebelum 70’an, ucapan salam jarang didengari dan dianggap kekampungan. Majlis-majlis dan aktiviti kesukanan turut menjamu minuman keras termasuklah upacara di ceruk desa seperti Selekoh dihidang dengan alkohol. Semua ini telah berubah dengan transformasi melalui da’wah dan pembina budaya. Perkataan-perkataan baru berunsur bahasa Arab memasuki perbendaharaan Bahasa Melayu  melalui gerakan Islam dan pimpinannya mempopularkan istilah harakiy di tengah-tengah masyarakat.

Semua ini tercermin pada diri peribadi paksi – syakhsiyah mehwariyah – pemimpin transformatif yang menghayati idealisme perjuangan.


(bersambung.......)

Tamrin Qiyadi 3G pada 5/5/2012




Wednesday, January 4, 2012

Sorotan lalu: Mengimbas Ingatan Mengerat Ikatan – Anwar Ibrahim


Saya ingin berpesan kepada para pimpinan muda ABIM untuk lebih objektif dalam menilai kepimpinan sewaktu masa kami dahulu. Kita tidak harus lihat masa itu dalam suatu kacamata dan metos yang digembar gemburkan. Kepimpinan sewaktu itu memulai tradisi ilmu, berfikir terbuka dan terlepas daripada kerangka pemikiran yang jumud. Pimpinan-pimpinan muda mampu dan berupaya menggugat gagasan semasa itu contohnya isu pendidikan, sosial dan perubahan. Nyata walaupun kekuatan dan penguasaan tidak secanggih hari ini tetapi pada konteks ketika itu ia bermakna dan ia masih ampuh hasil cetusan generasi muda berusia 20’an.

Pada waktu itu, kita sudah menunjukkan, mempunyai sikap tuntas, coherent untuk menghimbau, memberi idea, boleh mempengaruhi pemikiran semasa dan pemikiran masa depan. Penubuhan UIA, UKM, dasar-dasar pendidikan, kurikulum bersepadu KBSM, sistem kewangan Islam adalah pengaruh dan kesan generasi muda zaman itu.

Kita bukan sahaja bina generasi tetapi membina asas pemikiran akliah, rasional bertunjangkan aqidah Islamiyyah bagi melahirkan syakhsiah ma’nawiyah. Tradisi ilmu dipupuk dalam ABIM, dengan mendalami kitab-kitab klasik berbahasa Arab, karya-karya agong, tulisan ulama-ulama besar.

Tentang aktivisme politik dan sosial, ini hebahan luarannya. Ini pun berasaskan kerangka pemikiran dan tarbiyyah ABIM yang begitu utuh kerana manhaj tarbiyyah. Baik dalam usrah atau tamrin, kita biasakan diri dengan pelbagai karya tafsir Fi Zilal, Ibn Kathir, al Qurtubi. Kita adakan kupasan-kupasan baik kitab-kitab bahasa Arab ataupun bahasa Inggeris. Contohnya karya Hasan al Banna, Sayid Qutb, Mawlana Maududi, juga pemikiran semasa seperti Sayyid Hosein Nasr, Abu Bakar Sirajuddin, Sayyid Naqib al Attas dan Freire. Ini semua diterbitkan dan dipelopori oleh ABIM.

Persoalan-persoalan dilema Melayu, Bahasa Melayu, pendidikan Melayu dan keadaan sosial orang Melayu dikupas dan dibahaskan. Dilema Melayu karangan Dr Mahathir di jawab oleh Al Attas. Idea Revolusi Mental telah dihujah balas oleh ABIM.

Kerangka pemikiran ABIM diasah oleh al Qur’an dan Sunnah dan ia dapat menyelami pemikiran dan isu-isu semasa contohnya modernisation, social change. Pengaruh yang kuat daripada karya-karya Indonesia , ini dapat mengimbangi karya-karya yang agak keras daripada India-Pakistan dan Arab. Pak Natsir dan pimpinan Masyumi membawa konsep negara Islam dengan memikirkan hak asasi dan demokrasi. Beliau menganjurkan  tentang hak-hak rakyat minoriti dalam negara. Kita diperkenalkan olehnya kepada beberapa buku Islam dan Barat untuk menambah kepada idea ini. Contohnya Henry Pirren mengatakan bahawa tanpa Islam tidak akan ada permodenan Barat. Pertembungan Eropah dengan Islam pada masa lampau telah menimbulkan kebangkitan moden Barat. Ini pula dikupas daripada Reconstruction of Malay History oleh Sayyid Hussein al Attas. Sejarah moden itu sepatut bermula dengan kekuatan pengaruh Islam (in the realm of ideas).

Karya Sayyid Naqib al Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu adalah wajib dibaca oleh setiap ahli ABIM. Ada yang tidak faham keseluruhannya tetapi ini prasyarat untuk menganggap diri kita intelektual.

Dengan tradisi ini kita dapat corakkan dan bentuk pemikiran dan budaya masyarakat. Dalam ABIMlah hidup segar dan bugar dengan tradisi membaca, iqra’ dan budaya ilmu. Tidak tahulah mana pertubuhan lain yang macam ABIM yang seperti ini. Kita baca dan kita kumandangkan. Kita suka memperkenalkan jodol-jodol dan idea-idea baru. Kita galakkan karya-karya lain. Contohnya penulis Jepun, Izutzu, menyebut bahawa ada moral jahiliyyah dan ada moral Islam. Menurutnya, moral jahiliyyah itu permisif, tidak kukuh dan tidak tetap. Ia mengikut selera penguasa. Islam dan kedatangan Rasulullah s.a.w. membawa suatu prinsip yang tetap. Kalau sesuatu itu salah bagi rakyat, begitulah ia salah juga bagi penguasa. Tidak ada percanggahan. For the first time ever, there is a morally confident and justifiable principle. Itulah Islam.

Inilah dia generasi yang hebat keilmuan. Mengungkap persoalan, mengungkap dengan yakin berdasarkan kefahaman Islam. Ini jauh lebih superior daripada pimpinan-pimpinan lain. Kita mesti mempertahankan ini kerana ia cabaran kita iaitu membina masyarakat madani berdasarkan iman dan kekuatan ilmu. Tiada karya-karya besar yang tidak dikupas oleh ABIM termasuk karya-karya Barat.

Kita bicara dan dialog berkenaannya dengan yakin walaupun bukan semua pandangan itu kita terima. Tradisi akliah harus dihidupkan. Budaya kita hari ini diarahkan kepada yang haprak dan yang rosak. Sikap penguasa yang dangkal dan persoalan kebudayaan tidak mempunyai wacana sihat dan segar. Tidak ada lagi perbahasan tentang hal-hal dasar dan isu-isu semasa.

Tentang isu bahasa, masyarakat kita tempang. Oleh itu, ABIM tidak pernah berkompromi sedikit pun mengenai soal bahasa.

Kita mempunyai keunikan tersendiri di rantau ini dan oleh itu pada saat yang kritis pada suatu masa dahulu kita memilih untuk bergerak sendiri tanpa dipengaruhi gerakan Islam lain. Ia keputusan yang sukar tetapi kita sedar bahawa ia akan mencorakkan gerakan berpuluh tahun akan datang. Memang hak gerakan Islam untuk bergerak ikut keyakinan mereka. Namun ada kebijaksanaan untuk melihat waqi’ – realiti, halatuju dan masa depan kita.

Sejak PMIUM dan PBMUM dahulu kita telah berjuang mendaulatkan bahasa Melayu. Amat baik sekali sekarang ini ABIM ada bersama Kumpulan Prihatin bagi menganjurkan merubah dan menggerakkan umat bagi memperjuangkan bahasa. Dasar pendidikan sedang dihumban tanpa berunding dengan sesiapa. Bahasa Melayu diremehkan. Kita hairan kenapa tiada kemarahan dan keprihatinan umat kita. Umat kita sudah lembik. Dengan memaksa anak-anak Melayu belajar Sains dan Matematik akan menyebabkan 200,000 orang pelajar Melayu jadi parah. Kesan kepada pelajar Cina pun buruk. Akibatnya, mutu pelajaran Sains dan Matematik merosot. Tidak ada perbahasan pun di perhimpunan UMNO. Yang ada isu AP dan itupun kerana ia tidak diagihkan kepada lebih ramai pimpinan UMNO yang ada.

Kata-kata Imam Shafie r.a. “Kalangan yang sibuk dan ghairah dengan perut mereka sendiri, nilainya tidak lebih dengan apa yang keluar daripada perut mereka.”

ABIM patut membantu mendidik rakyat memahami dan sedar tentang penyelewengan-penyelewengan dan implikasinya kepada masyarakat.

Kenyataan mengenai DEB dikatakan kontroversial. DEB yang diperkenalkan pada 1970 perlu rombakan pada 2005. Walaupun kita dokong kedua-dua prinsip matlamatnya pembasmian kemisikinan dan merapatan jurang perbedaan ekonomi, orang-orang kaya dan berkuasa telah meraut dan mengaut. Setinggan terbiar dan orang-orang kampung tiada pembelaan. Harga barang melambung. Yang menghunus keris itu sebenarnya orang kaya. Sepatutnya tiada se sen atau se inci pun diambil oleh pemimpin berkuasa. Pendekatan perlu lebih universal. Persepsi orang Melayu bahawa DEB membantu mereka dan persepsi orang kaum lain bahawa ia disalahguna perlu diperbetulkan. Kenapa kekayaan Petronas tidak diagihkan kepada semua rakyat miskin tanpa mengira kaum. Jika diagihkan, sudah tentu majoriti yang akan dapat manfaat adalah orang Melayu juga.

ABIM boleh menjadi jurubicara – with the courage of conviction – samada kita boleh membawa perubahan dalam era globalisasi.

Pada masa saya difitnah, saudara-saudari memilih risiko yang besar. Saudara-saudari tidak percaya dan tidak dapat menerima tuduhan palsu dan fitnah yang jahat itu kerana mempunyai kekuatan tradisi ilmu.

In 1974, the first time in September 1974, because of the cause for Baling, the imprisonment, the conditions, it was not that difficult. But this time it was a very challenging period personally, undergoing hardship, humiliation, very difficult, for my age and in my position. I was beaten, stripped naked, left like an animal, denied treatment. To describe it, it was banal, banalitic treatment. It is very difficut to understand how it could come to this. I had to endure, Azizah and the children had to endure. These were challenging and difficult times. ABIM was there to give help, assistance and confidence to me.

(Pada tahun 1974, pertama kalinya pada September 1974, kerana memperjuangkan masalah kemiskinan Baling, saya dipenjarakan tetapi keadaan waktu itu tidaklah seteruk. Tetapi kali ini, ia amat berat bagi saya secara peribadi, merasai kepayahan, penghinaan, sukar kerana usia dan kedudukan. Saya telah dipukul, ditelangjangkan, dibiarkan bagaikan se ekor haiwan, dinafikan rawatan. Bagaimana untuk menceritakan layanan buruk ini? Sukar juga untuk memahami bagaimana boleh sampai begini jadinya. Saya terpaksa mengharunginya, Azizah dan anak-anak juga terpaksa mengharunginya. Waktu itu amat mencabar dan sangat getir. Di situlah ABIM membantu dan menolong, memberikan keyakinan bagi saya.)

Al marhum Ustaz Fadhil Noor  penuh sabar dan sanggup berkorban lebih banyak untuk saya daripada apa yang saya harap boleh buat untuknya. Kehilangan bonda, abang saya, Ustaz Fadhil, Ustaz Niamat Yusof terkesan kepada saya di dalam penjara ketika itu.

Jika ditanya apa erti atau hikmah ini semua? Alhamdulillah, saya lebih dewasa dan lebih matang. Saya lebih bertekad untuk berjuang untuk kebebasan, kebenaran dan keadilan, dengan lebih teguh lagi. Daripada bersantapan di istana, dicampakkan ke kamar, berlumuran darah, dilayan seperti se ekor anjing, dan saya keluar daripada itu semua dengan tidak berdendam kerana kita harus terus tetap berbuat sesuatu untuk membela umat, mengangkat martabat umat di sini atau di mana-mana sahaja.


(Catatan kasar ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Malam Mengimbas Ingatan dan Mengerat Ikatan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat 21/8/2005 )