Ini buat kali pertama saya
berucap begini setelah bertahun-tahun dalam penantian dan pengalaman dalam
penantian itu sangat mendera. Kali ini saya dengan lega dapat lepaskan diri
daripada tugas presiden WADAH. Begitu juga dengan rakan-rakan yang diizinkan berundur
daripada posisi masing-masing.
Anggap sajalah ini sebagai proses
biasa – repositioning bagi menghadapi
cabaran-cabaran baru. Kita tidak akan boleh menangani cabaran baru dengan berposisi
lama. Kita tidak mampu gagal – we cannot
afford to fail. Inilah harapan, waktu strategik bagi mengambil peluang
kesempatan yang sangat tepat untuk ‘passing
the baton’ – menyerahkan tugas.
Saya telah didik oleh pemimpin
besar kita Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa dalam gerakan ini tiada siapa pun
pemimpin yang tidak boleh diganti – no one
is indispensable in this movement. Jika Anwar Ibrahim sendiri pun
mengatakan dia tidak ‘indispensable’,
apatah lagi orang yang lain. Tidak ada
masalah. Kerana pemilihan pemimpin kita sepakati yang telah kita siapkan sekian
lama. Takut-takut kita terlambat menyerahkan kepada yang telah siap. Saya akan
berasa berdosa andainya tidka diserahkan pada masanya.
Pada 1982, apa diamanahkan
sebagai presiden, apa yang saya lakukan ketika itu adalah saya tidak berusaha
meniru orang sebelum saya. Saya tampil sebagai saya seadanya. Kalau orang ABIM
terima, terimalah. Itulah pesanan saya kepada pimpinan baru – just be yourself – jadilah anda seadanya.
Kepada semua warga Wadah, ABIM,
PKPIM, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Anda telah bersama saya selama 10
tahun di dalam WADAH. Terima kasih kepada Exco. Saya amat bahagia bersama anda
di dalam WADAH 10 tahun ini. Rasanya selama 10 tahun saya tidak pernah marah
kepada seorang exco pun.
Kita dapat menyerahkan kepimpinan
WADAH dalam suasana dan situasi cukup kondusif – keadaan sangat baik. Peralihan
kepimpinan ini berlaku di tengah-tengah suasana kebangkitan WAP. Masalah-masalah
besar kita selesai, Alhamdulillah – tanah ditebus dan projek pembinaan Pusat
Dakwah dan Tarbiyyah WADAH siap. Ketika ini hubungan kita dengan pemimpin negeri
ini sangat baik. Kita mempunyai kekuatan
dan diberikan kepercayaan pada projek-projek pembangunan umat.
Harapan kita cerah bagi
mengulangi kegemilangan kebangkitan 1970’an dan anda mulakanlah sekarang
Kebangkitan 2.0. Belajarlah daripada pengalaman 1970’an. Dengan inzin Allah
kita telah mampu mencipta keajaiban sejarah – babak penting sejarah dicipta
oleh anak-anak muda yang tidak punya kuasa dan tidak punya duit. Perubahan
bukan bersyaratkan mesti ada kuasa atau ada duit. Pencapaian ini tidak dapat
ditanding oleh mereka yang mempunyai kuasa dan mempunyai wang.
Rahsianya adalah komitmen bekerja
keras dan ikhlas. Itulah senjata kita. Itulah rahsia kebangkitan 1970’an. Selama
40 tahun di dalam gelanggang dakwah, kerja keras dengan ikhlas membawa barakah.
Saya amat percaya kepada barakah. Modal besar mana pun tidak akan sampai ke
mana-mana. Kuasa dan wang ringgit tidak menjamin barakah.
Kita tidak menipu, tidak
membohong, tidak menganiaya – semua kerana Allah. Kita tidak bimbang dengan
yang lain yang bangkit dengan keangkuhan – arrogance.
Saya tidak pernah dan tidak akan percaya fenomena sehebat mana pun jika terdapat
unsur ‘arrogance’ – samada ketakburan
intelektual atau kesombongan bentuk lain. Ilmuwan harus tawaduk.
Mengenang masa lalu, 40 tahun
berhempas pulas di kancah perjuangan. Seolah-olah di sanalah usia yang
diberikan Tuhan dicurah. Apakah perjuangan selama 40 tahun itu semuanya bersih
daripada riak, ‘ujub dan takabbur? Tidak pernahkah timbul riak atau kibar?
Ini menjadikan saya ketakutan
kepada masa lalu. Saya tidak berani menjamin bahawa sepanjang 40 tahun itu
murni, bersih daripada riak, kibar dan ‘ujub. Oleh kerana itu kita dianjurkan
mengintensifkan pendidikan kerohanian – Maแนญharat
al-Qulลซb – penyucian hati supaya menjauhi sifat-sifat akhlak yang keji.
Jika ada kecenderungan untuk
menjadi selebriti, glamour atau penonjolan diri, kita tidak akan percaya. Kita
akan beri sokongan kepada kawan-kawan yang berpolitik selagi berpolitik demi
dakwah. Jika berpolitik itu untuk cita-cita peribadi – keinginan untuk mendapat
jawatan tinggi, carilah orang lain untuk kita sokong.
Abu Yusuf adalah seorang ulama
yang sudah sangat lanjut usianya dan dia sedang terbaring pada detik-detik
akhir hayatnya dalam keadaan sebentar sedar dan sebentar tidak sedar. Dia
terpandang wajah seorang muridnya lalu terdorong dia untuk bermunaqasyah - berdiskusi. Begitulah guru
apabila bertemu pelajar. Terus dia melontar satu soalan fiqh kepada muridnya tentang
keutamaan seseorang di dalam mengerjakan ibadah haji samada lebih afdal untuk
pergi ke haji dengan menaiki kenderaan atau berjalan kaki. Muridnya lantas
memintanya, “Wahai Shaykh, ini bukan masa untuk munaqasyah – ini masa untuk pasrah kepada Allah.”
Abu Yusuf menjawab, “Wahai
anakku, andainya tersisa satu saat usiaku, saat itu itu aku bantu keIslaman
seseorang – aku rela saat itu.”
(Ucapan Penangguhan Dr Siddiq
Fadzil, Presiden Pertama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia di Ijtimak Harakiy ke
4)
2 comments:
๐๐๐
๐๐๐
Post a Comment