MISI GERAKAN
Gerakan Islam bertunjangkan ilmu (knowledge-based), bersikap
terbuka serta wasatiyah – pertengahan
(moderate) berasaskan realiti
masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta
kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Gerakan yang
menangani isu-isu politik, namun non-partisan; bebas dan tidak memihak.
Gerakan Islam komprehensif merealisasikan cita-cita
Islamiyyah membina dan memimpin tamadun khayra
ummah – umat terbaik.
Tugas hakiki adalah menyeru dan mengajak manusia supaya seutuhnya
dan setulusnya menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah swt yang Maha
Esa – ta’bidunnas li rabbihim. Gerakan
ingin membawa misi tanwir wa tahrir –
pencerahan, pencerdasan dan liberatif umat demi mardatillah.
Garis besar haluan perjuangan bermula daripada pembinaan
diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Cita-cita gerakan Islam adalah Nadwah
Islamiyyah – Islamic Resurgence/
Renaissance – Kebangunan Islam.
ISU ANTARABANGSA
Isu-isu yang menyentuh dan mempengaruhi gerakan Islam terlalu
luas skop dan rencam ragamnya. Berikut beberapa isu yang boleh diolah dan
dibahaskan:-
Keseimbangan Kuasa
Idealisme perjuangan dan hasrat umat menuntut perubahan serta
Nadwah Islamiyyah namun realiti keseimbangan kuasa semasa tidak memihak kepada
umat. Hakikatnya, kuasa-kuasa besar dan senario antarabangsa tidak menyokong
perubahan. Pemerintah negara-negara Islam sendiri enggan berubah. Suasana dalam
negara-negara Islam, massa dan kaum minoriti
menghalang nadwah dan perubahan. Tetapi keadaan ini tidak semestinya begini
selama-lamanya.
Penguasaan dan dominasi Barat ke atas pemikiran Islam adalah
ketara. Budaya, kesenian dan bahasa Barat sangat mempengaruhi. Tasawur –
pandangan sarwar hidup juga mengatasi pandangan lain. Ekonomi dan kewangan
dunia diboloti dan dikawal di sana. Mereka mencapai tahap kesejahteraan hidup
yang tinggi dan menjadi contoh kelestarian serta kualiti hidup masyarakat. Idea
dan pemikiran bebas berkembang, sistem pendidikan berjaya, kadar jenayah rendah
dan terkawal secara relatifnya, kadar kemiskinan rendah dan banyak negara
terutama di Eropah mengamalkan negara berkebajikan. Mereka juga menguasai media
di segenap peringkat pada setiap masa. Penemuan-penenemuan dan teknologi terbaru
diterokai oleh mereka.
Barat merupakan tumpuan terkini pelarian-pelarian Muslim
seluruh dunia bagi mencari peluang
kehidupan baru serta keselamatan demi menebus diri dan keluarga daripada
kezaliman, penindasan, peperangan, kelaparan serta musibah angkara perbuatan
negara mereka sendiri. Misi kemanusiaan, dana sumbangan dan pemberian bantuan
pembangunan dikuasai Barat.
Barat menjulung tinggi konsep sekularisme, liberalisme dan
pluralisme. Mereka memajukan realiti-realiti baru walaupun berlaku kebejatan
dan kerosakan sosial akibat krisis nilai dan keruntuhan nilai asasi kemanusiaan.
Kefahaman hak asasi yang disepakati secara global sebelum ini telah dirombak
dan dirungkai semula oleh pergerakan orde baru yang licik sehingga melanggar
segala batasan agama termasuk tentang identiti manusia, gender dan keluarga.
Kefahaman songsang ini sedang dipaksa ke atas umat Islam melalui
platform-platform dan ruang-ruang antarabangsa.
Barat memang mencurigai dan bersikap ambivalen terhadap
kedudukan agama di dalam ruang awam dan amat cemas melihat peranan agama di
dalam politik dan kenegaraan. Pemikiran serong terhadap pengaruh agama kepada
politik adalah wacana yang dominan.
Secara komparatif, nilai, standard, amalan keadilan sosial
dan integriti negara mereka tinggi. Wujud amalan demokrasi yang segar,
institusi-institusi berwibawa, kerajaan telus dan bercambah masyarakat sivil - al mujtama’al madaniy (civil society) yang
berfungsi menjamin kelangsungan hasrat suara hati rakyat. Barat juga secara relatifnya berjaya menangani fenomena kemajmukan
etnik dan kepelbagaian ragam manusia – ethnicity
and diversity.
Negara dan bandar termiskin, paling kotor, kurang sejahtera
dan indeks rasuah tertinggi adalah di kalangan negara Islam manakala
negara-negara contoh mithali berada di Barat.
Tentang keganasan pula, memang ada di kalangan negara Barat
terutama Amerika Syarikat merupakan world’s
greatest killing machine. Namun
perbedaannya adalah the West practices
violence with prudence and thinking – Barat mengganas dengan berhemah dan
dengan berfikir.
Zionisme – Projek
Israel
Zionisme adalah kesinambungan kepada penjajahan. Pertarungan
hari ini adalah bertembung dengan Zionisme. Zionisme berjaya memobilisasi Barat
bagi menentang umat Islam. Zionisme kekal relevan sebagai gagasan besar
walaupun Israel telah pun dirampas dan berdiri teguh kerana mereka terus
menerus merekayasa musuh baru iaitu
Islam. Dengan ini dana dan dokongan kuat tetap mengalir kepada mereka. Zionisme
kini telah tertanam ke dalam sanubari Barat mempengaruhinya supaya sepakat
melihat dan menanggapi musuh yang sama.
Apa yang perlu dilakukan adalah menangani cabaran ini dengan
memperkukuh daya juang dan daya tahan serta menggemblengkan semua pihak. Perlu
ada dialog dan keterlibatan – engagement
dalaman bersama semua pihak samada trend Islamis atau selainnya. Perlu ada
dialog dan keterlibatan dengan orang Kristian. Perlu ada dialog dan
keterlibatan dengan Barat. Di Barat wujud kuasa intelektual dan aktivisme yang
memahami dan menghargai keadilan dan hak asasi manusia. Perubahan ini dapat
dilihat kepada kerisauan Israel dan sekutunya terhadap umpamanya pergerakan BDS
– Boikot, Tukar dan Sekat barangan/ tokoh Israel serta kebangkitan suara
akademik mengkritik Israel. Apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam akan
memanfaatkan Barat dan bakal mengelak dunia daripada kancah perseteruan dan
kebinasaan. Perjuangan kita adalah supaya menolak dan menghalang ancaman Zionis
yang mahu merosakkan prinsip-prinsip kemanusiaan dan asas ketamadunan yang
beradab.
Adakah berlaku perdampingan - engagement kita dengan Barat tentang isu ini dan isu besar
kesejahteraan dunia ? Mampukan kita bertindak sedemikian dengan melihat semakin
hari semakin kuat Zionis, semakin lebar pengaruhnya dan pesat pembesaran projek
Israel beserta kezalimannya berwenang-wenang berlaku tanpa dicabar?
Ekstremisme and
Terorisme
Konsepsualisasi menolak keluar, menghukum dan takfir (mengisytihar seseorang murtad)
amat cenderung bagi semua trend. Takfir
petunjuk bagi kecenderungan apabila suatu pihak bertegas bahawa hanya mereka sahaja
mewakili kebenaran dan kesahihan (al-Haq).
Kondisi manusia begini sungguh kompleks dan menolak logik untuk berlaku
perbahasan sihat di kalangan pelbagai trend pemikiran Islam. Islamis sering
dituduh sebagai tidak berupaya berbahas secara segar dan terbuka, enggan
bersemuka secara sihat dan terhormat, tidak dapat mengolahkan perbedaan
pendapat secara positif dan mudah melabel lawan serta menghukum
sewenang-wenangnya.
Ada yang terdidik di madrasah-madrasah dogmatik – pengalaman
madrasah yang khusus dan tersendiri itu bererti pematuhan ketat dan
berpandangan tegar. Mereka berada di dalam keadaan terlalu eksklusif dan selalu
terbiasa melihat kepada musuh dan kurang
memperkemaskan tatakelola dan keadilan, tidak terbuka serta tidak biasa
berdamping atau berinteraksi dengan orang lain. Mereka terpisah daripada
menghayati bahawa Nahdah Islamiyyah mengandungi intelektualisme yang gigih dan
rancak, merangsang komitmen yang merujuk prinsip-prinsip asas Qur’an and Sunnah dan bukan sesuatu yang
asing.
ISIS menjelma daripada kebobrokan sistem ini, keruntuhan
budaya ilmu, ketandusan pemimpin berwibawa dan kezaliman pemerintahan. ISIS
adalah hasil evolusi trend-trend pemuda takfiri
apabila kecewa dan terpengaruh akibat kezaliman melampau dan sekian lama ke
atas umat Islam. Ada juga yang mendakwa ISI adalah juga projek Zionisme dan
badan-badan perisik antarabangsa bagi menebalkan faham Islamophobia dan memporak
peranda negara-negara Islam rantau itu.
Islamophobia
“Permusuhan terhadap Islam dalam sejarah menunjukkan ia
seiring dengan anti Semitism –
permusuhan yang disuburkan di dalam sungai yang sama, kata intelektual tersohor
Edward Said. Islamophobia adalah bahaya yang tersembunyi. Ia adalah rasisme yang amat mudarat - racism
with steroids - rasisme diransang hormon. Islamophobia adalah percubaan
untuk mengasingkan dan mengnyahkan orang
Islam daripada ruang awam, kehidupan khalayak,
daripada ekonomi, daripada politik.
Tasawur Islam, penyertaan dan konsep ditolak secara bulat-bulat.” (Anwar
Ibrahim)
Islamophobia bukan sahaja mengancam umat Islam terutama
penduduk minoriti Muslim di Barat malah mengkaburkan mesej suci tawhid dan
risalah rahmat kepada dunia.
Despotisme
Pemerintahan mutlak autokrat berkuku besi atau belitan
oligarki despot merupakan kelaziman dunia Islam. Ia merupakan penggunaan kuasa
absolut secara zalim dan kejam menguasai secara turun temurun sistem politik serba
fasad dan korup. Regim despot pula dikelilingi tokoh-tokoh, teknokrat,
usahawan, penjawat awam, cendekiawan, alim ulama, pakar, juruekonomi,
sasterawan, karyawan dan panglima pengampu serta mediocre – “mutu biasa-biasa sahaja”.
Di antara tanda keruntuhan bangsa dan tamadun Arab adalah
apabila mereka menghina diri mereka sendiri dengan merelakan kelanjutan sistem
tirani ini – the Arabs hold themselves in
self contempt. Contoh sifat penghinaan diri ini adalah apabila rakyat massa
Mesir berpihak atau merelakan rampasan kuasa oleh tentera mengembalikan sistem
politik kepada regim despot lama walaupun sebelum itu rakyat telah berjuang dan bertarung nyawa dalam Thawrah Sha’ab – Revolusi Rakyat.
“Di dalam negara-negara begini, setiap hari yang berlalu
tanpa perubahan, akan menyaksikan derita semalaman lagi tahanan politik
merengkok di penjara keseorangan; seorang lagi nyawa terkorban kerana lapar dan
wabak akibat terabai dan deprivasi; satu lagi kesempatan orang korup merompak
berjuta dari perbendaharaan negara.” (Anwar Ibrahim)
Kesan despotisme adalah kemunculan penghijrahan pelarian
terbesar di dalam sejarah moden. Sikap dan sosok sebenar pimpinan negara-negara
Islam serta pertubuhan-pertubuhannya terdedah sebagai tidak peduli, lalai dan
tidak bermaya.
Cabaran Intelektualisme
Intelek umat yang sepatutnya meraih potensi dan mencipta
kondisi peradaban dan nadwah yang dicita-citakan ternyata amat terhad. Oleh
itu, dinamika sejarah moden Islam agak penuh dengan ledakan. Banyak tenaga
digerakkan tetapi akhirnya tewas dan lenyap, suatu fenomena akibat daripada
ketidakupayaan menghalakan tenaga ini ke arah kebangunan umat yang berkesan.
Intelek umat telah mengabaikan tanggungjawabnya apabila
tunduk kepada kuasa. Cendekiawan umat gagal apabila tidak bercakap benar
berhadapan dengan kuasa. Fenomena yang disebutkan lama dahulu oleh al Shaheed
Abd Qadir Awdah (rahimahullah) sebagai
keadaan “ilmuwan lesu dan umat daif”.
Perpecahan Umat
Ketempangan terbesar umat adalah kita merupakan umat yang
tercorot apabila menangani perbedaan. Perbedaan kita sebenarnya kerdil apabila
dibandingkan dengan persamaan yang ada sesama kita. Ini mungkin akibat saki
baki pemikiran Badawi yang diwarisi yang diberikan nama al-Fiqh al-Badawi oleh Sheikh Muhammad Ghazali. Barat menewaskan
kita melalui keupayaannya menangani perbedaan padahal perbedaan sesama mereka
lebih besar berbanding dengan kita.
Hakikatnya adalah masyarakat kita bukan satu. Masyarakat kita
majmuk dan pelbagai. Begitulah dengan kefahaman nass dan realiti yang melahirkan kepelbagaian trend dan pergerakan.
BAGAIMANA GERAKAN ISLAM
MENYIKAPI DAN MENANGANI ISU-ISU INI?
Isu yang dibangkitkan terlalu besar dan rumit untuk
dirumuskan dengan mudah dan tuntas. Apa yang dibentangkan berikut ini hanyalah lakaran
gagasan dan idea umum yang perlu disemak
semula dan dibahaskan dengan lebih ilmiah dan teliti oleh para ilmuwan yang
lebih layak.
Menghidupkan semula Ruh
Islam
Pada zaman mereka, Abul Hasan Ali An Nadwi dan Sayyid Qutb (rahimahullah) berulangkali menegaskan
tentang ruh Islam – the spirit of Islam -
perlu subur dan mekar di dalam sanubari umat dan pada mereka yang
diamanahkan untuk memimpinnya. Ruh Islam ini telah meninggalkan kesan pada
realiti sejarah, kepada sahsiah-sahsiah dan sentiasa mentransformasi serta memperbaharui
sepanjang zaman.
Ruh inilah yang menetapkan standard amat tinggi bagi
penganutnya berjihad bagi mencapai tujuannya. Ia tidak terhad kepada ibadah
khusus dan am. Standard ini memang sukar dicapai dan payah dikekalkan. Ini
disebabkan kecenderungan kehidupan manusia dan tirani penindasan hidup.
Standard ini melibatkan tanggungjawab berat, tugas ke atas nyawa dan harta,
keimanan dan sahsiah. Paling berat adalah ketaqwaan yang menjadikan seorang
Muslim senantiasa berwaspada pada dirinya dan memberikan kesedaran akhlak yang
tinggi.
Ruh inilah yang boleh digarap apabila memahami tujuan-tujuan
shari’ah – maqasid shari’ah bagi
mencari maksud dan menghayati pengertiannya. Ruh ini jugalah terpampang pada
keadilan sosial dalam Islam. Ruh inilah yang subur segar bugar di dalam
usrah-usrah dan pengisian-pengisian informal gerakan Islam yang efektif dan
berjaya.
Pembaharuan Gerakan Ilmu
dan Pendidikan
Nahdah Islamiyyah memerlukan dipupuk dan dibina pendidikan
Islam yang kuat. Sultan Salahuddin al Ayyubi yang hebat itu adalah suatu contoh
teladan terbaik kepimpinan umat. Perubahan tidak akan berlaku jika tiada
usaha-usaha persediaan dilakukan melalui pemerataan pendidikan, kesedaran awam
dan disiplin tinggi. Pengalaman Salahuddin melakarkan riwayat bersejarah -
kecenderungan dan trend untuk perubahan - untuk islah dan tajdid. Kekuatan
Salahuddin al Ayyubi datang daripada tradisi ilmu yang subur berkembang di
rantau itu. Salahudin tidak akan muncul sekiranya tidak ada tradisi
keilmuwan, da’wah and tarbiyyah di
seluruh negeri Iraq pada era itu.
Kesedaran dan kebangkitan itu datang daripada pendidikan yang mantap.
Kedangkalan ilmu dan kelemahan pendidikan telah lama dikenalpasti
sebagai penyakit parah umat Islam masakini. Oleh itu gerakan Islam seluruh
dunia meletakkan tradisi ilmu, pendidikan dan pendidikan semula – educating and reeducating sebagai
prasyarat kebangunan umat – kebangkitan ilmu dan umat.
Gagasan Islamisasi ilmu berkembang mekar hasil usaha gerakan
Islam dan tokoh-tokoh utama Islam bermula dengan Naqib al Attas yang mengolah secara tuntas tujuan dan
objektif pendidikan Islam di Makkah pada 1977 yang telah menjadi rujukan asasi
serta bahan inspirasi ilmuwan Muslim yang ingin menghayati makna pendidikan
Islam. Ini diikuti strategi praktikal oleh Ismail al Faruqi yang diolah pada
Bengkel Strategi Pengislaman Ilmu di Islamabad pada 1981. Hasil bengkel ini,
gerakan Islam bertindak dengan berpartisipasi secara langsung menyertai
pemerintahan politik dalam konteks rakan pembinaan negara, berperanan mencorak
reformasi sistem pendidikan dan berpengalaman terlibat di dalam arusperdana pentadbiran
negara – tatbiq al shari’ah di negara
masing-masing. Natijah penglibatan ini dan babak penting sejarah siasah ini menagih
pengkajian dan perbahasan yang hebat.
Menggarap Realiti and
idealisme – Keseimbangan Kuasa dan Idea Rashid al Ghanoushi
Fiqh ‘aqlanah dipelopori oleh Rashid al Ghanoushi.
Manusia hidup dan sering berhubung dengan persekitarannya. `Aqlanah (realisme) bermakna orang Islam menyedari suasananya dan
mengambilkira realiti ini berpandukan nass.
Inilah keseimbangan nilai kemanusiaan, nass
dan realiti. Memahami realiti
antarabangsa dan tempatan, dan memahami nass dengan latar konteks ini.
Berteraskan ilmu wahyu, ilmu diperolehi melalui pembelajaran
daripada sumber sains amali dan daripada penemuan kondisi yang Allah swt
tentukan berada dalam masyarakat – fiqh
sunan. Ilmu dan pengetahuan yang meliputi Shari’a, sains dan ilmu
kemanusiaan-kemasyarakatan – disiplin shari’a, kejuruteraan, perubatan, sejarah, ekonomi, falsafah, psikologi, sains
politik dan undang-undang. Gerakan Islam perlu memahami dan menguasai perkara ini.
Rashid Ghanoushi memilih pendekatan intelektual warisan
rantau Maghrib, dengan menekankan isu-isu sosial dan uslub islahi – reformis
masyarakat. Pertama, mempertahankan
Islam sebagai identiti atau jatidiri iaitu sebagai cara hidup bukan negara atau
hukum. Kedua, memperjuangkan kebebasan dan hak masyarakat sivil serta
melebarkan rangkaian pengaruh dan persefahaman dengan pelbagai trend.
Realitinya adalah situasi umumnya tidak memihak kepada
Islamis. Media, golongan bisnes dan korporat, pentadbir, elit dan termasuk
resam budaya – semuanya menentang Islamis. Contohnya di Mesir, tentera dan
polis pun menentang Islamis. Oleh itu jumlah bilangan ramai penyokong sahaja
tidak memadai. Ia juga melibatkan peranan wang, sikap angkatan tentera, permainan
kuasa-kuasa halus dan golongan pentadbir yang ada. Di Algeria pada 1992, Islamis
telah memenangi 80% undi. Tetapi baki 20% yang mengambil alih kuasa dan
menyekat kemaraan Islamis. Ini bermakna 80% pun belum mencukupi untuk
memerintah.
Ghanoushi menganjurkan perkongsian kuasa dan politik
akomodatif dengan semua golongan termasuk sekularis dan komunis bagi menghadapi
mudarat regim yang lebih besar.
Pembaharuan Demokrasi
dan Ekonomi model Erdogan
Usaha yang Turki telah lakukan dalam mengemudi ke arah
“konsensus baru” menyerlahkan negara itu sebagai demokrasi yang segar dan
matang. Ia dilakukan di dalam kerangka demokratik bagi memenuhi aspirasi
mengulangi sejarah gemilang warisan budayanya. Turki ingin mematangkan lagi
amalan demokrasinya di samping mengekalkan identiti Islamnya. Kerajaan Erdogan
mempunyai mandat demokratik daripada rakyatnya.
Tekun dan cekal kepada pegangan politiknya, sosok Erdogan
menunjukkan kualiti yang diperlukan bagi memajukan reformasi demokratik dan
keadilan sosial. Di bawah kepimpinannya,
sekularisme (tebal di Turki) tidak lagi dilihat sebagai “penentang agama”
tetapi dianggap sebagai prinsip asas
saksama tanpa berpihak dan toleransi kepada kemajmukan agama. Jika
sebuah negara demokratik Muslim ingin meletakkan had kepada kuasa kerajaan ke
atas hak individu , ini adalah seiring dengan keperluan demokrasi
berperlembagaan.
Kompetensi mengurus ekonomi dengan cemerlang oleh Erdogan
meyakinkan semua pihak menerima kepimpinannya termasuk nasionalis dan sekularis
kerana realiti kejayaannya.
Menganjurkan Tatakelola
Beretika dan Pengurusan Ekonomi Pasaran gagasan Anwar Ibrahim
Kita perlu pergi kepada asas-asas kefahaman da’wah dan
menimba ilmu, bagaimana berubah, dalam pembinaan peribadi atau syakhsiah. Kita perlu menganjurkan peri
pentingnya tatakelola baik - good
governance, bagi membawa negara-negara supaya menjauhi korupsi dan
despotisme - kediktatoran. Perubahan bukan semata-mata semudah menurunkan
pemimpin, ketua negara, PM atau diktator tetapi perubahan adalah dengan reform
total – keadilan dan aturan menurut maqasid
shari’ah – keutamaan sistem keadilan.
Anwar Ibrahim berhujah bahawa “Tanpa pertumbuhan, kita tidak
akan jana pendapatan. Natijahnya kita hanya mengagihkan kepapaan! Jadi, kita sedar kita perlu ada dan
memperkenalkan preskripsi ekonomi dan dasar yang mejanakan kekayaan negara. Ini
bermakna membawa polisi-polisi yang tidak semestinya kita selesa dengannya- apa
lagi dengan banyak kemiskinan dan kesusahan, kita pula memajukan pertumbuhan,
mempromosi bisnes dan pembangunan. Oleh
kerana kita ada perasaan, kita mempunyai masalah yang dirasai, bagaimana hendak
menyelesaikan keruncingan perumahan dan miskin tegar di tengah-tengah kita?
Kita laksana dasar-dasar yang menggalakkan pertumbuhan. Tidak
ada jalan lain. Untuk laksana polisi pertumbuhan, kita mesti ada kedaulatan
undang-undang. Kedaulatan undang-undang perlu ditempatkan, berada di posisinya,
peraturan-peraturan berjalan, semuanya telus dan semuanya dipertanggungjawabkan
– ada akauntabiliti.”
Bagaimana hendak mengajak berwaspada mengurus pertumbuhan
ekonomi yang pesat? Anwar menggunakan pengkisahan Sayyidina Yusuf (as) tentang
perencanaan 7 tahun menangani kedatangan kemelesetan tahun-tahun berikutnya. Ada
rakan-rakannya di Parlimen menyoal dan menyindir tentang apa relevannya ayat
Qur’an kepada ekonomi moden dan pasaran bebas. Anwar jawab bahawa tiada jaminan
pertumbuhan pesat itu akan terus berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa
hebat, bijak atau bertanggungjawabnya kita ini. Ini mengingatkan kepada perlu
bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia menerima peristiwa-peristiwa yang di luar
dugaan atau kawalan.
Gerakan Islam juga berhadapan dengan cabaran merubah
paradigma. Apabila membincangkan pengurangan cukai, dirujuk thesis Abd
ar-Rahman Ibn Khaldun yang berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja
lebih bersungguh dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana
pendapatan yang lebih. Apabila Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994
bercakap tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar
buruk di kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “Menteri ini Wahabbi ke
apa?” Dengan menyedari kesinisan itu, dibawa pula pandangan seorang pujangga
Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis penurunan cukai yang seumpama.
Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka menampilkan model dan pengajaran di
luar kerangka sistem sedia ada untuk digarap dan difahami.
Menyanjungi Ulama –
Muktabar dan Arus Perdana - Wasatiyah
Profesor Yusuf al Qaradawi adalah contoh ulama arus
perdana, ulama massa, ulama rakyat dan ulama serta ahli fiqh muktabar. Dia
berjaya mengglembeng, membina rangkaian serta pengaruh hingga meletakkan
Kesatuan Ulama Sedunia sebagai badan tersohor antarabangsa. Dia melibatkan diri
dalam isu kontemporari seperti mengartikulasi fiqh semasa, mendokong
kebangkitan rakyat, bersuara menentang kezaliman dan menyokong media bebas yang
memberikan manfaat kepada umat seperti siaran Al Jazeera. Pemikiran wasatiyahnya
dan prinsip perjuangannya berjaya
mempengaruhi banyak pihak dan dunia Islam menerima ketokohan dan
pandangannya dalam menyelesaikan masalah umat.
Ulama yang tulen dan sejati mendapat penghormatan tertinggi kerana mereka berbakti dengan jiwa raga mereka
di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali kepada Allah
s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar ‘ulama’ atau
menganggap diri mereka sebagai ‘ulama’
tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada
manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.
Mereka yang disebutkan sebagai orang-orang berilmu adalah
ulama sejati kerana mereka bukan sahaja ‘ulul
‘ilmi’ malah ‘qaa-imambilqisti’.
“ (surah ali Imran 3:18)
Menangani Masa depan
– al
Fikr al Mustaqbal Siddiq Fadzil
Kita amat prihatin tentang masa depan kerana gerakan Islam
berfikiran ke hadapan - al fikr al mustaqbal. Telah berlaku
anjakan daripada marhalah da'wah
kepada marhalah dawlah - governan. Perlu
disedari masalah yang dihadapi dan optimis berwaspada.
Apa yang dibimbangi di dunia Islam adalah kualiti kepimpinan.
Mengetuai negara tidak sama seperti memimpin gerakan Islam. Pemimpin masa depan
gerakan Islam mesti bersedia dengan realiti yang bakal ditempuhi.
Gerakan perlu kembali kepada kepada rujukan asasi. Pada al
Qur’an terdapat model kepimpinan. Nabi Daud a.s. dan Sulayman a.s. memimpin
kerajaan yang agong dengan urustadbir terbaik beserta ilmu dan hikmah. Nabi
Musa a.s. berkonfrontasi dan berlawan dengan kezaliman Fir’aun sehingga baginda
membebaskan kaumnya menjalani kehidupan baru. Nabi Yusuf a.s. menyertai
kerajaan non Muslim dengan misi islahi. Demikian adalah model-model nyata yang
kita dapat pelajari.
Gerakan perlu prihatin dengan permasalahan menentukan
keutamaan - al awlawiyyat. Mana
didahulukan dan mana dikemudiankan.
Kita mesti prihatin dengan krisis expektasi – jika kita gagal
memenuhi ekspektasi umat. Orang pula adakalanya tidak munasabah dan inilah yang
melanda di sebahagian pelusuk dunia masakini.
Kita perlu kajisemula kitab-kitab dan rujukan-rujukan. Pada
tahun 60’an kita baca kitab ilal Islam
min jadid karya Al Nadwi. Namun tidak cukup sekadar bergantung kepada karya
60’ an. Kita perlu karya kontemporari dan kita mesti kondisi semula diri kita –
mengisi dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan pada hari
ini.
Kita wajar memahami fiqh
al taghyir - fiqh perubahan kerana apa yang kita usahakan dan perjuangkan
adalah untuk perubahan tetapi kita belum menggarap fiqh al taghyir. Adalah mustahak dan mendesak supaya gerakan Islam
menguasai kefahaman fiqh al taghyir
and fiqh al waqi' -fiqh memahami
realiti dunia kontemporari agar gerakan lebih realistik. Kita perlu berupaya
mengolah fiqh al ta'adudiyyah – memahami
kemajmukan dan realiti ragam kepelbagaian budaya. Kita perlu pelajari inklusiviti.
Pola hubungan antarabangsa berubah, dan dunia sudah menjadi
sebuah desa buana (a global village) pemakaian istilah dar al-harb dengan segala implikasi hukum-hakamnya tidak lagi
membawa maslahah. Pelaksanaan Islam
tidak lagi terbatas di negara-negara yang majoriti penduduknya Muslim, tetapi di mana-mana di seluruh dunia,
termasuk di negara-negara yang penganut
Islamnya minoriti. Di situ tumbuhnya fiqh al-aqalliyyah (fiqh minoriti), sejenis fiqh kontekstual yang sesuai dengan
realiti setempat dan realiti umat.
Melabel negara-negara Barat sebagai dar
al-harb akan mempertebal imej
“terror” dan “ganas” Islam dan
umatnya. Hubungan asal dan aslinya
adalah hubungan dakwah. Perang adalah kekecualian dari prinsip asal
- damai dan dakwah.
Fiqh Islam mengiktiraf
status al-muwatanah
al-kamilah yang memang Non Muslim
nikmati sekarang. Oleh itu harus ada
peta - road map ke arah hidup bersama
(al-ta`ayush) [“coexistence" or "life in common”]
dalam pengertian sama-sama menikmati hak
dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna. Hidup bersama dalam suatu bai’ah moral, kompas
moral yang terarah, menjunjung keadilan dan hak asasi, kebersamaan, akomodasi
dan rekonsiliasi.
(MAKMAL WAP PULAU PINANG)
No comments:
Post a Comment