Gerakan Islam
dan Politik Perubahan – Siddiq Fadzil
Islam tidak bangkit hanya dengan
ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang
menyedarkan dan menginsafkan.
Demikianlah hakikat gerakan Iqra’ yang mengawal kebangkitan Islam,
revolusi intelektual berintikan kesedaran tauhid yang menghasilkan keberanian
bersikap — menolak kebatilan dan kezaliman, dan berhujung dengan kepatuhan
mutlak kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa (kalla
la tuti‘hu wa ‘sjud wa ‘qtarib).
Dalam kaitan inilah perlunya kita melihat semula tarbiyah harakiyah
sebagai proses merubah diri (al-taghyir
al-nafsiy) yang tidak terhenti sebatas otak, tetapi harus meliputi watak
dan akhlak.
Gerakan Islam akan kehilangan wibawa, kredibiliti
dan keberkatan apabila para kader aktivisnya gagal menepati ciri-ciri ilmuan
berakhlak mulia.
Justeru, gerakan Islam tidak boleh gagal mendidik para kadernya dengan
mujahadah melawan sifat egois, angkuh, tamak, dan tidak berdisiplin.
Al-taghyir
al-nafsiy, perubahan pedalaman diri (jiwa dan minda, otak
dan watak) adalah pra-syarat kebangkitan dan perubahan yang tidak dapat
dikompromi.
Untuk menjawab cabaran zaman yang sentiasa berkembang dan berubah,
gerakan Islam memerlukan tahap kompetensi keilmuan yang tinggi, di samping daya
fikir yang memungkinkannya melakukan ijtihad kolektif (al-ijtihad al-jama‘iy) menangani pelbagai isu kontemporari.
Keterikatan dengan sumber-sumber rujukan klasik, tanpa keupayaan
memahami perubahan realiti zaman dan lingkungan, akan menjadikan gerakan Islam
tidak relevan.
Untuk melaksanakan misi perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik,
gerakan Islam perlu menguasai fiqh
al-taghyir (fiqh perubahan) agar matlamat dapat dicapai tanpa harus
menciptakan masalah-masalah yang tidak teratasi.
Memang kita harus mengakar pada turath khazanah keilmuan silam, tetapi
ia harus dipadukan dengan ilmu kontemporari, di samping pemikiran dan
perancangan strategik.
Dengan demikian gerakan Islam akan dapat melaksanakan misi Islamisasinya
dengan bijaksana, berhikmah dan penuh kearifan, serta berdasarkan urutan
keutamaan (fiqh al-awlawiyyat) yang
tepat.
Politik perubahan dalam pengertian siyasat
al-taghyir harus didasarkan pada fiqh
al-waqi‘ atau kefahaman yang tepat dan mendalam tentang realiti yang
ditangani.
Misi merubah realiti masa kini tidak akan terlaksana dengan hanya
membolak-balik kitab-kitab fiqh tradisional al-Mawardiy, Abu Ya‘la atau Ibn
Taymiyyah.
Memang karya-karya klasik mengandungi prinsip dan nilai yang universal
dan merentas zaman, tetapi penerapannya tidak terlepas dari konteks realiti era
pengkaryaannya. Justeru, yang ditangani adalah realiti atau waqi‘ zaman dan lingkungan para fuqaha’
silam, yang jelas berbeza daripada realiti masa kini.
Untuk memahami realiti masa kini kita memerlukan ilmu kontemporasi
seperti falsafah, sejarah, kebudayaan, sosiologi, sains politik, ekonomi dan
lain-lain yang terliput dalam pelbagai disiplin sains sosial dan humaniora.
Tradisi keilmuan yang tidak berorientasi waqi‘ masa kini tidak mungkin
dapat memberikan jawapan dan penyelesaian dengan tepat dan tuntas. Bagaimana
mungkin menyikapi pemerintah dan politik masa kini berdasarkan fiqh zaman
sebelum mengenal demokrasi.
Kebebasan bersuara, hak membangkang, berhimpun dan berdemonstrasi adalah
bahagian daripada proses demokrasi yang pada asasnya tidak bertentangan dengan
Islam.
Kebelakangan ini kita sering terganggu dengan suara-suara yang
mengharamkan hak-hak demokratik tersebut, fatwa-fatwa yang didasarkan pada
pendapat ulama silam yang dipetik secara selektif untuk disesuaikan dengan
kecenderungan politik dan afiliasi kepartian “ulama/mufti” yang berkenaan.
Fatwa adalah ilmu dan sekali gus amanah, bukan nafsu mengampu majikan.
Warisan fiqh politik Islami harus difahami secara utuh dan menyeluruh, tidak
hanya dimensi sam‘an wa ta‘atan (dengar dan patuhnya) sahaja, tetapi juga
dimensi oppositional revolusionernya (al-janib
al-thawriy al-inqilabiy li al-fiqh al-Islamiy).
Bagi gerakan Islam, membangkang tidak bererti menanggang, dan mendebat
tidak bererti menjebat; kita bukan keturunan Si Tanggang, dan bukan juga waris
Hang Jebat.
Segala yang kita lakukan (membangkang dan mendebat) adalah pelaksanaan
tanggungjawab dakwah: amar makruf nahi
mungkar yang merupakan salah satu teras ajaran Islam.
Sebagaimana yang ditegaskan al-Imam al-Ghazaliy bahawa al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar
adalah al-qutb al-a‘zam fi al-din
atau paksi utama agama, yang kerananya diutus para rasul dari zaman ke zaman.
Menyatakan pendapat — menyokong atau membangkang — adalah bahagian
daripada amalan musyawarah (shura)
yang wajib dilaksanakan pemerintah dan rakyat.
Memang dalam istilah shura terkandung makna saran dan teguran, sokongan
dan bangkangan.
Berasaskan hakikat itulah Dr Muhammad Muhammad al-Qadiy dalam bukunya al-Siyasat al-Shar‘iyyah Masdaran li
al-Taqnin bayna al-Nazariyyat wa al-Tatbiq mengatakan bahawa musyawarah dan
pembangkangan adalah dua sisi mata wang yang sama (inna al-shura wa al-mu‘aradata wajhani li ‘umlatin wahidah…).
(Al-Qadiy,M.M., 1989:653).
Demikianlah hak-hak demokratik seharusnya dipersepsikan dari perspektif
fiqh kontemporari.
10 September, 2015.
(Dr Siddiq Fadzil adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah))
No comments:
Post a Comment