Tuesday, September 22, 2015

DR SIDDIQ FADZIL: MISI ILMUWAN




MISI KECENDEKIAWANAN DALAM GERAKAN
REFORMASI ISLAHI

Siddiq Fadzil




…nescaya Allah akan meninggikan orang-orang beriman
di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
beberapa derajat.  Dan Allah Maha Mengetahui apa yang
kamu kerjakan   -  al-Mujadilah:11.



Mukadimah

Andainya ayat al-Mujadilah tersebut diaplikasikan dalam konteks perjuangan mengangkat martabat umat, tuntutan yang harus dilaksanakan ialah memenuhi dua syarat:   membangun iman dan menyuburkan budaya ilmu.  Tidak akan ada perubahan dan tidak akan terjadi nahdah dalam erti yang setulennya  tanpa agenda gerakan berteraskan   paduan dua nilai asasi  -  iman dan ilmu.   

Martabat keunggulan memang selamanya bersyarat.   Martabat al-a`lawn (orang-orang yang paling tinggi derajatnya) seperti yang disebut dalam surah Ali `Imran: 139,  adalah kurnia bersyarat  “…jika kamu (benar-benar) mukmin.”    Demikian juga  martabat keunggulan khayriyyah (umat terbaik) yang disebut dalam surah Ali `Imran:110,     bersyarat  dengan  iman yang semurni dan setulennya, iaitu iman  yang membangkitkan komitmen  kebaktian kemanusiaan  al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar.   Faktor pengangkat martabat selain iman ialah ilmu.  Memang tidak akan sama martabat  umat yang berbudaya ilmu dengan umat yang mengabaikan ilmu (Al-Zumar:9).   


Iman dan keberagamaan secara utuh

Bertolak dari premis tersebut, gerakan reformasi islahi harus bermula dengan   pembinaan umat salim al-`aqidah, umat yang memahami dan menghayati  tawhid  dengan segala implikasinya dalam segala ranah kehidupan  -  keagamaan dan kemasyarakatan.  Tawhid  dalam pengertian tersebut seharusnya    menjelmakan  al-tadayyun  atau religiosity  yang sempurna  menepati  makna  kesempurnaan  (shumuliyyah) al-Islam.  Antara gagasan besar  kebangkitan Islam (Islamic resurgence) yang kita pelopori pada hujung abad lalu,   termasuk  pemerataan kesedaran tentang hakikat  shumuliyyat al-Islam atau Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna.        Sekarang sudah saatnya kita menilai  tahap keberagamaan  (al-tadayyun) umat kita keseluruhannya.   Ternyata secara umum keadaannya jauh lebih baik daripada zaman pra-kebangkitan Islam.   Namun demikian kita juga melihat gejala ketidaksempurnaan dalam memahami dan menghayati Islam.   Masih ada sebahagian umat yang sikap keberagamaannya  hanya memusat pada bidang tertentu,  tetapi mengabaikan bidang-bidang lain yang pada hakikatnya menjadi bahagian daripada agama Islam. Ramai yang hanya menjadi salih  spiritual,  tetapi gagal menjadi salih sosial;  kuat beribadat tetapi tidak memiliki kepedulian sosial.  Gejala seperti inilah yang disebut oleh Fahmi Huwaydiy sebagai al-tadayyun al-manqus atau keberagamaan yang tidak utuh dan sempurna.   Demikianlah hakikatnya,  masih ramai yang setiap tahun menunaikan haji dan umrah,  tetapi tidak sensitif terhadap derita kemanusiaan, dan tidak peka terhadap gejala kemungkaran  -  kezaliman, penindasan, rasuah, penipuan dan lain-lain sebagainya.  Malah tidak sedikit yang mati-matian dan tanpa malu-malu  mempertahankan koruptor dan orang zalim.  

Begitulah antara realiti masa kini yang perlu ditangani oleh para ilmuwan-da`i.  Perubahan dari  al-tadayyun al-manqus kepada al-tadayyun al-shamil (keberagamaan yang utuh dan sempurna)  memerlukan komitmen pendakwahan dan pendidikan massal  yang bersifat intensif-korektif.     Gerakan perubahan islahi tidak boleh diasaskan hanya pada pengobaran semangat,  tetapi harus berteraskan agenda pendidikan tanwiriy (pencerahan)   -  membangkitkan kesedaran keislaman (al-wa`y al-Islamiy)  yang tulen dan membangun tradisi keilmuan yang kuat.


Pelestarian Tradisi Ilmu

Rangkaian gerakan ini (PKPIM-ABIM-WADAH) sesungguhnya sangat beruntung ditakdirkan mewarisi  kekuatan tradisi keilmuan yang dibina sejak awal oleh generasi pengasas,  khususnya tokoh ikonik kebangkitan Islam di Malaysia,  Dato’ Seri Anwar Ibrahim.  Andainya prestasi kepimpinan diukur dari segi kejayaannya sebagai human transformer dan culture builder,   Dato’ Seri Anwar  -  tanpa ragu – telah memenuhi kedua-dua kriteria tersebut.   Justeru,  beliau telah berjaya merubah sikap dan watak ribuan anak muda generasinya,   dan sekaligus membina budaya baru berteraskan ilmu,  tidak hanya dalam kalangan warga gerakan yang dipimpinnya,  malah merentas ke tengah umat dan rakyat keseluruhannya.   Tradisi penggabungan aktivisme-intelektualisme keagamaan yang beliau pelopori itulah yang kita warisi dan lestarikan hingga ke hari ini. 

Rakan-rakan seangkatan dapat sama-sama memberikan kesaksian  bagaimana eksperimen penting  tersebut bermula dengan berteraskan  kefahaman terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah yang menjadi  bahan asas  program belajar bersama  bernama usrah.    Di atas asas inilah  terbinanya  sebuah tradisi  keilmuan  berorientasi gerakan   yang memadukan pemikiran  harakiy kontemporari seperti al-Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, al-Mawdudiy  dan Muhammad Natsir  dengan pemikiran intelektual Muslim kelas dunia:   al-Ghazaliy, Ibn Khaldun, Malik Bennabi,  Syed Husain Alatas, Sayyid  Muhammad Naquib al-Attas,  Abu al-Hasan `Ali al-Nadwiy,   Muhammad Asad,   Seyyed Hosein Nasr dan lain-lain.     Malah   daerah penjelajahan intelektual generasi tersebut meluas meliputi  pemikiran sarjana-sarjana bukan-Muslim   seperti  Henri Pirenne,  Gunnar Myrdal, Paulo Freire dan lain-lain.

Anwar Ibrahim, tokoh inspirator  dan sekaligus pembina tradisi  keintelektualan gerakan ini mengungkapkan suara nuraninya  dalam prakata bukunya Gelombang Kebangkitan Asia,

                   Penulis   memasuki   alam  dewasa   tatkala  rantau  ini  bergolak,
                   menjalani   transformasi  sosial  yang  hebat,   idea dan  peristiwa
                   bertembung  dan  saling  pengaruh-mempengaruhi.     Ia  adalah
                   zaman  kebangkitan  kesedaran moral dan keagamaan  di kalangan
                   generasi  muda dan  kesedaran ini  mendorong tumbuhnya gerakan
                   pelajar yang berani untuk menentang kepura-puraan dan keruntuhan
                   akhlak   dalam  masyarakat.     Ia juga zaman   kegelisahan  politik,
                   kekecewaan   terhadap   pembangunan   yang   tidak   seimbang,
                   merebaknya   faham  radikal,    rasuah dan ketidakstabilan serantau
                   akibat campurtangan Amerika Syarikat di Vietnam.  Penulis sebagai
                   anak muda terjun di tengah-tengah gelanggang pergelutan ini dengan
                   keyakinan bahawa   to be is to act,   kewujudan  manusia ditakrifkan
                   oleh tindakannya.    Tetapi penulis juga insaf bahawa  tradisi-tradisi
                   agung  umat manusia,    lebih-lebih  lagi  Islam,    juga menegaskan
                   bahawa  to  be  is  to  know,    kewujudan  manusia ditakrifkan  oleh
                   usaha menyelami hakikat,   yang kekal dan yang  berubah.    Tanpa
                   ilmu tindakan itu sendiri boleh menyimpang.   Ilmu juga menyemai
                   sikap  tawadhu`  dan  memupuk  kita  sentiasa bersikap terbuka dan
                   mendengar  pandangan orang  lain.   Ilmu dan amal:  penulis diasuh
                   dari kecil untuk mensepadukannya.  Ilmu itu sendiri mengasyikkan,
                   meluaskan ufuk pemikiran,   tetapi ilmu  tanpa amal laksana  pohon
                   tidak berbuah.  (Anwar Ibrahim, 1997: x-xi).

Demikianlah seorang  ilmuwan pejuang memaknai hidup   -   mencari kebenaran,  mempertahankan kebenaran  dan mendaulatkan kebenaran.    Kualiti seorang ilmuwan tidak ditentukan oleh gelar akademik yang disandang,   tetapi  oleh komitmen keilmuan  yang meliputi  kecintaan terhadap ilmu,  kejujuran terhadap kebenaran ilmu,  kesetiaan terhadap  moral dan etika (akhlak) keilmuan, kegigihan memperjuangkan kebenaran ilmu,  dan keberanian  menghadapi  risiko komitmen keilmuannya.  Hidup sebagai ilmuwan berprinsip memang pahit,  terutama pada jaman edan seperti sekarang ini.  Sikap “berani kerana benar, takut kerana salah” yang kita warisi turun-temurun,   kini sudah berganti dengan sikap “berani  walaupun salah, takut sekalipun benar”  kerana  kesalahan selalu dilindungi, sementara kebenaran seringkali diperangi.  Pada zaman  gila,  kekuasaan merajalelai segala-gala,   sehingga  orang yang memiliki kuasa boleh berbuat seenaknya,  “benar tak benar, dibenarkan!”;   sedang yang tidak memilikinya selalu menjadi mangsa, “salah tak salah, disalahkan!”.  Ilmuwan berprinsip memang tidak mungkin rela menyerah  kepada  budaya warisan jaman edan  seperti itu.   Kebatilan dan kepalsuan harus dilawan dengan menyalakan kembali semangat “berani kerana benar!”.  Kepalsuan tidak akan mampu bertahan seperti kata Rendra dalam puisinya SAJAK SEORANG TUA DI BAWAH POHON,  “O, kepalsuan yang diberhalakan, berapa jauh akan bisa kau lawan kenyataan kehidupan.”.


Kemerosotan Kualiti Kecendekiawanan  

Sikap optimis memang perlu,  tetapi jangan sampai meremehkan  masalah serius yang sedang kita hadapi, iaitu  gejala kemerosotan kualiti para graduan  sebilangan institusi pengajian tinggi  masa kini.  Isu inilah antara yang sangat diprihatinkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak puluhan tahun.   Ketika menjadi Menteri Pendidikan Malaysia, beliau pernah mengarahkan semua Naib Canselor membaca  sebuah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat.  Laporan tersebut,  A Nation at Risk:  The Imperative for Educational Reform  -   A Report to the Nation and the Secretary of Education,  United States Department of Education by the National Commission on Excellence in Education, April 1983 mengemukakan sejumlah perakuan reformasi pendidikan untuk menangani ancaman dan bahaya akibat ketertinggalan Amerika Syarikat di belakang negara-negara pesaingnya.  Suruhanjaya nasional tersebut merakamkan keprihatinannya tentang tahap kekuatan intelektual, moral dan spiritual bangsa Amerika, “Our concern, however, goes well beyond matters such as industry and commerce.  It also includes the intellectual, moral and spiritual strength of our people which knit together the very fabric of our society”.    Perhatian Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadap mutu pendidikan dan kualiti kesarjanaan ternyata besar sekali.  Meskipun sudah tidak menjadi Menteri Pendidikan,  perkembangan dunia pendidikan terus diikutinya tanpa henti.  Laporan yang dikaji dan diteliti tidak berhenti pada A Nation at Risk,  tetapi dilanjutkan hingga ke laporan-laporan lain  yang berikutnya,  termasuk A Test of Leadership:  Charting the Future of U.S. Higher Education   -   A Report of the Commission Appointed by Secretary of Education Margaret Spellings, 2006.  Laporan yang disemangati objektif menangani era baru intellectual capital abad 21 itu memprihatinkan gejala pelbagai rupa kemerosotan dalam pendidikan tinggi negara kuasa besar itu.    Kesimpulan laporan tersebut menyatakan,

                   The future of our country’s colleges  and  universities  is  threatened
                   by global competitive pressures, powerful technological development,
                   restraints on public finance,   and serious  structural limitations  that
                   cry out for reform.

                   Our  report  has  recommended  strategic actions designed  to make
                   higher   education   more  accessible,   more   affordable,   and more
                   accountable,   while maintaining world-class quality.    Our colleges
                   and   universities must become more transparent,   faster to respond
                   to   rapidly   changing   circumstances and  increasingly  productive
                   in order to deal effectively with  the powerful  forces of change  they
                   now face.


Selain laporan-laporan badan bentukan pemerintah, terdapat pula lambakan buku-buku yang menyuarakan kritik dan keprihatinan terhadap orientasi dan kualiti institusi-institusi pengajian tinggi  di pelbagai rantau dunia.  Dalam isu ini, institusi-institusi pengajian tinggi Islam juga tidak terkecuali. Keunggulan universiti al-Azhar sendiri kini dipersoalkan.  Dalam tulisannya Risalat al-Azhar bayna al-ams wa al-yawm wa al-ghad (Misi al-Azhar:  kelmarin, kini dan nanti)  Dr.Yusuf al-Qaradawiy menyarankan agar al-Azhar melakukan kritik diri (al-naqd al-dhatiy)  setelah demikian banyak aduan tentang berlakunya  gejala kemorosotan standard  dan kualiti (hubut al-mustawa wa su’ al-nata’ij) dalam sistem persekolahan al-Azhar.  Al-Qaradawiy juga menyarankan agar kurikulum pengajian Islam di Azhar diubahsuai dan dikemaskini,  termasuk mata kuliah usuluddin dan fiqhnya yang sebahagian kandungannya dinilai sudah ketinggalan zaman dan tidak mampu menjawab persoalan-persoalan masa kini.  Beliau juga sangat memprihatinkan budaya ketergantungan pelajar kepada nota para pensyarah.  Menurutnya, penerbitan dan pengedaran nota-nota (al-mudhakkirat) itu lebih bermotif keuntungan untuk pensyarah daripada manfaat bagi pelajar.

Fahmi Huwaydiy,  penulis prolifik dan cendekiawan Mesir terkenal,  juga pernah meyuarakan keprihatinannya terhadap kualiti pengajian al-Azhar lewat makalah-makalahnya,  al-Azhar fi khatar (al-Azhar dalam bahaya) dan al-Watha’iq hina tatakallam (apabila dokumen-dokumen berbicara sendiri).  Meskipun kenyataan-kenyataannya dalam makalah-makalah yang disiarkan dalam akhbar al-Ahram (Mac1998) itu ditolak dan dinafikan oleh wakil al-Azhar, Huwaydiy dihujani surat-surat dukungan dari pelbagai pihak termasuk para ulama al-Azhar sendiri yang menggesa agar al-Azhar diselamatkan dan dikembalikan kepada misinya yang sebenar.    Juga dari ibu-bapa penuntut yang mengadukan kemerosotan standard anak-anak mereka yang belajar di al-Azhar.

Isu pokok dalam ranah kecendekiawanan masa kini,  sebenarnya bukan sangat segi kuantitinya,  tetapi lebih dari segi kualitinya.  Ramainya bilangan yang berijazah, bukan indikator yang sah tentang kekuatan intelektualisme umat.  Dalam kaitan ini mungkin ada manfaatnya kita merenung jawapan Mitsuo Nakamura (Profesor Emeritus, Chiba University, Jepun) kepada pertanyaan majalah TEMPO (10-16 Ogos 2015) tentang peranan organisasi besar seperti Muhammadiyah dalam pengembangan sektor pendidikan.  Cendekiawan yang terkenal akrab dengan Indonesia itu menyatakan, “Mereka harus mencegah inflasi akademis.  Kita tahu, jumlah lulusan perguruan tinggi di Indonesia sangat besar.  Banyak lulusan magister dan doktoral di sini, tetapi kualitasnya diragukan. Semestinya ada kontrol yang ketat terhadap kualitas para master dan doktor itu.  Saya mencontohkan beberapa orang yang saya kenal.  Mereka mendapatkan ijazah S-3 padahal jarang melakukan penelitian dan jarang menulis makalah.  Jadi mereka semacam hanya duduk di atas gelar S3-nya.”

Membaca kata-kata Nakamura tersebut,  terasa seolah-olah beliau juga berbicara tentang Malaysia.  Justeru, kita dapat mengongsi keprihatinan dan saranannya.  Lebih memprihatinkan lagi,  Institusi-institusi pengajian tinggi kita sudah  begitu parah mengalami politisasi dan komersialisasi yang keterlaluan.  Peristiwa tindakan pihak pentadbiran universiti menghukum pemimpin mahasiswa hanya kerana menganjurkan forum GST dengan menghadirkan pembicara yang kritis dan menguasai subjek perbahasan forum.  Amalan memaksakan pandangan sebelah pihak ke atas mahasiswa universiti  mengingatkan kita kepada  dasar pembelengguan pemikiran rejim Fir’aun seperti yang terumus dalam ayat 29 surah Ghafir (…aku tidak perlihatkan kepada kamu selain apa yang aku lihat).  Pendidikan  yang membelenggu pemikiran rakyat dapat disebut sebagai   the education proper to slaves…unlike the education proper to free men. 

Bagaimana mungkin kita mengharapkan  lahirnya cendekiawan berkualiti  dari institusi-institusi pengajian tinggi sedemikian.  Ijazah tidak memberikan erti apa-apa tanpa semangat dan jiwa kesarjanaan,  iaitu semangat dan jiwa mencari kebenaran, menghayatinya, megembangkannya dan memperjuangkannya.   Cendekiawan Muslim seharusnya memiliki kompetensi keilmuan  yang memungkinkannya  menjawab persoalan-persoalan zaman dan lingkungannya.  Untuk menghadapi cabaran realiti hari ini diperlukan ijtihad baru.  Tanpa kompetensi  berijtihad,  pemikiran Islam akan terus membeku  pada teks-teks warisan zaman silam yang relevan pada zamannya,  tetapi tidak semestinya relevan lagi pada zaman kini dengan segala realiti barunya yang serba kompleks.   Kemandulan  intelektual akan mengakibatkan  pelarian umat mencari jawapan di luar Islam.

Ijtihad tidak hanya memerlukan kefahaman yang mendalam tentang nass (al-Qur’an dan al-Sunnah),  tetapi juga kefahaman yang tepat tentang realiti (waqi`) yang dihadapi.   Untuk memahami waqi` hari ini yang sudah sedemikian kompleks,  tentunya tidak dengan kitab-kitab peninggalan fuqaha’ silam,   tetapi dengan ilmu-ilmu kontemporari  dari pelbagai disiplin,  ilmu-ilmu yang disebut  oleh Rashid al-Ghannushiy sebagai al-`ulum al-mutakhassisah fi fiqh al-waqi`  (ilmu-ilmu pengkhususan dalam fiqh realiti) yang meliputi  ilmu-ilmu sosial,  ekonomi, sejarah, falsafah  dan lain-lain. (Al-Ghannushiy, Rashid, 2000: 112).


Pengkhianatan Intelektual

Dalam wacana-wacana  tentang kecendekiawanan selalu dibangkitkan isu pengkhianatan kaum intelektual.  Memang  pengkhianatan selalu berlaku sepanjang sejarah.  Kerana itu wajar kita mewaspadai gejala yang disebut oleh Hamka sebagai “mengilmiahkan kebohongan-kebohongan”.  Memelihara  amanah `ilmiah seharusnya dijunjung sebagai komitmen keintelektualan,  terutama pada zaman leluasanya moral deficit seperti sekarang ini.    Sebagai ilmuwan-da`i kita memikul amanah  menampilkan Islam dalam wajah dan citra hakikinya  sebagai agama rahmat sejagat (rahmatan li al-`alamin).  Kita bergembira,   sejak kita mengangkat  tema ini dalam Muktamar Nasional Kelapan tahun lalu (20-21 September 2014), banyak pihak yang menyambutnya  dengan ghairah dan bersemangat.   Kita ingin mengajak rakan-rakan yang berkongsi aspirasi ini untuk menggembleng kekuatan kolektif  memelihara citra  rahmatan li al-`alamin agama ini dengan penuh rasa cemburu.  Justeru, kita sama-sama menyedari adanya kalangan yang  mencemari citra agama rahmah ini dengan menyimbahkan warna perkauman yang pekat, garang dan menakutkan.  Dalam sejarahnya, umat rantau Melayu telah melaksanakan  amanah pencitraan ini dengan menampilkan wajah Islam yang ramah, santun dan peduli.  Rekod sejarah toleransi yang unik rantau ini harus dilestarikan  sebagai memenuhi tuntutan amanah keilmuan.


Hubungan Ilmuwan-Penguasa

Isu lain yang banyak diserlahkan dalam pembicaraan tentang kecendekiawanan  ialah hubungan antara ilmuwan dengan penguasa.  Dari al-Ghazaliy (Ihya’ Ulum al-Din) hingga Edward W.Said (Representations of the Intellectual) persoalan  sikap para ilmuwan terhadap kekuasaan dibicarakan  dalam pelbagai konteks realiti zaman.  Dari segi idealnya,  tidak seharusnya ada masalah antara kedua pihak tersebut seperti yang berlaku pada  zaman awal sejarah  Islam.  Para penguasa (al-khulafa’ al-Rashidun) adalah juga ilmuwan-ilmuwan yang kompeten dan komited.    Tetapi dalam perkembangan sejarah kemudiannya,  kekuasaan menjadi monopoli  elit politik keluarga tertentu  dan dengan demikian partisipasi  para ilmuwan semakin terbatas.  Meskipun masih ada ulama yang menempati  posisi-posisi pemerintahan,  tetapi dapat dikesan berlakunya pengunduran yang fenomenal para ulama dari politik kekuasaan,  terutama ketika leluasanya kezaliman, kefasikan  dan kefasadan dalam pemerintahan.   Dalam konteks seperti itulah al-Ghazaliy menyarankan agar ulama menjauhi  penguasa.

Pada suatu ketika  kekuatan kedua pihak agak seimbang.  Penguasa memiliki tentera dan senjata,  sementara ulama memiliki massa  pendukung yang setia.  Tetapi keseimbangan tersebut  tidak sentiasa dapat dipertahankan.  Ketika ulama tidak lagi mengakar di tengah umat,   penguasa menjadi  leluasa, menggunakan wewenang dengan sewenang-wenang.  Sebahagian ulama,  seperti yang disebut oleh al-Qaradawiy dalam konteks politik Asia Barat  ketika ini,  sudah menjadi `ulama’ al-sultah wa `umala’ al-shurtah (ulama penguasa, dan talibarut polis/tentera).  Dengan demikian telah berlakulah perselingkuhan kaum cendekiawan dengan kekuasaan politik. 

Seperti apa pun keadaanya,  para cendekiawan harus memiliki keberanian menyatakan kebenaran.   Demikianlah  pesan nabawi tentang jihad al-kalimah   -   menyatakan kalimat kebenaran di hadapan penguasa zalim,   walau apa pun risikonya.  Itu jugalah mesej  utama Edward W.Said  dalam bukunya Representations of the Intellectual yang diungkapkan  di bawah bab khusus,  Speaking Truth to Power.  Said  mengajak kita menjadi intelektual berprinsip, setia kepada kebenaran dan berani membuat pendirian dalam keadaan sesulit mana pun.   Beliau sangat tidak senang dengan intelektual  opportunist  yang mementingkan diri,  mengejar pangkat dan kedudukan  dengan mengenepikan prinsip,

                   Nothing in my view is more reprehensible than those habits of mind
                   in the intellectual that induce avoidance, that characteristic turning
                   away from a difficult and principled position which you know to be
                   the right one, but which you decide not to take.  You do not want to
                   appear too political;  you are afraid of seeming controversial;   you
                   need the approval of a boss or an authority figure; you want to keep
                   a reputation for being balanced, objective, moderate;   your hope is
                   to  be  asked back,   to  consult,    to  be  on  a  board  or prestigious
                   committee,   and  so to  remain  within  the responsible mainstream;
                   someday  you hope to get an  honorary degree,   big prize,  perhaps
                   even an ambassadorship.  (Said, E.W., 1994:74).

Pesan-pesan kecendekiawanan Edward W.Said perlu direnung,  khususnya dalam konteks zaman kemerosotan moral kaum intelektual yang sudah ramai merelakan diri menjadi hamba kekuasaan.  Pentingnya pesan-pesan Edward W.Said disebut oleh Noam Chomsky dalam sambutannya terhadap buku tersebut, “Edward Said helps us to understand who we are and what we must do if we aspire to be moral agents, not servants of power.”   Hidup sebagai ilmuwan berprinsip dan bermoral memang banyak risikonya, terutama apabila berhadapan dengan penguasa politik.    Hakikat ini disedari dan dialami oleh semua mereka yang mengamalkannya,  khususnya intelektual di Dunia Ketiga.  Soedjatmoko, cendekiawan Indonesia yang cukup dikenal oleh masyarakat intelektual di dalam dan di luar negara, menyebut  risiko yang dihadapi oleh mereka yang mempunyai komitmen moral dan kejujuran intelektual,

                   Theirs is also a risky calling  -  squeezed as they are between their
                   professional integrity and moral commitment on the one hand and
                   political pressures on the other.  This means that often the greater
                   their commitment to moral commitment and scholarly honesty, the
                   tougher  and  more agonizing their jobs become.   The  price  they
                   sometimes have to pay is loss of their freedom -  or even their lives.
                   (Triman, A.H., 2010: 79-80).     


Akhlak Kecendekiawanan
                           
Selain kompetensi dan amanah keilmuan,  cendekiawan Muslim seharusnya memiliki watak kecendekiawanan yang utuh,  bercirikan integriti moral yang tinggi.   Yang disebut  ulama pewaris nabi (al-`ulama’  warathat al-anbiya’) adalah ulama yang mewarisi ilmu, akhlak, watak dan amal perjuangan para anbiya’.   Dalam masyarakat kita, ulama selalu diberi  penghormatan panggilan sahib al-fadilah.  Tetapi yang sebenarnya layak dipanggil sahib al-fadilah hanyalah mereka yang mengamalkan al-fada’il.     Antara faktor keruntuhan wibawa ulama,  selain  kemerosotan kompetensi keilmuan ialah kemerosotan akhlak keulamaan.   Mungkin kerana menyedari gejala ini,  Dr. Yusuf al-Qaradawiy dalam Risalat al-Azhar mengingatkan para ulama Azhariy  agar menghayati  akhlaq al-`ulama’  yang meliputi  sifat-sifat mulia:  berani, zuhud, ikhlas dan `izzah.

Cendekiawan,  ilmuwan, intelektual dan ulama harus memiliki  keberanian  bersikap,  keberanian menyatakan yang benar,  dan keberanian menghadapi risiko.  Keberanian ulama silam seperti al-Imam Ahmad ibn Hanbal, `Izzuddin ibn `Abd al-Salam, Ibn Taymiyyah dan lain-lain seharusnya menginspirasikan kebangkitan kecendekiawanan dengan semangat shaja`at al-`ulama’ (keberanian para ulama).   Sudah sekian lama kita terbelenggu dalam budaya takut (culture of fear)  dan budaya bisu,  membiarkan pelbagai kezaliman dan kemungkaran yang berlaku di hadapan mata.  Al-sukut `an al-munkar (membisu  terhadap kemungkaran)  adalah suatu pengkhianatan intelektual.   Ilmuwan harus berakhlak dengan sifat zuhud dalam pengertian tidak tersihir dengan pesona dunia, baik berupa harta, pangkat, gelar atau lain-lain  sejenisnya.  Ilmuwan harus ikhlas dalam erti ketulusan hati  semata-mata demi mencari keredhaan Allah,  bukan mengejar populariti, publisiti atau citra selebriti.    Ilmuwan juga harus memiliki  sifat `izzah,  menjaga maruah, kehormatan dan harga diri,  terutama ketika berhadapan dengan kekuasaan, kekuatan dan kekayaan.  `Izzah tidak bererti membesarkan diri atau  angkuh.  Kerana itu ia tidak bertentangan  dengan sifat tawadu` yang juga menjadi bahagian daripada akhlaq al-`ulama’.      

Bulan lalu kita menerima khabar  yang sangat memprihatinkan dari Indonesia.    Nahdlatul  Ulama (NU), organisasi Islam terbesar di Indonesia, melangsungkan muktamarnya yang ke-33 di Jombang,  Jawa Timur,  pada 1-6 Ogos yang lalu.   Yang menjadikan kita tersentak  ialah laporan tentang keributan yang berlaku sehingga dianggap sebagai muktamar terburuk sepanjang sejarah NU.  Halaman Opini, Majalah TEMPO (10-16 Ogos, 2015)  menyebutnya “Muktamar yang gaduh hujan protes dan nyaris adu jotos”,    suatu tragedi  moral yang ditafsirkan “seolah-olah persekot  rontoknya adab kaum sarungan ini  -  wabilkhusus dalam bermuktamar”.  Ada pula pihak yang melihatnya  sebagai muktamar yang telah dicemari  politik wang dan campurtangan politik kepartian.  Tentu sahaja, kita ikut hiba dengan peristiwa malang yang menimpa organisasi Islam yang memakai nama Nahdat al-`Ulama’ (Kebangkitan Ulama), yang memang didominasi oleh para kiyai  dan warga pesantren.  Memang suatu “kemalangan moral” yang serius telah terjadi.  Demikian seriusnya kacau-bilau pelanggaran terhadap nilai-nilai akhlak dan kehalusan susila sehingga Kiyai Haji Ahmad Mustofa Bisri, Rais Am  Pengurus Besar Nahdlatul Ulama menyeru dan merayu muktamirin dengan kata-kata yang cukup mengharukan, “…dengan hormat, kalau perlu saya mencium kaki anda semua agar mengikuti  akhlakul karimah, akhlak Mbah Hasyim dan pendahulu kita.”   Segalanya telah terjadi,  yang penting kita belajar dari sejarah,  memahami rahsia di balik peristiwa.  Banyak hal-hal yang boleh disorot dan direnung,  termasuk kata-kata dan tindakan tokoh kiyai-budayawan dan pemimpin organisasi,  Kiyai Mustofa Bisri.  Beliau akhirnya menolak pelantikan sebagai Rais Am,  walaupun telah disepakati oleh badan  ahl al-hall wa al-`aqd.  Kalau mahu, beliau boleh tersenyum megah dengan kemenangan mutlak yang diraihnya sebagai Rais Am, jawatan pemuncak para kiyai.     Tentu ada mesej penting di sebalik sikap dan tindakan yang mengejutkan itu.  Mungkin yang beliau rasakan pada saat seperti itu bukan “kemenangan”,  tetapi “kegagalan”-nya sebagai pemimpin-pendidik sehingga akhlak warganya runtuh separah itu.  Ada kalangan yang membacanya sebagai  penghantaran mesej kepada pimpinan dan warga NU seluruhnya,  bahawa kita harus berasa malu dan prihatin,  di samping berusaha merangkul  semua pihak yang bertikai,  dan untuk itu harus ada tokoh berkredibiliti dan berintegriti tinggi yang berada di atas segala silang-sengketa konflik antara kubu.  Penampilan  tokoh yang memiliki  wisdom kepimpinan memang sangat diperlukan  pada saat memuncaknya kemelut,  ketika orang lain hilang kesedaran,  hanyut  bersama arus pertarungan  hancur-hancuran.



Khatimah

Mustofa Bisri adalah ilmuwan-penyair yang memiliki ketajaman daya renung dan kepedulian tinggi terhadap segala yang berlaku kepada agama,  bangsa dan negaranya.  Berikut kami ungkapkan dua buah  puisi  beliau,  KAUM BERAGAMA NEGERI INI  dan NEGERI HAHA HIHI.   Puisi pertama tentang kelompok  umat yang ditimpa penyakit “perasan”,   merasa diri paling dekat dengan Tuhan, lalu merasa layak berbuat apa sahaja atas nama-Nya.  Puisi kedua  tergolong dalam kategori  “puisi-puisi balsem”, iaitu puisi lipur lara sementara.  Kita mentertawakan sebentar kelucuan yang kita saksikan,  tetapi  kembali  kecewa  sesaat kemudian.     
                    
 
KAUM BERAGAMA NEGERI INI

Tuhan,
Lihatlah, betapa baik kaum beragama negeri ini.
Mereka tak mahu kalah dengan kaum beragama lain
di negeri-negeri lain.

Demi mendapatkan ridho-Mu,
mereka rela mengorbankan saudara-saudara mereka.
Untuk mendapat tempat terdekat di sisi-Mu,
bahkan mereka tega menyodok dan menikam hamba-hamba-Mu sendiri.

Demi memperoleh rahmat-Mu,
mereka memaafkan kesalahan dan mendiamkan kemungkaran,
bahkan mendukung kelaliman.

Untuk membuktikan keluhuran budi mereka,
terhadap setanpun mereka tak pernah berburuk sangka.

Tuhan,
Lihatlah betapa baik kaum beragama negeri ini
Mereka terus membuatkan-Mu rumah-rumah mewah
di antara gedung-gedung kota hingga di tengah-tengah sawah
dengan kibah-kubah megah
dan menara-menara menjulang
untuk meneriakkan nama-Mu
menambah segan dan keder hamba-hamba kecil-Mu
yang ingin sowan kepada-Mu.

Nama-Mu mereka nyanyikan
dalam acara hiburan
hingga pesta agung kenegaraan.
Mereka merasa begitu dekat dengan-Mu
hingga masing-masing merasa berhak mewakili-Mu.

Yang memiliki kelebihan harta
Membuktikan kedekatannya dengan harta yang Engkau berikan.
Yang memiliki kelebihan kekuasaan
Membuktikan kedekatannya dengan kekuasaannya yang Engkau limpahkan.
Yang memiliki kelebihan ilmu
Membuktikan kedekatannya dengan ilmu yang Engkau karuniakan.

Mereka yang Engkau anugerahi kekuatan
seringkali bahkan merasa diri Engkau sendiri
Mereka bukan saja ikut menentukan ibadah
tetapi juga menetapkan siapa ke sorga siapa ke neraka.

Mereka sakralkan pendapat mereka
dan mereka akbarkan semua yang mereka lakukan
hingga takbir dan ikrar mereka yang kosong
bagai perut bedug.

Allahu Akbar wa li ‘Llahi ‘l-hamd.    



NEGERI  HAHA HIHI

Bukan kerana banyaknya grup lawak
maka negeriku selalu kocak.
Justeru grup-grup lawak hanya mengganggu
dan banyak yang bikin muak.
Negeriku lucu, dan para pemimpinnya suka mengocok perut.

Banyak yang terus pamer kebodohan
dengan keangkuhan yang menggelikan.
Banyak yang terus pamer keberanian
dengan kebodohan yang mengharukan.
Banyak yang terus pamer kekerdilan
dengan teriakan yang memilukan.
Banyak yang terus pamer kepengecutan
dengan lagak yang memuakkan.

Hahaha
Penegak keadilan jalannya miring
Penuntut keadilan kepalanya pusing
Hakim main mata dengan maling
Wakil rakyat baunya pesing
Hihihihi

Kalian jual janji-janji untuk menebus kepentingan sendiri.
Kalian hafal pepatah-petitih untuk mengelabui mereka yang tertindih.
Pepatah-petitih

Hahahaha
Anjing menggonggong kafilah berlalu,
sambil menggonggong kalian terus berlalu.
Hahahaha

Sekali dayung dua pulau terlampaui,
sekali untung dua pulau terbeli
Hahahaha

Gajah mati meninggalkan gading,
harimau mati meninggalkan belang,
kalian mati meninggalkan hutang.
Hahaha

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,
lebih baik yook hujan-hujanan caci maki.
  



Rujukan

Al-Ghannushiy, Rashid. 2000.  Al-Harakat al-Islamiyyat wa Masalat al-Taghyir.
                   London:  Al-Markaz al-Magharibiy li al-Buhuth wa al-Tarjamah.

Al-Mursiy, Kamal al-din `Abd al-Ghaniy.  2001.  Al-`Ilmaniyyat wa al-`Awlamat wa al-
                   Azhar.  Iskandariyyah: Al-Maktab al-Jami`iy al-Hadith.

Al-Qaradawiy, Yusuf.  2009.  Risalat al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yawm wa al-Ghad.
                   Kaherah:  Maktabah Wahbah.

Anwar Ibrahim.  1997.  Gelombang Kebangkitan Asia.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa
                   dan Pustaka.

Huwaydiy, Fahmi. 1994.  Al-Tadayyun al-Manqus.  Beirut: Dar al-Shuruq.

Said. Edward W. 1994.  Representations of the Intellectual: The 1993 Reith Lectures.  London: Vintage.

Triman, Andre Hero (ed.). 2010.  Asia di Mata Soedjatmoko.  Jakarta: KOMPAS.



1 comment:

Syahid said...


Bismillahir Rahmanir Rahmanirahim

https://keep.line.me/s/e3CDyq3Xh6tfeqo-Q1f-HigFRyCYa00QAvqdfwTEsuI

Salam dan renungan

Web: almawaddah.info

Kepada;

Yang dihormati Para rektor universiti, para akademik dan para mufti.

Tun,Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/tuan/puan.

Perkara: "Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertentangan dengan al-Qur'an dan ayat-ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah" sebagai kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah.info

1. Tidakkah al-Qur'an itu asas agama Islam yang diredai oleh Allah dan Rasul-Nya?

2. Tidakkah Islam itu rahmatan lil Alamin?

Terima kasih dan 'afwan.

Daripada;

Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.







.....