Showing posts with label Ijtima' harakiy. Show all posts
Showing posts with label Ijtima' harakiy. Show all posts

Friday, August 5, 2011

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian akhir

DEMOKRASI DAN PLURALITI:   
PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH

Siddiq Fadzil


Islam dan Pluraliti

Dalam masyarakat demokratik tidak boleh ada  pemaksaan menelan pendapat yang tidak disetujui.   Memaksa rakyat menerima pendapat penguasa dan   mencabul kebebasan media adalah sejenis  al-irhab al-fikriy    atau terorisme pemikiran.    Pluraliti atau kepelbagaian,  termasuk kepelbagaian pendapat seharusnya disikapi  secara positif sebagai  ikhtilaf yang membawa rahmah.    Sebagaimana halnya perbezaan pendapat dalam fiqh yang  akhirnya membentuk pelbagai mazhab,   maka demikian jugalah perbezaan pendapat dalam politik yang kemudiannya menjelmakan pelbagai parti.   Kepelbagaian parti politik  (ta`addud al-ahzab al-siyasiyyah)  adalah suatu keperluan bagi mencegah kesewenang-wenangan para penguasa.   Dalam pemerintahan yang mengamalkan sistem satu parti,   tidak ada kekuatan korektif yang berkesan,   dan ini akan membuka ruang yang seluas-luasnya kepada segala bentuk penyelewengan, kecurangan dan kezaliman.   Dahulu,  ketika Amir al-Mu'minin `Umar ibn al-Khattab r.`a. meminta rakyat membetulkannya jika beliau menyeleweng, ada yang bangkit dengan ikrar akan membetulkannya dengan pedang.  Sukar untuk membayangkan hal seperti itu dapat dilakukan ketika ini,  kerana semua pedang sudah di tangan penguasa,  dan rakyat tidak punya apa-apa lagi.

Kehadiran pelbagai parti politik yang menawarkan agenda dan program yang berbeza-beza dapat memberikan peluang kepada rakyat  memilih mana yang terbaik.   Dalam sistem demokrasi  kekuatan idea harus disaingi dengan idea tandingan,  bukan ditindas dengan kekerasan.     Semua parti  akhirnya harus akur dengan keputusan rakyat yang dibuat melalui pilihan raya.   Mekanisme pilihan raya adalah jaminan proses  peralihan kuasa dari parti ke parti secara damai, tanpa  menyusahkan rakyat dalam silang sengketa pertumpahan darah.   Penggiliran kuasa memerintah di kalangan parti-parti politik seharusnya dianggap suatu yang wajar dan normal.  Kerana itu parti yang berkuasa tidak perlu bertindak  teror hancur-hancuran  demi  mempertahankan kuasanya,  yang  seolah-olah sudah menjadi harta pusaka datuk-nenek. 
    
Bagi umat Islam pluraliti  (tanawwu`, ta`addud, ikhtilaf)  adalah fenomena ciptaan Tuhan yang sarat dengan hikmah.  Yang  mutlak Tunggal hanya Allah sendiri,   sedang makhluk diciptakan beragam (mukhtalifan) dan berpasangan (azwajan).   Manusia diciptakan  lelaki dan perempuan,   berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  berbeza-beza bahasa dan berlain-lainan warna.       Kepelbagaian  tersebut diciptakan bukan tanpa makna.  Pluraliti adalah tanda (ayat)  yang menyiratkan hikmah dan makna untuk diteroka oleh al-`alimin, mereka yang memiliki daya renung keilmuan yang tajam.     Demikianlah premis yang membentuk sikap positif-apresiatif terhadap pluraliti.   Kerana itu pula tidak ada masalah  bagi umat Islam menghadapi  pluraliti masyarakat.

Dalam konteks Malaysia,  rakyat  bukan Muslim selayaknya dilayani sebagai  saudara setanahair.     Mereka bukan lagi kaum dhimmiy, suatu pengkategorian yang sudah  kehilangan justifikasi kesejarahannya.    Perubahan sejarah dan realiti politik telah menjadikan istilah tersebut tidak relevan lagi.  Realiti inilah yang diserlahkan oleh Fahmiy Huwaydiy, lalu diungkapkan dengan tegas lewat judul bukunya Muwatinun la Dhimmiyyun  (Warganegara, bukan Zimmiy).    Kesimpulan Huwaydiy tersebut mendapat dukungan  penuh dari al-Qaradawiy  yang menyarankan agar istilah tersebut dipadam sahaja kerana tidak lagi dapat diterima oleh kaum bukan Muslim:
        ولابد من حذف كلمات ومصطلحات تاريخية من قاموس التعامل المعاصر، مثل كلمة "ذمّة" التى لم
         يعد يقبلها غير المسلمين.

Lebih jauh al-Qaradawiy  menyebut  warga bukan Muslim sebagai saudara ketika merujuk kaum Koptik  dengan sebutan  ikhwanuna al-Aqbat.   Rupa-rupanya ada yang keberatan dengan sebutan saudara  untuk orang bukan Muslim (Kristian).  Dalam penjelasannya al-Qaradawiy menegaskan  bahawa memang mereka adalah saudara kita setanahair:
         إن الأقباط إخواننا فى الوطن، وإن لم يكونوا إخواننا فى الدين، يجمعنا وإياهم وطن واحد.

Dalam penghujahannya al-Qaradawiy merujuk sejumlah ayat dari surah al-Shu`ara'  tentang hubungan  persaudaraan (ukhuwwah) di antara para rasul (Nuh, Hud, Salih dan Lut `a.s.) dengan kaum masing-masing (Qawmu Nuh, kaum `Ad, kaum Thamud dan Qawmu Lut)  yang semuanya kufur dan mendustakan para rasul itu.    Namun demikian al-Qur'an menyebut hubungan antara rasul-rasul  tersebut dengan mereka  sebagai hubungan persaudaraan:
                                             قال لهم أخوهم

Dari ayat-ayat tersebut al-Qaradawiy merumuskan bahawa  selain persaudaraan keagamaan (ukhuwwat al-din) masih ada lagi bentuk-bentuk persaudaraan yang lain:  persaudaraan setanahair (al-ukhuwwat al-wataniyyah), persaudaraan sebangsa (al-ukhuwwat al-qawmiyyah), persaudaraan  seikhtisas (al-ukhuwwat al-mihaniyyah), persaudaraan seinsaniah (al-ukhuwwat al-insaniyyah) dan seterusnya.  

Sebagai saudara setanahair,    warga bukan Muslim  dapat menjadi komponen pembentukan satu ummah bersama kaum Muslimin.  Demikianlah petunjuk nabawi dalam pembentukan negara berbilang kaum sebagaimana yang didokumentasikan dalam  Piagam Madani (Sahifah Madinah).    Kaum Muslimin adalah satu ummah,  sementara Yahudi juga adalah satu ummah.   Tetapi dalam konteks kenegaraan,  kedua-duanya  dapat bergabung membentuk  ummah Madaniyyah,  tanpa melebur jati diri keumatan masing-masing.   Hakikat itulah yang diisyaratkan lewat ungkapan ummatun ma`a al-mu'minin (Yahudi bersama kaum Mukminin adalah satu ummah).   Kata kuncinya adalah  ma`a (bersama).    Teks Piagam Madani  tidak memakai ungkapan min al-Muslimin (Yahudi sebahagian daripada kaum Muslimin).

Berasaskan pertimbangan  al-siyasat al-shar`iyyah,  tidak ada halangan bagi kaum Muslimin mengadakan pakatan politik dengan parti-parti bukan Islam.   Asas pertimbangannya adalah maslahah.   Tidak ada nass yang menghalang sekiranya pakatan seumpama itu  mengandungi  masalahah bagi umat.     Atas pertimbangan yang sama,  juga tidak ada halangan bagi kaum Muslimin berkongsi kuasa dengan warga bukan Muslim.  Pada zaman kerajaan `Abbasiyyah,    ketika warga bukan Muslim masih dikategorikan sebagai kaum dhimmiy,  al-Mawardiy (yang hidup pada zaman tersebut)  dalam kitabnya al-Ahkam al-Siltaniyyah  membolehkan   mereka   menjawat wazir al-tanfidh (menteri pelaksana).   Dalam konteks realiti kita hari ini tentunya ruang penyertaan warga bukan Muslim lebih luas lagi.

Keharmonian antara golongan yang beragam dan pelbagai diasaskan di atas suatu set nilai:   kemanusiaan,   persamaan, keadilan dan seterusnya.    Tidak ada golongan yang diunggulkan semata-mata kerana darah keturunan.     Keunggulan  bukan hak eksklusif golongan tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua yang sanggup memenuhi syarat.   Dalam Islam tidak ada ketuanan warisan, yang ada ialah keunggulan bersyarat (khayriyyatun mashrutah).   Keunggulan seperti itulah yang tersirat dalam ayat Ali `Imran:
                 كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله...

Keunggulan (khayriyyah) yang disebut dalam ayat tersebut   terkait dengan tiga syarat:
·         Komitmen penegakan nilai-nilai kemakrufan.
·         Kesanggupan berjuang melawan gejala kemunkaran.
·         Beriman dengan Allah dalam erti yang seluas dan semurninya.

Ternyata  tidak ada ketuanan yang dipusakai,  kerana memang keunggulan tidak diwarisi.  Keunggulan harus diraih dengan usaha gigih membina kekuatan watak berasaskan iman dan nilai-nilai murni.   Demikianlah, yang ada hanya keunggulan yang bersyaratkan usaha yang serius (khayriyyatun mashrutatun muktasabah).   Al-Qur'an tidak menyebut keunggulan yang berasaskan hak warisan perkauman (al-`unsuriyyat al-mawruthah).   Justeru, keunggugulan  bukan monopoli sesuatu kaum.   Ia ditawarkan  terbuka kepada semua yang sanggup memenuhi syarat,   termasuk golongan ahl al-kitab:
                                                 ولو آمن أهل الكتاب لكان خيرا لهم ...

Mudah-mudahan Tuhan Yang Maha Rahman berkenan memberkati amal perjuangan tiga serangkai gerakan Islam PKPIM-ABIM-WADAH ini   meratakan rahmat  sehingga seluruh warga alam dapat menikmati kurnia agung al-Islam sebagai rahmatan li al-`alamin.

Penghargaan dan Harapan

Sidang muktamirin,  demikianlah yang terdaya kami ungkapkan dalam keadaan serba payah ketika ini.  Maaf,  atas ketidakmampuan hadir dan ikut serta sebagaimana mestinya.  Hanya Tuhanlah Yang Maha Tahu betapa ingin untuk ikut hadir dalam ijtimak yang bersejarah ini.  Tetapi sebagai pesakit saya tidak dapat mengingkari larangan doktor yang merawat saya  (Prof. Dr. Hamidon Basri)  yang pada penilaiannya  kesan serangan penyakit  Miller Fisher syndrome  belum memungkinkan saya hadir.

Terima kasih atas do`a dan simpati  sepanjang saya menjalani ujian ini.  Sesungguhnya saya berasa sangat tertolong dengan barakah do`a dan munajat saudara-saudara.  Mudah-mudahan derita yang menimpa ini menjadi kaffarah.    Kepada seluruh warga harakah saya mohon do`a yang berterusan semoga Allah berkenan mengurniakan kesembuhan penuh secepat-cepatnya untuk meneruskan kiprah amal bakti demi agama-Nya menerusi wadah tercinta ini. 

                           ربّناعليك توكّلنا وإليك أنبنا وإليك المصير.   الله أكبر ولله الحمد.
                      

Senarai Rujukan
Al-Qaradawiy,  Yusuf.  2010.   Al-Watan wa al-Muwatanah.  Kaherah:  Dar al-Shuruq.

----------------------------   1997.  Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam.  Kaherah: Dar al-Shuruq.

Al-Sa`udiy, `Abd al-Wadud Mustafa.  2010.  Al-Bayan al-Shafi fi al-Fiqh al-Islamiy:  al-                    Siyasat   al-Shar`iyyah.   Bangi:  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan  Malaysia.

Khallaf, `Abd al-Wahhab.  1984.  Al-Siyasah al-Shar`iyyah.  Beirut:  Mu'assat al-Risalah.

`Uthman, Fathiy.  1979.  Min Usul al-Fikr al-Siyasiy al-Islamiy.  Beirut:  Mu'assasat al- Risalah.

 (Teks Amanat Pimpinan Wadah Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,  Taman EkspoPertanian Malaysia, Serdang .)     

Thursday, August 4, 2011

Dr Siddiq Fadil: DEMOKRASI DAN PLURALITI bahagian 1

DEMOKRASI DAN PLURALITI: PERSPEKTIF AL-SIYASAT AL-SHAR`IYYAH
Siddiq Fadzil

Memaknai Masa Lalu 

Sempena Ijtimak Harakiy ke-2 ini kita mensyukuri  nikmat sejarah,   bahawa setelah setengah  abad bagi PKPIM dan setelah empat dekad bagi ABIM,   rangkaian gerakan  dakwah ini  masih hadir dan masih relevan di tengah zaman dan lingkungan yang terus-menerus berubah.     Kita mensyukuri nikmat sejarah dengan memaknai  masa lalu,   sejarah suka-duka  perjuangan generasi muda idealis yang mendapat pencerahan al-wa`y al-Islamiy,  dan mendapat suntikan dinamika tajdid imani, lalu menjelmakan gerakan transformatif pendakwahan yang merubah lanskap kehidupan umat.

Sesungguhnya  sejarah yang telah dicipta oleh generasi  pelopor kebangkitan Islam tersebut telah   memberikan kita keyakinan tentang kekuatan gerakan kerakyatan,  kekuatan dinamika kepemudaan,  kekuatan  `aqidah,  kekuatan  fikrah, dan kekuatan idealisme.   Dengan izin Yang Maha Perkasa, gemblengan kekuatan tersebut telah berhasil merealisasikan misi transformatif pendakwahan:  reislamisasi masyarakat yang menciptakan babak sejarah keislaman terpenting abad 20.  Tidak dapat dinafikan bahawa semarak Islamic resurgence  tersebut dilatari pelbagai faktor, termasuk karisma kepimpinannya dan kompetensi organisasi yang mewadahinya. 

Para pewaris gerakan ini harus bijak memaknai  sejarah sebagai  khazanah iktibar dan pengajaran.  Dengan demikian kejayaan masa lalu dapat dilestarikan,  sementara   kegagalannya pula  tidak berulang.   Justeru, bagi gerakan yang mampu menangkap pesan-pesan sejarah,  kejayaan tidak akan pernah berakhir;   sementara kegagalan pula   tidak akan mengakhiri  segala-gala.    Success is never ending,   failure is never final.

Sejarah pada hakikatnya adalah suatu amanah.  Untuk memaknai sejarah harus ada kejujuran dalam pencatatannya,  di samping harus ada kejujuran dalam penafsirannya.  Demikianlah petunjuk  al-Qur'an tentang kaedah pengkisahan yang harus jujur   sebagaimana  yang diperingatkannya  ketika mengungkapkan kisah Tujuh Pemuda Kahfi:
                                                             نحن نقصّ عليك نبأهم بالحقّ  ...
              (Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan sebenarnya,  …)
                           
Demikian pula dengan penafsirannya yang juga memerlukan tahap kejujuran yang tinggi.  Kerana itu al-Qur'an banyak menyebut tentang `ibrah (iktibar pengajaran) dari kisah-kisah Qur'ani yang dikaitkan dengan golongan ulu 'l-albab,  para ilmuwan yang memiliki ketajaman daya renung dan berintegriti tinggi.  Pada zaman leluasanya perbuatan pecah amanah, sering sekali terjadi distorsi fakta sejarah.Antara yang selalu menjadi pelaku utamanya adalah para penguasa,  yang menggunakan kuasa untuk memaksa merubah fakta demi menjaga citra.   Demikian seringnya hal seperti itu terjadi sehingga timbul anggapan sejarah adalah bikinan pihak berkuasa, bukan fakta seadanya.
Sebagai pelaku sejarah, PKPIM-ABIM harus mewaspadai kemungkinan berlakunya pemalsuan dan penggelapan fakta oleh mana-mana pihak.  Ketika ini pun kita sedang menyaksikan pelbagai percubaan yang tidak putus-putus untuk mengaibkan tokoh paling berjasa dalam PKPIM-ABIM.   Mengaibkan tokoh utama pengasas dan Pembina gerakan ini bererti menghina  sebuah gerakan Islam yang berwibawa dan berjasa.

Sejarah PKPIM-ABIM  adalah sejarah kepeloporan:   mempelopori  gerakan kebangkitan Islam (Islamic resurgence) yang berintikan  kesedaran  al-wa`y al-Islamiy bahawa Islam adalah the way of life, cara hidup yang serba sempurna.  Sejarah kita adalah sejarah kepeloporan: mempelopori  pendekatan  yang sihat dan realistik dalam menyikapi  kenyataan atau realiti zaman dan lingkungan.     Sikap inilah yang telah melahirkan pendekatan kemalaysiaan dalam  strategi pendakwahan sebagaimana yang terumus dalam istilah  manhaj maliziy. 
Ketika  gerakan Islam menghadapi kemaraan arus radikalisme dan kebangkitan aliran garis keras,   kita tetap istiqamah mempromosikan pendekatan moderat yang menepati  makna dan semangatwasatiyyat al-Islam,  dan sesuai pula dengan  sejarah, budaya dan nilai-nilai kehalusan Melayu.      Kita ingin mempastikan bahawa kebangkitan Islam yang kita pelopori ini benar-benar dirasakan secara  nyata sebagai rahmat dan pembawa harapan baru.  Sebagai pengemban amanah al-sahwah  al-Islamiyyah kita memang sangat prihatin andainya umat tidak mendapat apa-apa dari kebangkitan Islam,  selain rasa dikutuk, disumpah, dihina  dan ditakut-takuti.         Demi amanah tersebut kita sanggup membayar mahal,   termasuk mempertaruhkan populariti kita.

Memang  dari awal kita sentiasa memberikan perhatian istimewa kepada  realiti kemalaysiaan (al-waqi` al-Maliziy).  Dan kerana itu pulalah kita sentiasa menyatakan sikap   bahawa kita tidak bersedia dimentori  oleh pihak luar berasaskan  wisdom pusaka ahlu Makkata adra bishi`abiha  (warga Makkah sendirilah yang lebih tahu tentang lurah dan lembahnya).      Antara realiti kemalaysiaan yang  cukup fenomenal  termasuklah  sistem politik demokrasi berparlimen yang berdampingan dengan sistem tradisi  raja berperlembagaan.  Selain itu, satu lagi ciri kemalaysiaan  yang cukup unik ialah  pluraliti  masyarakatnya  dari segi ras,  agama dan budaya.

Para aktivis gerakan Islam telahpun mewacanakan isu  Islam dan demokrasi  sejak  tahun-tahun awal  kebangkitan al-wa`y al-Islamiy.   Ketika demokrasi,   teori dan praktiknya, dilihat sebagai produk tamadun Barat,  memang  terkesan bermasalah terutama apabila  dipadankan dengan amalan shura dalam tradisi politik Islam.   Bagaimanapun,  kita tidak pernah menolak hakikat demokrasi sebagai  satu-satunya pilihan yang ada ketika ini untuk dijadikan wahana penyaluran aspirasi politik umat.   Kerana itu komitmen dan partisipasi demokratik kita tidak pernah menurun dari dahulu hingga kini.    Kita ikut mempromosikan masyarakat demokratik,  memasyarakatkan pendidikan demokrasi  dan menuntut  penyihatan amalan demokrasi. 
           
sikap realistik yang berprinsip  (al-waqi`yyat al-mu'assalah)  itulah juga  yang melatari sikap   positif kita terhadap fenomena pluraliti.    Justeru, kita tidak pernah mempersepsikan pluraliti  (ta`addudiyyah) sebagai  suatu kesialan sosial  yang harus disesali.  Sikap positif-realistik terhadap  pluraliti  sudah terungkap  secara jelas dan tegas (loud and clear)     seawal tahun 1979 apabila Sdr. Anwar Ibrahim,   Presiden  ABIM ketika itu menyampaikan Ucapan Dasarnya dalam Muktamar Sanawi ke-8 dengan mengangkat tema  Islam  --  Penyelesaian  kepada Masyarakat Majmuk.    Demikianlah rekod kepeloporan gerakan ini  dalam  menyikapi dan menangani  isu pluraliti berasaskan prinsip  karamah insaniyyah  dan keadilan sosial  dalam Islam.   Memang itulah keyakinan kita sejak dahulu,  bahawa yang memiliki formula menangani  persoalan pluraliti adalah Islam,  bukan cauvinisme, bukan nasionalisme sempit, dan bukan nasionalisme ras.

Dalam ijtimak harakiy  tahun lalu,  kita telah mempromosikan pendekatan maqasid al-shari`ah atau maqasid based approach  dalam perjuangan Islam masa kini.  Maqasid al-Shari`ah   adalah  objektif-objektif unggul  syari`at Islam yang diterima luas sebagai nilai-nilai sejagat,  dan dikongsi  secara kolektif oleh semua agama dan tamadun besar dunia.  Siri wacana tentang maqasid al-shari`ah  yang  telah kita anjurkan  di pelbagai negeri dan daerah telah mendapat  sambutan yang sangat menggalakkan,  termasuk  kalangan bukan Islam.    Wacana  maqasid seharusnya diteruskan  dalam rangka pencerdasan dan pencerahan umat.

(Teks Amanat Pimpinan Ijtimak Harakiy ke-2 dan Seminar Siyasah Shar`iyyah:  Demokrasi dan Pluraliti, 23 Julai 2011/21 Sha`ban 1432H.,
 Taman EkspoPertanian Malaysia, Sedang .)

(bersambung...)

Sunday, July 24, 2011

Kenapa Dr Muhammad Nur Manuty sebak apabila membaca Ucapan Dasar Muktamar Wadah.......



Pada sesi penggulungan Ijtima' Harakiy ke 2 WADAH-ABIM-PKPIM, Timbalan Presiden WADAH, Dr Muhammad Nur Manuty menjelaskan kenapa dia sebak apabila membaca di penghujung teks Ucapan Dasar Muktamar WADAH Pencerdasan Umat. Dia telah mengunjungi Dr Siddiq Fadil yang masih uzur di hospital dan Dr Siddiq menyatakan dia masih sanggup menyediakan teks ucapan dasar itu. Ucapan dasar kali ini yang dinukilkan Ustaz Siddiq memang bernas, begitu unggul dan sangat berani mengupas dan menggarap persoalan semasa siasah shar'iyyah dengan tuntas dan jitu. Apabila Dr Muhammad Nur membaca perenggan di akhir teks tentang keinginan dan ketidakmampuan Dr Siddiq hadir dan ikut serta ijtima' tahun ini, dia tidak mampu menahan perasaan hiba lalu menangis.

Dr Muhammad Nur mengenangkan sahabat karibnya, rakan seperjuangan dan teman sejati serta mentor gerakan Islam. Dr Muhammad Nur menceritakan bahawa dia bersahabat dengan Ustaz Siddiq sejak di bangku sekolah lagi pada 1960, di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh.  Dr Siddiq Fadil diakui oleh guru-gurunya termasuk Ustaz Abu Bakar Hamzah, bahawa dia mempunyai wahba (gifted) - kepimpinan, penguasaan berpidato, logik, mantik, kreatif dan ketekunan membaca buku. Dr Siddiq fasih menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Arab serta Bahasa Inggeris.

Dia mengarang sejak di Sekolah Izzudin dan telah menerbitkan majalah "Sinaran"   اشعاعا  . Dia aktif dengan aktivisme pelajar termasuk pernah mengetuai mogok pada ketika ada isu tertentu. Dia aktif bersama memimpin Kesatuan Pelajar Islam Perak KPIP dan PKPIM hingga menjadi Presiden PKPIM. Apabila diminta memimpin dan menjadi presiden ABIM pada 1982, Dr Siddiq mengatakan dia perlu mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh Anwar Ibrahim menandakan betapa berat beban tanggungjawab yang hendak dipikulnya. Namun Dr Siddiq berjaya mengemudikan ABIM menempuhi waktu-waktu bergelora dengan cemerlang kerana dia memiliki keilmuan, kemampuan berorganisasi, berhikmah bijaksana dan mempunyai ruhul jamaah.

Dr Muhammad Nur menceritakan bahawa Dr Siddiq amat prihatin dengan fitnah besar sekarang yang melanda dan bersifat cukup luar biasa sehingga menyalahi peradaban terutama peradaban Melayu. Apabila Dr Siddiq menziarahi dan bertemu ahli WADAH Pulau Pinang, dia menyatakan dengan tegas dan cukup lantang sekali bahawa pelbagai percubaan mengaibkan tokoh utama dan pengasas gerakan Islam PKPIM-ABIM adalah bererti menghina sebuah gerakan Islam yang berwibawa dan berjasa.  Dr Muhammad Nur menyampaikan bahawa Dr Siddiq berpesan supaya ahli perlu perkuatkan diri, menjaga amanah dan maruah jamaah. Kita perlu menyaring berita dan mengnyahkan fitnah.

Dr Muhammad Nur memberitahu bahawa Dr Siddiq bekerja sungguh keras dan berjelajah seluruh negara bagi menjalankan misi pencerdasan umat sehinggalah dia terlantar di hospital akibat penyakit yang dihidapinya.

Sebelum itu, pada ucapan penggulungan Presiden ABIM yang baru, saudara Amidi Abd Manan memberikan amaran kepada pihak yang ingin dan mencuba mengkucar kacirkan dan memecah belah kesatuan dan ukhuwwah tiga generasi gerakan Islam PKPIM-ABIM-WADAH bahawa mereka tidak akan berjaya. Amidi berkata keluarga besar gerakan ini dan ukhuwwah ini terjalin dengan kukuh atas dasar menegakkan kalimah Allah swt, mencari keridhaanNya dan berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan.

Pada ucapan penggulungan Puan Fadhlina Siddiq yang mewakili SALWA-HELWA-HEWI pula, dia telah menyebut bahawa tahun ini, tahun kesedihan, tahun ujian keimanan bagi keluarga mereka -- ammal hazn.        Dia sungguh berasa terharu dengan sahabat-sahabat gerakan yang tidak putus-putus berkunjung, bertanya khabar Ustaz Siddiq, memberikan nasihat, memperteguhkan semangat, menyampaikan pesanan bermakna, termasuk sumbangan wang ringgit dan doa serta solat hajat rakan-rakan seperjuangan. Tidak lupa juga para kumpulan doktor yang bertungkus lumus merawat bapanya. Puan Fadhlina menyatakan dia sekeluarga amat menghargai keprihatinan dan jasa para ahli jamaah semua dan itulah ukhuwwah - persaudaraan Islam sebenarnya yang telah ditunjukkan dan ini sangat terkesan, membantu mengukuhkan kesabaran dan memberikan ketabahan kepada keluarga mereka. 

Begitulah sebak dan tangisan Dr Muhammad Nur Manuty di penghujung Ucapan Dasar adalah tanda kebenaran ukhuwwah fi llah, persahabatan sejati, mawaddah dan jalinan kemesraan harakah Islamiyyah yang tercinta ini.

Allah Akbar !


(Ijtima' Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM ke 2 telah diadakan pada 23-24 Julai 2011 di MAEPS, Serdang bertemakan Memartabatkan Syariat, Memperkasa Umat )