Showing posts with label ukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label ukhuwwah. Show all posts

Wednesday, July 4, 2012

Dr Siddiq Fadil: ISLAM DAN MELAYU


TEKS SYARAHAN PENGANTAR PELANCARAN DAN DISKUSI BUKU MELAYU DAN ISLAM: MARTABAT UMAT DAN DAULAT RAKYAT
by Wasif Wan ·

Kami dahului dengan pernyataan tahmid kesyukuran  al-hamdu li'Llah  dan rasa terharu atas sambutan terhadap buku Melayu dan Islam:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat.  Di tengah suasana seperti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa takut-takut dan malu-malu,  kerana ketika mengerjakan buku ini,  saya tidak membayangkan sambutan bersemangat begini.  Tidak ada yang luar biasa dalam proses penerbitannya.  Bermula dengan pertanyaan teman-teman tentang nasib  tulisan-tulisan saya yang terbiar dan berserakan,  saya terdorong mengumpul,  memilih dan mengeditnya untuk diterbitkan dalam bentuk sebuah buku yang seadanya dan  sejadi-jadinya.    Andainya saya tahu bahawa buku ini akan diberi perhatian  sebegini rupa  -   dilancarkan, dibedah dan didiskusikan    -     mungkin saya tidak akan berani menerbitkannya.

Bagaimanapun,  buku ini telah telanjur terbit dan kerana itu ia harus siap untuk ditanggapi oleh khalayak pembacanya.  Mudah-mudahan penulisnya dikurniakan ketahanan ruhaniah dalam menghadapi  segala kemungkinan  --  dukungan dan kritikan,  tidak lupa diri kerana dukungan,  dan tidak berkecil hati kerana kritikan.  Terlepas dari soal setuju atau tidak dengan pemikiran  dalam buku ini,  sebagai penulis saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh khalayak yang sudi memberikan perhatian kepada buku ini.  

Atas susah payah rakan-rakan menjayakan majlis pelancaran dan diskusi buku malam itu saya ucapkan jazakumu 'Llahu khyara 'l-jaza' .   Mudah-mudahan semangat di sebalik usaha ini bukan sangat kerana buku saya,  tetapi komitmen kita semua terhadap penyuburan budaya ilmu.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang tampaknya menyambut buku ini dengan bersemangat sekali, sehingga saya sendiri menjadi hairan, apalah istimewanya buku ini?  Saya hanya dapat menduga bahawa  ketika menyambut buku ini,  yang mereka sambut sebenarnya adalah pemikiran mereka sendiri.  Demikianlah hakikatnya,  kita memang banyak berkongsi pemikiran, berkongsi  idealisme,  berkongsi  wawasan dan gagasan.  Tetapi tidak semua kita berkesempatan mengungkapkan, mengucapkan atau menyuarakannya. Andainya dugaan itu benar, saya sangat berbahagia  dapat melaksanakan peranan  mewakili anda sekalian  untuk mengungkapkan yang tak terungkap, mengucapkan yang tak terucap dan menyuarakan yang tak tersuara itu.


Sebagai karya manusia, buku ini tentu sekali mengandungi pelbagai kelemahan manusiawi.  Dengan menginsafi  keterbatasan ilmu, pengalaman dan daya renung, saya akan sangat berterimakasih andainya ada yang sudi memberikan teguran dan koreksi.  Memang saya tidak dapat memberikan jaminan akan bersetuju dengan pendapat anda,  tetapi saya tetap akan menghormati  hak anda untuk tidak bersetuju dengan saya. 
         
Sebuah karya tulis biasanya lahir dari liku-liku  intellectual journey dan pengalaman di kancah kehidupan penulisnya.   Demikianlah wacana di sekitar Islam dan Melayu yang termuat dalam buku yang dilancarkan sebentar tadi,  dilatari  timbunan pengalaman perjalanan keilmuan selama puluhan tahun.  Persoalan tentang sejarah Islam dan kebudayaan Melayu memang sudah tersentuh sepanjang  mengikuti pengajian menengah dan universiti,  tetapi sentuhan paling mengesankan adalah  kuliah-kuliah Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu yang sempat kami ikuti dalam pengajian pasca-sarjana.   Sejak itu (1975)  bidang ini kami tekuni tanpa henti terutama selama tempoh melaksanakan tugas meneruskan pengajaran kursus yang sebelumnya  dikendalikan oleh Prof. al-Attas sendiri,  di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,  UKM.  Memang,  tahun-tahun perkhidmatan di UKM sebagai tenaga akademik di Jabatan Persuratan Melayu adalah kurnia kesempatan belajar dan mengajar pelbagai aspek pengajian Melayu,  kebudayaan dan kesusasteraannya,  termasuk karya-karya agungnya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan lain-lainnya. 

Tidak kurang pentingnya adalah penglibatan kami yang berterusan dalam gerakan Islam tanahair  (PKPIM, ABIM dan WADAH).   Pengalaman dari kancah perjuangan merealisasikan idealisme keislaman selama lebih emat dekad itu tentunya banyak mewarnai,  dan bahkan menyemangati  pemikiran, gagasan dan wawasan yang tertuang dalam buku ini.  Justeru,  gerakan Islam pencetus  kebangkitan Islam yang cukup fenomenal sepanjang dekad-dekad menjelang hujung abad ke-20 itu,  bukan sekadar membawa keriuhan  retorik slogan-sloganan,  tetapi jelas membawa fikrah dan risalah tahririyyah-taghyiriyyah atau misi pembebasan dan perubahan.   Dalam merangka agenda perubahan tersebut,  para ideologue gerakan  tentunya telah meneliti pesan-pesan al-Qur'an dan al-Sunnah tentang khayriyyat al-ummah (keunggulan umat), di samping  karya-karya agung  pemikir besar seperti Ibn Khaldun tentang jatuh-bangun  bangsa dan tamadun,  Malik Bennabi tentang masalah pemikiran dan syarat-syarat kebangkitan (syurut al-nahdah) dan  sarjana-sarjana besar lainnya.  Sebagai gerakan yang berkiprah di tengah realiti kemalaysiaan pula tentunya ia juga menangani isu-isu setempat,  termasuk  isu Islam dan Melayu serta persoalan kemajmukan masyarakat.

Dari latar sedemikian itulah lahirnya karya tulis,  Islam dan Melayu:  Martabat Umat dan Daulat Rakyat yang mengangkat persoalan pemberdayaan bangsa dengan nilai-nilai agama (Islam).    Bertolak dari hakikat Melayu sebagai suatu realiti  jelmaan sunnatu 'Llah,   bahawa manusia selamanya diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,  bukan tanpa maksud,  tetapi dengan tujuan mulia   -    saling kenal dan saling  hormat.   Tidak salah andainya seluruh anak bangsa ingin agar bangsanya dikenal sebagai umat  yang kuat, mulia dan berwibawa.   Untuk itulah kami mengangkat nilai maruah dan harga diri yang ketika ini terhakis di tengah maraknya budaya fitnah, gossip, mengaib dan memalukan orang  seenaknya dan semahu-mahunya.  Kontrak sosial yang menyepakati bahawa rakyat Melayu,  "…jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji…"  diinjak-injak dengan leluasa,  tanpa mempedulikan lagi sumpahan apabila penguasa   "…memberi  aib seseorang hamba Melayu,  alamat negerinya akan binasa.".    Bangsa tidak dapat dibina dengan caci-maki dan sumpah-seranah penguasa. Bangsa yang mulia dan bermartabat dibangun dengan kesedaran tentang maruah  yang dicirikan oleh sifat  al-haya'   -   tahu malu atau sense of shame,   malu melakukan perbuatan keji, malu menjadi rakyat negara yang mundur,  malu menganggotai organisasi yang korup dan seterusnya.  Dari sifat tahu malu itulah bangkitnya semangat juang untuk berubah,  menebus maruah yang tercemar.

Kami juga menyerlahkan nilai ilmu sebagai kekuatan pengangkat martabat umat.  Kata iqra'  yang mengawali penurunan kitab suci al-Qur'an menandakan bermulanya demokratisasi pendidikan  dan revolusi keilmuan melawan gerakan pembodohan untuk mencipta umat yang enlightened,  umat yang mengalami pencerahan keilmuan,  lalu mampu melihat hakikat segala sesuatu  dengan tepat sebagaimana wujud hakikinya.    Matlamat akhir gerakan pencerahan bersemangat iqra'  ialah untuk mengenal Allah, mencapai  ma`rifah yang membentuk sikap  wa 'sjud wa 'qtarib (tunduk mengabdi dan menghampirkan diri kepada Allah).        Demikianlah realisasi tawhid (pengesaan Allah) sebagai  kekuatan pembebasan,   pencipta manusia merdeka yang memiliki keberanian bersikap,  menolak dan melawan  kezaliman dan kebatilan,  kalla la tuti`hu (jangan sekali-kali, jangan patuh kepadanya…).   Mesej surah   al-`Alaq adalah nilai ilmu sebagai kekuatan transformatif:  bermula dengan  iqra'  (baca)  berakhir menjadi  merdeka dengan sujud  hanya kepada Tuhan Yang Maha Esa, dan menjadi perkasa dengan mendampingkan diri kepada  Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Ilmu dan iman adalah  unsur penting pemberdayaan bangsa.  Bangsa yang lemah dan penakut tidak akan menjadi bangsa yang mulia dan bermartabat.  Lewat puisinya Kesaksian Bapak Saija,  penyair ternama WS Rendra menampilkan  Pak Saija yang bangkit dari alam barzakh untuk membuat kesaksian  betapa menyesalnya beliau menjadi manusia penakut selama hidupnya.  Ia takut  membuka mulut untuk memprotes ketidakadilan,  ia takut melawan kerana melawan bererti mati.  Tetapi ternyata akhirnya Pak Saija mati juga sebagai korban kezaliman.  Ia  mati walaupun tidak melawan.  Ia menyesal,  tetapi  sayang,  ia telah terlambat, kerana penyesalan itu timbul hanya sesudah mati dibunuh dan mayatnya ditendang ke dalam longkang.  Sesudah mati baru ia menyedari bahawa sepanjang hayatnya sebagai penakut ia telah bersyubahat dengan orang-orang zalim.  Justeru,  kerana ketakutannya melawanlah, maka orang lain berleluasa melakukan kezaliman.  Penyesalan terlambat seorang penakut itulah yang diungkapkanya dengan kata-kata:

                  Hidup tanpa daya
                  Sebab daya ditindih ketakutan
                  Setiap hari seperti mati berulang kali
                  Setiap saat berharap menjadi semut
                  agar bisa menjadi tidak kelihatan.


                  Sekarang setelah mati
                  baru aku menyedari
                  bahwa ketakutanku membantu penindasan,
                  dan sikap tidak berdaya menyuburkan ketidakadilan.


Pak Saija sebenarnya bukan tidak berdaya, tetapi dayanya telah dilumpuhkan oleh sifat penakutnya.  Memang kekuatan tidak akan berguna tanpa keberanian.  Kerana itu orang Melayu selalu memadukan kekuatan dengan keberanian sebagaimana yang terungkap dalam serangkap pantun:

                  Apa guna pergi ke bendang
                  Kalau tidak menanam padi
                  Apa guna keris disandang
                  Kalau tidak berani mati.


Hidup tanpa daya dalam belenggu budaya takut, bukanlah kehidupan yang didambakan oleh manusia bermaruah, berilmu dan beriman.   Justeru, budaya takut (culture of fear)  jelas bertentangan dengan aspirasi kebebasan yang terpancar dari ajaran tauhid.  Surah Quraysh menyebut  Allah sebagai Tuhan Pengurnia makanan untuk bebas dari kelaparan, dan Dia jugalah Pengurnia keamanan untuk bebas dari ketakutan.   Demikianlah hakikat kebebasan dari ketakutan, di samping kebebasan dari kelaparan sebagai suatu yang amat terkait dengan iman dan pengabdian kepada Tuhan Yang Maha Esa.


Daya maju sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh faktor budaya yang teguh dan kepimpinan yang tangguh.  Untuk memacu daya maju bangsa Melayu, budayanya harus diperkasa dengan nilai-nilai kudus kewahyuan dari al-Qur'an dan al-Sunnah.  Dengan demikian bangsa ini akan menjadi umat yang berjaya menepati kata  al-falah, kejayaan hakiki duniawi-ukhrawi.    Laungan azan hayya `ala 'l-falah (mari bersama meraih kejayaan) yang berkumandang setiap hari bekali-kali itu seharusnya diangkat menjadi salah satu nilai utama pembentuk winning mind-set dan seterusnya pembina orientasi kejayaan (success orientation) yang kuat di kalangan umat.  Yang kita aspirasikan adalah bangsa berjaya yang benar-benar berjaya,  bukan bangsa yang berlagak sebagai bangsa yang berjaya dengan berbelanja besar membeli barang-barang perhiasan  mewah bangsa yang telah berjaya, buying the ornaments of success.

Melayu harus dibangun dengan nilai-nilai murni keagamaan,  bukan dengan sentimen perkauman sempit.   Melayu ideal dalam wawasan buku ini  adalah Melayu yang Islamis,  bukan Melayu yang racist.   Melayu yang Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia,  kaya dengan rasa kasih kemanusiaan,   setia menjunjung nilai  ukhuwwah, persaudaraan  dalam erti luas yang merentasi batasan ras dan agama,  ukhuwwah yang meliputi ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan seagama), ukhuwwah wataniyyah  (persaudaraan setanahair) dan ukhuwwah insaniyyah  (persaudaraan kemanusiaan).

Untuk merealisasikan gagasan Melayu yang menepati ciri khayra ummah,  kita memerlukan pemimpin yang membina bangsa,  bukan "pemimpin" yang membesar diri dan memperkaya kroni.   Bangsa Melayu harus bijak memilih pemimpinnya yang mampu melaksanakan misi pemberdayaan bangsa,   pemimpin-pendidik-teladan yang menghayati nilai-nilai murni yang  diperjuangkannya.  Dengan kata lain, kita memerlukan mekanisme pengangkatan pemimpin yang dapat menjamin terangkatnya orang yang terbaik dalam pengertian pemimpin yang berkualiti integriti moral, kekuatan daya fikir, stamina kerja kuat,  menyintai ilmu dan menyayangi rakyat, menepati  konsep al-Imam al-`adil  (pemimpin adil) sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Imam Hasan al-Basriy r.`a. dalam risalah jawapannya kepada permintaan  `Umar ibn `Abd al-`Aziz,  mujaddid abad pertama Hijriah yang diiktiraf sebagai Khamis al-Khulafa' al-Rashidin (al-Khalifat al-Rashid Kelima).   Sesungguhnya bangsa ini akan bangkit sebagai umat yang gagah dan bermaruah dengan pemimpin yang empowering dan inspiring. Sekarang adalah saatnya kita memikirkan dengan jujur tentang kualiti kepimpinan yang seperti itu.  Terima kasih.

 Siddiq Fadzil,
Hotel De Palma,
Ampang, Kuala Lumpur.

Sunday, July 24, 2011

Kenapa Dr Muhammad Nur Manuty sebak apabila membaca Ucapan Dasar Muktamar Wadah.......



Pada sesi penggulungan Ijtima' Harakiy ke 2 WADAH-ABIM-PKPIM, Timbalan Presiden WADAH, Dr Muhammad Nur Manuty menjelaskan kenapa dia sebak apabila membaca di penghujung teks Ucapan Dasar Muktamar WADAH Pencerdasan Umat. Dia telah mengunjungi Dr Siddiq Fadil yang masih uzur di hospital dan Dr Siddiq menyatakan dia masih sanggup menyediakan teks ucapan dasar itu. Ucapan dasar kali ini yang dinukilkan Ustaz Siddiq memang bernas, begitu unggul dan sangat berani mengupas dan menggarap persoalan semasa siasah shar'iyyah dengan tuntas dan jitu. Apabila Dr Muhammad Nur membaca perenggan di akhir teks tentang keinginan dan ketidakmampuan Dr Siddiq hadir dan ikut serta ijtima' tahun ini, dia tidak mampu menahan perasaan hiba lalu menangis.

Dr Muhammad Nur mengenangkan sahabat karibnya, rakan seperjuangan dan teman sejati serta mentor gerakan Islam. Dr Muhammad Nur menceritakan bahawa dia bersahabat dengan Ustaz Siddiq sejak di bangku sekolah lagi pada 1960, di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh.  Dr Siddiq Fadil diakui oleh guru-gurunya termasuk Ustaz Abu Bakar Hamzah, bahawa dia mempunyai wahba (gifted) - kepimpinan, penguasaan berpidato, logik, mantik, kreatif dan ketekunan membaca buku. Dr Siddiq fasih menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Arab serta Bahasa Inggeris.

Dia mengarang sejak di Sekolah Izzudin dan telah menerbitkan majalah "Sinaran"   اشعاعا  . Dia aktif dengan aktivisme pelajar termasuk pernah mengetuai mogok pada ketika ada isu tertentu. Dia aktif bersama memimpin Kesatuan Pelajar Islam Perak KPIP dan PKPIM hingga menjadi Presiden PKPIM. Apabila diminta memimpin dan menjadi presiden ABIM pada 1982, Dr Siddiq mengatakan dia perlu mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh Anwar Ibrahim menandakan betapa berat beban tanggungjawab yang hendak dipikulnya. Namun Dr Siddiq berjaya mengemudikan ABIM menempuhi waktu-waktu bergelora dengan cemerlang kerana dia memiliki keilmuan, kemampuan berorganisasi, berhikmah bijaksana dan mempunyai ruhul jamaah.

Dr Muhammad Nur menceritakan bahawa Dr Siddiq amat prihatin dengan fitnah besar sekarang yang melanda dan bersifat cukup luar biasa sehingga menyalahi peradaban terutama peradaban Melayu. Apabila Dr Siddiq menziarahi dan bertemu ahli WADAH Pulau Pinang, dia menyatakan dengan tegas dan cukup lantang sekali bahawa pelbagai percubaan mengaibkan tokoh utama dan pengasas gerakan Islam PKPIM-ABIM adalah bererti menghina sebuah gerakan Islam yang berwibawa dan berjasa.  Dr Muhammad Nur menyampaikan bahawa Dr Siddiq berpesan supaya ahli perlu perkuatkan diri, menjaga amanah dan maruah jamaah. Kita perlu menyaring berita dan mengnyahkan fitnah.

Dr Muhammad Nur memberitahu bahawa Dr Siddiq bekerja sungguh keras dan berjelajah seluruh negara bagi menjalankan misi pencerdasan umat sehinggalah dia terlantar di hospital akibat penyakit yang dihidapinya.

Sebelum itu, pada ucapan penggulungan Presiden ABIM yang baru, saudara Amidi Abd Manan memberikan amaran kepada pihak yang ingin dan mencuba mengkucar kacirkan dan memecah belah kesatuan dan ukhuwwah tiga generasi gerakan Islam PKPIM-ABIM-WADAH bahawa mereka tidak akan berjaya. Amidi berkata keluarga besar gerakan ini dan ukhuwwah ini terjalin dengan kukuh atas dasar menegakkan kalimah Allah swt, mencari keridhaanNya dan berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan.

Pada ucapan penggulungan Puan Fadhlina Siddiq yang mewakili SALWA-HELWA-HEWI pula, dia telah menyebut bahawa tahun ini, tahun kesedihan, tahun ujian keimanan bagi keluarga mereka -- ammal hazn.        Dia sungguh berasa terharu dengan sahabat-sahabat gerakan yang tidak putus-putus berkunjung, bertanya khabar Ustaz Siddiq, memberikan nasihat, memperteguhkan semangat, menyampaikan pesanan bermakna, termasuk sumbangan wang ringgit dan doa serta solat hajat rakan-rakan seperjuangan. Tidak lupa juga para kumpulan doktor yang bertungkus lumus merawat bapanya. Puan Fadhlina menyatakan dia sekeluarga amat menghargai keprihatinan dan jasa para ahli jamaah semua dan itulah ukhuwwah - persaudaraan Islam sebenarnya yang telah ditunjukkan dan ini sangat terkesan, membantu mengukuhkan kesabaran dan memberikan ketabahan kepada keluarga mereka. 

Begitulah sebak dan tangisan Dr Muhammad Nur Manuty di penghujung Ucapan Dasar adalah tanda kebenaran ukhuwwah fi llah, persahabatan sejati, mawaddah dan jalinan kemesraan harakah Islamiyyah yang tercinta ini.

Allah Akbar !


(Ijtima' Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM ke 2 telah diadakan pada 23-24 Julai 2011 di MAEPS, Serdang bertemakan Memartabatkan Syariat, Memperkasa Umat )

Monday, July 11, 2011

Bahagian 2 Ucapan Dasar WADAH Pulau Pinang


Ucapan Dasar Muktamar Wadah Pencerdasan Umat 10 Julai 2011 di Bangunan ABIM Negeri Pulau Pinang, Sg Gelugor oleh Dr Hj Wan Salim Mohd Noor, Pengerusi WADAH Cawangan Pulau Pinang


Lebarkan mesej dan cerdaskan umat

Kita perlu memperbanyakkan program da'wah dan menfokus kepada urutan keutamaan menurut kehendak semasa dan kesesuaian gerakan. Memang diakui kelemahan kita di sini dengan kekurangan aktiviti kemasyarakatan dan program penerangan.

Kita perlu dokong secara aktif dan mantapkan institusi dan program sedia ada iaitu Madrasah-Madrasah Ad Diniah, Al Uthmaniyah - SEMI dan SERI, sekolah-sekolah kita serta institusi pendidikan bagi pelarian Rohingya REC yang ditaja oleh FGN dengan bantuan UNHCR. REC merupakan usaha pendidikan secara tersusun bagi membantu meringankan nasib pelarian se agama supaya tidak terabai tanggungjawab kita sebagai saudara se Islam. IOA juga jambatan kita menyebar da'wah kepada non-Muslim yang merupakan penduduk majoriti negeri ini.

Kita harus terus terlibat, bekerjasama dan bergiat dalam badan-badan, perkumpulan-perkumpulan dan lembaga-lembaga yang berusaha untuk pembangunan dan kemajuan Islam di negeri ini.

WADAH secara khusus hendaklah menubuhkan institut kajian dan berusaha secara tersusun bagi mendekati para intelek, ilmuwan serta profesional negeri ini untuk melebarkan program pencerdasan umat.

Infaq fi sabilillah

Aktiviti dan program serta pemantapan institusi memerlukan kelestarian berbentuk dana wang ringgit dan kita perlu menyahut seruan jihad bi amwalikum ini serta membuktikannya melalui pengorbanan dan sumbangan bermakna daripada apa yang ada kepada kita. Seperti pesanan dua orang sahabat senior yang telahpun kembali ke rahmatullah, "Kita tidak harus menyumbang hanya sisa sahaja kepada gerakan ini."


Memahami maqasid syariah

Bahaya "rule by decree" - perintah secara titah

Hukum, undang-undang, peraturan - merbahaya jika semata-mata dikuatkuasa secara "rule by decree" - hukum tanpa kebijaksanaan, hikmah dan kemanusiaan - tanpa penguasaan fiqh - awlawiyyat, munazarat, mua'sir - tanpa melihat apa yang utama, seimbang dan semasa. Kita boleh lihat kepada contoh kebangkitan menentang pemerintah di Iran sekarang (regim yang didakwa mengamalkan absolutisme).

Jika diberi berkuasa, penguasa mesti mendalami dan selami gerak hati nurani rakyat (conscience of the ummah) - mesti ada habits of the heart - tabiat hati (dikatakan ada pada presiden-presiden Amerika yang lalu dan yang terus disanjungi - ini bersama kekuatan demokrasi mereka dikatakan juga lebih ampuh daripada kekuatan teknologi dan ketenteraan).

Keadilan dan Keihsanan

Said Ramadan al Buti menyingkap seerah Rasulullah s.a.w. tentang pengajaran hijrah:- Jika prinsip bantu-membantu, kerjasama dan pertolongan dilaksana menurut keadilan dan kesaksamaan maka itulah jelmaan masyarakat yang adil dan aman sejahtera. Jika sebaliknya, prinsip ini dilaksana secara zalim dan secara palsu, maka ia sebuah masyarakat yang tidak adil dan menyeleweng.

Apa faktor yang menjaminkan keadilan ditegakkan? Keadilan ditegakkan sejagat melalui ukhuwwah dan mahabbah. Hanya dengan inilah datangnya keadilan yang ditegakkan oleh kuasa dan penggubalan undang-undang. Betapa tulus sekalipun pemerintah bercita-cita untuk melaksana dan mentadbir keadilan kepada rakyatnya, hasrat ini tidak akan tercapai kecuali ia diasaskan kepada ukhuwwah dan mahabbah. Mentadbir keadilan tanpa kasih sayang dan persaudaraan akan menyemai benih-benih kebencian dan keresahan di kalangan masyarakat.

Hubungan kemanusiaan

Jika disingkap sejarah tentang Hilf al-Fudul (alliance of the virtuous) – Pakatan mulia ini sebenarnya mencerminkan etika Islam walaupun berlaku pada zaman jahiliyyah sebelum perlantikan Rasulullah s.a.w. Pakatan Hilf al-Fudul melambangkan kepentingan hak asasi manusia dan perlindungannya dalam Islam. Rasulullah s.a.w. menyokong dan mengesahkannya walaupun selepas menjadi Rasul dan pakatan ini berasaskan persetujuan di kalangan orang-orang bukan Islam. Tariq Ramadan menggariskan 3 prinsip yang terdapat di sini:-

• Islam menerima nilai universal yang datang daripada hatibudi manusia walaupun di luar tradisi Islam.

• Islam mengakui kebaikan yang ada pada non-Muslim. Dalam hal ini, non-Muslim mempertahankan keadilan dan membela mereka yang dizalimi.

• Islam, bukan saja membina pakatan dalam suatu masyarakat tertutup dan terpencil, malah membina satu set prinsip-prinsip universal. Risalah Islam bukan suatu sistem nilai tertutup, bertentangan atau bercanggah dengan sistem nilai lain yang baik.

Di sinilah kita akan lihat perbedaan pluraliti vs pluralisme - menangani dan memanfaatkan kemajmukan, perbedaan, kemasyarakatan bukan menjejaskan aqidah atau maruah agama. Kita perhatikan di Medan Tahrir, Mesir bagaimana sebahagian wakil-wakil golongan sekular dan non-Muslim mempertahankan partisipasi golongan Islam serta menyelar Islamophobia apabila diajukan soalan-soalan yang provokatif, atas dasar hak walaupun ideologi berlainan.

Kita amat wajar sekali mengelak kekusutan fikiran polemik khilaf dan kontroversi Salafi dan sebagainya di kalangan umat kerana jelas dan nyatakan sekali iannya sangat merugikan dan amat sedikit manfaatnya. Kita sememangnya Salafi dalam artikata sebenarnya dari dahulu hingga masakini.

Kita perlu bergerak aktif dalam Social media dan social network - blog, facebook, twitter dan perlu ada usaha bagi bersuara di TV satelit dan sebagainya.

Beberapa Pengajaran

Pendekatan Tayyip Erdogan dan AKP di Turki menunjukkan bergerak secara inklusif, bertindak melalui pembinaan konsensus, memperkukuhkan demokrasi dan menangani ekonomi dengan bijaksana meletakkannya pada posisi arus perdana walaupun betapa hebatnya penentangan sekular yang telah terpahat pada batang tubuh Turki itu.

Contoh siasah syar'iyyah diberikan apabila briged mujahidin di Bosnia pada awal 90'an pernah menawan biara-biara yang mempunyai wanita-wanita rahib-rahib (nuns and monasteries). Al marhum Syaikh Anwar Shaaban, ketua briged, berfatwa bahawa tahanan tidak boleh dijadikan hamba dan menolak pelaksanaan fiqh yang membenarkannya atas alasan siasah syar'iyyah memandangkan kepada fitnah besar yang akan melanda jika mujahidin Islam mengamalkan apa yang dipandang serong sebagai sama sahaja dengan kekejaman kufr Serb yang dimusuhi. Dengan cara terhormatnya nuns - biarawati-biarawati ini dilayani dengan baik dan diserahkan secara aman kepada Persatuan Palang Merah Antarabangsa ICRC. Tiada langsung dalam hati sanubari para mujahidin tentang perasaan untuk balas dendam atau mempunyai sifat terorisme.

Aliya Ali Izetbegovic dipenjarakan di Bosnia pada zaman pemerintahan komunis secara tidak adil selama 11 tahun kerana menulis buku Islam between East and the West yang mengkritik sosialisme dan komunisme. Apabila dia bebas dan menjadi presiden, dia tidak membalas dendam dengan memenjarakan atau memecat sesiapa pun yang terlibat dalam konspirasi pendakwaan dan pembicaraannya.

Kita perlu berwaspada tentang siapa sebenarnya yang menyemarakkan api keganasan dan menyebarkan pengeboman dan serangan ke atas orang awam di serata dunia ini dan siapa telah menyelinap masuk meracuni pemikiran bagi menggalakkan pembunuhan, pengeboman dan penyembelihan - itu adalah perangkap bagi umat Islam dan menjadi umpan Islamophobia. Ada para motivator kita yang sanggup menayangkan video-video penyembelihan yang amat ngeri (tanpa mengetahui apa sebenar manfaatnya).


Tribulasi Perjuangan

Pada awal 70'an, dikisahkan bahawa ABIM telah menterjemahkan buku karya al marhum Fathi Yakan, pemimpin gerakan Islam Lebanon, bertajuk Tribulasi Perjuangan: Di antara Mehnah dan Fitnah. Sungguh banyak buku-buku karya tokoh-tokoh Ikhwan al Muslimin and gerakan Islam diterjemahkan oleh ABIM untuk IIFSO dan WAMY. Buku-buku sebegini menjadi bacaan wajib, cukup popular dan inspirasi kepada anak-anak muda waktu itu yang mencari-cari segenap bahan bagi menelaah ilmu agama, memperbaiki diri, melakukan islah dan menjadi pemanis halua bagi yang mengidamkan pedoman da'wah. Era itu memperlihatkan satu kesedaran, satu kebangkitan Islam yang dipelopori pemuda-pemudi dengan idealisme perjuangan yang membara. Maka sebarang rencana, tulisan, syarahan dan bicara tokoh diikuti, dihadam, ditekuni dan diamati.

Setiap eksperimen Islamisasi didampingi dan ditekuni. Matlamatnya bagi mengisi dada dengan pengetahuan dan ketajaman fikiran agar berada di landasan mulia dan menuruti jalan-jalan da'wah. Pembacaan menjadikan pelengkap tarbiyyah, pembinaan watak dan peribadi. Usrah-usrah pula tempat penyemakan, pencernaan dan perbahasan idea-idea dan apa yang terbit daripada pengajarannya. Kefahaman dan dinamika kumpulan usrah menterjemahkan idea di lapangan dan mencetuskan pelbagai projek. Suasana pembelajaran dan pembinaan sungguh segar dan memberikan pencerahan, ketenangan, perasaan kekayaan, rasa penuh dan perasaan cukup yakin dengan hasil kebersamaan perkongsian dengan rakan-rakan sahabat seperjuangan. Keyakinan bahawa masa depan Islam cerah dan kitalah pembawa pengibar panji-panjinya menjanjikan satu sahwah, satu futuhah, satu kebangkitan, satu kemenangan. Dengan pantas dakwah melebar hingga membawa perubahan terpenting masyarakat dan pembinaan negara-bangsa.

Melalui tulisan Fathi Yakan, kita merasai dan memahami apa makna kita mengakui diri Muslim, menggabungkan diri kepada gerakan Islam, mempunyai perasaan intim kepada perjuangannya. Kita inginkan menegakkan cita-cita Islamiyyah. Kita diingatkan tentang bahaya sepanjang jalan, bagaimana boleh gugur dan tercicir di perjalanan da'wah ini. Kita tahu bakal adanya mehnah dan fitnah yang melanda sejak zaman perjuangan Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para mujahidin hingga masa kini. Kesan pembacaan, perbincangan dan latihan kita meyakinkan kita tentang cerahnya masa depan Islam, kemenangan yang dijanjikan serta keinginan kita untuk menegakkan cita-cita Islamiyyah, menjadi pembawa obor pembaharuan Islam bagi menyinari seluruh pelusuk dan negeri. Sungguh luas pengisian yang diperolehi. Tetapi kita belum menempuhi medan perjuangan sebenar dan apa yang ada hanya pengetahuan dan tahap pemikiran tanpa pengalaman, belum ada ujian getir atau cubaan yang rumit. Kita belum berhadapan dengan pertarungan hak dan batil, belum berdepan dengan kezaliman, penindasan, kekejaman, penyiksaan dan tipudaya. Kita belum menempuhi tribulasi perjuangan.

Sahabat kita, seorang pemimpin senior, pengasas gerakan Islam ABIM, sekarang menjadi seorang tokoh politik ternama, ditanya kenapa beliau masih sanggup mengharungi serangan dan penderitaan bertubi-tubi berbentuk mehnah dan fitnah yang dahsyat ke atasnya. Beliau menjawab dengan merujuk kepada Islah mastata'tum - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”

Tentang dugaan besar yang dihadapinya, beliau telah merujuk kepada ulama Sheikh Wahbah al Zuhaily, Prof Yusuf al Qaradawi dan Tuan Guru Haji Salleh Sik. Ketiga-tiga orang alim ini memberikan pesanan yang sama iaitu Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhan-Nya dan keesan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka) (Surah al Fushshilat: 30)


Khatimah

Semoga apa yang disebutkan di atas mendapat perhatian kita bersama. Marilah kita berazam untuk meningkatkan lagi komitmen kita terhadap harakah yang sama-sama kita cintai ini. Kita juga mendoakan ke hadrat Allah s.w.t. agar memberkati segala usaha kita untuk menobatkan agamaNya di muka bumi ini dan menjadikannya sebagai amal soleh di sisiNya.