Zaynab al
Ghazali al Jubaili lahir pada 1917 . Dia kembali ke
rahmatullah pada 2005 semasa berusia 88
tahun. Dia mengetuai beberapa institusi Islam termasuk yang termasyhur iaitu Jamiat Al-Sayyidat-ul-Muslimaat (Persatuan
Kepimpinan Wanita Muslim). Ramai yang meminati dan terpengaruh dengan kerjanya
yang penuh dedikasi di dalam lapangan da'wah. Dia terkenal sebagai penyelaras
kebajikan dan kesejahteraan golongan yang mustadh'afin, mereka yang lemah dan
memerlukan bantuan dokongan akibat anggota keluarga mereka yang terpenjara di
penjara-penjara gelap dan rahsia Mesir
di bawah pemerintahan Gamal Abdul Nasser.
Zaynab al
Ghazali dituduh di atas konspirasi dan hasutan serta terlibat dalam percubaan
membunuh Presiden Jamal Abdul Nasser. Dia ditahan selama 7 tahun yang
menyiksakan di sebuah penjara politik yang rahsia. Lelaki dan wanita Ikhwan al
Muslimin telah diburu, ditangkap dan disiksa pada zaman yang bergolak itu. Inilah
tahun-tahun 50’an dan 60’an pada waktu wanita Muslim telahpun tampil ke hadapan
memperjuangkan idealisme dan cita-cita murni Ikhwan. Wanita seperti Amina and Hamidah Qutb menyertai
abang-abang mereka Muhammad dan Sayyid Qutb, lalu dipenjarakan. Kesalahan mereka hanyalah semata-mata
penyertaan sebuah organisasi da'wah. Ramai anggota Ikhwan melarikan diri ke
seberang laut mencari suaka politik. Ada yang meninggalkan pergerakan ini dan
ada yang terpaksa bergerak lebih sulit serta jauh di "bawah tanah".
Ramai yang terkorban akibat penyiksaan dan pembunuhan serta ada yang dijatuhkan
hukuman bunuh. Ramai pemerhati menyangkakan Ikhwan telah hancur dan punah
sebagai sebuah organisasi. Ramai juga hairan kenapa tiada keprihatinan atau
kebangkitan awam menentang kezaliman dan penganiayaan itu. Rakyat Mesir nampak
terpukau dan lemah longlai dengan buaian impian khayalan pimpinan 'agong'
Nasser dan diperdaya angan-angan gagasan Arabisme.
Zaynab al
Ghazali memiliki kualiti kepimpinan dan bersemangat
dalam merealisasi pelaksanaan Islam secara amali pada tadbir urus dan
masyarakat. Ini menjadikan dia dianggap sebagai mengancam kedudukan dan kuasa
regim kerajaan autoritarian itu. Pihak regim telah cuba membunuhnya melalui
komplot kemalangan jalanraya tetapi Zaynab al Ghazali terselamat.
Selepas
kegagalan rancangan pembunuhan itu, regim cuba menyogok rasuah dan mengenakan
ugutan supaya Zaynab al Ghazali menyerahkan
pemilikan sekolah-sekolah dan Jamaa'at
al-Sayyidaat al-Muslimaat kepada kerajaan, dan meninggalkan kerja da'wahnya
dengan digantikan oleh bayaran dan dana peruntukan. Zaynab al Ghazali tetap menolak semua tawaran ini. Para
pengikutnya bertambah bilangan dan kekuatan mereka, walaupun dianiaya dan
ditindas, bilangan penyokong tetap bertambah. Regim takut bahawa rakyat jelata
akan menggulingkan kerajaan yang ada. Mukhabarat
- pasukan risikan yang jahat itu melemparkan tuduhan palsu bahawa Ikhwan
berkonpirasi untuk membunuh Jamal Abdul Nasser. Mereka menjadi amat terdesak
untuk melenyapkan orang seperti Zaynab al Ghazali .
Rumah Zaynab al
Ghazali diserbu, harta bendanya dirampas dan dia secara mendadak dibawa ke
penjara.
Berikut adalah
sebahagian mehnah dan tribulasi yang dia terpaksa harungi di dalam “Penjara
Fir'aun” jail:
Dia berjalan ke
arah bilik 24, diapit oleh dua orang pengawal yang memegang cambuk. Dia dengan
sengaja dibawa melalui tempat-tempat tertentu di penjara itu supaya dia dipaksa
melihat kejadian-kejadian yang mengerikan. Dia bagaikan tidak percaya dengan
apa yang dilihatnya dan dia merasa mual dengan betapa teruk kehilangan
keperimanusiaan yang dipamerkan. Apabila dia cuba beralih pandangan, dia
disebat bertalu-talu oleh pengawalnya. Dengan senyap, dia dipaksa melihat anggota-anggota
Ikhwan tergantung seperti ampaian, badan-badan mereka yang telanjang disebat
dengan bengis. Ada yang dibiarkan untuk dibaham oleh anjing-anjing ganas yang
dilepaskan yang menerkam badan-badan mereka. Ada yang sedang berdiri dihadapkan
ke dinding menunggu giliran penyiksaan masing-masing. Zaynab al Ghazali berasa
amat sedih dan pilu kerana dia mengenali dengan rapat ramai daripada
pemuda-pemuda yang baik dan bertakwa ini. Mereka dekat dihatinya sepertilah
anak-anaknya sendiri. Anak-anak muda ini telah menghadiri usrah - halaqah
pengajian Tafsir and Hadith di rumahnya.
Seorang demi
seorang pemuda-pemuda Islam, harapan ummah, disiksa. Ada yang mengalirkan darah
di dahi-dahi mereka. Dahi-dahi yang Zaynab tahu tidak pernah tunduk atau sujud
kecuali kepada Allah. Cahaya Tawhid terpancar daripada wajah-wajah
mereka, bangga bahawa mereka berada di jalan Allah.
Salah seorang
daripada mereka berteriak kepada Zaynab: 'Ummi! Semoga Allah memperteguhkanmu!'
Zaynab menjawab:
'Anak-anak ku! Inilah baiah janji kesetiaan. Bersabarlah keluarga Yasir, ganjaranmu
Jannah.'
Kemudian,
pengawal di sebelahnya memukulnya kepalanya dengan amat kuat sehingga dia merasakan mata dan telinga berputar seolah
terkena kejutan elektrik. Dia terlihat cahaya lampu-lampu di dalam kamar-kamar
dan menyedari lebih banyak lagi badan-badan manusia tersiksa yang memenuhi
tempat itu.
'Kita berserah
kepada Allah!', dia berkata dengan
berani.
Pintu bilik24 dibuka
dan Zaynab al Ghazali dicampakkan ke dalamnya, dan pintu ditutup dengan
hentaman yang kuat.
'Bismillah, Assalamu'alaikum!', dia ucapkan berulang kali. Kemudian dia terdengar pintu dikunci
dan dinyalakan lampu yang terang benderang. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing!
Dia tidak dapat mengira berapa banyak bilangannya! Dengan penuh ketakutan, dia
memejamkan matanya dan meletak kedua tangannya menutupi dada. Berapa saat
kemudian anjing-anjing menderam itu menerkamnya dan menggigit menyiat-yiat
keseluruhan badannya. Dengan menggenggam rapat kedua tangannya ke bahu, dia
membaca nama-nama Allah - Asma al Husna,
bermula dengan 'Ya Allah! Ya Allah!'
Anjing-anjing
itu tidak henti-henti, menggigit, menokak gigi ke atas kepala Zaynab, bahu,
belakang, dada dan apa saja yang belum dicengkam. Dia berulang-kali berdoa
kepada Tuhannya, memohon: 'Ya Rabb! Jadikanlah aku tidak tertumpu kecuali
kepada Engkau. Jadikanlah seluruh tumpuanku hanya kepada Engkau sahaja,
Engkaulah Tuhanku, Yang Ahad, Yang Samad, Yang Satu, Yang Kekal, Yang
Abadi. Bawalah aku daripada dunia fana ini. Lalaikanlah aku daripada kejadian
ini. Jadikanlah keseluruhan tumpuanku hanya kepadaMu. Tegakkanlah aku di bawah
naunganMu. Berikanlah aku ketenangan. Pakaikanlah aku dengan pakaian kasihMu.
Jadikanlah kematianku hanya untukMu, kasih hanya untukMu, ridha denganMu. Ya
Rabb! Teguhkanlah keimanan kami.'
Dia berdoa
berulang-kali dalam hatinya selama beberapa jam lamanya sehinggalah pintu
akhirnya terbuka. Anjing-anjing ditarik dan dipisahkan daripada badannya dan
Zaynab dibawa keluar.
Dia menyangkakan
bajunya akan berlumuran darah kerana dia yakin anjing-anjing itu telah
menggigit keseluruhan badannya. Tetapi, ajaibnya, tidak ada setitik darah pun,
seolah-olah anjing-anjing itu adalah khayalannya semata-mata. Dia memuji Allah:
“Subhanallah! Dia bersama aku”. Dia
mula bermuhasabah dirinya samada dia layak menerima segala rahmat dan nikmat Allah ini.
Pengawal-pengawalnya terpegun bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Zaynab
meninjau ke arah langit di luar yang
mula dipenuhi cahaya senja. Dia menganggarkan bahawa dia telah dikurung bersama
anjing-anjing ganas itu selama tiga jam. Dia mengucapkan: “Alhamdulillah di atas segala dugaan!”
Zaynab al
Ghazali ditolak, dia berjalan terhuyung hayang dengan berasa sungguh lama
perjalanannya. Sebuah pintu dibuka, dan dia merasa bingung berada di dalam
sebuah dewan besar. Dia dibawa melalui satu anjung yang panjang, melalui banyak
pintu-pintu tertutup. Bilik no 3, bersebelahan Bilik No. 2, dibuka dan dia
dihumban ke dalamnya.
Pintu dikunci
belakangnya, dan lampu gantung di lelangit bilik terus dinyalakan. Kecerahan
lampu itu pun sudah cukup untuk menggerunkan dan menakutkan. Ia hanya tanda
bahawa bakal ada lagi kekejaman dan penyiksaan. Beberapa ketika kemudian,
Zaynab al Ghazali mengetuk pintu dan sebuah wajah muram berhantu dengan kasar
bertanya apa yang dia mahukan. Zaynab meminta izin untuk ke bilik air bagi mengambil
wudu'.
Sungguh
mengaibkan lagi menggusarkan, dia tidak dibenarkan mengetuk pintu, atau pergi
ke tandas, ataupun mengambil wudu' ataupun meminta minuman.
'Kalau kamu
ketuk pintu ini lagi, B……, aku akan sebat kamu 50 kali.' Pengawal itu membesit
angin dengan cambuknya, menunjukkan kesediaannya untuk melakukan apa yang
diancamnya.
Di dalam kamar
yang kontang itu, setelah dia penat akibat apa yang harungi di Bilik 24, dia
menanggalkan abayanya, dan
menghamparkannya ke atas lantai. Dia
mengambil wudu' dengan bertayammum menggantikan air, menunaikan solat Maghrib dan
'Isha dan berdiam diri. Kakinya yang masih kesakitan akibat pembedahan yang
baru dijalaninya, mula mengganggunya. Dia meletakkan kasutnya di bawah kepala
dan berbaring.
Kesunyian itu
diganggu apabila terdengar bunyi hentakan kayu yang dipasang di luar tingkap
kecil biliknya. Kemudian seorang demi seorang pemuda Muslim di bawa, diikat secara
posisi bersalib dan disebat bertalu-talu dengan ganas. Mereka bergilir-gilir
berdoa memohon pertolongan Allah.
Selepas setengah
jam, sebatan yang intensif ini, si penyiksa akan bertanya setiap orang pemuda
itu, kebanyakannya terdiri daripada jurutera, doktor dan peguam, tentang bila
mereka tiba ke situ.
'Hari ini atau
semalam', jawapan mereka.
'Bila kali
terakhir kamu pergi ke rumah Zaynab al-Ghazali?'
Jika ada pemuda
yang menjawab mereka terlupa, si penzalim itu akan meneruskan penyeksaan,
memaksa mereka memaki, mencerca Zaynab dengan kata-kata yang jahat dan nista.
Jika pemuda itu enggan, sebatan berterusan tanpa henti. Ada yang sangat berani
dan sangat teguh sehingga mereka sanggup berkata bahawa mereka tidak lihat
apa-apa kepada Zaynab kecuali keikhlasan dan keluhuran budi pekerti, sehingga
mereka dipukul sampai pengsan.
Semua ini
dilakukan bagi mematahkan azam dan semangat Zaynab. Dia mula berdoa kepada
Allah, memohon belas kasihanNya. Dia memanggil si penzalim itu untuk
menyiksanya dan melepaskan pemuda-pemuda itu, kerana biarlah dia merasai
kesakitan itu. Dia memohon supaya Allah menggantikan tempat pemuda-pemuda itu
dengannya. Dia merayu kepada pemuda-pemuda
itu supaya mengatakan saja apa yang disuruh oleh si penzalim supaya mereka
tidak lagi disiksa. Tetapi pemuda-pemuda itu enggan. Pukulan sebatan ditambah
berganda, suara-suara meraung kesakitan bertambah dan Zaynab berasa sungguh
malu dan tertekan jiwanya terhadap apa yang berlaku.
Dalam duka dan
rasa kasihan, dia terus menerus berdoa kepada Allah, saying: 'Ya Allah! Jadikan
lah supaya aku hanya tertumpu kepada Engkau dan lalaikanlah aku daripada
mereka. Ya Rabb! Ilhamkanlah supaya mereka berbuat amal kebaikan yang Engkau
ridha. Ya Rabb! Lindungi aku daripada suara raungan siksaan ini.'
'Ya Rabb! Engkau
tahu apa di jiwaku dan aku tidak tahu apa yang Engkau ketahui. Engkau Maha
Mengetahui tentang yang ghaib. Engkau Maha Mengetahui rahsia manusia dan apa yang
dada-dada mereka sembunyikan. Ya Rabb! Kasihanilah hamba-hambaMu!'
Zaynab memohon
kepada Allah: 'Ya Allah! Aku adalah hambaMu, mengikuti jalanMu sedaya upayaku.
Aku menyeru kepadaMu kerana kelemahan, kesugulan dan ketidakupayaan ku untuk
menentang dosa-dosa orang-orang fasik ini. Lindungilah aku dengan kekuatanMu,
dan tolonglah aku menentang kezaliman mereka.'
Dia dikejutkan
daripada keadaan pasrah berdoanya oleh suara orang perengus yang telah dihantar
untuk mencabul dan memperkosanya.
'Mak Cik!', orang itu berkata.
Zaynab memandang
kepadanya dengan penuh hairan. Rupa wajahnya telah berubah, kini lebih hampir
menyerupai manusia, orangnya muda.
'Jangan takut
Mak Cik! Saya tidak akan menyentuh Mak Cik walaupun mereka menyiat-yiat badan
saya.'
'Semoga Allah berikan
kamu petunjuk, anak ku. Semoga Allah kurniakan rahmat ke atas kamu!”
Pintu bilik
terbuka dengan kencang dan ketua penyeksa Safwat meluru masuk, menerkam orang
baik itu, memukul sambil memaki hamun: 'Anjing sial! Sekarang kamu boleh
dikenakan hukuman mati. Kamu jalankan perintah ini atau berhadapan dengan
mahkamah tentera. Aku akan datang balik dalam tempoh se jam untuk lihat apa
kamu lakukan. Selamatkan diri kamu, patuhi arahan aku!'
'Ya, tuan.'
'Ya Allah!',
Zainab berkata. 'Ini adalah risalah Engkau dan kami adalah tentera dan shuhada risalah ini. Lindungilah
tenteraMu dan maruah mereka. Jadikanlah kami lebih kuat daripada kezaliman dan kekejaman
mereka.' Dia juga berdoa semoga Allah memberi hidayah kepada orang baik itu.
Zaynab menyangkakan setelah diberi amaran keras orang ini akan menjadi takut
dan berubah balik kepada haiwan yang mereka harapkan untuk membahamnya. Tetapi
anehnya, orang itu masih berlemah lembut dan berani.
'Kenapa mereka
menyeksa kamu begini, Mak Cik?', orang ini bertanya seolah seorang anak kecil
yang suci fitrahnya.
'Anak ku, kami
berda'wah menyeru orang kepada Allah dan kami mahu pemerintahan Islam untuk
negara ini. Jangan salah faham, kami bukan mahukan kuasa untuk diri kami.'
Zaynab terdengar
suara Adhan Zuhr, dan bersuci secara bertayammum pada dinding bilik dan
bersolat. Orang itu meminta dia berdoa untuknya, dan Zaynab memenuhi
permintaannya. Apabila Zaynab berdiri semula untuk menunaikan solat sunat,
orang itu berkata: 'Pohonlah kepada Allah untuk membantu aku memulakan solat,
Mak Cik. Anda semua orang baik-baik , semoga laknat Allah menimpa Nasser!'
'Tahukah kamu
bagaimana untuk mengambil wudu'?'
'Sudah tentu.
Saya pernah istiqamah bersolat, tetapi jika angkatan tentera dapat tahu, saya
akan dipenjarakan.'
'Bersolatlah,
walaupun kamu dipenjarakan, anak ku.'
'Inshaallah', katanya,
cahaya iman menyinari wajah air mukanya.
Pada ketika itu,
seorang anggota tentera mengetuk meghentam pintu bilik. 'Kamu anak anjing!', dia
menjerit. 'Apa yang kamu buat?'
Orang muda yang
berbaik hati ini menjawab, 'Wanita ini belum selesai solatnya.'
'Safwat sedang
berjalan ke sini, dia hantar aku ke mari untuk saksikan apa kamu lakukan.'
Safwat menyerbu
masuk macam se ekor anjing gila. Dia menyerang orang muda penyelamat diri
Zaynab dengan amat kejam sekali, memukul-mukul sehingga orang muda itu tidak
lagi mampu mengerang kesakitan. Akhirnya, mereka mengangkatnya dan membawanya
keluar. Zaynab tinggal keseorangan memikirkan dan merenungi kesengsaraan orang
muda ini alami bagi melindunginya. Allah telah menerangkan hati orang muda itu
sehinggalah dia tidak lagi mematuhi kezaliman.
Kemudian, Zaynab
di hantar ke kamar yang dipenuhi air, di mana dia ditinggalkan sehingga
keesokan harinya. Setiap hari, rutin yang sama dilakukan berulang-ulang
sehingga dia hilang pengetahuan tentang waktu dan deria-derianya menjadi kaku.
Lagi sekali dia dikeluarkan dari bilik yang dipenuhi air ke bilik lain
bersebelahan.
Safwat memasuki
biliknya, berteriak: 'Nasser telah hantar setan-setan Nubah [Africa] untuk
membaham kamu. Di mana kamu hendak melarikan diri sekarang? Setiap minit yang
berlalu membawa kamu hampir kepada tamatnya riwayat kamu!'
Safwat mula
menerangkan dengan panjang lebar kepada askar-askar itu apa yang patut mereka
lakukan, dengan cara yang hina, lucah tanpa rasa malu atau adab kehormatan
diri. Dia menuding jari telunjuknya dengan megah :'Jalankan arahan ini, anjing!
Dan apabila kamu selesai, panggil kawan kamu untuk membuat perkara yang sama.
Faham!'
Dia pun
meninggalkan bilik itu dan mengunci pintu. Askar itu memujuk rayu kepada Zaynab
supaya memberitahu apa saja maklumat yang mereka kehendaki, mengatakan bahawa
dia tidak ingin mengapa-apakannya. Tetapi jika dia tidak patuhi perintah, dia
akan dihukum dengan berat.
Dengan segala
kekuatan yang Zaynab mampu kumpulkan, dia memberi amaran kepadanya: 'Kamu datang
hampiri aku, cuma satu langkah, aku akan
bunuh kamu. Bunuh kamu, faham?'
Dia dapat
mengesan bahawa orang ini keberatan untuk menyerangnya tetapi dia tetap bergerak
ke arahnya. Tanpa sedar, Zaynab mencengkam tangan-tangan pada tengok askar itu
dan mencengkeknya.
'Bismillah, Allahu Akbar',
dia menjerit, dan menggigit leher askar itu sekuat-kuat hati.
Askar itu
terlepas daripada dakapan tangannya, mulut orang itu berbuih putih, semacam
buih sabun, berbusa daripada mulutnya. Askar itu jatuh ke lantai tidak bergerak
lagi.
Dengan keadaan
tidak percaya apa yang terjadi, Zaynab bersandar ke belakang, dengan sedikit
tenaga yang masih ada. Buat masa ini,
sekurang-kurangnya, dia terselamat. Allah Maha Suci telah memasukkan suatu daya
yang luar biasa. Daya yang mampu menumpaskan manusia buas ini.
“Ya Tuhanku! Betapa
pemurahnya Engkau! Betapa besar pemberian Engkau! Engkaulah Rabb kami dan Rabb
sekaliannya! Mereka yang mengikuti perintah Allah ditentangi dan dihalangi,
tetapi tempat terakhir yang berkekalan nanti pasti milik orang yang benar dan salih!”
Pintu bilik
dibuka dan ketua penyeksa Hamzah al Basuni dan Safwat, berserta kuncu-kuncu
berdiri terpegun dengan apa yang mereka saksikan: rakan mereka membuak-buak di
atas lantai. Mereka memerhati, senyap sunyi dengan perasaan tidak percaya (. .
. lalu hairan terdiamlah orang kafir itu;
dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. . .) [Quran
al Baqarah 2:258]
Mereka membawa
mayat askar itu bersama mereka. Kemudian, Zaynab dihantar semula ke bilik yang
dipenuhi air.
Zaynab diarah
berdiri dan menunggu apa yang bakal menimpanya. Di tengah-tengah bilik
dinyalakan api, dan di setiap sudut seorang askar berdiri dengan mempamerkan
secara angkuh cemeti-cemeti bergaya ular yang dipegangnya. Seorang menyebatnya
dengan pukulan yang sangat kuat sehingga Zaynab dipaksa menghampiri api yang
membakar. Apabila dia cuba mengalih diri, seorang lagi menyebatnya. Begitulah
diulang-ulangi. Sepanjang masa ini kepanasan api membakar kulitnya. Dia disiksa
dengan cara ini selama dua jam, terhuyung hayang di antara api bernyala-nyala
yang dia takut terjatuh ke atasnya dan sebatan yang menyelar. Hamzah al-Basyuni
datang, dan mengulangi karut marutnya: samada Zaynab mengakui komplot untuk
membunuh Nasser, atau disiksa lagi. Walauapapun, Zaynab terjatuh tidak sedar
diri dan pitam, dan apabila dia bangun, dia telah berada di hospital semula.
Dia sepatutnya
telah ditahan kerana tuduhan jenayah yang spesifik. Jika itulah halnya,
kenapakah mereka berusaha memaksanya membuat pengakuan bahawa dia berkomplot
untuk membunuh Nasser, bahawa dia merancang jenayah ini? Jika semua bukti
jenayah ini telah ada, seperti mana mereka dakwa, kenapa berusaha menuntutkan
pengakuan? Kenapa menuntut Zaynab memberikan bukti jenayah yang hanya wujud
pada imaginasi mereka semata-mata? Sebabnya jelas: semua usaha penyeksaan
ditujukan hanya untuk mencapai satu matlamat - menentang Islam dan memusnahkan
asas-asasnya …
Ketua penyeksa al
Basyuni menyindir: 'Kamu mahukan kami menjadi seperti kamu, dan gagal seperti
kamu! Kamu mahukan kami meninggalkan Kesatuan Soviet yang memerintah separuh
dunia dan menyerah serta tunduk kepada kata-kata orang seperti al-Hudaibi,
Sayyid Qutb atau Hasan al-Banna?! Kamu gila! Kami bukan macam kamu! Jawab!'
Zaynab merenungkan:
'(Sesungguhnya mereka itu (dahulu)
apabila dikatakan kepada mereka: "La ilaha illa’llah (Tiada Tuhan
melainkan Allah),” mereka menyombongkan diri. Dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya
kami harus meninggalkan ilah (tuhan-tuhan) kami kerana seorang penyair gila?"?".[Quran
al Saffat: 35-36]
Dia pun berkata:
“Tuhan-tuhan ini adalah berhala, dan pemerintah-pemerintah ini adalah
khadam-khadam berhala. Merekalah yang menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai gila. Kini, sejarah berulang kembali. Kamu
mengatakan kepada mereka yang menyeru kamu kepada Allah sebagai gila.”
'Safwat, gantung
dia di atas dan sebat dia!'
Zaynab
dipindahkan ke hospital dan dia tidak mengingati apa yang berlaku pada malam
itu, kerana dia pengsan tidak sedarkan diri selama tiga hari...
Pernah ketua
penyeksa menemplak dengan bengkeng: 'Bukankah aku telah katakan kepada kamu
jangan biarkan wanita ini datang ke pejabat aku jika dia masih hidup! Kenapa
kamu bawa dia kepada aku dalam keadaan bernyawa?'
Zainab menjawab:
'Persoalan ini bukan menurut kehendak kamu ataupun aku samada aku hidup atau
mati, ia kehendak Allah, Dialah Maha Penentu hidup dan mati!'
(disuaipadan, disunting dan diterjemahkan daripada buku book Return of the
Pharaoh – Memoirs in Nasser’s Prison)