Oleh : Anwar Ibrahim, 15 Ogos 2015
Sesetengah pihak menggelarnya
pengakhiran kepada politik Islam, sebahagian lain lebih cenderung kepada
'detik-detik sukar' namun ada juga berdalih dari kenyataan 'penglibatan
tentera'. Jadi, mengapa pengibar bendera demokrasi seperti AS dan Kesatuan Eropah
(EU) tidak mampu atau tidak bersedia mengakui rampasan kuasa itu rampasan
kuasa? Jerman bertindak sedikit baik dengan mengatakan situasi yang berlaku di
Mesir sebagai "satu tamparan besar terhadap demokrasi di Mesir",
walaupun negara-negara Barat selebihnya cuba menyembunyikan kejahatan mereka
dengan semata-mata panggilan akan sekatan dan mengelakkan keganasan. Tetapi
kegagalan merujuknya sebuah rampasan kuasa, apalagi mengutuknya, memperlihatkan
sikap pilih kasih terhadap demokrasi.
Tunisia mengutuk penggulingan
Mursi sebagai "rampasan kuasa terang-terangan", yang menjejaskan
demokrasi dan akan menyuburkan radikalism. Dalam sebuah ucapan di Istanbul pada
5 Julai, Perdana Menteri Turki, Erdogan turut mengutuknya: "Tidak kira di mana
atau siapa yang disanggah, rampasan kuasa kesannya merosakkan, tidak
berperikemanusiaan dan menentang hak rakyat, hak nasional dan demokrasi".
Dalam kritikannya yang penuh
semangat, Erdogan tidak hanya memberi respon seperti yang dijangka tetapi dia
juga mengaitkan dengan belajar dari sejarah Turki. Mesir masih berkemampuan
menemui harapan baru seperti Turki, negara yang telah menyusuri perkembangan
demokrasi dengan sejarah rampasan kuasa yang pahit dan menyakitkan.
Lantas, perlembagaan demokrasi
Mesir yang baru ditempa, masih rapuh dan belum kukuh sekaligus ditumbangkan.
Tiada topeng- seperti melantik ketua hakim Mahkamah Tertinggi untuk mengetuai
'kerajaan sementara'- dapat mengubah fakta bahawa kuku besi tentera telah
memutarkan kembali jam negara Arab paling berpopulasi di dunia.
Sebahagian mewajarkan rampasan
kuasa 30 Jun atas asas bahawa Revolusi 25 Januari pada 2011 yang menggulingkan
Mubarak juga dibantu oleh tentera Mesir. Tapi analogi tersebut tidak benar.
Ketika Revolusi menyaksikan diktator yang telah memerintah secara kejam selama
30 tahun ditumbangkan, ini adalah penggulingan seorang presiden yang telah
dilantik secara demokratik melalui pihanraya yang adil dan bersih. Perbezaan
kedua-duanya terlalu ketara: seorang mendapat kuasa kerana tentera, manakala
seorang lagi mendapat kuasa atas mandat rakyat tetapi diketepikan oleh tentera.
Kebisuan Barat
Dengan kekal membisu ketika
tentera menerbitkan ultimatum kepada Presiden Mursi, Barat menjadi subahat.
Kegagalan mengecam rampasan kuasa setelah fakta membuktikan kebersalahannya
mencetuskan debat akan ketidakseragaman dalam polisi luar Barat apabila kudeta
melibatkan negara-negara yang diperintah oleh parti-parti yang dipilih secara
demokratik cenderung kepada politik Islam.
Sesetengah pengulas telah berkata
mengenai pertembungan antara Islamis dan Liberalis menjadi sebab utama akan
kejatuhan Mursi. Mesir, seperti yang ditegaskan, tidak mahu kerajaan
ala-Taliban. Selain dari fakta bahawa ia hanya disokong dengan hujah yang
lemah, ia juga diletakkan dalam konteks yang salah. Mursi tidaklah jatuh- dia
digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa yang terang dan nyata. Tambahan
pula, walaupun ada sifat autokratik berlebihan dalam meluluskan dekri Presiden
yang ditentang ramai, namun menyamakan Ikhwan Muslimin dan Taliban adalah satu
kejahilan yang tidak dapat diterima dan lebih parah daripada Islamophobia.
Lebih dekat dengan kebenaran
ialah mungkin saki-baki rejim Mubarak telah merampas hari tersebut untuk
kembali berkuasa yang telah diambil, tidak serta merta selepas revolusi, tetapi
selepas Ikhwanul Muslimin mendapat kuasa. Bahkan, mungkin tidak keterlaluan
untuk menyatakan revolusi-balas telah dirancang oleh mereka yang ingin menuntut
kembali kegemilangan yang telah hilang.
Semua pelantikan jawatan utama
setelah rampasan kuasa dilakukan oleh tentera. Nama-nama ini bergema harmoni
dengan mereka yang tidak menolak akan kembalinya praetoria Mesir tetapi
menggerunkan mereka yang percaya orang-orang bawahan Mubarak telah dikuburkan
selayaknya. Pelajaran-pelajaran sejarah telah dipandu jelas di sini.
Sejarah moden Turki mengingatkan
kita akan tindakan tanpa henti tentera melaksanakan siri kudeta dalam usaha
mendapatkan kuasa dan keistimewaan. Rakyat Turki tidak diberikan demokrasi
secara mudah. Sebagaimana yang sedang kita saksikan di Mesir, rakyat Turki
terpaksa berjuang gigih untuknya dan lebih payah untuk mengekalkannya. Harganya
darah, peluh dan airmata bagi mereka yang bersatu oleh kecintaan akan kebebasan
dan demokrasi dan mensabitkan peranan tentera ialah melindungi negara, bukannya
menentukan kerajaan yang memerintah. Pemilihan kerajaan hanya boleh
dilaksanakan melalui kotak undi.
Demokrasi perlu dibayar dengan
harga yang mahal tetapi kesukaran dan kesengsaraan dibawah pemerintahan tentera
lebih payah. Seperti yang Perdana Menteri Erdogan nyatakan, "setiap
rampasan kuasa melumpuhkan ekonomi Turki, membazirkan aset-aset Turki dan
mengakibatkan negara, bangsa dan pemuda khususnya, terpaksa membayar dengan
harga yang tinggi." Rakyat Mesir juga membayar harga yang mahal untuk revolusi
dan kini menanggung beban sekali lagi kerana mempertahankannya. Ini ditujukan
kepada rakyat Mesir, kemuncaknya ketika pembunuhan beramai-ramai lebih 1000 orang penyokong Mursi dan ahli-ahli Ikhwan sekitar Masjid Rabiatul Adawiyah di
Kaherah.
General Tentera Abdul Fattah
as-Sisi dan pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah mesti bertanggungjawab
atas darah yang telah ditumpahkan tangan-tangan mereka. Penyembelihan rakyat
yang tidak bersalah mesti dikecam. Cubaan untuk menjustifikasikan rampasan kuasa
atas 'sebab-sebab aneh' seperti kelemahan pentadbiran Mursi, sifatnya yang
eksklusif, dan protes oleh jutaan rakyat Mesir, adalah cetek dan sangat
subjektif.
Apatah lagi, bukti-bukti yang
dipercayai menunjukkan bahawa banyak demonstrasi jalanan yang menuntut
penggulingan Mursi ditaja oleh bantuan asing dan badan-badan kerajaan serantau.
Dalam mana-mana keadaan, sejak bila protes secara besar-besaran membenarkan
akan pengambil alihan kuasa oleh tentera? Dalam demokrasi, tekanan boleh
diberikan melalui demonstrasi di jalan-jalan agar kerajaan yang berkuasa
sentiasa 'keep-in-check' tetapi pemerintahan yang dilantik secara demokratik
tidak wajar ditumbangkan melalui protes jalanan ataupun desakan tentera.
Apa seterusnya untuk Mesir?
Dialog perdamaian adalah sia-sia
seperti mana ianya retorik kosong. Panggilan untuk kesatuan dan perdamaian
adalah suatu perkara tetapi apabila ia berpunca dari satu pihak yang menjadi
perampas, ruangan sempit menjadi semakin kecil. Apalagi penyelesaian dengan
pistol diacu kearah kepala satu pihak. Bersama dengan mereka yang berpemikiran
keadilan dan menyokong demokrasi, saya menambah suara saya menyeru Barat,
khususnya Amerika untuk melakukan perkara yang sepatutnya. Bantuan berbilion
dollar dalam ketenteraan dan ekonomi kepada Mesir seharusnya bantuan atas nama
demokrasi dan hak asasi manusia, bukannya sokongan ke atas rampasan kuasa.
Presiden Mursi mestilah dikembalikan ke pejabatnya yang hak dan sebagai
balasannya pula, memulakan dialog nasional yang meliputi semua pihak.
Ini bukanlah kegagalan revolusi.
Ini adalah rampasan kuasa yang dipinjamkan atas pemberontakan rakyat,
menukarkan Arab spring kepada musim sejuk yang tidak menenangkan. Perjalanan
demokrasi sebenar tidak mungkin pernah berjalan mudah. Apatah lagi demokrasi
yang baru berputik seperti di Mesir. Mereka yang dipilih secara demokratik
mesti dibenarkan untuk menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan kepada
mereka, atau sekurang-kurangnya dalam situasi yang mendesak dimana rakyat
inginkan mandat baru, membenarkan pilihan raya semula diadakan. Selagi mana
pemerintah patuh kepada proses perlembagaan dan mendukung undang-undang, tiada
justifikasi moral atau perundangan untuk mengalihkan mereka.
Rakyat Mesir berdiri teguh,
bersatu dan berjuang habis-habisan dalam menamatkan 6 dekad dibawah
kediktatoran tentera demi menikmati kebebasan dan demokrasi sebenar. Marilah
kita bersama-sama tidak bersubahat dengan rampasan kuasa yang melanggar
konstitusi dan tidak bermoral. Mari bersama kita memainkan peranan kita untuk
melihat rakyat Mesir meraikan kemenangan Revolusi 25 Januari.
Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen
Malaysia
No comments:
Post a Comment