Banyak telah diperkatakan dan
ditulis terutama oleh pengkaji Barat tentang Sayyid Qutb yang sering digambarkan
sebagai seorang radikal, penaung ekstremisme dan penganjur keganasan serta
tuduhan keterlaluan bahawa dia adalah pengasas gerakan teroris. Gambaran
sebegini memberikan pandangan yang tidak adil dan tidak saksama ke atas seorang
pujangga yang dianggap penjenayah dan dihardik sebagai pengancam kepada
keselamatan negara semata-mata kerana pemikiran mendalamnya, keintelektualan, hujah-hujah
keimanan, idea-idea besar dan kesusasteraannya yang tinggi. Sayyid Qutb berhadapan
dengan pengorbanan paling tinggi kerana dia tidak berganjak daripada
prinsipnya, dia mempertahankan keteguhan pendiriannya dan dia memelihara
keimanannya sepanjang cabaran yang dihadapi. Dia harus dilihat dan dinilai
sebagai seorang pejuang yang mengalami tibulasi dan ujian getir yang tiada
bandingnya dengan kebiasaan orang lain.
Tentang iltizam dan istiqamah
serta dedikasi total kepada perjuangan tajdid,
memugar memperbaharui agama dan menegakkan shahadah,
dia berkata, “Barangsiapa berbaiah mengakujanji untuk menghayati hidupnya demi
agamanya, maka dia akan menghadapi hidup yang tenat, tetapi dia merasai
kehidupan yang gemilang.”
Apabila berhadapan dengan musibah
malapetaka yang menimpa anggota-anggota Ikhwan al Muslimin dan penyeksaan kejam
tanpa keperimanusiaan serta kehidupan yang sengsara dan dihina oleh regim, tentang
kesabaran dia berkata “Adakalanya dalam kehidupan ini bahawa tidak ada manusia
yang sanggup melaluinya, kecuali mereka yang bergantung sepenuhnya kepada Allah
dan meyakini akan perlindunganNya, tak kira betapa sekali kekuatan, dayatahan
dan kesabaran yang telah dikurniakan kepada mereka. Kerana dalam kehidupan ini
ada ketikanya semua ini dilanda oleh ribut taufan, dan yang hanya tinggal teguh
tegak berdiri adalah yang dijamin ketenteraman kerana mengingati Allah - "
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."(Ar-Ra'd
13:28.)
Sayyid Qutb sentiasa positif dan
bersangka baik terhadap orang, walaupun musuh-musuhnya ingin mencontengnya
sebagai anti-sosial dan terpisah daripada memahami perasaan orang awam, ataupun
dipalit sebagai suka menghukum orang, berprasangka atau memandang rendah orang
lain. Dia berkata, “Apabila kita menemukan sosok kebaikan yang ada pada jiwa manusia,
kita akan menjumpai amat banyak kebaikan yang ada pada mereka yang mata kita
tidak akan nampak pada pandangan pertama."
Tentang keyakinan, ketabahan dan sikap
optimis walaupun di dalam situasi yang amat teruk, dia ujar, “Dan jika seluruh
tentera kegelapan mengelilingi dan menyelubungi aku, namun aku tetap yakin
bahawa fajar bakal menyingsing."
Apabila sabar dan tabah
menghadapi mehnah di penjara dan mengalami penyeksaan kejam yang bertalu-talu,
Sayyid Qutb menyebut kisah, pengalaman dan pengajaran Nabi Ayyub a.s. yang
tidak berkata kecuali menyatakan keadaannya:
"dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika
ia menyeru Rabbnya: “(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit "
(Quran 21:83), dan menyebut nama Allah melalui sifatNya yang agong: " dan Engkau adalah Yang Maha Penyayang di
antara semua penyayang " Menurut Sayyid Qutb, Nabi Ayyub a.s. tidak memohon supaya keadaannya berubah,
lalu bersabar menghadapi kesusahannya, dan dia tidak mencadangkan apa-apa
kepada Rabbnya, kerana mensucikan dan memuja Rabbnya. Oleh itu, Nabi Ayyub a.s.
menjadi contoh teladan hamba yang tabah; hatinya tidak derita kerana
penyakitnya, dan dia tidak keluh kesah apabila mengidap penderitaan yang semua
orang akan mengalami pada setiap waktu dan setiap zaman. Sebaliknya, Nabi Ayyub
a.s. malu untuk memohon Rabbnya untuk menghilangkan penderitaan itu, tetapi
menyerahkan bulat kepadaNya, yakin dengan pengetahuanNya tentang keadaan itu
dan tanpa perlu diminta-minta.
Justeru bagi Sayyid Qutb, dan
pada ketika Nabi Ayyub a.s. mengadap Tuhannya dengan keteguhan iman dan penuh
penghormatan, maka ketika itulah datang jawapan Allah dan rahmatNya,
berakhirlah dugaan berat Nabi Ayyub a.s.
Untuk mendekati kitab hidayah,
dalam ibadah, dalam mencari penawar hidup dan ketenangan, dalam memohon
pertolongan, dalam kepasrahan dan apabila berhubung dengan Allah swt, Sayyid
Qutb mengujar pada tafsir masyhurnya Fi
Dhilal al-Quran ( Di Bawah Naungan al Qur'an) , “Al Qur'an memberikan kamu
sebanyak mana kamu berikan kepadanya, dan ia membukakan kepada kamu pada setiap
masa keinsafan, ilham dan makrifah sebanyak mana kamu membukakan diri kamu
kepadanya, dan pada setiap masa ia kelihatan baru, seolah-olah kamu sedang
menerimanya (daripada Allah) pada ketika itu."
Apabila berdiri berhadapan dengan
pendakwa-pendakwa jahat di mahkamah dan setelah dipujuk rayu supaya memohon pengampunan
daripada regim, dia menyatakan dengan tegas, “Aku tidak akan memohon maaf
kerana bekerja untuk Allah.”
Untuk memperbetulkan tanggapan silap
bahawa Sayyid Qutb menganjurkan penyebaran Islam melalui paksaan atau
kekerasan, dia menasihatkan, “Agama tidak meruntun manusia kepada ketaatan
melalui merantai dan mengikat mereka, tetapi ia membawa mereka melalui taqwa, dan jika manusia menjadi rosak
dan fasad, pengislahan - merubah
mereka bukan dengan cara keras dan memaksa, tetapi melalui tarbiyyah, pembaharuan pendidikan dan penyucian hati.”
Tentang legasinya dan testimoni nyata
bagi idealisme dan prinsip-prinsipnya, dia berkata, ”Sesungguhnya, kata-kata
kita akan kekal tidak bernyawa, tandus, tanpa keghairahan, sehinggalah kita
mati akibat kata-kata ini, pada ketika itu kata-kata kita akan tiba-tiba hidup
dan berada pada hati-hati dan jiwa-jiwa yang telah mati, menghidupkan mereka
pula.” Ini dapat disaksikan melalui betapa laris idea-idea, buku-buku dan tulisan-tulisannya
setelah dia kembali ke rahmatullah.
Tentang kenapa dia memilih untuk
menentang regim yang zalim dan sistem yang tidak adil, dia memberikan amaran, “Fasad dan korupsi adalah natijah pasti daripada
kezaliman, korupsi menjejaskan si penzalim dan menjejaskan rakyatnya. Merelakan
dosa dan kejahatan adalah sama dengan merelakan jalan kepada penderitaan.”
Pada hari Sayyid Qutb menjalani
hukuman gantung dan di dalam perjalanannya ke tali gantung, dikhabarkan seorang
sheikh telah ditugaskan dan sheikh ini asyik menggesa Sayyid Qutb untuk mengucap
shahadah. Sayyid Qutb menjawab, “Wahai
orang tua, shahadah itulah sebabnya aku akan ke tali gantung!”
Dengan demikian, dia berdiri
teguh mengotai kata-katanya, “Mereka yang takut apabila berdiri di hadapan
Allah adalah mereka yang tidak bergelumang dalam dosa. Iman adalah jalan pendakian
melaluinya fitrah manusia menuju kepada kesempurnaan hakiki. Iman adalah ciri dengan
mana manusia yang kerdil dan sementara mencapai muraqabah dengan Maha Pencipta dan Maha Penguasa seluruh alam dan
segala apa di dalamnya. Manusia tanpa iman adalah makhluk hina yang hanya bercita-cita
picis dan berperihal remeh temeh. Kaedah Islam membina peribadi menghubungkan
ibadah dengan keimanan.”
Semoga Allah merahmatinya!
No comments:
Post a Comment