Wednesday, September 18, 2013

DOUGLAS THOMPSON: LAGI WACANA BUKU DAN KOMENTAR PERSIDANGAN KEBANGKITAN ISLAM


Douglas Thompson penulis buku Inside the Muslim Brotherhood  bersama Youseff Nada


Saya terharu dengan jemputan bersungguh-sungguh yang sampaikan dan juga melihat kepada senarai ahli pemidato dan pembentang ternama yang hadir ke persidangan ini.  Saya sangat menghargai sambutan baik dan layanan mesra orang Malaysia.

Merujuk kepada buku ini, buku ini tamat dengan pengumuman bahawa Dr Morsi telah memenangi pilihanraya presiden. Youseff Nada dan saya menyaksikan keputusan pilihanraya di kaca TV. Sebagai manusia biasa, Nada bersorak apabila keputusan itu diumumkan.

Apa yang telah terjadi di Mesir amat sedih dan mematahkan semangat. Bagi Ikhwan al Muslimin ini mungkin satu lagi keseduan kerana usianya telah sampai 85 tahun tetapi gerakan ini masih sihat. Pembantaian yang lakukan oleh Al Asisi menyedarkan seluruh masyarakat dunia tentang Ikhwan al Muslimin. Sekarang orang yang tidak mempunyai secebis idea pun tentang mereka telah mengenali siapa Ikhwan al Muslimin. Kami di Barat bercakap tentang umat Islam daripada mana kami berada. Dan orang Islam pula mempersoalkan kami daripada mana mereka berada.

Kita saksikan rentak Rusia berlenggok angkuh, PM UK Cameron pula malu tersipu-sipu dan Obama teragak-agak berbolak balik di dalam seluruh isu buruk dan jelik ini.  

Bagaimana dengan kepimpinan Dr Morsi? Memang amat sukar untuk kerajaannya mentadbir dan Morsi dituntut dan dikehendaki membuktikan kepada dunia bahwa dia bersuara untuk Mesir dan bukan untuk Ikhwan. Alasan rampasan kuasa itu pula adalah kerana pendirian Morsi. Dan sebenarnya, ekonomi Mesir sudah parah serta sukar dipulihkan. Tiada siapa yang akan mencampak wang ke atas selimut yang terbakar. Pengusaha-pengusaha Cina yang terkenal berani mengambil risiko pun tidak sanggup melabur di sana.

Ia memerlukan pemaduan firasat untuk meramal apa yang akan berlaku selanjutnya. Saya tidak lihat bahawa nilai-nilai Islam itu membawa masalah. Tetapi sebenarnya ini adalah masalah manusia. Ikhwan al Muslimin mengambil kesempatan politik tetapi mereka berhasrat untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Namun bagi Barat, Islam dimomokkan sebagai raksaksa dan dicurigai. Newt Gingrich pernah menggelar Ikhwan sebagai "pembunuh dan perosak".

Saya telah mempelajari apa perjuangan dan tribulasi yang Youseff Nada dan Ikhwan telah mengharungi. Jika anda menonton  TV  tentang peristiwa yang berlaku di Mesir kini secara hitam putih, ia mirip merupakan tayangan ulangan Mesir era 60’an.

Ikhwan al Muslimin telah memutuskan untuk bersikap terbuka kepada perubahan dan inklusiviti. Oleh itu, kita harus membangkitkan isu-isu samada suka atau tidak secara terbuka dan berdebat dengan Ikhwan. Kalaulah kita dapat meneruskan perbualan kita secara tenang – dan ini tidaklah sukar untuk dilakukan. Tetapi telah berlaku provokasi yang melampaui batas. Banyak nyawa telah terkorban – ribuan orang cedera dan cacat anggota badan. Anda boleh lihat kesengsaraan di hospital-hospital dan tragedi ngeri yang menimpa keluarga kaum kerabat mereka.  

Persidangan-persidangan seperti in adalah baik kerana kita berpeluang untuk bercakap sesama kita. Kita dapat sebarkan mesej dan membentuk pendapat umum. Bagaimanakah kita bentangkan kebangkitan Islam dengan cara yang tenang dan waras. Ia memerlukan tertib pengaturan bagi mengatasi kekalutan yang menyebabkan segala macam permasalahan.

General - general dan angkatan tentera telah diasuh di dalam sistem yang sarat dengan korupsi selama 60 tahun. Seorang anggota tentera bawahan pada zaman penganaiayaan ke atas Ikhwan pada masa lampau mungin kini salah seorang daripada  panglima tentera. Nampaknya situasi catch 22 – dilema berulang semula.

Kita semua bertanggungjawab. Bagaimana kita boleh jadikan kedua-dua pihak boleh bekerjasama – di antara politikal Islam dan yang lain?


Soal Jawab


Kenapa saya menulis buku ini ?

Saya ingin cuba membuat sumbangan kecil terhadap memahami dan menghormati kepercayaan masing-masing. Anda tahu bahawa amat sukar bagi saya untuk pergi ke penerbit British dan mengatakan saya ada buku Ikhwan la Muslimin untuk diterbitkan!


Syria

Syria yang hancur musnah akan menjadi sebuah negara di mana rakyatnya hanya bernyawa untuk hidup dari hari ke hari.


Tentang samada pendirian aman dan damai menolak keganasan oleh Ikhwan al Muslimin itu hanya semata-mata taktik:-


Sebenarnya saya diberitahu bahawa ia adalah etos Islam - Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan. Dan setahu saya, Islam menganggap membunuh seorang manusia adalah seolah-olah membunuh keseluruhan umat manusia. Ikhwan al Muslimin kini diasak bertubi-tubi dan sekiranya anggotanya lemah dan melatah, keseluruhan gerakan ini akan dilumpuhkan. Oleh itu, ini adalah gerakan aman yang memerlukan sokongan dan dokongan dunia pada masa ini. Sememangnya tugas yang sukar dan berat untuk membuang berton-ton bebanan buruk yang wujud yang bersarang di dalam “liang” - deep state kerajaan Mesir.


(Terjemahan catatan kasar ucapan Douglas Thompson di WORLD CONFERENCE ON ISLAMIC RESURGENCE, Shah Alam)

No comments: