Wednesday, August 19, 2015

Bagaimana menyikapi Perlaksanaan Hukum?



Ada ketikanya adalah lebih baik dan afdal mengambil pendekatan berdiam diri (pada waktu tertentu) kerana menyokong perkara yang difikirkan boleh tertangguh pun mempelawa fitnah dan tidak menyokong pun difitnah. Kadangkalanya tindakan berdiam diri lebih ringan dan lebih selamat.


Fiqh sebagai Gagasan Penyelesaian

Pendirian kita sebenar telah terungkap selama berpuluhan tahun kerana Islamisasi – pemerataan Islam itulah pendirian kita. Ketika kita mula menjuarai gerakan kebangkitan Islam – impian kita adalah Islamization, reIslamization – menegakkan cita-cita Islamiyyah. Adakalanya kita sebut tatbiqul shari’ah – pelaksanaan syariah dalam konteks penerusan proses Islamisasi kepada pendidikan, ekonomi, sosial, pentadbiran, politik dan juga perundangan. Dalam undang-undang pelaksanaan hukum Islam termasuklah sistem jenayah dan hudud.

Itulah rancangan besarnya, pelan induk ataupun grand design. Ini memerlukan pula proses pelaksanaan serta kefahaman fiqh yang mendalam –  di antaranya:-
Fiqh al taghyir – perubahan
Fiqh al muwazanat – keseimbangan
Fiqhal  awlawiyyat – keutamaan – prioriti

Itulah prosesnya. Proses pelaksanaannya subtle, gradual, workable – halus, beransur-ansur, berkesan, berwibawa dan berhikmah.

Menurut Dr Siddiq Fadzil ia memerlukan penguasaan fiqh al waqi’ – memahami realiti setempat, realiti semasa, realiti kemampuan – waqi’ al makaniy, waqi’ al zamaniy dan waqi’ al imkaniy. Timbulnya keperluan mempelajari apa yang disebut  al-nazariyyat al-siyaqiyyah (teori konteks).  Istilah  al-siyaq dalam pengertian  konteks  dengan makna teks lain yang beserta dengan sesuatu teks, adalah  bersifat multi-dimensi:   al-siyaq  al-zamaniy, al-makaniy dan al-imkaniy (konteks masa, tempat dan kemampuan).        

Menangani perubahan ini memerlukan penguasaan fiqhnya. Dalam hal ini, kita semua sedang belajar bersama kerana tiada sesiapa yang boleh mengakui pengetahuan mendalam fiqh al taghyir – ini bukan bidang diceburi lulusan Azhar sahaja.

Dari dahulu lagi, kita mengatakan secara prinsip bahawa Islamisasi tidak boleh dan tidak patut dikenakan ke atas masyarakat yang enggan – Islamization should not and cannot be imposed upon a reluctant society – iaitu masyarakat yang belum siap, belum bersedia. What is needed is the conditioning of the mind of people in society toleration, willingness and acceptance - mempersiapkan pemikiran minda umat. Kita baru di tahap merubah pemikiran umat dan ternyata umat belum bersiap dan saksikanlah perbalahan sekarang ini.

Pada zahirnya, ramai Non Muslim berasa kurang selesa dengan kehadiran agama di persada awam. Di kalangan mereka merasa kurang senang dengan hubungan di antara agama dan politik. They are often uncomfortable with the presence of religion, certainly in the public sphere  and are quite  ambivalent about the relationship of religion to politics.

Ini dapat dilihat pada penentangan luas terhadap cadangan perlaksanaan hukum jenayah Islam atau cadangan bagi meneguhkan shariah Islam di dalam pemerintahan. Pendekatan garis keras sudah tentu akan menebalkan prasangka dan mempengaruhi tanggapan mereka.

Pendakwah dan aktivis juga perlu mendalami ilmu dan kemahiran serta menghayati seruan da'wah bil hal, da'wah bil hikmah, mauizah hasanah - kebijaksanaan, teladan terbaik dan hujah yang bernas. Kita perlu sedar dan peka terhadap tahap kecurigaan dan Islamophobia yang sangat tinggi masakini, dan sebarang tindakan berunsur garis keras akan melebarkan jurang serta menjauhkan titik persefahaman.

Kita belum melakukan perubahan minda Muslim dan Non Muslim. Kita tidak boleh mengatakan kepada Non Muslim – Shut up ! It has nothing to do with you – “Kamu diam! Ini tiada kena mengena dengan kamu”. Sebaliknya kita mesti meyakinkan – mempunyai ‘íqna – pendekatan yang convincing. Kita ada parlimen dan di situ semua adalah warganegara yang bebas menyuarakan pendapat tentang sebarang isu.

Dr Siddiq Fadzil merumuskan bahawa semua warganegara memiliki  status al-muwatanah al-kamilah (full citizenship)  yang memang secara sah telah mereka nikmati sekarang.   Oleh itu seterusnya harus ada peta jalan ke arah  hidup bersama  (al-ta`ayush) [“coexistence" or "life in common”] dalam pengertian  sama-sama menikmati hak dan sama-sama memikul tanggungjawab atas prinsip lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna [They (non-Muslims) have the same rights as we Muslims do; they are liable to the same duties as we Muslims are] dengan mengambilkira  realiti sejarah dan budaya negara ini.     

Pada hakikatnya dan realitinya, perlaksanaan hudud tersekat dan terhalang oleh segala macam masalah. Senario seterusnya akibat terabai kebijaksanaan menangani perbedaan ini pula menunjukkan kepelbagaian kemungkinan serta telahan berlaku –
·         Regim pemerintah mengekalkan kuasa manakala pakatan pembangkang berpecah
·         Parti Islam sendiri berpecah
·         Parti Islam dan parti pemerintah ditanggapi bersikap sejajar
·         Parti Islam semakin hilang kewibawaan politik atas terabai pendiriannya mengenai isu merakyat malah dilihat sebagai penyelamat parti pemerintah yang sedang sarat dengan skandal
·         Integriti dan amanah kepimpinan seolah-olah terpisah daripada sistem keadilan Islam yang ingin ditegakkan

Adalah suatu kesilapan dan amat simplistik jika cepat melabelkan semua perbahasan tentang perlaksanaan shariáh sebagai penentang hukum Allah. Pendekatan takfir begini hanyalah mekanisme meremehkan ruang berdialog, mengelak berhujah atas perbedaan dan hanya percubaan naif memperbodohkan orang. Menyahkan orang semata-mata kerana latar belakangnya kelayakan atau pendidikan tingginya amatlah dangkal, contohnya – kamu ‘engineer’, kamu tak tahu hukum.

Memang tidak masuk akal dalam meraih sokongan politik dan dokongan massa malah untuk berdakwah bagi mana-mana organisasi waras mengambil sikap tegar dan bersifat eksklusif serta membeda-bedakan latar kepimpinan dan keanggotaan. Organisasi yang berjaya akan bersifat inklusif menyeru kepada semua dan  menggembleng selebar-lebar penyertaan pelbagai pihak dan meraikan diversiti. Tidak ada sesiapa pada zaman moden akan memomokkan golongan “profesional” tanpa menyedari implikasi penodaan etika, tasawur serta keilmuan.

Pelbagai teguran dan kritikan kini diajukan  kepada golongan yang muncul dengan merasai diri mereka sebagai ulama' - lulus 4 thanawi dan berpakaian tertentu sudah menggelar diri ulama'. Mereka pula mencampuri sebarang masalah dan menggunakan pula kedudukan gelaran 'ulama' itu pula untuk berbuat sewenang-wenangnya. Maka golongan yang dikategorikan bukan ulama' pula terpaksa menjadi kerdil dan tidak lagi berupaya.  Apa boleh buat, sudah macam itu...  itu mungkin reaksi awal yang pasif golongan terpinggir tetapi kemudiannya bangkit semula berubah menjadi gerakan pemisah baru.

Ini suatu yang menyedihkan dan seharusnya gejala garis keras ini tidak berlaku. Tradisi ilmu adalah melalui pembelajaran semula – pembelajaran sepanjang hayat. Masing-masing anggota menjalani pencerahan dan berlaku proses 'pengintelektualan ustaz dan intelek kepada ustaz'. Tidak perlu bertanya apakah kita ulama' atau intelektual serta tidak pernah dipersoalkan pun sesama kita. Apa yang peri penting adalah konfiden – keyakinan bahawa kita Islamis yang kompeten. Usrahnya, kualitinya, tarbiyyahnya dan budayanya. Semua kepelbagaian ini dilihat sebagai kekuatan dan di sinilah keunikan kita.

Pengetahuan fiqh tanpa pemahaman laws – undang-undang, susur galur serta ruang legislatifnya tidak mencukupi. Masyarakat hari ini sudah menjadi kompleks dan  kefahaman fiqh memerlukan bantuan para ilmuwan berpengkhususan  dari pelbagai disiplin  -   sejarah, sosiologi, kebudayaan, ekonomi  dan lain-lain lagi.   Ijtihad tidak lagi dapat dilakukan sendirian,  sebaliknya ia harus dilakukan secara kolektif (jama`iy) dengan melibatkan pakar-pakar  dari pelbagai bidang.  

Sumbangan  pelbagai disiplin ilmu  kepada pembentukan fiqh al-waqi`  sangat penting kerana  ia adalah kefahaman yang mendalam  tentang serba-serbi yang menyangkut kehidupan nyata  sesebuah masyarakat   -    tamadunnya, sejarahnya,  kebudayaannya, wataknya, politiknya, ekonominya dan sebagainya.    Kegagalan  memahami dan menghayati fiqh al-waqi`  yang sedemikian sifatnya itu  boleh menimbulkan  keadaan haru-biru  apabila  para fuqaha’  kertas (fuqaha’ al-awraq)  berperang besar hanya kerana hal-hal yang sebenarnya boleh ditoleransi, atau kerana isu-isu yang boleh diperselisihkan atau ditangguhkan ke waktu yang lain,   dengan mengabaikan  isu-isu  besar yang menentukan hidup-mati dan untung nasib Islam keseluruhannya.



Suatu Pengolahan menurut Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah

Anwar Ibrahim mengolahkan sikap terhadap perlaksanaan hukum melalui pernyataan berikut:-

Setiap yang beragama Islam wajib menerima hukum hudud kerana Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW telah menetapkan hukuman-hukuman bagi enam salah laku iaitu sariqah (mencuri), hirabah (rompakan bersenjata), zina (persetubuhan di luar perkahwinan), qazaf (tuduhan palsu mengenai kemuliaan seseorang), syurb (meminum arak) dan riddah (murtad).

Kita boleh membezakan di antara penerimaan ketetapan hudud terhadap enam kesalahan tersebut dengan kaedah melaksanakan ketetapan hudud itu di dalam sesebuah masyarakat. Sementara setiap yang beragama Islam wajib menerima ketetapan hukuman hudud, kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hukuman hudud itu dalam konteks sistem undang-undang dan suasana sesebuah masyarakat boleh dibincangkan.

Peraturan dan kaedah dalam melaksanakan hukuman hudud seperti yang biasa diutarakan sekarang adalah hasil dari perbincangan ulama dan ilmuwan selama beribu tahun yang kini membentuk pengetahuan kita mengenai kaedah mengkanunkan hukuman hudud. Oleh sebab itu, perbedaan pendapat mengenai kaedah mengkanunkan dan melaksanakan hudud sepatutnya tidak disalahertikan seolah-olah menolak ketetapan hukuman hudud.

Syariat Islam merangkumi kesemua ruang hidup dan bermasyarakat. Selain dari hukuman hudud ke atas enam kesalahan di atas, syariat Islam turut meliputi persoalan perkerajaanan, diplomatik, tatacara ekonomi, hubungan dengan bukan Islam dan perkara muamalah lain-lain. Kanun hudud adalah sebahagian dari syariat besar Islam.

Ada berbeza pandangan mengenai keutamaan yang perlu didahulukan dalam melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh ini. Keutamaan masyarakat adalah sebahagian dari pertimbangan fiqh al-awlawiyyat yang boleh dibincangkan di dalam sesebuah masyarakat. Keutamaan kepada memperbetulkan ketidakadilan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanakan undang-undang hudud ke atas enam kesalahan tadi mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat.

Ini bukanlah bermakna menolak ketetapan Allah SWT di dalam enam kesalahan mengikut hudud seperti yang sering dipolitikkan. Sebaliknya, perjuangan memperbetulkan ketidakadilan dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat lebih utama dalam menyelesaikan maslahat ummah sekarang terutamanya dengan berlatar belakangkan masalah kebajikan rakyat, tekanan hidup terhadap rakyat akibat rasuah dan salahguna kuasa pemerintah terhadap rakyat.

Pendirian sebegini juga dipegang oleh gerakan-gerakan Islam ternama di dunia termasuk Parti Kemajuan dan Keadilan (AKP) di Turki yang dipimpin Presiden Tayyeb Erdogan dan Parti An-Nahdah di Tunisia yang dipimpin pemikir Islam ternama Sheikh Rashid al-Ghannouchi. Malah, pendirian bahawa pelaksanaan hudud bukanlah keutamaan utama dalam masyarakat juga merupakan pendirian yang diambil oleh Parti Islam sebelum ini.

Penekanan perlu diberikan untuk meninggikan kefahaman rakyat kepada matlamat undang-undang Islam dilaksanakan seperti yang dituntut di dalam maqasid syariah. Perlu diteruskan berpegang dan berpandukan kepada maqasid syariah dalam membuat pendirian mengenai dasar-dasar yang melibatkan rakyat.

Perbezaan pendapat mengenai fiqh al-awlawiyyat melaksanakan hukuman hudud ini tidak patut disalahertikan seolah-olah ada pihak yang meletakkan keutamaan tuntutan syariat Islam manakala yang lain menolak hukum Allah SWT.


Khatimah

Gerakan Islam telah memperjuangkan Islamisasi sejak 1970‘an lagi dengan pendekatan dakwah, tarbiyyah, pembinaan institusi dan nation-building pada masa suara-suara baru sekarang belum lagi kedengaran. Oleh itu, janganlah kita merasa tertewas secara psikologi terhadap keangkuhan setengah pihak yang semangatnya amat tinggi tetapi penguasaan fiqhnya lemah. Tanpa menguasai fiqh, tanpa menyedari ketepatan waktu – timing – ianya sesuatu yang kurang bijak. Islam tidak tertegak di atas kekurangan kebijaksanaan dan keangkuhan.


Adalah amat relevan peringatan yang diberikan oleh Dr Siddiq Fadzil apabila menyebut “Pak Muhammad Natsir mempunyai kebijakannya tersendiri dalam fiqh al taghyir yang tidak dijumpa di dalam kitab-kitab Arab. Dia sebut – yang senang kita buat sekarang, yang susah kita buat nanti, yang mustahil kita buat esok. Ada yang bertanya kenapa yang mustahil pun mahu dibuat esok? Pak Natsir bilang mustahil itu pada perkiraan hari ini, esok mungkin sudah tidak mustahil lagi.”


Perlu juga direnungkan bidalan Dr Siddiq Fadzil bagaimana menangkap ikan tanpa mengeruhkan air dengan selorohnya apabila dengan cara kita sekarang memang berselarakan keruh air se perigi namun semua ikan lepas lari.


No comments: