PENDIDIKAN ISLAM ASEAN DAN DAYA SAING SUMBER DAYA MANUSIA
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Tulisan al-Qaradawiy tentang misi al-Azhar, Risalat al-Azhar bayna
al-Ams, wa al-Yawm wa al-Ghad (Misi al-Azhar: kelmarin, kini dan nanti)
membayangkan hakikat bahawa misi institusi pendidikan mungkin berubah sesuai
dengan tuntutan perubahan zaman. Justeru, pendidikan harus responsif terhadap
realiti perubahan. Bagaimanapun, keharusan mengambil kira tuntutan zaman, tidak
bererti institusi pendidikan mengkompromikan fungsi asasinya: pembinaan,
penyempurnaan dan pengutuhan insan, di samping pengislahan masyarakat
lingkungannya. Fungsi asasi inilah yang seringkali dilupakan dalam ghairah
melayani pelbagai tuntutan baru. Demikianlah yang terjadi kepada banyak
universiti di dunia ini. Mungkin kerana menyaksikan fenomena kecelaruan arah
dan orientasi universiti-universiti hari ini, Stefan Collini, Profesor Sejarah
Intelektual dan Kesusasteraan Inggeris di Universiti Cambridge, menulis buku What
Are Universities For?, yang mengingatkan kita semua, universiti itu
sebenarnya untuk apa, atau apa perlunya universiti?
Pendidikan Islam dan Definisi Manusia
Ketika ini di mana-mana banyak pembicaraan tentang universiti dan
hubungannya dengan isu sumber daya manusia atau human resource. Memang
banyak negara yang kekuatannya bergantung pada sumber daya manusianya. Ini
bererti manusia menempati posisi sentral dalam wacana sumber daya. Masalahnya,
banyak kalangan yang tidak memahami manusia dalam konsep dan definisi
hakikinya. C. John Sommerville membahas isu ini dalam bukunya, The Decline
of the Secular University. Antara bab dalam buku tersebut berjudul Trouble
Defining the Human. Memang institusi-institusi pendidikan sekular
mempersepsikan manusia tidak lebih daripada makhluk homo sapiens yang
sama dengan haiwan-haiwan lain, tidak memiliki sebarang keistimewaan. Meminjam
ungkapan Seyyed Hosein Nasr, manusia hanya dipersepsikan sebagai an earthly
bound man, makhluk ketanahan, tanpa roh yang menjadikannya lebih istimewa
daripada makhluk-makhluk lain.
Bagaimana membangun sumber daya manusia sangat terkait dengan persepsi
tentang manusia itu sendiri. Dalam hal ini manusia seperti yang dipersepsikan
oleh Islam lebih kaya potensi dan dayanya kerana Islam melihat manusia sebagai
ahsani taqwim, makhluk istimewa yang tidak hanya berdimensi jasmani dan akli,
tetapi juga berdimensi rohani. Manusia adalah makhluk penerima hembusan Ilahi (al-nafkh
al-Ilahiy) dan dicipta sebagai makhluk pembawa citra ketuhanan (the
image of God). Manusia sebagai sumber daya terkait pula dengan faham amanat
al-istikhlaf, manusia sebagai makhluk penerima amanah khalifatu ‘Llah
untuk mengimarahkan bumi dengan segala daya kemanusiaan yang dikurniakan Tuhan.
Bertolak dari persepsi sedemikian, pendidikan Islam seharusnya lebih berjaya
dalam persaingan membangun sumber daya manusia.
Pendidikan Islam untuk Maslahah Kemanusiaan
Dalam era leluasanya politisasi dan komersialisasi pendidikan, kita
menyaksikan eksploitasi pendidikan untuk kepentingan kelompok tertentu,
penguasa politik dan kaum kapitalis. Memang masih ada sisa kesedaran tentang
misi pendidikan untuk merealisasikan kepentingan umum kemanusiaan, sebagaimana
yang diungkapkan oleh Stefan Collini, Universities as a Public Good.
Tetapi yang disebut public good itu seringkali dipersempit dengan pengertian
hanya terbatas pada bidang ekonomi. Kefahaman public good sedemikian itulah
yang cuba dikoreksi oleh Collini dengan mengatakan, “Instead of this, we
need to show that there is a public, not merely private, benefit from higher
education that can be characterized in various, not merely economic, terms”.
Dalam konteks pendidikan Islam, apa yang disebut public good itu harus diertikan
sebagai maslahah `ammah sesuai dengan maqasid al-shari`ah yang terumus
pada ungkapan masalih al-`ibad.
Sumber daya manusia dalam acuan pendidikan Islam harus diorientasikan ke
arah realisasi maslahah umum keumatan dan kemanusiaan, dengan mewaspadai bahaya
kehilangan misi moral dan sosialnya. Tragedi kematian misi moral dan sosial ini
banyak dialami oleh sekolah-sekolah bisnes, termasuk Harvard Business School
yang terkenal dengan ijazah MBA-nya yang sangat berprestij itu. Philip Delves
Broughton, seorang graduan HBS, yang menulis buku What They Teach You at
Harvard Business School, mengatakan bahawa institusi tersebut sudah menjadi
sebuah kawah besar kapitalisme. Para lulusan MBA-nya ramai yang menjadi khadam
kapitalis, where capitalism goes, the MBA follows.
Untuk melahirkan sumber daya manusia dalam konteks realiti zaman yang
sedemikian, pendidikan Islam perlu memberikan penekanan khusus pada orientasi maslahiy,
di samping membina karakter yang kuat, seimbang dan berdaya saing. Justeru,
persaingan global ketika ini tidak terbatas hanya pada bidang ilmu dan
ketrampilan, tetapi lebih daripada itu ialah persaingan kekuatan karakter
bangsa. Bangsa-bangsa di dunia sedang berlumba mencari kekuatan dari
nilai-nilai budaya dan agama. Bangsa Jepun mendapatkan kekuatannya dari
nilai-nilai kepahlawanan Bushido-Samurai. Bangsa China juga sedang mencari akar
keagamaan mereka - Buddhisme, Taoisme, Confucianisme, Shamanisme dan
kepercayaan-kepercayaan warisan lainnya. Hannah Beech yang melakukan
pemerhatian terhadap fenomena keagamaan di China, memetik kata-kata Ye Xiaowen,
seorang pegawai tinggi agama di China, “religion is one of the important
social forces from which China draws strength,” (Beech, H., TIME, May 1,
2006, p.38). Di Barat juga sedang berlaku perkembangan yang sama, menggali
nilai-nilai kekuatan dari ajaran Kristian dan Yahudi. Banyak sekali tulisan
tentang Isa dan Musa `a.s. yang menyorot nilai-nilai kepemimpinan mereka dan
hubungannya dengan sumber daya manusia.
Sumber Daya Manusia dan Pembinaan Karakter
Pendidikan Islam mempunyai sumber yang cukup kaya untuk membina karakter
yang kuat dan seimbang, terutama Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna. Nama-Nama Indah
Allah itu pada hakikatnya adalah sumber nilai pembentukan karakter sebagai
hasil komitmen al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlaq dengan akhlaq
Allah). Apabila Nama-Nama Tuhan dihayati sejauh yang termampu oleh kudrat
keinsanan, akan terbentuk karakter unggul yang disebut oleh al-Ghazaliy sebagai
manusia rabbaniy, iaitu manusia yang dekat denganTuhan. Tidak dapat
diragukan bahawa sumber daya manusia yang terbentuk dari penghayatan al-Asma’u
‘l-Husna adalah yang terunggul.
Tuntutan meneladani Tuhan (menghayati Nama-Nama dan SifatSifat-Nya)
sebenarnya tidak hanya wujud dalam Islam, tetapi wujud juga dalam ajaran agama-agama
samawi lain seperti agama Yahudi. Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe dalam buku
mereka, Jewish Wisdom for Business Success: Lessons from the Torah and Other
Ancient Texts, mengatakan bahawa kitab Torah menuntut manusia meneladani
Tuhan, “...that humans are commanded to emulate God to the best of their
abilities. This means that we are obliged to imitate the good deeds and lofty
attributes by which God is metaphorically descibed. We must learn from the
beautful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them.
However, there is more to it than that. Inherent in this commandment is useful
wisdom for business and management.” (Brackman, R.L. dan Sam Jaffe,
2008:195).
Kelemahan karakter bangsa akan berakibat kelemahan sumber daya manusianya.
Isu ini telah lama dibahas oleh para cendekiawan bangsa. Di Malaysia, seawal
tahun 1927 Pendeta Za`aba, ketika membahaskan isu kemiskinan orang Melayu,
menyenaraikan sejumlah sifat negatif masyarakat Melayu yang beliau rumuskan
sebagai “kemiskinan perangai”. Di Indonesia, pada tahun 1977, Mokhtar Lubis
menyorot wajah “manusia Indonesia” dengan menyebut sejumlah sifat bangsa
Indonesia, termasuk sifat munafik, feudal, percaya tahyul, tidak mahu
bertanggungjawab dan seterusnya. Untuk membangun sumber daya manusia yang
unggul, diperlukan gerakan melaksanakan agenda besar pembinaan karakter bangsa.
Para pemimpin harus memprioritikan agenda ini kerana ia adalah kayu ukur
sebenar kejayaan mereka. Justeru, pemimpin adalah a human transformer and a
culture builder.
Integriti Sebagai Kekuatan Daya Saing
Karakter dalam konteks pendidikan Islam adalah al-akhlaq al-karimah
yang meliputi segala sifat terpuji, termasuk apa yang sekarang disebut
integriti. Persaingan sumber daya manusia ketika ini tidak terbatas hanya pada
kecanggihan teknologi atau kadar produktiviti, tetapi juga pada tahap integriti
- kejujuran, ketelusan, keadilan dan seterusnya. Justeru, integriti sangat
menentukan trust atau kepercayaan yang seterusnya akan menentukan pula
kelancaran proses urus niaga dan kerjasama antara institusi dan organisasi.
Dalam dunia yang sedang mengalami moral deficit - kecurangan, penipuan,
korupsi dan pelbagai kejahatan lainnya, orang merasa lebih senang dan selamat
berurusan dengan dengan organisasi atau institusi yang berintegriti, yang
memiliki reputasi baik dan dapat dipercaya. Hakikat inilah yang dibicarakan
oleh Stephen R. Covey dan Rebecca R.Merrill dalam buku mereka, The Speed of
Trust: The One Thing That Changes Everything. Mengenai kesan positif trust
dalam pelbagai urusan antara negara, organisasi atau institusi, mereka
mengatakan, “Low trust slows everything - every decision, every
communication, and every relationship. ... On the other hand, trust produces
speed.” Lebih daripada itu, mereka juga mengatakan bahawa trust
adalah faktor penentu kelangsungan atau survival segala sesuatu:
There is one thing that is common to every individual, relationship,
team,family, organization, nation, economy and civilization throughout the world
- one thing which, if removed, will destroy the most powerful government, the
most successful business, the most thriving economy, the most influential
leadership, the greatest friendship, the strongest character, the deepest love.
On the other hand, if developed and leveraged, the one thing has the potential
to create unparalleled success and prosperity in every dimension of life. Yet
it is the least understood, most neglected and most underestimated possibility
of our time.
That one thing is trust. (Covey, S.R. dan Rebecca R.Merrill,
2006:1).
Dalam bahasa agama, trust disebut amanah yang menjadi salah satu
sifat keunggulan para Nabi. Nabi Muhammad s.`a.w. sejak muda sudah mendapat
pengiktirafan masyarakat sebagai al-amin, yang dapat dipercaya. Sifat
tersebut ternyata memberikannya kelebihan daya saing dalam masyarakat bisnes yang
memang selamanya sangat kompetitif. Sayyidatina Khadijah r.`a. terbukti seorang
ahli bisnes brilian yang tahu nilai integriti dalam dunia dagang. Kerana itu
beliau sanggup membayar dua kali lipat kepada Muhammad al-Amin untuk menjadi “fund
manager”-nya. Demikian juga dengan Nabi Musa `a.s. yang diterima bekerja
dengan Nabi Shu`ayb `a.s. kerana sifat al-qawiyyu ‘l-amin (perkasa dan
dapat dipercaya).
Dilihat dari perspektif Islam, persoalan trust, amanah dan integriti
sebenarnya sangat terkait dengan iman dan taqwa yang merupakan tonggak utama
pendidikan Islam. Jika tonggak ini dapat ditegakkan, bererti pendidikan Islam
dapat menyumbang daya saing yang sekarang disebut spiritual capital, suatu
kekuatan yang kini semakin diperlukan. Modal material dan intelektual sahaja
tidak cukup untuk unggul dalam persaingan hari ini. Melihat betapa seriusnya
kemelut keruntuhan integriti dan moral deficit ketika ini, ramai yang
mulai mempertanyakan keberkesanan subjek business ethics yang diajarkan
di sekolah-sekolah bisnes. Dalam situasi sedemikian, pendidikan Islam
seharusnya dapat berperanan secara yang lebih bererti dalam memastikan
keberkesanan pendidikan akhlak berasaskan iman dan taqwa. Untuk membina daya
saing spiritual capital, institusi-institusi pendidikan Islam tentunya
lebih mampu berbanding institusi-institusi pendidikan sekular.
Sumber Daya Manusia Pada Abad Kreativiti
Pembangunan sumber daya manusia harus responsif terhadap tuntutan realiti
abad 21 yang disebut abad kreativiti. Persaingan pada abad ini bukan lagi
persaingan menjadi the first to know, tetapi menjadi the first to do
something about it. Menjadi yang pertama tahu tidak membawa erti apa-apa,
tanpa berbuat sesuatu atau mencipta sesuatu berasaskan apa yang ia tahu. Dunia
hari ini, dengan segala masalahnya - politik, ekonomi, sosial, alam sekitar dan
lain-lainnya - memerlukan idea-idea baru untuk menemukan jalan keluarnya. Di
tengah timbunan masalah yang semakin kronik, ramai yang mengimpikan wujudnya a healthy
marketplace of ideas, sebuah pasar besar idea-idea baru yang segar dan
bernas, hasil sumbangan kolektif masyarakat manusia yang berdaya fikir dan
kreatif.
Demikian perlunya sumber daya manusia yang memiliki kemampuan berfikir dan
berkarya. Tetapi dunia hari ini tampaknya sedang mengalami kemarau idea dan
kreativiti. Malah negara sekuat Amerika Syarikat pun tidak terkecuali daripada
krisis ini. Majalah Newsweek 19 Julai 2010 mengangkat isu kemerosotan
kreativiti di Amerika lewat makalah panjang Po Bronson dan Ashley Merryman
berjudul, The Creativity Crisis: for the first time, research shows that
American creativity is declining. What went wrong and how we can fix it.
Penulis-penulis makalah tersebut belum dapat mengenalpasti sebab sebenar
kemerosotan tersebut. Tetapi mereka membuat andaian bahawa antara sebabnya
ialah jumlah masa yang dihabiskan oleh anak-anak menonton TV dan bermain videogames,
sedang rentang waktu sepanjang itu seharusnya digunakan untuk melakukan
kegiatan-kegiatan kreatif. Sebab lain yang mereka sebut ialah ketiadaan
creativity development di sekolah-sekolah. Kemampuan berkreasi hanya bergantung
pada nasib, “there’s no concerted effort to nurture the creativity of all
children.”
Sementara itu umat Islam pula terbelit dalam krisisnya sendiri. Sudah sejak
lama mereka mengalami masalah nilai yang disebut suqut qimat al-`amal wa
al-intaj wa al-ibda` (kemerosotan nilai kerja, produktiviti dan
kreativiti). Yang paling jelas di antara ketiga-tiganya ialah kemerosotan nilai
al-ibda` atau kreativiti. Persekolahan kita rata-rata sangat mementingkan
hafalan sehingga mengabaikan pembinaan daya fikir dan kreativiti. Untuk
memenuhi tuntutan daya saing sumber daya manusia abad 21, diperlukan suatu
anjakan orientasi ke arah mewujudkan keseimbangan antara hafalan dengan
kreativiti. Dalam konteks yang lebih luas, sikap taqdis al-turath
(membeku dan mensakralkan turath) harus dikoreksi menjadi menjadi taqdir
al-turath (menghargai turath), kerana yang dimaksudkan dengan turath itu
adalah al-turath al-bashariy (turath kemanusiaan). Ini akan membuka
jalan yang lebih luas kepada kelahiran al-khitab al-Islamiy al-Mu`asir
(wacana Islam kontemporari).
Kesuburan kreativiti memerlukan suasana yang kondusif, khususnya kebebasan.
Kreativiti tidak mungkin subur di tengah kehidupan yang penuh dengan kekangan, belenggu
dan cengkaman budaya takut. Untuk mewujudkan suasana kondusif, pendidikan Islam
harus mewaspadai jebakan orientasi pendidikan yang lebih berupa brainwashing
daripada educating. Pendidikan seharusnya dapat melaksanakan proses
memanusiakan dan membebaskan (humanizing and liberating). Pendidikan
memang suatu bidang strategik yang seringkali dieksploitasi oleh pihak-pihak
berkepentingan untuk meraih keuntungan (politik dan ekonomi) dengan melakukan
dehumanisasi dan pembelengguan. Kerana itu dalam sejarah perjuangan
kependidikan telah timbul pelbagai usaha penyelamatan seperti yang dilakukan
oleh Paolo Freire. Lewat pendidikan kesedaran kritis yang menggunakan kaedah
dialog, Freire cuba menyelamatkan kaum tertindas yang telah dihilangkan
kemanusiaannya, dilemahkan dan dibenamkan dalam budaya bisu (submerged in
the culture of silence).
Model pendidikan pembebasan lainnya, termasuk eksperimen Rabindranath
Tagore di Santiniketan yang merupakan jelmaan pendiriannya yang tidak mengenal
kompromi terhadap kepentingan kemerdekaan minda (his uncompromising belief
in the importance of freedom of mind). Seperti yang dicatat oleh Amartya
Sen, ciri penting persekolahan model Tagore ialah, “lively and enjoyable...
The emphasis here was on self-motivation rather than on discipline, and on
fostering intellectual curiosity rather than competitive exclellence. (Sen
A. 2005:114-115). Demikianlah sekadar contoh pendidikan alternatif yang
menekankan kebebasan berfikir dan pembinaan daya intelektual. Pendidikan Islam
harus memiliki keberanian melakukan pembaharuan sesuai dengan tuntutan era
kreativiti dan pembinaan daya fikir.
Sumber Daya Manusia dan Pembinaan Ilmu Ekonomi
Pembinaan sumber daya manusia dalam konteks pendidikan Islam seharusnya
mendukung idealisme pembinaan generasi khayra ummatin ukhrijat li ‘n-nas....,
generasi terunggul yang ditampilkan untuk berbakti dan berkhidmat kepada
kemanusiaan sejagat. Ketika dunia dilanda pelbagai krisis, umat Islam sebagai
sumber daya yang terbina dalam sistem pendidikan Islam seharusnya mampu tampil
memberikan jawapan dan penyelesaian (al-hall al-Islamiy) yang tuntas.
Tetapi itu tidak terjadi kerana masalah sumber daya manusia Muslim. Pada tahun
2008, ketika dunia terbelit dalam krisis ekonomi yang parah gara-gara kegagalan
dan kejahatan kapitalisme, Reich yang disebut sebagai mantan U.S. Secretary of
Labour dilaporkan berkata, “There are still two kinds of capitalism. There
is authoritarian capitalism, as in China and Singapore, and there’s democratic
capitalism, as in the U.S. and Europe. If there’s anyone out there who has a
better idea, I’m sure the world would love to hear about it.” (Newsweek, 13
October 2008).
Ternyata ilmu ekonomi Islam belum cukup siap untuk menjawab cabaran
(tantangan) masalah perekonomian dunia. Ilmu ekonomi Islam masih dalam proses
Islamisasi, dan kerana itu jumlah ahli ekonomi Islam masih sangat terbatas.
Yang ramai ialah ahli-ahli bidang syari`ah (mu`amalat) yang tahu sedikit
sebanyak tentang ekonomi, atau ahli ekonomi yang tahu sedikit sebanyak mengenai
shari`ah. Dengan kata lain, projek Islamisasi ilmu ekonomi masih menghadapi
kendala sumber daya manusia, sedang dunia sangat memerlukan ilmu ekonomi baru
yang lebih manusiawi, bermoral dan beretika.
Kerosakan yang sedang terjadi kepada ilmu ekonomi konvensional ketika ini
digambarkan oleh Seyyed Hossein Nasr, “... when economics becomes a science
almost independent of human beings, dealing only with quantity without any
regard for the qualitative aspects of life.” (Nasr, S.H., 1993:244). Ilmu
ekonomi yang kini hanya berisi angka-angka setelah mengenyahkan manusia, tidak
lagi dapat memberikan khidmat kepada kemanusiaan. Kerana itu Ronald Coase,
Profesor Emeritus dari University of Chicago yang pernah memenangi hadiah Nobel
itu telah menulis makalah berjudul Saving Economics from the Economists
(Menyelamatkan ekonomi dari ahli-ahli ekonomi). Tampaknya beliau telah hilang
kepercayaan terhadap ilmu masa kini yang semakin terpisah dari pengajian
tentang manusia, malah semakin terpisah dari praktik perekonomian (the
working economy), walhal dahulu ilmu ekonomi merupakan “...both a study
of wealth and a branch of the study of man.” Ronald Coase memperjuangkan
agar ilmu ekonomi diorientasikan semula menjadi ilmu tentang kajian manusia dan
sistem ekonomi sebagaimana yang berlaku (...if economics can be reoriented
to the study of man as he is and the economic system as it actually exists.).
Untuk menghadirkan semula manusia dalam ilmu ekonomi, R.Coase mempelopori penerbitan
Jurnal Man and the Economy. (Harvard Business Review, December 2012).
Kesedaran tentang pengabaian manusia dalam ilmu ekonomi kontemporari tampak
makin meluas. Mungkin hakikat inilah yang melatari penulisan buku The Human
Economy yang disunting oleh Keith Hart dkk. Sementara itu kapitalisme juga
sedang cuba menyesuaikan diri dengan perkembangan baru tentang kesedaran
kemanusiaan dalam ekonomi lalu tercipta istilah seperti creative capitalism
dan yang seumpamanya, yang pada hakikatnya tidak lebih daripada recycled
neo-liberal capitalism. Ekonomi Islam harus mampu tampil sebagai ekonomi
kemanusiaan yang setulennya, dan untuk menghasilkannya diperlukan sumber daya
manusia yang berkompetensi tinggi.
Sumber Daya Untuk Amal Kemanusiaan
Dalam era semakin berkembangnya kesedaran tentang pentingnya penguatan
masyarakat madani (civil society), perhatian mulai diberikan kepada
peranan NGO dan badan-badan kebajikan. Badan-badan ini banyak menangani
masalah-masalah seperti penyimpangan sosial, keruntuhan moral, pendidikan, hak
asasi manusia, pencemaran alam sekitar, bencana alam dan lain-lain, yang
umumnya menggunakan khidmat tenaga sukarela. Suatu masa dahulu, perkhidmatan
sukarela seperti telah mati sehingga ada yang telah mengisytiharkan the
death of volunteerism, iaitu apabila orang semakin menjadi sangat
materialistik dan mementingkan diri.
Perkembangan mutakhir menunjukkan bahawa minat terhadap khidmat sukarela
untuk kemanusiaan semakin meningkat dalam kalangan anak-anak muda lepasan
institusi pengajian tinggi. Perkembangan positif tersebut dicatat oleh Fareed
Zakaria,
The numbers who volunteer for programs like the Peace Corps and
AmeriCorps have risen substantially. In 2014, Teach for America received over
fifty thousand applications, more than twice the number received in 2008. Many
talented and highly credentialed students choose to work at nonprofits for a
while. It’s true that nongovernmental organizations have become cool, but that
is the point. They have become cool precisely because young people today view
them as a valuable and worthwhile way to spend part - or all - of their lives.
(Zakaria, Fareed, 2015: 158).
Pendidikan Islam seharusnya mempersiapkan sumber daya manusia sukarelawan
yang cukup dan kompeten untuk diterjunkan ke lapangan khidmat kemanusiaan.
Mereka perlu dibekali dengan kesedaran dan kepedulian kemanusiaan yang tinggi,
di samping ketrampilan yang sesuai.
Pendidikan al-Hikmah dan The Age of Wisdom
Alaf ini dikatakan sebagai the age of wisdom. Demikian menurut
Stephen R. Covey yang mendefinisikan wisdom sebagai “...when information and
knowledge are impregnated with purpose and principles.” (Covey, S.R.,
2004:295). Bagi umat Islam, wisdom dalam pengertian hikmah bukan baru bermula
sekarang. Ia adalah sebahagian daripada misi para Nabi, khususnya Nabi Muhammad
s.`a.s. (...wa yu`allimuhum al-kitab wa al-hikmah). Kata al-hikmah
mempunyai pelbagai erti, tetapi semuanya tidak terkeluar dari makna kebenaran
dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Apabila al-Qur’an memerintahkan
agar berdakwah dengan berhikmah (al-Nahl:125), tidak bererti hanya dakwah yang
harus dilakukan dengan berhikmah, tetapi semua perlakuan dan tindakan harus
dilaksanakan dengan berhikmah, bertolak dari kefahaman yang mendalam diikuti
kata-kata yang tepat dan tindakan yang tepat, penuh kearifan dan kebijaksanaan.
Bagi umat Islam sumber hikmah adalah al-Qur’an al-Hakim dan al-Sunnah
al-Nabawiyyah. Andainya pendidikan Islam diorientasikan kepada penyerlahan dan
penghayatan al-hikmah, tuntutan kepada sumber daya manusia yang berhikmah
akan dapat dipenuhi.
Khatimah
Pendidikan Islam memiliki potensi yang sangat besar untuk melahirkan
generasi yang berdaya saing dan berkompetensi internasional. Justeru, ajaran
Islam mengandungi segala nilai yang diperlukan untuk membina etos kerja yang
kuat dan berintegriti. Nilai ilmu, nilai hikmah, nilai moral, nilai ekonomi dan
nilai inovasi (al-ibda`) yang sejatinya sangat kuat dalam ajaran Islam,
menjanjikan kekayaan sumber daya manusia yang berdaya saing andainya digarap
dengan serius dan terancang. Pembangunan sumber daya manusia tidak harus
terpisah daripada agenda besar pembinaan karakter bangsa berasaskan nilai-nilai
unggul Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna.
Rujukan:
Al-Qaradawiy, Yusuf. 2009. Risalat al-Azhar: bayna al-ams wa al-yawm wa
al-ghad. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Barom, Mohd Nizam dkk. (ed.). 2013. Islamic Economics Education in
Southeast Asian Universities. Kuala Lumpur: Centre for Islamic Economics, IIUM.
Brackman, Rabbi Levi & Sam Jaffe. 2008. Jewish Wisdom for Business
Success: Lessons From the Torah and Other Ancient Text. New York: Amacom.
Collini, Stefan. 2012. What Are Universities For?. London: Penguin Books.
Covey, Stephen R. 2004. The 8th Habit - From Effectiveness to Greatness.
New York: Free Press.
Covey, Stephen R. & Rebecca R. Merrill. 2006. The Speed of Trust. New
York: Free Press.
Hart, Keith dkk. (ed.). 2014. The Human Economy. Cambridge: Polity Press.
Nasr, Seyyed Hossein. 1993. A Young Muslim’s Guide to the Modern World.
Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.
Sen, Amartya. 2006. The Argumentative Indian. London: Penguin Books.
Sommerville, C. John. 2006. The Decline of the Secular University. New
York: Oxford University Press.
Zakaria, Fareed. 2015. In Defence of a Liberal Education. New York: Norton.
(Kertas Kerja Dr Siddiq Fadzil di Halaqah Ulama ASEAN 2017 Jakarta)
KDH/IDE/UNISEL: 17102017
No comments:
Post a Comment