ISLAM DAN
DEMOKRASI: MEMAHAMI ASPIRASI
MUSLIM DEMOCRATS
Siddiq Fadzil
Mukadimah
Muslim
Democrat bukan hanya suatu citra peribadi Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, tetapi ia juga adalah suatu aspirasi yang dikongsi
bersama oleh tokoh-tokoh kaliber
dunia seperti B.J. Habibie, Abdullah Gul
dan Rashid al-Ghannushiy. Aspirasi bersama itu telah melahirkan sebuah
wadah bernama World Forum for Muslim
Democrats. Menurut
pengasasnya, Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, idea forum tersebut tercetus pada
Mac 2012, ketika beliau menghadiri persidangan
tentang perubahan landskap politik Dunia Islam,
di Dubai. Dalam kertas konsep yang
dikemukakannya di Mesyuarat Persiapan di Jakarta pada 22 Mei 2014,
Anwar menyebut forum tersebut sebagai
a common platform for leaders,
intellectuals and professionals of the Islamic faith, together with their non-Muslim associates, to articulate their progressive views on matters
pertaining to freedom, democracy and justice. Ternyata forum tersebut adalah sebuah
wadah yang bersifat inklusif, menerima keanggotaan
dari pelbagai latar yang berkongsi komitmen
memperjuangkan nilai-nilai sejagat
- kebebasan, demokrasi dan
keadilan.
Islam
dan Demokrasi
Dengan memakai label Muslim Democrats, bererti mereka tidak mempermasalahkan lagi sama
ada demokrasi sesuai atau tidak dengan
ajaran Islam. Ketika ini kebanyakan
gerakan Islam di dunia telah berpatisipasi dalam proses demokrasi.
Sementara itu ulama-ulama besar seperti al-Qaradawiy dan al-Raysuniy
juga telah menerima demokrasi berasaskan keyakinan bahawa tidak ada perbezaan
yang mendasar antara prinsip-prinsip umum demokrasi dengan ajaran Islam. Dengan demikian tidak ada masalah untuk
menjadi Muslim yang baik dan sekali gus demokrat yang komited.
Demokrasi yang diperjuangkan oleh Anwar adalah
prinsip-prinsip dan nilai-nilai dasar dalam bingkai ajaran Islam. Demikianlah seperti yang disebut oleh Charles
Allers, “In the case of Islam, Anwar addressed
the theological misperception that Islam’s divine monism eliminated personal
freedom, and thus democratic principles. In referencing the Qur’an, the Prophet
Muhammad and the shariah (particularly the maqasid
al-shariah, or higher objectives of the shariah), Anwar built a framework for democratic principles
within Islam, and stated ‘there can be
no question that several crucial
elements of constitutional democracy and
civil society are also moral imperatives
of Islam: freedom of conscience, freedom of expression, and the sanctity of life and property.’ ”. (Allers, C. 2014:172).
Pembudayaan
Demokrasi
Selain harus diletakkan dalam
perspektif Islam, demokrasi juga harus difahami dalam pengertiannya yang luas, tidak hanya sebagai suatu bentuk pemerintahan, tetapi juga sebagai suatu cara hidup. Menukil kata-kata Dewey, Peter Jarvis menyebut “...democracy was both a form of government and
a way of life: ...”. (Jarvis, P. 2008:
164). Pengertian inilah juga yang
dipromosikan oleh Malik Bennabi apabila
beliau menyebut demokrasi sebagai suatu budaya (thaqafat al-dimuqratiyyah).
Keberkesanan demokrasi hanya mungkin tercapai apabila prinsip-prinsip
dan nilai-nilainya telah membudaya dalam segala ranah kehidupan rakyat. Andainya demokrasi hanya diertikan sebagai
membuang undi dalam pilihan raya, sekali dalam empat atau lima tahun, ia tidak akan banyak membawa erti kepada rakyat.
Kerana itu, untuk memaknai demokrasi yang setulennya, harus ada gerakan pembudayaan demokrasi dalam
kehidupan rakyat.
Penguatan budaya demokrasi dalam
kalangan rakyat memang sangat penting demi menjamin terlaksananya demokrasi yang
sihat. Justeru, rakyat yang berbudaya demokrasi
akan memiliki kepedulian yang tinggi terhadap segala yang berlaku dalam proses dan amalan demokrasi. Mereka akan bangkit dan menjerit apabila
berlaku pelanggaran terhadap prinsip dan nilai demokrasi, kerana itu bererti pelanggaran terhadap
prinsip dan nilai hidup mereka. Rakyat
sendiri yang akan memprotes jika berlaku pilihan raya yang tidak bersih. Mereka juga yang akan menggugat jika didapati
Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bebas, dalam pengertian menjadi alat pihak
tertentu untuk kepentingannya. Demikian juga apabila berlaku persempadanan curang
gerrymandering untuk memenangkan parti
yang berkuasa. Rakyat yang berbudaya demokrasi
juga akan menolak politik wang dan politik media yang berat sebelah.
Pembudayaan demokrasi memerlukan
dukungan pendidikan kerakyatan yang mencerdaskan dan dapat membina effective citizens. Demokrasi hanya akan dapat hidup subur
dalam masyarakat yang sedar, peduli dan
kritis. Memang demokrasi tidak hanya
untuk dipakai empat atau lima tahun sekali apabila diadakan pilihan raya. Ia adalah prinsip dan nilai hidup yang perlu
dipelajari dan dihayati. Strategi
pembodohan rakyat harus dilawan dengan
gerakan percerdasan dengan objektif utamanya untuk membina kemampuan berfikir dan
kesedaran tentang maruah. Justru orang yang berfikir tidak akan rela
diperbodoh, dan orang yang bermaruah
akan malu ditipu dengan demokrasi palsu.
Demokrasi
dan Kebebasan
Memperjuangkan demokrasi bererti
juga memperjuangkan kebebasan yang merupakan hak kemanusiaan. Kebebasan lahir bersama kelahiran setiap
anak manusia. Kerana itu sebahagian
ulama masa kini mengangkat kebebasan sebagai sebahagian daripada maqasid al-shari`ah. Mereka berpendapat bahawa dalam konteks hari
ini, kebebasan (al-hurriyyah) perlu diberi
penekanan khusus, bersama dengan
keadilan (al-`adalah) dan persamaan (al-musawah), tidak cukup
sekadar dimasukkan dalam salah satu daripada lima maqasid induk (al-daruriyyat al-khamsa). Isu
kebebasan telah dibahas oleh `Abd al-Rahman al-Kawakibiy, ulama pejuang islah awal abad lalu dalam
bukunya Taba’i` al-Istibdad wa Masari`
al-Isti`bad, yang kemudian dilanjutkan
oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy lewat bukunya, al-Islam wa al-Istibdad al-Siyasiy.
Derita kemanusiaan yang dialami
umat kita selama berabad-abad, bukan
hanya penindasan politik, tetapi juga
penindasan ekonomi, baik yang dilakukan oleh
penjajah mahu pun bangsa sendiri. Keadaan ini diperparah pula dengan justifikasi
“keagamaan” oleh para ulama penguasa yang disebut oleh al-Kawakibiy sebagai fuqaha’ al-istibdad. Anwar Ibrahim membicarakan isu kebebasan ini
di bawah tajuk kecil the rule of law. Beliau mengungkapkan sejarah kebebasan
setelah mencapai kemerdekaan, yang
bermula dengan jaminan kebebasan-kebebasan asasi (fundamental liberties) di bawah demokrasi berperlembagaan, tetapi pada masa yang sama dibenarkan pula
badan perundangan meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan-kebebasan
tersebut.
Dalam demokrasi yang baik, badan perundangan tidak akan meluluskan
undang-undang seperti itu kecuali dengan alasan yang cukup kuat, dan andainyanya terpaksa meluluskannya akan
ada kawalan yang efektif bagi mencegah penyalahgunaannya. Dalam
kaitan inilah pentingnya rule of law. Beliau menegaskan bahawa benteng pertahanan
bagi prinsip-prinsip tersebut ialah badan Kehakiman, “ In
a good democracy, the Judiciary deliberates without fear or favor. It will play the role of an effective check
against the excesses of the Executive and the Legislature. Above all, it will maintain the rule of law
to ensure that legal and judicial processes will not be hijacked by the powers
that be for their political agenda.” (Anwar
Ibrahim, 2014:9).
Pembaharuan
Fiqh Politik
Untuk menjamin berlakunya rule of law, kita juga perlu menyemak kembali warisan
fiqh politik yang sebahagiannya memang menguntungkan pemerintah zalim. Kerana itu sesungguhnya sangat beralasan
apabila al-Raysuniy mengatakan bahawa peninjauan semula tersebut tidak sekadar
wajar, malah wajib,
فمن هنا تكون المراجعة
الداءىمة والاجتهاد المتجدد للفقه السياسي امرا واجبا،
وليس فقط ساءىغا ومقبولا.
(Al-Raysuniy,
A. 2014:13)
Oleh itu ulangkaji yang
berterusan dan ijtihad yang sentiasa diperbaharui pada fiqh siasiy adalah perkara
yang wajib dan bukan lagi perkara yang harus dan diterima.
Bertolak dari kenyataan
al-Raysuniy tersebut, kita seharusnya
berani mulai memikirkan penggagasan fiqh politik baru yang berpaksi pada
prinsip kebebasan. Penghasilan fiqh al-taharrur (fiqh pembebasan) adalah suatu tuntutan zaman yang wajib
dipenuhi. Perjuangan demokrasi dan kebebasan
memerlukan dukungan fiqh al-taharrur, fiqh politik liberatif-emansipatif. Demokrasi yang Islami memang selamanya
mendukung emancipatory politics. Pada zaman leluasanya pencabulan terhadap
martabat insan, isu karamah insaniyyah perlu dijelaskan semula dalam bahasa semasa
seperti siyadat al-sha`b atau daulat
rakyat. Rakyat tidak seharusnya dilayani
sebagai hamba penguasa, sebaliknya
mereka (rakyat) adalah sumber kekuasaan (al-sha`b
masdar al-sultah). Merekalah yang
berhak mengangkat penguasa, dan mereka jugalah yang berhak menurunkannya. Demokrasi hanya akan mendapat erti dan esensi
hakikinya apabila rakyat menyedari kedaulatan dirinya.
Islam yang sejatinya adalah agama
pembebasan telah banyak tercemar apabila ia digunakan untuk menjustifikasikan penindasan
dan ketidakadilan lainnya. Islam harus
dikembalikan kepada hakikat dan citra aslinya sebagai agama pembawa misi tahririy-tanwiriy
dan penyebar rahmat sejagat (rahmatan
li al-`alamin). Kebangkitan Islam (Islamic resurgence) harus dimaknai
sebagai gerakan pemugaran misi tersebut.
Hakikat inilah yang diperingatkan oleh Anwar Ibrahim apabila beliau mengatakan,
“To talk of an Islamic resurgence without
freedom of speech, or freedom from arbitrary arrest is pointless.” (Anwar Ibrahim, 2015:7). Kerana itu kebangkitan
Islam perlu terus disemarakkan agar segala kebaikan Islam (mahasin al-Islam) tidak hanya sekadar retorik, tetapi hakikat nyata yang dirasai dan
dinikmati oleh umat dan warga alam seluruhnya.
Untuk itu kebangkitan Islam harus
diberikan erti yang luas dan substansial meliputi makna rule of
law, keadilan sosial dan tatakelola
yang baik (good governance).
Pemugaran
Maqasid al-Shari`ah
Kebangkitan Islam (al-sahwah al-Islamiyyah) dengan ruang
lingkupnya yang luas harus meliputi kebangkitan maqasidi (al-sahwah al-maqasidiyyah). Kerana itu Anwar Ibrahim sangat menekankan
kepentingan maqasid al-shari`ah sebagai
asas perjuangan menegakkan demokrasi yang dipakejkan dengan kebebasan, keadilan,
hak asasi manusia dan tatakelola yang baik.
Di bawah tajuk kecil, Forging ahead with the Maqasid, beliau mengatakan, “Based on the maqasid al-Shari`ah,
there are sufficient imperatives for Muslim leaders to get on with the
task of establishing the institutions of governance for juslice, democracy and human rights. That is the way forward for the resurgence of
the umma.” (Anwar Ibrahim, 2015: 7).
Segala yang disebut dalam pakej
demokrasi tersebut tidak lain adalah masalih
al-`ibad (maslahah atau kepentingan umat manusia) yang menjadi matlamat
asasi syari`at. Memang,
antara matlamat utama syari`at ialah untuk memelihara segala aturan yang
membawa kebaikan kepada umat. Hakikat
inilah yang dimaksudkan oleh al-Imam Muhammad al-Tahir ibn `Ashur yang merumuskan
kembali maqasid al-shari`ah dengan pendekatan yang ummatik,
حفظ نظام الامة واستدامة صلاحه بصلاح المهيمن
عليه، وهو نوع الانسان. ويشمل صلاحه
صلاح عقله، وصلاح عمله، وصلاح
ما بين يديه من موجودات العالم الذي يعيش فيه
...
والشارع ... اراد صلاح احوال الناس وشؤونهم
في الحياة الاجتماعية، ...
(Al-`Awwa, Muhammad Salim, 2006:37)
Pendekatan ummatik Ibn `Ashur menekankan pemeliharaan aturan,
sistem dan institusi serta pelestarian kebaikannya. Untuk itu manusia yang menguasai dan
mengendalikannya harus baik dalam pengertian akalnya (cara berfikirnya), perilakunya dan
persekitarannya harus baik. Semuanya itu perlu demi merealisasikan kehendak Tuhan (al-shari`), iaitu kebaikan bagi manusia dan seluruh aspek
kehidupan sosial mereka. Mungkin
ungkapan Ibn `Ashur tersebut dapat menyerlahkan lebih jelas justifikasi penegakan demokrasi dari sudut padang maqasid
al-shari`ah.
Anwar Ibrahim menyebut tuntutan maqasid
al-shari`ah ke atas pemerintah agar memastikan terlaksananya maslahah kesejahteraan rakyat
dengan mengatakan, “The Higher Objectives of the Shari`ah enjoin those in
charge of the state to ensure society’s
sustained well-being.” (Anwar
Ibrahim, 2014: 16). Memang ada kaedah
fiqh yang menetapkan pertimbangan maslahah sebagai asas pelayanan pemerintah terhadap
rakyat:
تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة
Tindak tanduk pemimpin ke
atas rakyat perlu diikat dengan maslahah
Kaedah tersebut mensyaratkan
keterikatan dasar pemerintahan dengan maslahah atau kepentingan rakyat. Ia adalah kaedah fiqh (qa`idah fiqhiyyah)
yang harus difahami pula kaitannya dengan maqasid al-shari`ah. Sa`id al-Shawiy yang menulis buku, Maqasidiyyat
al-Qawa`id al-Fiqhiyyah menyatakan
bahawa kaedah-kaedah fiqh sebenarnya sangat berorientasi maqasid, dalam pengertian
bahawa maqasid al-shari`ah adalah roh
yang menjiwai al-qawa`id al-fiqhiyyah. Selain itu al-qawa`id al-fiqhiyyah pula memainkan peranan instrumental untuk
merealisasikan maqasid al-shari`ah. Contoh terbaik tentang hubungan erat kaedah fiqh dengan maqasid al-syari`ah
ialah kitab Qawa`id al-Ahkam fi Islah
al-Anam oleh al-`Izz ibn `Abd al-Salam (w.660H). Judul kitabnya sudah membayangkan hubungan erat tersebut. Qawa`id
al-Ahkam tidak lain adalah kaedah
fiqh, sementara Islah al-Anam pula jelas merujuk maqasid al-shari`ah. (Al-Shawiy,
Sa`id, 2015:294).
Keadilan
Sosial
Maslahah
sebagai paksi maqasid
al-shari`ah yang wajib diaktualisasikan terutamanya adalah maslahah keadilan
sosial. Tanpa keadilan sosial, yang lemah akan
bertambah lemah, sementara yang kuat bertambah kuat; yang miskin akan bertambah miskin, sementara
yang kaya bertambah kaya. Kesenjangan
sosial yang bertambah luas ini akan membawa pelbagai akibat yang berangkaian
hingga melewati daerah yang bersifat kebendaan,
dan akhirnya manusia kehilangan martabat keinsanannya. Kesenjangan sosial dengan segala akibatnya
itu adalah mafsadah yang wajib
dihindari berasaskan maqasid al-shari`ah.
Kerana itu Pemerintahan demokratik yang
baik harus melaksanakan dasar keadilan sosial yang menyeluruh, terutama
pendemokrasian ekonomi, pendemokrasian pendidikan, upah minimum yang menasabah, perkhidmatan kesihatan yang baik, perumahan
yang selesa, dan pelayanan yang adil terhadap seluruh warga terutama kaum wanita.
Memang, sesebuah masyarakat tidak akan menjadi
benar-benar demokratik tanpa pendemokrasian ekonomi. Dalam Pengantar buku The Human Economy, para
editornya (Hart, Laville dan Cattani) mengatakan, “We know now that society will not become democratic unless we can find
ways of democratizing the economy.”
Antara kaedah pendemokrasian ekonomi yang kini mulai banyak dibicarakan
ialah pelaksanaan human economy, sejenis ekonomi kemanusiaan yang komited kepada
idea pemerataan agar kemakmuran ekonomi tidak hanya dinikmati oleh sekumpulan
individu, tetapi dikongsi bersama secara
adil oleh seluruh rakyat. Untuk
merealisasikan idea tersebut, tidak
hanya diperlukan komitmen pemerintah,
tetapi juga penglibatan dan partisipasi rakyat masyarakat madani. Ekonomi kerakyatan dan kemanusiaan yang
partisipatif seperti itulah maksud Hart, Laville dan Cattani apabila mereka
mengatakan, “Building a human economy presupposes renewed public engagement. Regulation by the political authorities must
be balanced by the public expressions of a civil society focused on attaining the
common good.” (Hart, Keith dkk. 2014:
11).
Ekonomi kemanusiaan disebut oleh
Anwar Ibrahim dengan istilah humane
economy yang diberikan muatan nilai al-`adl wa al-ihsan. Dengan demikian ekonomi tidak hanya
bererti mencari dan memiliki harta,
tetapi ia juga mengandungi tuntutan keagamaan -
melakukan keadilan dan membuat kebajikan. Selain wajib membayar zakat, masih ada tuntutan lain, iaitu amal kebajikan menyantuni mereka yang
memerlukan. Ekonomi Islam adalah ekonomi
yang berpaksikan manusia dan bersifat needs-oriented.
Ekonomi kerakyatan dan
kemanusiaan yang dijayakan bersama oleh pemerintah dan masyarakat madani akan dapat merapatkan kesenjangan sosial dan
seterusnya mengentaskan rakyat dari kemiskinan. Andainya aspirasi demokrasi hendak dicapai,
masalah kemiskinan harus segera ditangani,
kerana kemiskinan adalah kendala besar kepada proses demokrasi. Perut yang kosong tidak meminta demokrasi, tetapi meminta nasi dan roti.
Selain itu kemiskinan juga merupakan lahan
yang subur bagi politik wang. Kemiskinan menyebabkan orang bergantung kepada
pihak tertentu, dan ketergantungan itu
pula menyebabkan ia kehilangan kebebasan.
Demikianlah yang terjadi di mana-mana,
sikap dependent mengakibatkan
kehilangan independence.
Maslahah
yang menjadi paksi dasar-dasar pemerintahan hanya akan
terlaksana jika didukung oleh tatakelola yang baik, iaitu tatakelola yang berteraskan ketelusan,
pertanggungjawaban, kepedulian dan
keadilan. Tatakelola yang baik akan
dapat mengawal jenayah rasuah yang semakin leluasa dan dilakukan secara “berjamaah”. Rasuah adalah fasad yang multi-dimensi (akhlaqiy-ijtima`iy-iqtisadiy), suatu kezaliman, pengkhianatan dan kecurangan
yang mendera rakyat, dan mengikis kepercayaan terhadap pemerintah.
Menyikapi
Kepelbagaian
Semangat demokratik seterusnya
membentuk sikap akomodatif, toleran, terbuka dan menghargai kepelbagaian -
kepelbagaian ras, aliran pemikiran dan parti politik. Islam
pada asasnya memang bersikap positif terhadap kepelbagaian kerana ia adalah sebahagian daripada ayat atau tanda kebesaran Ilahi yang
mengandungi hikmah tersendiri. Manusia
dengan segala kepelbagaian warna dan bahasanya tetap menyatu dalam ikatan kesatuan
kemanusiaan. Kepelbagaian aliran
pemikiran adalah jelmaan kebebasan berfikir yang mengakar pada ajaran Islam. Demikian juga kepelbagaian parti adalah jelmaan hak berbeza pendapat yang
seterusnya membawa kepada perbezaan agenda dan program politik. Hak berbeza pendapat dalam politik seterusnya berimplikasi
kebebasan memilih parti atau menubuhkan parti.
Ini bererti setiap warga boleh
menyertai sesebuah parti dan boleh pula meninggalkannya. Sebagai pengundi dalam pilihan raya, rakyat bebas memilih calon atau menolaknya
berasaskan pertimbangan maslahah. Rakyat boleh menolak calon dari parti
mana pun, termasuk parti Islam, jika pada pertimbangannya ia tidak layak atau
berprestasi buruk. Menolak calon parti
Islam tidak bererti menolak Islam kerana parti Islam tidak sama dengan agama
Islam. Demikian mesej al-Raysuniy ketika
mengatakan,
اما حين يرفض الناس حزبااسلاميا، او مرشحين
اسلاميين، لسوء اداءىهم،
اولضعف اهليتهم، او حين لايقبلون اجتهاداتهم
الفقهية، او برامجهم الاجتماعية،
او مواقفهم السياسية، ويقبلون غيرها من الداءىرة الاسلامية،
او من غير
الاسلاميين، فان هذا لا يكون – ابدا – رفضا
للاسلام او لشيء منه، فالاسلام
وشريعته شيء، والجماعات والاحزاب الاسلامية واجتهاداتها وتصرفاتها
شيءاخر، ...
(Al-Raysuniy,
A., 2014:92-93)
Sistem demokrasi membolehkan
rakyat menukar pemerintah secara aman.
Ia bukan al-baghy atau
penderhakaan terhadap uli al-amr. Parti yang telah tamat tempoh mandat
memerintah harus bertanding semula sebagai parti, seperti parti-parti yang lain, bukan sebagai kerajaan.
Khatimah
Demokrasi memerlukan fiqh politik
baharu yang berbeza daripada fiqh politik abad ke-8H. Realiti politik abad ke-15H sudah banyak
berubah, maka demi maslahah umat abad ini, fiqh
politik kita harus berubah. Ketika ini rakyat
menjadi sumber kekuasaan, dan ini
bererti sokongan dan kepercayaan rakyat menjadi syarat legitimasi
pemerintah. Pemerintah yang merebut
kekuasaan dengan cara yang curang pada hakikatnya telah kehilangan legitimasi. Perubahan
zaman menuntut pengemaskinian cara dan gaya pengungkapan hakikat ajaran Islam demi
mempertahankan kerelevanannya. Untuk itu
para ilmuwan Islam harus cukup mampu mengungkapkan al-khitab al-Islamiyy al-mu`asir (wacana Islam kontemporari).
Rujukan
Al-`Awwa, Muhammad Salim. 2006. Dawr
al-Maqasid fi al-Tashri`at al-Mu`asirah.
London: Mu’assat al-Furqan.
Al-Raysuniy, Ahmad. 2014. Fiqh
al-Thawrah: Muraja`at fi al-Fiqh
al-Siyasiy al-Islamiy.
Kaherah:
Dar al-Kalimah.
Al-Shawiy, Sa`id. 2015. Maqasidiyyat al-Qawa`id al-Fiqhiyyah min
Khilal Kitab Qawa`id
al-Ahkam fi Islah al-Anam li al-`Izz ibn `Abd
al-Salam. Kaherah:
Dar al-
Kalimah
Allers, Charles. 2014. Anwar Ibrahim: Evolution of a Muslim Democrat. Singapore:
Monsoon.
Anwar Ibrahim. 2014. World
Forum for Muslim Democrats Concept Paper, presented for
the
Preparatory Meeting organized by the Sasakawa Peace
Foundation in Jakarta on 22nd May 2014.
-------------------- 2015. Muslim
Democrats Must Lead the Umma in aTurbulent World.
Opening address at Its
Second International Conference in Jakarta,
on 23rd November 2015.
Hart, Keith dkk (ed.). 2014. The
Human Economy. Cambridge: Polity
Press.
Jarvis, Peter. 2008. Democracy,
Lifelong Learning and The Learning Society.
London:
Routledge.
IHWAP
Ucaptama pada Seminar Politik Islam dan Demokrasi sempena Ijtima' Harakiy ke 5 WADAH-ABIM-PKPIM
KDH/IDE/UISEL: 14102017
No comments:
Post a Comment