MEMPERTEGUH DINAMIKA GERAKAN, MENERAJUI KEBANGKITAN MAHASISWA
Muhammad Khair Bin Sujud
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Yang Dihormati Prof Dato’ Dr Mohamad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Yang Dihormati Dato’ Prof Dr Siddiq Fadzil,
Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH),
Yang Dihormati Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin,
Pengerusi Majlis Kebangsaan Pelajar Islam (MKPI),
Yang Dikasihi Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman,
Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH),
Yang Dikasihi Kekanda Haji Mohamad Raimi Ab Rahim,
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PKPIM Sesi 2016/2017,
Pimpinan PKPIM Kampus, dan Pimpinan Badan Gabungan Negeri,
Para Tetamu Kehormat dan Tetamu Jemputan,
Para Muktamirin dan Muktamirat
Serta Para Peserta Seminar Politik Islam dan Demokrasi.
Mukadimah
Alhamdulillah kita merafakkan setinggi rasa tasyakkur kepada Allah SWT atas
kesempatan dan peluang terindah berintima’ dalam keluarga besar jamaah
WADAH-ABIM-PKPIM yang dicintai ini. Melalui perjalanan dakwah yang panjang,
kebersamaan ini memberikan kekuatan dan motivasi untuk terus membina ketahanan
dakwah. Ujian, tribulasi dan mehnah yang dilalui dihadirkan dengan rasa
keinsafan dan kesyukuran.
Perhimpunan kita pada hari ini dijelmakan dengan semangat, iltizam dan
tekad menyubur ukhuwah fillah, bermuhasabah dalam memperbaiki amal Islami dan
memperteguh tanzim harakiy memaknakan taklifan kita sebagai penyambung risalah
Al Rasul SAW.
Generasi muda Islam mesti terus diperingat dan dipertegaskan kembali
peranan sebagai “agen perubahan “(agent of change)”. Idealisme
perjuangan terus disegarkan dengan mencermati situasi semasa yang senantiasa
berubah, dinamik dan unik yang memerlukan “hikmah” dan “kesedaran dhamir” untuk
terus bangkit dan berjuang. Ayuh kita memahami dan merenung Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَا إِلَى
اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحاً وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan
amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam
(yang berserah bulat-bulat kepada Allah).
(Surah Fussilat Ayat 33)
Almarhum Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal Al Quran membahaskan bahawa ucapan
dakwah merupakan sebaik baik ucapan yang dilafazkan di bumi ini. Ucapan dakwah
mengepalai ucapan-ucapan yang baik yang naik ke langit, tetapi ucapan itu
pastilah disertakan dengan amalan-amalan yang soleh membuktikan kebenaran
kata-kata yang telah diucapkan itu. Seterusnya disertakan dengan menyerah diri
kepada Allah. Dengan demikian jadilah dakwah itu bulat dan ikhlas kepada Allah
SWT semata-mata, yakni pendakwah tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam
dakwah itu selain daripada menyampaikannya kepada manusia seluruhnya.
PKPIM 56 TAHUN DALAM GERAKAN DAKWAH
PKPIM bukan sekadar persatuan biasa. PKPIM merupakan sebuah harakah
Islamiyyah yang ditandai dengan sejarah panjang, pelbagai peristiwa dan pahit
getir perjuangan dalam konteks melestarikan citra dan aspirasi Islam dalam
kalangan pelajar. Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam yang dinamik, perencanan
khittah dan strategi perjuangan diadun dan disesuaikan dengan semangat
zaman tanpa mengabaikan aspek tanzim haraki. Tentunya, perjuangan 56 tahun ini
menghadirkan kenangan tersendiri dan gerakan ini sangat berjasa dalam
melahirkan tokoh dan ilmuwan dalam pelbagai latar belakang. PKPIM antara
madrasah terbaik dalam pembinaan jati diri dan menyubur semangat ummatik dalam
kalangan pelajar.
Tidak dinafikan bahawa antara cabaran besar PKPIM ialah bagaimana
memposisikan gerakan ini untuk terus diyakini kewibawaannya dan kekal releven.
Dasawarsa ini, generasi muda terdedah dengan kepelbagaian jamaah. Masing-masing
dengan tekad dan matlamat yang sama memastikan Islam terus tertegak di muka
bumi.
Menghadapi kepelbagaian ini, PKPIM melihat hal ini perlu diurus dan
disingkapi dengan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan pandangan. Menyingkapi
isu-isu luaran dan dalaman gerakan, kekuatan akal dan ruh sangat penting dalam
memastikan PKPIM terus memainkan peranan yang sebenar di lapangan umat.
PKPIM mengambil pendekatan inklusif dengan meraikan kepelbagaian latar
belakang dan pandangan dalam kalangan ahli mahupun mad’u yang dihadapi
bersesuaian dengan semangat Islam Rahmatan Lil ‘Alamin. Kekuatan dan kepakaran
setiap ahli digembleng sepenuhnya secara utuh dan berpadu. Citra kepelbagaian
ini mengambil semangat “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” seperti yang
pernah dinukilkan oleh Dr Muhammad Imarah, seorang pemikir ulung Mesir dalam
karya “Al Islam Wa Al-Ta’addudiyyah: Al Ikhtilaf Wa al Tanawwu’ fi Itar al Wihdah”.
Sebagai generasi penerus Risalah Nubuwwah, kami rasa beruntung dan
berbahagia kerana dapat berteduh dan mendapat manfaat di bawah payung keluarga
besar jamaah WADAH-ABIM-PKPIM. Semangat dan keghairahan anak muda yang berjuang
dipandu dengan hikmah orang lama yang berpengalaman dalam lapangan dakwah yang
sebenar. Benar apa yang diungkap oleh Syeikh Umar al Tilmisani, mantan Mursyidul
Am Ikhwan Al Muslimin, “Hikmah al Syuyukh fi Hamasati al Syabab” (Hikmah
orang tua pada semangat orang muda). Moga dengan didikan dan pentarbiyahan yang
berpanjangan, kita mampu untuk terus cekal dan tekal berdepan cabaran mendatang
yang lebih getir. Walau bagaimanapun, dengan paduan ketiga tiga entiti jamaah
ini tidak menyekat kebebasan dan kreativiti anak muda dalam berkarya. Semoga
hubungan dan gandingan kekeluargaan ini terus utuh dan memberi impak yang
bermakna kepada umat.
Kami menginsafi dan menyedari dengan beban sejarah yang ditanggung. Walau
bagaimanapun, kami optimis untuk langkahan ke hadapan menjunjung prinsip dan
adab dalam gerakan. Keberadaan kami dalam gerakan yang berjasa ini bukan satu
kebetulan tetapi anugerah dan takdir Allah SWT yang perlu dimaknakan dengan
menyemai sifat ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam memartabatkan tamadun khayra
Ummah.
REVOLUSI INDUSTRI 4.0
Dalam era "Revolusi Industri Keempat" ini, manusia semakin hilang
sifat kemanusiaannya dek kerana sindrom "technological intoxication"
yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan anak muda. Ilmuwan Indonesia,
Kuntowijoyo menyebut ini sebagai satu proses dehumanisasi yang disebabkan
pengaruh keterlaluan yang dimiliki oleh teknologi ke atas manusia. Dengan
kelahiran sebuah generasi yang diberikan telefon pintar sebagai candu
menggantikan peranan ibu bapa sebagai peneman dan pendidik, kita amat bimbang
bahawa trend sebegini akan membina generasi yang tidak manusiawi. Kehilangan
sifat kemanusiaan merupakan natijah yang amat buruk sekali kerana ia ternyata
menjauhkan lagi manusia daripada fitrahnya yang asal sebagai "hamba dan
khalifah" di muka bumi dan menjadikan manusia hanya sekadar narcissist,
pencinta teknologi dan diri sendiri.
Gejala kerosakan dalaman masyarakat Islam ini telah lama dijelaskan oleh
seorang pemikir Islam terkemuka, Malik Bennabi, sebagai gejala al-fikr
al-mayyit (pemikiran dan nilai positif yang mati) yang akhirnya menyebabkan
kemandulan mentaliti umat yang siap untuk dijajah (colonizability).
Cendekiawan Mesir, Fahmi Huwaidi pula menyifatkan perkara ini sebagai
penjajahan yang terselubung; sebuah gejala penjajahan minda dan jiwa anak-anak
muda umat Islam tanpa perlunya sebuah penjajahan fizikal seperti yang pernah
dilalui umat kita pada abad-abad yang lepas.
Revolusi Industri keempat merupakan suatu fenomena baharu yang telah,
sedang dan akan memberikan impak yang amat besar kepada dunia. Berteraskan
pembangunan teknologi digital, revolusi industri keempat ini telah
menghubungkan berbilion manusia melalui media sosial, manakala ekonomi dunia
dikatakan telah menjadi lebih efisien melalui ‘automation', di mana
kerja-kerja manusia kini diambil alih oleh robot yang dikawal melalui perisian
pintar. Revolusi ini dijangka akan terus berlaku dalam kadar yang amat pantas.
Terbaru, sebuah robot telah mulai memainkan peranan sebagai pakar bedah dengan
mengadakan pembedahan penggantian buah pinggang ke atas seorang pesakit di
United Kingdom.
Namun, sepertimana revolusi-revolusi industri sebelum ini, revolusi terbaru
ini turut akan menatijahkan kesan-kesan buruk sekiranya tidak mampu dikawal
secara baik oleh manusia. Di samping kesannya ke atas gaya hidup dan cara fikir
manusia, fenomena ini juga akan memberikan impak yang maha dahsyat ke atas
ekonomi sesebuah komuniti. Berdasarkan contoh-contoh yang berlaku di
negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat, sesebuah komuniti yang bergantung
kepada industri pembuatan adalah antara yang paling terdedah kepada
ketidakstabilan ekonomi akibat trend ‘automation' yang menggantikan
manusia dengan robot yang dikawal secara automatik di kilang-kilang serata
dunia. Alhasil, terjadilah pengangguran massa yang menghilangkan mata pencarian
keluarga-keluarga di samping mengurangkan peluang pekerjaan untuk belia-belia
seluruh dunia.
Implikasi pengangguran massa ini adalah perubahan politik radikal yang akan
melahirkan pemimpin-pemimpin dan parti politik populis seperti yang telah
berlaku di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis, antara lain.
Kemunculan puak-puak populis ini sememangnya disertakan dengan gaya politik
yang memusuhi dan menebar kebencian atas nama nasionalisme. Hasilnya,
polisi-polisi anti-imigran dan anti-Islam diperkenalkan seperti yang berlaku di
Amerika Syarikat dan diutarakan oleh beberapa pemimpin parti di negara-negara
seperti Perancis (Marine Le Pen).
Umat Islam adalah sasaran mudah bagi sentimen kebencian ini, hanya
disebabkan oleh identiti dan rupa wajah mereka yang berbeza daripada penduduk
asal negara-negara terbabit, selain daripada ‘terorisme’ yang sering kali
dikaitkan dengan komuniti Islam. Keadaan politik yang rencam dan tidak stabil
ini dijangka akan terus mengakar dalam keadaan politik semasa di negara-negara
demokrasi, terutamanya di Barat. Jika perkara ini tidak diatasi sebaiknya oleh
pemimpin-pemimpin negara, maka tanpa diragui fenomena ini akan merebak dan
mempengaruhi struktur sosial dan ekonomi negara pada masa akan datang.
Sejarah telah merakamkan dengan jelas bagaimana perubahan sosial dan
ekonomi yang berlaku secara mendadak akibat Revolusi Industri Pertama di
negara-negara Barat telah menyaksikan jurang kemajuan peradaban semakin melebar
di antara kuasa-kuasa besar Barat dan Empayar Turki Uthmaniyah. Dinamisme
sosial, intelektual dan ekonomi hasil daripada revolusi pertama berkenaan telah
dimanfaatkan sebaiknya oleh tamadun Barat, manakala Empayar Turki Uthmaniyah
terus mundur dan membeku setelah mendominasi politik dunia selama berkurun
lamanya. Mempelajari kesilapan lampau, pemimpin negara-negara Islam harus
memainkan peranan aktif dalam menerajui dan memanfaatkan revolusi digital yang
sedang kita lalui untuk memastikan umat Islam kembali menjadi ‘trend-setter’
dalam peradaban moden dan bukannya hanya menjadi pengikut kepada trend yang
sedang mencorak masa depan kita.
Walau bagaimanapun, usaha menerajui arus perubahan dunia moden sememangnya
tidak mudah, apatah lagi dengan jurang perbezaan yang tinggi antara kemampuan
teknologi yang dimiliki oleh negara-negara Islam dan negara-negara Barat. Di
samping usaha-usaha membasmi permasalahan sosial dan ekonomi yang diketengahkan
oleh perkembangan dunia digital, umat Islam juga harus membina kapasiti
intelektual yang dinamik agar dapat terus meningkatkan keupayaan umat Islam
dalam membina peradaban yang maju.
Sebarang usaha anti-intelektual seperti pengharaman buku-buku yang tidak
mematuhi sudut pandang dominan dan konservatif di negara harus diketepikan demi
memastikan kelangsungan usaha pembangunan intelektual umat. Tidak layak bagi
sebuah komuniti yang pada suatu ketika dahulu menyaksikan perdebatan yang
harmoni antara kelompok-kelompok berbeza aliran menjadi sebuah komuniti yang
takut menghadapi hujah-hujah yang berbeza daripada sudut pandang mereka.
Bayangkan betapa ruginya kita sekiranya kita dihalang merasai kemanisan
perdebatan antara dua tokoh pemikir Islam, Ibn Rushd dan Imam Al-Ghazali jika
tiada ruang dibuka seluasnya untuk mereka membentangkan hujah masing-masing!
Maka tidak hairanlah jika kita melihat umat Islam lebih mencintai media
massa yang bersifat ‘sensationalist’ berbanding ‘educational’.
Kelemahan intelektual ini telah menjadi dinding penghalang terbesar yang
memastikan umat Islam kekal tidak relevan dalam menerajui perubahan dunia
moden. Sepertimana Martin Luther mengejutkan dunia intelektual Barat dengan ‘100
Theses’ beliau, para intelektual Islam harus berani memainkan peranan yang
penting dalam mengejutkan umat Islam daripada ‘tidur mati’ demi kelangsungan
peradaban kita.
Dalam kita mendepani penuh dengan cabaran ini, kita juga harus memperluas
horizon pemikiran dan cakupan kita agar tidak hanya menyelesaikan
permasalahan-permasalahan lokal, tapi juga kita harus menyantuni isu-isu global
yang sedang berlaku kini. Daripada isu-isu kemanusiaan yang sedang berlaku -
dan tidak kelihatan jalan penyelesaiannya - di bumi Palestin, Syria, Rohingya,
Libya, Afrika dan sebagainya. Isu kesenjangan ekonomi dan taraf sosial juga
merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan, bukan hanya di Malaysia, tapi
juga di seluruh dunia. Sehinggakan sudah dilaporkan bahawa separuh kekayaan
yang terdapat di bumi ini dimilik oleh - hanya - seramai 1% penduduk penduduk
bumi. Ini menunjukkan kekayaan sebenar dimilik oleh para kleptokrat dan para
kapitalis yang bertujuan hanya mengumpulkan kekayaan tanpa menyumbangkan
kembali kepada masyarakat sekeliling.
Klaus Schwab ada mencirikan perubahan-perubahan yang bakal berlaku pada
dunia akan datang di bawah Revolusi Perindustrian 4.0 dimana revolusi ini
meramalkan perubahan drastik dan memberi kesan dalam lima sektor; 1) Ekonomi,
2) Bisnes, 3) Kebangsaan dan Global, 4) Masyarakat, dan 5) Individu. Revolusi
Perindustrian 4.0 juga menjanjikan satu era dimana pertukaran informasi dan
terkadang disalah erti sebagai ilmu - itu berlaku dengan pantas, tanpa halangan
dan tiada batasan. Ini bertentangan dengan tradisi kebudayaan Islam di mana
terdapat tiga sumber pengetahuan bagi seseorang individu; 1) Pengalaman
Spiritual, 2) Alam Semesta, dan 3) Sejarah. Jadi sebetulnya, dalam era yang
penuh dengan kemajuan dan kepantasan informasi ini, aspek jati diri, moral dan
nilai ethos yang akan dipersoalkan kembali dan harus dicari erti semula.
Rentetan daripada perubahan drastik yang bakal berlaku melalui Revolusi
Perindustrian 4.0, pada sisi yang lain juga harus kita amati bersama ramalan
yang dibuat oleh Thomas L. Friedman dalam buku beliau “The World Is Flat”.
Dalam buku tersebut beliau ada menyebut di samping revolusi perindustrian,
terdapat juga tiga era globalisasi yang besar; Globalisasi 1.0, Globalisasi
2.0, dan Globalisasi 3.0. “Daya dinamik Globalisasi 1.0 merupakan
pengglobalisasian negara dan daya dinamik Globalisasi 2.0 merupakan pengglobalisasian
syarikat, daya dinamik Globalisasi 3.0 merupakan kuasa baharu terhadap individu
untuk bekerjasama dan bersaing secara global” (Friedman, 2006:10). Di mana
mengikut Friedman, beliau juga menjangkakan bahawa Abad ke-21 menandakan
permulaan kepada satu abad di mana batasan antara negara itu akan dihapuskan
dan ini akan “level the playing field”.
Beliau juga meramalkan bahawa dalam era Globalisasi 3.0 ini adalah era
pengupayaan hak individu untuk bergiat dalam medan dunia global. Secara
umumnya, apa yg diramalkan oleh Klaus Schwab dan Thomas L. Friedman beserta dengan beberapa futurist yang
lain lagi adalah akan wujudnya satu zaman di mana kepantasan adalah
segala-galanya. Benda ini disokong oleh Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr Wan Salim
Mohd Noor yang menyatakan bahawa zaman ini akan memperkenalkan doktrin
individualisme, materialisme, konsumerisme, dan hendonisme yang bertentangan
sama sekali dengan ajaran-ajaran Islam. Jadi gerakan Islam harus lebih proaktif
dan kreatif dalam menghadirkan solusi-solusi yang bertepatan dengan masyarakat
semasa, bersesuaian dengan kehendak zaman, tanpa meminggirkan prinsip-prinsip
dan semangat perjuangan yang sudah lama kita imani secara bersama.
Dalam konteks kemahasiswaan, PKPIM perlu tampil sebagai salah satu gerakan
pelajar yang, tanpa berhenti, turun ke kancah perjuangan mahasiswa, dan
sentiasa mendekati mahasiswa dalam memahami konteks kehidupan mahasiswa semasa.
Kami yakin dengan pengalaman selama 56 tahun PKPIM beraksi di ganggang
kemahasiswaan, kita mampu untuk mara dengan lebih efektif lagi jika berbekalkan
tiga perkara; 1) Ketetapan Prinsip 2) Kesamaan Visi 3) Pergerakan yang
kolektif. Kita harus perjelas prinsip kita berada dalam gerakan kita ini, dan
harus teguh dengan prinsip kita. Daripada prinsip yang kita imani, pemerhatian
dan pengamatan kita akan lebih berfokus dan akan lebih jelas aspek apa yang
kita boleh dan patut perjuangkan. Visi akan terlahir daripada situ dan kesamaan
visi itu akan terhasil bilaman semua berfikir untuk mencapai dan menggapai
perkara yang sama. Pada akhirnya, pergerakan kita harus diselarikan agar tiada
tindakan yang bertindihan dan lebih banyak kerjasama yang dapat kita
laksanakan.
SENARIO DUNIA SEMASA
Seperti yang telah disebut di atas, terdapat banyak “real crisis”
yang sedang berlaku tapi belum ada yang berjaya menangani dengan efektif. Dari
sini kita harus insafi dan teladani semula pergerakan kita selama 56 tahun,
gali semula sejarah-sejarah lama, pelajari daripada semangat dan jiwa reformasi
mereka, agar kita dapat melahirkan gerakan pelajar yang sentiasa komited dalam
medan antarabangsa ini. Zaman di mana gabungan-gabungan bersifat antarabangsa
seperti European Union (EU), ASEAN, United Nations (UN), dan sebagainya yang
kelihatan kini hanya mampu bersidang dan memberikan kata putus tanpa punya satu
tindakan akhir yang boleh membuat perubahan yang kekal dan untuk kebaikan
masyarakat umum.
Mulai terjadinya Perang Dunia Pertama, terdapat banyak kebangkitan yang
telah kita amati dan lalui. Daripada perluasan kawasan jajahan setiap kuasa besar,
kepada kebangkitan kecil-kecilan untuk menentang penjajahan. Sehingga kini,
walau tiada lagi negara yang kira dijajah, tapi kebanyakan masih lagi dijajah
mindanya oleh sistem dan pemahaman asing yang tidak mengandungi unsur
kebudayaan dan jati diri asal mereka. Daripada situlah munculnya gagasan dan
kebangkitan yang kita perhati seperti Arab Spring dan gagasan Revolusi Mental
yang tujuan utamanya untuk membebaskan masyarakat mereka daripada kecaman
pemikiran asing. Kebangkitan itu berterusan sehingga sekarang sehinggakan apa
yang kita sedang saksikan sendiri di medan antarabangsa merupakan satu kebangkitan yang lain daripada yang
sebelum ini. Iaitu kebangkitan yang berasaskan semangat nasionalisme atau
semangat kebangsaan. Kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya Amerika dengan
motonya “Make America Great Again’”, Pelan Penaiktarafan Status
Kehidupan penduduk Perancis yang dijanjikan Emmanual Macron yang pada akhirnya
menjamin kemenangan beliau, kejatuhan undian bagi Theresa May, dan kenaikan
undi bagi parti (AFD) Alternative for Germany (Deutschland) merupakan antara
contoh arena geopolitik antarabangsa yang menunjukkan kebangkitan semangat
manusia untuk mempertahankan hak-hak yang sepatutnya mereka peroleh.
Sebagai gerakan pelajar, lebih lagi sebagai gerakan Islam, semangat
perjuangan kita harus menjangkau semangat untuk mempertahankan hak sendiri
sahaja, tetapi juga setiap perjuangan kita harus pertama sekali mengutamakan
untuk menyebarkan syiar Islam di muka bumi ini dan seharusnya fokus utama kita adalah
untuk membangunkan rantau Asia - lebih spesifik lagi rantau Asia Tenggara -
dahulu dalam kita hendak memperjuangkan nasib umat Islam di rantau lain.
Seiring dengan itu, harus kita terapkan semula jati diri kita sebagai umat
Islam, terutamanya, dan sebagai kaum Melayu yang keduanya. Sejarah harus digali
semula. Wacana harus dikerapkan semula. Pengamalan harus dikuatkan semula. Kaum
Arab kekal bangga dengan jati diri dan nilai ethos; 1) Hospitaliti 2) Kemurahan
3) Keberanian 4) Maruah diri 5) Hormat diri.
Mereka walau sebelum kedatangan Islam lagi dan tatkala Islam datang, Islam
bukan merubah sikap mereka, tapi pemahaman tauhidik mereka. Jadi bagi kita,
apakah jati diri yang mendefinisikan orang Melayu? Dan bagaimanakah kedatangan
Islam merubah pemahaman tauhidik kita dalam masa yang sama memperkuat semangat
kita?
Ada diungkapkan bahawa “secara luhurnya insan Asia pada hakikatnya ialah
insan beragama (Persona Religiosus)” di mana kebangkitan dan kejatuhan atau
kemunduran insan Asia ini terletak pada kekuatan keagamaan mereka.8 Dari sini
kita dapat lihat bahawa kebanyakan agama banyaknya muncul di rantau Asia.
Agama-agama seperti Islam, Hindu, Buddha, Confucianisme, Taoisme, semangat
Shinto, dan Sikhisme antara contoh yang menggambarkan kebenaran kata Anwar
Ibrahim - insan Asia ini fitrahnya inginkan kepada satu agama Prof Dr. Syed
Muhammad Naquib Al-Attas juga ada menteorikan bahawa kebudayaan Melayu sudah
mencapai satu tahap yang lebih tinggi lagi pasca daripada kedatangan Islam ke
Tanah Melayu ini - melalui agamawan-agamawan daripada Indonesia. Dari sini kita
dapat menanggapi bahawa gelombang Kebangkitan Asia yang diimpikan oleh Anwar
Ibrahim hanyalah dapat menjadi kenyataan tatkala masyarakat Asia hidup dengan
suasana yang religius dan harmoni hasil daripada pemahaman setiap daripada
penduduk berkenaan kebudayaan dan keagamaan yang dianuti oleh sekeliling
mereka.
GENERASI AL-QURAN YANG UNIK (JIL QURANIY AL FARID)
Setiap kebangkitan zaman, diutuskan seorang mujaddid yang akan melakukan
perubahan(islah). Perubahan meliputi aspek keseluruhan termasuk kesedaran dan
perubahan masyarakat menuju redha Ilahi. Imam Hasan al Banna adalah sosok yang
menggerakkan kesedaran dan melakukan perubahan persekitaran dengan cukup
dinamik. Perjuangan dalam Ikhwan melahirkan ramai pejuang dan tokoh yang ikhlas
dan berpandangan jauh.
Generasi Al Quran yang Unik merupakan suatu gambaran yang diungkap oleh
Syed Qutb di mana masyarakat diasuh dan dididik dengan penghayatan Al Quran.
Inilah rahsia kegemilangan generasi awal sahabat yang menjadikan Al Quran bukan
sekadar dibaca tetapi diamalkan kandungan Al Quran dalam segenap aspek
kehidupan. Al Quran dijadikan pedoman penting dalam melakukan amar makruf dan
nahi munkar dalam kehidupan. Pedoman Al Quran yang dibawakan menjadikan masyarakat
mengamalkan Islam dengan sebaiknya biarpun dengan cabaran dan dugaan yang
mendatang.
وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ
أَمْرِنَا ۚ مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِنْ
جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ
لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) Al-Quran sebagai roh
(yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum
diwahyukan kepadamu): Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui
apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: Cahaya yang menerangi, Kami
beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami
dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan
Al-Quran itu ke jalan yang lurus.
(Surah al Syura Ayat 52)
REJUVENASI INSTITUSI MASJID DAN PEMBERDAYAAN PEMUDA
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ
آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ
وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ
الْمُهْتَدِينَ
Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu
ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan
sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan
adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari
golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Taubah ayat 18)
Muktamirin muktamirat sekalian,
Hijrah merupakan satu peristiwa yang menjadi satu “turning point”
paling bermakna dalam sejarah Islam. Bermula dari hijrah, umat Islam mengalami
perubahan yang sangat luar biasa dari hidup merempat di bumi sendiri, diseksa,
dipulau dan di halau bangsa senndiri kepada hidup berpunya, maju jaya,
bekerjasama dan bernegara.
Dalam peristiwa bersejarah ini, tidaklah Nabi Muhammad SAW mendahulukan
pembangunan negara Madinah akan tetapi mendahulukan pembangunan masjid sebagai
pusat kemajuan dan pembangunan masyarakat. Hal ini dibuat dengan kesedaran
bahawa umat hanya akan kuat dengan adanya kesatuan yang bukan berbasis pada
ukhuwwah semata-mata tetapi ukhuwwah yang diikat dengan dasar akidah yang tulus
kepada Allah semata-mata.
Keutamaan membina akidah dalam pembinaan ketamadunan juga difahami dan
disedari oleh ilmuan Islam silam seperti Imam al-Ghazali apabila menggariskan
kefardhuan ilmu yang fardhu ‘ain adalah bermula dengan mempelajari akidah.
Seterusnya kita melihat hal yang sama ditekankan oleh para ulama’ dalam
pelbagai kitab seperti Sirrus Salikin, Ta’lim Muta’alim dan juga diikuti oleh
ilmuan masakini seperti Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hal yang sama juga
dilakukan oleh pendiri gerakan dakwah sebagaimana Imam Hassan al-Banna dalam
menggariskan muwasafat tarbiyyah yang mendahulukan kesejahteraan akidah sebagai
sifat yang pertama.
Begitulah signifikannya masjid dalam memulakan perubahan terbesar dalam
sejarah Islam, dari masjidlah terbentuknya generasi terbaik yang mengembangkan
Islam hingga hampir 2/3 bumi ini disinari dengan cahaya Islam. Tetapi persoalan
yang muncul adalah masjid yang bagaimana yang membangunkan umat Islam suatu
ketika dahulu? Jawapan yang kami dapati adalah masjid yang berfungsi sepenuhnya
dalam menyatukan umat baik muda mahupun tua, lelaki mahupun perempuan sehingga
kesemuanya dibangunkan dan disatukan hatinya, akalnya dan fizikalnya. Laksana
hadis Baginda:
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal
saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. Jika
salah satu anggotanya merasakan sakit, maka seluruh tubuh turut merasakannya
dengan berjaga dan merasakan demam.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Masjid merupakan inkubator terbaik bagi melahirkan umat yang bersatu dan
maju, oleh itu kami menggesa muktamirin muktamirat yang hadir agar mendekati
dan merejuvenasi masjid agar menjadi pusat pembangunan umat sebagaimana yang
digesakan oleh ulama’ dan tokoh pendakwah seperti Syeikh Yusuf Qaradhawi, Pak
Natsir dan lain-lain. Masjid perlu dibugarkan
dengan kehadiran pemuda di dalamnya, pemuda yang mengimarahkannya dengan
solat berjemaah, kegiatan ilmiah, kegiatan kesukarelawanan, kemanusiaan dan
lain-lain.
Dengan adanya rejuvenasi masjid yang baik, maka akan terbinalah
pemuda-pemuda yang berupaya untuk berfungsi di dalam masyarakat sekaligus
memangkinkan lagi kegiatan dakwah ke tahap yang baru. Tahap di mana umat Islam
dapat bersaing dengan bangsa-bangsa dan agama-agama lain, terlebih lagi pada
zaman revolusi industri ke-4 yang sedang kita hadapi.
PENGUKUHAN TARBIYAH DAN KADERISASI
وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ
خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ
وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا
“Dan Hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya
meninggalkan dibelakang mereka generasi yang lemah, yang mereka khuatir
terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa
kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”
(Surah Al Nisa’ Ayat 9)
Sahabat seperjuangan yang kami kasihi,
Apakah kaitan rejuvenasi masjid dan pemberdayaan pemuda dengan perihal
tarbiyyah dan kaderisasi? Jawapannya adalah, rejuvenasi masjid akan memudahkan
kaderisasi dan proses tarbiyyah. Bukan itu sahaja, dengan kita mendekati masjid
dan memberi nafas yang baru, kaderisasi akan lebih mengakar ke akar umbi
masyarakat dan berkembang menaungi kawasan-kawasan yang berdekatan.
Hal ini adalah sangat penting untuk dilaksanakan bagi menghadapi revolusi
industri ke-4 yang akan mengubah landskap dunia. Kami melihat pemilihan masa
depan yang strategik adalah amat berguna bagi menghadapi masa depan yang
sentiasa berubah, oleh itu usaha merejuvenasi masjid merupakan satu langkah
yang kukuh bagi menghadapi perubahan-perubahan ini.
Mengapa kami katakan sedemikian? Hal ini kerana di dalam revolusi industri
ke-4 akan menyebabkan perubahan dalam manusia berkomunikasi, bersosial dan
bermasyarakat. Landskap pendidikan juga akan berubah dengan adanya cara-cara
baru dalam mengumpul maklumat dan mempelajari kemahiran. Adakah institusi
pengajian tinggi akan kekal releven? Selari dengan itu, aspek ekonomi juga akan
berubah sama terutamanya dalam transaksi pembeliaan atas talian, penggunaan
mesin-mesin yang menghasilkan produk dengan lebih baik dan lebih banyak lagi.
Perlukah lagi manusia keluar bermasyarakat dan bekerjasama? Kesemuanya ini
perlu difikirkan agar generasi muda masakini disediakan untuk menghadapi
perubahan ini.
Jadi bagaimana masjid dapat dimanfaatkan untuk proses tarbiyyah dan
kaderisasi? Masjid hanya dapat difungsikan semula apabila pemuda pemudi mula
mendekati dan membangunkan masjid
sesuai dengan kemajuan zaman. Sejajar dengan keberanian tersebut, orang
yang lebih tua perlulah memberi kepercayaan dan bimbingan bagi menjayakan misi
membangun umat ini. Masjid perlulah dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi
yang mesra masyarakat serta orang muda. Penyediaan pusat kegiatan pemuda yang
dilengkapi dengan teknologi terkini, bengkel-bengkel kemahiran, kawasan riadhah
dan lain-lain adalah perlu bagi menarik minat para pemuda serta membangunkan
diri mereka menjadi orang yang berguna.
Setelah masjid berjaya menarik dan memanfaatkan mereka, pasti para pemuda
ini akan menjadi golongan yang dimaksudkan di atas itu, iaitu orang muda yang
memakmurkan masjid Allah. Dari situ, mereka secara tidak langsung dikaderkan
menjadi kader-kader dakwah yang lengkap diri mereka dalam menyumbang dan
berjasa kepada masyarakat. Kaderisasi sebegini yang kami lihat lebih kukuh dan
akan lebih releven di masa akan datang. Pendekatan sebegini dapat membantu
Badan Gabungan Negeri (BGN) dalam meningkatkan kaderisasi di peringkat lokal
dan membantu menjalinkan hubungan dengan masyarakat di sekitarnya.
PENGUKUHAN TANZIM HARAKI
Dalam memastikan langkah sesebuah organisasi tetap istiqamah dan konsisten
terhadap apa yang ingin dicapai, elemen pengukuhan tanzim harakiy harus
diutamakan. Pengabaian terhadap pengurusan keorganisasian bakal memberi barah
kepincangan terhadap gerak kerja berjemaah sekaligus akan menyebabkan matlamat
utama yang menjadi tunjang kepada gerakan hanya sebagai retorika yang
menjemukan. Dilaung hebat namun lesu pada daya praktikalitinya.
Berdasarkan nadi pengukuhan tanzim haraki ini, semua ahli perlu senada
dalam memperjuangkan matlamat jemaah bergantung kepada keupayaan serta
kemahiran yang mampu disumbangkan. Di sini, menjadi kewajipan bagi para
pimpinan untuk mengatur dan memanfaatkan potensi yang ada pada setiap ahli demi
mengupayakan gerak kerja yang lebih kemas dan berkesan. Kelompongan dalam seni
mengatur ahli pada kedudukan yang tepat bakal merugikan sumber manusia yang
sedia ada.
Selain itu, sistem syura yang menjadi amalan penghayatan kepada gerakan
keorganisasian ini perlulah disemangati rohnya oleh semua ahli. Sejajar dengan
sifat alami setiap insan, pasti akan ada kelemahannya yang tersendiri. Maka,
berdiskusi dan berbincang secara berkumpulan dalam meraih keputusan yang bakal
memberi manfaat besar kepada gerakan serta pengurusan dalam organisasi. Setiap
keputusan yang telah diputuskan melalui syura harus diterima dan dilaksanakan
sebaik mungkin. Kepercayaan terhadap kualiti serta keberkatan keputusan yang
disepakati melalui syura sebaiknya perlu disemai dalam kalangan kepimpinan dan
juga ahli dibawahnya.
Setiap ahli yang meletakkan dirinya bersama gerakan jemaah harus memahami
bahawa gerakan ini adalah gerakan secara bersama dan bukannya gerakan yang
bersifat peribadi (ananiyah). Oleh itu, dalam memaknai nilai kebersamaan
ini, semua harus terbuka dan saling bantu-membantu dalam memastikan garapan
hasil kerja bersama yang terhasil mampu memberi impak kepada pencapaian
keorganisasian. Sikap menuding jari, punyai kepentingan diri dan mahu meraih
populariti harus diketepikan dalam memastikan tonggak utama gerakan tidak
terhambat dalam usaha mencapainya.
Menurut Prof Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, mujaddid pada zaman kini
berkonsepkan mujadid kolektif yang dijalankan oleh sebuah kekuatan organisasi
yang mempunyai ciri-ciri dan semangat tajdid itu. Oleh demikian, setiap
individu boleh turut menyumbang terhadap usaha tajdid dan memenuhi cita-cita
islami tersebut. Seseorang tidak mampu untuk bekerja seorang diri dalam skala
yang besar. Kekuatan dan keteguhan diperoleh secara kolektif, bukan secara
individu. Manusia akan menjadi lemah apabila berseorangan tetapi akan menjadi
kuat apabila berjemaah. Oleh itu, walaupun Nabi Musa seorang yang kuat dan
terpercaya masih berdoa kepada Tuhan agar diberi keteguhan dan kekuatan dengan
bantuan saudaranya, Nabi Harun.
MENCIPTA MASA DEPAN UMMAH YANG GEMILANG
Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan sikap umat Islam yang hanya
bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta tamadun dan
sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai
tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada Jamaluddin
Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi lautan
Atlantik dan menjumpai benua Amerika sebelum dijumpai oleh orang Eropah. Lalu
dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: “Memang benar datuk nenek kamu dahulu orang
yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan kemegahan
masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti mereka.”
Itulah realiti kehidupan umat Islam kini yang hanya mengulangi babak-babak
sejarah datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan umat Islam.
Menurut Prof Syeikh Yusuf al Qaradhawi, Umat Islam tidak dapat bangun
kecuali mereka mempunyai pemikiran masa depan (Fikr al-Mustaqbal) dan
cipta masa depan untuk ummah (Sina’at al-Mustaqbaliyyah). Kita leka
dengan puji-pujian dan sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita
dibuai dengan mimpi-mimpi indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima
perubahan.
Kita harus memahami bahawa kekuatan musuh kita adalah dari kelemahan diri
sendiri. Kewujudan kekuatan mereka adalah kerana kelemahan dunia Islam dalam
mengenali dirinya sendiri. Pada awal abad ini, telah bangun reformis-reformis
Islam yang membawa slogan kemajuan dan membebaskan pemikiran yang terlalu
terikat dengan tradisi silam. Lahirnya Muhammad Iqbal, Muhammad ’Abduh, Syeikh
Rashid Rida dan al-Maududi yang mempelopori kebangkitan umat dan membebaskan
umat dari dibelenggu taqlid, tasawuf yang menyeleweng dan budaya barat yang
keterlaluan. Umat Islam perlu mengubah cara hidup dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, mengikut sunah yang betul serta memahami
ajaran Islam secara mendalam. Kita tidak akan berjaya dalam persaingan dunia
hari ini dengan hanya berbekalkan kemunduran. Oleh yang demikian, umat Islam
harus menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi di samping bekerja dengan segala
kesungguhan dan berkualiti dalam segenap bidang.
Dalam mencipta masa depan umat, keseimbangan antara ruhiyyah dan
jasadiyyah, antara wahyu dan akal, antara kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi
amat perlu bagi merealisasikan nikmat Tuhan yang telah dikurniakan untuk
manusia. Mencipta masa depan umat dengan berteraskan nilai-nilai kemanusiaan
dan alam sejagat serta megikut manhaj Ilahi. Allah telah menjanjikan bahawa
orang yang mewarisi bumi adalah golongan yang sentiasa beramal soleh,
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, bekerja penuh ikhlas, gigih dan
beramanah. Firman Allah:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ
أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا
عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat,
dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan
dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala
urusan.
(Surah al Haj Ayat 41)
Almarhum Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh mujaddid abad ini,
sentiasa menggesa umat Islam sekarang menumpukan perhatian kepada agenda besar
bagi membangunkan umat yang beriman serta berilmu. Beliau mahu umat Islam
mengenepikan isu remeh-temeh kerana ini akan merugikan kedudukan umat Islam.
Umat Islam perlu menguasai kekuatan iman yang disokong oleh ilmu dan hikmah
kerana inilah prasyarat bagi kejayaan hakiki di dunia dan akhirat. Umat Islam
harus bersedia menghadapi masa depan dengan menumpukan agenda-agenda besar
dengan persiapan yang sungguh rapi dan penuh strategi dengan mengambil kira
realiti dan kedudukan umat Islam masa kini. Kita perlu mempunyai kesedaran yang
tinggi bagi mencipta masa depan generasi mukmin yang baru yang berhak diberi
gelaran “jil al-nasr al-hakiki al-multazim”. Menurut tokoh gerakan
kebangkitan Asia abad ini yang juga penyair ulung Pakistan, Muhammad Iqbal,
umat Islam kini perlu sedar untuk memahami Islam secara menyeluruh dan tidak
menerima kebudayaan barat secara keseluruhannya. Malahan umat Islam mempunyai
al-Quran dan al-Sunah yang merupakan nilai yang amat berharga untuk dijadikan
panduan hidup bagi mencapai kejayaan. Apresiasi dan keprihatinan Iqbal kepada
pemuda didedikasikan dalam sebuah puisi:
Harapan Kepada Pemuda
Aku harapkan pemuda inilah yang akan sanggup
Membangunkan zaman yang baru
Memperbaru kekuatan iman
Menjalankan pelita hidayat.
Menyebarkan ajaran khatamul-anbiya’
Menancapkan di tengah medan pokok ajaran Ibrahim
Api ini akan hidup kembali dan membakar.
Jangan mengeluh jua, hai orang yang mengadu
Jangan putus asa, melihat lengang kebunmu
Cahaya pagi telah terhampar bersih
Dan kembang-kembang telah menyebar harum narwastu
Khilafatul-Ard akan diserahkan kembali ke tanganmu
Bersedialah dari sekarang
Tegaklah untuk menetapkan engkau ada
Denganmulah Nur Tauhid akan disempurnakan kembali
Engkaulah minyak atar itu, meskipun masih tersimpan dalam
kuntum yang akan mekar
Tegaklah, dan pikullah amanat ini atas pundakmu
Hembuslah panas nafasmu di atas kebun ini
Agar harum-harum narwastu meliputi segala
Dan janganlah dipilih hidup ini bagai nyanyian ombak
Hanya berbunyi ketika terhempas di pantai
Tetapi jadilah kamu air-bah, mengubah dunia dengan amalmu
Kipaskan sayap mu di seluruh ufuk
Sinarilah zaman dengan nur imanmu
Kirimkan cahaya dengan kuat yakinmu
Patrikan segala dengan nama Muhammad
Abu Hassan al-Nadwi telah mengarang buku “Apa Derita Dunia Apabila Umat
Islam Mundur” menjelaskan bahawa kemunduran umat Islam bukan sahaja merugikan
umat Islam sahaja tetapi dunia sejagat mengalami derita yang sama. Barat mampu
mencipta pelbagai jenis alat-alat yang canggih dan berteknologi tinggi sehingga
mampu terbang di udara seperti burung dan berenang seperti ikan di dalam lautan
tetapi mereka gagal bagaimana hendak berjalan di atas dunia ini.
Menerusi perspektif dan pandangan hidup Islam terhadap landskap pemikiran
moden inilah para pemikir Islam seperti Sayyed Hossein Nasr mengatakan bahawa
generasi muda Islam perlu mengetahui secara mendalam agama dan akar budaya
mereka dan perlu pula memahami ciri dunia moden kini dari perspektif Islam. Di
dalam tulisan beliau, A Young Muslim’s Guide to The Modern World, Sayyed
Hossein Nasr menyatakan bahawa umat Islam sama ada generasi muda atau dewasa,
tidak mungkin dapat survive sebagai Muslim secara individu atau sebahagian dari
sebuah tamadun gemilang dan umat nabi Muhammad SAW sekiranya tidak dapat
menangani cabaran yang dihadapkan oleh dunia moden kepada mereka. Mereka perlu
memahami dunia moden kini dengan mendalam dan secara bijak, dan menangani perubahan
dan cabaran tanpa pengaruh emosi, tetapi di atas asas ilmu yang sahih dan benar
tentang dunia moden ini bersandarkan tradisi keilmuan Islam secara menyeluruh.
AGENDA PENGANTARABANGSAAN DAN ADVOKASI MASSA
Muktamirin-muktamirat sekalian,
Menyingkapi kepantasan yang bakal terjadi, merenungi perubahan yang sedang
berlaku, ianya seakan terdapat terlalu banyak cabaran yang harus kita hadapi
dan tangani. Namun harus juga kita sedar bahawasanya terdapat banyak peluang
dan jaringan yang boleh dimanfaatkan dalam peringkat lokal, peringkat serantau
dan peringkat antarabangsa. Metode pergerakan kita juga harus ditambah baik
untuk mengikuti trend kelajuan semasa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang
kita imani. Kelajuan pergerakan kita yang akan menentukan kerelevenan kita pada
masa mendatang. Justeru itu, sangat penting bagi kita untuk berfikiran
futuristik dalam perancangan strategik semasa.
Dewasa kini, kita juga sedang melihat kemunculan gabungan-gabungan baru
seperti perbincangan kerjasama ASEAN-EU dan ASEAN-UN ataupun pertubuhan blok
ekonomi baru seperti Brazil - Russia - India - China - South Africa (BRICS).
Terdapat banyak inisiatif baru yang ditubuhkan yang boleh dimanfaatkan oleh
gerakan setempat seperti PKPIM untuk membantu mengolah pergerakan kita pada
zaman yang baru ini. Di samping itu, jaringan sedia ada seperti jaringan
antarabangsa; Union of NGOs of the Islamic World (UNiW) dan World Assembly of
Muslim Youth (WAMY), jaringan serantau; Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara
(PEPIAT), Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia & the Pacific
(RISEAP) dan International Islamic Federation of Student Organisations (IIFSO),
dan jaringan setempat; Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN),
KESATUAN, dan Friendship Group of Interfaith Services (FGIS), harus dijalin dan
diperkuat semula hubungan bersama-sama dengan mereka. Gerakan setempat yang
lain seperti Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS), Persatuan Belia Harmoni
(HARMONI), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Persatuan Sosialis Malaysia
(PSM), dan gerakan-gerakan lain, yang sifat dan perjuangannya seiring dengan
apa yang kita perjuangkan, harus juga kita santuni dengan rapat.
Zaman ini merupakan zaman di mana jalinan kerjasama dan jumlah perhubungan
yang dimiliki itu akan menjadi satu ukuran. Pergerakan individu atau pergerakan
minoriti tidak akan mendapat tempat dan melaksanakan perubahan yang substantif
pada zaman yang serba pantas ini. Oleh sebab itu, kita harus perkuat jaringan
yang sedia ada, dalam masa yang sama cuba mencari ruang dan peluang baru untuk
memperluas jaringan kita. Perkongsian jaringan juga harus digalakkan dalam
kalangan Badan Gabungan Negeri mahupun Kampus PKPIM kerana ini akan merancakkan
lagi pertumbuhan kalian di lokaliti masing-masing. Tidak kita lupa juga jaringan
sedia ada WADAH-ABIM-PKPIM seperti Pusat Infaq WADAH (PIW), Global Peace
Mission (GPM), Malaysia Lifeline for Syria (MLLFS), Jaringan Rohingya Education
Centre (JREC), Institut Darul Ehsan (IDE), Hospital Pakar Al-Islam, Islamic
Outreach ABIM (IOA), Koperasi Belia Islam (KBI), SERI dan SEMI ABIM, Yayasan
Takmir Pendidikan (YTP), dan banyak lagi yang boleh dimanfaatkan untuk berikan
latihan pada ahli-ahli PKPIM sama ada yang baru mahupun yang lama.
Dalam kita hendak beraksi di arena antarabangsa, dan untuk menjadi “big
player” di arena tersebut, kami sarankan beberapa langkah ini:
1. Perkukuh jaringan sedia ada sepertimana yang dinyatakan di atas. Harus
diteliti semula kerelevenan setiap jaringan dalam mencapai “target” yang
disasarkan.
2. Mengadakan latihan bagi yang berkebolehan dan berpotensi. Harus ditapis
yang ingin dilatih. Jangan dilatih kelompok yang bersikap individualistik dan
narsistik. Dalam masa yang sama, tidak semua yang punya kebolehan dan kemampuan
untuk beraksi di pentas antarabangsa.
3. Mewakilkan yang betul-betul sudah dilatih. Yang mewakili akan membawa
nama gerakan kita. Jikalau dihantar yang belum bersedia dan tidak terlatih,
akan terjadi antara dua; Memalukan nama gerakan atau tidak mendapat manfaat
daripada aktiviti antarabangsa yang disertai.
Sahabat-sahabat seperjuanganku sekalian,
Dalam kita mencari definisi bagi perkataan “massa”, yang semakin sering
diguna pakai untuk menjustifikasi perbuatan dan tindakan, bagus juga jika kita
melihat definisi yang diberikan oleh José Ortega y Gasset, “The mass is the
average man” terjemahannya “massa itu adalah manusia biasa”. Dari sini
harus kita perbetulkan bahawa setiap tindakan dan gerakan kita, harus untuk
masyarakat umum, kepada masyarakat umum, dan permasalahannya timbul daripada
masyarakat umum. Setiap masyarakat pula terdiri daripada dua kelompok utama; 1)
Minoriti 2) Massa, yang saling melengkapi antara satu sama lain. Kelompok
minoriti punyai kuasa dan kemampuan untuk menentukan dasar dan hala tuju untuk
sesuatu masyarakat. Manakala kelompok massa pula punyai hak dan kekuatan tenaga
untuk menyuarakan apa yang sepatutnya dilakukan mengikut kepada konteks
sosioekonomi dan kebudayaan setempat. Daripada ini dapat kita lihat bahawa
kecelaruan sebenarnya berlaku tatkala kelompok minoriti menyalahgunakan kuasa
yang mereka punya dan kelompok massa pula menyalahgunakan hak mereka untuk
memperoleh apa yang mereka mahukan. Apa yang masyarakat global mahukan sekarang
ini? Kurangkan lontaran-lontaran retorika dan perbanyakkan kerja-kerja
kebajikan untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat setempat. Pasca
daripada kenaikan taraf sosioekonomi baru boleh dibincangkan untuk perubahan
dan pengamalan budaya yang lebih bermanfaat.
Kenapa kami anjurkan khusus kepada sosioekonomi? Kerana seperti yang dinukilkan
di perenggan-perenggan atas, kebanyakan masyarakat dunia sekarang hidup dalam
serba kekurangan. Ada yang punya wang, tapi tidak punya kenderaan. Ada yang
punya kenderaan, tapi tidak punya tempat kediaman. Ada yang punya tempat
kediaman, tapi tidak punya wang pula. Jadi masyarakat sekarang sangat tersempit
dengan keadaan sosioekonomi mereka sehinggakan mereka hanya mampu mengimpikan
kekayaan yang dilihat di drama-drama sahaja. Dalam masa yang sama, harus kita
telusuri semula hasil kejayaan senior-senior kita pada zaman dahulu kala,
dengan kerjasama beberapa pihak yang lain, dalam memperjuangkan isu-isu
nasional dan berjaya melakukan perubahan yang bersifat “permanent” atau
kekal. Antara yang menjadi fakta sejarah merupakan pemakaian tudung yang dimulakan
oleh Allahyarhamah Prof Dr Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua Helwa
ABIM), 1973-1974, yang sehingga kini menjadi satu kebiasaan dan sudah menjadi
satu perindustrian. antara lain termasuklah pemansuhan sistem Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012
yang bermula pergerakannya daripada tahun 2002 sehinggalah tahun pemansuhan.
Sekarang ini PPSMI sudah diberi nafas baru dengan nama Dual-Language Programme
(DLP) dan ini wajar untuk kita tantangi dengan penuh strategis.
Contoh di atas merupakan antara contoh yang banyak perubahan kekal yang
berjaya dilakukan oleh senior-senior kita. Pada masa kini, adalah satu
keperluan untuk kita menilai semula pergerakan kita dan memastikan bahawa
setiap aktiviti berskala besar yang dilakukan adalah diniatkan untuk perubahan:
1. Perkampungan Menara Gading (PMG) harus dinilai semula fokus dan matlamat
penganjuran. Jikalau hanya dianjurkan sekadar memenuhi almanac tahunan, lebih
baik tenaga itu difokuskan untuk menembusi sekolah-sekolah yang ada di lokaliti
masing-masing. Agenda PMG harus diteliti dengan lebih terancang supaya
kaderisasi yang dihasilkan memberikan dampak positif kepada gerakan.
2. Kita harus lebih banyak buat aktiviti lapangan dan turun ke masyarakat
untuk lihat realiti yang sedang berlaku dalam kita mewaspadai gerakan-gerakan
yang cuba menafikan kewibawaan gerakan-gerakan Islam.
3. Pergerakan harus disusun dengan lebih kemas dan diselarikan. Buat
sekadar yang termampu, dan sentiasa berusaha untuk menambah baik daripada
aktiviti yang sebelum dan budaya selalu merujuk harus dihidupkan semula.
Kami yakin dan percaya, dengan potensi yang ada pada ahli-ahli PKPIM
semasa, hasil daripada penggemblengan tenaga yang padu, kita mampu untuk
melakukan perubahan drastik dan kekal - moga-moga perubahan untuk ke arah
kebaikan - yang akan kita warisi pada pelapis kita kelak.
PENDIDIKAN DAN PEMBINAAN GENERASI
Education should aim at the balanced growth of the the total personality
of Man through the training of Man’s spirit, intellectmthe rational self,
feelings and bodily senses. Education should therefore cater for the growth of
man in all aspects : spiritual, intellectual, imaginative, phsyical,
scientific, linguistic, both individually and collectively and motivate all
these aspects towards goodness and the attaintment of perfection.
(Recommendations of First World Conference on Muslim Education 1977)
Dunia kini sedang menghadapi krisis kemandulan pendidikan, tidak lagi
membina elemen keinsanan dan membangun potensi diri secara holistik sebaliknya
terperangkap dalam dilema bebanan pencapaian berdasarkan muntahan ilmu di atas
kertas dan diukur berdasarkan grad pencapaian. Pendidikan dilihat sebagai suatu
perkara yang membebankan, punca kepada stress dan tekanan dan membawa maut
(bunuh diri). Sampai bila pendidikan kita harus mendera nilai keinsanan
sedangkan pendidikan yang sebenarnya adalah bertujuan membangun pertumbuhan
seimbang dalam personaliti manusia sebagai makhluk yang punyai emosi dan
perasaan.
Ditambah dengan rempuhan gelombang Revolusi Perindustrian Keempat yang
dikenali sifatnya menggabungkan elemen teknologi sehingga mengganggu ruang
lingkungan fizikal, digital dan biologi. Begitu juga dengan jangkaan pendidikan
masa depan yang lebih menfokuskan kepada STEM (Sains, Tekonologi &
Matematik) dan teknikal-vokasional yang akan mengenepikan pendidikan berasaskan
social science dan liberal arts sekaligus mendampakkan krisis de-humanisasi
(nyah insanan) mengakar dalam kalangan manusia sejagat. Tidak harus dinafikan
perkembangan artificial intelligence (AI) yang dijangka terus pesat
berkembang yang mampu menggangu ekologi pendidikan manusia.
Perkara ini dibimbangi mengiakan telahan Professor Harry R. Lewis lewat
karya beliau Excellence Without Soul yang menggambarkan kekecewaan
beliau terhadap institusi Harvard yang dilanda krisis pendidikan yang
kehilangan nilai kejiwaan manusiawi.
Pendidikan Keinsanan
Pendidikan harus diberi nilai keinsanan! Saranan dan komitmen Menteri
Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh yang berusaha memanusiakan pendidikan
di era Revolusi Perindustrian Keempat haruslah disambut baik dan disokong
secara bersama. Keperluan untuk golongan intelektual dan akademik universti
untuk sama-sama merangka sebuah road-map pendidikan yang mempunyai nilai
keinsanan harus disegerakan.
Adaptasi baharu sistem pengajian tinggi negara seperti kewujudan sistem
I-CGPA yang berusaha menilai pencapaian pelajar berasakan lapan nilai holistik
iaitu knowledge, practical skills, social skills and responsibility, ethics and
values, communication, problem solving, information management dan
entrepreneurship. Juga tidak dilupakan komitmen Presiden UIAM, Tan Sri Dato Sri
Utama Dr Rais Yatim melalui pembentukan silibus “BUDI” di UIAM sebagai antara
nilai tambah buat mahasiswa dalam membangunkan karakter keinsanan.
Latar institusi pengajian tinggi negara harus bertunjangkan universiti
sebagai pusat penyempurnaan insan sebagaimana ditegaskan Dato’ Dr Siddiq Fadzil
lewat Pidato Kependidikan sempena Konvokesyen ke-19 Kolej Darul Hikmah ,
“Institusi ini harus memikul tanggungjawab
melaksanakan pendidikan keinsanan dalam erti pengembalian insan kepada
kemurniaan dan keunggulan fitri sebagai makhluk sebaik-baik kejadian (ahsani
taqwim) yang dimuliakan Allah (at-takrim al-Illahiy) dengan hembusan ruh
penciptaan-Nya. Ia telah diangkat darjatnya dengan hembusan ruh ilahin yang
kerananya para malaikat rela sujud menghormatinya.”
Menjadi Ilmuwan Ensiklopedik
Dewasa ini, ledakan maklumat yang pelbagai hingga meruntuhkan autoriti ilmu.
Sikap acuh tidak acuh dengan hanya mencari rujukan di internet semata-mata
tanpa merujuk kepada sumber berautoriti menyebabkan semakin ramai lahirnya
ilmuwan “segera” yang bercakap mengikut selera dan kemahuan mereka dan akhirnya
kian mengelirukan Umat. Oleh yang demikian, disiplin ilmu dan penumpuan kepada
kepakaran sangat penting di samping kita menyedari bahawa “autoriti ilmu” mesti
dipelihara dengan baik. Salah satu ciri penting kesarjanaan ilmuwan Islam
adalah ciri “encyclopedic” yang ada pada ilmu mereka. Mereka bukan sahaja
mempunyai kefahaman Al Quran dan Al Hadis yang kukuh, Fiqh, Syariah dan
lain-lain lagi malah menguasai ilmu-ilmu kontemporari. Penguasaan bahasa yang
pelbagai seperti bahasa arab, inggeris, turki dan lain-lain akan menyerlahkan lagi
dampak dakwah. Imam Al Ghazali antara tokoh yang menguasai pelbagai bidang.
Sarjana Muslim silam juga jelas membuktikan ciri penghayatan pengukuhan tradisi
ilmu. Dalam proses pengumpulan hadis sebagai contoh, dilakukan dengan cukup
teliti dan diperiksa hingga ke latar belakang perawi-perawinya. Begitulah dalam
pengembangan ilmu-ilmu yang lain, ciri terpenting ialah kesediaan menyelidik,
membanding, menganalisis, mengasingkan yang benar dan yang tidak benar
berdasarkan kerangka Islam dan kemudiannya barulah diterima. Atas sikap inilah
para sarjana Islam mampu memanfaatkan ilmu dan teknologi yang telah dicapai
oleh Yunani, Parsi dan India tanpa merosakkan asas falsafah yang telah dibina.
Dalam menyoroti hal ini, Almarhum Prof Ismail Faruqi berpendapat bahawa:
“Pemanfaatan dan usaha menggali khazanah tamadun
masa lampau adalah salah satu cara yang praktis dalam menimba ilmu. Para
sarjana Islam sedar akan hakikat hilangnya asas-asas kerohanian dalam tamadun
tersebut, tetapi atas kesedaran pentingnya sains yang sedia ada, para sarjana
silam cuba memanfaatkannya secara bijak, tidak sekadar menceduknya bulat-bulat
seperti yang banyak berlaku sekarang ini dalam kalangan sebahagian sarjana
Muslim terhadap tamadun Barat”
Bahasa Melayu, Tulisan Jawi dan Bahasa Inggeris
Menguasai bahasa lain memang digalakkan dalam ajaran agama. Namun demikian,
kebimbangan dalam kalangan para pencinta bahasa ialah bila mana bahasa sendiri
tenggelam disebabkan oleh sanjungan bahasa asing secara keterlaluan. Dr. Hassan
Ahmad menyifatkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai dasar adalah satu pengaruh
Barat ke atas negara untuk mengikis jati diri masyarakat. Bahasa adalah asas
pembinaan tamadun, termasuk tamadun Melayu. Menurutnya, pada hari ini pihak
yang menentukan dasar bahasa di Malaysia, misalnya, dengan bangga
mengisytiharkan bahawa mereka hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan ilmu (dalam Bahasa Inggeris) di rantau ini. Oleh sebab itu,
ratusan institusi pengajian tinggi swasta yang menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantarnya ditubuhkan begitu banyak.Akibatnya segala usaha
yang dilakukan sejak 43 tahun untuk membina dan mengembangkan korpus Bahasa
Melayu, nampaknya seakan sia-sia sahaja. Korpus ini tidak akan menjadikan
bahasa kita sebagai alat pembentuk kemajuan di rantau kita ini jika dasar
budaya bahasanya tidak jelas dan tidak tegas.
Berdasarkan pandangan ini, pernahkah kita bertanya, apakah identiti orang
Melayu.? Jati diri Melayu terletak pada bahasa dan tulisannya (jawi), namun
berapa ramaikah yang boleh membaca dan menulis jawi yang menjadi identiti asas
belia remaja Islam?
Dewasa ini, Institusi tahfiz “tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan”.
Fenomena ini dilihat suatu yang positif dan wajar diberikan perhatian yang
signifikan. Kita dikejutkan dengan kes pembakaran Maahad Tahfiz Darul Quran
Ittifaqiyah yang sangat mengusik dhamir kemanusiaan kita. Pelbagai iktibar dan
pengajaran yang dapat digarap terutama dalam keseriusan kita dalam pendidikan
dan pembinaan generasi. Institusi tahfiz yang semakin mekar tumbuh harus
dilihat bukan sekadar pada bilangan semata-mata tetapi mesti juga dilihat
daripada aspek kualiti yang diharapkan. Kualiti yang dibina hendaklah seimbang
daripada aspek idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spirtualisme.
Ciri-ciri kebitaraan ini mesti diperhalusi dan diperkemaskan melalui sistem dan
pentadbiran yang dijalankan. Kita meyakini bahawa generasi yang berkualiti dan
terpilih (sofwah al Mukhtarah) mampu dilahirkan seterusnya tampil
berjasa dan memimpin umat. Perkara berkaitan kuantiti sama sekali tidak
dikesampingkan.
Usaha yang lebih serius dan pelan yang lebih sistematik mesti terus
diberdayakan supaya mampu menghasilkan kuantiti yang ramai dan kualiti yang
terbaik. Dalam sebuah kajian ilmiah tulisan Dr Majid Irsan Kailani berjudul
“Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam”
salah faham terhadap pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi
Salahuddin al Ayyubi diberi suatu penilaian semula. Menerusi tulisannya, beliau
memperihalkan bahawa kejayaan Jurusalem ditawan generasi Salahuddin dan
penyebaran Islam bukan sahaja menjadi asbab daripada kehebatan dan ketokohan
Salahuddin dalam menyusun strategi semata-mata tetapi hakikat aturan Allah
dalam memberi kejayaan kepada perjuangan Umat Islam. Melalui dampak tarbiyah
daripada Imam al-Ghazali setelah beruzlah daripada kerajaan pimpinan Nizam
al-Muluk inilah proses kebangkitan yang diharungi menjadi saksi kepada
keperibadian generasi itu.
Dalam masa mempersiapkan generasi yang terus bangkit, madrasah tarbiyah
dibangunkan dengan iltizam beliau kerana kelemahan Umat Islam pada masa itu
akibat fanatisme mazhab dan penyimpangan falsafah. Keruntuhan ekonomi dan
masalah batiniah juga menjadi faktor kepada kejatuhan Umat Islam sekaligus
menyebabkan kelemahan kepada sosial dan politik ketika itu. Syeikh Abdul Qadir
al Jailani menggabungkan madrasah-madrasah dari tanah arab sebagai usaha
menyahut seruan itu dari tahun 546H-550H. Generasi muda seperti Salahuddin al
Ayyubi dan Nurudin Zenki yang kukuh dan seimbang dari segala aspek datang dari
madrasah-madrasah ini yang menjadi tapak kepada suatu pembangunan jiwa kepada
kejayaan Islam. Sosok hebat seperti Salahuddin al Ayyubi memberi suatu gambaran
kepada keunggulan yang telah bangkit sejak sekian lama.
PKPIM DAN POLITIK SEMASA
Mempersada Politik Kemanusiaan
MPAT 56 PKPIM hadir di tengah kecamukan perhitungan politik dan simpang
siur kekalutan dalam negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang dianggap
sebagai raja segala pilihanraya. PRU 14 yang dijangka berlaku pada bila-bila
masa, dijangka menghantarkan dalam satu kondisi yang dianggap menjadi titik
penting kewujudan negara Malaysia dalam merealisasikan wawasan 2020. Kemandulan
integriti kepimpinan dalam skandal kewangan terbesar yang melanda pimpinan
tertinggi negara, penyalahgunaan kuasa dalam institusi pentadbiran, barah salah
laku rasuah pemimpin syarikat berkaitan kerajaan, pembunuhan karakter tokoh
oposisi dan pemenjaraan tokoh reformis ke penjara, Saudara Anwar Ibrahim adalah
antara coretan sekian banyak isu yang melatari perjalanan politik tanah air
pasca pilihan raya umum ke-13. Sang kleptokrat terus tanpa peri kemanusiaan
menekan rakyat baik nelayan di Pontian, pesawah di lembah Tanjung Karang
hinggakan mahasiswa di universiti menderita dek kerana kenaikan harga barang
dan kos sara hidup yang saban hari terus meningkat. Segala peri laku salah guna
kuasa dan krisis yang melanda negara ini mengingatkan kita pada kritikan Lord
Acton, sejarahwan dan moralist Inggeris lewat surat beliau kepada Bishop Mandell
Creighton pada 1887:
"Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely.”
Kemelut yang berkecamuk dalam negara seakan satu seruan untuk gerakan
mahasiswa bersama seluruh ketumbukan rakyat meliputi politikus, sasterawan,
budayawan, civil society untuk bersama menggembleng tenaga bagi mempertahan
kestabilan negara. Hak rakyat harus dipertahankan dan tiada kompromi jika
prinsip keadilan dan kebebasan diragut para politikus. Era “authority know
everything is over” telah berakhir dan langkah membangkang tanpa alternatif
penyelesaian juga sudah pasti tidak menguntungkan rakyat.
Dr Muhammad Imarah menukilkan “kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” yang
menekan kepentingan meraikan kepelbagaian yang diadun secara harmoni dalam
konteks masyrakat plural negara. Idea ini sejajar dengan “politik powersharing”
yang mana menekan soal perkongsian kuasa antara seluruh komponen kaum dalam
negara ini untuk sama-sama menyumbang dalam usaha memajukan dan menyejahterakan
negara. Sentimen perkauman harus dijauhi bagi menjaga kestabilan dan
keharmonian masyarakat majmuk dalam negara dengan mengelakkan penggunaan
label-label seperti “Kafir Harbi”, “Apa Lagi Cina Mahu” dan apa jua langkah
provokatif yang mampu menyuntik bibit perpecahan.
Menjunjung Demokrasi Kerakyatan
Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan
menggunakan kaedah pembuangan undi melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dalam proses
memilih pihak yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Proses demokrasi
ini harus diambil serius oleh segenap masyarakat termasuklah mahasiswa yang
layak mengundi sebagai satu kewajiban dalam mencorak struktur negara ke arah
pentadbiran yang lebih baik.
PKPIM berharap medan demokrasi ulung ini tidak dikotori oleh salah laku
pilihan raya seperti penipuan undi, kewujudan pengundi hantu dan ketirisan
daftar pilihan raya yang sering kali didakwa saat berlakunya pilihan raya. SPR
sebagai sebuah badan pilihan raya bebas yang terpelihara di bawah perlembagaan
seharusnya memainkan peranan secara adil dan saksama dalam menjalankan amanah
sebagai badan yang diberi kepercayaan menyelia urusan pilihan raya.
Seterusnya, PKPIM secara tegas menolak sebarang bentuk politik wang dan
salah guna kuasa oleh mana-mana parti politik ketika pilihan raya diadakan.
Pemimpin yang punyai rekod tidak bersih seperti rasuah dan terlibat dengan
skandal penipuan seharusnya tidak dibenarkan bertanding dan tidak dipilih bagi
mewakili suara terbanyak.
Kesedaran pendidikan politik (political education) dalam kalangan
rakyat harus meningkatkan pemugaran kefahaman siasah syar’iyyah dan politik
maqasidi yang mendalam. Nilai politik berasaskan nilai kemanusiaan dengan
meletak prioriti umat sebagaimana dihuraikan secara terperinci Sheikh Dr Ahmad
Raisouni lewat karya beliau “Al-Ummah Hiya Al-Asl” sewajarnya menjadi
teras utama pemugaran politik baru.
Kebangkitan Suara Mahasiswa
Kebangkitan mahasiswa di Tanah Melayu pada penghujung abad ke-20 telah
membawa perubahan besar kepada kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dan
demokrasi. Kebangkitan mahasiswa ini membawa kepada kemunculan masyarakat
belajar (learning society) atau suatu masyarakat ilmu pengetahuan (knowledge
society) sehingga membawa kesedaran yang besar terhadap masyarakat tentang
kepentingan politik, isu semasa dan hak mereka. Hal ini telah membentuk
struktur politik dan kesedaran menguasainya di Tanah Melayu.
Dalam masyarakat ilmu pengetahuan (knowledge society), mahasiswa
dianggap sebagai masyarakat yang memiliki integriti dan intelektual yang
diharapkan untuk cakna dan peka terhadap isu semasa. Mereka juga dianggap cepat
bertindak balas terhadap segala bentuk perubahan sekali gus memberikan jawapan
terhadap persoalan yang muncul daripada kemajuan ilmu pengetahuan dan
teknologi.Sehinggakan mahasiswa di universiti pada hari ini tidak lagi dianggap
sebagai masyarakat yang hanya mendengar dan menonton isu tetapi mampu menjadi
masyarakat yang efektif (effective citizenship) yang menjadi pelaku
dalam membentuk negara dan tamadun bangsa.
Menganggapi situasi ini, PKPIM merasakan inilah detiknya suara mahasiswa
dimartabatkan kembali sebagai independent political force dan kumpulan pendesak
di jalur suara ketiga dengan menjunjung tinggi nilai kebenaran dan keadilan
demi memastikan segala kerosakan yang berlaku dalam negara tidak tinggal diam.
Keterlibatan PKPIM jelas berasaskan prinsip “non-partisan” di mana tidak
memihak kepada mana-mana parti politik sewajarnya dijadikan asas penetapan
pendirian yang akan dibuat menjelang PRU-14 nanti.
MEMBANGUN WIBAWA PKPIM DI KAMPUS
“Lain Lubuk Lain Ikannya, lain padang lain
belalangnya, lain gelanggang lain cabarannya”
Alang kepalang berbicara soal gerakan mahasiswa, lubuknya harus di
universiti. Dalam menjayakan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang diangkat
secara bersama PKPIM-ABIM WADAH, kami merasakan kebenaran pesanan Ayahanda Tuan
Haji Ahmad Azam Abdul Rahman akan keperluan untuk menjayakan kebangkitan
kolektif di semua peringkat. PKPIM berasa terpanggil bagi meretrospeksi semula
teras perjuangan di kampus sebagai bukti serius menjayakan gerakan pembaharuan
ini.
Kegencaran Dakwah dan Tarbiyah
Dakwah dan Tarbiyah serta pembangunan watak mahasiswa bitara tetap menjadi
keutamaan PKPIM dalam apa jua keadaan sekalipun. Pendekatan tarbiyah yang lebih
segar haruslah difikirkan secara bersama dalam usaha memperkukuhkan kembali
daya juang aktivis PKPIM dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat.
Tarbiyah seharusnya memfokuskan penekanan aspek keinsanan dan membangun aktivis
berjiwa ummatik yang bukan sahaja mampu memimpin dalam kalangan rakan-rakan
sejemaah namun lebih besar daripada itu mempunyai kompetensi memimpin seluruh
mahasiswa Islam dalam konteks menyebar risalah dakwah di kampus seluruh negara.
Nilai-nilai teras tarbiyah seperti usrah, tamrin dan pembugaran fikrah
jemaah wasatiy harus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan karakter generasi
yang mampu memimpin tamadun khayra ummah. Usaha ini haruslah menjadi ‘core
business’ setiap kampus dalam segenap aspek pergerakan PKPIM di tempat
masing-masing.
Pemantapan Institusi Syura Demi Kelestarian Tanzim
Peningkatan jumlah universiti baharu, kemeriahan mahasiswa ke universiti
dan penambahan peserta Perkampungan Menara Gading seharusnya dilihat sebagai
peluang terbaik bagi PKPIM menjabarkan pengaruh gerakan ke kampus universiti
awam mahupun swasta di seluruh negara. Pembentukan organisasi PKPIM secara
lestari di kampus-kampus baharu harus disegerakan sebagai bukti komitmen besar
PKPIM menjayakan misi ‘Student As The Partner of University Building’.
Tanzim PKPIM harus dikukuhkan dengan memperkasa institusi syura di peringkat
kampus dengan memanfaatkan peranan senior-senior yang bertugas sebagai ahli
akademik mahupun kakitangan universiti bagi memastikan gerakan PKPIM terus
bitara dan mekar di kampus seluruh negara.
Kampus Demokrat
Campur tangan keterlaluan elemen kepartian dalam universiti awam merupakan
malapetaka besar yang melanda semua kampus di seluruh negara. Malapetaka ini
sangat mengecewakan sepertimana yang diungkapkan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil
sebagai “politicing non-partisan institutions” telah meragut idealisme
universiti yang seharusnya bebas daripada belenggu kepartian. Oleh itu,
pembentukan amalan dan budaya demokrasi sihat di kampus merupakan satu cabaran
baru kerana perkembangan teknologi dan perhubungan telah membuka tirai baharu
dalam menghakis minat generasi muda terhadap isu politik dan sosial di kampus.
Kampus demokrasi dan pendidikan demokratik adalah komponen yang penting
dalam pergerakan progresif di kampus di mana ianya merupakan punca kepada
Pragmatism. Demokrasi di kampus tidak hanya terhad kepada prosedur normal
seperti perwakilan fakulti atau kelas atau mana-mana perjumpaan yang
demokratik, namun ianya merupakan gaya dan cara kehidupan yang terdapat dalam
diri masyarakat di kampus. Demokrasi sebenarnya lebih baik dipelajari melalui
pengamalan harian dalam kehidupan, hubungan di kampus dan di kelas kuliah.
Justeru itu, pembentukan budaya Kampus Demokrasi ini sememangnya memerlukan
masa dan pelan tindakan yang efisyen dan teratur bagi membugar budaya ini.
PKPIM mengusulkan Pelan Tindakan Menuju Kampus Demokrat berdasarkan
beberapa fasa iaitu fasa pendidikan politik, fasa latihan dan pembangunan, fasa
pembentukan budaya dan persekitaran, dan fasa amalan demokrasi di kampus. Fasa
pertama memfokuskan usaha membentuk kesedaran terhadap pentingnya politik di
kampus. Proses pendidikan politik juga merupakan asas terpenting bagi mahasiswa
untuk mengetahui secara dasar apakah pegangan sistem yang diamalkan semasa dan
mengembangkan kemahiran abad ke-21. Kepimpinan abad ke-21 mempunyai ciri yang
istemewa yang menjadikan pemimpin itu lebih kompeten, berpengetahuan dan punyai
kemahiran yang lebih berkesan. Trilling & Fadel (2009) menyatakan bahawa
ciri kepimpinan pada abad ke-21 adalah seseorang yang mempunyai fleksibiliti
dan kebolehsuaian terhadap suasana dan persekitaran yang baharu. Hal ini adalah
bertujuan untuk membolehkan seseorang itu lebih memahami suasana setempat dan
membina hubungan terhadap masyarakat sekeliling mereka disamping mampu untuk
memandu diri mereka kepada tindakan yang betul. Seseorang pemimpin pada abad
ke-21 juga seharusnya mempunyai inisiatif dan self-direction tanpa memerlukan
arahan daripada pihak yang berada di otoriti yang tertinggi (Trilling &
Fadel, 2009). Trait kepimpinan baharu seperti ini boleh diterapkan dan
dikembangkan melalui pendidikan politik yang direncanakan.
Seterusnya adalah fasa latihan dan pembangunan di mana, mahasiswa yang
telah mempunyai kesedaran politik akan diberdayakan dengan membangunkan imej
dan keterampilan mahasiswa bitara. Pelatihan dan pembangunan ini adalah usaha
memperkaya (enrichment) dan memberdaya (empowerment) bakat dan
potensi yang ada pada diri mahasiswa. Sememangnya mahasiswa yang akan menyertai
politik di dalam dan di luar kampus itu perlu mempunyai imej kepimpinan yang
unggul. Mampu untuk untuk berdepan dengan cabaran dan memberikan tindak balas
yang sesuai dengan keadaan (challenge and response).
Fasa pembentukan budaya dan persekitaran akan menfokuskan usaha mewujudkan
satu kelompok kumpulan yang dikenali sebagai kumpulan minoriti kreatif.
Kumpulan minoriti kreatif (creative minority) ini akan membawa kepada
perubahan masyarakat majority (Toynbee). Pembentukan masyarakat majoriti
melalui gerak kerja yang dilakukan oleh golongan minoriti kreatif ini adalah
melalui interaksi sosial dalam kampus. Sosiobudaya ini dibentuk oleh golongan
minoriti kreatif akan membawa kepada impak perubahan kognitif dan pelakuan
sosial; golongan yang dominan akan membentuk budaya golongan pasif dan
seterusnya membina budaya baharu terhadap perkembangan politik kampus.
Amalan demokrasi di kampus akan dapat direalisasikan apabila penglibatan
mahasiswa berlaku berasaskan etika dan pelajaran yang telah dilalui oleh mereka
melalui fasa sebelumnya. Mahasiswa perlu mempunyai pengalaman dalam memimpin,
sama ada di peringkat kampus mahupun nasional. Mahasiswa tidak seharusnya hanya
terpaku di legalisasi kampus, bahkan mahasiwa juga perlu cakna dan peduli
terhadap isu politik nasional. Politik nasional juga merupakan cerminan kepada
politik di peringkat kampus dan sebaliknya.
Universiti memainkan peranan besar terhadap landskap politik di peringkat
nasional dimana universiti seharusnya berani berdepan dengan pelbagai isu dan
dekat dengan masyarakat. Penglibatan aktif mahasiswa dalam politik nasional ini
sememangnya akan memberikan kesan dan tekanan kepada parti pemerintah dalam
pelbagai isu urus tadbir, ekonomi, mahasiswa dan sosial masyarakat. Dengan
penglibatan aktif mahasiswa ini, tekanan dapat diberikan oleh mahasiswa kepada
pemimpin yang memerintah sebagai salah satu langkah semak dan imbang (check
and balance) terhadap isu negara dan sebagai memenuhi status mahasiswa
sebagai rakan pembangunan negara.
SURVIVAL EKONOMI MAHASISWA
Kini, kita berdepan dengan fenomena “kemunduran ekonomi seiring keruntuhan
manusiawi”. Frasa “mahasiswa lapar” antara yang sering kedengaran di telinga
kita. Dalam kegigihan belajar menuntut ilmu, bebanan kewangan ini mengheret
mahasiswa untuk melakukan pelbagai kerja demi “survival” mereka di universiti.
Beberapa cadangan yang kami lihat boleh dilakukan sebagai alternatif
mengurangkan bebanan ini. PKPIM perlu berusaha meluaskan kempen kesedaran
tentang keperluan berjimat cermat kepada para mahasiswa.
Selain itu, projek MBM in Business (MIB) yang digerakkan oleh Majlis Belia
Malaysia (MBM) perlu disahut dan dilaksanakan sebagai medan pelatihan terbaik
dalam bidang keusahawanan. Generasi “startup” boleh dibentuk dalam menjayakan
inovasi sosial menjadi realiti.
Bengkel dan seminar pengurusan kewangan yang berkesan boleh diadakan untuk
membantu dan membimbing anak muda dan mahasiswa menguruskan kewangan dengan
baik. Kita memahami realiti kesukaran ini, dan harus berganding bahu
menyediakan solusi yang sesuai dan bijak.
PEMBERDAYAAN HEWI
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ
الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ
مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ
بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah
menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan
isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan
perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan)
nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan
silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
(Surah al-Nisa’ Ayat 1)
Maksud Firman Allah SWT di atas menunjukkan Allah menjadikan manusia lelaki
dan perempuan bermula dari tanah kemudian dijadikan dari rusuk kiri Adam dan
kemudian darinya berkembang biak ke seluruh alam dengan berbagai warna dan
rupa. Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas diterangkan bahawa bahagian diri Adam
yang dijadikan untuk tubuh isterinya ialah satu dari tulang rusuknya. Namun,
apa yang perlu ditekankan di sini jelas tercipta perbezaan antara lelaki dan
wanita baik dari rupa bentuk, tanggungjawab dan pembahagian tugas dalam
kehidupan ini. Tidak dapat dipertikai bahawa perbezaan ini adalah sunnatullah
yang tidak boleh ditolak dan diubah.
Jika kita telusuri kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam sama ada di
peradaban Rom, Greek, Yahudi dan zaman jahiliyyah, wanita dipandang sangat
rendah, hina dan terbiar dalam masyarakat. Yunani meskipun dikatakan mempunyai
peradaban yang tinggi dalam bidang falsafah tetapi kaum wanita diperlakukan
seperti barang dagangan. Bermula zaman Rasulullah SAW lagi, telah kedengaran
suara-suara lantang yang menuntut supaya diberikan beberapa hak, keistimewaan
dan peluang yang sama kepada kaum wanita. Perkara ini dirakamkan dalam suatu
peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibni ‘Abdul Bar yang menceritakan bagaimana
suatu ketika Asma’ Yazid Assakani seorang mujahidah yang memiliki keperibadian
yang kental dan dipercayai oleh kaum muslimah, mewakili kaum wanita untuk
melafazkan cetusan rasa kurang puas hati kaum wanita terhadap persoalan
penglibatan dan ganjaran memperjuangkan Islam.
Di Barat, wanita terdorong untuk bangkit lantaran rasa tersisih dan
tertekan dalam masyarakat. Disebabkan itu, beberapa pihak didesak dengan
tuntutan untuk membebaskan diri dari apa yang dianggap sebagai situasi yang
mengongkong perkembangan peribadi wanita dan pemupukan hasrat mendapatkan hak
dan peluang yang lebih bagi perempuan dalam semua sektor kehidupan. Penonjolan
idea emansipasi oleh tokoh-tokoh wanita tempatan sendiri menjadi pembuktian
masyarakat kita terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita di Barat lantas
menyerupai kehidupan wanita-wanita di Barat. Sejarah telah menggambarkan bahawa
wanita telah dipergunakan untuk menegakkan sesuatu ideologi. Klara Zelkin,
seorang sosialis German telah membuat suatu doktrin bahawa, “real freedom for
women is possible only through Communism”. Wanita telah digunakan sebagai agen
untuk merubah sejarah bangsa dengan menegakkan ideologi Komunis. Selain itu,
menerusi penulisan-penulisan Mary Wollstonecraft (A Vindication of the Rights
of Women) dan John Stuart Mill (The Subjection Of Women) telah memperlihatkan
perjuangan membebaskan wanita telah menerima galakan yang istimewa. Islam ialah
agama yang memberi kebebasan akan tetapi pembebasan yang dianjurkan oleh Islam
mempunyai pengertian yang khas.
الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ
الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلا جُهْدَهُمْ
فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka
(adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh
(mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat,
menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan
diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah Al-Taubah Ayat 71)
Ayat ini jelas memaparkan bahawa setiap wanita Islam harus menjadi manusia
yang memiliki peranan dalam masyarakat. Wanita Islam mestilah menjadi wanita
mujahidah, juga wanita harakah yang sentiasa bersedia menyahut panggilan
perjuangan demi masa depan Islam dan cita-cita Islamiyyah. Namun begitu, sejauh
mana wanita Islam mampu menggerakkan agenda besar ini dan menggerakkan
usaha-usaha dakwah, amar makruf dan nahyi ‘ani al-munkar? Wanita yang
mempunyai cita-cita dan idealisme yang jelas tidak akan memberi alasan mengapa
mereka tidak boleh mengikut pejuang-pejuang wanita pada zaman Rasulullah yang
menanggung perit dan pedih semata mata untuk memperjuangkan agama Allah SWT.
Dalam mendepani arus globalisasi yang kian mencabar kini, Majlis Hal Ehwal
Siswi Kebangsaan (MHK) mengambil pendekatan untuk mengakar dalam masyarakat.
Hewi PKPIM telah menggerakkan beberapa produk dan projek bagi memberdaya ahli
Hewi PKPIM di samping usaha dalam menangani isu sosial yang semakin membarah
dalam negara. Wanita sendiri berperanan dalam membasmi masalah keruntuhan
akhlak. Justeru, Remaja Sahsiah Berkualiti (ReS-Q) merupakan produk HEWI PKPIM
yang memberi penekanan terhadap masalah sosial serta keselamatan remaja secara
jasmani dan rohani. Modul ResQ telah dimurnikan menggunakan konsep Rabbani dan
Qur’ani yang lebih diperlukan oleh generasi masa kini. ReS-Q telah berjaya
dilaksanakan di beberapa buah sekolah dan diharapkan program ini dapat
disampaikan kepada masyarakat dengan cara yang paling berhikmah dan terbaik.
Seterusnya projek Ketika Hewi Berbicara (KHB) mensasarkan untuk tampil dan
memperlihat sosok keyakinan para Hewi PKPIM berbicara di khalayak ramai.
Kemahiran pengucapan awam ini merupakan salah satu kemahiran yang amat
diperlukan oleh setiap ahli PKPIM terutamanya muslimah dalam melontarkan hujah,
pandangan, serta idea dalam setiap perkara. Selain itu, KHB adalah ruang
melahirkan Hewi yang responsif akan isu semasa negara. Gelombang KHB yang
pertama telah disambut baik oleh semua Kampus dan Badan Gabungan Negeri.
Tidak dapat dinafikan lagi, tugas memperkasa masyarakat bukan sahaja tugas
eksklusif mana-mana pihak, tetapi adalah tugas yang perlu dijalankan peranannya
secara bersama. Hewi adalah komponen yang penting dalam gerakan PKPIM secara
keseluruhannya sama ada di hadapan atau belakang tabir. Sebaliknya, betapa
besar dan kecilnya peranan wanita dalam membentuk sejarah sesuatu ummah itu
bergantung kepada peranan dan peluang yang diberikan kepada wanita. Wanita
harus melibatkan diri dalam kerja-kerja menyusun Tanzim, Jama’ah, , Jihadiyah
dan sebagainya. MHK mengharapkan Hewi di peringkat Kampus mahupun Badan
Gabungan Negeri mampu bergerak secara kolektif dalam menggerakkan projek dan
produk MHK. Hasrat MHK adalah untuk melihat sosok kepimpinan ahli siswi semakin
diberdayakan sehingga keberadaannya dirasai . Justeru itu, sebagai sebuah
gerakan pelajar yang unik dan besar di Malaysia, peranan Hewi PKPIM yang lebih
dinamik dan proaktif akan memberikan kesan yang besar kepada PKPIM khususnya.
Dengan itu juga, pemberdayaan Hewi dari segenap sudut perlu dipergiat lagi bagi
merealisasikan misi kebangkitan Islam Jilid kedua. Pemberdayaan yang
dimaksudkan ialah bagaimana potensi Hewi dapat digembeling sepenuhnya dari
aspek idealisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme.
MUHASABAH GERAKAN
Antara sikap terpuji bagi sang pejuang ialah sedia mengakui kelemahan dan
sedia memaafkan kesalahan orang lain. Perjalanan panjang dalam perjuangan
dakwah memerlukan sang pejuang senantiasa bermuhasabah dan menilai prestasi
“amal islami” seharian agar ada peningkatan untuk lanjutan hari-hari seterusnya.
Kita sedar bahawa kewujudan keluarga besar jamaah WADAH-ABIM-PKPIM membentuk
kekuatan antara setiap generasi. Walau bagaimanapun, kita harus senantiasa
punyai inisiatif untuk menyampaikan kefahaman yang tepat tentang peranan
ketiga-tiga entiti gerakan ini terutama kepada generasi baharu dan yang baru
mengenali jamaah. Kefahaman yang sebenar sangat penting supaya mereka
menghargai dan memahami aspirasi sebenar yang diperjuangkan oleh
WADAH-ABIM-PKPIM terutama dalam realiti semasa yang kian rencam.
Kita harus meyakini potensi, keupayaan dan bakat setiap ahli kita. Mengakui
kelemahan sesuatu perkara adalah sikap yang terpuji tetapi janganlah terlalu
membicarakan kelemahan seolah-olah tiada harapan sedangkan kita meyakini sinar
kebangkitan akan terus menyala. Manfaatkan setiap kepakaran antara kita sebaik
mungkin untuk menatijahkan kebitaraan dalam bidang-bidang yang difokuskan. Ayuh
kita menghimbau perjalanan hidup seorang tokoh, Malcolm X yang bermula daripada
seorang penjenayah dan pelbagai gelaran buruk yang dihalakan kepadanya, tetapi
dengan sinar Islam dan kesantunan pendakwah yang datang kepadanya berjaya
membentuk karakter beliau sebagai seorang yang sangat komited dengan ajaran
Islam dan menjadi teladan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin dalam lingkungan
masyarakatnya.
Berdepan dengan pelbagai ujian dalam dakwah, penat lelah dan sebagainya,
yakinlah bahawa itu semua adalah lumrah bagi kehidupan seorang pendakwah. Oleh
yang demikian, yakinlah dengan janji-janji Allah agar kita terus bersemangat
dan tidak lesu di medan yang teruji.
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ
وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ
فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ
الْعَظِيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa
mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh
Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka
ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai
janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan
Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya
daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual
belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah
kemenangan yang besar.
(Surah al-Taubah Ayat 111)
Keseriusan dalam hal pendidikan dan keilmuan perlu dititikberatkan. Ini
memberi kesan besar kepada generasi penerus perjuangan sebagai bekalan dan
persiapan mendatang termasuk menjawab persoalan-persoalan yang melingkari umat.
Budaya membaca secara kritis dan analitikal perlu dilakukan dengan lebih
serius. Pentarbiyahan generasi juga antara sesuatu yang bersifat proses jangka
masa panjang. Kita mesti menyedari bahawa yang dididik dan ditarbiyah itu
adalah manusia dan proses memanusiakan manusia perlukan kesabaran, kecekalan
dan keikhlasan. Para Nuqaba’ yang memimpin ahlinya perlu berjiwa besar, tidak
mudah kecewa dan tidak berputus asa untuk terus komited walaupun berdepan
dengan pelbagai ujian. Berbekal dengan iltizam, semangat yang jitu dan
perencanaan yang lebih tersusun, agenda mencetak kader dan generasi penerus
dakwah akan dapat dihasilkan dengan terbaik.
Akhlak dan adab melambangkan karakter kita sebagai seorang pendakwah. Dalam
berdepan perbezaan pandangan perlu diurus dengan bijaksana. Almarhum Syeikh
Taha Jabir al Alwani dalam bukunya “Adab al Ikhtilaf fi al Islam”
merumuskan beberapa etika perbezaan pendapat. Antarnya ialah:
1. Sikap positif terhadap perbezaan pendapat terutamanya yang bersifat ta’wil.
2. Sentiasa mengamalkan sikap berbaik sangka (husnu al dzan) dan
mengelak budaya taksub.
3. Menggunakan perkataan yang baik, mengelakkan perkataan yang kasar dan
meneliti satu-satu pemikiran dengan cermat.
4. Mengutamakan prinsip taqwa dan ukhuwah sebagai dasar tradisi ilmu.
5. Ahli ilmu dalam bidang masing-masing saling hormat menghormati antara
satu sama lain.
6. Ulama salaf yang berwibawa dalam ijtihad sentiasa dimaafkan oleh
rakannya apabila pandangannya kurang diyakini atau berlaku kesilapan.
AYUH BANGKIT, PERJUANGAN MASIH PANJANG!
Menyahut Seruan Motivasi Surah al Muzzammil dan Surah al Muddaththir
Pejuang harus mempersiapkan jiwa dan raga dalam mendepani cabaran, mehnah
dan tribulasi dalam perjuangan. Pertautan hati dengan Allah SWT sangat penting
dalam membentuk karakter dai’e yang mempuyai kekuatan spiritual yang padu. Ayuh
kita bangkitkan jiwa dengan memaknakan seruan ilahi dalam surah al Muzzammil:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ
قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلٗا
نِّصۡفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلًا
أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ
تَرۡتِيلًا
إِنَّا سَنُلۡقِي عَلَيۡكَ قَوۡلٗا ثَقِيلًا
إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِيَ أَشَدُّ وَطۡٔٗا
وَأَقۡوَمُ قِيلًا
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu
malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu
separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun
lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing
dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan
menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang
berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).
(Surah al-Muzzamil, Ayat 1-5)
Kita tidak melupakan juga bagaimana motivasi dan seruan kebangkitan dalam
surah al Muddaththir termasuk seruan bangkit dari rasa lemah, rasa hilang
motivasi dan rasa serba kekurangan dalam kehidupan. Seruan untuk bangkit dan
memberi “peringatan” ini memperlihatkan bahawa seorang pejuang dan pendakwah
itu mesti bersungguh-sungguh menghidup dan mengimarahkan waktu siang dengan
rutin ibadah sebagai khalifah yang berjasa. “Ruhban fi al Lail Wa Fursan Fi
al Nahar”- umpama rahib di malam hari, kuda yang gencar di siangnya”.
Semoga kita tetap teguh dengan prinsip, pendirian dan jati diri yang teguh
berjuang dalam medan, mengikhlaskan diri setulus dan setelusnya kepada Allah
SWT.
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (١)قُمْ فَأَنْذِرْ
(٢)وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (٣)وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (٤)وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (٥)
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan
amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah
kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala
kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
(Surah al- Muddaththir, Ayat 1-5)
Tekad Menjadi Pejuang Subuh Sejati
Sekarang kita telah jelas bahawa hanya orang yang berjaya mengalahkan musuh
batinnya sahaja (syaitan dan hawa nafsu) akan diberi kekuatan dan bantuan oleh
Allah bagi mengalahkan musuh zahirnya (Yahudi, Nasrani dan orang munafik).
Inilah kunci kejayaan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda serta para
pejuang Islam terdahulu menewaskan musuh-musuh Islam. Mana mungkin umat yang gagal
mengangkat selimut untuk bangun subuh secara berjemaah mempunyai kemampuan
untuk mengerahkan tenaga dan seluruh upayanya untuk membangunkan Islam dalam
diri, keluarga, masyarakat dan negara?
Ironinya, ramai dalam kalangan Umat Islam pada hari ini begitu bersemangat
membakar bendera Yahudi, bertempik-tempik mengutuk Israel, mengeluarkan
pelbagai resolusi dan memorandum untuk menyatakan kemarahan kepada pihak
Zionis, tetapi lemah dan tidak berdaya menzahirkan
keseriusan mereka melaksanakan solat subuh secara berjemaah.Tindakan itu
bukan sahaja kurang berkesan untuk menggerunkan musuh, malah tersasar daripada
tertib perjuangan Islam seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasullullah SAW dan
para sahabat.
Sepatutnya, agenda menggerakkan Umat Islam untuk melaksanakan Subuh secara
berjemaah, kemudian berdoa beramai-ramai atau bersendirian dengan penuh rasa
tawaduk, khusyuk, khauf (takut) dan raja’ (harap) kepada Allah
pada waktu dinihari dan awal pagi, lebih diutamakan daripada program-program
yang lain. Ya, tidak salah menyatakan kemarahan di hadapan musuh Islam dan
dunia antarabangsa atas kezaliman mereka terhadap saudara seagama, tetapi
dahulukanlah pengaduan dan pengharapan kita kepada Allah Yang Maha Esa.
Dr Raghib al Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh menukilkan
pemerhatiannya ketika berada di Amerika. Beliau menulis: “Sewaktu di
Amerika, semasa pergi dan pulang dari masjid selepas solat subuh, sekitar jam
enam pagi, di jalan-jalan utama telah dipenuhi kereta. Mereka itu orang
Kristian, Yahudi, dan Atheis. Jumlahnya tidak sedikit. Mereka bangun untuk
kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh. Hajat kemanusiaan mampu mendorong
mereka untuk bangun awal pagi. Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah
segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada awal pagi?”
Nampaknya semangat untuk bangun mengerjakan solat subuh berjemaah dalam
diri umat Islam telah dikalahkan oleh semangat inginkan kesihatan, kekayaan dan
keceriaan hidup oleh bukan Islam. Dr Raghib al Sirjani menulis lagi: “Mereka
(bukan Islam) bangun awal pagi supaya anjing mereka boleh dibawa berjalan bagi
menghirup udara segar. Bayangkan kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya
untuk bangun awal pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya
untuk bangun awal pagi?” Realitinya, Umat Islam kini semakin lupa tentang apa
yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar: “Hakikatnya kita tentera Islam
dimenangkan Allah kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi
sekirannya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?”
Carilah kekuatan di sebalik solat subuh. Umat yang menjaga solat subuh akan
teguh. Sesungguhnya antara rahsia kekuatan ummah ada pada solat Subuh
berjemaah.
KHATIMAH
Setinggi ucapan terima kasih kepada teman-teman seperjuangan menghadirkan
diri dengan semangat juang, mengorbankan sesuatu semata-mata untuk
berperanserta dalam agenda jamaah yang sangat bererti ini. Marilah sama-sama
kita rapatkan dan memperteguhkan saf PKPIM untuk terus berdaya saing, berdaya
juang dan berdaya tahan dalam perjuangan kudus ini demi merealisasikan masa
depan Islam yang lebih gemilang.
Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa!
Hidup Biar Berjasa!
Selamat bermuktamar! Allahu Akbar!
No comments:
Post a Comment