Wednesday, October 25, 2017

RAIMI: PERTEGUH TEKAD PERJUANGAN, LAKAR MASA DEPAN



MEMPERTEGUH TEKAD PERJUANGAN, MELAKAR HARAPAN MASA DEPAN      - MOHAMAD RAIMI AB RAHIM, PRESIDEN ABIM

Yang Dihormati Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman,
Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan Yang Dikasihi Dato’ Profesor Dr. Siddiq Fadzil, Ketua Majlis Istisyari Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Azam Ab.Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
Yang Berusaha Saudara Muhammad Khir Sujud, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Yang dimuliakan tetamu-tetamu kehormat,
Ahli-ahli Majlis Syura Kebangsaan (MSK),
Ahli-ahli Majlis Perundingan Kebangsaan ABIM (MPKA),
Teman-teman seperjuangan;
Saf Pimpinan dan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM peringkat Pusat,
Negeri dan Daerah, Ketua-ketua Agensi ABIM dan kaum kerabat besar pendukung Wadah-ABIM-PKPIM,
Para Petugas dan Penggerak Seminar dan Muktamar Kali Ke-46 ABIM,
Muktamirin dan Muktamirat, perserta Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam yang dirahmati Allah sekalian,

Assalamu’alaykum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi yang telah menganugerahkan kepada kita kekuatan untuk berkumpul, bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai ahli gerakan yang komited dengan perjuangan. Begitu pantas masa berlalu, kita kini berada di ambang tahun baru 1439 Hijrah dan telah meninggalkan tahun 1438 Hijrah. Bersempena sambutan 45 Tahun ABIM dalam muktamar yang lalu, kita telah meluncurkan agenda kebangkitan gerakan melalui Ucapan Dasar bertajuk ‘Mengemudi Gelombang Nahdah, Memartabatkan Khayra Ummah’. Pada muktamar kali ini, kami akan mengungkapkan halatuju gerakan ABIM melalui Ucapan Dasar yang bertajuk ‘Memperteguh Tekad Perjuangan, Melakar Harapan Masa Depan’.

Kita juga amat berbahagia kerana pada kali ini, kita berhimpun buat kesekian kalinya dalam Ijtimak Harakiy ke-5 dan bersempena dengannya, dilangsungkan Seminar Politik Islam dan Demokrasi. Insya Allah kami akan menggariskan halatuju, pendirian dan peranan gerakan ini dalam mendepani cabaran masakini sesuai dengan semangat zaman hari ini.

Sebagai awwal al khutwah, marilah kita bersama-sama memulakan muktamar ini dengan memperteguhkan kembali dhamir dan keyakinan diri yang paling mendalam terhadap garis-garis besar perjuangan sebagai sebuah harakah Islamiyyah.  

Muhasabah Gerakan

Muktamirin dan Muktamirat yang dikasihi,

Telah kita tinggalkan muktamar yang lalu berbekalkan pesan ruhaniyyah yang terkandung lewat Surah al Muzzammil. Kita pulang dengan keteguhan iltizam dan tekad yang padu untuk mempersiapkan generasi penggerak kebangkitan baru dakwah ini dengan tarbiyyah kejiwaan melalui amalan qiyamullail, dhikrul’lLah dan kesabaran. Sebagai tarbiyyah harakiah, ia membawa implikasi bahawa amalan bangkit pada malam hari – Qiyamullail; bukanlah sekadar dilaksanakan ketika tamrin atau program secara musim-musiman semata-mata.

Bahkan, latihan pengukuhan dan bekal kejiwaan ini haruslah menjadi sebati dan membudaya serta dipraktikan kehidupan harian yang tidak terpisah dari para dai’e dan keluarga warga Jamaah. Memetik pesan Dr Majdi al Hilali dalam karyanya Suwar Marfudhah Ihdzarha Akhi Ad-Daíyah; para dai’e tidak punya pilihan, melainkan menjadi ruhban al Lail di malam mempersiap bekalan ruhaniyyah, bagi melaksanakan dengan baik beban dakwah di siang harinya;


“Tidak ada alasan bagi setiap kita untuk tidak bangun malam, meski terdapat beribu-ribu beban dan kesibukan-kesibukan, ada pun kesibukan itu tidak bisa melebihi kesibukan Junjungan Rasulullah SAW yang merupakan pemimpin negara dan panglima perang. Baginda menuntaskan permasalahan yang ada, mengkaji segala permasalahan umat dan memberi nasihat serta mau’izhah buat mereka. Namun di sebalik semua itu, Rasulullah tidak pernah meninggalkan bangun malam meskipun untuk sehari. Demikianlah halnya dengan para sahabat Rasulullah, mereka tidak pernah meninggalkan bangun malam.”

Hari ini, kita hadir sekali lagi setelah setahun berlalu untuk bermuhasabah setulusnya– pada tahap manakah prestasi kita secara fardhiah sekaligus jama’iyy, dalam menghidupkan amal kerohanian yang menjadi salahsatu daripada tonggak Budaya ABIM. Perlu kita pertegaskan di kesempatan penting bermuktamar ini, bahawa gerakan ABIM sentiasa memberikan perhatian yang mendalam dan peringatan yang konsisten, terhadap kepentingan dimensi ruhaniyyah dan spiritual ini bagi setiap lapisan pimpinan serta ahlinya. Sebagai pewaris perjuangan dan pelanjut risalah Ar Rasul S.A.W bagi meneruskan misi abadi dakwah dan Islah -- tidak dapat tidak; kita harus melalui skima latihan dan mengikuti jejak yang telah dirintis Baginda SAW dan generasi al Quran yang unggul (jil al Quraniy farid). Imam Malik r.a telah mengungkapkan kaedah ini menerusi kata-katanya yang masyhur; “Orang yang terkemudian dari umat ini, sekali-kali tidak akan dapat diperbaiki, kecuali dengan cara yang sama yang telah digunakan, untuk memperbaiki generasi umat terdahulu”.

Justeru, marilah kita bersama-sama memulakan muktamar kali ini dengan satu bentuk peneguhan semula terhadap amanah dakwah yang dipikul – bahawa kerja dakwah ini memerlukan kepada keikhlasan yang semurninya kepada Allah SWT tanpa mengharapkan upah, imbalan dan ganjaran duniawi. Zaman apa pun tidak akan mengubah prinsip dakwah para anbiya’ dan mursalin ini, seperti yang diseru secara konsisten dan berulang oleh para anbiya dalam Al-Qur’an:

 وَيَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ

Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ajaranku, upahku hanyalah daripada Allah semata-mata.” (Hud: 29)

Menurut Tafsir al Munir, ungkapan kata-kata seperti ini sering diutarakan secara berulang-ulang oleh para Nabi lain setelah Nuh, seperti Hud, Soleh, Syu’aib dan Muhammad S.A.W

 “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah atas penyampaian risalah ini, kecuali kasih sayang (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kekeluargaan.”

Inilah mesej penting yang disebut dalam al Qur’an, bahawa para anbiya’ itu tidak mengharapkan apa-apa ganjaran dari hasil usaha dakwah mereka, melainkan daripada Allah SWT semata-mata. Dan prinsip serta sikap ini bukan hanya eksklusif kepada para anbiya sahaja. Inilah yang difahami dan dicontohi para sahabat seperti Amirul Mukminin Sayyidina Abu Bakr as Siddiq, tatkala mengungkapkan bahawa beliau hanyalah seorang pekerja yang berkhidmat untuk umat tanpa mengharapkan balasan dan ganjaran- “Inni ajri ummat al muslimin.”

Soal pembersihan dan pengukuhan jiwa melalui keikhlasan perlu kita titik beratkan, kerana ternyata melalui sirah, bahawa generasi sahabat yang mendapat tarbiyyah langsung daripada Rasulullah sendiri pun, tidak terlepas dari terhimbau dengan ganjaran keduniaan berupa ghanimah, tatkala diuji dalam perang Uhud. Peringatan penting ini dicatat melalui firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran 152:

 مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ

Antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia sematamata, dan antara kamu ada yang menghendaki akhirat.” Abdullah Ibnu Mas’ud menyebut perihal ayat ini. “Kami tidak mengetahui ada yang mencintai dunia sehinggalah turunnya ayat ini.”

Ayat yang berlatarbelakangkan tragedi dalam Perang Uhud ini merupakan peringatan penting kepada semua penggalas amanah dakwah dan pejuang agama Islam, untuk memperkukuh persiapan kejiwaan dengan menanamkan keikhlasan berjuang semata-mata kerana Allah, dan bukannya mengejar habuan duniawi. Sepertimana yang terjadi kepada sebahagian kumpulan pemanah sewaktu dalam Perang Uhud tersebut, kealpaan dan kesambil-lewaan kita memandang enteng dimensi Rabbaniyyah ini, bakal mengundang padah yang merugikan dan menggagalkan perjuangan ini! Inilah pengajaran penting ayat ini dari sudut hukum dan fiqh kehidupan seperti yang disimpulkan oleh Syeikh Wahbah Zuhaily:

“Allah SWT Maha benar janji-Nya untuk menolong kaum Muslimin selama mana mereka berada di atas kebenaran, dan ketika berada di medan pertempuran, mereka berjihad dengan bersungguh-sungguh, sabar, taat dan bersatu teguh. Adapun sikap pengecut, takut, lemah, bercerai-berai, perselisihan dan ketamakan kepada dunia adalah sebab kehinaan dan kekalahan”. (Tafsir al Munir)

Dalam nada yang sama, Syed Qutb memberikan peringatan penting seperti berikut:

“Hati mereka telah berbelah bahagi dan tidak lagi berpadu dalam satu barisan dan tidak lagi mempunyai matlamat yang satu. Perasaan tamak haloba telah mencemari kebersihan keikhlasan dan dedikasi yang perlu di dalam perjuangan ‘aqidah, kerana perjuangan ‘aqidah bukan seperti perjuangan-perjuangan yang lain. Ia adalah perjuangan di medan hati. Dan kemenangan tidak dapat dicapai di medan pertempuran sebelum ia dicapai di dalam perjuangan di medan hati. Ia adalah perjuangan kerana Allah dan Allah tidak memberi pertolongan di dalam perjuangan itu melainkan kepada perjuangan-perjuangan yang benar-benar ikhlas kepada-Nya… Kadang-kadang pejuang kebatilan yang terang-terang mengibarkan panji-panji kebatilan dalam setengah-setengah perjuangan telah mendapat kemenangan kerana sesuatu hikmat yang diketahui Allah, tetapi pejuang-pejuang yang mengangkat panji-panji ‘aqidah tetapi berjuang tanpa ikhlas kepada-Nya tidak akan dikurniakan Allah pertolongan kemenangan buat selama-lamanya sehingga mereka diuji dan lulus dalam ujian itu. Inilah maksud yang mahu dijelaskan oleh al-Qur’an kepada kaum Muslimin melalui ayat yang menyebut keadaan mereka dalam Peperangan Uhud itu.” (Tafsir Fi Zilal, Ali Imran: 152).

Inilah pra-syarat perjuangan para anbiya dan solihin sepanjang zaman, yang perlu dihayati dan dijadikan peringatan dari semasa ke semasa, dalam wadah yang kita cintai ini. Bekal persiapan kejiwaan yang mantap inilah yang akan memberikan daya tahan dan daya juang, mendepani mehnah dan tribulasi di medan dakwah dan perjuangan menyampaikan kebenaran Risalah. Namun, adalah menjadi jatidiri ABIM sedari awal penubuhannya, bahawa kita bukanlah gerakan rahbaniyyah yang tenggelam dalam kelazatan dunia ruhaniyyah semata-mata, lalu mengasingkan diri untuk mendepani permasalahan duniawi sebagai juru Islah, fenomena yang disinggung oleh Maulana Abul Hasan an Nadwi dalam karyanya, ‘Rabbaniyyah La Rahbaniyyah’.

Bahkan sebaliknya, seperti yang dihuraikan oleh Sa’id Hawwa lewat karyanya, ‘Kai Numdi ba’idan ‘an ittiyajadana al ‘asr’ (Agar kita tidak lari jauh daripada kehendak-kehendak semasa pada zaman kita). Penggerak harakah seharusnya berperanan sebagai kelompok rabbaniyyah yang arif tentang semangat zamannya serta berada di tengah-tengah kemelut duniawi, bagi menyampaikan amanatu’d da’wah, iaitu melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan mendidik umat, sesuai dengan keperluan zamannya.

KRISIS GLOBAL

الم
غُلِبَتِ الرُّومُ
فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ
ي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ
بِنَصْرِ اللَّهِ ۚ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
وَعْدَ اللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Alif Lam Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi).  Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Romawi)  itu bergembiralah orang-orang yang beriman, karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, (sebagai) janji yang sebenar-benarnya dari Allah.”
(Surah ar Rum: 1-6).

Dalam muktamar yang lalu, kita telah menyentuh secara mendalam beberapa trend sekaligus dampak geopolitik dunia kontemporari, yang dicirikan oleh Revolusi Perindustrian 4.0, revolusi sosial dan kebangkitan kuasa baru. Ternyata, dalam dunia hyperconnectivity, segalanya terus bergerak pantas, terlalu pantas sehingga manusia zaman  ini seringkali dicirikan oleh kepantasan tindakan refleksinya, terhadap suasana persekitaran. Dalam banyak keadaan, manusia seolah-olah tidak punya banyak masa dan ruang, untuk melakukan kontemplasi dan retrospeksi diri, lantaran dipaksa untuk membuat keputusan segera dan terburu-buru.

Dalam Age of Accelaration, speed is everything. Dalam era digital dan gajet yang serba pantas, nilai humanistik seperti kesabaran dan semakin pudar nilainya. Manusia boleh hilang sabar hanya kerana kelembapan data jalur lebar di ruang awam. Anak kecil sering memberontak dek kerana siri animasi kegemarannya, gagal dimuat turun. Di sebalik kepantasan dunia hiper realiti ini, Thomas L. Friedman, seperti yang dituangkan lewat karyanya Thank You for Being Late, menyimpulkan bahawa manusia hari ini – baik secara individu atau bermasyarakat; sebenarnya memerlukan lebih ruang dan masa untuk berfikir dan melakukan refleksi diri, terhadap persekitarannya dan setiap keputusan-keputusan penting yang dibuat di dalam kehidupan.

Dalam era ketangkasan globalisasi dan teknologi, berlaku ketidakseimbangan dalam kadar adaptasi majoriti manusia di pelbagai luahan dunia. Ia jelas memanfaatkan hanya segelintir kecil manusia yang mampu untuk adapt dan respon terhadap kepantasan tersebut, sementelahan majoriti yang lain gagal untuk beradaptasi, lantas terus jauh terpinggir dan tersisih, dalam jurang kesenjangan dan kemiskinan.

Di sebalik segelintir kisah-kisah kejayaan para CEO, enterprenuer dan innovator era Revolusi Industri 4.0 yang seringkali dipaparkan menerusi majalah korporat seperti Forbes, gelombang baru ini juga secara langsung telah mewujudkan dampak besar terhadap kehidupan generasi muda. Hakikat ini diperakui sendiri oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dalam ucapan pentingnya di Universiti Harvard pada Mei 2017:  

“But today, we have a level of wealth inequality that hurts everyone. When you don’t have the freedom to take your idea and turn it into a historic enterprise, we all lose. Right now our society is way overindexed on rewarding success and we don’t do nearly enough to make it easy for everyone to take lots of shots. Let’s face it. There is something wrong with our system when I can leave here and make billions of dollars in 10 years while millions of students can’t afford to pay off their loans, let alone start a business”.

Dalam kesenjangan kek ekonomi yang tidak rata pada ketika ini, kegagalan untuk bersaing untuk meraih kejayaan dalam kancah liberal-kapitalisme sepertimana yang sering dimomokkan, mengakibatkan manusia kini dirudung dengan tekanan emosi, kesempitan hidup dan kemarahan.

Seperti yang diamati oleh Pankaj Mishra, pada ketika ini kita sedang mendepani era Age of Anger di mana manusia berdepan dengan krisis resentment (rasa tidak puas hati yang membuak-buak) dan situasi anomie (tidak menentu) pada skala global, yang ditandai dengan berleluasanya kebencian, rasa tamak haloba, ketaksuban, fanatisme dan rasisme. Justeru gejala ekstremisme yang terzahir melalui ISIS (DAESH) misalnya, ialah manifestasi kebencian dan kemarahan terhadap dunia; yang dipersepsikan sebagai tidak adil dan saksama kepada semua manusia.

Savage violence has erupted in recent years across a broad swathe of territory: wars in Ukraine and the Middle East, suicide bombings in Belgium, Xinjiang, Nigeria and Turkey, insurgencies from Yemen to Thailand, massacres in Paris, Tunisia, Florida, Dhaka and Nice. Conventional wars between states are dwarfed by those between terrorists and counter-terrorists, insurgents and counterinsurgents; and there are also economic, financial and cyber wars, 11 wars over and through information, wars for the control of the drug wars over and through information, wars for the control of the drug trade and migration, and wars among urban militias and mafia groups. Future historians may well see such uncoordinated mayhem as commencing the third – and the longest and strangest – of all world wars: one that approximates, in its ubiquity, a global civil war. Unquestionably,
(Pankaj Mishra, Age of Anger: A History of the Present)

Salah-satu manifestasi penting berleluasanya sikap amarah ini, berpunca daripada apa yang diistilahkan oleh Pankaj Mishra sebagai angry tribalism dan tribalist hatred of minority. Gejolak amarah ini antara lain jelas terzahir den meningkatnya fenomena politik populisme, yang disemarakkan oleh demagog seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Gelombang amarah ini terus disemarakkan ke seluruh dunia oleh para politikus demagog seangkatan dengannya. Walhasilnya, api kebencian mula membakar dan memerangkap kita di dalam lingkaran radically insecure world.

Dampak penting daripada dua supertrend yang mencirikan semangat zaman ini – acceleration dan anger; ialah semakin terserlahnya jurang dan kesenjangan kelompok elit vis-à-vis massa, merentas batas geografi. Dalam susuk Donald Trump misalnya, elit penguasa telah menyatu bersama dengan elit ekonomi, membina satu persekongkolan ampuh untuk mendepani rakyat terbanyak. Ini sekaligus telah merubah samasekali makna di sebalik, batas yang membentuk sempadan etika politik yang berasaskan pengasingan kuasa. Susulan dari itu tercetuslah apa yang diistilahkan oleh Naomi Klein sebagai New Shock Politics – sejenis gerakan baru politik pemerintah yang menggunakan taktik kejutan merangkumi apa saja - politik, ekonomi, sosial, bahkan malapetaka.

Amalan shock politics ini telah menimbulkan satu suasana yang penuh dengan kejutan, kekeliruan, ketakutan dan kebergantungan rakyat kepada pemerintah, yang kemudiannya menjustifikasikan setiap perampokan ke atas khazanah negara atas nama pertumbuhan yang “indah”: pertubuhan ekonomi, kemajuan, keamanan, keharmonian dan perpaduan. Matlamat akhir orde baru shock politics ala-Trump ini, ialah untuk menggandakan semaksimanya, laba dan kekayaan hanya dalam kalangan kelompok 1% elit pemerintah dan pedagang, selagi mana mereka memegang tampuk kekuasaan.

Obsesi pimpinan dunia terhadap politik domestik dan afiliasi orde geopolitik global kini sedang bergerak dari wacana adikuasa Amerika Syarikat, ke arah kuasa baru, dengan China-Russia sebagai alternatif yang bakal mengeheret dunia ke kancah konflik yang lebih melukakan. Pertimbangan politik realisme telah menjadi dominan dalam percaturan global hari ini. Sayugia, dunia semakin hilang keyakinan terhadap kredibiliti dan kemampuan PBB dan agensi antarabangsa yang bernaung di bawahnya, untuk menangani atau menyelesaikan krisis; pelarian dan migrasi, pemerkosaan alam sekitar, terrorisme, kemiskinan, kesenjangan ekonomi dan pelbagai kemelaratan yang sedang melanda dunia.


Impak gerak kerja bagi menjayakan sasaran dunia menjelang 2030 - Sustainable Development Goals (SDGs) seperti no poverty dan zero hunger, hanya tampak cantik di atas lembaran kertas progress report, berbanding impak langsung yang dijelmakan di lapangan. Hakikat real politiknya, misi murni menggapai keamanan dunia terus menerus dipungkiri dan disabotaj oleh veto kuasa-kuasa besar, yang kemaruk mengejar new populism. Hal ini dapat dilihat seperti rentetan pengunduran Amerika Syarikat, dari perjanjian alam sekitar Accord de Paris, dan buntunya penyelesaian krisis Syria yang masih berpanjangan, di Majlis Keselamatan PBB.

DUNIA ISLAM

Sementelahan, dunia Islam terus-menerus ditandai dengan konflik berpanjangan dan ketandusan kepimpinan kolektif, untuk menangani permasalahan ummah. Tahun ini, genaplah 48 Tahun Sidang Kemuncak Negara Islam (OIC) yang ditubuhkan, rentetan dengan peristiwa kebakaran Masjid al Aqsa pada tahun 1969. Malangnya, pertubuhan tersebut hanyalah watak sampingan yang kelihatan tidak relevan, baik dalam proses diplomasi mahupun advokasi ke arah membebaskan Al Quds dan Palestin, daripada cengkaman dan kezaliman rejim Zionis Israel. Krisis pembantaian etnik Rohingya di Arakan, Burma juga merupakan batu uji yang penting bagi kesatuan negara Islam, khususnya negara majoriti Muslim yang berada dalam kesatuan ASEAN.

Langkah-langkah lebih drastik dan tegas harus dilaksanakan. Tidak memadai kita berpuas hati dengan sekadar berhimpun dan menghantar bantuan kemanusiaan secara musim-musiman. Kita tidak boleh lagi bersikap talam dua muka; mengkritik dan menghentam pada siang hari, dan bermain bola sepak pada malam harinya. Sukan bukan sekadar wahana perpaduan. Sukan juga berperanan sebagai wadah pernyataan sikap. Amalan boikot merupakan salah-satu intrumen protes dan diplomasi yang bagi sebuah negara yang terhormat dan bermaruah!

Sementelah, pasca lawatan Trump di Arab Saudi pada Mei lalu, negara-negara Teluk telah mengambil pendirian drastik, untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Qatar. Negara tersebut didakwa mendanai dan melindungi pemimpin pengganas dan menyebarkan berita palsu, menerusi rangkaian penyiaran Al Jazeera. Krisis terbaru negara Teluk yang memperlihatkan peranan utama Arab Saudi melalui Menteri Luarnya, Adel Al Jubeir, merupakan perkembangan baru, yang sekadar mengeruhkan lagi kemelut yang sedia ada melanda dunia Islam.

Pasca Arab Spring, sebilangan penguasa Arab terus-menerus menzalimi, memenjara dan memburu saki-baki tokoh gerakan Islam dan pembebasan, yang dijustifikasikan dengan “kesalahan” menyokong kumpulan militan, dan terlibat dengan aktiviti keganasan. Dengan mengambil kira perkembangan; amatlah penting untuk gerakan Islam bernuansa ummatik seperti ABIM, memanfaatkan kesempatan bermuktamar ini, untuk berhenti sejenak dan bermuhasabah, menilai secara komprehensif persekitaran dan cabaran kontemporari pada peringkat global dalam menentukan hala tuju organisasi, merancang strategi dan menyusun awlawiyyat harakah.

Dalam perkembangan dunia yang serba tangkas dan semarak api kebencian yang menjulang tinggi, ABIM harus tampil secara rasional, moderat, praktikal dan berhikmah, agar tidak terperangkap dengan gejala isti’jal yang membinasakan, mahupun sikap ghuluw yang boleh membakar tali persaudaraan. Sebagai gerakan yang memperjuangkan kemaslahatan umat, ABIM akan terus bercitra ummatik dan berperanan secara aktif, membela kelompok tertindas, dan menyebarkan rahmat Islam di ceruk mana sekalipun mereka berada, tanpa mengenal sempadan nation state dan birthism yang telah membataskan ukhuwwah insaniyyah dan menyemai kebencian. Dalam hal ini, ABIM akan terus memperkukuh rangkaian gerakan antarabangsa sebagai the third force; dalam menjayakan advokasi, diplomasi dan misi kemanusiaan.

GERAKAN ISLAM, POLITIK DAN DEMOKRASI
Hubungan antara gerakan Islam, politik dan demokrasi, telah menjadi tumpuan para pengkaji dan pemerhati politik semenjak sekian lama. Setelah hampir setengah abad semenjak era kebangkitan Islam tahun 1970-an berlangsung, dunia telah menyaksikan pelbagai detik dan fasa penting membabitkan perkembangan gerakan Islam sejagat. Menurut Hamid dan McCants dalam karya terbaru mereka Rethinking Political Islam (2017), gerakan Islam arus perdana pada saat ini sedang berdepan dengan beberapa persoalan mendasar yang menuntut rethinking - penilaian semula asas-asas penting, yang selama ini menjadi tunjang kepada orientasi dan pendekatan gerakan Islam, dalam melaksanakan politik perubahan:

“The ‘twin shocks’ of the Egyptian coup and the rise of the Islamic State have challenged conventional wisdom on political Islam, leading some academics ad policy-makers, as well as Islamists, to rethink basic assumption about Islamist movements. The question raised by the twin shocks were particularly pointed for mainstream Islamist who followed the rules of the electoral game but failed to see their agenda implemented as quickly or comprehensively as the Islamic State’s. Was the lesson to push for more comprehensive change? Was is to make further compromises and concessions? Or was it to abandon electoral politics altogether?”

Walaupun kesimpulan umum yang dibuat merentas 12 buah negara tersebut – meliputi benua Asia Barat merentas benua Indo-Pak, dan rantau Melayu dengan variasi lokal dan relativiti sosio-budaya yang pelbagai, sukar untuk menafikan bahawa proses rethinking yang menjadi thesis utama kajian ini merupakan persoalan fundamental yang melingkari hubungan antara gerakan Islam, politik dan demokrasi.

Walaupun tidak menerima kesan langsung kesan pembantaian fizikal dan pasungan pemerintah pasca Arab Spring seperti yang dialami oleh Jamaat-e Islami Bangladesh dan India dan di benua Indo-Pak, gerakan Islam di Asia Tenggara bergelut dengan berkembangnya gejala radikalisme dan ektremisme yang terkait dengan ISIS seperti yang dilihat di Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Seperti yang diamati oleh banyak pengkaji ; Esposito et.al 2016, Cesari, 2016, Azhar Ibrahim, 2004 dan Shadi, 2017), antara sumbangan  dan keberhasilan utama gerakan dan organisasi Islam di Malaysia dan Indonesia ini ialah normalisasi dan birokratisasi wacana Islam dalam hubungan antara pemerintah dan rakyat.

Dalam kata lain, semarak wa’yu al Islamiy dan agenda Islamisasi yang direkayasa oleh gerakan Islam seperti ABIM, telah berhasil meletakkan agenda Islam sebagai faktor pertimbangan penting, tanpa dikesampingkan dan proses penggubalan dasar, perlaksanaan polisi dan pembangunan negara, dan tidak terkesan dengan percaturan populariti politik pihak tertentu.

Dari perspektif ini, pemerhati menyimpulkan bahawa proses Islamisasi dalam pemerintahan negara yang dicetuskan oleh gerakan Islam di Malaysia khususnya ABIM, telah kemudiannya diterima dan diaplikasikan, dalam dasar dan polisi kenegaraan di Malaysia. Namun seperti yang diamati oleh Joceyln Cesari, agenda Islamisasi telah di‘hijacked’ di bawah birokrasi keagamaan di dalam pemerintahan, yang merubah wajah Islamisasi menjadi rigid dan birokratik. Fenomena Twinshocks, walaupun tidak memberikan kesan langsung kepada gerakan Islam di Asia Tenggara, turut menyumbang kepada perubahan pendirian dan kecenderungan politik sebahagian gerakan Islam di seluruh dunia. Sebagai contoh ada gerakan Islam yang mengambil pendekatan berkongsi kuasa, seperti di Tunisia dan di sebahagian tempat lain, mengambil sikap dan pendirian politik yang lebih condong menyokong dan bersama-sama dasar pemerintah, bagi mengelakkan tekanan.

Di beberapa tempat lain seperti Jordan pula, telah timbul konflik di dalam kalangan gerakan Islam dalam menentukan sikap dan kerjasama terhadap pemerintah. Seperti yang diamati oleh Syekh ‘Ali Al-Qaradhagi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Antarabangsa, di mana beliau mengatakan kini telah berkembangnya apa yang dimaksudkan dengan fenomena pertembungan dan pembantaian sesama golongan Islamis (dorbul islamiyyin bi’l islamiyyin) ketika menanggapi landskap politik semasa.

Sepanjang penubuhan ABIM; kita tetap konsisten mengekalkan teras dakwah walaupun terpaksa mendepani pelbagai polemik politik. Ini telah dicermati oleh Prof. Dr. Shaharudin Badarudin (2016), yang mengatakan bahawa sikap dan pendirian ABIM terhadap politik amat konsisten sejak dari awal penubuhannya.

“Dalam aksi politik dakwah sepanjang sejarahnya, ABIM telah menggunakan beberapa prinsip dakwah dan tarbiah sebagai asas kepada perjuangannya dan ini bermakna bahawa segala persoalan, cabaran, krisis dan kemelut kemanusiaan terutamanya yang menyentuh soal politik mestilah ditangani dari kaca mata pendakwah dan mengikut prinsip-prinsip dakwah yang sejati.”

Antara ciri-ciri tersebut sepertimana yang dinyatakan beliau ialah pendekatan keMalaysiaan ABIM - Manhaj Maliziy; yakni dasar tidak berparti (non-partisan) dan tampil sebagai kekuatan politik yang bebas (independent political force), yang mana dalam erti kata lain: ABIM berperanan secara aktif dalam proses politik kenegaraan, tanpa perlu menjadi mahupun berpihak pada parti politik tertentu. Sebagai sebuah gerakan non-partisan, ABIM tidak akan tunduk dengan mana-mana parti politik.

Namun, sebagai sebuah gerakan Islah dan pencerahan umat, ABIM sentiasa berpartisipasi dalam proses politik, selari dengan kefahaman yang jelas, bahawa Islam sebagai satu sistem yang menyeluruh yang merangkumi segenap aspek (termasuk politik), yang merupakan suatu elemen penting dalam agama.

Namun begitu, dalam melihat pendekatan politik dakwah, ABIM berpandangan bahawa penglibatan dalam sistem pilihanraya bukanlah uslub asasi atau tugas utama (jawhar al amal), tetapi hanyalah sebagai tugas kedua (umur janibiyah). Seperti yang dipertegaskan oleh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di dalam Ucapan Dasar Presiden ABIM aktiviti politik tidak boleh mengatasi kepentingan gerakan Islam dan tugas utama Islam itu sendiri. Seperti yang diungkapkan oleh Syekh Abdullah Bin Bayyah, “sekiranya perkataan agama itu bermaksud suatu sistem umum untuk memelihara lima fakulti: agama, nyawa harta, keturunan dan akal; maka inilah politiknya.”


Dalam konteks dan kefahaman inilah, maka ABIM mengutamakan dakwah dalam pendekatan dan partisipasi politiknya; ‘berdakwah di jalur politik, berpolitik di jalur dakwah” – satu bentuk ungkapan serta pendekatan yang dipopular dan dipraktikkan oleh Bapak Muhammad Natsir di Indonesia. Dari sudut sisi lain, Islam itu bersifat demokrasi dengan erti bahawa Islam itu bersifat anti-Istibdad, anti absolutisme, anti sewenang-wenang.

Secara lebih mendalam, Pak Natsir mengatakan bahawa ia tidak melihat adanya perbedaan antara “Demokrasi Barat dengan Demokrasi Timur” seperti yang dikatakan Presiden Sukarno. Tetapi, yang ada hanyalah “Demokrasi” dan “Bukan Demokrasi”. Penyimpangan dalam pelaksanaan demokrasi menurut Natsir tidak terletak pada sistem, melainkan terletak pada manusia-manusia pelaku politik, yang tidak pandai meletakkan kepentingan negara dan kepentingan bersama di atas kepentingan golongan dan pribadinya sendiri.

Ujar Natsir, pelaku-pelaku politik itu telah mengabaikan moral politik, idealism, batas-batas antara yang hak dengan yang batil serta ukuran-ukuran yang objektif tentang keadilan. Bertitik tolak dari ini; dalam muktamar sanawi yang lalu, telah kita tekankan sokongan dan komitmen kita terhadap gagasan kontemporari Muslim Demokrat, satu gagasan pemikiran siyasah yang mendukung wawasan siyasah Islamiyyah, serta sekaligus mendukung amalan demokratik. Gagasan Muslim Demokrat menuntut umat Islam untuk tampil mendepani cabaran politik semasa, sepertimana yang dinukilkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam ucaptamanya bersempena dengan penganjuran World Forum of Muslim Democrats di Tokyo tahun lalu:

“Demokrat Muslim mesti menjadi suara jurubicara nurani koheren di tengah-tengah kancah kekeliruan (deficit demokrasi) yang menyelubungi ini. Suara yang jelas terang benderang dengan analisis kritikal mengutuk kemelampauan fanatik dan juga regim-regim (kleptokrat dan autokrat)”.

DEMOKRASI VS KLEPTOKRASI

Dengan merudumnya amalan dan institusi demokrasi di pelbagai belahan dunia seperti yang diamati oleh Larry Diamond (2015) dan Francis Fukuyama (2014), satu dinamika baru telah muncul dalam politik dunia. Seiring dengan semaraknya trend Populisme Baru dan kebangkitan Nasionalisme Baru pada skala global, dunia turut menyaksikan berkembangnya amalan kleptokrasi yang dilihat sebagai ancaman besar kepada demokrasi dan pemusnah pembangunan negara.

Istilah ‘kleptocracy’ yang mula diperkenalkan dalam literatur politik seawal tahun 1819 oleh Leigh Hunt dan dipopularkan oleh Stanislav Andreski sekitar tahun 1960an merujuk kepada rule by thieves – pemerintahan para maling yang merujuk kepada sebuah bentuk pemerintahan yang merompak hasil kekayaan negara untuk memperkaya diri sendiri dan kelompok tertentu.

Kamus Cambridge mendefinasikan ‘kleptocracy’ sebagai: ‘a society whose leaders make themselves rich and powerful by stealing from the rest of the people.’ Justeru, kleptokrasi ialah keadaan di mana sesebuah masyarakat itu dipimpin oleh kelompok yang memperkayakan diri dan memperkukuhkan cengkaman kekuasaannya, hasil khazanah kekayaan negara yang dicuri dari tangan sekalian rakyat.

Maka, pemimpin kleptokrat ini selayaknya digelar pencuri seperti yang didefinasikan oleh Kamus Oxford English Dictionary sebagai “A thief in a position of political power; a greedy or corrupt politician.” Pengarang Why Nation Fails, Daron Acemoglu dan James Robinson telah menyenaraikan seawal tahun 2004 generasi kleptokrat di negara membangun, termasuklah pemimpin Congo/Zaire, Mobutu Sese Seko, Rafael Trujillo (Dominican Republic), Duvaliers (Haiti), Somozas (Nicaragua), Idi Amin (Uganda) dan Charles Taylor (Liberia). Sementelahan, Ferdinand Marcos dan Mohammad Soeharto pula sering dirujuk sebagai simbol pemimpin kleptokrat di Asia Tenggara pada penghujung abad lalu.

Namun, pendedahan kontroversi Karen Dawisha mengenai amalan kleptokrasi di Russia sepanjang pemerintahan Vladimir Putin dalam karyanya Putin’s Kleptocracy: Who Owns Russia telah membuka mata banyak pihak, tentang ancaman bentuk baru kleptorasi yang beliau istilahkan sebagai ‘kleptocratic authoritarianism’ terhadap ekonomi, kebebasan dan institusi demokratik sesebuah negara. Putin dan rangkaian oligarki pasca-Kesatuan Soviet seperti Arkady Rotenberg, Yuri Kavalchuk, Gennady Timchenko dan Roman Abramovich, ujar Dawisha, telah melahirkan satu persengkongkolan kelompok elit penguasa dan elit ekonomi yang merompak khazanah kekayaan sumber asli Russia, dengan menguasai dan menghakmilikperibadikan asset negara tersebut, seperti syarikat minyak Gazprom dan Rosneft.

Ternyata, seperti ujar Ben Judah (2016), berbeda dengan autoritarianisme abad 20 yang berpaksikan ideologi dan amalan kuku besi melalui pemerahan keringat rakyat, ciri penting, jika tidak terpenting bagi autoritarianisme abad 21 ialah kekayaan luar biasa - excessive wealth.

Ketangkasan teknologi era globalisasi dan perkembangan industri kewangan persisir pantai, telah mempermudahkan modus operandi kleptokrat, yang memanfaat sepenuhnya era keemasan penggubahan wang haram – the golden age of money laundering;

“…Contemporary authoritarians are mostly kleptocrats.This means corruption is not a feature of their regimes, but rather the invariable nature of their rule. An unforeseen consequence of globalization is that it has never been easier to be a kleptocrat. Corruption is used to create power bases, cement regimes, forge political alliances, and eliminate foes. Amassing extraordinary levels of wealth, as both a tool and a pleasure of power, was considerably riskier in a world of segregated, more independent national financial systems. Corrupt bureaucrats today can steal immense fortunes and then launder them immediately into offshore funds, from which they can then easily sequester these assets in the West.”

Ternyata Vladimir Putin tidak bersendirian dalam rangkaian pemimpin negara yang dipimpin oleh kleptokrat. Dalam laporan bertajuk ‘The Kleptocracy Curse: Rethinking Containment’ oleh Hudson Institute (2016), Presiden Azerbaijan, Ilham Alivey, Presiden Equatorial Guinea,Teodoro Obiang dan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev telah dikenalpasti sebagai sebahagian rangkaian kleptokrat kontemporari. Melalui korupsi dan penyelewengan khazanah negara yang dijustifikasi melalui penyalagunaan kuasa, sang kleptokrat kemudiaannya melaburkan hasil rompakan tersebut melalui pembelian aset dan pelaburan, menggunakan akaun persisir pantai sebagai proksi, dalam bentuk anonymous shell company. Wang dan aset tersebut kemudiannya digubah dan ‘disucikan’, untuk dipulangkan kembali dalam bentuk keuntungan untuk dimanfaatkan oleh kleptokrat, untuk mengukuhkan cengkaman kekuasaan dalam negara melalui rasuah, pembelian undi, pemberian ‘subsidi’ dan memperkaya diri, kerabat dan apparatus.

Melalui dana gelap ini, para kleptokrat akan menguasai institusi-institusi penting yang sepatutnya menjadi pengawal kepada amalan demokratik dan menegak keadilan, lantas merubahnya menjadi institusi dan intrumen bagi menjustifikasikan amalan kleptokrasi dan meneruskan tampuk pemerintahan. Tatkala ekonomi negara semakin parah dan jurang kemiskinan terus meningkat, kelompok elit penguasa dan elit ekonomi kleptokrat terus menambah aset kekayaan di luar negara dan semakin ghairah berbelanja mewah. Dalam konteks ini, amalan kleptorasi akan sentiasa memaksimumkan risiko kerugian sesebuah Negara, sementelahan memaksimumkan keuntungan peribadi para kleptokrat.

Inilah trend dan sindrom kleptorasi yang melanda negara-negara seperti Rusia, China, Kazakhstan dan lain-lain. Menurut Kleptocracy Initiative, kleptokrasi dijangka terus bersemarak, kerana para kleptokrat dan wannabe kleptocrats, bernafsu besar di seluruh dunia. Mereka sedang dijangkiti addiction – sejenis kecanduan dan ketagihan untuk terus memanfaatkan industri gelap offshore, bagi meragut khazanah kekayaan negara, yang akan menyelamatkan mereka, hatta apabila sudah tidak lagi memegang jawatan kelak. Inilah punca yang menyumbang kepada kesenjangan kekayaan golongan 1%.

Justeru amatlah malang apabila Malaysia turut terpalit dalam lingkaran jahat global kleptoracy, melalui skandal 1MDB. Penglibatan Malaysia didedahkan melalui kajian oleh Tax Justice Network (2016), yang merekodkan bahawa sehingga 2014, sebanyak USD 12.4 trilion telah dikenalpasti berpunca dari 150 negara membangun, dan dilaburkan di industri persisir pantai.

 “Almost a third of the $12.1 trillion of poorer country flight wealth comes from Russia, China, Malaysia, Mexico, and Venezuela. Those countries are all major oil exporters, except for China.” Dalam menanggapi kleptokrasi ini, , al Quran mengisyaratkan dengan jelas agar janganlah harta berputar dalam kalangan orang kaya sahaja, lewat firman Allah SWT:

لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

“….. Supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang kaya daripada kalangan kamu.” (Surah al Hasyr: 7)

Perkara yang disebut di dalam ayat ini, memberi isyarat kepada hala tuju Syariat Islam dalam persoalan harta; bahawa harta mestilah beredar kepada semua pihak, dan diambil manfaatnya oleh semua lapisan masyarakat. Peredarannya tidak hanya terhad dalam kalangan golongan elit hartawan sahaja, sebagaimana yang berlaku di dalam sistem kapitalisme.

 Seperti yang dihuraikan oleh Syekh Yusuf al Qaradhawi di dalam kitabnya, Al Maqasid al Syariah al Muta’alaqah bi’l Mal, antara Maqasid Syariah berkaitan pembahagian harta ialah untuk mendekat jurang perbezaan antara golongan yang kaya dan para fakir miskin:

“Ajaran dan hukum hakam Islam bertujuan untuk membatasi kemerajalelaan golongan hartawan dan golongan berada di samping meninggikan tahap kehidupan para fakir miskin. Dalam kata lain, mengurangkan julat perbezaan antara kaya dan miskin dalam masyarakat.”


Malahan, Islam sangat mementingkan agar semua lapisan mayarakat memiliki peluang yang sama, malah Islam meberikan perhatian khusus terhadap jalur dan lapisan masyarakat yang lemah, yakni golongan musta’dafin. Penekanan ini amat bertepatan dengan objektif Islam terbesar dan juga Maqasid Syariah dalam pembahagian harta atau kekayaan dalam masyarakat, iaitu merealisasikan keadilan dalam pengagihannya, dalam kalangan berbagai kelompok dan individu.

Dilarang melebihkan pemberian harta kepada suatu golongan dengan membelakangkan yang lain. Tidak boleh diberi laluan atau dibuka pintu kepada sebahagian khusus, manakala untuk sebahagian yang lain pula, pintu dihalang dan ditutup!

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah An Nisa: 58)

Sebagaimana Allah memerintahkan penegakkan keadilan, begitu jugalah Allah melarang berleluasanya kezaliman:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim yang akan menyebabkan kamu dibakar api neraka, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada Allah. Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Hud: 113)

Islam melarang kezaliman, bahkan cenderung sekalipun kepada sebarang bentuk kezaliman. Namun, Islam mengetatkan lagi larangan pada kezaliman dalam urusan harta benda, melebihi kezaliman dalam hal-hal yang lain, kerana ia berkaitan rapat dengan hak-hak manusia, sehingga sebuah hadis shahih menyebut bahawa, “Orang yang mati syahid, semua dosanya diampunkan, kecuali hutang”. Sesungguhnya, hak-hak manusia ditegakkan di atas dasar perkiraan yang ketat, manakala hak-hak Allah pula dilandaskan di atas dasar toleransi dan tolak ansur (musamahah).

Isu kleptokrasi mestilah dilihat sebaga pakej lengkap hubungan kenegaraan dan masyarakat, yang merangkumi isu sosio-budaya, ekonomi, politik dan perundangan. Ia perlu dipandang serius sebagai satu proses penghakisan hak untuk membina sebuah masyarakat madani yang mapan. Amalan kezaliman dan ketidakadilan yang merebak liar boleh menyemarakkan penindasan golongan terpinggir, dan menggugat idealisme demokrasi, apatah lagi keperluan terhadap tatakelola yang baik. Kita perlukan kesungguhan serta kekuatan moral untuk berubah; bersatu menghapus dan mencegah kewujudan pepijat ekonomi yang membinasakan.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab keagamaan, untuk umat Islam menegakkan keadilan dan menentang sebarang kezaliman, dalam bentuk perampasan dan perompakan harta, oleh kelompok elit kleptokrat, yang menyedut khazanah kekayaan rakyat dan negara. Membujur lalu, melintang patah. Inilah tanggungjawab Muslim Demokrat untuk menentang Sang Kleptokrat!


GENERASI MUDA DAN POLITIK

Liputan Akhbar Wall Street’s Journal berjudul “Is Malaysia a Kleptocracy?’ pada Jun lalu sekali lagi telah menempatkan Malaysia di tengah-tengah perhatian masyarakat antarabangsa. Gelombang kejutan ekoran skandal membabitkan syarikat pelaburan 1MDB masih lagi meninggalkan kesan yang amat mendalam bekasnya pada benak sanubari rakyat Malaysia pada ketika ini. Wujud sentimen yang tinggi oleh rakyat terhadap situasi politik dan amalan demokrasi yang dilihat semakin pudar. Seperti yang diindikasikan oleh Survei Malaysia 2017: Mood Rakyat oleh Institut Darul Ehsan (IDE), 69% daripada 4486 responden yang ditemuramah memberikan persepsi bahawa skandal 1MDB telah menjejaskan reputasi kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak yang pastinya memberi kesan pula terhadap prestasi pentadbiran kerajaan persekutuan. Secara keseluruhannya, hanya 19% responden menyatakan bahawa mereka ‘berpuas hati’ terhadap situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia. Walaubagaimanapun, satu trend yang konsisten ialah merudumnya minat, kesedaran dan partisipasi politik di kalangan sebahagian besar generasi muda Malaysia.

Belia dilihat semakin menjauh daripada segala yang berbaur politik kepartaian dan sebaliknya lebih mementingkan halhal terkait survival ekonomi peribadi. Hasil survei Merdeka Centre dan Watan bagi mengukur Perspesi Belia terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa yang dibentangkan pada September 2017 mendapati bahawa 70% responden tidak berminat dengan politik sementara 66% berpendapat bahawa politikus tidak boleh dipercayai. Yang jelas nyata, wujud kecenderungan yang tinggi dikalangan anak muda (40%) untuk tidak mendaftar sebagai pengundi. Wujud kepercayaan yang menebal dikalangan belia bahawa undi mereka tidak berharga dan bakal membawa sebarang kesan terhadap keputusan pilihanraya atau kesan terhadap masa depan politik negara.

Hakikatnya, majoriti daripada 3.77 juta orang pengundi layak yang masih belum berdaftar sehingga Mac 2017 terdiri daripada generasi muda yang berumur 21 tahun. Survei Malaysia 2017 oleh IDE turut mengindikasikan bahawa tidak lama menjelang detik Pilihanraya Umum ke-14, sebanyak 50% kelompok pengundi muda berdaftar berumur 21-30 tahun masih belum membuat keputusan dan pendirian untuk memilih sesuatu parti. Hasil dapatan kajian-kajian mengenai sikap, kesedaran dan pendirian belia terhadap politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan tren yang konsisten – bahawa segmen belia terbanyak makin hilang minat terhadap politik dan isu-isu politik.

Kajian Indeks Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2015) mendapati bahawa domain sosialisi politik (perbincangan isu politik, mengikuti perkembangan politik dan penyertaaan dalam aktiviti politik) berada di kedudukan tercorot berbanding 11 domain lain yang diukur. Dengan skor 45.82, minat politik di kalangan belia Malaysia berada di tahap ‘tidak memuaskan’. Semakin jelas bahawa sebahagian besar generasi muda semakin hilang kepercayaan dan wujud keputusasaan terhadap iklim semasa politik tanahair serta harapan ke arah perubahan politik yang lebih menjanjikan manfaat buat mereka.

Tidak ada parti yang berhak menerima undi saya” merupakan antara respon yang konsisten yang diberikan oleh generasi muda, mengingatkan kita tentang slogan keramat rakyat Argentina yang membentuk blok suara ketiga sewaktu piliharanraya Presiden 2003 – “nuestras sueños no caben en sus urnas”- our dreams do not fit in their ballot boxes! Rumusan utama yang dapat dibuat hasil analisa survei dan kajian berkaitan belia ialah fakta bahawa domain utama yang menjadi keprihatinan oleh majoriti belia ialah perihal kesejahteraan ekonomi.

Isu kenaikan kos sara hidup, penggajian yang rendah, penggangguran, keberhutangan, kebankrapan, kebolehpekerjaan, masalah pemilikan rumah dan aset hartanah masa hadapan merupakan keluhan-keluhan yang saban hari diutarakan oleh generasi muda dan konsisten dicatat dalam kajian-kajian berkaitan belia dan kesejahteraan ekonomi negara (MTEM, 2015; IYRES, 2015; Rozailin & Junaidah, 2016, Merdeka Centre, 2017). Kegelisahan belia sebenarnya merupakan refleksi logikal dan semulajadi terhadap kelembapan ekonomi negara dan segala kesannya terhadap peningkatan beban kewangan dan sara hidup rakyat. Beberapa petunjuk terkini yang dikemukakan oleh Bank Negara dan Bank Dunia terhadap prestasi ekonomi amat menggusarkan. Bank Negara dalam laporannya pada Ogos 2017 menyatakan bahawa kadar inflasi menyeluruh berada pada kadar 3.7%, setelah mencatat kadar tertingginya 5.1% pada Mac 2017.

Kemerosotan nilai ringgit sebanyak 12.3% berbanding 2015 (sebelum skandal 1MDB), telah dan akan terus memberi kesan langsung kepada rakyat akibat kenaikan harga barang dan inflasi. Dengan kadar tukaran matawang Ringgit Malaysia berbanding Dolar AS terus kekal tinggi pada kadar 4.22 (Oktober 2017), pelbagai lapisan dan segmen rakyat akan terus terjejas. Lebih menghimpit, penarikan subsidi minyak dan kegagalan kerajaan pusat mengawal kenaikan harga minyak telah melonjak kenaikan kos sara hidup keseluruhan rakyat yang telah sememangnya tinggi sejak pengenalan GST pada 1 April 2015.

Bebanan hutang isi rumah yang sedang ditanggung rakyat Malaysia berbanding nisbah hutang kepada KDNK kekal pada kadar setinggi 88.4% pada penghujung tahun 2016. Terbaru, Laporan terkini Bank Dunia pada Oktober 2017 mengesahkan bahawa Malaysia dalam termasuk kalangan negara Asia Timur dan Pasifik yang mencatatkan nisbah hutang isi rumah melebihi 70% , selain Thailand. Nisbah hutang isi rumah berbanding pendapatan pula terus kekal tinggi di kalangan negara membangun dengan kadar 146%. Menurut perangkaan Majlis 29 Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), secara purata setiap rakyat Malaysia diibaratkan menanggung hutang sebanyak RM31,075. Kadar pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan menurun dalam tempoh dua tahun (2018-2019) mengikut unjuran terkini Bank Dunia, jurang kesenjangan ekonomi antara kelompok hartawan dan rakyat termiskin juga semakin meluas.

Dengan mengambil jurang perbezaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengarang The Colour of Inequality, Dr.Muhammad Abdul Khalid, menyimpulkan bahawa sememangnya wujud jurang kesenjangan pendapatan yang semakin melebar di kalangan rakyat Malaysia. Jurang yang melebar turut wujud melihat kepada data pelaburan Amanah Saham Bumiutera dengan 72% pencarum memiliki purata simpanan sebanyak RM536 sahaja di dalam akaun mereka, berbanding purata RM 725,038 yang dimiliki oleh sekelompok kecil - 0.2% -pemegang unit pelaburan tersebut.

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).”(Asy Syuraa: 30)

MALAPETAKA SOSIAL

Ketika kehidupan ekonomi rakyat semakin memprihatinkan akibat keruntuhan tatakelola yang baik, keruntuhan integriti, mewabaknya rasuah dan penyalahgunaan kuasa, negara terus dikejutkan dengan rentetan tragedi sosial dan jenayah yang menyesakkan dada. Di sebalik pelbagai kawalan perundangan dan dasar kesejahteraan sosial yang wujud, gejala fasad, kebobrokan akhlak dan perilaku jenayah yang melanda sudah sampai ke tahap yang cukup parah.

Penderaan tidak berperikemanusiaan yang mengakibatkan kematian pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia , Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 dan pelajar T.Nhaveen, 18 tahun merupakan cerminan yang menakutkan terhadap wajah generasi muda yang semakin hilang pedoman dan pertimbangan akhlakiah. Tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah Keramat yang mengorbankan 25 orang pelajar seolah mengesahkan bahawa perilaku jenayah kejam termasuk pembunuhan kini bukan lagi merupakan kes-kes terpencil. Pada tahap ini, jenayah buli, penderaan dan pembunuhan oleh remaja liar berpeleseran ibarat bom jangka yang hanya menunggu untuk meledak pada bila-bila masa.

Simptomnya sudah sering kelihatan di sekeliling kita – dari sekolah ke taman perumahan, dari gedung beli-belah di kotaraya sehinggalah ke semak samun di pedalaman desa – tanpa ada sesiapa yang berani menegur apatah lagi membimbing. Adakah ini petanda yang mengisyaratkan bahawa telah sempurnanya masyarakat kita telah menjadi individualistik yang hilang kepedulian sosial? Apakah kita telah ditimpa penyakit mati rasa hingga sanggup membiarkan anak-anak dan generasi pewaris kita hanyut bergelumang dalam kegelapan? Ke manakah perginya kelompok politikus, pendidik, para da’ie dan agamawan yang sepatutnya menghulurkan tangan menyelamatkan masa depa anak-anak ini?

Ternyata lebih banyak persoalan dari jawapan dan penyelesaian setiap kali masyarakat berdepan dengan tragedi membabitkan kebobrokan moral dan perilaku devian generasi muda hari ini. Barangkali kita tidak perlu jauh untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini, kerana anak-anak yang mentah ini tidak perlu pergi jauh untuk mentauladani kebobrokan moral. Rumah tidak lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk anak-anak. Waima ibu-bapa dan ahli keluarga juga tidak lagi dapat dipercayai oleh anak- anak sebagai pelindung dan pembela mereka. Sabitan hukuman penjara selama 48 tahun dan 24 sebatan terhadap ke atas seorang bapa durjana berumur 36 tahun yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah membuka masyarakat terhadap realiti dunia gelap penderaan dan pemerkosaan kanak-kanak yang selama ini diketengahkan oleh pejuang hak kanak-kanak dan wanita termasuk HELWA ABIM.

Keruntuhan insititusi keluarga telah hampir sempurna apabila bapa yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak remaja berumur 13 tahun telah selama beberapa tahun melakukan jenayah paling keji yang membawa kepada 623 tuduhan seksual termasuk liwat, rogol dan penganiayaan seksual. Kita yakin dan percaya bahawa ramai lagi manusia perosak seperti ini yang terus berkeliaran di negara kita dan berada di rumah-rumah yang didiami oleh anak-anak gadis yang sepatutnya mereka lindungi. Kita dapat menyepakati hakikat bahawa Malaysia kini ditimpa malapetaka sosial yang telah merobek dan sedang meruntuhkan satu persatu institusi sosial dalam masyarakat meliputi pendidikan, kekeluargaan, kejiranan, keagamaan.

MELAKAR HARAPAN MASA DEPAN

Generasi muda adalah pelakar masa hadapan umat. Generasi muda yang membawa perubahan menurut Buya Hamka adalah generasi yang mempunyai keberanian mendepani zaman, iaitu mereka yang memulakan suatu usaha yang belum pernah diusahakan; Sang Pencetus (The Initiator). Menerusi buku Generation M: Young Muslims Changing The World, Shelina Janmohamed, mengatakan bahawa generasi muda muslim (Generasi M) adalah kelompok yang paling penting dan berpengaruh. Generasi M yang dimaksud oleh Shelina adalah mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Islam tanpa mengesampingkan moderniti berbekalkan kepribadian dinamis, kreatif, dan mempunyai rasa ghairah (terhadap apa usahakan).

Justeru; kita harus meluangkan kepercayaan kepada generasi muda untuk ke hadapan melakar perubahan yang seiring dengan anjakan zaman. Generasi Perubahan? Sebagai pewaris dan pelanjut risalah nubuwwah, kita dididik agar sentiasa bersikap optimis dan tidak sama sekali berputus asa dari mengharap rahmat Allah, biar bagaimana sukar sekalipun mehnah dan tribulasi yang datang menimpa.

قَالَ وَمَنْ يَقْنَطُ مِنْ رَحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ

 “Dia (Ibrahim) berkata ‘Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah Al Hijr: 56)

Begitulah jawapan Nabi Ibrahim a.s terhadap malaikat yang mendatangainya seperti yang dinukilkan oleh Syekh Wahbah Zuhayli ketika menafsirkan ayat 56 Surah Al Hijr dalam Tafsir al Munir. Baginda ‘alaihissalam menafikan dengan tegas sikap pesimis dan putus asa dalam dirinya, bahwa sesungguhnya baginda sama sekali bukanlah orang yang berputus asa dari rahmat Allah, kerana sifat berputus asa hanyalah bagi orang yang mendustakan serta melencong jauh dari jalan kebenaran. Begitulah jualah sikap Nabi Allah Ya’kub a.s berpesan kepada anakanaknya sebelum ke Mesir bagi mencari berita tentang Yusuf a.s dan Bunyamin.

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah.” (Suruh Yusuf :87)

“Janganlah kalian berputus asa, kerana yang demikian itu dilarang oleh Allah SWT, dan tidak berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang yang kafir, iaitu orang-orang yang tidak mempercayai takdir dan tidak tahu hikmah Allah kepada hambaNya. Adapun orang Mukmin, mereka tidak pernah berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah. Mereka selalu berharap agar diberikan keluasan dan kelapangan” (Tafsir Al Munir)

Dalam menyampaikan dakwah dan misi mengeluarkan manusia keluar dari kejahilan dan kegelapan, baginda junjungan Ar Rasul SAW sendiri telah menunjukkan suri tauladan terbaik sewaktu menenangkan pertanyaan Zaid bin al Harithah setelah dakwah junjungan baginda ditolak oleh puak Bani Thaqif di Ta’if. Bagaimana hendak pulang ke Makkah pula wahai Rasulullah! Tidakkan mereka telah pulau dan halau tuan hamba?

“Wahai Zaid! Dengarlah! Sebenarnya Allah jua yang akan memberi ruang dan kelapangan dan Allah jua yang akan membantu agamaNya” (al Buti: Fiqh Sirah)

 Optimisme Dalam Waspada

Tokoh pendidik Brazil Paolo Freire merupakan tokoh yang terkehadapan dalam membincangkan pedagogi harapan dan aplikasinya dalam mendidik dan merubah masyarakat. Melalui karyanya Pedagogy of Hope (2004), Freire menegaskan bahawa kepercayaan merupakan keperluan setiap ontologi insan. Tanpa harapan, ujar Freire, manusia akan kehilangan esensi dalam kehidupanya dan bakal menepuh kekecewaan serta berputus harap tatkala berdepan dengan kesulitan.

Namun harapan sahaja tidak memadai kerana harapan terhadap perubahan memerlukan tindakan, menuntut pergorbanan dan perjuangan. “My hope is enough. Alone, it does not win. But without it, my struggle will be weak and wobbly. We need critical hope the way a fish needs unpolluted water…The idea that hope alone will transform the world, and action undertaken in that kind of naivete, is an excellent route to hopefulness, pessimism, and fatalism. But the attempt to do without hope, in the struggle to improve the world, as if that struggle could be reduced to calculated acts alone, or a pure scientific approach, is a frivolous illusion. To attempt to do without hope, which is based on the need for truth as an ethical quality of the struggle, is tantamount to denying that struggle is one of its mainstays. The essential thing, as I maintain later on, is this: hope needs practice. As ontological need, hope needs practice in order to become historical concreteness. That is why there is no hope in sheer hopefulness. The hoped-for is not attained by dint of raw hoping. Just to hope is to hope in vain.”

Harapan harus sentiasa disemarakkan dan dibajai agar hidup walaupun dalam serba kesulitan. Harapan akan paling bercahaya tatkala diselubungi mendung hitam keputus-asaan. Namun optimisme juga harus sentiasa dalam keadaan waspada. Kegagalan melaksanakan harapan yang dijanjikan bakal membawa kepada hopelessless yang kemudian akan membunuh segala saki baki benih harapan yang masih tinggal untuk menyaksikan perubahan.

When it becomes a program, hopefulness paralyzes us, immobilized us. We succumb to fatalism, and then it becomes impossible to muster the strength we absolutely need for a fierce struggle that will re-create the world”.

KEBENARAN DAN PEMBEBASAN

Tekad merealisasikan harapan dan cita-cita besar seyogia diterjemahkan dan dipersembahkan dalam satu perjuangan! Harapan yang tidak dikerjakan hanya tinggal harapan. Benar sekali ungkapan penyair W.S Rendra bahawa perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata! Dan apakah kata-kata yang lebih baik untuk menghapuskan kepalsuan dan kebathilan daripada kata-kata yang berdiri tegak atas kebenaran (al -Haqq)?

بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ۚ وَلَكُمُ الْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ
Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu mensifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya)”. (Al Anbiya: 18)

Jurjany-Al mendefiniskan  haqq sebagai “kepastian yang tidak diragukan lagi”. Al Bahiy dalam Al Islam fi Hall Mashakil al Mujtama’at al Islamiyah al Mu’asirah menyimpulkan bahawa kalimah haqq amat terkait rapat dengan keadilan dan ihsan (‘adl wa ihsan) kerana kedua-duanya merupakan matlamat pencapaian nilai yang dituju setiap kali kalimah haqq disebut di dalam Al Quran.

Begitu jugalah dapatan Hashim Kamali (1993) ketika menyimpulkan kajiannya berkaitan penggunaan kalimah Haqq dalam perundangan Islam:  

The Shari’ah tends to integrate right and obligation into the broad concepts of haqq (right) and hukm (ruling). A balanced implementation of rights and duties, in, turn, governed by Qu’anic standars of justice, as haqq is inextricably linked with ‘adl (justice) in the Qur’an. In fact, “justice” is one of the Qur’anic meanings of haqq…In the Qur’an, right and duty merge into justice so much so that they become, in principle an extension of one another. The relationships between ruling and justice is also one of means and ends: a ruling is the means towards justice, while the fulfillement and realization of haqq in its dual capacities of right and obligation is predicated upon justice. Islam thus seeks to establish justice by enforcing Shari’ah rulings which, in turn, is expected simultaneously to mean the proper fulfillment of rights and duties.

Al Haqq yakni kebenaran Al Quran dan risalah yang kita pikul akan menyentuh dan mencairkan hati-hati sang pencari kebenaran sebagaimana yang berlaku kepada pendeta-pendeta Najashi sewaktu diperdengarkan akan hakikat kebenaran;

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَىٰ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata:
“Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Quran dan kenabian Muhammad s. a. w.). (Al Maidah : 83)

HAK DAN PEMBELAAN

Al Haqq juga amat terkait dengan pembelaan hak. Dalam kebenaran itu ada kekuatan buat mereka yang lemah, tertindas dan tidak punya kuasa. Begitulah terkaitnya hak dengan misi pembelaan kelompok lemah dan tertindas seperti yang diungkapkan dengan jelas oleh Al Faruq Sayyidina Umar al Khattab sewaktu ucapan pelantikannya sebagai Khalifah:

Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat di sisiku hingga aku harus menolong mendapatkan haknya, Sedangkan orang yang kuat di antara kamu adalah lemah di sisiku hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisinya.
Sejarah moden telah merakamkan kejayaan perjuangan membela bangsa kulit hitam yang tertindas di pelbagai belahan dunia. Ucapan keramat pejuang pembebasan kulit hitam, Martin Luther King Jr – I have a Dream – bukan sekadar harapan dan retorika di pentas pidato. Untuk mencapai impian dan harapan melihat keadilan dan kesamarataan bagi golongan kulit hitam di bumi Amerika Syarikat, gerakan Hak Sivil yang dipimpinnya telah melakukan pengorbanan dan perjuangan yang amat besar. Sepertinya yang dirakamkan oleh Alex Haley dalam karyanya Roots, memang orang kulit hitam seperti Kunta Kinte ditindas, diperhambakan serta dinafikan hak asasi dan demokratiknya sehingga beberapa keturunan.

Hakikat sejarah yang sama berlaku di Afrika Selatan. Seperti yang dirakam dalam autobiografinya Long Road to Freedom perjuangan panjang Nelson Mandela – menuntut hak rakyat kulit hitam yang dinafikan oleh rejim apartheid akhirnya telah mendapat sokongan seantero dunia. 38 Kebenaran ialah pra-syarat awal kepada mana-mana perjuangan keadilan pembebasan. Perjuangan harus bermula dengan Hidup dalam Kebenaran, atau apa yang diistilahkan oleh Vaclac Havel sebagai Living in Truth. Tokoh utama disebalik kejayaan Revolusi Velvet yang menyaksikan pembebasan Czechoslovakia dari cengkaman kuku besi komunisme tersebut menegaskan bahawa rakyat selama-selamanya tidak akan bebas dari cengkaman autokrasi jika takut untuk hidup dalam kebenaran lantas merelakan diri selamanya terpesorok dalam hidup penuh penipuan, kepura-puraan dan kebatilan – living a lie. Selama mana hidup dalam kepura-puraan tersebut tidak dipertentangkan dengan hidup bermaruah yang berpaksikan kebenaran, maka selagi itulah kepalsuannya akan terus tersembunyi dan bermaharajalela.

The original and most important sphere of activity, one that predetermines all the others, is simply an attempt to create and support the independent life of society as an articulated expression of living within the truth. In other words, serving truth consistently, purposefully, and articulately, and organizing this service. This is only natural, after all: if living within the truth is an elementary starting point for every attempt made by people to oppose the alienating pressure of the system, if it is the only meaningful basis of any independent act of political import, and if, ultimately, it is also the most intrinsic existential source of the “dissident” attitude, then it is difficult to imagine that even manifest “dissent” could have any other basis than the service of truth, the truthful life, and the attempt to make room for the genuine aims of life”. VACLAV HAVEL, Power of The Powerless (1978)

Maka dalam misi kita mengislah umat ini, juru Islah dan para daie harus selamanya setia kepada risalah kebenaran. Kebenaran merupakan jambatan kepada keadilan yang tidak boleh sama sekali dikompromikan kerana akhirnya, kebenaran terhadap risalahlah yang menjadi neraca penilaian dan penentuan Ilahi. Inilah mesej penting disebalik doa yang dipanjatkan oleh Nabi Syu’ib a.s kepada Allah tatkala ditentang oleh kaumnya.

قَدِ افْتَرَيْنَا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا إِنْ عُدْنَا فِي مِلَّتِكُمْ بَعْدَ إِذْ نَجَّانَا اللَّهُ مِنْهَا ۚ وَمَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَعُودَ فِيهَا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّنَا ۚ وَسِعَ رَبُّنَا كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا ۚ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا ۚ رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ

“Ya Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya. (Surah al A'raf: 89)

ABIM TERUS MELANGKAH

Ketika muktamar lalu; kita telah menyusun awlawiyyat gerakan kita kepada beberapa agenda kepeloporan. Penyusunan ini sangat penting untuk ABIM memanfaatkan setiap sumber serta kekuatan secara berhemah. Analisis secara sistemik seperti berikut adalah muhasabah penting terhadap setiap pencapaian serta kekurangan yang telah dilakar ketika ini.

Pembinaan Generasi Al-Qur’an. Nahdah baru kebangkitan Islam tidak seharusnya terpisah daripada Al-Qur’an. Atas kesedaran ini, ABIM mengorak langkah menubuhkan ABIM Press yang insya’Allah akan meluncurkan beberapa penerbitan yang sama-sama membantu kita untuk mentadabbur Al-Qur’an. Kupasan tafsir-tafsir utama seperti Fizilalil Qur’an, Tafsir Al-Azhar, Al-Maraghiy, Al-Munir, An-Nasafiy dan lain-lain, perlu menjadi intipati utama sepanjang perbincangan usrahusrah ABIM. Nahdah baru kebangkitan Islam harus bernuansakan ke arah membina Generasi Qur’ani. Sebagai menyahut gagasan ini, ABIM telah melancarkan Siri Bicara Al-Quran yang akan dijalankan untuk 12 siri.

Pencerdasan Rakyat dan Pendemokrasian. Mendepani era berleluasanya Fake News dan Post-Truth yang menghakis empati masyarakat terhadap demokrasi dan kewarganegaraan, seharusnya merangsang kita lebih inovatif ke arah meratakan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda. Inisiatif filem Pendek Buang adalah adalah antara inisiatif pendidikan demokrasi yang digerakkan ABIM. Eksperimen filem pendek ini harus menjadi inspirasi untuk menganjak platform advokasi ABIM ke medan yang lebih mencabar. Usahasama latihan dengan pihak Google telah dilaksanakan sebanyak dua kali dengan harapan akan melapangkan lagi medan dakwah ABIM dalam bidang media.

Helwa & Pemberdayaan Keluarga. Keutuhan keluarga menjamin keutuhan umat. Menggejalanya jenayah seksual yang mengancam kanak-kanak dan remaja di samping keruntuhan institusi keluarga amat mengkhuatirkan. Gejala-gejala ini adalah refleksi kepada kepincangan latar sosio-ekonomi yang sedang melanda negara kita. Di balik latar ini; literasi undang-undang serta kesedaran hak wanita dan kanak-kanak perlu digiatkan. Alhamdulillah inisiatif KAMAR (Keluarga Mawaddah Wa Rahmah) telah disambut dengan amat baik sehingga ke peringkat negeri. Usaha menyuburkan amalan budaya ilmu perlu digerakkan dengan lebih giat untuk melengkapkan generasi baru kepimpinan HELWA. Ruang dan sokongan dengan mengambil semangat Al-Qawwam (pelindung) sangat vital untuk mengembangkan potensi sedia ada dalam kalangan para aktivis HELWA.

Pendidikan al Hikmah. Alhamdulillah, baru-baru ini Sekolah Rendah Islam ABIM Alor Setar (SERIAS), telah menerima pengiktirafan membanggakan sempena ‘Hari Anugerah Kecemerlangan, Sekolah Swasta dan Antarabangsa, Peringkat Negeri Kedah 2017’. Begitu juga dengan pencapaian TASKI Al Firdaus Klang (Meru) yang menerima Anugerah Cemerlang kategori Sek. Agama Pra Sekolah Swasta di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pengiktirafan adalah  indikasi bahawa institusi pendidikan ABIM mampu menawarkan khidmat secara berdaya saing sekiranya diuruskan secara professional dan berpandukan idealisme Pendidikan Al Hikmah. Potensi para guru serta pelajar di bawah institusi-institusi pendidikan ABIM turut digilap menerusi penganjuran program Seminar Pendidikan Al-Hikmah, Tamrin Nuqaba untuk para nuqaba.

Membugar Budaya Dialog. Penglibatan salah seorang pimpinan ABIM dalam debat mengenai hak asasi kemanusiaan dengan duta negara Sweden menyedarkan betapa relevannya pendekatan dialog ini sebagai cabang penting dakwah di lapangan. Begitu juga dengan penglibatan kita secara aktif dalam proses NHRAP menerusi Grup Peguam ABIM telah mendedahkan kita dengan pelbagai isu berkaitan dengan hak asasi manusia di negara ini. Keterbukaan kita mendepani pelbagai persoalan dan polemik secara ilmiah dan wasatiyyah telah mengundang kepercayaan pelbagai pihak dan institusi dari dalam mahupun luar negara.

Belia & Keberanian Zaman. Inisiatif Sekolah Masa Hadapan yang digagaskan menerusi ABIM Negeri Selangor dengan sokongan ABIM Pusat baru-baru ini, menawarkan perspektif pendidikan yang lebih segar dan futuristik sifatnya. Adalah menjadi harapan ABIM dengan pelancaran Buku Manifesto Sekolah Masa Hadapan ini akan merangsang para aktivis muda ABIM untuk tampil menerajui perubahan zaman. Inisiatif-inisiatif seperti AYG boleh dijadikan rujukan untuk dijadikan sebagai model rujukan pembangunan pusat sehenti pembangunan belia ke seluruh negara. Begitu juga dengan inisiatif pendidikan alam sekitar yang ditawarkan menerusi GRASS Malaysia. Intipati kepada pembentukan inisiatif-inisiatif ini haruslah mampu merungkai persoalan serta memenuhi keperluan masyarakat. Sebagai contoh; iktibar hasil gerak kerja pembangunan bakat Khan Academy serta Opportunity@ work sangat penting untuk dirujuk untuk memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin mencabar.

Gerakan Amal Kemasyarakatan. Pengalaman ketika Tamrin Qiyadiy Kebangsaan 2017 di perkampungan orang asli Pos Tuel, Gua Musang, Kelantan Darul Naim, baru-baru ini, menyedarkan peri pentingnya gerak amal kemasyarakatan disemarakkan sehingga ke peringkat akar umbi. Perkampungan Orang Asli Pos Tuel adalah satu usaha dakwah serta amal kemasyarakatan para aktivis yang harus dicontohi ibrahnya. Pendedahan penganjuran tamrin ini antara lain adalah untuk merangsang kreativiti para aktivis ABIM untuk merencanakan gerak kerja secara berkesan di lapangan akar umbi. Perlaksanaan program-program seperti Dirimu Amat Berharga (DERMAGA), Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), Skuad Prihatin, khidmat nasihat guaman ABIM serta Biro Kesihatan ABIM (BKA) perlu terus bergerak serta dikembangkan potensinya untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi umat yang amat memerlukan.

ABIM dan Agenda Ummatik. Penganjuran Malam Kemanusiaan Kita Satu Umat merupakan manifestasi keprihatinan ABIM terhadap isu umatik. Sebagai gerakan ummatik, ABIM akan terus mendukung visi ummatik dan memainkan peranannya membela kelompok tertindas terutama sekali di Rohingya, Syria, serta Palestin. Pembabitan ABIM dalam program Caesar Files yang mendedahkan kekejaman rejim Al Asaad di samping kempen penerangan advokasi “Rohingya: Bantu Atau Bantai”, di samping perkembangan semasa yang mengkhuatirkan di Palestin, menyedarkan kita peri pentingnya penerangan serta advokasi terus digerakkan. ABIM serta Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) dan Global Peace Mission (GPM); akan terus memperkukuh rangkaian gerakan kemanusiaan di peringkat antarabangsa sebagai the third force yang meliputi gerak kerja kemanusiaan, advokasi serta diplomasi, dan Countering Violent Extremism (CVE) dengan pelbagai jaringan gerakan Civil Society (CSO) di peringkat antarabangsa.

Mengembleng Gerakan, Memacu Organisasi

Sesungguhnya ABIM amat bertuah kerana didukung oleh barisan kepimpinan, ahli, petugas, aktivis, dan sukarelawan yang bergerak dengan penuh komited dalam pelbagai bidang dan lapangan bagi merealisasikan visi dan misi organisasi yang telah kita gariskan. Matlamat untuk menggandakan jumlah keahlian, melaksanakan transformasi institusi dan agensi, melebarluaskan perkhidmatan sosial dan kemasyarakatan serta meningkatkan advokasi dan ikhtiar memberdaya umat telah disambut dan digerakkan secara bersungguh-sungguh oleh pendukung setia gerakan tercinta ini di negeri, daerah dan di luar negara. Dalam kesempatan bermuktamar tahun ini, kami ingin menyeru muktamirin dan muktamirat agar menilai kembali khittah gerakan secara kritis dan objektif agar himmah dan optimisme untuk melihat jamaah tercinta ini berkembang sentiasa berpijak kepada waqi’ dan relevan dengan semangat zaman. Bagi berdepan dengan new realities, kita mengkaji model dan strategi baru dalam organizational management yang sesuai dengan sifat dan matlamat pertumbuhan organisasi yang kita cita-citakan. Sebagai sebuah organisasi pelopor kebangkitan Islam dan agenda Islamisasi di Malaysia, ABIM tidak boleh membiarkan dirinya terperangkap dalam apa yang disebut oleh Clayton Christensen sebagai the Innovator’s Dilemma.

Dilema ini berlaku apabila pemain dan pesaing baru muncul secara agresif memasuki sesuatu bidang kebitaraan yang telah lama dipimpin oleh sebuah organisasi pelopor, organisasi pelopor tersebut gagal menangani new realities, hilang punca dan tidak ketahuan strategi yang tepat dan model adaptasi terbaik yang perlu dilakukan bagi mengekalkan kepeloporannya. Organisasi pelopor yang gagal keluar dari perangkap dilema ini hampir pasti akan hilang tampuk kepeloporannya - atau lebih parah – bakal berdepan kegagalan lantas menjadi tidak relevan dan akan akhirnya terkubur. Walhasil, rumus Christensen; “successful, outstanding companies can do everything “right” and yet still lose their market leadership – or even fail – as new, unexpected competitors rise and take over the market”.

Namun dalam optimisme dan keghairahan yang membara dalam melonjak ABIM agar terus terkehadapan dalam rangkaian bidang kepeloporannya, kita juga harus berwaspada terhadap beberapa gejala dan ancaman praktik pengurusan yang sering merencat pertumbuhan organisasi dalam era siber teknologi ini. Salah satu gejala tersebut ialah apa yang di sebut sebagai Overcommited Organisation. Dalam keluaran September-Oktober 2017, Harvard Business Review telah mengangkat satu rencana bertajuk ‘Overcommitted Organisation: How to Avoid Team Burnout’ pada muka depannya. Kajian komprehensif selama 15 tahun ke atas 8 firma perkhidmatan global dan syarikat antarabangsa yang melibatkan lebih 5500 pekerja tersebut telah merumuskan bahawa model pengurusan organisasi kontemporari yang bersifat ‘multi-teaming’ telah meningkatkan risiko berlakunya konflik dalam organisasi.

Dalam kata lain, seseorang petugas dalam organisasi dituntut untuk melaksanakan tugasan di dalam pelbagai pasukan-pasukan kecil di bawah payung sebuah organisasi yang sama, atau dalam beberapa organisasi sekaligus. Berbeza dengan multitasking yang menumpu kepada kepelbagaian kategori tugas, multiteaming memanfaatkan kepakaran, kemahiran dan kebitaraan khusus seseorang petugas untuk dimanfaatkan bersama oleh pelbagai pasukan, di pelbagai tingkat dan lapisan struktur organisasi. Bagi memenuhi kepelbagaian tuntutan organisasi dengan sumber yang terbatas, petugas organisasi tersebut dikehendaki melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti organisasi pada satu-satu masa. Petugas sedemikian akan berdepan risiko yang tinggi untuk mengalami stress, kelesuan dan burnout yang pastinya menjejaskan organisasi secara keseluruhan. Keadaan tambah parah dalam situasi di mana sesebuah organisasi itu terlibat dengan begitu banyak bidang tumpuan dan berlaku pertindihan serta konflik pengurusan dalam bidang-bidang tersebut.

Justeru kepimpinan organisasi disaran perlu bijaksana meletakkan fokus keutamaan, menyediakan persekitaran yang kondusif dan mewujudkan saluran komunikasi timbal balik yang lebih berkesan selain mengambil langkah-langkah deskriptif yang tuntas bagi menjamin dinamika dan keutuhan organisasi secara holistik. Dalam konteks organisasi seperti ABIM, memahami trend, gejala dan cabaran pertumbuhan organisasi ini amat relevan melihat kepada kapasiti dan keterbatasan sumber sedia ada bagi memenuhi kadar unjuran perkembangan organisasi yang kita sasarkan di masa hadapan.

Hasil kesedaran inilah, ABIM harus mengambil pendekatan baru yang lebih fokus dan pragmatik-realistik dalam menentukan halatujunya bagi tahun-tahun mendatang. Tumpuan tidak harus lagi hanya berpusat kepada matlamat untuk membesarkan kapasiti organisasi dan menggandakan sumber organisasi. Hal demikian pastinya penting, dan akan terus kita usahakan. Namun yang lebih penting ialah untuk merubah pendekatan dan mentaliti dari ‘pengembangan organisasi’ semata-mata kepada mentaliti baru pengurusan iaitu ‘perubahan sistem’.

Strategi baru ini menuntut pemimpin organisasi berfikir dan bertindak ‘beyond organizational scale – growing the reach of a prescriptive, organizationally designed solution to a problem – to systemic scale, with the goal of shifting the rules, norms and values that make up social systems (Beyond Organizational Scale, WEF, 2017). Pendekatan ini menuntut ABIM untuk mengambil 5 pendekatan utama dalam melaksanakan anjakan ke arah perubahan sistemik:

1) Menjadi organisasi yang lebih kompleks sekaligus fleksibel dan adaptif.
2) Membangunkan kemampuannya sebagai organisasi berasaskan data dan bukti (evidence base)
3) Menubuhkan, menyelaras dan menggerakkan gabungan (coalitions).
4) Menjalinkan hubungan yang erat dan kerjasama strategik dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.
5) Mengambil pendekatan yang berhikmah dan meraikan kepelbagaian bagi menganjak perubahan minda, amalan, norma dan nilai dalam usaha menuntut perubahan sistem.
Dalam melakar harapan dan merealisasikan masa depan yang diimpikan oleh generasi pewaris perjuangan, ABIM harus mendepani zaman dengan penuh keberanian dan inovatif. Sementelahan kesetiaan kepada idealisme perjuangan tidak sekali-kali akan kita kompromikan, ABIM perlulah melangkah dengan penuh berani melaksanakan tajribah bagi meneroka dimensi dan pendekatan baru yang dinamik, progresif dan inovatif dalam misi menjayakan amanah al-dakwah secara lebih meluas dan berkesan.

AYUH MELANGKAH!

Muktamirin dan Muktamirat yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya tugas dan kewajipan kita - seperti yang disorot sepanjang ucapan dasar ini - ternyata jauh lebih banyak dari masa dan kesempatan yang kita miliki - al wajibat aksar min al-awqat. Cabaran, mehnah dan tribulasi yang sedang menimpa umat sememangnya menuntut komitmen dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dari seluruh kader-kader harakah Islamiyyah Angkatan Belia Islam Malaysia. Dengan penuh rasa keinsafan bahawa kita telah dipilih dan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhana’lLah Ta’ala untuk menggalas amanat al-da’wah yang mulia ini, marilah kita bersama-sama kembali dengan setulusnya ke dalam dakapan tarbiyyah jamaah, merapatkan saf, dan mengatur langkah beriringan umpama binaan ampuh yang tersusun kukuh dan tidak bisa dirobek.

Ayuh! Di perhimpunan yang penuh rahmat ini, marilah kita memohon setulusnya ke hadrat Allah Rabbul Jalil agar meperteguhkan tekad dan mempersatukan hati-hati ini dalam ikatan ukhuwwah Islamiyyah yang padu bagi memikul beban dakwah dan melaksanakan misi pencerahan sangat didambakan oleh umat pada saat dan detik ini;

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

 “Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Al-Anfal 8:63)

Ayuh, melangkahlah wahai teman-teman seperjuanganku dengan penuh tekad dan mujahadah, dalam sukar ataupun senang, berat mahupun ringan. Walaupun perjalanan yang kita serukan ini tampak jauh, sulit dan berliku, namun kita yakin dan pasti, tanpa sekelumit pun keraguan bahawa mujahadah di jalan Allah itu merupakan sebaik-baik jalan yang ditempuh.

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (41) Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. (at-Taubah: 41-42)

Dengan penuh optimisme, Angkatan Belia Islam Malaysia akan terus mara ke hadapan dan mengorak langkah penuh yakin untuk melakar masa depan yang penuh harapan buat negara dan umat tercinta. Selamat bermuktamar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



BIBLIOGRAFI

Abdullah, Saifuddin. (2017). New Politics 2.0 Multiracial and Moderate Malaysian Democracy. Selangor, Malaysia: Institut Darul Ehsan (IDE).
Advisory Commission on Rakhine State. (2017). “Towards a peaceful, fair and prosperous future for the people of Rakhine.” Final Report of the Advisory Comission on Rakhine State.
Al-Qaradhawi, Yusuf. (2013). Maqasid Syariah Berhubung dengan Harta. Kuala Lumpur: Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SYURA) & Koperasi Muslimin Malaysia Berhad.
Asad, Muhammad. (1999). The Principles of State and Government in Islam. Malaysia: Islamic Book Trust.
Badaruddin, Shaharuddin. (2016). Masyarakat Madani dan Politik: ABIM & Proses Demokrasi. Selangor: IDE Research Sdn. Bhd.
Bank Negara Malaysia. (2017). Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Ogos 2017). Sorotan dan Perangkaan Bulanan, Bank Negara Malaysia.
Chow, Melissa Darlyne. (20 September 2017). Distrust of politicians one factor for low number of young voters. http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/09/20/distrustof-politicians-one-factor-for-low-number-of-young-voters/.
Dawisha, Karen. (2014). Putin’s Kleptocracy: Who Owns Russia?. Simon & Schuster.
Fadhil, Siddiq. n.d. Koleksi Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM (1982-1988). Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
Freire, Paolo. (2014). Pedagogy of Hope: Reliving Pedagogy of the Oppressed. London, United Kingdom: Bloomsbury Publishing PLC.
—. (1996). Pedagogy of the Oppressed. Penguin Group (CA).
Hanafiah, Muammar Ghaddafi. (2014). Tafsir Maudhu’iy: Masyarakat dan Pembangunan Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harian, Wartawan Sinar. (13 September 2017). “Rakyat setuju GST punca kenaikan kos sara hidup.” Sinar Harian.
Hashim, Dr. Rozailin bt Hj. Abdul Rahman & Prof. Datin Dr. Junaidah. (2016). “Kesejahteraan Ekonomi di Kalangan Belia Malaysia.”
Prosiding Seminar Penyelidikan IYRES 2016. Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia. 333-342.
Ibrahim, Azhar. (2014). Contemporary Islamic Discourse in the Malay - Indonesian World: Critical Perspectives. Selangor, Malaysia: SIRD.
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES). (2015). “Indeks Belia Malaysia 2015 (IBM ‘15).”
Janmohamed, Shelina. (2016). Generation M: Young Muslims Changing the World. London, United Kingdom: I.B. Tauris & Co Ltd.
Jory, Kamaruzzaman Bustamam-Ahmad & Patrick. (2013). Islamic Thought in Southeast Asia: New Interpretations and Movements. Malaysia: University of Malaya Press.
Kamal, Boo Su-Lyn & Shazwan Mustafa. (23 September 2017). “Disenchanted by blurred lines, some middle-class youths to sit out GE14.” The Malay Mail Online. https://sg.news.yahoo.com/disenchanted-blurred-lines-middle-class-youths-sitge14-225400214.html.
Kluster Penyelidikan, Pusat Kajian Pilihanraya & GIS, Institut Darul Ehsan (IDE). (13 September 2017). Survei Malaysia 2017: GST punca kenaikan kos sara hidup. http://www.ideselangor.org/v2/index.php/penyelidikan-footer/item/383-sm2017-gst.
Lee, Annabelle. (20 September 2017). Opposition fails to capitalise on discontent among the youth. https://www.malaysiakini.com/news/395728#8AoAGtM1RhKZ8I8f.99.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). (2015). “Memorandum Sidang Meja Bulat: Laporan Status Ekonomi Bumiputera.” Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Malik, Maszlee. (2015). Good Governance, Civil Society and Islam. Kuala Lumpur: IIUM Press.
ABIM Selangor(2017). Manifesto Sekolah Masa Hadapan: Platform Perubahan
Pendidikan Malaysia. Selangor, Malaysia:.
McCants, Shadi Hamid & William. (2017). Rethinking Political Islam. New York, United States: Oxford University Press Inc.
Means, Gordon P. (2009). Political Islam in Southeast Asia. Boulder, CO, United States: Lynne Rienner Publisher Inc.
Mohd Asri Abdul (ed.), Mohd Halimi Abdul Hamid (ed.), Dr. Rahmah Hashim (ed.). (2009). Mohammad Natsir: Berdakwah di Jalur Politik, Berpolitik di Jalur Dakwah. Selangor: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Panel Penyelidikan NUNJI. (2017). Islam dan Kenegaraan: Suatu Perbahasan dalam Konteks Fiqh Malaysia. Malaysia: Ilham Books.
Politweet.Org. (11 October 2017). How Political Interest is Divided by Language on Facebook in Malaysia (July 2017). https://politweet.wordpress.com/2017/10/11/how-political-interest-is-dividedby-language-on-facebook-in-malaysia-july-2017/#more-1354.
Rahman, Fazlur. (2000). Revival and Reform in Islam. London, United Kingdom: Oneworld Publications.
Saravanamuttu, Johan. (2016). Power Sharing in a Divided Nation: Mediated Communalism and New Politics in Six Decades of Malaysia’s Elections. Singapore: ISEAS.
Schwab Foundation for Social Entrepreneuship. n.d. “Beyond Organizational Scale: How Social Entrepreneurs Create Systems Change.” World Economic Forum. http://reports.weforum.org/schwab-foundation-beyond-organizational-scale/.
Su-Lyn, Boo. (30 September 2017). Pakatan Youth: Abstaining from voting meaningless without change of government. http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/pakatan-youthabstaining-from-voting-meaningless-without-change-ofgovernme#feL43tj2Qek4LAZO.97.
Vaclav Havel, John Keane. (1990). The Power of the Powerless: Citizens Against the State in Central Eastern Europe. Armonk, United States: Taylor & Francis Inc.
Ziauddin Sardar, MerrylWyn Davies. (2015). “Introduction: Searching for Power.” In Critical Muslim 14 (Power), by Ziauddin Sardar (ed.), 3-21. Hurst Publishers.


No comments: