Saturday, October 14, 2017

ANWAR IBRAHIM: MEMIMPIN PERUBAHAN MENSEJAHTERAKAN UMAT



*UCAPAN DSAI SEMPENA IJTIMA' HARAKIY WADAH ABIM PKPIM PADA 14 OKT 2017 DI SHAH ALAM*


Gerakan ABIM sejak kelahirannya serasi dan gamblang menggagaskan kefahaman Islam yang syumul dan pendekatan da'wah bil  hikmah wal mau'izatul hasanah. Malah secara tuntas, dipahat pengertian kesederhanaan dan keseimbangan - ummatan wasata; dan keyakinan bahawa hanya dengan derajat mulia dan seimbang, umat akan menjadi contoh dan saksi kepada umat manusia - shuhada' 'alannas. Seringkali, dalam mempertahankan pendirian tersebut, tidak terelak dengan serangan dan tudingan dari dua kutub; pertama, penguasa authoritarian yang terpukau dengan acuan Barat dan kedua, aliran pelampau - muta'asibin yang pernah disanggah keras para ulama seperti Sheikh Yusuf al Qaradawi dan Sheikh Muhammad al Ghazali.

Kutub pertama mewakili golongan elit penguasa yang mendambakan penyelesaian menurut Barat yang dianggap menguasai tamadun, dan teknologi. Sosok sedemikian pernah dikupas Ibn Khaldun dalam Muqaddimah nya sebagai alghalib - inferiority complex masyarakat yang dijajah atau ditakluki kuasa yang lebih besar. Khalayak ABIM ketika itu lazim mendengar kupasan Malek Ben Nabi dan Frantz Fanon mengenai gelagat pejuang kebangsaan kulit hitam Afrika yang bertukar corak menurut selera penjajah kulit putih dengan segala kebiadapan dan keangkuhan, menolak sejarah dan keaslian budaya sendiri.

Kutub kedua yang mewakili pandangan agama yang dogmatik, terperangkap dengan taqlid buta, tidak memberi ruang untuk pemikiran kreatif yang berlandaskan kepada asas Islam. Sheikh Taha Jabir Al Alwani dalam Islah al Fikri al Islami menyingkap sejarah kelenturan dan kelesuan pemikiran hingga berlaku 'kelompong ijtihad'. Ini termasuk tindakan keras mengharamkan kitab-kitab karangan imam dari mazhab yang berbeda serta pemenjaraan ulama. Gejala mutakhir, menurut Sheikh Taha adalah kemunculan ulama yang menganggap penafsiran mereka sebagai muktamad - dan kecenderungan sebegini yang menjurus kepada takfir dan faham kabilah secara sempit. Islam menekankan keseimbangan sosial - tawazun ijtima'i dan beliau membawa contoh bagaimana golongan majoriti tidak berhak menekan atau menindas minoriti termasuk ciri budaya mereka. Disebaliknya, golongan minoriti tidak wajar membuat tuntutan keterlaluan yang menggugat kepentingan majoriti.

Maka yang lumrah dihebahkan adalah cara keras, memaksa, mengugut dan mengherdik. Golongan konservatif agama ini seolah memperolehi perlindungan penguasa untuk menjadikan isu remeh bagi menggugat harmoni kaum. Lebih ketara adalah memperalat puak tersebut untuk mengalih pandangan dari isu besar - kezaliman; rompakan khazanah negara; keperitan hidup rakyat akibat cukai dan pemerasan. Menurut Hamka, dalam karya popularnya Tasauf Moden (diolah selanjutnya dalam Falsafah Hidup) - Islam tidak mengenal sistem pendetaan - la rahbanniyatu fil Islam; dan menolak faham jumud kalangan yang bersekongkol dengan penindas terutama terhadap pekerja miskin. Menurutnya lagi, ulama tidak terlepas dari penyakit ini, jika mendapat laba, haram menjadi halal.

Adapun kemelut akibat pembenturan dengan puak pelampau kian ketara kerana da'wah, program agama kurang memberi penekanan ke arah pencerahan. Kelihatan seolah-olah sistem authoritarian lebih memanfaatkan kelompok sedemikian. Justeru itu, gesaan Majlis Raja-Raja Melayu agar dipertahankan sikap toleransi agama dan kesederhanaan perlu diterjemahkan dalam program jabatan-jabatan agama negeri. Tuanku Sultan Johor menolak unsur Taliban kerana bercanggah dengan kemurnian Islam. Pengalaman pentadbiran Taliban di Afghanistan disamakan dengan kekerasan melaksana hukum; penafian hak pelajaran kepada wanita; perobohon kuil Biman, Buddha zaman lampau dan kemalapan ekonomi dan kemiskinan. Gerakan Taliban berasal dari rangkaian madrasah yang dikerah untuk menentang regim komunis di Kabul dengan dukungan Soviet Russia. Dengan senjata yang dibekalkan Amerika Syarikan dan perisikan Pakistan, mereka mara ke Kabul. Namun corak pemerintahan mereka gagal membangunkan negara atau mengangkat martabat dan derajat umat.

Sewajarnya gerakan muda seperti ABIM menggendong tanggungjawab mengekalkan landasan da'wah berhikmah. Manfaatkan gudang pengalaman, khazanah ilmu dan turath Islam untuk menyinarkan obor. Ramai yang rimas dengan gejala negatif yang menular; tapi seolah lemas tanpa upaya menjernihkan keadaan. Saya yakin insya Allah, sdr-sdr akan berikhtiar, meningkatkan usaha bagi mempastikan perubahan berlaku. 

Semoga Allah swt memberkati usaha kita bersama.

Anwar Ibrahim


(Warkah ini dibaca oleh YB Nurul Izzah Anwar  pada Ijtima' Harakiy ke 5)


No comments: