Bagi memahami jelmaan kepimpinan
transformatif dalam gerakan Islam, ia memerlukan tinjauan dari dalam. Terdapat
orang luar (dari luar negara mahupun di luar gerakan) yang menulis dan mengolah
tentang gerakan ini – merupakan analisis yang tidak menyelami hakikat dalaman
gerakan Islam.
Dalam tradisi gerakan, kita bina al qiyadah wal jundiyyah – leadership and followership – competent leaders and quality followers.
Pemimpin layak, pengikut berkualiti. Ada kemungkinan juga keahlian baik untuk
gagal melahirkan pimpinan baik. Maka kita latih pemimpin dan pengikutnya.
Kerana dengan kekuatan kepimpinan
dan organisasi, ABIM mampu tampil – as a
formidable and credible movement - gerakan yang utuh dan berwibawa. Sejarah
telah terpahat. Tidak boleh ada percubaan untuk merubah sejarah ABIM kerana
ianya dicipta dan dirakam dengan jujur.
Faktor lain adalah gerakan ini
lahir pada waktu yang tepat – the right timing – mendahului yang lain dalam
fenomena kebangkitan Islam ketika semarak kesedaran Islam bergejolak di seluruh
dunia. Apabila sampai ke Malaysia, belum ada yang sedia menyambut. Parti Islam
belum siap kerana ketebalan kepartaian dan kepolitikan. Parti nasionalis jauh
sekali. Pertubuhan kebajikan Islam pula sudah berusia. Ketika itu, ABIM lahir
tepat pada saatnya dan selepas itu datanglah organisasi pelbagai tetapi tidak
dapat menempa sejarah kerana sudah terlepas waktunya.
Selain faktor itu, adalah
strategi dan pendekatan berhikmah – da’wah
dan tarbiyyah. ABIM muncul sebagai organisasi pembelajaran – a learning organization – setiap warga,
setiap orang belajar samada pimpinan tertinggi sampai kepada ahli-ahli di ceruk
ranting. Tradisi belajar ini dihayati betul sehingga sekarang gerakan mempunyai
tradisi intelektual dan keilmuan tanpa tandingan.
ABIM berwajah qiyadah jama’iyyah – collective leadership. Presiden memang
ditonjolkan tetapi dia bukan bersendirian tetapi didampingi pimpinan lain yang
tidak kurang peranan mereka. Sejarah ABIM bukan pameran catatan bapak Presiden
ke bapak Presiden. Bukan seperti mural sejarah tanah air – hanya mempamerkan PM
ke PM, seolah-olah gambaran sejarah PM dan Presiden parti saja – peranan rakyat
bagaimana?
Tradisi kita sebenarnya –
kepimpinan bersama – tiada siapa yang sempurna – perfect – tiada siapa pemimpin ideal. Kepimpinan dalam ABIM alami
proses saling lengkap melengkapi – tarbiyyah
qiyadiyah – mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama. Sejauh
mana pencapaian proses ini, perlulah dinilai tokoh-tokohnya.
Kita bukan hanya bina keilmuan
dan keintelektualan tetapi juga dimensi kerohanian. Kemampuan organisasi adalah
kekuatan ruh dan akal – quwwatul ruh wa
aql (ungkapan Malek ben Nabi). Kombinasi dua kekuatan secara seimbang.
Walaupun kita tidak mengambil mana-mana tariqah
tertentu, namun kita ada tradisi amalan sendiri.
Berlaku proses pendidikan semula
– reeducating – mereka yang
berlatarbelakang akademik yang cukup kuat – graduan pelbagai bidang, tetapi
mereka masih belajar semula - reeducate
themselves. Barangkali sukar dilakukan pada suasana lain. Ciri istimewa
ABIM adalah menangani pelbagai isu, tampil di pelbagai pentas – dengan
kesarjanaan pelbagai. Tradisi belajar bersama hidup melalui usrah. Janganlah
ditanya siapa gurunya kerana di situ kita belajar bersama-sama.
Proses inilah yang menghasilkan amal jama’iyy – gerakerja berjamaah. Adalah tragedi besar jika amal jama’iyy berubah menjadi bekerja
bersendirian – one man show.
Kekompakan pasukan – compact team –
bukan bererti semua AJK berprestasi pada tahap yang sama. Kebijaksanaan
pimpinan yang menyelesaikan isu seperti perbedaan prestasi.
Al qiyadah al taghyir – transformational leadership – babak dicipta
ABIM pada akhir abad ke 20 – yang dipeloporinya
merubah landskap kehidupan. Sehinggakan umat begitu ghairah – berlaku
perubahan budaya bukan sahaja segi pakaian luaran tetapi lebih lebar dan luas
daripada itu.
Berlaku dua proses:-
·
Kepimpinan sebagai mentransformasi manusia
·
Kepimpinan sebagai pembina budaya – culture builder
Akhir abad ke 20 menyaksikan
transformasi keislaman. Qiyadah
jama’iyyah melakukan transformasi manusia – ada sebahagiannya berubah
secara perlahan, ada secara normal tetapi ada juga bertukar secara radikal
kerana ramai juga berubah ke arah penghayatan keislaman secara mengejut. Tidak
sedikit pula datang daripada latarbelakang pendidikan sekular dan Barat.
Begitulah keajaiban human transformation.
Bagi kita sekarang adalah untuk memperkukuhkan transformasi merubah manusia.
Perubahan budaya berlaku pada
pendaulatan bahasa, gaya dan pakaian, amalan dan penampilan. Sewaktu dahulu
sebelum 70’an, ucapan salam jarang didengari dan dianggap kekampungan.
Majlis-majlis dan aktiviti kesukanan turut menjamu minuman keras termasuklah
upacara di ceruk desa seperti Selekoh pun dihidang dengan alkohol. Semua ini
telah berubah dengan transformasi melalui da’wah dan pembina budaya.
Perkataan-perkataan baru berunsur bahasa Arab memasuki perbendaharaan Bahasa
Melayu melalui gerakan Islam dan
pimpinannya justeru mempopularkan istilah harakiy
di tengah-tengah masyarakat.
Semua ini tercermin pada diri
peribadi paksi – syakhsiyah mehwariyah
– pemimpin transformatif yang menghayati idealisme perjuangan.
Anwar Ibrahim adalah sosok yang
mempunyai idealisme perjuangan gerakan. Dia menghayatinya betul-betul. Dia
menyebut ABIM sebagai agen perubahan – agent
of change – dia committed –
beriltizam betul dengan perubahan, menyeru kepada elemen yang sedar daripada
masyarakat. Ekspresi komitmen peribadinya dan iltizam gerakan seluruhnya
termasuk komitmen kepada prinsip dan nilai keadilan. Keadilan sosial – distributive justice – melawan
ketidakadilan. Ungkapan 70’an “kaya bertambah kaya dan miskin papa kedana”
menyiratkan azam untuk melawan ketidakadilan sosial.
Soalan pernah diajukan samada
Anwar Ibrahim terkesan dengan ideologi sosialisme kerana pernah menuntut di
universiti di bawah pensyarah Syed Husin Ali. Jawapan adalah “tidak ada unsur
sosialisme” tetapi yang ada adalah komitmen kepada keadilan sosial. Keadilan
sosial bukan semata-mata idea Marxist tetapi Islam itulah keadilan sejagat. Di
antara buku yang ditelaah adalah al
adalah al ijtima’iyyah fil Islam - Social Justice in Islam karya Sayyid Qutb.
Sejak waktu itu pun, Anwar Ibrahim
kritis terhadap pelaksanaan DEB bukan mempertikaikan niat atau tujuan tetapi
perlaksanaannya apabila sebahagiannya hanya menguntungkan golongan elit
politik. Hak istimewa Melayu dijadikan hak Melayu istimewa. Dia sangat concern
– prihatin untuk membela golongan mustadhafin
– memperjuangkan kaum yang tertindas.
Ungkapan al jilul quranil farid daripada karya Sayyid Qutb, ma’alim fil tariq, ada kesan kepadanya
dan dia ulangi banyak kali idealisme untuk membina generasi al Qur’an yang unik
ini.
Pimpinan berlatarbelakangkan
pengajian lokal banyak mempelajari daripada Anwar. Kita diperkenalkan tentang
dunia buku-buku luar – karya-karya intelektual dan Islam pun didengari daripada
Anwar Ibrahim. Buku-buku bahasa Arab dikerahkan kami membacanya untuk diolah dan
disyarah dengan berkesan olehnya.
Anwar Ibrahim berjaya menjadi
jurubicara umat – menyahut aspirasi orang-orang kecil dan menggerakkan
masyarakat desa. Dia mampu mengartikulasi kerelevanan Islam dalam masyarakat semasa
dan kepada masyarakat majmuk – presenting
Islam in a plural society. Kita peliharalah anugerah tuhan yang bersejarah
ini.
Al marhum Ustaz Fadzil Noor
adalah bintang politik tanah air berlatarkan ABIM walaupun sebelum itu dia
sudah berkecimpung dengan PAS. Dia seorang yang sangat saling hargai menghargai
dan hormat menghormati Anwar Ibrahim.
Apabila dicalon sebagai pengganti
untuk Presiden ABIM pertama Ustaz Razali Nawawi, dia berkeras menolak,
sebaliknya menganjurkan Anwar sebagai presiden. Mereka saling tolak menolak
jawatan itu sehingga akhirnya Anwar menjadi presiden dan Ustaz Fadzil
timbalannya. Namun akhirnya, apabila Anwar Ibrahim direhatkan di bawah ISA
- tahanan tanpa pembicaraan – di kem
tahanan Kamunting, Ustaz Fadzil memangku jawatan presiden. Ustaz Fadzil mengemudikan gerakan ketika dilanda
fitnah dan mehnah – membela pemimpin gerakan yang teraniaya dan mempertahankan
wadah harakah serta kelangsungan penyampaian risalah perjuangan.
ABIM telah dianggap sebagai
anti-nasional pada waktu itu. Ustaz Fadzil memperlihatkan kompetensinya dan
ketangkasannya pada saat yang getir waktu itu. Kemudian pada 1978, telah
dipersetujui bahawa dia memasuki PAS secara aktif dan dia telah terbukti
mempunyai landasan – strong base- dan
dia berkebolehan berpolitik.
Pada ketika Anwar berada dalam
UMNO, Ustaz Fadzil memperlihatkan ketegasan sikapnya untuk sisi umat dan
prinsip politiknya. Tetapi dari segi hubungan peribadi persahabatan mereka
terus mesra – saling concern – saling
mengambil tahu. Ustaz Fadzil mempunyai
kebimbangan sangat tinggi terhadap nasib Anwar dalam UMNO dan dia bimbang Anwar
dikhianati oleh Mahathir dan parti itu. Telahan ini ternyata tepat.
Apabila Anwar dipecat, apabila
pemimpin-pemimpin politik belum mengambil sikap, Ustaz Fadzil telah mencari
Anwar dan memberikan sokongan kepadanya. Pemerhati telah merakamkan dengan
sebak tangisan bahawa Anwar Ibrahim berpelukan dengan Ustaz Fadzil Noor apabila
mereka bertemu. Pada peristiwa ini terserlah kesetiaan persahabatan, ketajaman
kepimpinan dan kebijaksanaan meraih peluang kesempatan politik pada ketika
orang lain belum nampak lagi. Ustaz Fadzil mempertaruhkan kepimpinannya dan
posisinya serta partinya tetapi ternyata tepat pembacaan realiti dan perkiraan
politiknya.
Ketika dibawa ke pusat rawatan
sebelum kembali ke rahmatullah, pemerhati melaporkan al marhum Ustaz Fadzil
masih berpesan mementingkan menyelesaikan amanah-amanahnya. Seorang pejuang
yang amat berkaliber telah meninggal tanpa tolok bandingnya, pemimpin PAS yang
telah membawa impak tinggi kepada corak politik tanah air. Semoga Allah swt
mencucuri rahmat ke atasnya dan meletakkannya bersama para salihin.
(Tamrin Qiyadi 3G 5/5/2012)
No comments:
Post a Comment