Di antara
Keajaiban dan Tawadu’
Asas dasar ekonomi haruslah berupa pasaran bebas –
pasaran yang beroperasi dengan adil dan saksama. Tertakluk kepada perundangan
dan peraturan serta urustadbir baik.
Saya ingin membawa satu pengalaman semasa World
Bank menerbitkan laporan “The Asian
Economic Miracle,” – Keajaiban Ekonomi Asia, pemimpin-pemimpin Asia mula berbangga dan bermegah-megah.
Saya merasakan satu kesilapan bagi World Bank membuat kesimpulan bahawa ia
suatu keajaiban. Saya seorang Menteri Kewangan rantau itu yang menyeru supaya
lebih berhati-hati dan berwaspada. Saya katakan, “Kenapa kita anggap diri kita
sebagai keajaiban? Kenapa pembangunan ekonomi itu suatu keajaiban? Ajaib ini
satu keluarbiasaan dan kita bakal hanyut dalam keselesaan dan alpa kerana menganggap
ini sesuatu yang menakjubkan.” Betul pertumbuhan tinggi 8% - 10%. Betul pasaran
bebas. Banyak pekerjaan waktu itu. Tetapi tiada undang-undang mengawal, tiada
pemberdayaan ekonomi.
Memang ada semacam ketegangan kefahaman tentang
ini. Negara-negara lain terutama negara-negara Islam memuji kita. Memang kita
perlu berpandangan sederhana tetapi indeks korupsi kita masih tinggi, indeks
kebebasan media pula 151 hampir kepada Libya. Pada indeks persaingan pula kita
jatuh. Kita pula sekarang berhadapan persaingan sengit China dan India.
Bukan kita hendak merendah-rendahkan negara sendiri
tetapi untuk mengingatkan bahawa kita perlu ada tawadu’. Seperti kata T.S.
Elliot’s, “The only wisdom one could hope
to acquire is humility; humility is endless.” Apabila International Islamic
University menganugerahkan kepujian khas istimewa kepada Dr. Mahathir, dengan
semua orang memuji-mujinya. Ya, dia diakui mewakili negara Islam bagi
mengkritik Amerika dan Barat. Saya telah merujuk kata-kata tentang tawadu’ ini
dan dia tidak berapa gemar dengannya.
Apa sepatutnya dilakukan, apa tindakan kita? Dengan
pertumbuhan 9%, kita jalankan rancangan perumahan rakyat besar-besaran. Program
besar-besaran pembasmian kemiskinan. Bukan seperti inisiatif kerajaan British yang
merupakan pemberian terus tetapi dasar-dasar yang digubal supaya rakyat bekerja
dan beroleh pendapatan kecualilah mereka warga tua, OKU atau misikin tegar.
Kalau tidak, sentiasa mereka miskin dan memerlukan pemberian.
Waktu itu, keadaan ekonomi dunia nampak baik.
Bermula dengan defisit kecil, kita capai belanjawan berimbang dalam tempoh 2
tahun. Tahun berikutnya, kita capai lebihan – surplus belanjawan. Saya terpaksa berurusan dengan pemimpin saya yang
ingin berbelanja besar dengan pembinaan menara-menara tinggi, projek-projek mega dan pembelian-pembelian
mahal, maka saya harus bijak meletakkan sebahagian dana peruntukan dalam
kontingensi bagi masa depan. Kita namakan akaun amanah untuk genersi masa
depan.
Apabila kita ada surplus - kita tambah peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan. Jika
ada lebihan, kita simpan untuk generasi masa depan. Sekarang, setelah saya dipecat, semua dana ini
telah lesap digunakan. Tiada apa pun dalam belanjawan. Sekarang kita hadapi
defisit serious melebihi 4% (2005).
Ya, memang saya gusar, kerana kita telah bekerja
keras untuk itu. Dengan pengurusan berhemah, kita boleh ada simpanan tanpa
mengurangkan belanjawan pendidikan dan kesihatan.
Bagaimana kita hendak mengajak berwaspada
mengurus pertumbuhan ekonomi yang pesat? Kita gunakan pengkisahan Sayyidina Yusuf,
(as) tentang perencanaan 7 tahun menangani kedatangan kemelesetan
tahun-tahun berikutnya. Kita masih ingat, ada rakan-rakan di Parlimen menyoal
dan menyindir tentang apa relevannya ayat Qur’an kepada ekonomi modern dan
pasaran bebas. Kita jawab bahawa tiada jaminan pertumbuhan pesat itu akan terus
berlaku sampai bila-bila, tak kira betapa hebat, bijak atau bertanggungjawabnya
kita ini. Kita perlu bersifat penuh tawadu’ untuk bersedia menerima peristiwa-peristiwa
yang di luar dugaan atau kawalan.
Oleh itu, panduan terbaik adalah
berdasarkan pengalaman Nabi Yusuf a.s. di dalam al Qur’an untuk merancang dan
bersedia. Kita pun menyalurkan
sebahagian lebihan ke dana akaun amanah khas untuk masa depan.
Itulah sebab apabila kita hadapi
ekonomi merudum pada 1997 dan 1998, oleh kerana kita mempunyai surplus, rizab
besar dan dana-dana khas kita mampu
bertahan.
Oleh itu tuduhan bahawa kita ,
terutama saya, ingin memohon bantuan IMF dan World Bank tidak benar dan satu penipuan.
Kita tidak pernah
pohon atau merayu kepada World Bank atau IMF , kerana kita mempunyai dana sendiri itu.
Memang bukan mudah – keadaan kita parah – tetapi tidak malapetaka berbanding Indonesia
atau South Korea, China, Mexico, atau Argentina sebelum itu, atau Russia sesudahnya.
Pada waktu itu kebetulan saya
Pengerusi Development Committee of the
World Bank and IMF, dan atas alasan ini, saya dikaitkan. Ini kerana media
di Malaysia dikawal oleh parti pemerintah menghalang saya daripada berpeluang
memberi pencerahan dan penjelasan sebenar.
Apabila membincangkan
pengurangan cukai, kita merujuk kepada thesis Abd ar-Rahman Ibn Khaldun. Ibn
Khaldun berkata apabila cukai diturunkan orang akan bekerja lebih bersungguh
dan pendidikan akan lebih maju, akhirnya kerajaan menjana pendapatan yang
lebih. Apabila kita selaku Menteri Kewangan sekitar tahun 1993-1994 bercakap
tentang Ibn Khaldun dari abad ke 14 kepada audien, ada loyar-loyar buruk di
kalangan banker dan juruanalisa menyampuk, “ Menteri ini Wahabbi ke apa?” Dengan itu, kita bawa pula pandangan seorang
pujangga Cina kurun lalu yang juga menganjurkan thesis penurunan cukai yang seumpama.
Begitulah betapa sukar untuk lebih terbuka menampilkan model dan pengajaran di
luar kerangka sistem sedia ada untuk digarap dan difahami.
(Anwar Ibrahim, 2005)
No comments:
Post a Comment