Keadilan Sosial dan Integriti dalam Konteks Kepimpinan yang Silam: Kupasan Sedutan
Karya: Keadilan Sosial dalam Islam oleh
Sayyid Qutb
Menurut pengulas buku Anne
Norton, karya ”Social Justice and Islam”
menempelak banyak prasangka tentang Sayyid Qutb and Islam. Karya ini
mengandungi kritik yang tajam terhadap gangguan seksual dan eksploitasi wanita.
Buku ini meninjau implikasi politik terhadap zakat. Lazimnya, zakat dilihat
sebagai semacam sedekah bagi fakir miskin. Qutb berhujah bahawa jika difahami
dengan sebenarnya zakat menyediakan cara bagi memperbetulkan ketidakseimbangan
dan ketidakstabilan sementara pasaran disamping melindungi harta persendirian
dan perusahaan; ia membolehkan pemeliharaan dan pengagihan adil barangan
keperluan, memberikan prinsip dan amalan kebajikan sosial yang sejahtera tanpa
memupuk kebergantungan atau merendahkan maruah manusia. Aspek paling menyinar
buku ini adalah betapa pentingnya maruah dan kehormatan manusia kepada pelaksanaan keadilan ekonomi
dan tatacara politik.
Berikut cebisan daripada karya Sayyid Qutb bertajuk Keadilan Sosial
dalam Islam - Al-‘adalah al-ijtima’iyah fil ‘I-Islam:-
Realiti Sejarah Keadilan Sosial
dalam Islam
Islam adalah sistem syumul
akhlak, keadilan dan pentadbiran, dengan undang-undang dan prinsip shariah sebagai asas tunggal tadbir urus dan
segala-galanya dalam kehidupan ini.
Keadilan sosial itu boleh
dikatakan sebagai ruh Islam. Ruh ini sedia digarap oleh sesiapa yang mengkaji
sifat dan sejarah Islam. Ia jelas termaktub pada hukum-hakam Islam dan risalah
da’wahnya. Ia memberi kesan kepada semua orang, ia dapat dilihat pada tujuan,
peristiwa dan pada adat resam.
Ruh inilah yang menetapkan
standard amat tinggi bagi penganutnya berjihad bagi mencapai tujuannya. Ia
tidak terhad kepada ibadah khusus dan am. Standard ini sukar dicapai dan payah
dikekalkan. Ini disebabkan kecenderungan kehidupan manusia dan tirani
penindasan hidup. Standard ini melibatkan tanggungjawab berat, tugas ke atas
nyawa dan harta, keimanan dan sahsiah. Paling berat adalah ketaqwaan yang
menjadikan seorang Muslim senantiasa berwaspada pada dirinya dan memberikan
kesedaran akhlak yang tinggi. Ketaqwaan yang memperlihatkan kepadanya hak dan
tanggungjawab kepada diri, masyarakat, kepada manusia keseluruhannya dan kepada
Maha Pencipta.
Namun, kesusahan pencapaiannya
dan kepayahan mengekalkannya tidak bermakna Islam hanyalah satu abstrak, satu
falsafah khayalan atau idealisme yang menunjukkan kejatuhan atau kelemahan
manusia. Ia bukan kewajipan semua manusia pada setiap masa. Ia adalah objektif
bagi manusia untuk sasarkan samada hari ini, esok, sepertimana semalam,
objektif yang kadangkala mereka capai dan adakalanya mereka terlepas. Inilah
contoh keimanan dalam diri seseorang. Allah s.w.t. tidak membebankan seseorang
melebihi keupayaannya tetapi jalan ke arah ketinggian itu luas terbentang.
(2:286)
Ruh Islam ini telah meninggalkan
kesan pada realiti sejarah, kepada sahsiah-sahsiah dan sentiasa mentransformasi
dan memperbaharui sepanjang zaman. Contoh teladan uswah hasanah Rasulullah s.a.w. bersinar pada diri-diri sabahat dan
peribadi-peribadi zaman-zaman seterusnya. Kemenangan Islam adalah kemenangan
falsafah kerohanian yang berada pada jiwa manusia yang berpijak di bumi dan
hakikat ini menakjubkan bagi mereka yang masih memberi tafsiran materialistik
kepada fenomena ini.
Kenyataan ini dapat diungkapkan
melalui kata-kata hujah kepada Raja Habsyah, Najashi oleh Jaafar bin Abi Talib r.a. mewakili
Muhajirin bagi membidas hujah Amr al ’As yang mewakili Quraish. ”dahulu kami jahil, penyembah berhala dan
memakan bangkai, menindas golongan lemah, mengabai
amanah.................sekarang Rasulullah mengajar kami menyembah tiada yang
lain melainkan Allah, berkata yang benar, mengeratkan silaturrahim, memuliakan
manusia, memakan yang halal, menjauhi maksiat...”
Ada sebahagian pengkaji tersalah
kerana cuba mengukur dan merangka pemikiran dan akhlak di waktu gemilang itu
dengan menggunakan neraca serta nilai moral dan materialistik semasa. Kesilapan
ini mendedahkan salahfaham tentang fitrah manusia dan kemampuannya untuk
membangun dengan kesantunan. Kita perlu kembalikan kepada manusia satu
kepercayaan dan keyakinan kepada kemanusiaan yang telah tergambar pada zaman
itu yang boleh difahami oleh semua yang inginkan pencapaian standard yang
tertinggi itu.
’Umar al Khattab r.a. memikul
balang airnya sendiri. Dia bergilir menaiki unta bersama pembantunya secara
sederhana pada waktu pembukaan Kota Bayt al Maqdis. ’Ali r.a. menggigil
kesejukan pada musim sejuk kerana enggan menggunakan wang perbendaharaan untuk
baju panasnya. Abu ’Ubaida r.a. enggan meninggalkan tenteranya dan sanggup
terkorban bersama mereka apabila dilanda wabak.
Abu Hanifa membatalkan
perkongsian perniagaan dengan rakannya kerana rakannya menjual kain yang
mempunyai kecacatan pada harga biasa. Abu Hanifa kemudian mensedekahkan
pendapatannya itu kerana tidak mahu
hasil mahsulnya bercampur baur dengan yang syak. Yunus ibn ’Ubaid bertungkus
lumus mencari seorang Badawi kerana anak saudaranya telah menjual baju kepada
Badawi tersebut dengan harga yang berkali ganda. Dia membayar balik 200 dirham
lebihan itu walaupun si Badawi itu telah berpuas hati dengan harga asal. Badawi
itu mengatakan baju itu berharga lebih mahal daripada itu di daerah asalnya. Yunus
menjawab, ”Keikhlasan dalam agama lebih
bernilai dan berharga daripada dunia dan seluruh isinya.”
Itulah natijah Islam ke atas jiwa
manusia apabila ruh Islam diterapkan dan kemuliaannya tersebar luas.
Islam telah membolehkan hamba
abdi dan keturunan mereka mengangkat martabat hingga menjadi kepimpinan dalam
masyarakat. ’Usama ibn Zaid dilantik ketua bala tentera Islam bagi ekspedisi ke
Rum dan berlakulah perbualan yang masyhur menunjukkan betapa Khalifah Abu Bakar
r.a. bersikap rendah diri. Begitu juga golongan bangsawan pula merendahkan diri
ke taraf kesaksamaan. ’Umar menegur dan memberi amaran kepada para gabenornya
supaya tidak menzalimi rakyat jelata.
Sufyan al Thauri pergi berhadapan
dengan Khalifah Abu Ja’far al Mansur menegurnya kerana membelanjakan harta
Allah s.w.t. dan umat Muhammad s.a.w. tanpa keizinan umat. Setiausaha Khalifah,
’Abu Ubaid membantah, ”Wajarkah Amirul
Mu’minin mendengar ini semua?”. Sufyan menjawab, ”Kamu diam! Fir’aun dan Haman telah membinasakan satu sama lain.”
Abu Yusuf selaku Qadi apabila
menghukum di antara Khalifah al Hadi dengan seorang awam tentang pertikian
pemilikan sebuah ladang kebun, memutuskan bagi pihak individu tersebut walaupun
Khalifah merasa terhina.
Sultan Isma’il daripada dinasti
Ayyubi telah mengadakan perjanjian dengan golongan Frank tentera Salib dan
menyerahkan kota Sidon serta beberapa buah kubu lain. Dia inginkan pakatan bagi
melawan saudaranya Najm al Din Ayyub. ’Izz al Din ’Abd al Salam mengutuknya
dengan keras atas tindakan ini. Sultan Isma’il marah dan memenjarakan ’Izz al
Din. Apabila utusan raja dihantar bagi menawarkan kebebasan bersyarat
kepadanya, ’Izz al Din menolak dengan tegas.
Ruh keadilan sosial Islam ini
terbukti apabila ’Umar menawan wilayah Fars yang amat luas itu, dia membiarkan
tanah yang ditakluk berada di tangan pemilik-pemilik asal dengan mengenakan
cukai kharaj sahaja. Ini menunjukkan
Islam melayani wilayah taklukannya menurut prinsip kemanusiaan, memberikan
kebebasan dan membawa manfaat. Islam juga mengizinkan penduduk wilayah yang
ditakluki untuk mengamalkan ajaran agama mereka serta melindungi tempat ibadat
mereka, rahib serta padri mereka.
Peri penting juga dicatatkan
bahawa Islam mematuhi perjanjian dan pakatan yang dibuat. Ini sesuatu fenomena
yang jarang serta tiada bandingannya samada pada empayar terdahulu atau pada
zaman modern.
Pada awal Abu Bakar r.a. memeluk
Islam dia mempunyai 40,000 dirham hasil perniagaan. Selepas hijrah dia hanya
tinggal 5,000 dirham dan itupun dibelanjakan bagi membebaskan hamba sahaya
serta sedekah kepada fakir miskin. Apabila ‘Umar r.a. memperolehi hartanah
bernilai di Khaybar, dia menjadikannya harta waqf untuk yang memerlukan. Uthman
r.a. mensedekahkan kesemua barangan kafilahnya
yang dibawanya kepada penduduk daif di Madina sewaktu musim kemarau panjang.
‘Ali r.a. dan keluarga rumahnya memberi kesemua roti yang ada supaya yang daif
terpelihara manakala mereka sendiri sekeluarga tidor dengan perut yang lapar.
Kabilah Toureg di Utara Afrika
terkenal tentang persaudaraan, memuliakan jiran dan layanan ke atas tetamu.
Kesetiakawanan mereka bukan kerana mereka penduduk terpencil padang pasir
tetapi itulah ruh Islam yang masih segar di kalangan masyarakat desa dan
perkampungan Islam merata dunia.
Perasaan saling bertanggungjawab
yang dipupuk oleh Islam ini bukan terletak atas bahu individu atau masyarakat
sahaja tetapi pemerintah mempunyai peranan yang besar. ‘Umar r.a. melaksana
konsep takaful ijtima’iy. Dia
sediakan perbelanjaan perbendaharaan bagi orang tua dan orang sakit yang tidak
termasuk asnaf zakat. Hukum had ke atas pencuri ditawaquf - ditangguhkan sewaktu rakyat dalam kahat kelaparan. ‘Umar
mengarahkan perbendaharaan membantu seorang Yahudi yang tua dan buta kerana
kedaifan. Dia juga menyediakan tanah, peruntukan dan makanan kepada komuniti
kusta Kristian di Syria. Demikian ’Umar mengangkat ruh Islam ke tahap universal
lebih 1300 tahun yang lalu.
Dalam pelantikan kepimpinan,
persetujuan am umat Islam perlu diperolehi. Inilah yang berlaku pada peristiwa
pelantikan ’Abu Bakr di Saqifa. Apabila Abu Bakar melantik ’Umar sebagai
pengganti maka masih persetujuan am umat diperolehi.
Apabila tiba zaman pemerintahan
Umayyah, khilafah bertukar menjadi dinasti monarki beraja dan penguasa zalim
turun temurun. Kezaliman ini bukan ciri Islam kerana ia datang daripada amalan
jahiliah Bani Umayyah. Persetujuan umat tidak diperolehi tetapi ancaman pedang
dihunus supaya rakyat taat setia kepada Khalifah yang mereka benci. Sehinggakan
ada seorang khalifah yang menyayangi monyet-monyet peliharaan lebih daripada menjalankan
pentadbiran dan urusan rakyat jelatanya. Islam tidak bertanggungjawab ke atas
kemunculan mereka ini. Bani Umayyah sahajalah yang enggan merestui pakatan Hilf
al Fudl. Kita mengecam khalifah berkenaan bukan sahaja kerana memperkenalkan
sistem politik pemerintahan turun temurun bahkan kerana memaksa rakyat
menerimanya.
Unsur moral dan akhlak
diketepikan oleh puak-puak yang menentang kepimpinan ’Ali r.a. Inilah pertama
kalinya akhlak ditindas dalam sejarah Islam. Pada hal politik dalam Islam
adalah manifestasi akhlak dan budipekerti di dalam sanubari diri dan berakarkan
kepada fitrah. Jenayah paling besar adalah apabila ruh Islam ini dimusnahkan
dengan menumpaskan unsur moralnya secara total.
Pada zaman khalifah yang rashidin wal mahdiyin - terpimpin dan
adil, fungsi khalifah adalah pelaksanaan pematuhan kepada keimanan dan hukum
Allah s.w.t. ke atas umat Muslim. Tidak terlintas oleh mereka untuk menggunakan
kedudukan istimewa ini bagi mengambil peluang dan melakukan penyelewengan.
Sebagai contoh ’Ali r.a. tidak mengambil apa-apa langsung daripada khazanah
negara tetapi bukan kerana kejahilannya. Dia bertindak demikian kerana sebaik
saja seorang itu menjadi pemimpin dia menjadi objek syak wasangka dan contoh
teladan. Dia tidak mahu dilihat oleh rakyat dan para gabenornya sebagai pengaut
wang rakyat dan dia ingin menjadi contoh kejujuran dan zuhud. Pemerintahan
Islam yang sedang berkembang mekar dan tatacara sosial baru itu memerlukan
pengorbanan para pemimpinnya dan kerelaan bersusah payah. Khalifah yang rashidun hidup secara zuhud sehingga
pada akhir hayat tidak meninggalkan harta.
Bagi mereka yang inginkan
kedudukan dan yang telah biasa dengan keenakan tidak rela dengan peraturan
kesaksamaan dan keadilan. Mereka menyertai puak yang bersaing dengan ’Ali
kerana di sana mereka berpuashati dengan memijak-mijak kebenaran dan kesedaran.
Mereka melihat kelicikan politik pada lawannya yang tiada pada ’Ali. Mereka
tersalah apabila meletakan ini sebagi kelebihan yang mengalahkan ’Ali. Mereka
gagal memahami ’Ali dan cabaran yang harus dia tangani. Tugas paling besar ‘Ali
adalah untuk memugar semula tradisi Islam dan ruh sebenar keimanan serta
meruntuhkan hijab yang menyelubungi kelemahan pemerintahan yang materialistik.
Jika ‘Ali menyamai lawannya dengan mengenepikan akhlak dan moral maka dia akan
gagal dari kacamata keimanan. ‘Ali berkata, “Dia bukanlah lebih pintar daripada
aku tetapi dia rela khianat dan ingkar. Kalaulah aku tidak bencikan
pengkhianatan, mungkin aku adalah manusia paling pintar.”
Ketempangan berlaku apabila dana
kerajaan diberi secara bebas kepada suku sakat dan kaum kerabat. Keluarga
terdekat diberi kedudukan dan pangkat. Pada satu hari seorang khalifah memberi
wang perbendaharaan sebanyak 200,000 dirham kepada menantunya. Esok harinya,
Bendaharinya datang dengan wajah sedih dan air mata yang berlinang. Dia memohon
khalifah supaya menerima perletakan jawatannya. Apabila diberitahu bahawa ia
adalah disebabkan hadiah menantu Khalifah, si Khalifah bertanya dengan perasaan
hairan, ”Adakah kamu menangis kerana aku memberi hadiah kepada keluargaku?”.
”Bukan, Amirul Mu’minin. Aku menangis kerana sebelum ini dan sewaktu zaman
Rasulullah s.a.w. wang ini dibelanjakan di atas jalan Allah. Jika kamu berikan
100 dirham sekalipun, demi Allah, itupun sudah melampau.” Khalifah memecatnya
dan melantik Bendahari yang lain.
Pengganti-pengganti khalifah
seterusnya mengikut amalan ini. Pentadbiran ekonomi ditentukan oleh ciri-ciri
kepentingan diri masing-masing. Wang rakyat diguna untuk rasuah dan hadiah,
untuk membeli pengikut dan penyokong dan kegiatan seumpamanya. Sebahagiannya pula
diguna untuk peperangan dan penaklukan.
Apabila ’Umar Abd Aziz dilantik
menjadi khalifah, dia menyeru dan menyerah kembali perlantikannya kepada
pemilihan rakyat kerana dia sedari bahawa dia telah dilantik tanpa persetujuan
rakyat. Rakyat merestu dan mengangkat kepimpinannya. ’Umar Abd Aziz bermula
dengan muhasabah hartanya sendiri dan memulangkan kembali semua harta rakyat.
Dia memberitahu isterinya, Fatimah anak kepada Abd Malik ibn Marwan yang telah
mendapat barangan kemas hadiah bapanya yang bernilai tanpa taranya, supaya
memilih samada mengembalikan semuanya kepada perbendaharaan atau diceraikan.
Fatimah memilih untuk bersama suaminya. Apabila ’Umar Abd Aziz kembali ke
rahmatullah, Khalifah baru yang menggantinya iaitu abang kepada Fatimah menawarkan
untuk memulangkan barangan kemas itu. Fatimah menjawab bahawa dia tidak
menginginkan harta itu. Khalifah berkenaan pun mengambil dan
membahagi-bahagikan barangan kemas itu kepada isteri-isteri dan anak-anaknya sendiri.
Pada masa ’Umar Abd Aziz, dia mengarahkan
anak-anak Marwan supaya mengembalikan harta milik rakyat yang ada pada mereka.
’Umar Abd Aziz telah mengawal perbelanjaan kerajaan supaya tidak membazir dan
kehilangan. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila wang rakyat terpelihara dan
hanya dibayar kepada mereka yang layak maka keseluruhan wilayah Islam tidak
mempunyai penerima zakat yang layak. Yahya ibn Sa’ad menceritakan bahawa ’Umar
mengutuskannya ke Afrika bagi mengutip zakat. Apabila selesai kutipan, dia
mencari golongan fakir miskin bagi mengagihkannya. Dia bersama kumpulannya
gagal menjumpai golongan miskin mahupun sesiapa pun yang ingin menerima zakat
itu. Katanya, ”’Umar telah membereskan keperluan mereka sehinggakan aku
terpaksa menggunakannya bagi menebus hamba sahaya sahaja.”
Kesimpulan
Kefahaman Islam tentang
masyarakat hanya boleh dicapai melalui memahami bahawa hakikat kejadian alam,
kehidupan dan manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. untuk satu tujuan yang telah
ditentukan. Kefahaman ini tidak akan lengkap melainkan ianya syumul dan
komprehensif memahami tujuan hidup manusia sebagai individu dan kolektif
sebagai jamaah masyarakat.
Dengan mendalami realiti
bersejarah keadilan sosial dalam Islam, dengan menilai dasar dan prestasi
kepimpinan awal, ia memberikan gambaran dan penghayatan pelaksanaan keadilan
dan penilaian kritikal serta pengajaran yang bermakna kepada generasi
seterusnya.
Sifat-sifat kemasyakatan dan
ciri-ciri keadilan sosial melibatkan konsep hak, kesedaran, kebebasan,
kesaksamaan, tanggungjawab dan akauntabiliti bukan kerana inilah persoalan atau
isu-isu dibangkitkan oleh Barat tetapi semua konsep ini adalah elemen-elemen
asasi kehidupan dan penghayatan Islam dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment