Thursday, April 25, 2013

Keadilan Sosial dan Integriti Konteks Semasa


Keadilan Sosial dan Integriti dalam Konteks Semasa

Perbahasan:

Persoalannya adakah semestinya hanya ’Umar Abd Aziz sahaja yang harus dirujuk sebagai pemimpin Muslim contoh yang adil. Tiadakah pemimpin lain semasa atau yang sesudahnya yang seumpamanya dalam memerintah dengan adil? Kenapa seolah-olah penilaian keadilan sosial dan integriti di Barat terutama di Scandinavia atau New Zealand berada di tangga teratas manakala negara-negara Islam diberi taraf yang terendah. Sukarelawan Norway sebagai contoh berkhidmat sebagai pengaman dan pekerja bantuan yang disambut baik di merata pelusuk bumi Islam yang dilanda musibah dan peperangan. Negarawan dan tokoh politik mereka menjelajah seluruh dunia dengan misi membawa puak-puak bertentangan ke meja rundingan. Mereka mencerminkan altruisme dan semangat kemanusiaan -”the spirit of humanity”. Masyarakat sivil mereka sangat kuat dan bertindak bagi mengawal ketelanjuran kerajaan. Institusi demokratik berfungsi mengawal dan memastikan keadilan pemerintahan. Kenapa umpamanya dikatakan PM Sweden berhenti di lampu isyarat jika lampunya merah?

Sebaliknya pula kenapa institusi kerajaan dan masyarakat sivil Malaysia begitu rapuh hanya akibat suatu kes politik? Institusi seperti perundangan, keselamatan, segelintir ulama’, profesional, pentadbir, media dan pemimpin masyarakat boleh berkompromi, semua terpalit dan tercalit dengan bauran fitnah yang semakin melebar. Alasan biasa digunakan adalah demi ketuanan bangsa, dominasi politik dan kestabilan, maka prinsip tergadai. Adakah prinsip moral dan integriti iaitu tonggak keadilan sosial itu tidak menjadi keutamaan umat Islam lagi?

Kemenangan pilihanraya pula dicapai melalui siri propaganda pembodohan besar-besaran dan intimidasi ancaman-ancaman. Make people fear or make people feel good. Tidakkah perbuatan mengancam seperti ini semata-mata bagi kemenangan politik picisan adalah menghampiri kesesatan? Apa ertinya kemenangan yang dicapai melalui penindasan serta penipuan, dan bayangkan pula kualiti kepimpinan yang lahir daripada sistem yang korup ini.

Rasuah diubah wajah dan politik wang semacam direstui serta dilebarkan mekanismenya hingga merakyat. Maka segala bantuan dan pemberian serta pendapatan menjadi sangsi. Perkara ini pula menjadi kebiasaan dan amalan tanpa kesedaran tentang nilai kejujuran serta kian menghakis  nilai mulia tradisi orang kampung, orang berintegriti dan orang beragama.

Pada segi ekonomi pula, berlaku pemberian projek raksaksa kepada yang tidak layak, pilih kasih serta ketirisan besar-besaran sehingga berlaku amalan sub-kontrak secara tidak sah menjadi kelaziman dan berleluasa. Maka secara terang-terangan berlaku nepotisme dan kronisme dalam pengagihan peluang perniagaan dengan sistem penaung-penajaan-”patronisation” yang berangkaian rapat dengan penerajuan parti politik yang berkuasa. Bak kata seorang pemimpin yang kurang cermat – I help you, you help me gua tolong lu, lu tolong sama gua.

Tekanan bisnes dan ekonomi boleh menyebabkan perbalahan serta amalan tidak beretika termasuk di kalangan rakan seperjuangan tanpa pengecualian. Malah ungkapan ”Inilah bisnes, Sheikh!” menjadi alasan bagi menjustifikasi kerendahan moral sesetengah para peniaga Muslim.

Pemimpin, Keadilan dan Mehnah

Para pejuang Islam yang telah menegakkan keadilan dan kebenaran seperti  contohnya Imam Hasan al Banna dan Sayyid Qutb sehingga kini dianggap teroris padahal mereka mengemukakan idea dan ideologi membangunkan ummah. Inilah fitnah besar yang terus menerus dilemparkan kepada tokoh-tokoh gerakan Islam. Sehingga kini tiada pengiktirafan sumbangan besar mereka tercatat kepada perkembangan pemikiran Arab dan Islam serta reformasi masyarakat. Secara ilmiahnya seolah-olah mereka bukan tokoh bersejarah. Komentar tentang sumbangan mereka pun tidak menyentuh dengan meluas konsep keadilan sosial yang dicuba dibawa dan diterapkan oleh mereka dan pergerakan mereka. Apa yang selalu ditonjolkan adalah radikalisme dan soal hukum perundangan, mendirikan negara Islam berbentuk legislatif dan theokrasi. Kehebatan kesusasteraan dan olahan unik pencerahan sosial serta ilmu kemanusiaan Sayyid Qutb pun dipendam dan tidak dihebahkan. Mujur ada inovasi Parti Islam tempatan dengan diutarakan label negara kebajikan yang sekurang-kurangnya menyegarkan perbahasan idea kontemporari konsep membangunkan negara dalam Islam seiring dengan sebuah lagi Parti yang memperjuangkan keadilan sosial, menjambatani jurang perbedaan etnik dan menyantuni kemajmukan sebagai warganegara – muwatinun.

Tiada siapa pun menghukum bunuh Marx atau Engels walaupun  mereka pengasas idealogi komunis yang sangat berlawanan dengan sistem feudal/laissaz-faire Eropah semata-mata kerana ideologi? Namun kedua-dua Imam Hasan al Banna dan Sayyid Qutb dibunuh. Imam Hasan al Banna dibunuh kerana telah menjadi ancaman politik kepada Raja Faruq dan kerajaan boneka tajaan kolonial British yang korup itu. Sayyid Qutb pula dihukum bunuh kerana menggagaskan idea, menulis sebuah buku berjudul ”Ma’alim fi tariq” di negara Islam Mesir. Di Yugoslavia pula Alija Izetbegovic dihukum penjara 11 tahun oleh kerajaan komunis Tito  semata-mata kerana karyanya ”Islam between the East and the West” – perbahasannya membandingkan ideologi besar era itu. In berlaku pada sekitar tahun –tahun 50-60’an.

Di Malaysia pula tokoh gerakan Islam dan mantan pemimpin negara dihukum 6 tahun penjara kerana apa yang banyak pihak mengatakan sebagai kesalahan politik. Pada abad ke 16 di Britain, Chancellor Thomas More teraniaya dan dihukum pancung oleh Raja atas kesalahan politik kerana mempertahankan prinsip dan enggan merestui keinginan Raja Henry VIII untuk menceraikan permaisurinya dan berkahwin lain. Tetapi itu berlaku di Britain pada abad yang sudah lampau.

Ancaman politik kepada pemerintah yang dibawa dalam gagasan Anwar Ibrahim adalah bersifat reformasi sosial, perubahan sosial, tadbir urus ekonomi dan tuntutan ke atas pelaksanaan keadilan sosial. Apa yang berlaku pula kepada Anwar Ibrahim dalam usaha menyekat kemaraan politiknya boleh diistilahkan sebagai “Kafkaesque” (an intentional distortion of reality by powerful but anonymous bureaucrats. Lack of evidence is treated as a pesky inconvenience, to be circumvented by such Kafkaesque means as depositing unproven allegations into sealed files ...) – putar belit kebenaran oleh penguasa dan manipulasi konco-konco. Musuhnya menggunakan taktik masyhur pelopor propaganda Nazi, Goebbels iaitu “If you repeat a lie often enough, it becomes the truth ” - sesuatu pembohongan yang utarakan berulangkali akhirnya akan dipercayai.

Kefahaman dan Komitmen Keadilan Sosial dan Integriti

Di antara tujuan utama shariah - Maqasid al Shariah – adalah bagi menegakkan keadilan sosial dan memelihara integriti masyarakat. Oleh itu kenapa ia tidak dipertahankan dengan secara yang lebih gigih dan diutamakan.

Jika disingkap sejarah tentang Hilf al-Fudul (alliance of the virtuous) – Pakatan mulia ini sebenarnya mencerminkan etika Islam walaupun berlaku pada zaman jahiliyyah sebelum perlantikan Ar Rasul s.a.w. Pakatan Hilf al-Fudul melambangkan kepentingan hak asasi manusia dan perlindungannya dalam Islam.

Persoalannya kenapa sering dilihat tokoh, autoriti agama dan pergerakan Islam kini berpendirian sangat lemah dalam menangani isu integriti seperti hal penyelewengan kuasa, qazaf dan juga hal rasuah. Begitu juga apabila diteliti pendirian dan kesungguhan berhadapan hal tanggungjawab sosial dan keadaan taraf hidup umat serta keluhan rakyat. Sudah tentu kita tidak rela ketinggalan dan membiarkan isu-isu ini diperjuangkan hanya oleh golongan liberal-sekularis. Kita tidak boleh serahkan isu hak asasi, keadilan dan integriti kepada sebarang golongan untuk dimonopoli.

Oleh itu, gerakan Islam dan pencinta keadilan perlu berpegang teguh kepada prinsip dan idealisme perjuangan, tampil dan mengolah, mengartikulasi secara ilmiah dan intelektual serta amali di lapangan, konsep serta pelaksanaan keadilan sosial dan integriti dalam Islam pada konteks semasa dengan mengambilkira kepentingan kedudukan Islam, kewarganegaraan dan realiti masyarakat majmuk. Kefahaman ini pula perlu mampu diperturunkan secara merakyat bagi menyedarkan, meyakinkan dan menggerakkan rakyat jelata untuk menegakkan keadilan dan kebenaran dalam kehidupan bermasyarakat justeru menjadi warga negara berintegriti dan bermaruah.

No comments: