Teladan Surah An-Nur Berkenaan Tuduhan Zina dan Liwat
- al marhum Ustaz Hj Muhammad Rivai Batubara
Sekiranya
berlaku pertuduhan zina atau liwat yang belum disahkan (sabit) oleh mahkamah
Syariah, maka pendukung dakwah perlu mengambil panduan dari beberapa ayat Surah
An Nur dalam peristiwa "Hadis al Ifki", atau berita bohong yang
direka-reka kaum Munafikin untuk mencemarkan nama baik Ummul Mukminin Saidatuna
Aisyah R.A. Di antara yang penting :
1. Bersangka baik terhadap orang-orang mukmin dan
mukminat.
Firman Allah SWT
pada ayat 12 :
"Mengapa
orang-orang mukmin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka
sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata : " Ini
adalah (suatu berita) bohong yang nyata !"
2. Berusaha menghadirkan empat orang saksi.
Firman Allah
pada ayat 13 :
"Mengapa
mereka ( yang menuduh itu ) tidak datang membawa empat saksi oleh kerana mereka
tidak membawa saksi-saksi, maka mereka itu dalam pandangan Allah adalah
orang-orang yang berdusta."
3. Jangan dipergunjingkan, disambung dari mulut ke
mulut, tanpa ada pengetahuan mengenainya, dengan menganggapnya perkara remeh,
pada hal di sisi Allah adalah perkara yang amat besar.
Firman Allah
ayat 15:
"(Ingatlah)
ketika kamu menerima ( berita bohong ) itu dari mulut ke mulut dan kamu
katakana dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun, dan kamu
menganggap remeh, pada hal dalam pandangan Allah itu soal besar."
4. Tidak sepatutnya melibatkan diri untuk membicarakan
hal yang seperti ini apatah lagi terhadap orang yang dikenal kebaikan dan
kehormatannya.
Firman Allah
ayat 16:
"Dan
mengapa kamu tidak berkata ketika mendengarnya " Tidak pantas bagi kita
membicarakan ini. Maha Suci Engkau, ini adalah kebohongan yang besar."
5. Jangan mengulangi perbuatan itu lagi
selama-lamanya.
Firman Allah
ayat 17:
"Allah
memperingatkan kamu agar ( jangan ) kembali mengulangi seperti itu selama- lamanya, jika kamu orang beriman."
6. Allah menegaskan bahawa orang-orang yang menyukai
perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang
yang beriman akan mendapat 'azab yang pedih di dunia dan akhirat.
Firman Allah
ayat 19 :
"Sesungguhnya
orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong ) tersiar di kalangan
orang-orang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan
Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
Seperti
dimaklumi bahawa penggerak utama berita bohong ini ialah Abdullah bin Ubay,
ketua Munafiqin. Di dunia ini dia telah mendapat azab tersingkir dari
masyarakat kerana telah mendapat laknat daripada Allah dengan sifat nifaqnya.
Manakala di akhirat ditempatkan di lapisan yang paling bawah dari neraka.
Dari kalangan
orang-orang Islam ada tiga orang yang terlibat dalam penyebaran berita bohong
ini, iaitu Misthah bin Uthathah, Hassan bin Thabit dan Hamnah binti Jahasy.
Mereka telah dijatuhi hukuman qazaf. Kemudian Misthah menjadi buta, manakala
Hassan buta dan lumpuh kedua tangannya. (lihat Tafsir Al Munir, j.18 mengenai
penafsiran Surah An Nuur )
Dengan panduan
ini pendukung dakwah diharapkan mempunyai pendirian yang jelas dalam
menyingkapi fitnah yang sedang dihadapi dan tidak terpengaruh dengan pelbagai
pemikiran yang mengelirukan, kerana panduan ini datang daripada Allah SWT.
Firman Allah :
"Jika
datang kepadamu petunjuk daripadaKu, maka barangsiapa mengikuti petunjuk Ku,
dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari
peringatanKu, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit."
(Q.S. Thahaa 123–124 )
(al marhum Ustaz Hj
Muhammad Rivai Batubara adalah aktivis ABIM Perak Darul Ridzuan serta antara
pengasas Ma'ahad Ummah Chemor, Pendakwah Darul Ifta' , pernah dilantik Ketua
Biro Dakwah Persekutuan Seruan Islam dan AJK PERKIM Negeri Perak)
Rujukan
ihsan: http://al-iltizam.blogspot.com
No comments:
Post a Comment