Apa yang sebutkan sebagai political Islam - politikal Islam bukan
berada dalam keruntuhan, tetapi ia sedang mengalami proses koreksi dan
penyediaan ke arah fasa baru, pada masa depan, dengan urustadbir yang lebih
baik.
Sebaik saja golongan Islamis
menghadapi rintangan, atau dengan laporan pengurangan kiraan undi walau sedikit
pun, maka muncullah pakar-pakar pemerhati Barat yang sering memantau
perkembangan gerakan Islam, mereka tergesa-gesa mengumumkan kepada dunia bahawa
politikal Islam telah gagal dan hancur lebur, dan telah ditamatkan riwayatnya.
Pengisytiharan ini dihebahkan berulang kali pada forum-forum dan
kenyataan-kenyataan mereka kepada pihak media yang menjemput mereka sebagai
pakar tuntas dan dapatan yang muktamad.
Rakan-rakan seangkatan mereka di
dunia Islam dan suara-suara media kita pun menggema dan mentalunkan
kenyataan-kenyataan yang sama dengan persepsi bahawa ianya fakta yang sudah pasti
tanpa keraguan.
Peristiwa-peristiwa di Mesir
sejak beberapa bulan ini telah membekalkan bahan yang banyak untuk mereka
berthesis, berseminar dan mendakwa, dengan cara sedemikian itu pakar-pakar ini dapat
meningkatkan semula populariti mereka.
Betulkah dakwaan-dakwaan ini?
Adakah apa yang dikenali sebagai politikal Islam sedang mengalami kemerosotan
yang serious dan tenat, serta menuju kegagalan dan kematian? Atau adakah ia
perihal beberapa jejak langkah kebelakang dan dalam pada itu sedang bersiap
sedia untuk pelancaran baru, bagi bergerak maju ke hadapan. Rintangan-rintangan
yang dihadapi itu hanyalah titik-titik kejatuhan sementara pada rajah keluk peningkatan menyeluruh.
Istilah Pergerakan Islam lebih
digemari oleh golongan Islamis sendiri, berbanding dengan terma politikal
Islam. Istilah ini merujuk kepada semua
usaha dan tindakan menyebar dan menyampaikan Islam sebagai kalimah Allah s.w.t.,
agar mendekati satu cara hidup sempurna, dan risalah kebenaran Islam kepada
sekalian manusia. Risalah ini, menurut perangkaan, adalah agama dan cara hidup
yang terpantas berkembang kini, dan penganut-penganutnya adalah yang paling
bersedia berkorban segala-galanya demi memperjuangkan dan melindungi agama ini.
Oleh itu landasan apa yang
dikatakan kononnya sebagai politikal Islam (Pergerakan Islam) adalah wadah
agama terbesar di dunia, dan teknik-teknik moden berkomunikasi telah
mengupayakannya disebarkan dengan kadar yang laju dan lebar. Ini kerana Islam
menghadapi rintangan yang kecil disebabkan wujudnya vakum kekosongan, kebimbangan
eksistensial, dan kelemahan serta keruntuhan pengeram mesra zaman moden iaitu
keluarga dan kerabat.
Ini berlaku pada masa di mana
kerajaan-kerajaan sedang menuju ke arah mengabaikan tugas-tugas
keprihatinan rakyat, yang mengakibatkan
keresahan dan pemencilan. Ini adalah satu kesan pertumbuhan sekularisasi dan ini
menghambat manusia untuk mencari rahmah dan kemesraan di pusat-pusat dan organisasi-organisasi
di mana keperluan jasmani dan rohani, individu dan kumpulan, beragama dan
keduniaan, patriotik dan pengantarabangsaan dipadukan. Inilah apa yang orang
tercari-cari dan mengesan pada Islam itu, kesyumulan tasawurnya dan kesederhanaan
ciri-cirinya.
Ini menerangkan kenapa banyak
orang yang terdiri daripada pelbagai latar hidup dan budaya, masih tertarik
kepada Islam, walaupun wujud serangan kebencian dan momokan yang dilancarkan ke
atas Islam, pergerakannya dan penduduk minoritinya.
Gerakan Islam
arus perdana, dengan mengenepikan elemen-elemen ekstremis di pinggiran yang
hadir pada setiap ideologi dan bangsa, telah membentangkan Islam sebagai
pelengkap segala kejayaan, pencapaian dan sumbangan pelbagai tamadun, bukan
bertentangan dan berlawanan dengan segala pencapaian modenisasi, contohnya
pendidikan untuk semua lelaki dan wanita, dan nilai keadilan, kesaksamaan, hak,
dan kebebasan tanpa sebarang diskriminasi berasaskan kepercayaan, jantina, atau
warna, bagi menjamin hak semua warganegara, kemanusiaan, termasuk kebebasan
politik dan beragama, sepertimana amalan demokrasi moden. Hak-hak ini dan kebebasan adalah kewajipan
yang diberikan kepada manusia seperti disebutkan di dalam al Quran “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam” (al Qur’an, Al-Isra’:70)
Gerakan Islam, yang bergerak
berdasarkan Islam sebagai agama fitrah, berusaha membawa penyelesaian kepada
permasalahan masyarakat dan menyumbang kepada penyelesaian masalah manusia,
memanfaatkan kebitaraan tamadun-tamadun lain yang padan dengan nilai-nilai
Islam dan bertujuan memenuhi kepentingan manusia. Gerakan ini adalah paling
dekat dengan jiwa rakyat dan menjadi jurubicara umat, menyuarakan nilai,
konsep, dan bahasa, dan tarikan popularnya adalah tanpa tara tandingan, jika
gerakan Islam menyelami dan memahami masalah rakyat dan mendekati mereka
menurut latar faham dan intelektual umat itu.
Selama lebih setengah abad,
gerakan-gerakan Islam telah dikenakan penganiayaan dan pembantaian secara
berterusan, kezaliman yang jarang sekali terhenti lama bagi memulihkan dan
mengembalikannya malah ditekan dan ditindas dengan lebih kejam lagi.
Penindasan yang berterusan dan
bertalu-talu ini menyebabkan terjadi beberapa natijah, iaitu menerapkan legasi
warisan aktivisme dan perjuangan di kalangan para Islamis yang mengerat ikatan
persaudaraan mereka, juga kebersamaan berkongsi sejarah yang selama tiga
generasi telah mereka mengalaminya.
Penindasan brutal ini juga
menatijahkan mereka mendapat simpati umat memberikan mereka kelebihan mengatasi
pesaing politik yang lain, kerana orang menghargai dan mengingati pengorbanan
mereka yang telah berjuang menentang kezaliman.
Lebih-lebih lagi pada hari ini,
golongan Islamis berada pada posisi yang mulia dan teguh, kerana di samping
ciri akrab mereka dengan kefahaman jiwa dan
budaya rakyat, Islamis – seperti di Mesir – berdiri tegak memperjuangkan
nilai kemuliaan, mempertahankan kehendak pilihan rakyat dan hak mengundi. Lagipun, Islamis
menerajui revolusi aman yang gemilang bagi mempertahankan nilai revolusi,
termasuk kebebasan media – kebebasan yang telah pelihara oleh mereka sewaktu memerintah
tetapi dinodai oleh kudeta – juga memperjuangkan pluralisme politik dan
perjuangan-perjuangan besar negara, termasuk isu Palestine.
Sebagai perbandingan sebaliknya,
liberalisme Mesir yang mengakar, termasuk parti Wafd, berada bersekongkol
bersama puak anti – revolusi, memilih untuk bernaung di bawah kudeta tentera
dan menyokong perintah tentera, membenarkan angkatan tentera dan kereta-kereta
kebal mereka untuk menggilis peti-peti undi, merempuh kehendak rakyat, meragut
nyawa-nyawa orang, menutup mulut media, mengisi penjara-penjara penuh dengan
tahanan-tahanan politik dan melepaskan peluru tembakan hidup ke atas orang
awam.
Salah satu daripada perjuangan
agong Mesir, iaitu Palestin, ia telah diubah kepada pendakwaan jenayah, kerana
presiden (Dr. Morsi) yang dipilih rakyat sedang dihadapkan pertuduhan oleh
general kudeta, kerana didakwa bersubahat dengan Hamas, sebagai alasan yang tak
masuk akal bagi melucutkannya dan bagi melayani kehendak Israel.
Bukankah sikap dan pendirian
golongan elit “modernis” Mesir dan rakan-rakan seangkatan mereka di
negara-negara Arab lain, yang bertepuk tangan menyambut baik kudeta ini
sebenarnya “membunuh diri” mereka secara kolektif? Sikap ini amat berbeda
dengan pendirian bermaruah Gerakan Islam yang menentang kezaliman ini, tanpa
sebarang senjata kecualilah keimanan mereka.
Daripada aspek sejarah, strategik
dan nasional, bolehkah kita anggap bahawa menyokong kudeta tentera yang brutal
adalah suatu kemenangan bagi liberal, progresif atau sekular, dan bolehkah kita
simpulkan bahawa apa yang terjadi adalah kekalahan dan penamat bagi politikal Islam?
Kami yakin tanpa sebarang
keraguan bahawa apa yang terjadi di Mesir bukan terkambuhnya politikal Islam, tetapi
adalah terkambuhnya dan malang bagi apa saja tinggalan liberalisme sekular Arab
dan nasionalisme, melainkan mereka sedar diri dan membetulkan posisi mereka.
Sementara itu, kudeta ini
memberikan pelunag dan kesempatan untuk Gerakan Islam membuat semakan dan
mengkoreksi kesilapan-kesilapan dalam urustadbir, menjadikan ia lebih terbuka
kepada pembangkang di Mesir dan tempat-tempat lain, terutama di kala negara
sedang melalui fasa transisi yang tidak mungkin boleh diurus oleh hanya satu
parti atau satu trend sahaja, juga tidak patut perlembagaannya digubal oleh
satu trend sahaja.
Gerakan Islam di Mesir dan
negara-negara lain menyedari hakikat ini, menjadikannya lebih terbuka kepada
semua suadaya-suadaya nasional dan memberikan ruang dan peluang untuk
golongan-golongan lain ini bukan sahaja untuk berpartisipasi dan bersekutu
dengan mereka, malah mereka boleh memperolehi posisi-posisi kepimpinan di dalam
parti-parti Islamik, kerana Islam adalah warisan untuk dikongsikan bersama
seluruh negara.
Walaupun Ikhwan al Muslimin Mesir
menempuh nasib malang yang berulang di tangan pemerintah-pemerintah Mesir
daripada Raja (Farouk) dan terutama sekali pada pemerintahan Abdel Nasser, ia
masih tidak dapat menandingi, samada secara kuantitatif atau kualitatif, nasib
mereka sedang hadapi di bawah cengkaman kuasa General Al-Sisi. Bilangan mangsa
yang menjadi shuhada pada masa 60
tahun silam hanya seramai 60 orang, tetapi angka ini sebenarnya hanya sama
dengan bilangan pertama shahid apabila bertemu dengan azab al Sisi di hadapan
istana presiden. Kemudian, kita mula mendengar tentang ribuan pembunuhan,
kecederaan, dan pemenjaraan, semuanya menandakan betapa lemahnya legitimasi
keabsahan kudeta dan percubaan-percubaan semberononya untuk menongkat
ketempangan ini melalui kekejaman dan penindasan keras protes-protes yang aman
dan berani.
Perbedaan di antara kezaliman yang
dirasai oleh Ikhwan di bawah regim Abdel Nasser dan kezaliman al Sisi adalah
apa yang dilaksana untuk faedah rakyat, Nasser sekurang-kurangnya ada projek
rakyat.
Kezaliman sekuriti dan politik Nasser
telah ditutupi melalui projek-projek kebudayaan dan politik yang menarik,
projek reform pertanian, pemerataan pendidikan, membangunkan Al-Azhar, pembebasan
Palestine, penyatuan Arab, anti-imperialisme dan pergerakan negara berkecuali.
Sebaliknya, tidak ada apa projek pun dibawa Al-Sisi untuk rakyat dan negaranya,
melainkan hujah-hujah meleset bagi meneruskan penindasan brutal, sehingga ke
tahap hina dan rendah dengan menuduh presiden yang sah (Dr Morsi) bersubahat
dengan Hamas.
Pada zaman sekarang, kejahatan
dan jenayah si penzalim semuanya terdedah kepada teropong dan penelitian
mikroskop yang canggih dan terang, sesuatu yang tidak ada pada zaman purba
firaun, di mana firaun melakukan jenayah secara senyap dan rahsia. Begitulah Firaun pada zaman Nabi Musa a.s.,
yang dapat mengatakan, “Firaun berkata:
Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok
dijalankan)” (al Quran, Ghafir: 29), dengan itu menitahkan kuasanya ke atas
rakyatnya melalui kawalan maklumat.
Zaman silam itu telah lama
berlalu, dan jenayah-jenayah para penzalim kini berlaku di depan mata kita, dan
oleh itu Al-Sisi dan mereka yang seumpama dengannya tidak mempunyai masa depan
pada zaman ini yang pantas saluran maklumatnya.
Kesimpulannya: Dengan
mengambilkira apa yang tercatat di atas, saya nyatakan, dengan penuh keyakinan,
bahawa politikal Islam tidak ditewaskan, samada di Mesir atau di tempat lain,
kerana dunia idea-idea kini dipenuhi dengan nilai-nilai islam tidak seperti
sebelumnya, sejak permodenan menceroboh masuk ke dunia kami dibawa oleh
kereta-kereta kebal, dan mendominasikan golongan elit, memperosok Islam ke sudut pinggiran, menjanjikan projek-projek
hebat, yang kebanyakannya hampa dan hambar, gagal pada kacamata kebebasan,
pembangunan, keadilan, perpaduan, mahupun pembebasan Palestin. Aspirasi-aspirasi yang terencat ini
membawa kepada pemikiran semula tentang Islam dan introspeksi dalaman bagi
sebuah projek kebangkitan - renaissance
yang berinteraksi dan menerimanya, bukan menolak, pencapaian pemodenan setelah
menyemaikannya di atas ladang subur Islam.
Apa yang dinamakan sebagai
politikal Islam bukan sedang merosot, tetapi di dalam proses membetulkan
kesilapan-kesilapannya dan bersedia untuk fasa seterusnya, di masa depan untuk
urustadbir terbaik. Ia tidak perlu menunggu berdekad-dekad lamanya bagi
mendapat peluang sekali lagi, pada zaman yang bebas dan maklumat terbuka, dan
mengharungi kudeta serta percubaan-percubaan kudeta yang gersang moral, budaya
atau landasan politik.
Pergerakan politikal Islam
mengakar dan merimbun di dalam masyarakat dan membawa nilai revolusi demokratik
yang aman dan nilai demokrasi berpartisipasi, bukan autokrasi atau dominasi,
menggandingkan dengan jayanya perkahwinan di antara nilai-nilai Islam dan
pemodenan.
“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya,
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..” (al Qur’an, Yusuf: 21)