Saturday, January 18, 2014

SEGERA LAKSANA AMALAN BAIK: ABD HALIM ISMAIL




Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa. (Surah ali Imran 133)

Walaupun manusia berkali-kali dingatkan, dia terlupa, dan dinamakannya insan kerana dia kelupaan. Dalam gerakan kita lupa mengingati supaya bersegera, cepat-cepat, sepantas mungkin beramal supaya mendapat keampunan dan memperolehi syurga. Syurga yang amat luas dan penuh kehebatannya. Kesegeraan melaksana amal kebaikan ini gesaan Al Qur’an, Sunnah Rasulullah s.a.w. dan amalan para Sahabat r.a.a. Jangan ditunggu-tunggu dan jangan dinanti-nanti.


Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. (57:10)


Tidak sama mereka yang berjuang dan menyumbang di jalan Allah sebelum fathul Makkah dengan mereka yang datang selepasnya. Mereka yang lebih awal, lebih cepat menyumbang kepada Islam mendapat pahala yang lebih banyak.


Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah al Hadid)


Bukan hanya bersegera tetapi dituntut kita supaya berlumba-lumba. Berlumba-lumba melebihi rakan-rakan lain. Amalan mesti dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Ikhlas dalam beramal itulah nilai untuk mendapat keridhaan Allah s.w.t. Laksana sebaik-baiknya, prestasi terbaik – best performance – dengan keberkesanan. Bersegera dan jangan ditangguh tanpa alasan. Jangan layani percakapan diri supaya menangguh sesuatu kebaikan.


(yaitu) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah ali Imran 134)


Budaya infaq, selain daripada dilaksana dengan segera, pantas dan bergegas, hendaklah dilakukan samada ketika susah ataupun senang. Inilah tanda orang-orang bertaqwa. Inilah menunjukkan semakin dekat dengan Allah s.w.t., bersedekah, berinfaq samada secara terang atau tersembunyi, dalam keadaan senang atau susah.


‘Umar al Khattab r.a. pernah bertekad pada suatu ketika bagi menyahut seruan jihad bagi menentang kemaraan tentera Rum. Dia berazam untuk melebihi Abu Bakr r.a. dalam berinfaq kerana sebelum itu, sentiasa Abu Bakr r.a. yang melebihinya. Setelah dia menyerahkan harta sumbangannya kepada Rasulullah s.a.w., apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w. apa yang tinggal padanya, dia menjawab separuh daripada apa yang telah diinfaq. Tetapi apabila giliran Abu Bakr r.a. pula menyumbang, dia telah menyumbang sepenuhnya kesemua hartanya, dan apabila ditanya, Abu Bakr menjawab yang tinggal baginya, “Allah dan Rasul”. ‘Umar mengakui dia tidak lagi dapat menandingi kelebihan Abu Bakr.

Itulah contoh perlumbaan –perlumbaan sihat, konsep sebenar musabaqahcompetition – atau apa  selalu disebut sebagai fastabiqul khayrat..

Rasulullah s.a.w. mengajar supaya berdoa memohon yang terbaik, memasuki syurga tertinggi, memasuki syurga dengan tanpa dihisab.

Inilah konsep kecemerlangan atau culture of excellence.

Budaya segera beramal dalam gerakan belum kelihatan walaupun bertahun-tahun dididik dengan tarbiyyah jika budaya sadaqah belum menjadi amalan.

Dalam konteks gerakan Islam, apa-apa yang diputuskan dan dipersetujui bersama, dikehendaki organisasi hendaklah dilakukan dengan segera. Kita perlu laksanakan dengan serious dan komited supaya membolehkan kita terus memperolehi keberkatan Allah s.w.t. dan jangan terputus keberkatan.


(Catatan Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Cikgu Abd Halim Ismail, Setiausaha Agong WADAH Pencerdasan Umat pada program MPPW 2 di Teras Jernang

Ihsan sebahagian catatan oleh sdr Asri Haron)

No comments: