Tuesday, January 21, 2014

DR SIDDIQ FADIL: PERJALANAN MENDEKATI ALLAH

    


Gagasan Sa`id Hawwa Tentang Al-Sayr Ila 'Llah (Perjalanan Mendekati Allah): Rumusan Dan Ulasan

Dr. Siddiq Fadil

Berdasarkan huraian Sa`id Hawwa tentang al-sayr ila ‘Llah atau perjalanan mendekati Allah, dapat dirumuskan bahawa ia adalah perjalanan transformatif, iaitu anjakan dari al-iman al-`aqliy kepada al-iman al-dhawqiy. Dengan demikian iman yang tadinya hanya sebatas tahap mental-konseptual ditingkatkan ke tahap citarasa dan pengalaman rohaniah yang aktual. Memang iman bukan hanya sejenis sikap mental, tetapi juga suatu pengalaman indah yang disebut halawat al-iman (kemanisan iman).

Dalam kaitan inilah relevannya tasawwuf dalam erti tadhawwuq al-`aqidah (pencitarasaan `aqidah) dengan cara yang menepati nass dan kefahaman yang benar.

Perjalanan rohaniah mendekati Allah harus memenuhi dua rukun asasi: ilmu dan zikir. Tanpa kedua-duanya perjalanan tersebut tidak mungkin berlaku. Ilmu diperlukan sebagai penyuluh jalan, sementara zikir diperlukan sebagai bekal sepanjang perjalanan di samping sebagai alat pendakian rohaniah. Dengan kata lain, kita memerlukan ilmu (tentang al-Kitab, al-Sunnah dan segala yang berkaitan dengan keperluan-keperluan dalam perjalanan) bagi mengetahui perintah-perintah Ilahi dan segala hikmah yang tersirat untuk dilaksana dan diaktualisasikan. Kita juga memerlukan zikir (yang ma’thur atau yang disunatkan) agar Allah berkenan untuk bersama dalam perjalanan kepada-Nya sebagaimana yang diisyaratkan dalam sebuah Hadith Qudsi, “Dan Aku bersamanya apabila ia menyebut dan mengingati Aku” (Muttafaqun `alayh).


Dari segi praktiknya, memang tidak mudah melaksanakan kedua-duanya (memperdalam ilmu dan memperbanyak zikir) secara seimbang dan proportionate. Maksudnya, terdapat kalangan yang lebih menumpu pada kegiatan keilmuan, namun tetap mengamalkan zikir secukupnya; di samping terdapat pula kalangan yang lebih menumpu pada zikir, namun tetap menambah ilmu semampunya. Keadaan seperti itu sebenarnya lumrah dan tidak menjejaskan pencapaian matlamat.


Ilmu:  Asas  Ma`rifah  dan  `Ibadah

Mengenai bidang ilmu yang perlu dikuasai, Sai`id Hawwa menekankan keperluan membuat pilihan secara kontekstual dengan mengambil kira realiti zaman dan lingkungan. Ada ilmu yang wajib dipelajari oleh semua orang, dan ada pula yang tidak semua orang wajib mempelajarinya. Generasi sahabah misalnya, tidak perlu mempelajari bahasa Arab kerana ia adalah bahasa ibunda yang memang mereka kuasai dan fahami dengan baik. Mereka juga tidak perlu mempelajari tajwid kerana sebagai penutur peribumi mereka dapat membaca al-Qur’an tepat sebagaimana yang diajarkan oleh al-Rasul (s.`a.w.). Tetapi bagi generasi kini (terutama yang bukan Arab) perlu sekali mempelajarinya di samping ilmu-ilmu lain yang terabai.

Memang seluruh kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) berpangkal pada ilmu. Demikianlah proses perubahan dari jahiliah kepada Islam telah bermula dengan iqra’ (baca!), kalimat yang mengandungi tenaga transformatif yang luar biasa. Kata iqra’, perintah pertama yang mendahului segala perintah itu jelas membawa implikasi ilmu. Hakikat peri pentingnya ilmu diberi penegasan sedemikian rupa sejak wahyu pertama: kata iqra’ diulang dua kali dalam tiga ayat, sementara kata `ilm diulang tiga kali dalam lima ayat. Selain itu disebut pula kata al-qalam, alat terpenting dalam urusan keilmuan. Demikianlah sebutan kata `ilm dan yang seakar dengannya dalam surah al-`alaq itu bukanlah yang pertama dan terakhir, tetapi terus-menerus sepanjang tempoh penurunan al-Qur’an. Sejak awal lagi, ilmu seperti yang disebut dalam surah al-`alaq itu dikaitkan dengan al-Rabb dan al-Khaliq. Dengan menyebut nama Tuhan sebagai al-Rabb dan al-Khaliq dalam konteks keilmuan, bererti bahawa ilmu seharusnya dapat membawa manusia mengenali dan seterusnya mengabdi Ilahi.

Yang dimaksudkan dengan iqra’ (baca) dalam ayat tersebut adalah pembacaan kedua-dua ayat al-Qur’an dan ayat al-kawn. Alam ciptaan Tuhan (al-kawn) selalu disebut sebagai al-kitab al-maftuh, sebuah kitab terbuka yang menyerlahkan tanda-tanda kemahakuasaan dan kemahaesaan Tuhan. Memang tujuan penciptaan alam adalah untuk mengenalkan Penciptanya, Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang disebut dalam ayat 12 surah al-Talaq:

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus-menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu.

Demikianlah hikmah di sebalik penciptaan alam - langitnya dan buminya, adalah untuk lita`lam...., (agar manusia mengetahui dan mengenali) Penciptanya Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki segala sifat kebesaran dan kesempurnaan yang antaranya seperti yang disebut dalam ayat di atas: kuasa yang tidak berbatas dan ilmu yang serba meliputi. Dengan mengenal Pencipta akan timbullah kesedaran untuk mengabdi. Dengan demikian kontroversi di sekitar makna kalimat liya`budun dalam ayat 56 surah al-Dhariyat (Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia selain untuk mengabdi kepada-Ku), sama ada bererti mengabdi atau mengenali (liya`rifun) dapat diselesaikan, iaitu `ibadah sesudah ma`rifah (mengabdi setelah mengenali).

Ilmu yang dituntut dengan memohon petunjuk dan pertolongan al-Rabb al-Khaliq, Tuhan Yang Maha Pencipta, akan menemukan tanda-tanda kekuasaan dan keesaan Tuhan, lalu menumbuhkan keyakinan bahawa Dia dan segala ajaran-Nya adalah benar. Dengan kata lain, ilmuwan yang menghayati semangat surah al-`alaq akan melihat Tuhan di mana-mana. Demikianlah maksud ayat 53 surah fussilat.

Ilmu yang menghasilkan keyakinan terhadap hakikat tawhid itulah yang mengangkat martabat kesaksian tauhidik para ilmuwan sehingga layak dideretkan bersama kesaksian Allah dan para malaikat (Ali `Imran:18)..


Zikir: Wahana Ma`iyyatu ‘Llah

Perjalanan menuju Allah (al-sayr ila ‘Llah) pada dasarnya adalah usaha penyihatan hati demi mencapai matlamat al-qalb al-salim. Hati yang sihat sebagaimana yang disebut dalam hadith riwayat al-Bukhariy yang terkenal itu adalah punca kesihatan diri - jasmani-rohani - seseorang. Hati yang sihat juga adalah titik tolak ke arah kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) yang utuh dan menyeluruh, istiqamah dalam melaksanakan hak-hak Allah sebagai realisasi `ubudiyah yang setulusnya. Dalam kaitan inilah pentingnya zikir sebagai wahana penyihatan hati dan kesedaran batin tentang kehadiran Allah di mana pun dan bila-bila pun. Hati yang berpenyakit, jika dibiarkan tanpa penyihatan akhirnya akan mati. Hati yang mati seperti yang disebut oleh Ibn `Ata’i ‘Llah al-Sakandariy dalam al-Hikamnya, “… tidak berasa sedih atas luputnya amal ketaatan, dan tidak menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.”

Zikir secara literal bermakna menyebut dan mengingat. Dhikru ‘Llah adalah manifestasi cinta hamba terhadap Tuhannya. Demikianlah resam orang bercinta, sentiasa mengingat dan menyebut yang dicintai. Manusia secara fitri memang menyenangi kesempurnaan dan keindahan. Kedua-duanya, al-Kamal dan al-Jamal ada pada Allah, malah pada hakikatnya Allah adalah puncak segala kesempurnaan dan puncak segala keindahan sebagaimana yang terungkap lewat Nama-Nama Indah-Nya yang 99 itu. Penghayatan erti hakiki al-Asma’ al-Husna akan memberikan rasa nikmat berdampingan dengan (Tuhan) Yang Maha Sempurna lagi Maha Indah.

Mencintai Allah adalah cinta yang timbal balik, mencintai dan dicintai sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Ali `Imran:31 yang menyebut kenescayaan cinta Allah buat mereka yang mencintai-Nya dengan cara mentaati dan meneladani al-Rasul (s.`a.w.). demikian juga dengan surah al-Ma’idah: 54 yang menyebut tentang kualiti umat yang ditampilkan sebagai ganti golongan yang murtad. Mereka disebut sebagai kaum yuhibbuhum wa yuhibbunahu (Allah menyintai mereka, dan mereka demikian pula, sama-sama saling menyintai). Memang demikianlah berlakunya kesalingan yang juga meliputi dhikr sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah:152 (Ingatilah Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula). Apabila Allah mengingati seseorang, tentunya bukan sekadar ingat, tetapi ingat yang membawa rahmat. Dengan kata lain, seseorang yang diingati oleh Allah bererti berada dalam bimbingan dan perlindungan-Nya. Demikianlah betapa beruntungnya orang yang berzikir, kerana zikir adalah pembawa rahmat dan kurnia. Sebagaimana berlakunya kesalingan dalam dhikr, demikian pula sebaliknya jika lupa terhadap Allah yang berakibat dilupakan oleh Allah dalam erti tersingkir dari rahmat-Nya (al-Hashr:19).

Menyedari peri pentingnya dhikru ‘Llah seperti yang diungkapkan di atas, para ahli rohaniah berusaha menyebatikannya dalam kehidupan harian mereka menerusi kaedah-kaedah tertentu yang dirasakan berkesan. Imam al-Ghazaliy r.`a. misalnya, menganjurkan zikir dan do`a tertentu untuk diamalkan pada waktu-waktu yang menyelangi antara sembahyang-sembahyang fardhu. Zikir yang juga meliputi du`a, membaca al-awrad dan tilawah al-Qur’an biasanya dipelbagai untuk mengelak kejemuan. Kejemuan mengingati Allah memang seharusnya dihindari, kerana ia akan mengundang kejemuan Tuhan terhadap hamba-Nya. Masalah yang selalu dialami dalam zikir ialah ketidakhadiran hati bersama Allah. Dalam kaitan ini Ibn `Ata’i ‘Llah r.`a. menyarankan agar hal itu tidak usah dijadikan halangan untuk terus berzikir, kerana sesungguhnya melalaikan zikir (tidak berzikir sama sekali) itu lebih buruk berbanding lalai dalam keadaan berzikir.

Zikir yang dihayati dan disebatikan dalam kehidupan akan membentuk sikap dan watak yang selayaknya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sikap dan watak mereka yang mengamalkan zikir al-Asma’ al-Husna misalnya, akan mencerminkan sifat-sifat al-Asma’ tersebut dalam konteks dan batas kemanusiaan. Ia akan terdorong untuk bersikap adil, berilmu, penyayang, pemurah dan seterusnya. Kerana itu zikir dengan dampak perwatakan sedemikian itu disebut sebagai `ibadah ijtima`iyyah yang menjelmakan kepedulian sosial dengan semangat kebaktian yang tinggi.


KDH: 17052007


(ihsan Minda Madani, sila layari  http://www.mindamadani.my/  )

No comments: