Saturday, January 18, 2014

Dr Siddiq Fadil: Nasihat dan Peringatan Gerakan Islam di Jalan Da’wah


Jika kita melihat semula kepada kekuatan kita pada masa lalu, apakah kita boleh mempertahankan kekuatan itu. Kekuatan yang menjadikan ABIM berupaya membidani, menangani fenomena kebangkitan Islam. ABIM telah mencipta sejarah.

Tiada sarjana yang membincangkan fenomena kebangkitan Islam tanpa menyebut nama ABIM dan Anwar Ibrahim. Sarjana yang mahu membicara tentang Islam dan Malaysia akan menyebut perihal ini pada tahun 70’an. Babak ini merupakan babak terpenting sejarah Islam di Malaysia pada hujung abad ke 20.  Pada awal abad ke 20 berlaku fenomena kebangkitan Kaum Muda. Tetapi kebangkitan Islam pada tahun 70’an lebih fenomenal dan lebih signifikan berbanding pergerakan Kaum Muda.

Kitalah yang menciptanya. Itulah kekuatan anugerah Allah swt. Kekuatan yang kita sendiri tidak mengetahui. Kalau dibincang, dianalisa, kita juga tidak tahu akan kekuatan kita miliki. Tidak boleh tidak disebutkan ABIM jika menilai secara aktual dan faktual. Jadi kita mempunyai kekuatan dan mudah-mudahan kita berdoa supaya kita terus memilikinya.

Dari mana datangnya kekuatan kita?


Kekuatan Kepimpinan

Barangkali ditakdir kita dianugerahkan pemimpin yang karismatik. Pemimpin yang tidak dilahirkan pada setiap masa. Anwar Ibrahim adalah paling berjasa dan bertanggungjawab membawa gagasan dan konsep harakah Islamiyyah – pergerakan Islam kepada masyarakat. Pemimpin seperti ini jarang ada pada setiap ketika.

Kita beruntung kerana memiliki kualiti kepimpinan yang tidak dimiliki oleh wadah-wadah lain. Ada badan yang mempunyai ramai ahli-ahli. Ahli-ahli mereka mungkin highly educated and professionally qualified tetapi mereka tidak mempunyai pemimpin yang karismatik. Kita beruntung kerana kekuatan kepimpinan – leadership of the movement


Kekuatan Tradisi Ilmu

Kebangkitan Islam bukan ledakan semangat atau sentimen semata-mata, tetapi Profesor Qaradawi menyebutnya sebagai al sahwah al ilmiah – kebangkitan keilmuan. Ianya adalah kekuatan intelektual, kekuatan ilmu dan tradisi ilmu.

Tiba-tiba melonjak aktiviti menelaah, mendalami ilmu melalui percambahan usrah, tamrin, seminar, forum, program-program dan pembacaan buku-buku. Membeli buku, menjual buku, menjadi agen buku, pengedar buku, sembang buku. Sembang buku bukan macam sekarang sembang picisan, sembang poligami. Dulu kita bersembang buku-buku, kitab-kitab baru, karya-karya Hasan al Banna, Mawdudi, Sayyid Qutb, Said Hawwa, Fathi Yakan, Al Buti dan banyak lagi. Begitu kita ghairah dengan tradisi ilmu sehingga kita menubuhkan syarikat-syarikat buku – Dewan Pustaka Islam, Tradisli Ilmu. Kita juga giat menterjemah buku-buku baru.

Kitalah pada itu mempelopori pembaharuan, mengarusperdanakan Islamisasi. Sebelum 70’an, sekularisasi tidak dibincang, dibahaskan dan disanggah. Wacana tentang sekularisme itu dimulakan oleh kita.

Kita mula membahaskan isu-isu besar seperti ini dan kita tampil di pentas dan forum peringkat nasional. Dulu, menteri-menteri pun turun menyertai forum dan berdiskusi dengan kita. Sekarang kita tidak lagi melihat kesanggupan berwacana seperti ini, mereka bukan lagi seperti Dr Mahathir yang turun berdebat sewaktu dia menjadi menteri pelajaran pada tahun 70’an.

Kita tampil di peringkat nasional membawa perspektif Islam. Kita terpaksa mencari modal baru, berceramah dengan kelainan, ceramah-ceramah yang membawa semangat kebangkitan. Ceramah yang bukan seperti penyampaian tradisional kerana penceramah tradisional  tidak membaca Mawdudi, Qutb atau Fathi Yakan. Ada kelainan pada ceramah kita dan semangat mencari bahan baru memaksa kita membaca lebih banyak lagi.

Apakah kita masih mempunyai kekuatan ini? Apakah kita mampu mewariskan kekuatan ini kepada generasi berikutnya?

Memang tidak semua ahli generasi awal menjadi ilmuwan tetapi cukup untuk menjadi lambang ketokohan. Memang ada yang menjadi dan ada yang tak menjadi langsung!

Adakah kita sendiri meneruskan tradisi ini dan apakah kita mewariskan sehingga penyusulannya?

Ada sarjana memerhati dan menyoal perkara yang sama. Memang ada badan lain yang kurang menguasai tradisi dan bahan keilmuwan tempatan kerana para pengasasnya berada lama di seberang laut dan kurang pendedahan kepada kesusasteraan Melayu dan Nusantara.

Kita telah meletakkan satu tanda aras – benchmark. Bolehkah tanda aras ini dicapai oleh generasi akan datang. Rupa-rupanya ada pemerhati luar yang menilai dan ikut rasa bimbang. Adakah kita mampu teruskan tradisi ilmu yang kita telah bina dengan penuh susah payah?

Jika kita masih berusrah dengan kekerapan hanya sekali sebulan, maka ini bukan tradisi keilmuan. Jika kita menghayati matlamat usrah, pengisiannya dan kekerapan mingguannya, barulah kita boleh mempertahankan tradisi keilmuwan.


Kekuatan Tarbiyah Kerohanian

Dulu kita menekuni tarbiyyah bersandarkan kepada harakiy, kepada gerakan. Dulu kita hadir usrah pada waktunya. Kita datang sebelum Maghrib menepati masa. Lepas Maghrib, kita membaca al ma’thurat wazifah kubra bersama. Sekarang pembacaannya wazifah sughra. Dulu ada qiamulayl terancang, tarbiyyah masajidiyyah – ziarah masjid ke masjid.
Itulah kekuatan. Sekarang dipersoalkan apakah kita masih mempertahankannya?


Kekuatan Organisasi

Kita adalah di antara juara yang cukup berencana – well organized dan mempunyai sistem yang kemas. Faktor ini jangan diremehkan. Di antara faktor kekuatan Ikhwan Muslimin adalah keampuhan organisasinya. Itulah tema besar yang kini kita bicarakan dan kita mesti pertahankan wadah ini sebagai the most well organized Islamic movement.

Kenapa?

Faktor kekuatan fizikal kita tidak lagi seperti dulu. Kita telah berusia walaupun ada yang masih belum mengakuinya bahawa stamina tidak lagi seperti dulu. Bila aktif di program pagi , kita kurang bertenaga pada program petang.

Bagi menyelesaikan dan menangani keadaan ini kita memerlukan sekretariat yang kuat dan efektif. Sekretariat mesti kuat dan mestilah muda. Asalkan kita mempunyai keazaman  memperbaiki diri, segala kelemahan organisasi boleh ditangani.

Kita perlu mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan lebih kerap. Jangan sampai kita kalah kepada tungkus lumus pentadbiran kerajaan yang beroperasi, berjumpa, mengendali kertas-kertas penting, dossier dan cabinet papers yang banyak.

Dana adalah penting bagi gerakan Islam dan pergerakan di peringkat nasional perlulah padan dan sentiasa ada peningkatan. Kita perlu bersikap seperti bapa yang bertanggungjawb di dalam jamaah besar ini. Kita perlu biayai staf sepenuh masa. Kita perlu lihat dan menjaga anak-anak buah kita, pelajar-pelajar, pelapis-pelapis dan kader-kader.

Kita perlu lihat kepada projek-projek dan program bagi mengekalkan bakat bersama kita. Banyak pihak yang ingin memancing bakat-bakat, pelajar, pimpinan pelapis kita melalui bantuan bersyarat. Negeri-negeri perlu melihat pelajar-pelajar pelapis mereka dan mesti ada perancangan kewangan untuk mereka. Jika bakat kita merosot, merosotlah jamaah dan gerakan akan terkesan. Pungutan dana, kestabilan kewangan dan audit harakah semuanya perlu dilakukan supaya kita dapat pertahankan kekuatan sebagai gerakan Islam berencana.

Kita ingat kepada pesanan Hasan al Banna supaya segala-galanya terurus dengan baik - munazaman fi syu’unih.

Saingan-saingan semakin banyak bukan seperti dulu. Dulu pesaing senang dikenalpasti tetapi sekarang pesaing semakin canggih, sengit dan berorganisasi. Kita mesti kompeten dalam segenap hal.

Kadang-kadang kita semacam tersudut, terpelanting dalam pesaingan seperti itu. Kadang-kadang pesaing-pesaing kita tidak beretika dan bertindak agresif. Ada yang bersifat oportunis dan mengambil kesempatan. Kita masih teringat cabaran tahun 80’an akibat pergolakan politik. Badan-badan dalam dan luar negara menghimpit kita, samada untuk mematahkan, percubaan mengambil alih, meratah dan menangguk di air keruh.

Kita terkenang kata-kata perangsang al marhum Ustaz Abd Wahab Zakaria apabila melihat keresahan kita pada waktu itu, keresahan yang sangat menyakitkan. Himpitan ke atas gerakan kita itu boleh dimaafkan tetapi tidak akan dilupakan. Hati kita telah tergores. Al marhum Ustaz Abd Wahab berkata, “Ya akhi, kita hadapilah segalanya. Yang penting kita ikhlas dalam perjuangan. Itulah yang akan menjadi penentuan kemenangan.” Inilah yang dapati mengubati keresahan dan kita yakini kebenarannya.

Keikhlasan bekerja dalam gerakan itu hendaklah dipastikan. Tak guna kompetensi dan being well organized jika tiada keikhlasan. Kita perlu tangani penyakit-penyakit kerohanian yang merosakkan organisasi. Al qanabil al ruhiy – bom-bom rohani yang boleh menghancurkan organisasi.

Penyakit-penyakit rohani yang boleh meruntuhkan gerakan adalah:-


Kebakhilan yang dituruti

Memang ada kecenderungan bakhil tetapi kita perlu kawal dan jangan kita turuti. Jika kita bakhil wang, masa, tenaga dan berkira-kira, habislah gerakan kita. Jamaah kita unggul sebab kita tidak berkira. Dulu kita tidak menuntut  claim dan kita tidak mengeluh kepenatan.  Pantang bagi gerakan Islam untuk mengeluh dan mengadu penat. Penat bukan alasan kerana jika kita berani pegang jawatan, kita mesti berani penat. Seperti teladan ‘Umar al Khattab r.a. pada siang hari dia melayani rakyat, pada malam dia turun memantau keadaan rakyat dan selepas itu dia beribadah di baki malam.


Hawa Nafsu yang dituruti

Kita ada saksikan orang harakah mengikuti hawa nafsu. Dia mungkin tidak mencuri duit harakah tetapi kesilapannya adalah dia ingin menang sentiasa mengikuti nafsu. Sifat malas itu juga adalah nafsu.


Kagum dengan pendapat sendiri

Jika ada penyakit ini di dalam jamaah, maka tidak guna lagi diadakan syura kerana jika “tewas” di syura akan mengamuk. Jangan pandang mudah – don’t take it for granted - dengan menyangka bahawa di dalam harakah tidak ada perkara semacam ini.

Apa yang penting adalah kita mempertahankan faktor-faktor kekuatan yang ada sejak dahulu. Jangan dirisaukan pesaing-pesaing yang tidak tulen yang tidak mempunyai tradisi tarbiyyah rohaniah dan tiada tradisi keintelektualan. Kita berwaspadalah dengan kerohanian yang tidak sihat – hati yang berpenyakit – fi qulubihim maradun.

Ketakutan kita adalah apabila kita hilang barakah, apabila kita kehilangan keikhlasan. Apabila kita kehilangan akhlak, kehilangan ketaqwaan, kehilangan pekerti terpuji sebagai pekerja untuk Islam. Sebalik disuburkan sifat-sifat tercela pula, kesombongan, takabbur.
Kita survive selama ini adalah dengan keberkatan ini dan Allah swt boleh mencabutnya bila-bila kerana penyimpangan-penyimpangan kita. Kita hendaklah berhati-hati agar jangan kita hilang keberkatan ini.


Bagaimana untuk kekal Relevan dan Trampil

Gerakan ini perlu kaya dengan wawasan, idea dan fikrah baru. Ini akan hanya berlaku melalui tradisi ilmu yang kuat dan tradisi berfikir yang kuat. Kita tidak boleh malas dan lemah berfikir dan cuma mahu gelak ketawa sahaja. Jika hanya ingin gelak ketawa sahaja, mengadaplah Maharaja Lawak -  jika kita bosan dengan keintelektualan dan kita hanya inginkan yang menghibur.

Gerakan ini perlu kaya idea dan gagasan. Dulu kita arusperdanakan wacana sekularisasi, sekarang kita harus mengenengahkan political Islam, mengkaji hubungan di dalam sebuah negara - konsep kewarganegaraan – muwatinun, menjelaskan maqasid shariah – supaya tidak hanya terlalu obses dengan pematuhan hukum tanpa memikirkan objektif shariah tercapai, dan  bagaimana membentuk, membina, mencorak Bangsa Malaysia yang plural – mengutarakan idea sahifah Madinah – Piagam yang memberi kerukunan perhubungan Muslim dan Non Muslim.

Kita bukan kekeringan idea tetapi idea yang kita punyai itu lemah jentera penyebarannya dan kurang pemerataan di masyarakat. Kita juga bimbang jika terdapat kelesuan intelektual di kalangan kita. Contohnya, apabila Ucapan Dasar tidak dibahaskan dengan sepatutnya. Apabila isi pemikirannya tidak dihadam dan dibahas dengan adil. Kita harapkan berlaku perbahasan pemikiran kita secara ilmiah dan intelektual, yang jarang terjadi, dan kita tidak perlukan perbahasan sekadar ucapan terima kasih. Apakah ada kelesuan budaya ilmu pada gerakan kita dan ke mana tumpuan kita, ini perlu muhasabah.

Tarbiyyah rohaniah mesti diberikan tumpuan. Pembacaan tetap adalah “Tarbiyyah Ruhiyyah” karya Sa’id Hawwa– kita pelajari qalbun salim, pelajari mujahadah. Kita mengaji bukan membaca sahaja. Buku begini bukan untuk pembacaan di waktu lapang dan santai. Buku ini, tazkiyatunnafs perlu dipelajari dengan tunjuk ajar dan panduan.

Usul tentang tarbiyyah ruhiyyah ini penting dilaksanakan pada program dan latihan, ia perlu diberikan perhatian khusus. Anak-anak muda kita sekarang berhadapan dengan segala macam godaan-godaan. Mereka memerlukan pedoman dan panduan serta dibina daya ketahanan rohani.

Apa yang telah terjadi dulu pun ada kegagalan, dropouts yang gugur dari segi kerohanian, ketagihkan  kehidupan mewah dan mengejar pangkat. Jika belum diuji, kita belum tahu dan bencana ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.




(Catatan Ucapan Amanat Kepimpinan oleh Dr Siddiq Fadil, Presiden WADAH Pencerdasan Umat pada MPPW 2 di Teras Jernang)

2 comments:

Ahmad B Mustapha said...

Tahniah Sdr Hamdan di atas usaha sdr. Ramai yang tidak berkesempatan bersama di program ini dapat berkongsi maklumat. Mohon di 'share'. Terima kasih.

Unknown said...

Fezal rasa mahu menjerit mengenangkan diri yang tidak banyak melakukan apa-apa.. Altikel ini yang terbaik pernah Fezal baca.. Dan di saat yang paling tepat dimana semua perlu bermuhasabah diri.. Membuat yang terbaik untuk Agama.. Kita tidak perlu menunggu super hero muncul menyelamatkan kita.. Tetapi dengan azam yang jitu, kita lahirkanlah satu gerakan bersama membela Agama..