"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang
aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan
sekalian alam. (Asy-Syu'araa' 26:109)
Umar Tilmisani pernah hadir pertemuan
dengan Perdana Mesir pada zaman Anwar Sadat. Setelah mereka mengadakan perbualan
ringan, tiba-tiba perbicaraannya beralih kepada hal kewangan. Tilmisani agak terperanjat
apabila si Perdana Menteri menyebut bahawa kerajaan mendokong semua akhbar dan
majalah yang ada di Mesir terutama Ad Da’wah (terbitan Ikhwan) sebagai majalah
Islam. Umar menangkap maksud yang diisyaratkan oleh orang yang menjawat jawatan
tinggi ini. Tilmisani lekas berkata kepadanya dalam bahasa Arab pasar, “ Wahai tuan, berhati-hatilah. Jangan
sekali-kali ajak saya membincang perkara ini.”
Pada suatu ketika, Tilmisani
diundang ke forum agama di pejabat sebuah penerbit majalah agama. Ketika dia ke
bilik rehat, seorang karyawan majalah itu menghulurkan kertas tuntutan imbuhan
untuk Umar tandatangan. Tilmisani bertanya, “Apa ini and untuk apa?” Karyawan itu menjawab, “Ini adalah imbuhan ke atas kehadiran tuan ke
program ini.” Tilmisani berkata, “Kalaulah
saya tahu program da’wah ke jalan Allah ini diberi imbuhan, sudah tentu saya
tidak akan hadir.” Karyawan itu
menjelaskan, “Tapi ini bayaran untuk
transport.” Tilmisani menjawab, “Saya
ada kenderaan.” Karyawan itu terus berkata, “Tapi semua orang menerima seperti ini.” Tilmisani menjawab, “Saya tidak sama seperti mereka. Saya bekerja
semata-mata untuk mendapat keridhaan Allah.”
Sewaktu menunaikan haji ke
Baitullah, Tilmisani dibawa berjumpa seorang tokoh pembesar Saudi di Jeddah. Dia
menyambut baik pelawaan untuk berbincang berkenaan da’wah. Tetapi tokoh itu
membincangkan da’wah Islam dan majalah ad Da’wah yang pada masa itu belum
diterbitkan kembali. Dia menunjukkan minatnya untuk membantu menerbitkannya
semula. Umar memahami keinginannya dan dengan pintas memotong percakapan itu.
Tilmisani berkata, “Saya diundang sebagai
dai’ bukan pemungut pajakan. Jika saya tahu tuan ingin berbincang masalah
kewangan majalah dengan saya, saya tidak akan hadiri pertemuan ini.”
Umar Tilmisani berpegang teguh
kepada kebebasan sebagai penerbit. Dia berpandukan hadith Rasulullah s.a.w. ‘Bersikap cukuplah daripada setiap orang
nescaya engkau akan menjadi pemimpinnya.’
Tilmisani pernah berkunjung ke
sebuah negara Arab dalam rangka pembukaan acara musim kebudayaan – mausim thaqafi. Setelah dia berceramah
di 10 buah tempat, dia didatangi oleh seorang pegawai yang membawa amplop (sampul) mengandungi wang 25,000
dirham. Umar bertanya, “Apa ini?”.
Pegawai itu tersalah tanggap dan menyangka bahawa Tilmisani bermaksudkan jumlah
wang itu tidak mencukupi baginya. Pegawai itu terus berkata, “Orang lain hanya menerima separuh daripada jumlah
bayaran tuan!” Tilmisani menjawab, “Kita
sungguh berbeda. Saya tidak ingin kepada imbuhan ke atas pidato yang saya
sampaikan di jalan Allah. Kalau bayaran ini memang ingin diserahkan, serahkan
saja kepada para mujahidin Afghanistan (yang berjuang menentang pencerobohan
Soviet pada masa itu).”
Beberapa buah akhbar meminta
Tilmisani menulis secara rutin dengan menawarkannya upah bayaran. Dia
menolaknya atas alasan dia bukan wartwan dan dia berpendirian bahawa tulisan
para dai’ lebih baik tidak diberi imbuhan demi menjaga kehormatan dirinya dan
keikhlasan dalam berda’wah. Dia percaya Allah swt lebih mengetahui niat dan
tujuan makhluknya.
Tilmisani ada menceritakan bahawa
Imam Syahid Hasan al Banna mentarbiyahkan mereka dalam Ikhwan supaya bersikap
zuhud terhadap dunia, supaya jangan terlalu terpikat dengan keindahannya kerana
apa yang di sisi Allah swt itu lebih baik dan lebih kekal. Itulah sebabnya
Ikhwan tidak memiliki kekayaan besar kecuali sebatas kemampuan anggotanya
menyumbang. Memang di kalangan Ikhwan ada orang yang kaya kerana jumlah dana mencukupi
untuk keperluan dan berbagai projek kebajikan yang ada.
Tilmisani mengenangkan bahawa saat-saat
bersama Ikhwan dan melaksana, memikirkan dan memajukan da’wah adalah saat-saat
paling berbahagia. Dia berkata, “Kehidupan
kami penuh dengan rasa cinta, kasih sayang dan toleransi.” Waktu bekerjanya
di pejabat Ikhwan sehingga selesai solat Isya dan ini dilakukannya tanpa upah.
Bagi Tilmisani, banyak orang
mengira harta kekayaan adalah segala-galanya. Dia tidak menolak bahawa
tanggapan begini mengandungi kebenaran sepertimana hadith Rasulullah s.a.w. ‘Sebaik-baik harta yang halal adalah di
tangan orang salih’ dan ‘Apabila kamu
meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya maka itu lebih baik daripada kamu
meninggalkan mereka dalam kekurangan sehingga menjadi beban kepada manusia.’
Tetapi Tilmisani sedar bahawa manusialah yang membuat harta dan bukan harta
yang membuat manusia.
Imam Syahid Hasan al Banna telah
mendidik mereka supaya mencari nafkah tanpa mengorbankan harga diri. Mereka sedar
adakalanya orang yang ingin mencari harta, bersedia melakukan apa saja kerja,
meskipun kerja itu bertentangan dengan jiwa manusia mu’min yang mulia. Tilmisani
percaya Allah swt telah melindungi para anggota Ikhwan daripada kesulitan
begini. Ikhwan menjalani kerja dalam rangka menghindari da’wah daripada
terjebak dalam sasaran aksi berkompromi dan tawar menawar. Ikhwan tekad berda’wah
ke jalan Allah swt demi mengharapkan keridhaanNya.
Tilmisani menceritakan kisah dia
bermusafir menaiki keretapi bersama Imam Syahid Hasan al Banna. Pada waktu itu
dia baru bersama Imam al Banna dan baru bersama Ikhwan. Apabila Umar mempunyai
wang untuk membayar tiket untuk mereka, dia akan membeli tiket gerabak kelas
kedua kerana telah biasa dan lebih selesa. Tetapi apabila kantungnya kosong,
Imam al Banna akan membeli tiket gerabak kelas ketiga. Tilmisani pun
merendahkan kepalanya ke bawah agar tidak dilihat oleh orang lain menaiki kelas
ketiga. Imam al Banna hanya tersenyum melihat Tilmisani diliputi perasaan malu.
Tetapi setelah berpuluh kali menumpang keretapi kelas ketiga, dia tidak lagi
berasa malu atau resah gelisah. Itulah sentuhan tarbiyah yang indah.
No comments:
Post a Comment