WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
Pernyataan Sikap: Isnin, 6
Januari 2014.
Isu ‘Rampasan’ Bible Oleh JAIS
Akhir-akhir ini berbangkit
berbagai isu mengenai Islam vis-à-vis agama-agama lain, termasuk isu Kalimah Allah
dan terbaharu isu rampasan lebih 300 naskhah kitab Bible oleh Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS). Isu-isu ini bukan sahaja menimbulkan rasa
ketidakselesaan masyarakat tetapi juga telah menjejaskan keharmonian hidup
antara kaum dan agama. Satu tindakan segera dan berani diperlukan bagi menilai secara
menyeluruh sikap dan pendekatan yang digunakan selama ini dalam menangani
isu-isu sensitif yang melibatkan hubungan antara kaum dan agama. Satu solusi
perlu dirumus bagi membendung berkembangnya kebencian dan dendam yang mungkin
membawa masyarakat ke kancah masalah yang lebih besar. Atau kalau dibiarkan ia
akan bertukar menjadi ‘bom jangka’ yang boleh meletus bila-bila masa lalu
memusnahkan seluruh apa yang telah kita capai selama ini.
Semua pihak menerima hakikat
bahawa isu-isu berkaitan hubungan antara agama dan kaum adalah isu-isu yang
amat sensitif. Menanganinya memerlukan kebijaksanaan tersendiri. Mereka yang
tulus ingin mencari penyelesaian bagi masalah ini harus menghadapinya dengan
‘kepala yang dingin’, kesabaran dan sikap berhati-hati yang luar biasa. Namun
kita dapati dalam kes JAIS dan Bible Society of Malaysia, ada aspek-aspek yang
perlu disemak kembali. Apakah kesan baik-buruk telah diperhitungkan semasak masaknya
sebelum tindakan diambil atau hanya satu tindakan melulu?
Apakah kenyataan-kenyataan yang
dikeluarkan terbit dari akal yang rasional atau hasil dari rasa dendam dan
kemarahan? Apakah kita telah bertindak dengan penuh bijaksana seperti yang
dituntut oleh Islam? Kata kunci di sini ialah ‘kebijaksanaan’. Sekiranya
tindakan tidak dibuat secara bijaksana, maka ketegangan dan konflik akan bertambah
parah dan cita-cita perpaduan akan tinggal menjadi impian dan angan-angan.
Sementara kekecohan yang timbul dari tindakan-tindakan yang tidak bijaksana
akan hanya menyumbang kepada menebalnya prejudis masyarakat bukan Islam
terhadap agama Islam sendiri.
Dalam konteks ini, WADAH
bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan
Perdana Menteri hari ini (Isnin, 6 Januari) bahawa perlunya semua pihak
‘bertenang dan bersikap matang’, perlunya ‘mengenepikan emosi’ dalam menangani
kemelut ini. Namun mengulang-ulangi retorik seperti ini tidak akan
menyelesaikan masalah selagi tiada kesungguhan ditunjukkan pemerintah dan pihak
pihak yang berkuasa agama (termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan), MPPN, para
cendiakawan dan pimpinan masyarakat bagi mengatasi masalah yang crucial ini.
Kenapa tidak diusahakan secara
sungguh-sungguh mencari titik persefahaman di antara pelbagai kaum dan agama
yang ada? Apakah tidak ada hal-hal yang boleh dipersetujui dan disepakati?
Tidakkah ada yang boleh dipelajari dari semangat ‘kalimatin sawaa’ (Q 3:64) anjuran al-Quran? Tidakkah semua pihak menginginkan
hidup bersama yang tenang dan aman? Sekiranya kita memilih untuk duduk bersama
dengan hati yang tulus, bermusyawarah dan berdialog dengan dada yang lapang
terbuka pasti banyak perbedaan dan salahfaham dapat dirungkai. Sikap saling
memahami dan kesediaan untuk bertolak ansur yang terbina dari sesi-sesi seperti
ini pasti akan memberi kesan positif yang tidak ternilai kepada semua pihak.
Walaupun undang-undang, enakmen
dan peraturan boleh digunakan untuk ‘mengatasi’ masalah, di sebalik musyawarah
dan dialog, namun penyelesaian yang menyeluruh dan lebih abadi tidak akan dapat
dicapai menerusi penguatkuasaan undang-undang.
WADAH mengalu-alukan Majlis
Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), yang dalam sidang hari ini (Isnin, 6
Januari 2013) turut menyentuh isu tindakan JAIS tersebut. Bagaimanapun WADAH
berpandangan MPPN wajar menyediakan agenda bertindak yang lebih konkrit, realistik
dan menyeluruh dari sekadar ‘mengecam dan menyatakan penyesalan’ atas apa yang
berlaku. Wacana dan muzakarah yang melibatkan kumpulan pakar dan para ilmuwan
perlu disegerakan dan dibuat secara bersungguh-sungguh bagi mencari formula
yang berkesan dan boleh diterima oleh semua pihak. Oleh kerana isu-isu sensitif
kebanyakannya berkaitan dengan Islam dan agama-agama lain, maka wajar Majlis
ini merujuk lebih banyak kepada para ilmuwan Islam yang berwibawa bagi
mendapatkan pandangan yang tepat.
WADAH ingin menganjurkan MPPN
mempelajari bagaimana lebih 400 tahun, la
convivencia iaitu konsep hidup bersama dalam aman dan harmoni antara
Muslim, Kristian dan Yahudi dapat dipertahankan di Andalusia. Kenapa kita tidak
mengambil model yang unprecedented
ini sebagai tanda aras (benchmark)
yang ingin dicapai?
WADAH berpandangan
tindakan-tindakan yang bersifat provokatif oleh mana-mana pihak mestilah dihindarkan
sama sekali. Rampasan kitab-kitab Bible, tindakan pihak penguatkuasa agama JAIS
memasuki premis BSM dan reaksi dokongan kumpulan-kumpulan tertentu, telah
diintrepretasi sebagai tindakan provokatif. Namun kita juga tidak dapat
menerima tindakan yang bersifat provokatif penganut agama Kristian
melaung-laungkan kalimat ‘Bapak Tuhan Allah, Bapak Tuhan Allah’. Demikian juga
gambaran salah yang diberi seolah-olah The Bible Society of Malaysia sebagai
sebuah gereja sedangkan ia hanyalah sebuah rumah persatuan. Reaksi beremosi
tiga Adun Damansara Utama, Bukit Gasing dan Kampung Tunku bagi meminda Enakmen
Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988
adalah juga tindakan provokatif yang tidak sepatutnya berbangkit.
WADAH juga menggesa pihak
pemerintah perlu mengambil langkah tegas bagi mengatasi kekeliruan dalam
masyarakat ekoran percanggahan dan kekaburan yang terdapat dalam ketetapan,
keputusan mahkamah dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan. Antara
Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan
Negeri Sabah dan Sarawak dengan keputusan-keputusan mahkamah dan juga perintah
sultan. Selagi percanggahan-percanggahan ini tidak diselesaikan, masing masing merasa
mereka mempunyai hujjah bagi mempertahan pendirian masing-masing - yang saling bercanggah.
Tindakan ini akan menjurus kepada melebarnya jurang syak wasangka antara satu
sama lain yang akhirnya akan membawa petaka.
Sekian.
ABDUL HALIM ISMAIL
Setiausaha Agung.
Sekretariat Wadah Pusat
No 23A-2-2A, Tgk 2, Jalan Medan
PB 2A, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan Tel 603-8920
2142 / Faks 603-8912 2346 / Mel-e : wadahpusat@gmail.com /
http:www.wadah.org.my
No comments:
Post a Comment