Tuesday, January 14, 2014

Menegakkan Keadilan, Menentang Kezaliman dan Memelihara Kesederhanaan: Menyingkap Lembaran Ikhwan al Muslimin



Mahkamah Tinggi Kahirah menyaksikan adegan pertikaman lidah yang tajam di antara Ketua Hakim dengan Murshid al Am Ikhwan. Hakim dengan rasa bangga berkata, “Aku telah bertahun-tahun menduduki kerusi kehakiman ini dan aku arif tentang apa itu keadilan.” Kata-kata ini dibalas dengan spontan oleh Muhammad Badie, “Aku sudah bertahun-tahun berada di dalam kandang tertuduh dan aku lebih arif tentang apa itu kezaliman.”

Proses dan paparan perbicaraan anggota-anggota Ikhwan menjadi kucar kacir. Regim pemerintah masih berkeras dengan meneruskan pertuduhan dan pendakwaan yang langsung tidak masuk akal. Dakwaan-dakwaan yang sangat lemah dan jauh meleset daripada syarat-syarat utuh sistem kehakiman dan ternyata sekali pertuduhan berbentuk rekayasa yang semakin sukar dipertahankan.

Setiap kali pimpinan Ikhwan muncul di khalayak untuk sesi perbicaraan, rakyat diingatkan tentang kezaliman yang sedang berlaku serta kebobrokan regim. Sehingga terkini, perbicaraan Presiden Morsi ditangguhkan kerana dilaporkan keadaan cuaca buruk dan kabus tebal menghalang penerbangan helikopter.  Alasan kabus tebal telah digunakan oleh regim selama ini sepanjang sejarah sebagai alasan untuk menangguh pelbagai isu yang tidak punya keputusan.

Kemunculan Dr Morsi akan menjadi tumpuan media dan orang ramai betapa sekali regim cuba memendamkan dan meremehkan kehadirannya. Dr Morsi menunjukkan penentangannya yang ketara dengan mengangkat kedua belah tangannya, memberikan semangat baru kepada penyokongnya yang banyak. Dia masih memakai pakaian awam kerana dia enggan memakai pakaian seragam serba putih seperti banduan lain di kandang tertuduh. Ini sebagai lambang simbolik penentangannya. Selagi dia muncul di khalayak ramai, selagi itulah Mesir dan dunia diingatkan tentang legitimasinya sebagai presiden pilihan rakyat bukan pemimpin kudeta yang haram. Dia diangkat secara sah dan demokratik namun diturunkan secara rampasan kuasa tentera yang licik.

Regim kudeta Mesir telah mengorak langkah fatal dengan memilih Salvador Option – suatu tindakan ekstrim politik ganas bagi membenteras saingan politik dan pembangkang. Pelan ini digubal oleh Amerika Syarikat dalam usahanya menyokong kerajaan diktator negara El Salvador bagi mengalahkan pembangkang yang popular dan membendung kebangkitan rakyat. Rancangannya adalah untuk menganggap semua pemimpin, aktivis dan penyokong sebagai pemberontak dan penjenayah yang layak dihapuskan dengan apa cara sekalipun. Maka skuad-skuad pembunuh latihan khas agensi perisek Amerika melakukan pembunuhan secara senyap dan kejam tetapi besar-besaran mensasarkan sesiapa saja yang ditakrif sebagai ancaman kepada pemerintah walaupun penentangan dan protes berlaku secara aman tanpa bersenjata. Tentera juga berperanan memburu tokoh-tokoh kebangkitan popular maka akhirnya berlaku perang saudara yang berpanjangan yang mengorbankan ribuan  nyawa yang tidak bersalah. Ribuan pula hilang, di penjara dan disiksa atau menjadi pelarian.

Itulah juga rancangan yang dilaksanakan di Algeria setelah kemenangan Parti Islam FIS disekat melalui kudeta tentera pada tahun 90’an. Regim Algeria menjalankan pelan eradication – penghapusan melalui pembunuhan orang kampung beramai-ramai, tahanan tanpa bicara, penderaan, penyiksaan dan menyelinap masuk kumpulan extremis GIA untuk bertindak lebih brutal ke atas penentang. Perang saudara yang berlanjutan di sana telah menutup dan menggelapkan kesemua kekejaman dan jenayah ke atas kemanusiaan yang telah dilakukan regim.

Itulah yang dilakukan tanpa peri kemanusiaan oleh Al Sisi dan konco-konconya apabila menyerang dan membunuh beramai-ramai ribuan penyokong Presiden Morsi di Dataran Rabia termasuk membakar sebahagian Masjid Rabi’atul Adawiyah di Kahirah. Ikhwan diharamkan dan semua pimpinannya ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara, perkara – mehnah -  yang biasa dialami oleh gerakan Islam ini  sepanjang sejarah perjuangan mereka. Tekad regim adalah pembasmian total Ikhwan dan mereka telah melakukan apa yang Mubarak atau Nasser belum pernah lakukan iaitu pembunuhan beramai-ramai rakyat mereka sendiri yang tidak mengangkat senjata semata-mata untuk merampas kuasa politik. Regim juga ingin memalukan dan menghina Ikhwan dengan menangkap dan memenjarakan mantan Murshid yang telah berusia, Mehdi Akif  serta Murshid al Am semasa Muhammad Badie, juga sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Mubarak kerana dulu dia ingin menjaga hati rakyat.

Cuma Al Sisi dan konco-konco kudetanya terlupa dan tidak mengendahkan perubahan zaman serta pelajaran sejarah. Zaman kini penuh dengan maklumat dan pengetahuan terbuka dan dokumenatsi tercatat secara lebar dan luas seluruh dunia. Al Sisi terlupa bahawa walaupun dia mungkin mempunyai populariti sekarang tetapi sebenarnya dia diampuh dan disokong oleh rakan-rakan, Obama - Amerika Syarikat, Cameron -Britain, beberapa negara Barat, Israel, Raja-Raja Saudi dan Raja-raja Arab Emiriyah. Penyokong-penyokong ini bukanlah boleh percayai sepanjang masa dan sejarah terkini tentang apa berlaku kepada diktator-diktator Milosevic, Saddam, Charles Taylor, Mladic dan Gaddafi, menjadi bukti jelas bagaimana berlaku pembelotan serta rapuhnya talian hayat sokongan mereka.

Al Sisi dan konco-konco kudeta telah secara terbuka melakukan jenayah ke atas kemanusiaan, membunuh orang awam dan merampas kuasa secara haram. Mereka bakal didakwa oleh Mahkamah Antarabangsa ICC dan diburu sebagai pariah dunia. Hanya kepentingan politik rantau semasa yang singkat menangguh tindakan ini yang ditentukan oleh kuasa di luar kawalan mereka. Lebih bahaya bagi mereka adalah rakyat Mesir sendiri yang sudah pun resah dan menanti-nanti janji-janji yang bakal Al Sisi gagal tunaikan.

Ikhwan Muslimin pula jenuh berusaha supaya terus berjuang secara aman memilih beristiqamah pada landasan keadilan dan demokratik yang sah walaupun prinsip demokrasi ini telah dikhianati dan dihumban oleh kelompok liberal sekularis serta penaung  mereka yang menyokong kudeta dan rampasan kuasa haram Al Sisi.

Suasana dan cabaran sangat getir kerana  kelompok-kelompok ekstremis radikal ala al Qaeda yang ramai tidak tahu asal usul hujung pangkalnya mula beroperasi menebarkan keganasan dan serangan teroris, yang mengalih pandangan daripada isu sebenar kezaliman kudeta serta cuba melempar fitnah mengaitkan Ikhwan dengan terorisme.

Kewujudan kelompok-kelompok ekstremis ala Salafi keras ini menimbulkan kehairanan dan syak bagi pihak yang memerhati dengan akal waras kerana tindakan buas mereka selalu merosakkan idealisme perjuangan serta menghakis sokongan rakyat. Golongan menyeleweng ini dampak semacam Islamis dari segi tutur kata tetapi teroris dari segi tindakan. Ini dikesan pada tindakan ganas ISIS mirip Al Qaeda menyerang tentera pembebasan FSA di Syria. ISIS juga melakukan kekejaman di kawasan tawanan mereka. Perkara yang sama berlaku di Somalia selepas angkatan Islamis, Islamic Courts Union - Kesatuan Shariah menewaskan gerombolan warlords di Mogadishu, muncul kelompok ekstrim Al Shabab menyerang dan memperak-perandakan pemerintahan Islamis yang baru setahun jagung. Itulah yang berlaku apabila Al Qaeda pimpinan Zarqawi mengganas dan bertembung dengan mujahideen  Sunni di Iraq yang terpaksa beralih daripada menentang pencerobohan Amerika kepada berkompromi bagi melawan Al Qaeda dan pada masa sama menentang kezaliman pengganas Syiah. Di Libya sehingga kini kerajaan revolusi tidak dapat menguasai seluruh negara akibat muncul kelompok-kelompok fanatik begini. Di Tunisia puak ekstrim aliran Salafi tidak menghormati langsung revolusi mahupun demokrasi atau keputusan pilihan rakyat, mereka mengangkat senjata memberontak serta membunuh askar dan pemimpin-pemimpin politik. Ketidakstabilan yang dibawa kelompok melampau ini diringi komplot jahat ekstrimis liberal sekularis memaksa parti pemerintah Islamis El Nahda melakukan kompromi dan penyesuaian politik demi masa depan dan keamanan Tunisa. Dunia juga tidak lupa tindakan kelompok keras Salafi Mesir melalui Parti al Nour menyokong kudeta haram dan jenayah Al Sisi.

Namun Ikhwan mempunyai sandaran yang tiada taranya, asalkan mereka memenuhi syarat-syarat kemenangan yang dijanjikan Ilahi.

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..” (al Qur’an, Yusuf: 21)


No comments: